Addin |
- Nah!! Ini Dia Kekayaan Taib Mahmud Di Australia..
- Universiti Di Malaysia Di Tadbir Seperti Tadika
- Rosmah Bagi Hadiah Istimewa Buat Lee Chong Wei..
Nah!! Ini Dia Kekayaan Taib Mahmud Di Australia.. Posted: 16 Mar 2011 11:00 AM PDT Wang Tunai Untuk Darjah Kebesaran Di Universiti Adelaide? Sarawak Report telah mengambil masa beberapa minggu untuk mendapatkan penjelasan daripada Universiti Adelaide apakah faktor mereka menamakan sebahagian dari kampus mereka sempena nama Ketua Menteri Sarawak. 'Taib Mahmud, Chief Minister of Sarawak Court' telah dinamakan khas sebagai menghormati seorang ahli politik yang penuh kontroversi dari Malaysia Timur pada tahun 2008. Pada ketika itu ianya dikatakan sebagai "suatu ruang sosial yang telah dilanskapkan", yang mana terdapat sekeping gambar menunjukkan seorang ahli politik berstatus multi-jutawan dilihat sedang berjalan-jalan di suatu kawasan di situ bersama Timbalan Chancelor, Professor James McWha. Namun permintaan kami tidak mendapat sebarang respon dari pihak universiti. Email-email kami tidak berjawab malah soalan-soalan lisan menerusi telefon kami pun tidak mendapat sebarang layanan. Beberapa orang ahli alumni Malaysia yang telah menuntut di situ telah meluahkan rasa kesal mereka terhadap penghormatan Taib Mahmud pada bulan Disember lalu, mengemukakan aduan bersama di dalam surat mereka: "Sungguh memalukan kami bahawa universiti kami menganugerahkan seorang kleptomaniak dan seseorang penyalahguna hak asasi kemanusiaan" Alasan kegagalan untuk mendapatkan respon dari pihak universiti mungkin memandangkan Taib Mahmud mampu mencurahkan sejumlah derma yang amat banyak, tetapi tidak mampu dilakukan oleh Sarawak Report mahupun warga alumni universiti berkenaan. 'Pemberian peribadi' Taib diberikan dengan pelbagai cara! Taib tamat pengajiannya dari Adelaide dalam jurusan perundangan dalam tahun 1961, tetapi seterusnya menerima darjah doktor kehormat dalam tahun 1994, diikuti dengan anugerah-anugerah lain kerana sokongannya. Pengumuman-pengumuman dari universiti itu menyatakan beberapa sumbangannya dalam masa beberapa tahun, namun setelah mereka mendiamkan diri sejak kebelakangan ini, kita sukar untuk membuat sebarang perkiraan. Adelaide telah mengikhtiraf derma pertama Taib yang dilakukannya pada tahun 1987, enam tahun setelah beliau menjadi Ketua Menteri dan beliau telah mula memperlihatkan tahap pendapatan yang di luar jangkaan. Syarikat hartanahnya di Amerika Utara, Sakti International, telah diasaskannya bersama-sama ahli-ahli keluarganya pada tahun berkenaan dan kini bernilai beratus-juta dollar Australia. Menurut universiti itu, derma pertamanya adalah untuk menaiktaraf kelengkapan Sekolah Perundangan di situ. Dalam tahun 2001 Ketua Menteri itu telah menderma sebanyak $300,000 kepada universiti berkenaan yang telah digunakan untuk mendirikan "Malaysia Room, lengkap dengan perabot dan artifaks dari Sarawak". Pihak universiti telah menyebut bilik berkenaan sebagai: "suatu pemberian dari Ketua Menteri yang pemurah, yang juga merupakan seorang daripada alumni kehormat dan dermawan kami". Harga penghormatan apa? Tanpa memperoleh sebarang respon rasmi dari pihak universiti berkenaan, kami menganggarkan bahawa sejumlah wang yang lebih besar telah mereka terima sebelum mereka menggunakan nama Taib Mahmud, Timbalan Chancellor, Prof. James McWha, mengucapkan terima kasih kepada Taib atas "sokongan signifikannya dan usaha gigihnya" dan seterusnya menyebut: "Pemberian peribadi Ketua Menteri itu telah berterusan sejak selama beberapa tahun in" Malangnya, derma-derma yang diberikan oleh seseorang yang mempunyai status dan pangkat tidak dipersoalkan oleh pihak universiti itu, bagaimana seseorang dalam kedudukan Taib itu dibolehkan undang-undang untuk menghulurkan "pemberian peribadi" yang sebegitu banyak jumlahnya. Sebagai seorang penjawat awam yang dipilih, gaji bulanan Taib merupakan suatu rekod awam dan kesemuanya berjumlah RM20,000 sebulan (kira-kira $10,000 Australia). Ini bermaksud nilai harga untuk mewujudkan "Malaysia Room" sahaja boleh mencecah dua kali ganda gaji tahunannya. Hanya sedikit penyoalan dilakukan oleh pihak universiti ke atasnya akan membongkar isu-isu yang berkisar sekeliling kekayaan Taib. Sudah pastinya tiada kekurangan maklumat dan bukti yang boleh mengaitkan Ketua Menteri itu dengan rangkaian rasuah pembalakan di seluruh hutan hujan tropika Sarawak yang telah semakin mengecil sehingga kurang dari 5% saiz asalnya selama 30 tahun beliau berkuasa. Sebenarnya, kemusnahan yang dilakukan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan regim Taib Mahmud telah berkembang menjadi ancaman global. Syarikat-syarikat itu beroperasi di seluruh kepulauan Borneo, di Irian Jaya, the Solomon Islands, lembah-lembah Amazon dan Siberia, sebagai mana dilaporkan oleh beberapa NGO. Dalam pada itu, the Green Party di Tasmania telah mempersoalkan kenapa sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Taib telah diberikan subsidi sebanyak $8 juta oleh negeri itu untuk menebang kayu dan mengeksportnya kembali ke Malaysia, di mana hutannya kini telah ranap? Suatu jenayah pelbagai mangsa Kesan pemusnahan yang dahsyat ini telah menjejaskan hidupan liar, sungai-sungai dan sistem ekologi di rantau ini. Kemusnahan ini juga telah menjejaskan orang-orang asal yang mana kawasan-kawasan mereka telah dicerobohi, tanpa diadakan sebarang keberterusan, dan juga menghampiri kepupusan. Hanya segelintir orang sahaja yang menikmati dari kekayaan yang terjana dari pemusnahan hutan mereka itu. Sebaliknya, University of Adelaide merupakan pemanfaat, bukan dari 'pemberian peribadi' Ketua Menteri, tetapi, dari hasil rompakannya ke atas rakyatnya sendiri. Soalan-soalan kami Dengan alasan-alasan inilah maka Sarawak Report telah menyenaraikan beberapa soalan yang kami harap sedia dijawab oleh Timbalan Chancellor. Kami ingin mengetahui jika universiti berkenaan mempunyai garis panduan etika apabila mereka menerima sebarang derma dari sesiapa, dan jika ada, apakah dasar yang digunakan oleh Professor McWha untuk menerima Taib Mahmud sebagai rakan kongsinya untuk Adelaide? Kami juga ingin memohon maklumat mengenai jumlah sebenar derma-derma yang diterima dari universiti itu, berasaskan sejumlah derma itu dikenali sebagai wang dari hasil rompakan dan rasuah, dan seharusnya dikembalikan secara sah berteraskan undang-undang kepada rakyat Sarawak. Jika universiti berkenaan sering menjelaskan bahawa derma-derma itu adalah hasil 'pemberian peribadi', maka kami tidak akan mempersoalkan lagi hanya jika wang daripada Taib Mahmud itu sememangnya dari gaji rasminya walaupun amat terhad. Banyak lagi di Australia Sebagaimana yang sering ditimbulkan oleh para NGO, terdapat banyak lagi harta Taib di Australia, ditambah dengan jutaan misteri Ketua Menteri itu. Adelaide Hilton 380 bilik merupakan sebuah syarikat perhotelan yang didaftarkan bawah nama anak-anak dan arwah isterinya, dan terdapat banyak lagi harta keluarganya di kawasan-kawasan lain. Memandangkan Australia mempunyai kekayaan sendiri yang mencukupi, adalah memadai bagi University of Adelaide mencari penderma tempatan yang sah dan dari sumber-sumber domestiknya sendiri, tanpa mengharapkan keuntungan hasil dari ekploitasi ke atas orang-orang miskin di Borneo oleh Ketua Menteri mereka yang korup? Yang pastinya, adakah kebolehpercayaan itu harus dinafikan?/Sarawak Report |
Universiti Di Malaysia Di Tadbir Seperti Tadika Posted: 15 Mar 2011 09:00 PM PDT Mereka yang sinis akan menyamakan universiti tempatan dengan kandang, tiada hak bersuara selain disuapkan pagi dan malam, dibesarkan dan kemudian disembelih untuk dipasarkan. Malah bukan sesuatu yang baru untuk menyifatkan institusi pengajian tinggi sebagai kilang - siswa-siswi dihasilkan dengan acuan mengikut piawaian tertentu - semuanya sama, bagaikan tin makanan. Dan jenaka sedemikian diterapkan sebagai falsafah sistem pengajian tinggi Malaysia. Gambar bagaimana Ketua Pegawai Keselamatan menutup mulut seorang wakil siswa dengan tangannya itu sudah cukup untuk menjelaskan situasi sebenar dalam Universiti Malaya. Tidak lama kemudian, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang enggan ditinggalkan kesunyian di Sintok menarik tumpuan media dengan memberi saman kepada kepada siswa-siswinya - atas kesalahan warna dan panjang rambut yang melanggar peraturan. Saya gagal melihat bagaimana kedua-dua usaha di atas meningkatkan reputasi menara gading di Malaysia ke dalam senarai 100 universiti terbaik di dunia. Padahal ia mungkin satu cubaan pentadbir universiti untuk mencatat rekod Guinness, yang jelas lebih mencungkil minat politikus yang bergelar profesor. Jikalau ia sesuatu yang "tidak masuk akal" apabila universiti mengupah pegawai keselamatan untuk mengawasi mulut siswa/i; bagaimana pula dengan perlantikan Naib Canselor untuk menjaga hal rambut dan pakaian siswa/i? Alasan yang tidak masuk akal Saya terpegun apabila membaca wawancara China Press bersama Naib Canselor UUM, Mohamed Mustafa Ishak yang bermegah dengan kejayaannya menyeragamkan pakaian siswa-siswinya. Setahu saya Naib Canselor adalah pengemudi yang menentukan hala tuju universitinya. Maknanya, persoalan yang berlegar dalam tengkorak Naib Canselor adalah sejauh manakah siswa-siswinya berjiwa kemanusiaan; apakah siswa-siswinya ghairah untuk menghambat kebebasan, mencari kebenaran, dan menegakkan keadilan?Pendek kata, Naib Canselor seharusnya lebih mengambil berat tentang apa yang tersirat di dalam jiwa siswa-siswi, daripada apa yang tersurat pada rupa bentuk luarannya. Ini kerana andaian bahawa paras rupa dan pakaian seseorang yang memenuhi peraturan yang ditetapkan adalah "orang baik" terbukti meleset. Logiknya senang difahami selagi kita tidak berfikir menggunakan usus besar. Cuba lihat penampilan Chan Kong Choy, bekas Menteri Pengangkutan ketika berada di mahkamah untuk berdepan dengan tuduhan "menipu Perdana Menteri" dalam skandal PKFZ. Penampilannya cukup segak dan kemas, malah memperlihatkan "profesional"-nya, dari kaca mata Naib Canselor UUM. Persoalannya, apakah Chan Kong Choy layak untuk dijadikan contoh kepada siswa-siswi? Dan kita wajib bertanya, adakah rambut Pornthip Rojanasunand yang berwarna-warni itu bakal menjejaskan profesionalnya sebagai seorang pakar patalogi forensik? Dan siapakah pula kita untuk menafikan ketokohan Mahatma Gandhi - hanya atas alasan beliau tidak memakai kot dan tali leher yang segak?Jelas, peraturan sedemikian merupakan bingkai yang langsung tidak masuk akal. Ia dipaksakan ke atas setiap siswa/i yang umurnya sudah melebihi 18 tahun. Malah, Naib Canselor UUM dengan angkuh mencabar, pergi belajar di universiti lain jikalau tidak mahu mematuhi peraturan! Men-tadika-kan Universiti Sebagai pendidik, mungkin ada antaranya yang berniat baik ketika mewajibkan agar peraturan diperketatkan. Sering kita dengar peraturan seperti larangan keluar dan masuk kawasan kampus selepas jam 12 tengah malam. Jangan pakai selipar dan seluar pendek ketika berada dalam kampus. Kesemuanya diwajibkan atas nama "demi kebaikan siswa/i". Malah pertubuhan yang diluluskan dengan timbunan borang permohonan juga diwajib untuk mendapatkan cop mohor HEP sebelum sebarang notis ditampal, atau sebarang risalah diedar. "Saya layan siswa-siswi bagaikan anak saya." Demikianlah ungkapan yang sering kedengaran dari bibir Naib Canselor. Namun, "niat" bukan segala-galanya ketika kita membicarakan masalah. Sememangnya Naib Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Teh Chee Seng berniat baik untuk menasihati siswa/i-nya agar tidak terlibat dalam perhimpunan haram melalui Facebook-nya, tetapi tidak menjawab soalan apakah kesalahan untuk makan kek bersama? Masalahnya, "perlindungan yang terlebih" ini bukan pendekatan yang sewajarnya untuk mendidik siswa-siswi. Mengapa Naib Canselor sesebuah universiti mentadbir siswa/i seakan-akan beliau mengasuh kanak-kanak dalam tadika? Dengan memberi amaran "dengar arahan saya", Naib Canselor sebenarnya memaksakan nilai dirinya kepada siswa/i, lantas merampas hak siswa/i untuk membuat pertimbangan secara berdikari. Cuma, mengapa perlu seorang Naib Canselor bergelar profesor membuat keputusan untuk seorang siswa/i -yang seharusnya dilayan sebagai seorang dewasa - sama ada untuk memakai selipar atau tidak dalam kampus? NC wajib bertanya dirinya, sama ada beliau lebih merunsingkan masalah pendek akal siswa/i-nya, atau panjang rambut siswa/i-nya? Persoalan pokoknya Segala-gala ini sebenarnya kembali kepada satu persoalan pokok: Sama ada kita mahu melahirkan siswa/i yang patuh kepada AUKU, atau siswa/i yang berani bertanya, mampu membuat pertimbangan, mempunyai pandangan tersendiri dan tegas ketika membuat keputusan? Adakah tujuan kita menubuhkan Universiti adalah untuk melatih generasi yang akur dan membiasakan diri dengan status quo, biarpun tidak wajar - atau kita mahu membentuk generasi yang berani mempersoalkan ketidakadilan dan bertekad untuk membawa perubahan?Tepuk dada tanya selera - kita sebenarnya takut apabila siswa-siswi tampil bersuara, lantas tanpa segan silu kita menutup mulutnya dengan tangan. Kita sebenarnya takut siswa-siswi bangkit mencabar kewibawaan kita, lantas kita menambat mereka dengan Aku Janji. Kita sebenarnya sedar bahawa "bingkai" yang berada dalam tangan kita sudah berkarat ditinggalkan zaman - kita ugut, denda dan hukum siswa/i bukan kerana mereka mengingkari peraturan, tetapi berdendam kerana kewibawaan kita tercabar apabila mereka mempertikaikannya. Persoalannya, bagaimana siswa-siswi boleh akur dengan larangan keluar masuk kampus selepas jam 12 tengah malam, jikalau mereka berani mempersoalkan teori "konflik tamadun" oleh Samuel P. Huntington dalam kuliahnya? Sebaliknya, jikalau siswa-siswi tidak berani mempertikaikan apa salahnya untuk memakai seluar pendek dalam kampus yang terletak pada garisan khatulistiwa - apakah kita mengharapkan golongan ini mampu melakukan sesuatu yang mana prestasinya boleh menandingi pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg? Kita sering kehilangan arah apabila cuba mengenalpasti dan kemudian menyelesaikan masalah kita. Masalah sebenar pada pentadbir universiti kita adalah mereka mengandaikan pendidikan itu adalah latihan semata-mata. Logik yang mendasar dalam tengkorak mereka adalah, semakin ketat peraturan universiti, maka semakin berdisiplin siswa/i yang dihasilkan. Kita menjaga dan melindungi siswa/i dari panjang rambut hinggalah seliparnya, supaya mereka menumpukan masa sepenuhnya untuk pengajian mereka.Ini falsafah kilang pembuatan, siswa/i dilayan bagaikan binatang penternakan dan pendidik berperanan sebagai pengasuh di tadika. Sering kali kita mendengar aduan bahawa siswa/i tempatan tidak kreatif, tidak berkeyakinan diri - tunduk membisu dalam kuliah apabila sesi dibuka untuk bertanya soalan. Maka pendidik kita mencuba seribu satu cara untuk menangani masalah ini. Power point digunakan untuk membuktikan bahawa kita seiring langkah teknologi; modul pengajian ditiru dari universiti yang terunggul di dunia - namun kita tetap gagal melahirkan siswa/i yang unggul. Malah, graduan yang tamat pengajian perlu dilatih semula melalui Skim Latihan Siswazah Menganggur. Dan kita pelik apabila bakat anak watan kita terserlah bersinar di luar negeri. Sementara kita mengimport mahupun menyeludup buruh asing, kita sebenarnya antara negara pengeksport bakat terbesar tanpa disedari. Seandainya kita jujur dalam hal ini, kita semestinya sedar bahawa puncanya adalah kegagalan kita untuk menyediakan satu suasana yang menggalakkan percambahan potensi. Kita terus mencantas apabila benih bercambah di luar bingkai yang berkarat.Apa tidaknya, siswa/i dari Fakulti Sains Politik boleh disuapkan sebanyak teori yang mungkin, mereka dipaksa untuk menghafalnya dan memuntahkannya semula pada kertas peperiksaan - tetapi mereka akan didenda apabila turun ke gelanggang untuk memerhatikan dengan mata sendiri perjalanan pilihan raya kecil. Bukankah kita sedang mengajar anak untuk berenang tanpa kolam? Bukankah kita sebenarnya mengharapkan kayu balak dari benih yang ditabur ke dalam pasu bonsai? Saya agak mual apabila membaca alasan pendidik dalam universiti tempatan untuk menyekat kebebasan siswa/i-nya. Demi kepentingan politik diri mereka menyarankan agar siswa/i tidak terjerumus ke dalam kancah politik. Demi pangkat dan nama diri mereka memperingatkan agar siswa/i tidak dipergunakan parti politik. Tanpa segan silu mereka mengerah pegawai keselamatan untuk melindungi kuasa dirinya dan menutup mulut siswa/i-nya. Maklumlah mengapa bakat siswa/i tempatan hanya bersinar bagai kaca yang meretak di depan pejabat HEP./Merdeka Review |
Rosmah Bagi Hadiah Istimewa Buat Lee Chong Wei.. Posted: 15 Mar 2011 06:00 PM PDT Juara All England Lee Chong Wei menelefon isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor yang menjanjikan pemain itu "hadiah istimewa" jika beliau menang dalam pertarungannya menentang Lin Dan kelmarin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. "Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau (Chong Wei) dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang. Saya juga dapat bercakap dengan Lee Chong Wei dan turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang," Najib dipetik sebagai berkata oleh Bernama. Atas kemenangan 21-17, 21-17 itu, Chong Wei diberikan sebuah jam tangan oleh Rosmah. Najib pula menghadiahkan pemain no 1 dunia itu RM100,000 unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB). Majlis berlangsung di Seri Perdana di Putrajaya hari ini, sebaik sahaja Chong Wei kembali pulang dari London. Rosmah adalah Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).Najib menyifatkan panggilan telefon Chong Wei kepada isterinya itu sebagai satu "tabiat" sebelum bertanding, untuk mendapatkan kata-kata semangat. |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan