| Terkini: Satu Lagi Pilihanraya Kecil Akan Berlaku, ADUN Kerdau Meninggal Dunia 6.30 Petang Tadi ! Posted: 12 Feb 2011 05:26 AM PST TEMERLOH 12 Feb [9.00 pm] - Satu lagi Pilihan Raya Kecil bakal disaksikan dalam masa terdekat ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Pahang, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (foto) meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini, petang tadi. Zaharuddin, 63, sebelum itu dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya di Kerdau, dekat sini. Allahyarham sebelum ini pernah menerima rawatan di Institut Jantung negara (IJN) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh akibat komplikasi penyakit. Sejak setahun lalu, allahyarham seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit. Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu. Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.
[Dalam Pilihanraya Umum ke-12 (2008) lalu Zaharuddin yang mewakili BN menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain. Soalnya sekarang, apakah status quo untuk PAS ini akan dipertikaikan oleh semua pihak. Maka, nampaknya satu lagi pilihanraya kecil terpaksa dilalui sebelum pilihanraya umum ke-13 nanti. Kali ini di negeri kelahiran PM Najib Razak selepas negeri TPM Muhyiddin di DUN Tenang dulu. Selamat berjuang buat semua di Kerdau !].
|
| Terkini: Presiden Hosni Mubarak Akhirnya Letak Jawatan, Jutaan Rakyat Mesir Gembira Berpesta! Posted: 11 Feb 2011 03:52 PM PST KAHERAH 12 Feb [7.56 pm] - Presiden Hosni Mubarak (foto) akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh Naib Presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi. "Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara," kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen. Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut. Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah. Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan. Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, Setiausaha Agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. [Sementara itu Kumpulan pembangkang paling berpengaruh, Ikhwanul Muslim (foto) menyambut baik perletakkan jawatan oleh Presiden Hosni Mubarak dan mengucapkan terima kasih kepada tentera yang telah menunaikan janji mereka. "Kami sangat kagum dan menghormati perjuangan rakyat Mesir serta pihak tentera yang memenuhi janji mereka," kata Essam el-Erian, pemimpin kanan Ikhwanul Muslim. Tokoh pembangkang terkemuka Mesir, Mohammed ElBaradei ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata, perletakan jawatan oleh Mubarak telah mengembalikan semula kehidupan rakyat Mesir. Menteri luar Turki, Iran dan pemimpin Hezbollah Lebanon mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menjatuhkan Mubarak dan berharap akan muncul sistem baru untuk rakyat negara itu. Turut mengalu-alukan pengunduran Mubarak adalah pemimpin Hamas dan penduduk Palestin yang sama meraikan kejayaan rakyat Mesir di seluruh Gaza City].
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan