Rabu, 16 Februari 2011

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


KES LIWAT - BERAPA HARI SEBENARNYA SAIFUL TIDAK MANDI?

Posted: 15 Feb 2011 12:43 PM PST

Gambar Hiasan

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini didedahkan dengan keterangan yang bercanggah oleh saksi pihak pendakwaan berhubung jumlah hari Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya.

Dalam keterangan terdahulu, saksi pihak pendakwaan menjelaskan Mohd Saiful tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya selama empat hari, tetapi hari ini hanya dinyatakan selama dua hari sahaja.

Pakar jagaan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Khairul Nizam menjelaskan, Saiful tidak mandi, tidak membuang air besar dan tidak mencuci punggungnya selama dua hari disebabkan kesakitan pada bahagian anusnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan peguambela S N Nair sebagai sebahagian bukti Saiful benar-benar diliwat oleh seseorang yang didakwa oleh Saiful seorang tokoh terkemuka, Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung hari ini

Sementara sebelum itu, peguam pasukan pembela kes liwat Anwar menegaskan tiada bukti air mani dikesan pada Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana tiada ujian yang sewajarnya dijalankan untuk memastikan perkara tersebut.

Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, meskipun keputusan makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan adanya kesan air mani, tetapi tiada ujian-ujian yang standard dijalankan untuk mengesahkan perkara itu.

Menurut beliau, laporan kimia juga tidak mengambil kira ujian-ujian standard yang harus dijalankan untuk menentukan sebarang kehadiran air mani.

Dalam soalannya kepada ahli patologi forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng, beliau berkata, di peringkat antarabangsa terdapat ujian-ujian yang standard seperti itu yang diamalkan seperti PSA 'antigen' dan RSID yang akan memberi gambaran tepat mengenai air mani.

Dengan merujuk kepada laporan kimia, Sankara berkata, laporan kimia juga menunjukkan bahawa kesan air mani sendiri ada ditemui pada seluar dalam dan seluarnya.

"Bagaimanapun perkara ini tidak dicatatkan oleh anda?" soal Sankara yang turut diakui oleh Dr Siew bahawa beliau memang tidak mengambil catatan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan hari ini menetapkan perbicaraan akan disambung pada hari Rabu ini mulai jam 8.30 pagi.

Turut hadir dalam perbicaraan hari ini peguam Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Peguam Sankara ketika bercakap kepada pemberita kemudian berkata, keterangan yang bercanggah dari saksi pendakwaan mengenai jumlah hari Saiful tidak mandi atau tidak mencuci badannya itu, pasti akan memudahkan pihaknya mengemukan hujah-hujah lebih konkrit dalam perbicaraan akan datang./Harakahdaily

APABILA `MUBARAK' NASIHATKAN `MUBARAK' AGAR TIDAK MENJADI SEPERTI MUBARAK

Posted: 15 Feb 2011 07:03 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

TUN Mahathir menasihatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud agar menamakan pengganti segera sebelum KM tersebut berundur. Tun Mahathir mengingatkan KM yang baru bernikah itu agar tidak menjadi seperti Mubarak di Mesir. Baca di sini.

Apabila membaca kenyataan Tun Mahathir, bolehlah kita andaikan seumpama, "Mubarak ' menasihatkan `Mubarak' agar tidak menjadi Mubarak. Siapa tidak tahu rekod Tun Mahathir sepanjang dia menjadi PM? Apa yang Tun Mahathir lakukan yang kita tidak boleh samakan beliau dengan Mubarak? Jika Mubarak menutup ruang demokrasi dan menipu rakyat demi kuasa, apakah tidak sama dengan Tun Mahathir? Dikatakan Mubarak itu sering memperlekehkan Ulamak dan tidak bersedia untuk menerima Hukum Islam atau Perundangan Islam di dalam pemerintahannya, apakah Tun Mahathir minat kepada perlaksanaan Hukum Islam?

Mungkin ada yang `ekstrim' pula berpendapat Tun Mahathir lebih teruk dari Mubarak kerana beliau adalah punca kepada perpecahan Melayu Islam di dalam dua peristiwa politik terbesar sepanjang pemerintahannya. Peristiwa pertama, Melayu Islam berpecah kepada dua iaitu Team A dan Team B di dalam Umno kemudiannya berpecah lagi kepada parti baru iaitu Parti Melayu Semangat 46 dan Umno (Baru). Kedua, peristiwa pemecatan ke atas DS Anwar seorang tokoh Islamik harapan orang-orang Melayu Islam untuk melihat negara ini menuju proses Islamisasi. DS Anwar dipecat dan dizalimi serta terpenjara, maka wujud Parti KeADILan yang sekarang dikenali sebagai PKR. Melayu berterusan berpecah angkara tangan jahat itu. Itu belum dikira soal rasuah, akta ISA yang zalim, kroni dan sebagainya.

Tiba-tiba beliau ingin menjadi Penasihat pula? Tentu KM Sarawak senyum sahaja mendengar nasihat dari Tun Mahathir. Inilah yang dikatakan `lebih Mubarak dari Mubarak'./wfauzdin.blogspot.com

KEMPEN ANTI ZINA - KERAJAAN PUSAT BOLEH BELAJAR DARI SELANGOR

Posted: 15 Feb 2011 02:50 AM PST


Oleh: WFAUZDIN NS

NEGERI maju dan berkebajikan sahaja tidak cukup untuk memastikan kehidupan rakyat yang sempurna dan sejahtera. Aspek kerohanian juga perlu diambil kira kerana aspek ini lah yang sering dilupakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno/Bn. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat sentiasa peka kepada permasalahan ini.

Kempen Anti Zina telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam beberapa siri bagi membenteras perlakuan dosa besar ini di kalangan umat Islam khususnya di Selangor. Kejayaan Siri Satu dan Dua sebelum ini telah membuatkan Kerajaan Negeri Selangor meneruskan kempen tersebut sehinggalah isu gejala sosial yang melanda masyarakat dapat dibanteras. (Rujuk TV News).

selangor anti-zina campaign halimah and khalid ibrahimAdakah kempen yang serius seperti ini pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri di bawah Umno/Bn? Harus diingat, Selangor bukan diperintah oleh PAS seperti di Kelantan dan Kedah. Selangor diperintah oleh PKR, bersama dengan barisan Exco yang terdiri dari PAS dan juga DAP. Namun, berkat kerjasama PR ini, semua program yang bersifat `hasanah', dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

"Saya berasa amat gembira apabila diberitahu sambutan anti zina kedua yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang sama, amat menggalakkan, telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 5,000 sukarelawan," kata Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut beliau lagi, kempen seperti ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu beragama Islam dan bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.

selangor anti-zina campaign convoyPelancaran Kempen Anti Zina Siri 3 telah diadakan di Dataran Shah Alam . Sebagai simbolik pelancaran ini Menteri Besar telah melepaskan sekumpulan konvoi yang disertai oleh 80 buah kereta dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi.

Kumpulan yang dianggarkan kira-kira 500 orang ini akan berpusing seluruh Shah Alam sebagai "tanda amaran" untuk memberitahu orang awam bahawa kempen ini telah bermula sambil membunyikan hon.


Usaha yang baik sudah tentu banyak menerima sokongan. Di antara NGO yang terlibat adalah Briged Amal, Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Perkim (Selangor), Bakewanis dan lain-lain lagi. Beberapa lokasi dan premis yang telah dikenalpasti akan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan yang berkaitan dalam penguatkuasaan.

prostitution, desa mentari, police raidKempen Anti Zina merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang merupakan satu program khusus yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Syabas, Kerajaan PR Selangor yang telah memulakan langkah ini agar dapat dijadikan contoh dan teladan kepada Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri yang lain. Inilah berkatnya rakyat memilih pemimpin yang berada di dalam parti yang serius untuk berbakti kepada rakyat dan amat beruntunglah mereka yang telah mengambil keputusan menolak Umno yang selama ini banyak menyusahkan di dunia dan akhirat./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: