Selasa, 22 Mac 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


Harakah, Siasah dan Pilihanraya Sarawak

Posted: 22 Mar 2011 08:30 AM PDT

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Selasa, 22hb. Mac, 2011 saya berkesempatan membentang kertas kerja berkaitan dengan  Harakah sebagai Media Dakwah bersama seorang Professor di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan dalam Bicara Dakwah kali ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak 10 kertas kerja di dalam program sehari ini. Bicara Dakwah ke X kali ini lebih memfokuskan perbincangan dan pembentangan kajian berkaitan dengan Internet dan Media Baru dalam konteks dakwah.

Ramai yang terkejut bahawa harakah tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bila Harakah Edisi Internet (lihat contoh, di http://harakah4.tripod.com) telah dilancarkan sejak tahun 1997 lagi sebelum berkembang kemudiannya menjadi portal berita harakahdaily selepas tahun 2000. Kemudiannya satu demi satu produk berasaskan ICT dimanfaatkan seperti SMS, Facebook, Twitter dan lain-lain dalam menyampaikan berita dan risalah dakwah.

Mereka terkejut dan berminat dengan harakah mungkin kerana akhbar berkenaan sukar didapati dipasaran kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang untuk dijual secara terbuka. Lutfi dan Dinsman ada membicarakan persoalan ini dalam kolum mereka di harakah, Catatan Hujung dan Wacana Budaya.

Ketika saya berbicara dengan Lutfi beberapa minggu lepas dia juga ada menyebutkan sukar untuk mendapat akhbar Siasah di sekitar tempat tinggalnya di Ampang. Saya tidak pasti apakah Siasah juga menghadapi masalah pengedaran sebagaima harakah?   

Jika di Semenanjung akhbar harakah dan Siasah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar ini?.

Dilaporkan oleh Lutfi dalam kolumnya itu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat mendapat maklumat terus dari PAS?

Bila akhbar berkernaan Harakah dan Siasah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih Pakatan rakyat khususnya PAS dalam pilihanraya yang akan diadakan beberapa minggu sahaja lagi.

Dalam kolumnya, Ahmad Lutfi Othman ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan. 

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10

Teka-teki tarikh pilihanraya negeri yang ke-10 hampir berakhir DUN Sarawak telah dibubarkan pada 21hb. Mac, 2011 untuk memberi laluan kepada pilihanraya DUN ke-10 diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Ketika rencana ini ditulis, SPR belum lagi mengadakan mesyuarat (SPR akan bermesyuarat pada hari Rabu, 23hb. Mac)  untuk memutuskan tarikh pilihanraya Sarawak. SPR memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan logistik walaupun mereka telah bersedia.

Kalau pada pilihanraya negeri Sarawak tahun 2006 dahulu, pembubaran DUN dilakukan pada 24hb. April, 2006 dan penamaan calon diadakan pada 9hb. Mei, 2006. Manakala pengundiaan diadakan pada 20hb. Mei, 2006, bermakna tempoh berkempen selama 11 hari.

Pada pilihanraya kali ini, jika jangkaan penamaan calon diadakan pada 9hb. April, 2011 dan pengundian pada 16hb April, 2011 sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak, bermakna tarikh berkempen hanya selama 7 hari sahaja. Ianya menjadi yang terpendek dalam sejarah.

Sekiranya benar, SPR membuat ketetapan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja, saya rasa kewibawaan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan bebas akan tercalar lagi memandang demografi bumi Sarawak yang luas dan kemudahan perhubungan yang masih kurang baik.

Pakatan Rakyat meminta tempoh berkempen selama 21 hari memandangkan bumi Sarawak yang luas dan media yang dikawal ketat serta perhubungan yang masih tidak memuaskan menyukarkan mereka memperkenalkan calon dan juga menerangkan manifesto kepada rakyat Sarawak.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad Pas yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihanraya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN terutama dengan janji "Buku Jingga" antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak setelah 30 tahun dibawah kepimpinan Taib Mahmud.

Manakala Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, berdasarkan dari respon masyarakat di sana tidak mustahil PAS mampu memenangi kerusi dan menghantar wakil ke Sidang DUN Sarawak. Kesungguhan PAS Nampak ketara bila akhbar rasminya banyak membuat liputan dan pendedahan tentang kepincangan pemerintahan BN Sarawak yang membolot kekayaan Sarawak seperti yang didedahkan dalam media internet melalui Sarawak Report.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas, pembangkang hanya memenangi 9 dari 71 kerusi dengan 6 DAP, 1 PKR, 1 SNAP (Sarawak National Parti) dan 1 PCM (Parti Cintai Malaysia). Inilah prestasi terbaik sejak tahun 1987, bila Taib Mahmud nyaris-nyaris tumbang berikutan pemberontakan dalaman BN melalui peristiwa "Ming Court" untuk membawa usul undi tidakl percaya dalam Sidang DUN.

PKR hendak bertanding 52 kerusi DUN dan SNAP pula hendak bertanding 40 kerusi DUN. Berapa pula yang hendak ditandingi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam pilihanraya kali ini? DAP dan PAS agak realistik dan boleh bertolak ansur dalam rundingan permbahagian kerusi. Apakah pilihanraya kali ini dua penjuru atau tiga penjuru ekoran SNAP, parti tertua di Sarawak tidak berpuashati berhubung pembahagian kerusi dengan PKR.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah


Tiada ulasan: