Selasa, 8 Mac 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


BN dah pulih, Pilihanraya Sarawak April ?

Posted: 08 Mar 2011 07:01 PM PST

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihanraya kecil DUN N27 Merlimau, Melaka dan N28 Kerdau, Pahang memang sudah dijangka lebih awal oleh pemerhati-pemerhati politik. BN menang besar di DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 undi dimana calon BN, Roslan Ahmad mendapat 5,962 undi, manakala calon PAS, Yuhaizad Abdullah memperolehi 2,319 undi. BN turut menang pilihan raya kecil DUN Kerdau dengan majoriti 2,724 undi dimana calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi, menewaskan calon PAS yang mendapat 2,336 undi.

Di Kerdau, majoriti kemenangan BN di situ juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008 dan dapat  mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi. Manakala Di Merlimau, majoriti itu lebih tinggi berbanding dengan 2,154 undi pada 2008. Bagaimanapun, ia masih rendah berbanding dengan majoriti BN pada 2004 sebanyak 5,087.

Setelah 16 siri pilihanraya kecil diadakan, saya tidak pasti sama ada akan berlaku atau tidak lagi pilihanraya kecil selepas ini memandang masa berbaki selepas 3 tahun persidangan DUN pertama  selepas Pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 masih ada kira-kira sebulan lebih lagi.

Tidak ada pilihanraya kecil DUN jika berlaku kekosongannya selepas tarikh berikut, di Penang (20hb. April), Melaka dan Johor (21hb. April), Perak dan Negeri Sembilan (25hb. April),  Perlis dan Kelantan (28hb. April), Sabah (30hb. April), Terengganu (6hb. Mei), Pahang (20hb. Mei) dan Selangor (21hb. Mei).

Jika tidak ada lagi PRK selepas ini bagi penggal PRU ke-12, bermakna ianya kurang 1 daripada 17 PRK yang diadakan dalam penggal PRK ke-8 pada tahun 1990 dan melebihi 1 daripada 15 PRK yang diadakan sepanjang PRK ke-9 pada tahun 1995. Dalam penggal ke-10 (1999), 9 PRK  diadakan dan 6 PRK sahaja diadakan pada penggal ke 11 (2004).

Sebelum tahun 2008, walaupun banyak PRK diadakan tetapi ianya bukanlah menjadi fenomena dan mimpi buruk kepada parti pemerintah, BN. Walaupun begitu, pada tahun 1990 dan 1999 kedudukan BN sedikit tergugat, sebelum pulih semula pada tahun 1995 dan 2004.      

Sebagaimana yang saya tulis dalam ruangan ini beberapa minggu yang lepas, tirai pilihanraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011) Sekarang berjaya mengekalkan Merlimau, Melaka  dan Kerdau, Pahang pula. 

Manakala bagi 6 kerusi DUN dalam PRK pada tahun 2009 sebelum itu, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti  (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010).

Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN)  dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.

Mulai tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN  keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010).

Daripada 16 PRK ini, PR bermula dengan baik, tetapi BN mengakhir dengan baik. Setelah 16 siri PRK, BN berjaya memenangi 8 kerusi, iaitu Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan), Batu Sapi (Sabah), Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang). Manakala PR juga memenangi 8 kerusi, iaitu Permatang Pauh (Pulau Pinang), Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah), Penanti (Pulau Pinang), Manek Urai (Kelantan), Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Sibu (Sarawak).  

Sepintas lalu kekuatan kedua-dua pihak masih lagi seimbang antara BN dan PR walaupun kelebihan sentiasa memihak kepada BN dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang terakhir pada tahun 2011 seperti di Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan kerdau (Pahang) yang merupakan kubu kuat mereka.

Pilihanraya Sarawak 9hb April, 2011?

Sehari sebelum pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau, BN Sarawak telah mengadakan konvensyennya dengan dihadiri oleh lebih 5 ribu perwakilan daripada 4 parti BN Negeri, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakya Bersatu Sarawak (SUPP), Pari Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Sekarang ini BN menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak.

Pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 2006 dengan DUN dibubarkan pada 24 April manakala penamaan calon 9 Mei dan pengundian 20 Mei. Mandat untuk Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada 24hb. Julai akan datang. Beberapa pemerhati politik dan media tempatan telah mula membuat ramalan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud akan membubarkan DUN dalam jangkamasa terdekat setelah perkembangan positif dalam beberapa siri PRK yang disertai oleh BN kebelakangan ini.

Ramalan yang cukup popular sekarang ini, pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 9hb. April, 2011. Laporan The Star hari ini (2 Mac) menyebut DUN Sarawak akan dibubarkan pada 19 Mac dan kemungkinan hari pengundian pula 9 April.   

Artikel ini diterbit untuk akbar Siasah


Bolehkah PAS tawan Terengganu?

Posted: 08 Mar 2011 04:00 PM PST

Oleh Awang Harun

Hari ini, timbul pula gema 'PAS Ganti Umno' yang cuba dan sedang diwujudkan oleh PAS sebagai sebuah parti orang Melayu Islam yang telah lama bertapak di negeri Terengganu Darul Iman.

Kewujudan PAS sejak lebih 50 tahun lalu juga berikutan 'serpihan' di kalangan para alim ulama' yang pernah sama-sama berjuang dalam Umno dan tidak bersetuju dengan dasar-dasar Umno yang bertentangan dengan Islam.

Maka, dalam beberapa siri persidangan golongan ulama' yang benar-benar berpegang dengan Islam bertindak keluar dari Parti Kebangsaan Nasionalisma Melayu atau Umno.

Sehubungan itu, Umno yang telah lama wujud sejak lebih 60 tahun itu kini telah memasuki usia 'warga emas' yang 'nyanyuk'. Masalahnya, jika panjang umur tetapi 'beriman' dan 'beramal soleh' tidak menjadi beban.

Tetapi, yang menjadi masalahnya Umno yang telah memasuki usia warga emas itu bukan sekadar 'nyanyuk' tetapi diperkatakan orang semakin 'jahat', 'bodoh sombong' dan 'gila' kuasa.

Maka, kali ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang mungkin paling awalnya dijangka bulan Jun atau November 2011? atau mungkin Mac 2012? atau mungkin Jun atau November 2012?

Sehubungan itu, PAS kali ini melancarkan 'gelombang' agar rakyat sudi membuat perubahan demi masa depan agama, banga dan negara. Gelombang 'PAS Ganti Umno' itu diharapkan segera disambut rakyat dan pengundinya.

Persoalannya, bersediakah rakyat dan para pengundi Melayu hari ini membuat perubahan untuk menukar rumah yang telah lebih 60 tahun didiaminya hingga beranak cucu dan bercicit-cuit?

Rata-rata rakyat dan pengundi dibawa masih 'mamai' atau 'pening-pening lalat' atau 'mabuk' dalam membuat pilihan untuk menukar Umno kepada PAS. Kenapa?

Alasannya, kerana adanya Umnolah maka, orang Melayu boleh mencapai kemajuan sehingga hari ini dan kerana orang Melayu-Umnolah membolehkan kita hidup senang. Benarkah begitu wahai rakyat?

Sebenarnya, usahlah biarkan kita rakyat bawahan ini terus-menerus diperbodohkan. Cukuplah wahai rakyat Melayu sekalian. Jadilah, kita seorang manusia yang merdeka jiwa dan mindanya.

Namun begitu, hanya orang Melayu-PAS dan Melayu PKR sahaja yang dikategorikan cerdik dan berjiwa merdeka. Sebab itu, PAS dan PKR yang celik internet pasti akan bebas jiwa dan mindanya.

Hari ini, Umno dan kerajaan Barisan Nasional sudah tidak kuat lagi. Dia hanya bergantung kepada 'tongkat' yang masih ada disekelilingnya. Tongkat itu ialah MCA, MIC, Polis dan Tentera, Pegawai dan Kakitanagan Kerajaan.

Jika PAS dan Pakatan Rakyat boleh 'tawan' hati golongan tersebut dan hati rakyat dan hati para pengundi. Awang beri jaminan barulah 'gelombang rakyat' untuk buat perubahan akan bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, senario politik yang berlaku di Terengganu hari ini, PAS berkeyakinan boleh mengulangi kejayaan memerintah semula negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Harun Taib berkata PRU ke-13 akan datang boleh jadi seperti PRU ke-10 tahun 1999.

Ini kerana, katanya berdasarkan situasi politik di Terengganu hari ini PAS boleh mengulangi kejayaan pada PRU ke-13 sebagaimana PRU ke-10 dan memerintah semula negeri.

"Kita telah siapkan 30 tawaran PAS kepada rakyat untuk pilihan raya (PRU ke-13) akan datang supaya rakyat boleh membuat perubahan.

"Situasi politik hari ini, PRU ke-13 boleh jadi seperti PRU ke-10 tahun 1999 dan PAS boleh kembali memerintah Terengganu, Insya'Allah," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Nadwah Ulama' PAS Terengganu bertajuk "Cabaran dan Resepi Kemenangan Dalam Konteks Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13" di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, 3 Februari lalu.

Namun begitu, katanya ahli dan petugas PAS perlu 'menghadamkan' resepi dalaman bagi menghadapi cabaran serta mencapai kemenangan tersebut.

Kata Ustaz Harun, jentera PAS perlu mempelajari ilmu menguasai hati rakyat dan para pengundi dalam pilihan raya.

"Kita, parti dakwah perlu memujuk orang (pengundi) dengan kita menerangkan dasar Islam, kebaikan Islam berbanding dengan dasar parti lain.

"Saya tidak suka 'menyerang' dengan bahasa yang kasar dalam ceramah-ceramah kerana tidak disukai oleh orang Umno atau orang atas pagar," ujarnya.

Antara lain, katanya jentera parti perlu sentiasa bersedia berkorban sama ada yang murah atau mahal, mempunyai pendirian yang tetap dan tabah.

Menurutnya, ahli PAS hendaklah sentiasa taat kepada Allah dan RasulNya, tidak berbantah-bantahan serta bersabar menghadapi halangan dan tentangan.

Awang diberitahu, hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulama' PAS Terengganu, Dato' Hussin Awang, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Bendahari PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan ramai lagi.

Kesimpulannya; "USAH BIAR KESILAPAN KITA HARI INI MENYEBABKAN ANAK CUCU KITA KENCING DI KUBUR KITA DI MASA HADAPAN"


Keputusan Prk N27 Merlimau mengikut saluran

Posted: 08 Mar 2011 01:30 AM PST

Untuk download sila klik icon di bawah


PRK Kerdau: BN kuat atau PAS yang lemah?

Posted: 07 Mar 2011 11:58 PM PST

OLEH : Tuan Ibrahim Tuan Man   

Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya. PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.

Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah; semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM. 

Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen  dengan perisytiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.

Analisa Keputusan

Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi. Atau +22.4% Peningkatan undi BN  hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%.

PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS  mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%.  Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak.

Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang.

Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra.

Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar.

Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya; Namur  apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.

Apakah bandar  Kerdau akan terus menjadi "bandar Kerbau". Sama-sama kita tunggu.

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan kecil Kerdau.


Tiada ulasan: