Selasa, 15 Februari 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2011 Di Sambut Sepenuh "Keinsafan" Di Seluruh Negara Hari Ini

Posted: 14 Feb 2011 05:59 PM PST

KUALA LUMPUR, 15 Feb [12.32 pm] - Sambutan Maulidur Rasul tahun ini disambut penuh keinsafan dan diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Putrajaya dimulai dengan perarakan sejauh 2.4 km yang disertai oleh 10,315 peserta daripada 114 kontinjen dari Dataran Putra sehingga ke Qiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai perarakan itu yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke perhimpunan Maulidur Rasul bertemakan "1Malaysia 1Ummah" di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri.

[Sementara itu, di Kuantan lebih 2,000 peserta dari jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menyertai perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Perak. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berangkat dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan. Dalam titah ucapan baginda, Sultan Ahmad Shah menyeru golongan muda mencontohi keperibadian mulia Nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan Rasulullah sebagai panduan dalam mencapai kehidupan gemilang dan terbilang pada masa depan. Baginda juga menyeru rakyat di negara ini mengekalkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain dalam melahirkan modal insan dalam semua aspek yang mampu menyumbang pembangunan ummah].

Tiada ulasan: