Ahad, 27 Mac 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PKR: Soi Lek, Rahim perlu letak jawatan, jangan hanya cabar Anwar

Posted: 27 Mar 2011 08:31 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mencabar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik supaya meletakkan jawatan yang dipegang sekarang jika benar-benar mahu menunjukkan teladan baik kepada pimpinan muda dan rakyat negara ini.

Kata Chua, kedua-dua pemimpin itu perlu berbuat tanpa hanya mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan rakaman video seks Isnin lalu.

"Kalau benar individu-individu ini mahu bersyarah mengenai moral, maka mereka perlu menunjukkan teladan baik kepada pimpinan muda dan rakyat Malaysia," kata Ahli Parlimen Batu ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu, kata Chua, beliau mengulangi desakan yang telah dibuat oleh rakan-rakannya agar Dr Chua meletakkan semua jawatan politik dan bersara terus sebagai tanda beliau insaf selepas skandal seksnya tersebar luas manakala Abdul Rahim melepaskan semua kedudukan dalam kerajaan terutamanya sebagai Pengerusi Risda kerana penglibatannya dengan kes rogol kanak-kanak bawah umur masih kekal dalam ingatan rakyat sehingga kini.

"Jika Datuk Seri Chua tidak sanggup menunjukkan teladan yang baik, dia tidak wajar campur tangan dalam skandal video seks yang didalangi Umno ini kerana rekod moralnya sangat memualkan," katanya dalam reaksi berhubung "perang kenyataan" dalam isu semasa ekoran pendedahan rakaman video seks melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat Isnin lalu.

Beliau yang turut dikenali sebagai Tian Chua merujuk kepada kenyataan Dr Chua Soi Lek mengenai skandal seks video yang didalangi oleh tokoh-tokoh Umno.

Kenyataan itu memetik seruan Dr Chua, Presiden MCA, supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau bukanlah si pelaku dalam video.

Abdul Rahim merupakan bekas ketua menteri Melaka dan bekas ketua Pemuda Umno manakala Dr Chua pula melepaskan jawatan naib presiden MCA dan menteri kesihatan tiga tahun lalu sebelum dipilih semula sebagai presiden MCA awal tahun lalu.

"Saya pasti rakyat Malaysia turut sama berkongsi rasa mual apabila seorang ahli politik yang mempunyai rekod kurang moral yang diketahui umum cuba membuat komen mengenai moral dan integriti.

"Seluruh rakyat Malaysia arif tentang skandal seks yang melibatkan Datuk Seri Chua dan dia sendiri mengakui bahawa dia menjalin hubungan seks di luar perkahwinan dengan seorang wanita dan dirakam melakukannya," katanya.

Chua menambah perancangan Umno untuk memfitnah Anwar melalui video seks terbaru semakin ditolak rakyat apabila individu-individu yang telah dibuktikan terbabit dalam skandal seks sebelum ini tampil untuk menjadi juara moral dan integriti.

"Rabu lalu ramai rakyat Malaysia terketawa apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik (berkata) yang terpaksa (beliau) meletakkan jawatan politik kerana terbabit dalam kes rogol kanak-kanak bawah umur muncul kononnya untuk memastikan bakal pemimpin negara mempunyai moral.

"Semalam, seorang lagi ahli politik Barisan Nasional iaitu Datuk Seri Chua Soi Lek mula berani bercakap mengenai moral walaupun rekodnya penuh kotor dengan skandal seks," katanya.

Hakikatnya, kata beliau, individu-individu ini tidak layak untuk bercakap mengenai moral dan integriti dan mereka juga tidak wajar dibenarkan menukar prinsip keadilan bahawa yang menuduh perlu membawa bukti dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

"Kenyataan Datuk Seri Chua semalam secara jelas ingin meletakkan beban bukti kepada Datuk Seri Anwar sedangkan kumpulan yang menuduh beliau mempunyai rekod yang buruk dalam politik," kata Chua lagi.

DUN Sarawak: Isu kerusi Pakatan hampir selesai, kata Guan Eng

Posted: 27 Mar 2011 08:27 AM PDT

BERNAMA

GEORGE TOWN — Perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara pakatan pembangkang pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 dijangka selesai dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan mengenai pengagihan kerusi itu akan diumumkan oleh pemimpin tertinggi parti terlibat tidak lama lagi.

"(Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa perbincangan mengenai kerusi PKR dan PAS sudah siap. PKR dan DAP akan siap. Hanya tunggu pengumuman rasmi sahaja," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang kepada pemberita di sini, hari ini.

Pakatan DAP-PKR-PAS-SNAP dilaporkan gagal bersetuju dengan pengagihan kerusi yang mahu ditandingi pada pilihan raya negeri itu, yang hari penamaan calon ditetapkan pada 6 April dan pengundian 16 April.

Daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan dipertandingkan, PKR bertegas mahu bertanding di 52 kerusi, SNAP menuntut 40 manakala DAP dan PAS masing-masing 18 dan enam.

Lebih baik ditadbir penjajah jika hak Melayu hakis, kata Ibrahim Ali

Posted: 27 Mar 2011 08:22 AM PDT



Ibrahim menggesa kerajaan memberi tekanan kepada tindakan afirmatif pro-Bumiputera. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Kaum Melayu lebih baik tinggal di bawah pentadbiran penjajah jika Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak istimewa mereka diketepikan dan terhakis, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Dalam kritikan pedas beberapa jam sebelum pentadbiran Najib mengumumkan laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Ibrahim berkata, agenda nasional mesti digerakkan selari dengan kehendak Artikel 153.

"Hak tetap hak," kata beliau pada akhir Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera anjuran Perkasa di sini hari ini.

Justeru kata beliau, tindakan-tindakan sebaliknya bersamaan dengan pendekatan mengabaikan kesemua hak yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu ketika menentang pembentukan Malayan Union, yang memberikan bukan Melayu lebih banyak hak.

"Perlembagaan Persekutuan mesti dijadikan terma rujukan dalam mana-mana dasar nasional," kata Ibrahim.

"Meskipun kita sedang menuju ke arah satu transformasi dengan cenderung kepada meritokrasi dan liberalisasi untuk memenuhi kehendak ekonomi global, terma rujukan yang seharusnya mestilah Perlembagaan Persekutuan," kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Katanya, Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh melindungi hak Melayu dan Bumiputera kerana ia bersifat terlalu longgar dan terdedah kepada manipulasi.

Tambah beliau, mana-mana dasar ekonomi yang tidak bertunjangkan Artikel 153 bercanggah dengan perlembagaan dan ia juga satu tindakan jenayah.

Ibrahim juga mengecam kerana kerajaan memberi terlalu banyak perhatian kepada syor-syor pakar luar negara dalam melaksanakan MBE sedangkan mereka tidak faham latar belakang sejarah yang bersangkut-paut dengan ekonomi Malaysia.

"Mereka datang ke sini untuk merangka ekonomi bagi Malaysia berdasarkan pertimbangan asing dan bukannya (keperluan) sosioekonomi negara," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan memberi tekanan kepada tindakan afirmatif yang pro-Bumiputera, sebagaimana ditekankan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Orang Asli menang kes babitkan ‘curi’ di tanah adat

Posted: 26 Mar 2011 04:51 PM PDT

Khairil Abdul Rahim

ROMPIN, 26 Mac: Kemenangan kes tiga Orang Asli dari Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah, yang dibebaskan Mahkamah Majistret Rompin daripada tuduhan mencuri kelmarin dianggap kemenangan entiti tersebut dalam mempertahankan tanah adat dan kawasan rayau mereka.

Peguam yang mewakili ketiganya, Fadzli Ramly berkata, terdapat kejanggalan kerana mereka ditangkap dalam kawasan yang mereka anggap tanah adat sebagai tempat untuk mencari makan, tetapi telah ditanam oleh Risda dengan kelapa sawit

Gambar: Fadzli (berkot di tengah) bersama Orang Asli meraikan mahkamah di luar mahkamah

Mahkamah Majistret Rompin 24 Mac telah melepaskan tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh yang terbabit dalam kes mencuri buah sawit di ladang sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Fasa 5, Kampung Orang Asli Buluh Nipis pada 2 November tahun lalu.

Keputusan itu dibuat majistret, Emma Shahriana Ali selepas mendapati pihak pengadu, Basri Lohin, 38, tidak hadir untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan itu

Ketiga-tiga tertuduh, Udin Tan, 38, dari Kampung Permatang Siput Mukim Temai, Pekan, dan rakannya, Sudin Mahidin, 58, dari Batu 5 Jalan Sabak Rompin serta Juling Dollah, 57, dari Kampung Buluh Nipis didakwa atas kesalahan mencuri buah sawit di ladang itu.

Menurut Fadzli, Risda telah menanam sawit di atas tanah yang merupakan kawasan rayau tempat masyarakat tersebut mencari makan dan dijanjikan dengan pampasan.

"Malangnya, ramai daripada penduduk dari perkampungan Orang Asli tersebut tidak menerimanya, manakala yang mendapat wang pula menganggapnya jumlahnya tidak munasabah.

"Oleh kerana tanah tempat mereka cari makan sudah ditanam sawit, mereka terpaksa memungut buah-buah sawit itu lalu menjualnya untuk buat belanja tetapi dalam masa yang sama perundingan dengan Risda terus dilakukan. Malangnya selepas itu ada pihak yang mengadu kepada polis mereka dianggap mencuri sehingga tiga orang daripada mereka ditangkap," katanya.

Menurut fakta kes di mahkamah, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mencuri kelapa sawit dengan berat lebih kurang dua tan metrik kepunyaan Risda Plantation Sdn Bhd pada jam 1.30 petang 2 November tahun lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Heng Yen Loo manakala Fadzli dan Pengerusi Majlis Peguam Pahang, Hon Khai Ping telah memberikan khidmat guaman percuma.

Sementara itu, Fadzli berkata kes perjuangan melibatkan Orang Asli yang menuntut hak di tanah adat itu telah mendapat perhatian yang luas kerana ramai wartawan termasuk dari luar negara dan NGO-NGO melibatkan Orang Asli hadir membuat liputan.

"Perkara ini terletak di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu mereka (Orang Asli) mempunyai hak ke atas tanah milik mereka.

"Selain itu, pihak pembela juga berpandangan perkara ini (hak pemilikan tanah) belum dimuktamadkan dan diputuskan antara kedua-dua pihak iaitu pemaju (Risda) dan penduduk kerana mereka (Orang Asli) tidak memperoleh pendapatan hasil sawit yang memadai hingga terpaksa menjual atau memungut hasil itu," katanya.

Fadzli juga berkata, pihak pembela dijangka mengemukakan hujah mengenai hak tertuduh sebagai penduduk tanah adat di kawasan itu selepas ini.

PKR Pahang rujuk Azan ke jawatankuasa disiplin

Posted: 26 Mar 2011 04:48 PM PDT

Khairil Abd Rahim

TEMERLOH: Mesyuarat tergempar Ketua-Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pahang semalam meluluskan usul memberi sokongan padu dan tanpa berbelah bagi kepada kepimpinan Dato Fauzi Abdul Rahman.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pahang, Ahmad Nizam Hamid, yang berlangsung di Rumah Rehat dekat sini turut meluluskan usul merujuk YB Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, ke Jawatankuasa Disiplin PKR Pusat.

Menurut Ahmad Nizam, mesyuarat tergempar itu diadakan berikutan kenyataan Azan di muka depan Sinar Harian edisi Pahang semalam (25 Mac) yang memburuk-burukkan kepimpinan Dato Fauzi Abdul Rahman selaku Pengerusi Majlis Pimpinan (MPP) PKR Pahang.

"Kesemua Ketua Cabang tidak bersetuju dengan kenyataan YB Azan Ismail bahawa PKR Pahang menjadi nazak di bawah pimpinan Dato Fauzi, bahkan di bawah kepimpinannya PKR Pahang berjaya melebarkan sayap parti ke perkampungan Melayu tradisi kawasan Felda dan Orang Asal.

"Keanggotaan PKR Negeri Pahang telah bertambah dengan pesatnya, manakala aktiviti-aktivit serta program-program parti dapat berjalan dengan lancar di seluruh Pahang," katanya.

Tambah Nizam, Dato Fauzi bekas timbalan menteri yang bersikap mesra rakyat dan sentiasa turun padang justeru tokoh seperti itulah yang amat diperlukan rakyat.

Sebelum ini akhbar Sinar Harian melaporkan 300 ahli PKR cabang Indera Mahkota keluar beramai-ramai dari parti itu yang dipimpin pemangku ketuanya Ibrahim Sidek.

Azan yang kini Pengerusi PKR Terengganu dalam reaksinya menyatakan pengunduran beramai-ramai itu seolah-olah ada kaitan dengan kelemahan kepimpinan Fauzi dengan mengibaratkannya seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi' dan menggambarkan seolah-olah Fauzi mempunyai kepentingan peribadi.

"Azan tidak berhak mencampuri urusan PKR Pahang dengan cara negatif dan atau mempersoalkan imej parti. Beliau bukan lagi menjadi anggota mana-mana ranting atau mana-mana cabang di Pahang kerana beliau telah memindahkan keanggotaannya ke Terengganu.

"Sikap yang ditunjukkan oleh Azan itu adalah amat negatif dan tidak langsung menguntungkan parti," tambahnya.

15,000 rai 44 pasangan Raja Sehari

Posted: 26 Mar 2011 04:43 PM PDT

Ismail Hashim

KLANG: Majlis Perkahwinan Perdana yang diadakan di Masjid Nurul Iman, Kampung Delek, dekat sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kejayaan 44 pasangan menjadi Raja Sehari.

Kehadiran tetamu sekitar 15,000 orang dari berbagai golongan masyarakat termasuk bukan Islam memeriahkan lagi suasana majlis.

Penaung program, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Exco Agama negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut hadir.

Selain itu, ramai kalangan pimpinan hadir termasuk pegawai kerajaan mewakili berbagai agensi yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan program.

Dalam ucapan aluannya. Dr Halimah berkata, dengan tema Perkahwinan Menjana Mawaddah diharapkan lahirlah golongan masyarakat yang dapat bangunkan komuniti menjadi lebih berjaya.

Sebelum majlis akad nikah dilangsungkan, khutbah nikah disampaikan oleh Dr Hasan.

Setelah itu, seramai lapan kadi yang dilantik JAIS menjalankan tugas mereka menikahkan kesemua pasangan dalam masa sekitar satu jam.

Menurut salah seorang jawatankuasa program, Haji Jamuliddin Elias, dengan kejayaan penganjuran kali ini menambahkan semangat mereka untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan.

"Kita merancang program yang lebih meriah dengan jumlah penyertaan lebih ramai pasangan di masa akan datang.

"Kita memberikan banyak kemudahan kepada semua pasangan terbabit termasuk pakaian pengantin kecuali mahar yang mereka usahakan sendiri.

"Meskipun kita membelanjakan sekitar RM100 ribu untuk program hari, namun sumbangan menjayakan tema Perkahwinan Menjana Mawaddah lebih diutamakan," tegasnya.

Jamuliddin berkata, walaupun mereka terbabit dari seluruh Selangor tetapi majoritinya datang dari Daerah Klang.

Katanya, jika sebelum ini, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Perlis pernah mengadakan program sama sebelum ini, kini Selangor menjadi negeri keempat berbuat demikian.

Ketika ditemui, pasangan yang terlibat mengucapkan rasa syukur tidak terhingga ke Hadrat Allah SWT kerana dapat bersama melangsungkan perkahwinan secara bersama pada hari ini.

Aminuddin Sohar, 20, dan isterinya, Nurul Hidayah Shahar, 26, mengucapkan terima kasih kepada pihak Masjid Nurul Amin, Kerajaan Negeri, JAIS dan semua agensi terlibat.

Mereka berdua bertambah gembira kerana lokasi tempat berlangsungnya program, Masjid Nurul Amin adalah kombinasi nama mereka berdua.

Pasangan veteran, Zakaria Ismail, 64, dan Mariah Baharum, 48, pula tidak menjangka perkenalan sekitar empat bulan lalu dapat sama bersama dalam majlis hari ini.

"Kami bersyukur kerana dalam masa kurang setahun menduda dan keseorangan, dapat bersama menjadi pengantin kali kedua," ujar Zakaria sambil tersenyum ke arah isteri tersayang.

Majlis jamuan berlangsung sehingga jam 5 petang yang dilayani oleh petugas-petugas yang dilantik termasuk Briged Amal.

Sebelah malam, satu forum berkaitan pernikahan diadakan dengan panelisnya Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor dan artis yang baharu sertai PAS, Bob Lokman.

Kerajaan Selangor batal rancangan pembangunan komersil di Taman Subang Ria

Posted: 26 Mar 2011 04:41 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor membatalkan rancangan pembangunan komersil di atas tapak seluas 7.6 hektar di Taman Subang Ria yang berada di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan negeri mengambil kira rintihan dan bantahan sebahagian besar penduduk Subang Jaya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Tambahan pula katanya, usaha mencari penyelesaian terbaik bersama Sime Darby tidak mendapat kerjasama dari syarikat tersebut.

"Selepas diteliti secara perinci syarat-syarat rancangan tempatan, didapati kawasan seluas 19 ekar yang dicadangkan itu tidak sepatutnya dibangunkan untuk pembangunan komersil.

"Sehubungan itu, selepas proses ini, rancangan pembangunan komersil di tapak seluas 19 ekar akan dikeluarkan dari Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2020, bermula hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid berkata dengan pembatalan rancangan pembangunan itu, seluruh kawasan Taman Subang Ria akan dikekalkan untuk kegunaan rekreasi.

Taib Mahmud sahkan pertahan kerusi DUN Balingian

Posted: 26 Mar 2011 04:38 PM PDT

BERNAMA

MUKAH — Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Balingian dalam pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

"Anda tanya saya apakah saya akan bertanding di Balingian, ya ... itulah sebab saya berada di sini hari ini untuk melawat pejabat ini," katanya ketika ditanya oleh wartawan semasa kunjungan singkatnya ke Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Balingian di sini.

Taib berkata parti itu akan meletakkan kira-kira 25 peratus muka baru.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) negeri juga sedang dalam proses membereskan senarai calonnya.

"Setelah kami membereskannya, saya akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk pengesahan beliau, mungkin pada 1 atau 2 April," katanya.

Mengenai kemungkinan BN meletakkan lebih ramai calon wanita, Taib berkata sebelum ini terdapat empat hingga lima orang yang berpotensi.

"Tapi mereka menolak kerana komitmen keluarga, pertimbangan kerjaya dan faktor-faktor lain," katanya.

Ditanya tentang persiapan PBB, beliau berkata parti itu cukup bersedia sekarang untuk menghadapi pilihan raya.

Tentang beberapa orang penyandang yang membayangkan baru-baru ini bahawa mereka tidak mahu dicalonkan semula, Taib berkata ini adalah petanda demokrasi yang positif tapi "tentulah tidak ada orang yang boleh kekal di situ selamanya."

DUN Sarawak: Najib teliti senarai lebih satu nama setiap kerusi

Posted: 26 Mar 2011 04:38 PM PDT

BERNAMA

KLUANG — Datuk Seri Najib Razak akan meneliti lebih daripada seorang calon bagi setiap kerusi yang ditandingi untuk dipertimbangkan pada pilihan raya negeri Sarawak yang berlangsung 16 April ini.

Perdana Menteri berkata, kriteria calon yang akan dipilih ialah pemimpin terbaik untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) di di negeri itu.

"Ya, saya akan adakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak tidak lama lagi.

"Kita akan pilih calon-calon yang berpotensi dan terbaik pada masa untuk menang," katanya semasa ditanya mengenai kriteria calon yang akan ditampilkan BN pada pilihan negeri itu bulan depan.

Najib ditemui selepas merasmikan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ditanya adakah beliau ada rekod sendiri mengenai calon-calon yang akan dipertimbangakan, perdana menteri menjawab: "Itu rahsia."

Menurutnya, pada kebiasaannya senarai nama calon yang diberikan untuk dipertimbangkan lebih daripada satu nama.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapakan hadir penamanan calon pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ditetapkan pada 6 April manakala hari penamaan calon pada 16 April ini.

Tiada ulasan: