Selasa, 8 Mac 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


PAS DALAM KEADAAN TERTEKAN

Posted: 08 Mar 2011 01:08 AM PST

Pas kini berada dalam keadaan tertekan selepas parti itu kalah empat kali berturut-turut kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih besar pada pilihan raya kecil, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, tekanan tersebut makin terserlah apabila isu agama yang cuba dipolitikkan Pas tidak lagi diterima rakyat dan buktinya, BN menyapu bersih semua saluran pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau.

"Saya nampak Pas dalam keadaan tertekan sekarang ini. Pertamanya, apa jua isu agama yang hendak dibangkitkan oleh mereka tidak diterima oleh rakyat.

"Di samping itu, hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa juga dipandang dengan rasa curiga terutama sekali, oleh orang Melayu," katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas kemenangan bergaya BN di Merlimau dan Kerdau meskipun, Pas terutama melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus memperalatkan isu agama bagi meraih sokongan pengundi Melayu.

Nik Abdul Aziz baru-baru ini menegaskan bahawa, Pas akan terus menggunakan isu agama dalam kempen pilihan raya kerana dakwanya, perbuatan itu sebahagian kerja dakwah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, golongan mufti yang tidak bersetuju dengan amalan Pas tidak layak untuk mengeluarkan fatwa di Malaysia sebaliknya, hanya hanya layak mengeluarkan fatwa di negara komunis sahaja.

Ia susulan kepada 'fatwa politiknya' sebelum ini, iaitu semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang bahawa, pengundi yang tidak menyokong perjuangan Pas merupakan golongan jahiliah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Pas juga semakin tertekan kerana orang ramai sudah tidak lagi yakin kepada kerjasama rapuh di antara parti pembangkang, ekoran terdapat percanggahan pendirian antara mereka.

"Kerjasama antara parti pembangkang ini hanya bersifat luaran sahaja dan tidak berasaskan kepada pendirian hakiki yang boleh memberi keyakinan kepada pengundi.

"Ini menunjukkan bahawa hubungan dalam pakatan pembangkang bukan merupakan satu bentuk kerjasama yang kukuh tetapi rapuh, kerana wujud percanggahan pendirian parti masing-masing," katanya.

Sementara itu Najib percaya, kekalahan Pas di Merlimau dan Kerdau antara lain disebabkan faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai liabiliti kepada parti tersebut.

Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau sendiri mendapat maklumat bahawa jentera pilihan raya Pas memang tidak senang dengan kehadiran ketua pembangkang itu bagi membantu menjayakan kempen di Merlimau dan Kerdau.

Malah, kata beliau lagi, faktor Anwar yang dianggap sebagai liabiliti kepada Pas turut disokong dengan kewujudan mesej daripada pihak-pihak tertentu yang meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya jangan berkempen.

"Saya dengar Pas pun tidak berapa senang hati kalau dia timbul (berkempen) waktu pilihan raya kecil. Malah, ada juga pihak yang menyampaikan mesej supaya dia tidak datang waktu pilihan raya kecil sedang berlangsung.

"Itu nampaknya, sudah timbul rasa tidak yakin antara satu sama lain sesama komponen pembangkang," katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak tertentu yang dipercayai ahli Pas menghantar mesej Twitter meminta Anwar supaya jangan berkempen di Kerdau membuktikan Ketua Pembangkang itu liabiliti kepada Pas.

PERTEMUAN NIK AZIZ DAN HARUSSANI...

Posted: 07 Mar 2011 07:03 PM PST

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Surat yang dihantar pagi tadi itu antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Mursyidul Am PAS itu pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi PRK Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook pagi ini.

Jika benar, pertemuan kedua-dua tokoh yang sering bercanggah pendapat melalui media ini adalah kali pertama berlaku.

"Semoga beliau memberikan respon,"tambah Tuan Guru lagi.

Semalam juga Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung paerkara sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merialisasikan pertemuan tersebut.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

INI BARU PELAJAR YG HEBAT HU HU..

Posted: 07 Mar 2011 04:44 PM PST

INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.
INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan 'bom' buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.

Tindakan ala 'MacGyver' itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.

Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.
"Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka," katanya
Click Here

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian

Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan," katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan," katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

"Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

"Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil," katanya

Tiada ulasan: