Khamis, 3 Mac 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PRK Kerdau : Bukan saja Ummi malah Rahimi pun ada...

Posted: 03 Mar 2011 06:00 AM PST

Rahimi menafikan dibeli oleh BN sebaliknya berkata, ia soal kesedaran... kesedaran apa entahla..

Jika Pakatan Rakyat menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai senjata terakhirnya, BN juga mempunyai keupayaan yang sama dalam pilihan raya kecil Kerdau yang kini masuk hari-hari terakhir.

Bukan sahaja saksi penting perbicaraan liwat 1998, Ummi Hafilda Ali turun ke Kerdau, tetapi dua bekas pembantu Anwar - Rahimi Osman dan Rashid Rosdi - juga berikrar berkempen bagi menafikan "fitnah" ketua pembangkang itu.

"Temerloh ini memang kampung saya. Saya tak mahulah mereka termakan fitnah Anwar ini," kata Rahimi yang kini memakai baju BN.


Rahimi sebelum ini tampil mendakwa beliau dipaksa mengubah akuan bersumpahnya supaya mengaitkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes liwat.

Bercakap dalam sidang media di bilik gerakan induk BN di Kerdau, Rahimi berkata, beliau sudah dua hari berada di DUN itu dan akan memulakan ceramahnya esok.

Beliau bagaimanapun berkata tidak akan mengulas tentang kes liwat - di mana Anwar menjadi tertuduh - kerana ia masih dibicarakan di mahkamah.

Katanya, sambutan setakat ini menggalakkan.

"Tetapi kita tidak boleh pandang mudah sangat sebab sebelum ini menang pun tak banyak sangat," katanya.

Menurutnya, beliau akan mula mendedahkan "hubungan" Anwar dengan Israel.

"Buktinya ada. Saya pun kerja dengan dia," katanya yang mahu mendedahkannya sedikit-sedikit.

Ditanya bila menyertai Umno, Rahimi berkata ia berlaku sejak hari pertama lawan Anwar.

Rahimi juga menafikan dibeli oleh BN sebaliknya berkata, ia soal kesedaran.


Malaysiakini

Setiap 15 Minit Satu Perceraian - Mashitah

Posted: 03 Mar 2011 04:11 AM PST

PUTRAJAYA 3 MAC : Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

"Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul : Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di sini hari ini.


Seramai 1,200 penjawat awam hadir pada seminar itu dengan anggota panelnya terdiri daripada pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata Jakim akan memperbanyakkan lagi program-program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi

TVS

Orang Asli dijamu hingga Mabuk..

Posted: 03 Mar 2011 01:35 AM PST

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan ngo negeri, Abdul Fatah Mahmood, mengikut aduan masyarakat terbabit mereka dikurung oleh pemimpin Umno dalam tempoh pilihanraya kecil itu sambil disajikan dengan minuman keras dengan alasan untuk meraikan mereka.

Dan apa yang aku dengar dari seorang sahabat yang turut bertugas di Batang Ai Sarawak ketika PRK yang lalu, perkara ini juga dilakukan oleh BN terhadap orang Asli atau orang Asal disitu..


Bezanya di Galas mereka dikatakan dikurung tapi di Sarawak pula berkartun-kartun miniman keras dihantar kerumah-rumah panjang yang disyaki menyokong Pakatan Rakyat pada malam sebelum hari mengundi dengan alasan yang sama iaitu meraikan.

Akibatnya apabila tiba hari mengundi, para petugas yang bertugas dikawasan peti undi itu menyaksikan hanya 4 atau 5 orang yang turun mengundi kerana yang lain-lain masih tidur kerana mabuk..


Orang Asli dijamu arak di Galas

KOTA BHARU, 3 Mac: Dewan Undangan Negeri Kelantan dimaklumkan bahawa, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Galas telah mengurung orang Asli dalam kempen itu dan memberikan mereka minuman keras.

Ia dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan ngo negeri, Abdul Fatah Mahmood yang melahirkan rasa dukacita cara berkempen BN pada pilihanraya kecil Dun Galas itu.

Menurutnya, mengikut aduan masyarakat terbabit mereka dikurung oleh pemimpin Umno dalam tempoh pilihanraya kecil itu sambil disajikan dengan minuman keras dengan alasan untuk meraikan mereka.

"Akibatnya selepas kejadian itu surau begitu lengang tanpa dihadiri oleh masyarakat Orang Asli yang beragama Islam untuk beribadat.

"Kita amat kecewa, tarbiah demi tarbiah telah diberikan oleh kerajaan negeri melalui agensinya serta pihak-pihak lain, namun telah dirosakkan oleh oleh pemimpin Umno untuk kepentingan politik mereka,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Sultan Kelantan sempena pembukaan persidangan Dun Kelantan yang ke-12.

Katanya, sepatutnya kenyataan 'minum arak' kerana marahkan kerajaan negeri tidak didengar dalam dun yang mulia ini.

"Satu kenyataan yang amat tidak wajar disebut oleh Adun yang beragama Islam, jadi tidak hairan kalau Adun Galas mengeluarkan kenyataan sedemikian,"ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mendedahkan ada beberapa orang masyarakat Orang Asli memohon dipindahkan di tempat lain kerana tidak tahan dengan tekanan BN di situ.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mengambil perhatian berhubung perkara itu.

Harakahdaily

Anwar diaib, dilayan umpama pengganas

Posted: 03 Mar 2011 01:16 AM PST


Di sekitar IPK Kuala Lumpur selepas Dato' Seri Anwar ditahan pada 16 julai 2008

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan penahanan beliau yang dilakukan polis pada 16 Julai 2008 seolah-oleh beliau seorang pengganas antarabangsa, selain diaibkan ketika dalam tahanan.


Memberi keterangan sebagai saksi pertama peguam bela di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar berkata, kereta yang dinaikinya pada hari berkenaan, dihentikan empat kereta peronda polis sewaktu dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut untuk solat Zuhur.

Beliau berkata, kira-kira 10 ke 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) lengkap bersenjatakan sub mesingan mengacukan senjata mereka ke arahnya.

"Kami terpaksa berhenti serta-merta," katanya sambil menjelaskan, beliau berada di bahagian belakang kereta manakala peguam belanya, Sankara Nair di bahagian depan.

"Sankara keluar (kereta) dan seorang anggota menghampiri. Saya diminta terus berada dalam kereta. Seorang anggota kedengaran berkata: Arahan untuk menangkap Datuk Seri Anwar."

"Saya diperlakukan seperti saya ini Botak Chin. Saya ditahan secara paksa seolah-olah saya ini anggota pengganas Al-Qaeda," kata Anwar.

Menjawab soalan DPP Yusoff sama ada beliau dimaklumkan kesalahan yang didakwa dilakukannya hingga membawa penahanan itu. Anwar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan secara spesifik.

Katanya, beliau juga sukar meneka atas kesalahan apa kerana terlalu banyak 'tuduhan' dilempar terhadapnya dalam akhbar tempatan, daripada agen Yahudi sehinggalah kepada pengkhianat negara hanya kerana tidak memakai 'baju batik'.

Zabidin mahupun hadirin di galeri awam tidak dapat menahan ketawa mereka mendengar jawapan Anwar.

Anwar berkata, sewaktu ditahan beliau hanya diberitahu keperluan memberi keterangan berdasarkan Seksyen 112 Kanun Keseksaan Jenayah.

Anwar diaib

Ini pertama kali Anwar memberi keterangan dalam kes Fitnah II bagi perbicaraan dalam bicara untuk menolak bukti yang diperolehi secara tidak sah dan melalui paksaan.

Bukti itu ialah botol mineral 'Cactus', tuala muka 'Good Morning', serta berus gigi yang semuanya digunakan Anwar sewaktu ditahan secara tidak sah pada hari berkenaan.

Meneruskan keterangannya, Anwar berkata, polis kemudian membawanya ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam dan beliau diminta menanggalkan pakaiannya sehingga memakai cuma singlet dan seluar dalam, sebelum z***r dan d***r beliau diperiksa dua doktor.

Menceritakan keadaan lokap pula, Anwar berkata, tandas tempat beliau ditahan terlalu kotor dan lantai simen lokap juga terlalu sejuk untuk seseorang yang sakit belakang seperti beliau.

Polis macam robot

Saksi kedua, Sankara Nair dalam keterangannya pula menyifatkan polis yang menahan Anwar, bertindak tidak ubah seperti robot.

Beliau berkata demikian ketika ditanya DPP, Yusoff Zainal Abiden yang mencadangkan bahawa pegawai polis yang mengetuai penahanan Anwar pada hari berkenaan, tidak banyak bercakap dan menjalankan tugasnya sahaja.

Sankara berkata beliau tidak banyak bercakap tetapi menganggap polis bercakap seperti robot kerana mereka mengulangi jawapan sama apabila ditanya alasan penahanan Anwar.

"Dia robotik," kata Sankara.

"Beliau hanya menjawab 'arahan', dan saya mesti bawa Datuk Seri Anwar ke IPKKL dengan kenderaan saya' berulang kali," kata Sankara.

Sankara yang juga peguam Anwar, hari ini bertindak sebagai saksi kedua peguambela dalam bicara mini untuk menolak bukti yang diambil secara tidak sah dari Anwar sewaktu beliau ditahan secara haram pada 16 Julai 2008.

Esok, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah akan dipanggil sebagai saksi ketiga peguam bela.

Pendakwa raya pula dijangka memanggil dua saksi di pihak mereka esok termasuk pegawai penyiasat DSP Jude Pereira akan memberi keterangan bagi pihak pendakwa esok.


Keadilandaily

ANAK haram jadah ?

Posted: 02 Mar 2011 11:04 PM PST

Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) kesal ceramah sulungnya dalam kempen pilihan raya kecil Kerdau disambut sekumpulan belia yang didakwa mempamerkan kain rentang menyifat NGO pro-PAS itu sebagai "haram jadah" dan bukan "anak soleh".

Presidennya Mazlan Aliman bagaimanapun enggan melayan "provokasi" pihak didakwa "diperalatkan Umno" itu.


"Saya tidak ada masalah. Saya tidak bermusuh dengan warga Felda...," kata Mazlan Aliman yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS.

"Tetapi saya bermusuh dengan mereka yang cuma mengambil kepentingan atas keringat peneroka untuk mengaut keuntungan dan memangsakan peneroka hingga menjadi korban kepada golongan yang tidak bertanggungjawab ini."

Sehubungan itu, menjawab soalan pemberita, Mazlan menolak mengadukan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, percubaan menghalanya itu telah berlalu beberapa kali sebelum ini.

Semalam, sebuah blog pro-BN melaporkan, ceramah Mazlan di Felda Jengka 23 disambut jeritan: "Ini ANAK bukan anak yang soleh tapi anak haram jadah".

Kumpulan anak muda itu didakwa secara terang-terangan membawa bendera BN bagi membantah ceramah Mazlan di hadapan kira-kira 60 peserta.

Felda lawan syarikat swasta

Gambar yang dipaparkan dalam blog itu juga menunjukkan sekumpulan pemuda memegang kain rentang bertulis "Mazlan Aliman Kau Jahanam".

Sementara itu, bercakap dalam sidang media harian PAS di Kerdau hari ini, Mazlan turut mengasak Felda - yang dianggap penentu utama kemenangan kedua-dua calon bertanding - dengan menyerang anak syarikat Felda Techno Plant Sdn Bhd pula.

Mazlan mendakwa, Felda Techno sebagai pengendali kerja penanaman semula sejak 2005 ketinggalan daripada banyak aspek jika dibandingngan dengan syarikat swasta lain.

Contohnya, tambah beliau, kos penanaman semula oleh Felda dan sebanyak RM10,503 berbanding Sime Darby (RM3,120) dan Kumpulan IOI (RM1,998).

Manakala untung bersih berdasarkan keluasan ladang untuk seekar pula didakwa amat jauh berbeza, seperti berikut: Wilmar International (RM1,050), Kumpulan IOI (RM366.30), Sime Darby (RM114).

"Felcra pula jauh lebih kecil sebanyak RM14.29 seekar untuk sebulan. Adakah ini pengurusan profesional?" soal Mazlan lagi.

Turut hadir salam sidang media itu Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dan anggota parlimen Padang Terap Nasir Zakaria.


Malaysiakini

Tolak pemimpin Cuai, mudah ‘Tertipu’ dan Menipu

Posted: 02 Mar 2011 08:41 PM PST

Kata DS Wan Azizah pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) harus ditolak berikutan tiada jaminan mereka tidak akan cuai dan terus 'tertipu' hingga membawa kerugian berbilion ringgit wang rakyat.

Aku tambah sikit.. sebenarnya bukan saja Pemimpin yang Cuai, mudah Tertipu malah pemimpin yang menipu juga harus ditolak sama sekali..


Tolak pemimpin cuai dan mudah 'tertipu' – Presiden KEADILAN

KUALA LUMPUR: Pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) harus ditolak berikutan tiada jaminan mereka tidak akan cuai dan terus 'tertipu' hingga membawa kerugian berbilion ringgit wang rakyat.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dimiskinkan yang akhirnya membawa kebankrapan.


"Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak di terima akal.

"Rakyat harus bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan ini. Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Kong Choy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini dengan pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Wan Azizah berkata, kelemahan pentadbiran Umno BN tergambar dengan jelas dalam pendakwaan bekas Menteri Pengangkutan itu atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri.

"Betapa mudahnya mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ditipu dalam skandal PKFZ ini. Malah, isu penipuan ini bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi barisan kabinet pada zaman Tun Dr Mahathir.

"Kebanyakan dari mereka yang 'tertipu' masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya hari ini.

"Tidak mungkin rakyat membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat ini menerajui negera," katanya sambil menyatakan, senario itu menimbulkan persoalan mendalam.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, rakyat berpeluang memiliki kerajaan yang adil dan mengamal tatakelola yang baik dengan memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"PRU 13 adalah peluang terbaik dan nampaknya semakin hampir," katanya.


Keadilandaily

Ummi Hafilda mencari makan di Merlimau pula..

Posted: 02 Mar 2011 07:40 PM PST

Ada blogger pro UMNO juga yang mengatakan ceramah Ummi dan Calon BN di Merlimau telah membuatkan PAS mula takut terhadap ceramah Ummi itu.. tapi kalau ceramah setakat 150 orang saja yang hadir nak takut apa bendanya???

Ummi rayu pengundi Merlimau tolak Anwar dan Pakatan

JASIN,
3 Mac — Ummi Hafilda Ali yang tampil di pentas Barisan Nasional (BN) menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau agar menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.


Ini merupakan kali pertama Ummi Hafilda, adik kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali tampil menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil BN di Merlimau.

Ummi Hafilda, pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Anwar yang juga Ketua Umum PKR, 13 tahun yang lalu.

"Selepas 13 tahun saya mendiamkan diri . . . sudah lama saya bersabar, sabar saya juga ada had dan saya kembali untuk membongkar rahsia Anwar Ibrahim.

"Saya tampil adalah untuk membersihkan segala fitnah yang dilemparkan terhadap saya, segala tohmahan terhadap saya. Apa yang saya alami selama ini mungkin tidak pernah dialami mana-mana ahli politik," katanya ketika menyampaikan ceramah Membongkarkan Penyelewengan dan Pembohongan Pakatan Rakyat di Bilik Gerakan BN Kampung Chinchin Hulu di sini malam tadi.

Dengan nada suara yang serius, Ummi Hafilda memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa Anwar merupakan seorang individu yang sangat merbahaya kepada agama dan juga negara.

Dalam ceramah itu, Ummi Hafilda juga berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa tujuan lain selain mahu menegakkan kebenaran.

"Apa guna saya nak aibkan . . . apa guna saya nak zalimi abang saya kalau bukan kerana kebenaran, Azmin tahu segala-galanya tapi dia menghalalkan apa yang berlaku.

"Kalau kata saya fitnah, samanlah saya... Azmin samanlah saya... Anwar samanlah saya, kalau orang kata saya gila glamor, gila duit kenapa perlu saya tunggu 13 tahun," katanya.

Kira-kira 150 orang menghadiri ceramah itu.

Kedatangan Ummi Hafilda di Merlimau dilihat cuba untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan itu terutamanya orang Melayu.


The Malaysian Insider

Senarai panjang kejayaan pentadbiran kerajaan BN Melaka

Posted: 02 Mar 2011 05:41 PM PST


a) Eye On Malaysia disita.Fitraco NV memfailkan saman pada Eom dan MST Ad Suria Sdn Bhd (MST Ad Suria) pada 15 September tahun lalu, selepas syarikat terbabit gagal melunaskan hutang pinjamannya sebanyak RM17 juta bagi menyewa dan membawa roda berkenaan ke Malaysia pada 2006.

Sebelum itu Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk mengambil alih roda berkenaan setelah sebelum ini ianya beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 1 Januari 2007 hingga 31 Ogos 2008.


Kerajaan Negeri Melaka mempunyai kepentingan di dalam Eye On Malaysia ini menerusi Eom, sebuah syarikat usahasama yang ditubuhkan bersama MST Ad Suria. Kerajaan negeri diwakili Kumpulan Melaka Berhad (KMB). RM8 juta duit rakyat Melaka hangus disebabkan kelemahan dan kelalaian kerajaan negeri Melaka pimpinan Ali Rustam.

Eye On Malaysia yang dipindahkan ke Melaka pada tahun 2008 dahulu di sita oleh Mahkamah Januari 2009 kerana kegagalan syarikat tersebut membayar hutang kepada pemilik asalnya iaitu syarikat dari Belgium, Fitraco NV.

Pada 8 Februari 2010, MST Ad Suria Sdn Bhd (Syarikat usahasama agensi kerajaan negeri) diperintahkan membayar kos RM35,000 dan defendan kedua, Eye On Malaysia Sdn Bhd membayar RM10,000 kepada Fitraco NV.

Syarikat dari Belgium itu juga dibenarkan memindah keluar roda gergasi 'Eye of Malaysia' dan boleh memasuki tanah milik syarikat "Eye On Malaysia Sdn Bhd. Mahkamah juga memerintahkan tanah itu dibaikpulih seperti sedia kala selepas roda itu dibuka.

Ini bermakna roda gergasi, Eye On Malaysia dan tapaknya ini akan hanya tinggal nama dan menjadi bahan sejarah. Mungkin ianya boleh dimasukkan sebagai destinasi pelancongan terbaru Melaka.

b) Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC) yang dirasmikan pada 1Ogos 2009, yang terletak berdeketan MITC, Ayer Keroh yang mempunyai 52 lane telah menelan duit rakyat sebanyak RM15 juta.

c) Projek Pulau Melaka terdiri dari 4,387 unit rumah kediaman dan 4,180 unit separa perniagaan termasuk pusat pelancongan mewah, hotel serta pelbagai aktiviti pantai dengan kos yang bernilai RM1.46 bilion dan dilaporkan telah terjual sebanyak RM195.3 juta iaitu sebanyak 1,419 unit sehingga 31 Januari 2005. Malangnya projek ini akhirnya menjadi projek gajah putih apabila sebahagian besar banguan yang dibina tidak siap dan tidak berpenghuni. Masjid yang tersergam indah tidak digunakan secara maksimum kerana tidak ramai orang Islam tinggal di kawasan tersebut. Walaupun kerajaan negeri cuba menukarkan projek ini menjadi 'Pulau Arab' namun hasilnya sehingga kini belum diketahui.

d) Kincir air berharga RM1.47 juta di Sungai Melaka juga merupakan projek yang membazir. Tambahan pula kincir air ini rosak dan tidak dapat berfungsi.

e) Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam yang dirasmikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini masih tidak berfungsi kerana tidak ada satu pun syarikat penerbangan baru yang menggunakan lapangan terbang ini. Kos menaiktaraf lapangan terbang tersebut mencecah sehingga RM 131.5.

Idea awal menaik taraf adalah untuk menjadikan lapangan terbang ini sebagai hub tambang murah dengan mensasarkan syarikat seperti Air Asia dan FireFly serta MAS. Namun sehingga ini syarikat-syarikat tersebut masih tidak sudi untuk memulakan operasi di sini. Terbukti bahawa kerajaan negeri tidak melakukan kajian yang teliti dari segi komersil sebelum meluluskan projek ini.

f) Projek Monorel yang menelan belanja sebanyak RM210 juta sedang dalam pembinaan. Stesyenny akan dibina di Tol Ayer Keroh bagi menghubungkan laluan tersebut ke pusat bandar sejauh 30 kilometer. Tujuan pembinaanny adalah untuk masalah kesesakan jalan raya yang sering berlaku terutamajalan masuk ke Banda Hilir. Sistem monorel ini akan disambung dari Stesen Tuah melalui Jalan Tun Ali dan Jalan Tun Mutahir sebelum bersambung semula dengan Stesen Taman Rempah bagi melengkapkan satu pusingan. Persoalannya adakah projek ini bernilai komersil dan menguntungkan.???

Projek-projek lain yang harganya tidak masuk akal dan membazir!!

g) Dataran Klebang. Segalanya telah musnah samada struktur pantai, ekosistem laut, spesies hidupan laut, tempat tumpuan pelancong menikmati keindahan laut, membunuh para peniaga di pantai Klebang dan hilangnya satu indentiti Melaka iaitu belacan dan cencaluk kerana di sini merupakan tempat yang banyak menghasilkan penangkapan udang geragau yang diperlukan untuk membuat belacan dan cencaluk.

Kerajaan hanya mementingkan keuntungan yang diperolehi dari pemaju saja tanpa memikirkan kelansungan hidup para nelayan.

Selain itu projek-projek lain yang jelas membazir dan tidak munasabah harganya ialah :-

• Projek Lebuhraya Sungai Udang Ke Durian Tunggal berharga RM 280 juta sepanjang 21 km atau RM 14 juta sekilometer di mana hanya separuh adalah 4 lorong kereta;
• Menara Taming Sari berharga RM23 juta
• Projek Hang Tuah Mall berharga RM 8.5 juta;
• Projek air terjun Bukit Beruang berharga RM 1.7 juta;
• Projek pintu gerbang MBMB berharga RM 2.7 juta;
• Jeti Parameswara berharga RM 13 juta;
• Satu unit tandas awam berharga RM 125,000/-
• Bandaraya Mall(Taj Mahal di Bangunan MBMB) berharga RM 4.5 juta;
• Projek pesiaran kaki Jonker Walk sepanjang 600 meter berharga RM 1.8 juta atau RM 300 sekaki;
• Bunga pasu berharga RM800 sebuah di sepanjang Jalan Bendahara;
• Air pancut dan pesiaran kaki di depan Mahkota Parade berharga RM 2 juta dan jalan berbatu yang rosak sebaik ia disiap berharga RM 2.5 juta.
• Projek mencantikkan Sungai Melaka telah makan belanja hamper RM 100 juta dan akan memakan belanja tambahan RM 100 juta lagi. Pihak kerajaan telah berjanji bahawa banjir kilat akan diatasi kerana air pasang tidak akan melimpah keluar dan air Sungai Melaka akan sebersih sehingga boleh cuci mata. Semua janji ini hanya omong-omong kosong

Isu-isu lain

1) ISU KEPINCANGAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN PENTADBIRAN AGENSI KERAJAAN NEGERI MELAKA

Laporan Ketua Audit 2009 bagi negeri Melaka menjelaskan ketempangan dan kelemahan kerajaan negeri dalam pengurusan kewangan mereka.

Antara perkara yang dibongkar di dalam laporan itu ialah :

a) Pengurusan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang tidak mengikut prosedur. Contohnya dalam urusan perlantikan guru-guru; kurikulum yang tidak mematuhi dasar; akaun amanah KAFA tidak mengikut prosedur; bantuan perka pita yang diberikan oleh pusat tidak dibelanjakan mengikut tempoh dan matlamat pemberian; guru berlebihan dan sebagainya.

b) pengurusan pembayaran emolumen guru kontrak di bawah skim Gred S11 Kerajaan Negeri adalah tidak memuaskan kerana Kerajaan Negeri telah terlebih berbelanja sejumlah RM17.83 juta bagi bayaran elaun guru KAFA.

c) elaun 20 guru masih dibayar ke akaun bank walaupun telah meletakan jawatan mulai tempoh tahun 2005 hingga 2007. Mengikut perkiraan audit, elaun yang perlu dibayar balik oleh guru adalah berjumlah RM120,000 setahun dan usaha belum diambil bagi menuntut elaun yang terlebih dibayar.

d) JAIM tidak dapat mengesan elaun terlebih bayar kepada seorang guru sehingga guru berkenaan membuat bayaran balik secara sukarela sejumlah RM6,932.
e) Semakan Audit terhadap pembayaran ganjaran guru mendapati berlaku kelewatan antara lima hingga 41 bulan bagi menjelaskan ganjaran berjumlah RM378,774 kepada 395 guru walaupun perkhidmatan guru tamat semenjak bulan Disember 2004.

f) Bayaran ganjaran berjumlah RM114,051 bagi 123 orang guru kontrak Kerajaan Negeri yang ditawarkan lantikan semula masih belum dijelaskan walaupun tempoh kontrak perkhidmatan tamat sejak awal bulan Januari 2005.

g) Perbelanjaan berjumlah RM3.11 juta dari tempoh bulan Januari hingga Jun 2008 telah dijelaskan bagi pembelian perabot, komputer dan membaiki bangunan sekolah dengan menggunakan wang akaun amanah KAFA tanpa kelulusan JAKIM.

h) Lawatan Audit ke enam SRA JAIM dengan pegawai Unit Pembangunan JAIM mendapati pembayaran bagi sembilan kerja pembaikan di enam SRA JAIM berjumlah RM0.39 juta dijelaskan kepada kontraktor tanpa lawatan dan pengesahan JAIM. Selain itu enam kerja pembaikan bagi lima SRA JAIM berjumlah RM0.30 juta telah dijelaskan pembayarannya kepada kontraktor walaupun tidak mengikut spesifikasi kerja.

i) Sejumlah RM0.50 juta untuk SRA JAIM Paya Rumput, Masjid Tanah yang diterima sejak Februari 2007 untuk pembinaan bangunan baru tidak digunakan sebaliknya dilabur dalam simpanan tetap.

j) Bantuan projek untuk SRA JAIM Ramuan China Besar sejumlah RM0.39 juta yang diterima pada November 2006 hanya bermula pada Julai 2008. Ini berpunca daripada masalah perebutan pelaksanaan projek antara pihak LEKAS dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong. Kelewatan projek pembinaan telah mengakibatkan suasana pembelajaran yang tidak selesa.

k) SRA JAIM Bukit Tembakau mempunyai seramai 281 murid tiada bilik darjahyang mencukupi sehingga tempat letak kereta telah disusun dengan kerusi meja untuk dijadikan kelas

l) Semakan Audit mendapati sejumlah RM12,720 telah dibayar kepada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penama terlibatmelalui akaun bank mereka walaupun status penerima bantuan telah meninggal dunia.

m) Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 13Tahun 1999, mensyaratkan Agensi pelaksana boleh memasukkan item bagi pengangkutan dan kemudahan peralatan untuk pengurusan projek melalui kontrak kerja. Item yang dibenarkan ialah kemudahan komputer jenis desktop dan telefon jenis atur bagi projek yang melebihi RM0.50 juta.

n) Semakan Audit mendapati Jabatan Parit dan Saliran Negeri Melaka telah menetapkan beberapa keperluan Pegawai Penguasa Projek di dalam Fasal 110 spesifikasi dokumen kontrak seperti desktop, telefon bimbit dan kamera. Adalah didapati satu projek bernilai kurang daripada RM0.50 juta telah dibekalkan dengan Notebook dan telefon bimbit yang mana projek ini tidak kelayakkannya. Manakala lima projek dibekalkan dengan telefon bimbit yang mana hanya layak dibekalkan telefon jenis atur.

o) Semakan Audit mendapati bayaran bulanan secara pukal telah dipinda pada akhir November 2008 kepada kadar sewa RM20 sepetak mengikut bilangan petak dan waktu operasi atas permohonan Syarikat Konsesi.

p) Keputusan ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kewangan dan mesyuarat Majlis Penuh masing-masing mengikut Bil. 1 Tahun 2008 dan Bil. 11 Tahun 2008. Bagaimanapun bayaran ini dikuatkuasakan oleh MBMB secara mengebelakangkan tarikh (back date) sejak mula penswastaan iaitu pada awal bulan Mei 2006 walaupun tarikh kuat kuasa ini bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 12 tahun 2007 yang menetapkan tarikh kuat kuasa mulai awal bulan Mei 2007.

q) Mengikut perjanjian penswastaan sehingga akhir Julai 2008, hasil yang sepatutnya diterima berjumlah RM8.10 juta berbanding sejumlah RM5.64 juta selepas pindaan kadar sewa. Pengurangan bayaran bulanan ini menyebabkan MBMB telah kehilangan hasil berjumlah RM2.46 juta dan keputusan ini tidak menjaga kepentingan MBMB. Selain itu, daripada sejumlah RM5.64 juta, sejumlah RM2.19 juta atau 38.8% masih tertunggak.

r) Pendahuluan Emolumen - Klausa 4.1.12 kepada surat perjanjian menetapkan gaji, PERKESO, KWSP dan elaun anggota MBMB yang bertugas dengan Syarikat Konsesi secara pinjaman bagi menjalankan tugas penguatkuasaan dibayar oleh Syarikat Konsesi.

s) Semakan Audit mendapati dari mula penswastaan sehingga bulan Julai 2008 seramai 33 anggota penguatkuasa MBMB yang bertugas dengan Syarikat Konsesi telah dibayar emolumen secara pendahuluan sejumlah RM2.89 juta melalui sistem gaji MBMB di mana RM0.63 juta masih tertunggak. Amalan ini bertentangan dengan syarat surat perjanjian dan pembayaran pendahuluan ini menjejaskan aliran tunai MBMB kerana jumlah tunggakan adalah tinggi.

t) Semakan Audit mendapati, sehingga akhir bulan Julai 2008 hasil pembahagian kompaun yang telah diterima oleh MBMB adalah berjumlah RM2.81 juta berbanding sejumlah RM2.25 juta selepas kelulusan pindaan kadar kompaun berbayar. Kesan dari kelulusan pindaan secara kebelakangan, MBMB perlu membayar kepada Syarikat Konsesi pembahagian kompaun tambahan sejumlah RM0.56 juta. Selain itu, tiada bukti perjanjian tambahan dibuat dan kelulusan daripada Jawatankuasa Penswastaan Negeri tidak diperoleh bagi memperakukan keputusan ini.

u) Perintah 8, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MBMB), 2005 menetapkan kawasan tempat letak kereta yang telah di warta boleh dikenakan caj dan kesalahan boleh di kompaun mengikut perintah 46(1) dalam Perintah yang sama. Perbandingan telah dilakukan antara 118 kawasan tempat letak kereta berkupon yang diswastakan dengan 132 kawasan tempat letak kereta yang diwartakan. Semakan Audit mendapati empat kawasan yang menyediakan 1,092 petak telah mengenakan caj letak kereta dan kompaun terhadap kesalahan, namun kawasan ini tidak di senarai dalam kawasan yang diwartakan. Ini bermakna kawasan tersebut telah beroperasi sebelum pewartaan menyebabkan caj dan kompaun yang dikeluarkan tidak sah di sisi perundangan. (Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008, Negeri Melaka)

v) Sehubungan dengan laporan audit diatas maka pihak MPMBB sewajarnya memulangkan wang kompaun yang telah dibayar oleh rakyat. Kawasan yang terlibat adalah Taman Bachang Mall, Semabok Perdana, Lorong Kg.Jawa, Taman Bukit Piatu Mutiara. Jumlah kompaun yang terlibat dari Januari hingga Julai 2008 adalah berjumlah RM38,320.00.
2) ISU ANAK-ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI MELAKA MENGALAMI KERUGIAN

Sebilangan besar anak-anak syarikat kerajaan negeri Melaka mengalami kerugian disebabkan pentadbiran dan pengurusan kewangan. Ini juga disebabkan kerana amalan kronisme di mana individu yang dilantik ke jawatan tinggi di dalam syarikat terbabit tidak berkelayakan dan tidak kompeten. Sebagai contoh pada tahun 2007 21 anak syarikat kerajaan negeri Melaka mengalami kerugian di mana MITC mencatatkan kerugian paling tinggi iaitu RM9,980,207, Pertam Construction (RM5,444,102), Perbadanan Melaka Holding Sdn Bhd (RM5,184,168) dan lain-lain.
3) ISU PENDIDIKAN

a) PASTI terus dizalimi

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seluruh negeri Melaka terus ditekan oleh kerajaan negeri Melaka sehingga kini kes ini belum selesai.

13 PASTI diseluruh kawasan di dalam negeri Melaka telah menerima surat amaran dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mengarahkan kesemua PASTI tersebut berdaftar di bawah JAIM. PASTI-PASTI ini dituduh melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam (Melaka) 2002.

Surat (JAIM/6/(S) 223/1-34 (4) yang ditandatangani oleh bekas Pengarah JAIM Abdul Halim Tawil antara lain memberi amaran bahawa jika kesemua PASTI tersebut enggan mendaftar dengan JAIM dalam masa 14 hari dari tarikh surat itu tindakan akan di ambil mengikut enakmen tersebut.

Antara PASTI yang menerima surat amaran tersebut ialah dari Kawasan Alor Gajah iaitu PASTI Munawwaarah 2 & 3; Kawasan Bukit Katil - PASTI Jaya Insan(Bukit Katil), PASTI Ar-Rahmah (Solok Gaung), PASTI Darul Islam (Bukit Beruang); Kawasan Jasin - Ar-Roudhah, Al-Istiqamah, Al-Amin, As-Syakirin, As-Solihin; Kawasan Kota Melaka - As-Syarifah, Al-Hidayah; Kawasan Tangga Batu - PASTI An-Nuriah.

Tidak ada keputusan rasmi dan muktamad yang jelas tentang isu ini.

b) Sekolah Agama negeri diserah kepada pusat

Lapan buah Sekolah Menengah Agama termasuk Sekolah Menengah Agama Tahfiz JAIM telah diserahkan kepada kerajaan Pusat.

Sebelum ini Kolej Al Dirasat Al Islamiah Al Arabiah iaitu Pusat Pengajian berkembar dengan Universiti Al Azhar Mesir yang ditadbir oleh JAIM telah diserahkan kepada Kolej Islam Melaka yang terletak di Kuala Sungai Baru walaupun mendapat bantahan daripada para pelajar dan kakitangan kolej tersebut.


Rakyat Marhaen

Kenapa Chan Kong Choy tidak dituduh pecah amanah?

Posted: 02 Mar 2011 05:19 PM PST

Seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Account Committee (PAC) telah mempersoalkan 'tuduhan ringan' yang dikenakan kepada bekas menteri pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berhubung kaitannya dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ahli parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang ahli jawatankuasa pusat PAS berkata apabila ahli politik BN yang berprofail tinggi didakwa, tuduhan yang lazim dikenakan adalah ringan.

"Saya ingin tahu mengapa sedemikian. Perkara yang sama berlaku dengan (bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo dan bekas setiauasha politik (bekas menteri kewangan) Nor Mohamed Yakcop," kata Kamaruddin ketika dihubungi.


"Hal ini seakan telah menjadi pola sekarang apabila membabitkan kes-kes berprofail tinggi. Ahli politik BN yang didakwa - jika mereka didakwa - akan dikenakan hukuman yang paling ringan."

Chan pada Isnin lalu dikenakan tiga pertuduhan menipu, yang membawa hukuman maksimum lima tahun setiap satu atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, PAC selepas inkuirinya pernah mencadangkan Chan disiasat untuk tuduhan pecah amanah(CBT), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan rotan dan denda bagi pegawai kerajaan.


Malaysiakini

Tiada ulasan: