Tempayan Retak |
- Zaid Rancang Bertanding Kerusi Parlimen Di Kawasan Petaling Jaya
- Hosni Mubarak Terselamat Pelbagai Cubaan Bunuh Tetapi Tersungkur Di Tangan Rakyatnya
- Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Diperluas Ke Pasar Tani
| Zaid Rancang Bertanding Kerusi Parlimen Di Kawasan Petaling Jaya Posted: 11 Feb 2011 11:04 PM PST PETALING JAYA: Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim mungkin bertanding kerusi parlimen dalam salah satu kawasan di Petaling Jaya pada pilihan raya umum akan datang dan berharap pengundi bandar akan memberi peluang kepadanya untuk bersuara di parlimen. "Saya mungkin akan bertanding di kawasan Petaling Jaya dan saya berpendapat saya mempunyai peluang di kawasan bandar walaupun pilihan raya umum akan datang tidak mungkin menyaksikan tsunami politik seperti tahun 2008," katanya. Zaid berkata, dia lebih gemar bertanding menentang PKR memandangkan parti itu sekarang sedang berada dalam keadaan kucar-kacir. "Bagaimanapun kita tidak mensasarkan semua kerusi yang ditandingi oleh PKR," katanya lagi. Kita juga, kata Zaid dalam proses mengenalpasti lain-lain kerusi yang 'mampu dimenangi' di Selangor, Wilayah Persekutuan and Perak. Zaid berkata, Kita akan turut bertanding di Sabah dan Sarawak dengan kerusi yang sedikit disebabkan kekangan kewangan. "Bagaimanapun, kami akan bekerjasama dengan United Borneo Front dan lain-lain parti bebas," ujarnya. Dia juga mengulangi yang Kita tidak akan bersepakat sama ada dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat. "Kami akan bergerak sebagai satu parti bebas. Selepas pilihan raya umum, kami sentiasa membuka opsyen kami untuk kepentingan rakyat,'' katanya. Dia menambah Kita akan bertanding pada kerusi parlimen dan negeri berdasarkan nisbah 1:4. "Misalnya, jika kami bertanding lima kerusi parlimen, calon-calon kita juga akan bertanding 20 kerusi negeri,'' katanya. Kita (Kesejahteraan Insan Tanah Air) dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). Zaid telah dipilih sebagai ketua Akim yang baru ketika mesyuarat agung parti pada 15 Disember lalu tetapi telah dinamakan semula sebagai satu parti politik pelbagai kaum. Pendaftar pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pertukaran yang dicadangkan bagi nama parti dan perlembagaan tetapi Zaid yakin akan mendapatkan kelulusan menjelang bulan depan. Kata Zaid, sebaik sahaja mendapat kelulusan ROS, Kita akan mengadakan 'roadshow' di bandar kecil dan besar untuk mempromosikan parti itu dan logonya. |
| Hosni Mubarak Terselamat Pelbagai Cubaan Bunuh Tetapi Tersungkur Di Tangan Rakyatnya Posted: 11 Feb 2011 11:00 PM PST KAHERAH: Presiden Hosni Mubarak telah terselamat daripada 10 percubaan membunuhnya dan pada usia 82 tahun beliau masih enggan turun daripada 'takhta' yang disandangnya sejak 30 tahun yang lalu sehinggalah semalam (Jumaat) beliau akur dengan kuasa dan kehendak rakyatnya sendiri. Hanya beberapa hari yang lalu, Hosni masih mahu bertahan di tampuk pemerintahan dan enggan tunduk kepada tekanan rakyat yang berhimpun tanpa henti di Medan Tahrir. Tetapi selepas berunding dengan pihak tentera dan partinya sendiri, Hosni pada Jumaat membuat keputusan yang paling tidak disangka iaitu melepaskan jawatannya dan menyerahkan kuasa mentadbir negara kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang suatu ketika dahulu beliau terajui. Keputusan penuh dramatik itu diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman secara langsung menerusi siaran televisyen dan disambut dengan sorakan di merata-rata tempat di seluruh negara. Malah ada yang pengsan kerana tidak menyangka mereka akhirnya benar-benar menjatuhkan Hosni Mubarak. Omar yang baru dilantikan beberapa minggu yang lalu sebagai naib presiden iaitu yang pertama dalam sejarah kepimpinan Hosni tidak memaklumkan apakah beliau kini mempunyai kuasa atas kapasitinya sebagai naib. Beliau juga tidak menjelaskan sejauh manakah pihak tentera diberi mandat untuk mentadbir negara dan untuk berapa lama. Sebelum itu, lewat Khamis, apabila seluruh negara menjangkakan yang Hosni akan melepaskan jawatannya, pemimpin Arab yang disifatkan sebagai firaun moden itu muncul di kaca televisyen dan memberitahu seluruh negara yang beliau akan terus kekal sebagai presiden sehingga bulan September tetapi menyerahkan mandat memerintah kepada naibnya. Pengumumannya itu disambut dengan lontaran sliper dan kasut ke arah poster Hosni di Medan Tahrir. Tetapi kekecewaan mereka hanya untuk sehari sahaja. Pendakian Hosni ke puncak kuasa berlaku dalam situasi yang tidak dijangkakan apabila Anwar Sadat - yang mencipta sejarah dunia Arab apabila menandatangani perjanjian damai dengan Israel - ditembak mati dalam satu majlis perarakan tentera pada 6 Oktober 1981. Mubarak yang baru dilantik sebagai naib presiden selepas mengetuai peperangan dengan Israel mengambil alih tampuk pemerintahan negara yang paling ramai penduduk di benua Arab (80 juta orang) seminggu selepas itu. Sejak itu, beliau memerintah tanpa sebarang ancaman di bawah undang-undang darurat sehinggalah beliau melepaskan jawatan presiden pada Jumaat. Namun sepanjang tempoh pemerintahannya, gerakan bawah tanah seperti Al-Jihad, Gamaa Islamiyya dan Talaeh al-Fatah - bertanggungjawab merancang percubaan untuk membunuhnya termasuklah ketika beliau di luar negara. Percubaan pertama untuk membunuhnya berlaku pada tahun 1993, setahun selepas gerakan bawah tanah dilancarkan untuk menumbang kerajaan sekular dan autoritariannya. Satu roket pelancar yang ditembak ke arah residen Hosni gagal mengenai sasaran. Dua tahun kemudian, satu lagi percubaan membunuh dilancarkan dengan menembak kereta yang sedang dinaikinya ketika beliau berada di Addis Abiba. Dan satu lagi percubaan dilakukan dengan meledakkan bom ketika beliau sedang menunggu ketibaan pemimpin Libya Kolonel Muaamar Ghadafi di sebuah lapangan terbang tentera. Pada bulan September 1999, Mubarak mengalami kecederaan apabila seorang lelaki menikamnya dalam satu majlis di Pelabuhan Said. Dari segi kesihatan, Mubarak yang gemar bermain skuash hanya pernah mengalami masalah pada tahun 2003 apabila beliau jatuh pengsan ketika sedang berucap di parlimen. Bagaimanapun, insiden tersebut disabitkan dengan bulan puasa. Tetapi pada tahun 2004, beliau telah menjalani pembedahan di Jerman kerana masalah tulang belakang dan Mac tahun lalu, beliau sekali lagi kembali ke Jerman untuk menjalani rawatan. Hosni Mubarak dilahirkan pada 4 Mei 1928 di sebuah perkampungan di Lembah Nil bernama Menufiyah. Beliau memulakan kerjaya ketenteraannya di dalam pasukan Tentera Udara dan mengetuai perang sebanyak dua kali dengan Israel sehingga membawa gelaran hero dan patriot negara sebelum menyokong usaha damai yang dirintis oleh Anwar Sadat pada tahun 1979. Bapa kepada dua orang anak lelaki ini yang dididiknya untuk mengambil alih kuasa selepas persaraannya nanti berkahwin dengan seorang wanita bernama Suzanne yang merupakan wanita kacukan Arab-Welsh. |
| Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Diperluas Ke Pasar Tani Posted: 11 Feb 2011 10:57 PM PST PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperluaskan kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' ke pasar-pasar tani seluruh negara mulai April ini, dengan Putrajaya dijadikan sebagai perintis. Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata sebelum kempen itu dilaksana, kementerian terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit, terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). "Kita juga akan mengadakan dialog dengan peniaga yang terlibat bagi memberi penerangan mengenai kempen itu serta mendapatkan maklum balas daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan baru pasar mini 99 Speedmart di sini pada Sabtu. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bermula secara rasmi 1 Jan lepas, iaitu beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma kepada pengguna di semua pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan premis perniagaan terpilih di seluruh negara pada setiap Sabtu. Ia diadakan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam usaha memelihara alam sekitar, dan mereka yang masih mahukan beg plastik akan dikenakan bayaran 20 sen setiap satu pada hari itu. Rohani berkata kempen itu sehingga kini mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak, malah maklumbalas mendapati pasar raya besar yang terlibat juga tidak mencatat sebarang pengurangan jualan pada hari Sabtu. "Setiap rangkaian pasar raya besar menggunakan kira-kira 100 juta beg plastik setahun, jadi jika matlamat kita untuk menurunkan 10 peratus penggunaan beg plastik ini dapat dicapai, impaknya adalah besar," katanya. Rohani berkata kempen itu secara keseluruhannya bersifat sukarela dan tiada sebarang hukuman dikenakan kepada mereka yang enggan, bagaimanapun kempen kesedaran akan dipergiatkan termasuk di sekolah bagi menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai perkara tersebut. Beliau berkata kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia bagi menggalakkan penggunaan plastik terbiodegradasikan (biodegradable) yang lebih mesra alam oleh pasar raya di seluruh negara. Ditanya mengenai kekurangan beras ST15 di pasaran, Rohani berkata satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Bekalan dan Harga yang dianggotai beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meneliti perkara itu. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Tempayan Retak To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan