PAKATAN RAKYAT N15 DUN JUASSEH |
Gelombang Pemuda PAS, BN Perlu Sedia Untuk DiJatuhkan! Posted: 27 Feb 2011 05:31 AM PST Berbanding Himpunan 15,000 (H15K) Pemuda PAS di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2006 dahulu, semboyan untuk mengadakan Himpunan 30,000 (H30K) Pemuda PAS di agak lewat ditiupkan. Malah, kurang sistematik berbanding H15K yang dipantau langsung penyertaannya secara harian dari penanda aras pendaftaran online. Namun hakikatnya, semarak kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini nyata sedang menular hebat hinggakan sejarah baru tercipta pada tanggal 19 Februari lalu apabila jumlah Pemuda ke H30K di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut melebihi sasaran. Semangat itu cepat merebak tatkala aturcara ceramah pada malam tersebut pula dibanjiri sekitar 50,000 hadirin yang rata-rata adalah masyarakat awam tempatan. Lantaran itu, ketika pimpinan Umno-BN memberi reaksi bernada larangan berhubung kebangkitan di Timur Tengah, isyarat jelas rakyat telah pun dibuktikan di Kedah pada hari tersebut. Nescaya juga di dada majoriti rakyat Malaysia ketika ini dibungkam sembunyi dengan roh kebangkitan sedemikian. Maka, sepertimana nasihat para pimpinan Pakatan Rakyat, Umno-BN perlu bertarung di padang sama rata mengikut lunas demokrasi sebenar agar diturunkan secara bermaruah atau bersedia menghadapi gugatan semangat dari rakyat yang semakin meluap-luap lalu dijatuhkan dalam keadaan memalukan. Cetusan Anak Muda Gema laungan takbir yang memenuhi ruang angkasa Kompleks PAS Kedah hari itu menunjukkan betapa bersemangatnya anak-anak muda. Disebalik motivasi disampaikan para pimpinan, suara-suara peserta himpunan menggesa agar segera turun ke jalan raya. Tentu sekali ia dari dorongan untuk mengekang kejahatan BN seterusnya mempertahankan kemenangan ketika ini lalu membuka laluan ke Putrajaya. Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya, kehadiran itu menunjukkan kesetiaan anak muda kepada perjuangan dan wala' mereka kepada parti. Ujarnya, goncangan anak muda ini mampu menjatuhkan BN seterusnya melorongkan jalan ke Putrajaya. Ujarnya juga, golongan pemuda hari ini telah menyaksikan bahawa titik peluh, pengorbanan, susah payah lalu adalah perjuangan hingga datangnya anugerah kemenangan dari Allah pada hari ini. Lantaran itu tegasnya, pemuda wajib terus memberikan sumbangan kepada perjuangan ini. Manakala Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil menegaskan bahawa himpunan itu sebagai ikrar pemuda untuk terus mempertahankan kemenangan rakyat. Beliau juga secara sinikal melontarkan ingatan kepada regim BN bahawa himpunan itu menjadi isyarat bahawa kebangkitan lebih besar boleh berlaku. Dalam nada seumpama, Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyindir suara-suara kebimbangan pemimpin Umno terhadap kebangkitan rakyat. Sehubungan itu, beliau menyifatkan himpunan itu telah pun memberikan petanda tersebut. Kekal Di Landasan Disebalik gelombang kebangkitan dan jumlah yang memegahkan itu, pemuda turut diperingatkan agar memelihara perjuangan ini agar ianya selari dengan kehendak Allah SWT. Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menegaskan bahawa jatuhnya musuh lantaran maksiat yang dibuat oleh mereka. Sehubungan itu, Pemuda PAS nasihatnya perlulah memelihara diri dari kemungkaran dan memiliki sahsiah yang berbeza dari pemuda Umno. Jelasnya, kemenangan adalah kerana takwa dan beliau menyeru pemuda memenuhi sifat ansarullah yakni penolong-penolong agama Allah hatta sekiranya perjuangan memerlukan nyawa dan darah mereka. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, ketika persediaan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya, Pemuda PAS perlu terus meletakkan diri sebagai agen perubahan dan duta penyelamat. Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut mengingatkan pemuda bahawa kemenangan datangnya dari Allah Taala. Oleh itu pemuda tegasnya, perlu mendokong perjuangan ini berteraskan prinsip akhlak dan keyakinan kepada Allah serta beristiqamah Islam. Katanya, pemuda tidak perlu mengikut cara pihak lain sebaliknya terus menjaga nilai dan dasar PAS. Keterbukaan PAS Himpunan itu tidak hanya membawa mesej mengenai kesediaan para pemuda dan kemampuan PAS mengembleng tenaga semata-mata. Tetapi citra siasah yang dibawa Pemuda PAS kepada masyarakat melalui kesenian dan sukan turut dipadatkan sempena himpunan itu. Mengisi persembahan pentas menyaksikan penampilan artis, Pak Long dengan lagu popularnya 'Selagi Ada Rindu' disamping tazkirah oleh selebriti, Bob Lokman yang secara rasmi menyertai PAS pada hari tersebut. Manakala sesi petangnya berlangsung perlawanan muhibah antara pasukan Pilihan Pemuda dengan Veteran Bola Sepak Kebangsaan yang menyaksikan Pemuda 'dibelasah' 8-1. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengulas perkara itu sebagai keterbukaan PAS. Bahkan katanya, disebalik pelbagai fitnah dilontarkan kepada PAS, penerimaan terus meningkat hinggakan membuka sokongan bukan Melayu kepada PAS. Kesannya ujar beliau, PAS kini semakin disegani gerakan Islam diseluruh dunia. Alangkah hebatnya...sekiranya gelombang ini menular dan terhimpun di Kuala Pilah khususnya Jemapoh.... |
You are subscribed to email updates from PAKATAN RAKYAT N15 DUN JUASSEH To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan