Ahad, 6 Mac 2011

AKU INGIN BEBAS

AKU INGIN BEBAS


BN BERJAYA KEKALKAN KEMENANGAN DI KERDAU DAN MERLIMAU

Posted: 06 Mar 2011 04:57 AM PST

Berikut adalah keputusan PRK DUN Merlimau (N27).

Roslan Ahmad (BN) - 5962

Yuhaizad Abdullah (PAS) - 2319

Majoriti - 3643

Peratus Mengundi - 79%

Manakala keputusan PRK DUN Kerdau (N28).

Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN) - 5060

Hasanuddin Salim (PAS) - 2336

Majoriti - 2724

Peratus Mengundi - 83%

BN berjaya mengekalkan kemenangan. Tahniah.

UTUSAN DAN TV3, MEDIA FITNAH NO.1 DI MALAYSIA

Posted: 05 Mar 2011 05:38 PM PST

TEMERLOH, 6 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan TV3 kerana didakwa memfitnah beliau membeli tanah peneroka Felda yang sebenarnya dibeli oleh pihak lain.

Berdasarkan laporan blog-blog Umno, semalam Utusan menyiarkan tiga artikel berturut-turut yang menuduh Tuan Ibrahim mengambil kesempatan daripada peneroka tanah rancangan yang kesempitan hidup dengan membeli tanah mereka.

Malah Utusan turut menuduh disebabkan pembelian tersebut, tuan tanah asal tersebut kini hidup dalam serba kedaifan.

Pertuduhan terhadap Tuan Ibrahim turut dilaporkan Buletin Utama di TV3 pada sebelah malamnya walaupun selepas pembeli sebenar tanah tersebut, Ibrahim Osman membuat pendedahan sebenar dalam satu sidang akhbar di markas induk PAS Kerdau dengan menafikan perkara tersebut.

"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang semalam.

(Gambar: Ibrahim Osman menunjukkan bukti bahawa tanah itu adalah milik beliau melalui syarikatnya)

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.

"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya
menjelaskan kesemua pinjaman itu.

"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak Mara atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd," katanya sambil menambah bahawa soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.

"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," katanya.

Harakahdaily difahamkan Tuan Ibrahim akan berbincang dengan peguamnya untuk memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia dan TV3 serta beberapa pihak lain dalam masa terdekat.

KERDAU DAN MERLIMAU MILIK SIAPA?

Posted: 05 Mar 2011 02:39 PM PST

SEBANYAK 10,679 pengundi dan 8,999 lagi pemilih berdaftar akan keluar menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih wakil rakyat baru, masing-masing di dua pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau hari ini.

Pilihan raya kecil kali ke-15 dan 16 sejak pilihan raya umum Mac 2008 itu menyaksikan pertembungan tradisi Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN memenangi kedua-dua kerusi itu tiga tahun lalu.

BN dalam tempoh setahun ini telah memenangi empat daripada lima pilihan raya kecil iaitu di Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas dan Tenang.

Kemenangan di Merlimau dan Kerdau jika berpihak kepada BN disifatkan penganalisis politik sebagai peningkatan momentum sokongan rakyat kepada parti itu sejak kebelakangan ini.

Di Merlimau, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin yang juga anak bekas Ahli Parlimen Jasin, Roslan Ahmad berhadapan dengan calon Pas, Yuhaizat Abdullah.

Yuhaizat merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka.

Sementara di kerusi DUN Kerdau, BN mempertaruhkan Naib Ketua UMNO Kuala Krau yang juga lulusan bahasa arab, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau menghadapi tentangan daripada Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim.

Hassanuddin pernah bertanding di Kerdau pada 2008 tetapi tewas.

Kerusi Kerdau kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau pula diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum lepas, Mohamad Hidhir menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN Kerdau dengan 15 orang daripadanya pengundi pos. Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran mengundi dibuka kepada pengundi.

Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang)

Sama seperti di Merlimau, kawasan Kerdau memperlihatkan jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus.

Di Merlimau, sejumlah 10,679 pengundi berdaftar dicatatkan di situ termasuk 36 pengundi pos. Golongan wanita di situ mengatasi pengundi lelaki dengan masing-masing 5,592 dan 5,087.

Daripada keseluruhan pengundi, 7,988 adalah Melayu. Sejumlah tujuh pusat mengundi dengan 21 saluran mengundi disediakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan meminta para pengundi di kedua-kedua kerusi supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan cuaca mendung di Merlimau pada sebelah pagi manakala di Kerdau adalah baik.

Bagaimanapun kedua-kedua kawasan dijangka hujan pada petang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut mengingatkan pengundi supaya menyemak nama mereka dalam senarai daftar pemilih dan tidak lupa membawa kad pengenalan ke pusat mengundi.

"SPR juga berharap tidak ada tanggapan bahawa pengundi akan beratur panjang pada sebelah pagi kerana kita ada mekanisme untuk menyelesaikannya.

"Seperti mana pelaksanaan mekanisme itu dilaksanakan pada PRK lepas, SPR akan menyediakan kerani di setiap saluran untuk memanggil dua pengundi serentak yang beratur di luar dengan bergilir-gilir membuang undi," katanya.

SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi di Merlimau dan Kerdau melebihi 80 peratus iaitu naik lima peratus daripada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, peratusan keluar mengundi di Merlimau dan Kerdau masing-masing mencatatkan 76.18 peratus dan 80.3 peratus.

Tiada ulasan: