Khamis, 17 Mac 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anak peneroka saman pejabat tanah

Posted: 17 Mar 2011 06:41 AM PDT

Khairil Abdul Rahim

BERA: Seorang anak peneroka Felda Bukit Mendi, Roslan Abu Bakar, hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh terhadap Pejabat Tanah Bera kerana mendakwa berlaku penipuan dan tuntutan palsu terhadap tanah arwah ayahnya.

Roslan, 50, yang kini menetap di Kula Lumpur, berkata ayahnya Mohamad Nor @ Abu Bakar Sulaiman telah beberapa kali menerima surat amaran tuntutan cukai tertunggak dan notis 6 A berjumlah sehingga RM3,000

"Beberapa bulan sebelum kematian ayah saya, arwah juga ada menerima surat yang sama dari Pejabat Tanah Bera sehingga dia merasa sangat takut dan sanggup menjualkan tanah pusaka arwah ibunya yang terletak di Negeri Sembilan.

"Apabila semakan dibuat melalui penyata pada tahun 2004, iaitu pada kali terakhir ayah saya membayar cukai, ia tertunggak hanya RM1,309. Saya syak berlaku penipuan kerana cukai tanah sebelum itu hanya RM205," ujarnya.

Menurut Roslan, ada kemungkinan wang cukai yang dibayar ayahnya cukai tanah yang dalam proses tanam semula pada tahun 1998 hingga beliau bersama ayahnya mengambil alih dan memulihkan ladang yang diberikan Felda itu pada 2003.

Tambahnya, dalam tempoh itu (1998 hingga 2003) Felda hanya membayar cukai sebanyak RM199 sebulan.

"Saya mahu penyiasatan dans eterusnya tindakan undang-undang diambil terhadap penipuan dan tuntutan palsu oleh Pejabat Tanah Bera selain daripada menebus maruah ayah saya yang kononnya cuai dan culas untuk membayar cukai.

"Tindakan salah itu bagi kami amat menyusahkan dan memalukan juga menyebabkan kami sekeluarga tidak dibenarkan untuk mengadakan bicara kuasa sejak 2008," jelasnya.



Orang Cina faham Kelantan haram premis judi

Posted: 17 Mar 2011 06:35 AM PDT

M Faqih

KOTA BHARU: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnun atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.

"Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam.

"Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat.

"Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji Penasihat Undang-Undang," katanya pada persidangan media selepas perjumpaan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama perjumpaan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nor Manuty dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyerbu premis yang disyaki menjual tiket loteri.

Loke berkata, beliau dan Liew menyatakan pandangan DAP terhadap isu loteri kepada Menteri Besar.

"Hanya penjualan loteri yang jadi isu baru-baru ini. Dan kita berpuas hati dengan perbincangan hari ini. Kita menghormati judi adalah haram kepada orang Islam.

"Hanya menjadi persoalan kepada bukan Islam membeli loteri kerana ia dibenarkan di peringkat pusat, dan kerajaan negeri bersedia mengkaji spesifik isu loteri.

"Dan kalau dibenarkan selepas dilihat dari aspek undang-undang kita perlu melihat semula bagaimana melaksanakan perkara ini," ujarnya.

Beliau juga berkata, loteri sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tionghua sejak sekian lama.

Beliau yang juga anggota parlimen Rasah berkata, dalam isu judi bola sepak DAP awal-awal lagi menentang ketika perbahasan di parlimen.

Mustafa pula kerajaan Kelantan menyerah kepada Penasihat Undang-Undang (LA) untuk mengkaji isu penjualan tiket loteri yang tidak membabitkan premis.

Ini kerana kegiatan perjudian yang memerlukan premis memang tidak boleh di Kelantan, tetapi dalam konteks tanpa premis lesen judi itu diluluskan kerajaan pusat.

"Kuasa kerajaan negeri premis di bawah peraturan PBT, tetapi kalau kegiatan judi yang tidak memerlukan premis inilah yang LA hendak kaji.

"Kalau mereka jual di tepi sungai kita pun tidak tahu, macam mana hendak buat. Itu maksudnya. Tengok dahulu apa hasil yang dikaji LA," ujarnya.

Beliau juga berkata, pertemuan dengan Menteri Besar hari ini bagi menerangkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat yang lepas berkaitan isu berkenaan.

Cuma kata beliau apa yang dilaporkan beberapa akhbar tidak tepat berkaitan kenyataan dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan Anwar menegur Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berbangkit sama sekali kerana apa yang dilaporkan media berlainan.

"Keputusan diambil kita serah kepada kebijaksanaan negeri Pakatan masing-masing. Pulau Pinang macam mana pendekatan yang mereka hendak diambil.

"Kelantan sudah lama diketahui sikapnya. Tidak semesti apa yang dilakukan Kelantan negeri Pakatan Rakyat lain pula hendak ikut, jadi terpulang di atas kebijaksanaan dan autoriti negeri terbabit," tambahnya.

Dalam kenyataan sebelum itu Menteri Besar berkata, isu larangan penjualan tiket-tiket loteri Big Sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap, kerajaan negeri sedia menelitinya.

"Kita serahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan yang ada," katanya.

Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.

Apabila rakyat Saudi bangkit

Posted: 17 Mar 2011 12:55 AM PDT

Suhaimi Mokhtar

Momentum arus revolusi kebangkitan rakyat kini melimpah menuju ke Saudi Arabia. Di sebelah timur negara itu yang mempunyai penduduk majoriti Syiah rakyat telah bangkit berdemonstrasi di jalanraya beberapa hari lalu dan bertekad untuk mengadakannya secara besar-besaran pada hari Jumaat selepas solat Jumaat.

Demonstrasi yang diadakan setakat ini telah dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa Saudi Arabia, tetapi ia tidak mematahkan semangat penganjur-penganjur yang mahu meneruskan tunjuk perasaan setelah mendapat inspirasi dari revolusi di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan seluruh Negara di Jazerah Arab yang lain.

Tiada sebuah negarapun yang akan terkecuali dari menerima bahana, tempias, bahang percikan api revolusi rakyat yang melanda seluruh jazerah Arab ini. Jika Saudi Arabia tidak terkecuali dari menerima percikan revolusi rakyat ini, maka tiada negara jazerah Arab lagi yang mampu membendungnya.

Kebangkitan rakyat di Saudi Arabia ,walaupun bermula di sebelah timur negara itu, tetapi ia mempunyai kepentingan tertentu kerana Saudi Arabia merupakan negara di mana terdapatnya dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah yang menjadi destinasi kunjungan umat islam seluruh dunia sepanjang tahun untuk melakukan ibadah umrah dan mengerjakan ibadah haji setiap tahun pada musim haji.

Sebarang kebangkitan revolusi rakyat di Saudi Arabia tetap melibatkan umat Islam seluruh dunia kerana kedudukan stratijik Saudi Arabia sebagai yang sering diuar-uarkan oleh pemerintah Saudi Arabia bahawa mereka adalah pengawal haramain atau 'dua tempat suci umat Islam'.

Di samping implikasi kebangkitan di Saudi Arabia melibatkan umat Islam seluruh dunia ia juga boleh dianggap mempunyai implikasi melibatkan dunia seluruh kerana Saudi Arabia merupakan negara pengeluar dan pembekal minyak yang terbesar didunia yang mengeksport petrolnya ke Amerika Syarikat (AS) dan ke negara-negara Eropah.

Di Saudi Arabia juga terdapatnya pengkalan tentera AS yang terbesar. Semua ini membawa implikasi apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara yang kaya dengan minyak dan negara yang menjadi pengawal dua tempat suci umat Islam itu.

Kebangkitan rakyat yang bermula di sebelah timur negara itu tidak akan terhenti di wilayah itu sahaja. Ia menunggu masa sahaja untuk melimpah ruah seperti air banjir, merebak ke wilayah-wilayah lain tidak terkecuali Mekkah dan Madinah, dua tempat suci yang menyentuh hati nurani umat Islam. Perlu diingat Mekkah pernah mengalami kebangkitan beberapa dekad lalu, dalam peristiwa berdarah rampasan Masjidul Haram yang terdapat di tengah-tengahnya, Kaabah, kiblat solat umat Islam seluruh dunia, tetapi ia telah dapat dipatahkan dengan segera oleh pemerintah Saudi Arabia.

Tetapi kebangkitan kali ini amat berbeza dari kebangkitan beberapa dekad lalu. Kali ini ia adalah kebangkitan rakyat yang mendapat ilham dari kebangkitan yang melanda seluruh jazerah Arab.

Bukan setakat kebangkitan di Saudi Arabia sahaja yang membawa implikasi besar terhadap umat Islam di seluruh dunia, tetapi sebenarnya kebangkitan revolusi rakyat yang bermula di Tunisia dan kemudian diikuti di Mesir turut mempengaruhi lanskap politik negara umat islam seluruh dunia dimana sahaja mereka berada.

Revolusi rakyat di Tunisia dan Mesir walaupun telah berjaya menumbangkan Ben Ali dan Hosni Mubarak, dua rejim diktator yang zalim dan menindas rakyat, tetapi ia belum lagi selesai sepenuhnya. Reformasi yang didesak oleh rakyat belum lagi dipenuhi sepenuhnya dan banyak pihak kelihatan sedang cuba menghajick revolusi rakyat di kedua negara berkenaan.

AS dan sekutu baratnya cuba memilih calun yang dapat mewarisi pimpinan Ben Ali dan Mubarak supaya kesinambungan polisi berlaku di negara-negara itu untuk kepentingan survival rejim zionis Yahudi sebagaimana yang dipertahankan oleh Ben Ali dan Mubarak.

Kini muncul nama-nama calun presiden yang bakal bertanding dalam pilihanraya Mesir ,iaitu Amr Musa, Setiausaha Agong Liga Arab, Muhammad El-Baradie, bekas pengarah IAEA di bawah PBB yang menyelia projek nuklear negara anggota termasuk Iran. Kedua mereka ini dikenali di AS dan barat, mereka rapat dengan kepimpinan AS dan barat dewasa ini. Walaupun dijangkakan jika mereka ditakdirkan menarajui Mesir, mereka tidak akan memimpin sekejam Mubarak, kerana Mesir selepas Mubarak akan lebih demokratik dengan reformasi politik yang sedang berlangsung. Tetapi AS dan barat lebih senang dan aman berkerjasama dengan tokoh-tokoh yang mereka kenali.

Bagaimana pun,Mesir pasca Mubarak tetap tidak sama lagi seperti sebelumnya. Dalam perubahan lanskap politik baru Mesir, akan muncul tenaga Islam dalam kalangan kepimpinan Ikhwan Muslimin untuk menyertai pilihanraya demokratik yang akan menjadi kuasa penentu bagi politik Mesir. Inilah yang dibimbangi washinton dan kota-kota barat lain. Keadaan yang sama juga akan mengambil tempat di Tunisia. Nama Rachid Ghanuchi yang baru pulang dari buangan di London dijangkakan akan menyertai pilihanraya dan menjadi tenaga politik baru di Tunisia.

Belum pun revolusi rakyat di Mesir dan Tunisia mencapai matlamat sepenuhnya, kini revolusi rakyat di Libya sedang menghadapi ujian pahit apabila pemimpin Libya enggan tunduk kepada kuasa rakyat yang mengakibatkan huru-hara perang saudara berterusan hingga kini.

Ghadafi mendakwa Al-Qaeda menimbulkan kebangkitan rakyat di Libya,tetapi setakat ini tidak sepatah pun kenyataan yang keluar dari Osama Ben Ladin tentang penglibatan Al-Qaeda. Tangkapan terhadap beberapa orang yang dikatakan operator Al-Qaeda yang membuat pengesahan penglibatan mereka melalui media tidak boleh digunapakai kerana mereka mungkin diupah dalam perang saraf dan propaganda yang sedang berlangsung sekarang antara kumpulan pro dan anti Ghadafi.

Campurtangan AS dan kuasa barat terutama Peranchis dan Britain yang akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan PBB, zon larangan penerbangan di langit Libya akan memberi Ghadafi senjata yang dimahukannya untuk menyeret bahawa kuasa-kuasa ini terlibat dalam menim bulkan kebangkitan rakyat di Libya. Ini sementelah lagi apabila Peranchis dan Britain telah mengiktiraf Majlis Nasional di Benghazi yang anti Ghadafi sebagai pemerintah baru Libya.

Perang saudara yang makin meluas diLibya sekarang menyebabkan kebangkitan revolusi rakyat di Yaman, Bahrian, Jordan, Oman, Algeria, Maghribi dan lain-lain negara tenggelam dipintas oleh apa yang sedang berlaku di Libya.

Hakikatnya kebangkitan yang berlaku di bumi-bumi umat Islam berkenaan tidak kurang panas dan gentingnya, apabila rakyat yang bangkit menolak percubaan pihak berkuasa negara-negara berkenaan yang cuba bertolak ansor dengan memenuhi beberapa tuntutan revolusi rakyat.

Di Yaman, kebangkitan rakyat menolak reformasi yang cuba diperkenalkan oleh Presiden Ali Abdullah Salleh untuk mengadakan pilihanraya parlimen yang nanti bakal menentukan presiden repablik itu. Mereka menyatakan konsesi itu terlalu kecil dan telah terlambat. Mereka mahukan Ali Abdullah meletakkan jawatan dan mereka tidak akan berkompromi dari tuntutan itu. Desakan dan agitasi yang serupa dihadapkan kepada pemerintah Bahrian dan beberapa negara lain yang sedang bergolak.

Ketika konflik perang saudara terus berlangsung di Libya, kebangkitan rakyat di negara-negara persekitaran jazerah Arab itu akan berterusan apabila pemerintah-pemerintah ini mempertahankan pemerintahan masing-masing dan menolak agitasi rakyat.

Di Saudi Arabia pakej rangsangan dan bantuan ekonomi berjumlah berbilion dollar untuk rakyat dan kenaikan gaji tidak dapat membendung kemarahan rakyat terhadap pemerintahan keluarga di raja Saudi Arabia. Tetapi pemerintah Saudi Arabia telah memberi amaran untuk bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk membangkitkan revolusi rakyat di Saudi Arabia.

Mampukah pemerintah Saudi Arabia menanggani dan sekaligus membendung kebangkitan? Saudi Arabia dijangka akan bertindak keras dan tegas terhadap sebarang kebangkitan rakyat dan amaran untuk memotong jari-jari mereka yang cuba menimbulkan kebangkitan telah dikeluarkan oleh Menteri Luar Saudi, Putera Suad Al-Faisal baru-baru ini.

Pemerintah Saudi Arabia memang mengharamkan sebarang tunjuk perasaan di negara beraja itu dan baru-baru ini pemerintah negara itu mengeluarkan kenyataan keras menolak sebarang campurtangan asing dinegara itu. Kenyataan itu dikatakan ditujukan kepada Iran dan bagi menjawab kenyataan Setiausaha Luar AS, Hillary Clinton yang menegaskan bahawa rakyat Saudi berhak untuk menyuarakan haknya melalui demonstrasi aman.

Lihat nanti bagaimana Saudi Arabia menanggani kebangkitan rakyatnya dan bagaimana pula sikap AS dan barat terhadap tindakan keras dan tegas sekutu kuatnya dalam membendung kebangkitan rakyat Saudi yang mahukan reformasi di semua bidang termasuk politik, ekonomi, kebebasan dan hak rakyat untuk bersuara.

Kerajaan digesa bela nasib generasi kedua Felda

Posted: 17 Mar 2011 12:54 AM PDT

Khairil Abdul Rahim

KUANTAN: Kerajaan digesa mengambil serius nasib dan masa depan generasi kedua Felda daripada terlalu berpolitik dengan menjanjikan pelbagai imbuhan dan wang kepada komuniti itu.

Anak seorang peneroka Felda dari Kota Gelanggi 1, Kamarul Hatta Mohamed Ali, 42, berkata, selain peneroka generasi kedua di tanah-tanah rancangan yang berjaya juga sepatutnya diberi banyak peluang supaya mereka tidak berhijrah.

Tambahnya, apabila mereka yang mendapat pendidikan formal dan berkemahiran tinggi tidak diberi ruang akhirnya terpaksa membina kerjaya dan kehidupan di luar Felda sehingga tinggallah generasi kedua yang sesetengahnya bermasalah.

Menurut Kamarul, pengalaman berkempen di kawasan Felda pada pilihan raya kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini beliau banyak bertemu generasi kedua dan ketiga yang pulang ke Felda untuk mengundi, rata-rata tidak puas hati kerana tiada peluang pekerjaan di tanah rancangan sehingga terpaksa berhijrah ke ibu kota mencari rezeki dengan meninggalkan ibu bapa yang telah tua.

"Anak peneroka sepatutnya diberi peluang membina kerjaya dalam rancangan Felda seluruh negara melalui peningkatan peluang pendidikan dan kemahiran dengan misi agar pengurusan Felda kelak akan di tadbir oleh anak-anak peneroka.

"Anak-anak peneroka yang telah terbukti berjaya di luar patut dibenarkan lebih ramai bekerja dalam anak-anak syarikat Felda. Apa yang berlaku tidak begitu, contohnya kontrak-kontrak yang diserahkan oleh Felda Plantation dan Technoplant kebanyakannya dijalankan oleh orang-orang luar," ujarnya

Tambah Kamarul, akibatnya anak-nak peneroka terpaksa bekerja sebagai kuli kepada kontraktor luar yang mengusahakan ladang-ladang bapa mereka.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak mengambil berat pendedahan daripada Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa kadar jenayah di Felda semakin meningkat setiap hari.

"Isu ini tidak boleh di pandang remeh. Dimana peranan pengurusan Felda didalam menyelesaikan masalah ini? Sehingga kini tiada satu usaha pun dilihat bagi membendung masalah gejala sosial dan maksiat.

"Tidak adakah rasa simpati dengan sesetengah generasi kedua dan ketiga yang masih terpaksa menumpang sebumbung dengan ibu bapa walaupun sesetengahnya sudah berkeluarga. Jadi Felda yang sudah maju dengan hasil titik peluh peneroka sepatutnya memberi kemudahan perumahan untuk mereka.

"Bagi menjamin pengeluaran hasil berterusan di samping nasib anak Melayu terbela, anak-anak peneroka patut digalakkan terlibat dalam pengurusan ladang dan persekitaran melalui agihan dan memajukan lot-lot tanah kosong untuk keperluan mereka," katanya.

Dalam pada itu Kamarul mendesak kerajaan negeri Pahang supaya mempercepatkan proses pemberian geran tanah setelah peneroka menjelaskan bayaran kembali dan menaik taraf penempatan Felda yang telah mendapat hak milik.

Katanya, beliau diberitahu kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah bertungkus lumus menyelesaikan masalah geran kepada peneroka

Judi: Kelantan dukacita Pusat lulus lesen

Posted: 17 Mar 2011 12:51 AM PDT

Harakahdaily

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno BN di peringkat Pusat adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan kerajaan negeri tetap berpendirian menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan.

"Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Sebagaimana semua pihak sedia maklum bahawa polisi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 adalah berteraskan prinsip pentadbiran Islam. Dalam isu pengharaman premis judi dan perjudian haram, kerajaan negeri sedia melaksanakan pematuhan kepada ajaran Islam yang tidak membenarkan penganutnya berjudi atau terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan perjudian.

Begitu pula, sebelum pelaksanaan penguatkuasaan larangan premis judi dan aktiviti perjudian dibuat pihak kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak di luar kerajaan. Antaranya berunding dengan badan-badan NGO dan wakil-wakil dari semua agama seawal 1991.

Hasilnya telah sepakat dan bersetuju dengan hujah bahawa perjudian wajar dilarang atas pendirian bersama bahawa perjudian memberi banyak keburukan daripada kebaikan dan mudaratnya sehingga boleh membawa seseorang itu menjadi muflis, mengalami kerosakan dan kehancuran kerukunan rumah tangga.

Perjudian melupakan 'akal fikiran' manusia, menyebabkan manusia hanya berserah kepada 'nasib'. Apa kata kalau manusia menyerahkan kepada nasib semata-mata dalam semua aktiviti hidup? Pasti akan jahanam dan porak-peranda. Manakala perniagaan dihalalkan kerana berniaga mencetuskan aktiviti rasional manusia.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah diarah menggubal peraturan penguatkuasaan yang tidak membenarkan mana-mana premis menyediakan khidmat perjudian dan aktiviti berkaitan. Penguatkuasaan itu adalah selari dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri big sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada legal adviser untuk melihat dari sudut perundangan yang ada.

Apa pun, pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno-BN di peringkat Pusat sana adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain.

Sekian. Terima kasih.

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Kemana Proton selepas AFTA 2015?

Posted: 17 Mar 2011 12:50 AM PDT

Dr Dzukefly Ahmad

Sekali lagi persoalan keisiapsagaan negara khususnya kereta nasional Proton dan Perodua menjadi satu yang dipertikaikan. Persoalan besar rakyat yang menantikan jawapan dari kerajaan masih tidak lagi terjawab.

Umum tahu bagaimana selama ini kerajaan telah melindung kereta nasional dengan mengenakan regim tarif dan eksais yang tinggi atas kereta-kereta impot dan tempatan sehingga harga kereta-kereta impot termasuk kereta nasional kita contohnya model Waja tempatan adalah dua kali ganda berbanding di saudi Arabia.

Perlindungan itu juga datang dalam bentuk grant R&D dari kerajaan. Tinjauan laporan kewangan untuk tiga tahun mutakhir PROTON mendapati bahawa andainya tidak dibantu dengan pemberian grant, maka PROTON akan berada dalam defisit dan kerugian (in the red).

Dalam tahun 2008, laporan tahunan menyebutkan keuntungan bersih (nett profit) sebanyak RM184.5 juta tetapi melaporkan juga tentang grant R&D dari kerajaan sebanyak RM193.7juta. Kalau tidak tentunya rugi sebanyak RM9.2 juta.

Tahun 2009 melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM301.8 juta. Gran R&D diberikan sebanyak RM80.7 juta. Tahun 2010 melaporkan keuntungan bersih RM289 juta tetapi dalam waktu yang sama mendapat gran R&D sebanyak RM143 juta yakni setengah dari keuntungan bersihnya.

Kerajaan diingatkan bahawa negara-negara jiran telah pun besiap dengan pelbagai pendekatan. Malaysia sehingga kini masih belum nampak bersedia.

Thailand contohnya, akan meningkatkan dan bakal mengeluarkan sebanyak 3 juta unit kereta dalam tahun 2015. 2 juta adalah keperluan ekspot dan 1 juta unutk keperluan domestik. Terdapat 7 syarikat antarabangsa – 2 dari Amerika Syarikat (Ford dan General Motor) dan 5 dari Jepun (Toyota, Nissan, Mitsubishi, Honda dan Isuzu). Mereka jelas memilikki dayasaing dan berjaya mendapat penglibatan pengeluar-pengeluar besar automobil antarabangsa.

Begitu juga Indonesia yang telah merangka langkah-langkah konkrit untuk berdepan dengan persaingan yang lebih sengit selepas penguatkuasaan AFTA nanti. Indonesia akan meningkatkan pengeluaran mereka sebanyak 2 juta unit – 1juta untuk ekspot dan 1juta untuk keperluan domestik.

Perlu diketahui bahawa peningkatan ini dipacu sebagai pemangkin utamanya oleh SMEs dari negara Jepun dan bukan syarikat-syarikat besarnya seperti yang disebut tadi. Jelasnya Indonesia juga telah berjaya mengamit pelaburan dari SMEs dari Jepun sekaligus membuktikan bahawa mereka lebih 'kompetitif' atau berdaya saing berbanding kita sendiri.

Persoalan besar dan strategik yang menjadi kritikal kepada kereta nasional sekarang ini adalah tergantung kepada faktor 'economy of scale' atau faktor 'skala ekonomi'. Persaingan selepas penguatkuasaan AFTA pada tahun 2015 tidak lagi akan mengizinkan kereta nasional dilindungi dengan dasar "Protectionism" samada dengan kaedah Tariff dan Eksais mahupun pemeberian gran termasuk pelbagai lagi cara.

Saya juga menyedari akan usaha kerajaan meningkatkan daya saing pengeluar komponen dan alat ganti serta meningkatkan sumbangannya dalam industri automotif dan ekonomi, dana Pembangunan Automotif (ADF) dan Dana Penyelarasan Industri (IAF) akan diteruskan.

Namun persoalan besar sehingga kini adalah kegagalan Proton mendapatkan rakan strategik yang sekaligus akan mampu melonjakkan sektor automobil ini menjana 'skala ekonomi' atau economy of scale' dengan memenafaatkan keupayaan teknologi 'niche' rakan strategiknya seperti kereta elektrik contohnya, serta rangkaian pasaran yang lebih luas dan 'branding' global rakan berkenaan..

Malaysia diingatakan bahawa kita hanya mampu menjual sejumalah 620,000 unit tahun lalu. Tuntutan 'economy of scale' menuntut supaya kita mengeluarkan paling tidaknya 10,000 unit sebulan. Kalau benar-benar kita mahu mendayasaingkan kereta nasional kita selepas AFTA 2015, maka tidak ada caranya untuk kita lakukan kecuali dengan mendapatkan rakan strategikyang hebat sekaligus menyelamatkan 250 syarikat vendor dan 'dealers' dalam sektor automobil nasional ini.

Berdepan dengan penguatkuasaan AFTA, saya dari PAS dan Pakatan Rakyat, tidak nampak kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit ke arah mendepani cabaran AFTA-2015 dan menggesa kerajaan supaya memberi fokas kepada penyelesaian ini termasuk menganjurkan kaedah "Merger dan Acquisition" samada di antara Proton dan Perodua serta juag di antara syarikat vendors dan dealers bagi meningkatkan dayasaing dalam matlamat rasionalisasi dan konsolidasi.

Dr Dzulkefly Ahmad

Ahli Parlimen Kuala Selangor

Pengguna terbeban, CAP gesa harga kekal rendah

Posted: 17 Mar 2011 12:47 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga ayam di pasaran tempatan.

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, penjual ayam yang ditemubual mendakwa harga ayam yang dibekalkan kepada mereka oleh pihak pemborong telah meningkat dan berbeza-beza serta secara tidak tetap.

Katanya, alasan bagi kenaikan harga yang diberikan oleh pemborong ialah ladang ternakan mereka telah terjejas oleh banjir yang melanda Johor baru-baru ini.

"Untuk mengatasi kenaikan harga yang mendadak ini, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya membuka pasaran untuk lebih banyak ayam hidup yang diimport daripada negara jiran," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, tambahnya akan membantu untuk menstabilkan harga sehingga hasil keluaran tempatan kembali kepada keadaan biasa.

Menurutnya, pengguna sudah pun terbeban dengan harga makanan yang meningkat dan setiap langkah perlu diambil bagi memastikan harga kekal rendah.

CAP juga, katanya menggesa Kementerian Pertanian melalui agensi pemasarannya FAMA supaya membantu keadaan ini dengan memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mengedarkan hasil tempatan.

Jawi biar Umno guna tanah wakaf tanpa sewa?

Posted: 17 Mar 2011 12:46 AM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mendakwa Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyalahgunakan tanah wakaf apabila membiarkan Umno Bahagian Titiwangsa menggunakannya sebagai bilik gerakan.

Lo' Lo' berkata, sebagai tanah wakaf yang diamanahkan kepada Jawi, kementerian berkaitan tidak seharusnya membiarkan perkara itu berlaku kerana ianya satu amanah kepada Jawi apatah lagi bil air dan elektrik dibiayai oleh Jawi.

Menurutnya, tanah yang terletak di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu dahulunya digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara namun diberikan kepada Umno Titiwangsa beberapa tahun dahulu.

"Saya ingin dapatkan penjelasan daripada menteri yang menjaga hal ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, ada satu tanah di Keramat yang dulunya pernah menjadi pejabat pendaftaran dan saya difahamkan tanah itu kepunyaan Jawi dan kemungkinan besar adalah tanah wakaf.

"Saya difahamkan Umno tak bayar sewa sedangkan kalau ini adalah tanah wakaf ia adalah satu amanah kepada Jawi untuk memastikan untuk dapat sewaan. Air dan elektrik dibayar oleh Jawi," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, perkara itu pernah diadukan kepada Jawi tetapi pihak Jawi tidak melakukan apa-apa tindakan.

"Saya pernah bangkitkan kepada pengarah Jawi dan Menteri yang bertanggungjawab. Mereka kata apa salahnya mereka (Umno) guna, tak apalah sesama Islam," katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membangunkan pasar Chow Kit yang sudah usang.

"Saya mohon kerajaan buktikan kepada rakyat dengan bangunkan pasar Chow Kit. Pasar Chow Kit itu daripada dahulu macam itulah rupanya.

"Kalau jumlah RM20 juta boleh diberi kepada Masjid Jamek saya minta jumlah saya diberi untuk pembangunan Chow Kit.

"Buktikan kalau serius nak bangunkan kawasan perniagaan, bangunkan Chow Kit, jangan sampai orang nampak seperti pasar koboi," katanya

Demo aman bantah politikkan DNA Anwar

Posted: 17 Mar 2011 12:42 AM PDT

Fakhri Ali

NIBONG TEBAL: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dengan kerjasama AMK Nibong Tebal, PAS dan DAP mengadakan demonstrasi membantah tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Amir Md Ghazali ketika mengetuai demonstrasi aman di perkarangan tol Jawi petang tadi, berkata, bantahan yang diadakan oleh badan bukan kerajaan atau NGO kebelakangan ini adalah didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Mereka cuba campur tangan dalam kes yang melibatkan perbicaraan mahkamah. Sepatutnya kes yang sedang dibicarakan jangan dipolitikkan semata-mata untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Apabila kes ini cuba ditangani secara rakus dan protes, akhirnya kuasa mahkamah itu sendiri tercalar. Sepatutnya sebagai sebuah parti yang menggelarkan diri mereka sebagai matang dan profesional, Umno dan BN tidak seharusnya menjadi dalang dalam mempolemikkan isu ini.

"Sekiranya isu DNA ini boleh mereka desak, protes dan demo, apakah kita boleh mengharapkan adanya keadilan dalam menangani isu yang melibatkan Datuk Seri Anwar ini," tanya beliau lagi.

Tambahnya lagi, protes aman itu adalah bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa DNA milik Anwar tidak boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan politik mereka.

"Kami AMK tetap mempertahankan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim dari disalahgunakan oleh Umno dan BN. Kami juga menuntut supaya Datuk Seri Najib supaya tidak memperalatkan sistem keadilan dalam negara, semata-mata untuk menguburkan karier politik Anwar yang menjadi cabaran besar kepada Umno dan BN selama ini," ujarnya lagi.

Baiki rumah: Jangan ugut supaya undi BN

Posted: 17 Mar 2011 12:38 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan rakyat yang diberikan bantuan membaiki rumah supaya tidak ada diskriminasi politik kepartian dan jangan ada unsur ugutan supaya memangkah BN.

"Berilah kepada yang berhak, bukan diberikan kepada kroni BN semata-mata.

"PAS mengharapkan seluruh jentera parti Pakatan Rakyat akan pantau projek ini supaya tidak wujud pilih kasih, kerana wang ini ialah wang rakyat bukan wang Umno BN," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Justeru, katanya betapa untungnya rakyat Malaysia apabila pembangkang kuat, maka manfaat akan melimpah kepada rakyat bawahan.

Pembangkang yang kuat akan menjadi kuasa pengimbang kepada kerajaan BN.

Beliau mengulas pengumuman Peredana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah meluluskan peruntukan untuk membina 10,000 rumah orang susah dengan setiap rumah diberikan peruntukan RM5,000 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM50 juta.

Ini, katanya adalah agenda untuk menyantuni rakyat sebagai halwa pilihan raya yang semakin hampir.

"Alangkah baiknya jika dana untuk rakyat digunakan dengan baik, maka tidak timbul peruntukan untuk 10,000 rumah yang daif perlu dibaiki," katanya.

Katanya, kesemua itu terjadi kerana wang dana orang miskin RM32 juta lesap ditelan oleh Ooi Kee Siang, seorang tauke pokok orked di zaman Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Begitu juga, katanya saham Bumiputera RM52 bilion lesap di tangan penguasa yang rakus sehingga rakyat menjadi susah.

Beliau menambah, kayu ukurnya hampir 54 tahun merdeka kehidupan rakyat terutama di Sabah dan Sarawak seperti 10 tahun mencapai kemerdekaan, walaupun hasil mahsul di perut bumi begitu kaya.

Menurutnya, sememangnya pemimpin Umno suka rakyat miskin, supaya senang menjadi umpan pilihanraya.

Sepatutnya, tamb ah beliau pemimpin Umno kena malu kepada rakyat, walaupun hampir 54 tahun merdeka masih terdapat 10,000 rumah yang daif yang memerlukan bantuan untuk diperbaiki.

"Pengalaman saya berada di Miri melihat kawasan perumahan di Kampung Pasir, terletak di belakang pejabat Petronas Carigali Miri," jelasnya.

Menurutnya lagi, penduduk yang tidak ada elektrik terpaksa menggunakan generator sendiri dengan kos setiap bulan melebihi seratus ringgit setiap rumah di mana kawasan yang diduduki hampir 30 tahun, majoriti ialah masyarakat Iban.

Beliau dimaklumkan setiap kali pilihan raya, maka dijanji bermacam-macam oleh calon BN, selepasmenang muka pun tidak nampak.

"Inilah watak yang diskimakan dalam budaya kepimpinan BN seluruh negara iaitu memperalatkan kemiskinan," katanya.

Bukan tuduhan melulu

Posted: 17 Mar 2011 12:36 AM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) menyanggah dakwaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa ahli Parlimen Pakatan Rakyat membuat tohmahan terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Zailah berkata, Pakatan Rakyat bukan membuat tuduhan melulu sebaliknya bercakap berdasarkan laporan media mengenai kenyataan Rosmah mengenai tsunami di Jepun baru-baru ini.

Rosmah seperti dilaporkan media berkata, tsunami yang berlaku itu adalah kerana kegagalan Jepun melaksanakan pembangunan yang mesra alam.

"Saya menyanggah kenyataan Menteri di JPM bahawa Pakatan Rakyat membuat satu fitnah (terhadap Rosmah) sedangkan kenyataan ini ialah realti dan dikeluarkan media," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Zailah yang juga Timbalan Muslimat PAS Pusat juga menyifatkan kenyataan Rosmah itu sebagai memalukan negara dan menggambarkan beliau kurang sensitiviti terhadap rakyat Jepun.

"Ini satu perkara tak bertaggungjawab yang dilakukan Rosmah, dalam keadaan Jepun menghadapi peristiwa menyayat hati seharusnya kita bersimpati.

"Beliau mengeluarkan kenyataan ini atas kapasiti sebagai wanita pertama negara, ini adalah perkara yang memalukan negara dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai penganjuran Festival Fesyen Islam (IFF) melibatkan Rosmah yang gagal dijelaskan Nazri meskipun ianya jelas menghina Rasulullah s.a.w dan Islam.

"Berkaitan IFF ini memang bercanggah dengan Islam sendiri, pakaian yang menjolok mata dan keadaan yang menghina Rasulullah s.a.w.

"Sebab itu kita tanya apa bidang kuasa sebenar wanita pertama sebab kita tak mahu dia mencampuri urusan yang bukan kepakarannya kerana itu menjejaskan imej negara," katanya.

Zailah ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di dalam dewan sebelum itu meminta Nazri menjelaskan bidang kuasa Rosmah kerana dilihat sering mencampuri urusan negara yang di luar bidang kuasanya.

Nazri dalam jawapannya terus berdolak dalik dengan menuduh Zailah dan Pakatan Rakyat yang lain membuat tuduhan tidak berasas mengenai kenytaan Rosmah berkaitan tsunami di Jepun.

"Ini memang stlye PAS, kalau nak baca baca sekerat je. Kena baca semua first lady (Rosmah) kata apa.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) kemudiaannya mencelah dengan meminta Nazri membacakan kenyataan itu secara penuh.

Nazri bagaimanapun meminta Pakatan Rakyat menghantar notis dahulu.

"Lain kali bagi notis dulu baru boleh baca. Bangun berdiri tanya terus macam mana?" katanya.

Berkenaan IFF pula, Nazri berkata ianya sebagai menghormati permintaan orang bukan ISlam.

"Majlis yang dijemput kita pergi. Kalau Yang Berhormat tak suka hadir fesyen show saya percaya ramai lagi yang suka. Di Malaysia 45 peratus bukan Islam, jadi ada perkara yang ada kaitan dengan orang bukan Islam yang kita perlu ambil kira," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin (kiri) pada sidang media sama berkata, bukan isu ianya dihadiri oleh bukan Islam tetapi yang dipersoalkan ialah pakaian yang diperagakan itu menghina Nabi Muhammad.

"Nazri kata IFF dituntut oleh orang bukan Islam. Itu bukan isunya tapi isunya ialah festival fesyen itu ialah festival Islam dan menunjukkan fesyen Islam tak kira siapa penontonnya," katanya yang juga Ketua Wanita PKR.

Terdahulu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta Perdana Menteri menyatakan peranan dan sumbangan kepada negara oleh wanita pertama negara dalam beberapa siri lawatan ke luar negara.

BN tanam pemikiran kuno untuk kekal kuasa

Posted: 17 Mar 2011 12:30 AM PDT

Harakahdaily

PARIT BUNTAR: BN selama ini memainkan sentimen menakutkan rakyat bagi mengekalkan kuasa di mana isu yang sering dipahat dalam ingatan rakyat ialah kononnya tanpa BN di Malaysia rakyat akan susah.

"Inilah pemikiran kuno dan sesat yang sering ditanam kepada rakyat demi untuk kekal berkuasa," kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri berkata, rakyat sering diingatkan oleh pemimpin BN supaya jangan ada rasa untuk menukar kerajaan.

Ini, katanya bagi merasai bagaimanakah jika Malaysia ditadbir oleh kerajaan selain BN, ia semakin menjadi-jadi apabila pilihan raya semakin hampir.

Katanya, kebimbangan BN semakin memuncak bila hampir dengan PRU dan mereka sanggup melalukan apa saja untuk menipu rakyat supaya terus menyokong BN.

"Sebenarnya Malaysia lebih selamat andai ditadbir oleh Pakatan Rakyat, perkara ini disokong dengan fakta kukuh di mana 4 negeri yang diperintah oleh Pakatan sekarang mendahului negeri BN dalam banyak hal dan isu," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Baginya, rakyat sudah matang berpolitik dan dapat menilai apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat lakukan kepada rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Selain itu, beliau juga mengesahkan bahawa selama 11 bulan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Perak merupakan suatu perkara yang akan dikembalikan oleh rakyat.

"Dan kita akan kembali diberi mandat oleh rakyat Perak sebagai kerajaan," katanya.

Khalil juga optomis bahawa semua kebaikan yang dilakukan di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat diketahui oleh pengundi di negeri lain walaupun media BN cuba menutup dan memutar belit fakta yang sebenar.

"Kerana itu media alternatif sangat ditakuti oleh pemimpin BN kerana ianya menjadi pilihan utama setelah media pro BN nampaknya sangat tidak adil dalam menyiarkan berita," katanya.

Oleh kerana itu, katanya Pakatan Rakyat berjanji untuk mengambil berat soal kebajikan rakyat dari segala aspek tanpa mengira agama dan bangsa.

"Kerana itu tawaran Pakatan seperti yang tercatat pada Buku Jingga program 100 hari Pakatan Rakyat adalah bukti yang jelas dari kami," ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyeru rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat dengan memenangkan calon-calon daripada PAS, DAP dan PKR dalam PRU ke 13 nanti.

Mufti Selangor Larang Pengedaran Kitab Injil Guna Kalimah Allah

Posted: 17 Mar 2011 12:24 AM PDT

TVS NEWS

SHAH ALAM : Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid mengesahkan 5,000 naskah Kitab Injil berbahasa Melayu dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia

tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah didalam Kitab Suci Kristian itu.

Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran Kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah "Allah" sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut di tarik balik, mengikut pengumuman Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang semalam.

Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam
Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu Kitab-Kitab Injil berbahasa Melayu itu yang diimport dari Indonesia.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," kata beliau.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan isu itu akan dibincangkan di mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat ini. Beliau menegaskan Jemaah Menteri harus berbincang isu itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak
Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah Kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum
dibenarkan pengedaran.

Syarat itu ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab
suci mereka.

"Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini," katanya.

Saman Taib Mahmud : Mahkamah Tolak Permohonan Malaysiakini

Posted: 17 Mar 2011 12:22 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Malaysiakini bagi mengenepikan saman fitnah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas portal berita itu.

Hakim, Datuk John Louis O' Hara ketika membuat keputusannya berkata, saman Taib tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana ia adalah kes nyata.

"Berikutan itu, permohonan mengketepikan saman ditolak," kata O' Hara.

Dalam penghakimannya,beliau juga menolak isu yang dibangkitkan oleh Malaysiakini, terutama hujah perbuatan saman itu menyalahgunakan proses mahkamah dan plaintif (Abdul Taib) tidak mempunyai alasan untuk mengambil tindakan terhadap defendan.

Kata hakim itu lagi, keputusannya berdasarkan Akta Fitnah dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau sehubungan itu juga mengarahkan Malaysiakini membayar kos RM10,000 kepada Taib.

Ketua menteri Sarawak itu pada 2007 menyaman Malaysiakini dengan dakwaan memfitnahnya apabila portal berita bebas itu menyiarkan beberapa laporan dengan memetik sumber daripada akhbar-akhbar Jepun.

Beliau mendakwa 12 artikel yang diterbitkan dari 6 April hingga 3 Mei 2007 itu mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Artikel berkenaan mendedahkan pihak berkuasa Jepun menahan ahli kumpulan kartel perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak.

Ahli kartel itu didakwa membayar Regent Star, sebuah syarikat kilang kertas yang berpangkalan di Hong Kong yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Taib dan keluarganya sebanyak RM32 juta sebagai habuan.

Isu berkenaan telah dilaporkan secara meluas di beberapa pertubuhan media di Jepun dan juga tempat lain. Berdasarkan sumber itu, Malaysiakini membuat laporan susulan seminggu selepas itu dengan artikel 'RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg'.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan ketua pengarang Malaysiakini Gan Diong Keng, yang juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan.-Malaysiakini

Pemikiran Cetek BN, Timbul Kekeliruan Dasar Baik Buku Jingga

Posted: 17 Mar 2011 12:17 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Pandangan yang diutarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung dasar penswastaan tol yang termaktub dalam Buku Jingga ternyata bukan berlandaskan inspirasi rakyat.

Ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof menyifatkan tahap pemahaman cetek pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) mengakibatkan kekeliruan berhubung beban tanggungan kerajaan sekiranya konsesi tol dimansuhkan.

"Isunya di sini bukan isu tidak cukup wang. Isunya ialah tata kelola. Bagaimana hasil yang cukup untuk diagihkan sama rata. Macam Ghandi kata apa yang kita ada ini adalah cukup untuk keperluan tapi tidak cukup untuk ketamakan kita.

"Jadi Rembau ini tidak akan faham isu ini. Pada pandangan saya kalau penswastaan yang dimaksudkan untuk mengurangkan beban kerajaan membina prasarana, sekarang konsesi ini patut ditamatkan," jelas Yusmadi.

Khairy semalam mendakwa, pemansuhan tol seperti yang digariskan Pakatan Rakyat dalam janji 100 hari pentadbirannya akan membebankan kerajaan.

Namun kenyataan itu disanggah oleh Yusmadi yang berkata, perkongsian perkhidmatan menerusi tata kelola yang baik mampu mewujudkan kesamarataan seraya memberi pulangan besar kepada rakyat tanpa membebankan tanggungan kerajaan.

Ini sekaligus menyangkal tomahan kerajaan Umno-BN yang cuba memanipulasi kefahaman rakyat sehingga membuat kesimpulan bahawa negara akan muflis jika dasar ini dilaksanakan Pakatan Rakyat.

Sidang Dewan petang semalam dihangatkan apabila ahli-ahli parlimen Umno-BN cuba mencetuskan kesangsian terhadap pelaksanaan dasar Buku Jingga yang sering menjadi sasaran ejekan dan dakwaan tidak munasabah dalam dewan.

Yusmadi menambah, maksud penswastaan bukan menyerahkan secara total kepentingan kerajaan dan negara namun hanya sehingga suatu tahap di mana pulangan dikitar semula untuk manfaat kepada rakyat.

Katanya lagi, prinsip perkongsian pintar yang diketengahkan mampu menyangkal sebarang bentuk penindasan asalkan diurus dengan tata kelola yang bertanggungjawab.

"Penswastaan itu sendiri bukan bertujuan untuk membebankan, tapi untuk berkongsi perkhidmatan dan sampai ke suatu tahap kembali kepada rakyat. Bagi saya pandangan beliau (Khairy) ialah bukan pandangan berkepentingan rakyat dan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan agenda penswastaan," kata beliau lagi.

Antara perkara yang dinyatakan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat adalah dengan mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Selain penghapusan kadar tol, buku jingga berkenaan turut menjanjikan pemansuhan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA), merombak subsidi negara, membatalkan Felda Plantations, menaikkan royalti minyak di Sabah dan Sarawak dan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman negara.

Inspektor pelatih meninggal dunia jangkitan Adenovirus

Posted: 17 Mar 2011 12:16 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini akibat jangkitan Adenovirus, mangsa kedua yang meninggal dunia akibat serangan virus itu bulan ini.

Inspektor pelatih Mohd Redzuan Ishak, 26, yang menerima rawatan di situ sejak seminggu yang lalu, meninggal dunia pada 4.20 pagi ini, demikian menurut polis dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Bandar Sungai Buaya di Rawang pagi ini untuk dikebumikan.

Adenovirus mula dikesan menyerang Pulapol pada 4 Mac lepas.

Mangsa pertama, seorang konstabel pelatih lelaki berusia 21 tahun berasal dari Kuala Kangsar, meninggal dunia pada 9 Mac.

Sehingga 8 pagi semalam, 34 orang pelatih dirawat di HKL dan enam di Hospital Sungai Buloh.

Interlok: MIC tunggu kenyataan rasmi sebelum umum pendirian

Posted: 17 Mar 2011 12:14 AM PDT

KUALA LUMPUR — MIC mahu menunggu kenyataan rasmi Kementerian Pelajaran berhubung kontroversi terbaru berkaitan novel Interlok, ekoran tindakan tiga wakil kaum India menarik diri daripada panel bebas semalam, sebelum membuat pendirian dan reaksi susulan.

Komponen Barisan Nasional itu dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini ataupun selepas mesyuarat Kabinet esok.

Ini kali kedua wakil dilantik MIC melahirkan rasa tidak puas hati di akhir perundingan dan perbincangan menyelesaikan isu berkaitan dengan novel itu.

Kali pertama ialah ketika jawatankuasa awal dibentuk untuk mencari penyelesaian awal Januari lalu dan ia juga berakhir dengan kontroversi.

"Presiden MIC menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran, kami tidak mahu bertindak melulu," kata sumber pejabat Presiden MIC Datuk G. Palanivel malam tadi.

Sumber itu juga berkata ketiga-tiga wakil kaum India yang dilantik menganggotai panel bebas pindaan Interlok sudah memaklumkan perkembangan mutakhir mengenai isu tersebut kepada ketua MIC itu semalam.

"Presiden MIC juga telah berkomunikasi dengan mereka dan sudah memperoleh laporan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku, tetapi mahu tunggu kenyataan rasmi Menteri Pelajaran sebelum memberikan reaksi," kata sumber itu lagi.

Kontroversi berkaitan novel Interlok berhadapan dengan isu baru semalam apabila ketiga-tiga wakil kaum India dalam panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok menarik diri selepas satu pertemuan dengan timbalan perdana menteri sebagai tanda "protes."

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian selepas pertemuan secara mengejut yang diadakan di bangunan Parlimen petang semalam, yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan "paria" sahaja.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar kira-kira 100 pindaan dibuat.

Laporan itu kemudian dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran untuk tindakan susulan.

Bagaimanapun menurut salah seorang anggota panel itu, Uthaya Sankar, pihaknya diminta agar bertolak ansur dengan tidak membuat terlalu banyak pindaan.

Bagaimanapun Uthaya berkata, wakil-wakil kaum India berpendirian ia bertentangan dengan apa yang telah dipersetujui secara sebulat suara pada mesyuarat terakhir panel bebas 4 Mac lalu.
Panel itu telah mengadakan tiga mesyuarat termasuk terakhir pada 4 Mac.

"Kami telah secara sebulat suara bersetuju dengan kira-kira 100 pindaan, dan tidak wajar dibuat pindaan ke atas pindaan-pindaan yang telah dipersetujui," kata beliau sambil menambah, jika ia dibuat, ia satu bentuk tindakan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh MIC dan masyarakat India.

"Kami juga tidak mahu bertanggungjawab apa yang berlaku selepas pindaan awal dipersetujui," kaatanya.

Nama-nama wakil kaum India itu ke dalam panel bebas tersebut disyorkan oleh MIC bulan lalu.

Uthaya berkata keputusan menarik diri itu telah dimaklumkan kepada kepimpinan MIC.

Selain Uthaya, dua wakil kaum India ialah Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Anggota lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Zainal juga tidak hadir pertemuan semalam.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Shamsul Amri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

"Kita akan beri peluang kepada wakil daripada masyarakat India untuk maklumkan kepada pemimpin supaya apa yang diputuskan itu secara konsesi dapat diterima oleh mereka. Saya juga akan membawa perkara itu ke Kabinet sebab perkara ini sudah sampai ke tahap nasional," katanya.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Dalam pada itu, Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik UKM ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau tidak tahu perkembangan terbaru itu kerana bertugas di luar negara.

Perkasa mahu Najib jamin Kulim Bhd kekal di tangan syarikat Melayu

Posted: 17 Mar 2011 12:13 AM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Perkasa, pimpinan Datuk Ibrahim Ali, terus mendesak agar kerajaan pusat dan Johor memastikan Kulim (M) Bhd - pemilik rangkaian restoran makanan segera KFC Holdings yang kukuh aliran tunai, tidak berpindah ke tangan bukan Melayu.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut juga mahu kerajaan memastikan Kulim dan KFC tidak dikuasai oleh pemilik orang perseorangan kalangan Melayu-Bumiputera.

Ahad lalu, bekas presiden dan ketua eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa ada mendengar ura-ura bahawa pihak pengurusan JCorp merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd (Kulim).

"Kami dengar macam-macam cerita kononnya ia akan dijual kepada syarikat bukan Melayu, malah ada yang mengatakan ia akan dibeli individu Melayu-Bumiputera.

"Tetapi kesemua maklumat itu belum dapat dipastikan pengesahan . . . macam mana pun kami mahu ia kekal dimiliki oleh syarikat Melayu-Bumiputera, individu Melayu-Bumiputera pun kami tidak setuju," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata ada desas-desus bahawa ia akan dibeli oleh pemimpin politik parti komponen bukan Melayu dan juga syarikat bukan Melayu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Tetapi pengesahan belum ada lagi, saya sudah selidik," katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Menteri Besar Johor Datuk Seri Ghani Othman berhubung perkara tersebut, Ibrahim berkata, "tidak."

"Kalau nak jumpa pun, mungkin tidak mudah kerana semua sibuk . . . Perkasa dan lain-lain NGO Bumiputera akan tunggu dulu untuk dapatkan pengesahan.

"Setelah dapat jawapan hitam putih, baru Perkasa dan lain-lain NGO akan membuat keputusan apakah tindakan yang patut diambil," kata beliau lagi.

Muhammad berkata maklumat beliau itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai.

Menurutnya sama ada dakwaan itu benar atau tidak, beliau berharap keputusan untuk menjual Kulim difikir sedalam-dalamnya memandangkan ia merupakan aset utama JCorp dan orang Melayu.

Beliau yang pernah bersama Jcorp selama 30 tahun, turut melahirkan rasa sedih dan kecewa sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

"Saya juga percaya rancangan itu akan mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang mahu melihat Kulim kekal di bawah JCorp untuk membantu bangsa Melayu," katanya.

Muhammad Ali berkata Kulim kini adalah satu daripada penjana pulangan wang utama kepada JCorp kerana ia merupakan badan induk kepada QSR Brands Bhd, KFC Holdings (M) Bhd dan turut memegang hak 38,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.

Enam ditahan berhubung kes curi kondom bernilai RM850,000

Posted: 17 Mar 2011 12:12 AM PDT

BERNAMA

IPOH — Polis percaya telah menyelesaikan kes kehilangan kondom bernilai RM850,000 yang dilaporkan hilang pada 25 Januari lalu berikutan tertangkapnya enam lelaki dan penemuan semula barangan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata enam lelaki yang ditahan itu berusia 23 hingga 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, buruh am dan kerja sambilan.

Mereka ditahan pada 15 Februari lalu di sini, Bidor, Batu Gajah serta di Puchong dan Klang, Selangor.

"Hasil daripada pemeriksaan polis kemudiannya menemui 258 kotak berisi kondom di sebuah rumah di Puchong dan sebuah gudang di Klang, Selangor, yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut sementara menunggu pembeli," kata Shukri pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga daripada lelaki berkenaan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan lampau.

Beliau berkata empat daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala dua lagi masih direman sehingga Sabtu ini.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 407 Kanun Keseksan yang boleh membawa kepada hukuman penjara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda, katanya.

Beliau berkata dengan tangkapan serta penemuan barangan tersebut, polis percaya kes tersebut telah selesai.

Shukri berkata kehilangan kondom itu telah dilaporkan oleh pengurus kilang Sagami Manufacturers Sdn Bhd di Estet Perindustrian Bembam, Batu Gajah, Perak pada 26 Januari lalu apabila pihak berkenaan di Jepun menyedari kontena yang berisi kondom yang sepatutnya sampai di sana telah hilang.

Kondom tersebut sepatutnya dihantar melalui Pelabuhan Klang.

Dalam perkembangan lain Shukri berkata lima lelaki berusia 28 hingga 56 tahun ditahan Jumaat lepas kerana terbabit dalam penipuan dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh untuk menawarkan sebidang tanah kepada seorang peniaga.

Beliau berkata mereka yang ditangkap merupakan Pembantu Am PTG, Ipoh, dua bekas kakitangan PTG, seorang pesara Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak dan seorang broker.

"Kes ini terbongkar apabila seorang peniaga besi buruk dari Tapah telah dihampiri oleh lima lelaki berkenaan dengan menawarkan mangsa sebidang tanah seluas 24 ekar di Bidor pada 1 Mac lepas.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah menyerahkan wang tunai RM24,000 kepada mereka untuk bayaran pendahuluan dan proses permohonan.

"Bagaimanapun apabila membuat semakan di PTG Ipoh, mangsa mendapati permohanan tanah tersebut tidak wujud dan palsu," katanya.

Polis turut merampas beberapa barangan palsu antaranya sembilan keping cop PTG Ipoh, 45 keping kepala surat PTG Ipoh, 20 helai dokumen PTG, 13 helai resit rasmi bayaran premium tanah, empat keping salinan pelan tanah dan sebuah komputer riba dan pencetak yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu tersebut.

"Mereka akan memalsukan surat kelulusan permohonan tanah dengan menggunakan kepala surat PTG Ipoh serta meniru tandatangan pegawai yang berkuasa meluluskan," kata Shukri.

Kesemua suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawaah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Penipuan) yang boleh dikenakan hukaman penjara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Interlok: TPM hanya minta senarai pendek elemen sensitif, kata panel bebas

Posted: 17 Mar 2011 12:10 AM PDT

KUALA LUMPUR — Seorang panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok hari ini menafikan dakwaan wakil kaum India pihaknya memutuskan untuk meminda perkara telah dipersetujui 4 Mac lalu susulan pertemuan dengan timbalan perdana menteri semalam.

Sebaliknya, ahli panel itu yang enggan namanya didedahkan berkata dalam pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam Timbalan Perdana Menteri itu meminta agar wakil kaum India menyenaraikanpendekkan elemen yang menyentuh sensitiviti kaum India.

Beliau juga menafikan ada satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran petang semalam.

"Semalam kami (panel bebas) dijemput untuk mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang mana beliau minta agar wakil kaum India senarai pendekkan perkataan-perkataan yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India . . . perkataan yang paling penting dan sensitif, itu sahaja.

"Bukan kata kita menentang 100 pindaan yang dicadangkan itu, Timbalan Perdana Menteri hanya minta agar disenaraipendekkan agar pihak kementerian boleh mengambil tindakan segera manakala cadangan pindaan lain kita tangguhkan dulu... mana yang penting sahaja, jadi saya tidak faham kenapa perkara ini tiba-tiba menjadi kelam-kabut," katanya.

Jelas ahli panel itu, wakil kaum India telah mencadangkan 100 pindaan dalam novel Interlok dan ia diterima panel bebas tersebut dan resolusi telah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran pada 4 Mac lalu.

"Ya, memang ada cadangan 100 pindaan tapi yang diminta Timbalan Perdana Menteri semalam adalah elemen-elemen yang benar-benar sensitif dan menyentuh sensitiviti kaum India.

"Bukan kita tentang yang 100 itu, saya nak beritahu dalam 100 cadangan itu sebahagian besarnya dalah kesalahan tanda baca, adakah salah letak noktah atau koma itu menyentuh sensitiviti kaum India? Apa yang diminta Timbalan Perdana Menteri adalah senarai pendekkan perkataan-perkataan yang sensitif untuk diambil tindakan segera manakala yang lain kita tangguhkan dulu," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan tiga wakil kaum India yang menarik diri dari panel bebas itu, ahli panel itu berkata badan ini memang sudah dibubarkan sebaik sahaja menyerahkan resolusi kepada Kementerian Pelajaran.

"Pada 4 Mac kita sudah serahkan resolusi kepada Kementerian Pelajaran, jadi secara automatik panel bebas ini sudah dibubarkan kerana kerja sudah selesai.

"Kita sudah serahkan enam resolusi kepada Kementerian Pelajaran untuk diambil tindakan selanjutnya, jadi saya tidak faham kenapa mereka kata nak tarik diri sedangkan penal bebas ini sudah tiada. Mengenai pertemuan semalam adalah pertemuan bekas panel bebas dengan Timbalan Perdana Menteri." katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat resolusi yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran.

Semalam tiga wakil kaum India menarik diri dari panel bebas itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian - keputusan yang mengejutkan ramai dan disifatkan sebagai tamparan dalam menyelesaikan isu itu - selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan "paria" sahaja.

Ketiga-tiga wakil kaum India itu adalah penulis Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar 100 pindaan dibuat.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kelmarin, Muhyiddin berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Interlok: Kementerian Pelajaran kena cari jalan penyelesaian terbaik, kata MIC

Posted: 16 Mar 2011 11:44 PM PDT

KUALA LUMPUR, — MIC menggesa Kementerian Pelajaran agar mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung novel kontroversi Interlok yang dilihat boleh menyebabkan perpecahan kaum berlaku.

Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata kontroversi novel Interlok akan menjadi satu perkara yang serius dan boleh memecahkan perpaduan antara kaum sekiranya Kementerian Pelajaran tidak mempunyai satu pendirian tetap dalam perkara itu.

"Melainkan Kementerian Pelajaran mengambil satu pendirian tetap dalam isu Interlok kerana setiap perkara dalam perkara ini sangat emosional dan boleh memecahbelahkan.

"Pada masa yang sama kita bekerja (keras) untuk perpaduan dan bergerak bagi menjayakan konsep 1 Malaysia, jadi ia satu perkara yang mustahak agar isu Interlok ini dapat ditangani dengan baik secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tiga wakil kaum India dalam panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok menarik diri selepas satu pertemuan semalam kerana setiap pindaan yang dicadangkan mendapat bantahan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka.

Palanivel berkata bantahan itu hanya oleh wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka manakala ahli panel lain bersetuju dengan cadangan untuk meminda perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

"Ahli panel lain bersetuju dengan pindaan terhadap perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

"Yang mana wakil kaum India telah mencadangkan banyak pindaan yang dianggap sensitif dan menyinggung kaum India," katanya.

Ketiga-tiga wakil kaum India itu adalah penulis Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian — keputusan yang mengejutkan ramai dan disifatkan sebagai tamparan dalam menyelesaikan isu itu — selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen petang ini, yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan "paria" sahaja.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar 100 pindaan dibuat.

Beliau berkata telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Muhyiddin sejak "krisis" panel bebas itu berlaku semalam.

"Pagi ini Timbalan Perdana Menteri memaklumkan ahli panel bebas ini akan dipanggil untuk perbincangan di pejabat Perdana Menteri," katanya.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Shamsul Amri.

Beliau berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Terima aduan pegawai SPRM guna kekerasaan ketika soal siasat saksi: Foong

Posted: 16 Mar 2011 05:02 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memberitahu terdapat beberapa aduan kekerasan yang digunakan oleh dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap saksi.

Pengerusi Suruhanjaya yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang membaca dua SMS dari telefon bimbit miliknya berkata aduan itu adalah dari orang awam yang menyatakan mendapat kecederaan sehingga menimbulkan kesan yang ketara.

Foong berkata dua pegawai yang terlibat adalah pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM di Selangor Hairul Ilham Hamzah dan Penolong Penguasa SPRM Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Dalam SMS itu menyatakan: "Pada 24 Jun 2009, seorang lelaki telah ditahan oleh pegawai SPRM iaitu Hairul Ilham dan Mohd Ashraf, kad pengenalannya telah disimpan sehingga 1 Julai 2009, kecederaan telah berlaku dan meninggalkan kesan lebam yang ketara, namun kes itu tertunda."

Dalam satu lagi SMS yang diterima menyatakan: "Pada 2 Julai 2009, seorang lelaki ditahan di mana kad pengenalannya turut disimpan sehingga 7 Julai 2009 oleh Mohd Ashraf dan Hairul Ilham dan lelaki tersebut telah membuat laporan polis pada 8 Julai kerana terdapat kecederaan".

Ketika disoal Foong sama ada Hairul Ilham mengetahui aduan kekerasan yang dikaitkan dengan Mohd Ashraf, Hairul Ilham menjelaskan beliau mengetahui tentang aduan itu namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas Mohd Ashraf.

"Saya tahu ada laporan dan aduan mengenai Mohd Ashraf, namun saya tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan kerana ia dijalankan oleh Bahagian Tatatertib SPRM, Ibu Pejabat putrajaya," kata Hairul Ilham, yang merupakan saksi ke-22 dalam prosiding hari ini.

Dalam prosiding itu, Foong memberitahu Mohd Ashraf turut digelar sebagai ''Budak Suruhan Hairul'' kerana sering dikaitkan dengan Hairul Ilham.

Perkara itu turut disokong oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan.

Mohd Ashraf sebelum ini pernah memberi keterangan dan merupakan saksi ke-20 dalam suruhanjaya itu yang menyiasat kematian setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Bagaimanapun, Hairul Ilham berkata aduan itu dibangkitkan selepas kematian Teoh dan sejujurnya beliau tidak mengetahui perkara ini kerana tidak dimaklumkan.

Foong turut memaklumkan suruhanjaya akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan itu sama ada benar atau palsu.

Ketika ditanya pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud sekiranya Teoh meminta untuk pulang awal pada malam siasatan dijalankan, adakah dia akan membenarkan Teoh pulang, Hairul Ilham berkata: "Sekiranya Teoh memaklumkan dia akan berkahwin esok (16 Julai 2009), saya akan lepaskan dia atas budi bicara," katanya.

Awang Armadajaya: "Ada tak rasa kesal sebab tak lepaskan Teoh atas cadangan Ean?."

Hairul Ilham: "Ada dan ia sentiasa bermain di fikiran saya."

Dalam prosiding hari ini, Foong turut memaklumkan kesemua telefon bimbit dan komputer riba milik pegawai SPRM iaitu Hairul Ilham, Mohd Anuar Ismail, Mohd Nazri Ibrahim, Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, Raymond Nion Anak John Timban dan Khairul Anuar Alias dirampas untuk dianalisis oleh Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disertai pegawai penyiasat bebas.

Peguam yang mewakili SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar beberapa saksi SPRM bagi kes yang sama turut dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk Ean dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Hwa.

Peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam, memaklumkan suruhanjaya bahawa Pakar Psikiatri Dr Benjamin Chan tidak dapat menyertai kerana tidak dapat meluangkan masa untuk membantu suruhanjaya itu.

Selain Foong, suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka''.

Prosiding bersambung esok.

Jepun perlu lima tahun pulih, kos bantuan dijangka RM180 bilion

Posted: 16 Mar 2011 04:58 PM PDT

LAPORAN – Reuters

Gambar gabungan dirakamkan satelit menunjukkan timur laut pesisir pantai Jepun sebelum (kiri) dan selepas dilanda tsunami Jumaat lalu. – Foto Reuters
TOKYO – Jepun kemungkinan memerlukan sekurang-kurangnya lima trilion yen (sekitar RM180 bilion) bagi menampung kos bantuan bencana berganda di sebelah timur laut negara itu dan kemungkinan terpaksa mendorong kepada jualan bon untuk menambah dana.

Kerja-kerja pembinaan semula pula dijangka memakan masa lebih lima tahun berbanding situasi di Kobe, yang dilanda gempa bumi pada 1995.

Kos operasi bantuan dan pembinaan semula selepas gempa bumi skala 9 pada Jumaat lalu sudah pasti mencecah tiga trilion yen (RM111 bilion) yang dibelanjakan selepas gempa Kobe pada 1995 dan kemungkinan mencecah lima trilion yen seperti yang diramalkan pembangkang utama Parti Liberal Demokratik, kata Keiichi Ishii iaitu ketua dasar New Komeito, parti pembangkang kedua terbesar negara itu.

"Ada kemungkinan perlunya terbitan bon-bon menampung defisit," kata beliau kepada Reuters.

Ishii berkata kerajaan harus memberi tumpuan untuk memotong perbelanjaan-perbelanjaan lain yang kurang diperlukan agar dapat berjimat cermat bagi kerja-kerja pembinaan semula sebelum membuat pinjaman dengan menerbitkan bon-bon baru.

Katanya, salah satu opsyen ialah menyalurkan wang daripada perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu seperti dana yang diperuntukkan untuk penambahbaikan faedah-faedah sokongan kanak-kanak dalam bajet tahunan kewangan akan datang bermula April ini.

"Terbitan bon kemungkinan kelihatan ketara buat sementara. Tetapi kerajaan perlu menunjukkan bahawa ia akan cuba untuk meletakkan terbitan bon baru serendah yang boleh dengan memotong apa yang boleh dalam bajet negara," katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan harus timbang untuk mengatasi ketidakstabilan pasaran kewangan dengan langkah-langkah seperti melarang jualan singkat saham atau campur tangan dalam pasaran mata wang dengan mengawal kenaikan nilai yen.

Ishii dilihat sebagai pemimpin yang mahir dalam hal ehwal kewangan dan pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan di bawah LDP sebelum parti itu kalah kepada Parti Demokratik pada 2009.

Kerajaan Perdana Menteri Jepun Naoto Kan memerlukan kerjasama parti-parti pembangkang seperti New Komeito untuk meluluskan bajet di Parlimen yang kekuatannya kini berbelah bahagi.

Dalam pada itu, laporan Reuters dari Amsterdam pula berkata, Jepun memerlukan lima tahun untuk kembali pulih daripada kemusnahan dan kerosakan dialami sekarang.

Meskipun Jepun, pasaran pembinaan ketiga terbesar di dunia itu, mempunyai sumber, kemahiran dan kepaduan untuk membina semula dengan cepat, tetapi bencana kali ini kemungkinan akan menyebabkan ia berfikir dengan mendalam mengenai perancangan dan perlindungan.

Selain gempa bumi dan tsunami ia juga berhadapan dengan krisis nuklear.

"Proses pembinaan semula selepas gempa bumi Kobe di Jepun pada 1995 mengambil masa kurang lima tahun. Saya menjangkakan pembinaan semula di sini akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun," kata Abhas Jha, ketua program unit pengurusan risiko Asia Timur, Bank Dunia.

Ada yang meramalkan kos pemulihan dan pembinaan semula dijangka menelan hampir RM530 bilion (AS$180 bilion) atau tiga peratus output ekonomi tahunan Jepun.

Bagaimanapun Jha mengingatkan bahawa angka itu lazimnya akan disemak semula.

"Ini adalah bencana sekali dalam setiap 100 hingga 20 tahun," kata Hirokazu Anai, penganalisis kanan di J.P. Morgan Securities di Jepun.

"Ini akan memaksa kami untuk berubah dalam pemikiran infrastruktur dan peraturan keselamatan, dan ia akan memakan masa," katanya lagi.

Krisis nuklear: Kebimbangan meningkat, warga asing mula keluar Jepun

Posted: 16 Mar 2011 04:50 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

TOKYO — Negara asing menasihatkan rakyatnya agar meninggalkan Jepun, yang dilanda bencana berganda, ketika pihak berkuasa negara sebelah timur itu bertungkus-lumus untuk mengelakkan krisis nuklear yang dilihat semakin meruncing.

Ketua Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika Syarikat berkata salah satu reaktor, yang terjejas teruk, kelihatan merisaukan kerana tiada bekalan air untuk menghentikan rod bahan api daripada terus panas dan kemudian cair kelak.

Semalam, pekerja-pekerja menjauhi loji Fukushima Daiichi buat sementara kerana bimbang peningkatan radiasi tetapi kembali selepas keadaan dilaporkan selamat.

Rasa bimbang dan khuatir muncul kembali selepas pegawai-pegawai berkata reaktor kedua di kompleks itu, yang menempatkan enam reaktor, kemungkinan sudah rosak dan mengeluarkan stim radioaktif.

Laporan msnbc melaporkan, ketua tenaga Kesatuan Eropah Guenther Oettinger memberitahu Parlimen Eropah bahawa loji itu "secara efektif sudah tidak terkawal lagi" selepas kerosakan pada kemudahan sistem pendinginan.

"Dalam beberapa jam akan datang, akan ada malapetaka lebih buruk lagi, yang akan mendedahkan orang ramai kepada bahaya," katanya.

"Belum kelihatan panik lagi, tetapi Tokyo dengan penduduk seramai 35 juta orang, adalah metropolis paling besar di dunia," katanya.

Bagaimanapun ketua pemantau nuklear PBB melihat pandangan itu dari sudut isu yang lain.

"Bukan masa untuk mengatakan keadaan sudah tidak terkawal," kata Yukiya Amano, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa pada sidang media semalam.

"Operator-operator melakukan yang terbaik untuk memulihkan keselamatan reaktor," katanya.

Beliau bercadang untuk terbang ke Jepun hari ini, lapor Reuters lewat semalam.

Beliau menggambarkan keadaan "sangat serius" dan telah meminta kerajaan Jepun menyediakan maklumat lebih baik kepada agensi itu.

Tiada ulasan: