Ahad, 13 Mac 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


MAQASID : ADA NAS DAN TIADA NAS

Posted: 13 Mar 2011 02:35 PM PDT

Dalam perbincangan maqasid syariah, ia tidak lari dalam dua bentuk, iaitu dalam perkara yang ada nas, dan dalam perkara yang tiada nas.

ADA NAS

Dalam perkara yang ada nas ini, ia tertumpu pada dua maslahah, iaitu, maslahah muktabarah dan maslahah mulghah.

Maslahah muktabarah adalah maslahah yang sememangnya wujud dalam nas. Ia merupakan tuntutan syarak agar dilakukan demi memberi kemaslahatan kepada manusia. Contohnya seperti suruhan Allah SWT agar memotong tangan pencuri. Ia mempunyai maslahah yang perlu diambil, iaitu menyelamatkan masyarakat dari berada dalam kebimbangan harta mereka yang memungkinkan dicuri atau dirompak.

Adapun maslahah mulghah, adalah maslahah yang wujud dalam nas yang dituntut agar ditinggalkan. Contohnya pengharaman arak. tidak dinafikan bahawa arak itu mempunyai maslahahnya tersendiri. Namun, maslahah yang ada pada arak itu hendaklah ditinggalkan, kerana dosanya [iaitu yang boleh mendatangkan mudharatnya] itu lebih besar berbanding maslahah. Lantaran, hukumnya adalah haram.

Dalam dua jenis maslahah ini. Jika ia berbentuk tuntutan untuk dilakukan, wajib diyakini bahawa ia mempunyai banyak kemaslahatan kepada hamba. Sekiranya wujud juga mafsadah, diyakini bahawa mafsadah itu kecil jika mahu dibandingkan dengan maslahah.

Adapun jika ia adalah larangan dari dilakukan, maka diyakini bahawa maslahah itu kecil. Sekiranya wujud mafsadah juga, diyakini bahawa mafsadah itu besar berbanding dengan maslahahnya.

TIADA NAS

Perbincangan maqasid dalam perkara yang tiada nas, dinamakan sebagai al-masalih al-mursalah. Ketika ini, ia diserahkan kepada akal yang sejahtera dan sihat bagi manusia mengimbang sesuatu perkara tersebut antara maslahah dan mudharat.

Sekiranya maslahahnya lebih besar berbanding mafsadah, maka ia adalah halal dilakukan. Adapun sebaliknya, iaitu mafsadah lebih besar berbanding maslahanya, maka ia dilarang dari dilakukan.

Lalu, jika imbangan ini sudah mencapai keputusan, selalunya ia dikuatkan dengan nas-nas yang diqiaskan dengan kejadian tersebut.

Contohnya, seperti perlantikan Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah setelah kewafatan Rasulullah SAW. perlantikan Abu Bakar itu dikuatkan dengan mengqiaskan perlantikan Nabi SAW terhadap Abu Bakar as-siddiq sebagai imam solat di saat Nabi SAW sedang sakit dahulu.

Namun begitu, sekiranya tiada nas yang mengukuhkan keputusan setelah diimbang antara maslahah dan mudharat, maka ia tidak mencacatkan keputusan tersebut. Ia seperi yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq yang menghimpun al-Quran atas cadangan yang dilontar oleh Umar bin Al-Khattab. Waima tiada nas secara qias yang mengukuhkan tindakan Abu Bakar tersebut, tetapi keputusan itu ternyata mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan yang besar kepada Islam dan umatnya. Dengan erti kata lain, tiada nas itu tidak mencacatkan keputusan yang terhasil setelah diimbang antara maslahah dan mafsadahnya.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Kopitiam Bangi
13 Mac 2011 * 9.00 malam.

TA'LIL : ANTARA USUL FIQH DAN ILMU KALAM

Posted: 13 Mar 2011 02:34 PM PDT

Dalam pengajian maqasid syariah, tidak akan lepas dari berbincang tentang ta'lil. Dalam perkara ini, ia perlu dibahas dari dua dimensi, iaitu dari dimensi ilmu usul fiqh dan dimensi ilmu kalam.

Dalam ilmu kalam, perbincangannya adalah, apakah ta'lil ini adalah satu perkara yang wajib pada af'al Allah atau tidak, ataupun ia tertakluk kepada akal manusia.

menurut muktazilah, penentuan baik buruk itu adalah tertakluk oleh akal. menurut asyairah pula, baik dan buruk itu tidak tertakluk kepada akal, tetapi tertakluk kepada hukum syarak [dgn maksud, nas yang mengakui penerimaan dan penolakan]. Adapun maturidiyyah pula berpendapat, baik dan buruk adalah penentuan akal. Namun begitu, dalam menentukan apakah benar ia adalah baik atau buruk diserahkan kepada syarak. [Dhowabit maslahah : 100]

Nyata dari perbincangan ta'lil pada af'al Allah, ketiga2 aliran pemikiran ini mempunyai perbedaan dalam menentukan asas bagi penentuan baik dan buruk. Apakah ia ada kaitan dengan akal, ataupun ia mempunyai kaitan dengan Allah, atau ia semata-mata diserahkan kepada Allah.

DIMENSI USUL FIQH

Dan satu lagi adalah perbincangan ta'lil dari dimensi ilmu usul fiqh. Perlu difahami, kedua-dua dimensi ini tidak boleh disamakan, waima kedua-duanya mempunyai unsur-unsur kesamaan. ia sama seperti perbedaan antara monyet dan manusia, waima tidak dinafikan antara kedua-dua makhluk ciptaan Allah ini mempunyai unsur-unsur kesamaan.

Dari dimensi ilmu usul fiqh, ta'lil banyak dibincangkan dalam kerangka perbahasan qiyas. Dalam ilmu maqasid syariah, ta'lil dari dimensi usul fiqh ini yang dibincangkan secara mendalam.

Jadi, jika ada pihak membahaskan isu maqasid syariah dari dimensi ilmu kalam, tidak hairan mereka akan menjadi golongan yang menolak ilmu maqasid syariah. Walaupun mereka menganggap beraliran al-ghazali, tetapi mereka tersalah menilai isu ta'lil dari sudut dimensi. Al-ghazali dan gurunya, Al-Juwaini membahaskan maqasid dari sudut ta'lil dari dimensi usul fiqh, tetapi memandangkan kita meneroka ta'lil yg dibahas oleh al-Ghazali dari dimensi ilmu kalam, pasti kita akan terkeliru, dan mungkin mengelirukan orang lain.

Sekian.

Wallahu 'Alam.

- Jejantas Sg Buloh
13 Mac 2011 * 6:40 petang

Tiada ulasan: