Selasa, 22 Februari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Keputusan Liga Juara-Juara Eropah

Posted: 22 Feb 2011 02:58 PM PST

European Cups - Champions League
23:58February 22

FTFC Copenhagen0 - 2Chelsea

FTLyon1 - 1Real Madrid

Siapa Nak Percaya Ismail Sabri Bercakap? Rakyat Tak Bodoh Macam Umno!

Posted: 22 Feb 2011 07:30 AM PST

"Siapa kata RON95 nak naik...siapa cakap? Khabar angin?...jadi itu khabar anginlah. Biarlah sekadar khabar angin. Tak, setakat ini tidak (naik).

Katanya, walaupun terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM14 bilion bagi menampung kenaikan harga minyak dunia tahun ini, kerajaan masih mencari alternatif bagi menstabilkan harga minyak tempatan biarpun kos itu telah meningkat RM4 bilion berbanding tahun lalu.

BERNAMA

Kemenangan Pro M, signal mahasiswa mahukan perubahan- SMM

Posted: 22 Feb 2011 07:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan kemenangan besar Pro Mahasiswa (Pro M) di Universiti-universiti awam utama di Malaysia bukti jelas gelombang kebangkitan mahasiswa yang mahukan perubahan.

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keputusan itu juga menunjukkan mahasiswa hari ini mengutamakan kebebasan memilih wakil mereka dan menolak calon-calon yang hanya menjadi pak turut kepada pihak pentadbiran Universiti.

"Antara faktor kemenangan besar calon-calon Pro M ialah kerana kesedaran mahasiswa kini yang mahukan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) mampu menyuarakan tuntutan mereka dan bukannnya MPM yang hanya berperanan sebagai ahli jawatankuasa pihak pengurusan universiti.

"Mahasiswa juga menuntut sistem pilihan raya yang bebas, adil dan telus," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau mengulas kemenangan besar calon-calon pro M pada Pilihan Raya Kampus kali ini apabila berjaya menawan dua Universiti awam, masing-masing di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, Pro-M juga mencatat kejayaan memberangsangkan di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Di UM yang merupakan Universiti tertua di Malaysia, pro Mahasiswa membolot 23 daripada 36 kerusi dipertandingkan. Manakala di UKM, kumpulan tersebut mengakhiri kemarau tujuh tahun apabila berjaya menumpaskan Pro Aspirasi dengan kemenangan 22 daripada 37 kerusi.

Di USM, strategi Pro M yang tidak bertanding pada PRK lalu bagi memperkuatkan jentera, amat berbaloi kali ini apabila menang 14 kerusi seterusnya mempertingkatkan imej dan moral kumpulan itu di kalangan mahasiswa.

Di UPM, walaupun kumpulan Aspirasi menang 31 kerusi, Pro M memperbaiki kedudukannya apabila berjaya memenangi 12 kerusi berbanding 10 sebelum ini.

Shazni yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) berkata, secara keseluruhan Pro M berjaya memperbaiki kedudukan mereka kali ini.

"Dalam keadaan sistem pilihan raya yang tempang, pengurusan universiti berpihak kepada kumpulan tertentu, alhamdulillah gelombang kesedaran di kalangan mahasiswa terus meningkat dan semakin terkeluar dari zon selesa.

"Jelas mahasiswa yang juga anak muda mahukan pembaharuan dan revolusi yang berlaku di Timur Tengah yang dicetuskan anak muda sedikit sebanyak membantu menyedarkan anak muda Malaysia untuk bangkit memperjuangkan hak mereka," tegasnya yang juga ahli Majlis Sekretariat Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku (GMMA) selain pernah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Shazni turut mengingaktkan Pro Mahasiswa supaya tidak lalai dengan kemenangan itu yang akan dijadikan kesempatan sesetengah pihak untuk melemahkan gerakan pro mahasiswa.

"Kemenangan Pro M khasnya di UM sebenarnya bukan sekadar kegembiraan tetapi lebih kepada 'kejutan' kerana di awal penamaan calon, kita tertinggal jauh di belakang selain kekangan berkempen dihadkan dengan pelbagai peraturan yang berat sebelah," ujarnya.

[Bergambar] Kebangkitan siswa IPTA beri pukulan hebat kepada Umno-BN

Posted: 22 Feb 2011 06:30 AM PST

http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/183717_1545621694537_1654878250_1341094_5046017_n.jpg

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/183717_1545621734538_1654878250_1341095_1173323_n.jpg

http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/183717_1545621774539_1654878250_1341096_2481546_n.jpg

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/183717_1545621814540_1654878250_1341097_7773951_n.jpg

http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/184287_1545702496557_1654878250_1341327_1688616_n.jpg

http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/183717_1545621854541_1654878250_1341098_7781971_n.jpg

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/184287_1545702616560_1654878250_1341330_2630177_n.jpg

http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/184287_1545702656561_1654878250_1341331_6050056_n.jpg

Laksanakn tangungjawab dengan baik. Kemenangan adalah amanah. Jangan abaikan dan jangan sesekali khianat dengan amanah. Takbir!

[SUMBER]

Gempa New Zealand 65 terbunuh, pelajar Malaysia selamat

Posted: 22 Feb 2011 06:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Pelajar Malaysia di Christchurch, bandar raya kedua terbesar di New Zealand yang dilanda gempa bumi berskala 7.3 hari ini hanya dapat berhubungan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Keadaan di bandar raya ini (Christchurch) agak teruk dengan 65 kematian dilaporkan setakat ini. Hubungan telefon tidak berapa baik, sukar menghubungi orang lain, kami hanya dapat menghantar SMS," kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury (CMSA), Poh Eng Eu kepada Bernama melalui e-mel.

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata rumah yang didiaminya turut bergegar.

Terdapat sejumlah masyarakat Malaysia di Christchurch.

Poh berkata selepas gempa berlaku, beliau dihujani dengan panggilan telefon dan SMS daripada ahli keluarga dan sanak-saudara pelajar dari Malaysia dan negara lain.

Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar di Christchurch dilaporkan selamat.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata pegawai di Kedutaan Malaysia di Wellington telah diarahkan ke Christchurch untuk memantau keadaan dan membuka bilik gerakan di sana.

"Pegawai dari Wisma Putra juga sudah diarahkan berbuat demikian. Kita akan membuka pusat operasi dan talian juga akan dibuka bagi membolehkan kita mendapat maklumat dari semasa ke semasa dari mereka yang berada di sana," katanya kepada Bernama.

Beliau memaklumkan pelajar Malaysia mengikuti pengajian di tiga universiti di Christchurch iaitu Canterbury, Universiti Otago dan Lincoln. — Bernama

Agen Umno pengaruhi ahli KEADILAN Pahang, tabur wang ringgit

Posted: 22 Feb 2011 05:30 AM PST

PAHANG: KEADILAN Pahang mengesan kegiatan agen Umno-BN yang sedang aktif menghubungi anggota parti KEADILAN bagi tujuan memujuk mereka keluar parti, menjelang Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, agen tersebut dikenalpasti telah menghubungi anggota-anggota KEADILAN di Temerloh dan Kuala Krau, selain mensasarkan anggota parti di cabang-cabang lain seperti Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar.

Ahmad Nizam berkata, dari maklumat yang diperolehi pihaknya, sekitar 500 individu yang dikatakan anggota KEADILAN akan mengiystihar keluar dari parti itu secara beramai-ramai.

"Agen-agen UMNO dikatakan telah menjanjikan imbuhan berbentuk wang ringgit kepada mereka yang 'mengistiharkan' diri keluar dari Parti," ujarnya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Temerloh dalam satu kenyataan media.

Menurut Nizam, KEADILAN Pahang sekali lagi menegaskan bahawa taktik seumpama itu merupakan strategi perang saraf yang sudah lapuk.

Mereka yang berbuat demikian katanya, kebiasaannya terdiri dari kalangan ahli Umno yang diupah untuk mengaku sebagai anggota KEADILAN.

"Pada masa yang sama KEADILAN Pahang turut menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana anggota Parti yang bersekongkol dengan BN dan melanggar disiplin parti," tegas beliau.

Hentikan Segera Pembunuhan Rakyat Libya

Posted: 22 Feb 2011 05:00 AM PST

KENYATAAN MEDIA
22 Februari 2011
BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA UNTUK HEBAHAN SEGERA

Petaling Jaya, Selangor, 22 Februari 2011, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), berasa amat sedih dan memandang serius perkembangan politik yang sedang berlaku di Libya sekarang ini. Rakyat yang bangkit menentang pemerintah kuku besi berhadapan dengan tindak balas pihak berkuasa yang tidak berperikemaknusian. Jelas sekali, pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri.

KEADILAN ingin menzahirkan sokongan terhadap rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim. Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat. Pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa ini dihormati dan dilaksanakan.
J
ustru, KEADILAN menuntut pemerintah Libya segera menghentikan tindakan zalim membunuh rakyat secara beramai-ramai. KEADILAN yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

KEADILAN menyeru seluruh lapisan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh oleh pemerintahnya sendiri.

KEADILAN juga mendesak Kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB, NAM dan OIC supaya berperanan tegas dalam menangani isu-isu seperti ini.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan

Ibrahim Kata Kat Hindraf Jahat, Biadap dan Terkutuk. Cermin Diri Dulu Brehim Woi!

Posted: 22 Feb 2011 04:30 AM PST

Perkasa: Dakwaan Hindraf biadap, kami bukan alat Umno
February 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Datuk Ibrahim Ali membuat laporan polis terhadap ketua Hindraf P. Waytha Moorthy berhubung surat yang dihantar pemimpin itu kepada 21 pertubuhan dan individu antarabangsa, yang antara lain mendakwa Perkasa sebagai alat Umno untuk menimbulkan huru-hara pada 27 Februari ini.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi di sini petang ini.

"Isi kandungan surat tersebut mengandungi fitnah yang tidak bertanggungjawab seperti tuduhan terhadap Perkasa dan Pekida sebagai alat Umno untuk menimbulkan huru-hara pada 27 Februari ini, yang mana Hindraf yang merupakan sebuah pertubuhan haram akan mengadakan perhimpunan perarakan haram.

"Perkasa tidak ada kena-mengena dengan Umno dan Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang halal di sisi undang-undang dan tidak pernah menganjurkan perhimpunan jalanan ekstreme," kata Ibrahim dalam laporan polis, yang salinannya diberikan kepada media hari ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Perkasa bukan pertubuhan ekstreme dan tuduhan Waytha Moorty adalah berunsur "jahat, biadap dan terkutuk."

"Perbuatan seorang yang saya kira penjahat yang tidak layak menjadi warganegara Malaysia," katanya.

Kata Ibrahim, Perkasa mahu polis mengambil tindakan undang-undang tanpa bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat menganjurkan cadangan perhimpunan haram 27 Februari ini.

Malah kata Ibrahim, selaku Presiden Perkasa beliau akan menjawab segala tuduhan dibuat oleh Waytha Moorthy dan akan menghantar surat kepada kesemua 21 orang, yang dihantar surat oleh pemimpin Hindraf itu, bagi membersihkan nama baik kerajaan kerajaan, rakyat Malaysia dan Perkasa serta Pekida.

DUN Kerdau: Syed Ibrahim calon BN

Posted: 22 Feb 2011 04:00 AM PST

TEMERLOH, 22 Feb — Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad calon Barisan Nasional untuk Pilihran Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kerdau, Pahang, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Temerloh, Pahang hari ini.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di Dataran Sri Ketumbit, dekat sini.

Syed Ibrahim, 44, yang juga Pegawai Khas Agama Kepada Menteri Besar Pahang merupakan anak tempatan dan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian Umno dan badan perhubungan Umno negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memutuskan calon berkenaan dua hari lepas," kata Muhyiddin.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Muhyiddin berkata semua pihak perlu akur dengan calon yang diumumkan bertanding di kerusi DUN berkenaan.

"Terimalah dengan ikhlas, terimalah calon kita dengan semangat perpaduan, kerana apa yang paling penting ialah parti Umno dan Barisan Nasional, dan bukannya calon," katanya. — Bernama

Restoran di Kota Baru diharam sediakan shisha

Posted: 22 Feb 2011 03:48 AM PST

KOTA BARU, 22 Feb — Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) melarang kedai-kedai makan dan restoran menyediakan shisha untuk menarik pelanggannya meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan belum mengeluarkan hukum mengenai pengharaman penggunaannya.

Setiausaha MPKB, Mohd Anis Hussein berkata peraturan itu tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil MPKB.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan memperhebatkan gerakan membanteras penyediaan shisha di tempat-tempat berkenaan.

"Kita tetap tidak benarkan mana-mana restoran dan kedai makan di kawasan MPKB menyediakan shisha kepada pelanggan-pelanggannya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa itu menjalankan operasi merampas peralatan itu di restoran sejak kebelakangan ini.

Mee segera hingga bila-bila

Posted: 22 Feb 2011 03:30 AM PST

Oleh Subky Latif

PENGUMUMAN projek baru dan pemberian berbagai perkara oleh kerajaan Barisan Nasional berlaku dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak selepas merdeka.

Hadiah rasuah politik itu kini dikenali sebagai projek mee segera. Tetapi ia tidak pernah dikenali sebagai projek mee segera hinggalah berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terangganu yang dimenangi calon PAS, Mohamad Abdul Wahid Endut tidak lama selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.


Dalam kempen di Kuala Terengganu itu, Datuk Seri Najib, masih lagi Timbalan Perdana Menteri masa itu mengisytiharkan, tiada lagi projek mee segera dibuat melalui kempen pilihan raya.

Pengumuman tentang mee segera oleh Datuk Najib itu, secara berani mengakui adanya amalan pemberian mee segera dalam setiap pilihan raya sebelum itu.

Tanpa menyatakan ia adalah satu perbuatan tidak bermaruah dalam pilihan raya, ia adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermaruah, melanggar susila budaya pilihan raya dan ia adalah bersemangat rasuah.

Jika selama ini dibiar jalan di kampung berlubang dan berlopak, tetapi sebaik mati wakil rakyat jalan pun bertar – baru dan licin jalannya. Selama ini dibiarkan kantin sekolah dengan keadaan yang uzur, maka pada kempen PRK dikeluarkan bantuan segera membaharui bangunan kempen.

Dalam tahun 60an dulu ada kampung yang tidak ada bekalan air dan api dihantar alat-alat bagi membina projek itu menjelang pilihan raya atau sebaik bermula kempen pilihan raya. Orang dapat melihat berlonggok-longgok peralatan itu di tepi jalan.

Ada tempatnya bahan itu terus berlonggok di situ sehingga lama selepas pilihan raya, projek itu tidak pernah tiba. Dan ada pula di kawasan yang calon parti kerajaan kalah, bahan yang dilonggokkan itu dipunggah dibawa balik ke tempat asalnya. Projek mee segera itu tidak jadi dilaksanakan kerana pengundi kononnya tak mahu projek itu. Itulah sebabnya mereka tidak mengundi calon parti kerajaan.

Sehinggalah dalam kempen PRK di Kuala Terangganu yang Datuk Najib berkempen di kawasan yang ibu saudaranya – adik Tun Razak – sebok JKR menurap jalan dan sebagainya bagi menarik sokongan pengundi. Ia tidak dibuat sebelum kempen itu tetapi diadakan secara tiba-tiba bila tiba-tiba ada pilihan raya.

Itulah yang dikatakan projek mee segera. Mee segera itu ialah mee yang boleh diperolehi dan dimakan masa itu juga. Ia bukan mee yang sudah dimasak. Tetapi ramuan mee yang disediakan dalam kotak khas, dibeli dan dituang air panas dan boleh dimakan ketika itu juga.

Kata Najib, projek mee segera itu tidak akan ada lagi.

Orang pun tahu semua pengumuman mengenai projek secara tiba-tiba itu dipanggil projek mee segera. Dan calon BN Kuala Tereangganu itu kalah. Sebelumnya wakil rakyat BN yang mati itu dua kali menang di situ.

Orang pun menyangka seperti hendak bermulalah kempen pilihan raya yang sihat dan akan wujudkan kerajaan yang sihat. Kalau Najib nanti jadi Perdana Menteri, tiada lagilah barang-barang seperti mee segera itu.

Tetapi bila Najib menggantikan Abdullah Badawi, penyakit mee segera menjadi-jadi lebih teruk dari sebelumnya.

Dalam pilihan raya kecil di Manek Urai hampir dua tahun lalu, tidak pernah terfikir penduduk di situ untuk membina jambatan menyambung dua bahagian pekan. Tiba-tiba di tengah kempen itu menteri mengumumkan akan membina jamabatan di situ. Itulah janji projek mee segera.

Rancangan itu tidak ada. Ia diada-adakan saja. Sehingga ini belum ada apa-apa. Ia baru dikira sebagai satu wawasan. Entah bila hendak diadakan.

Dalam PRK di DUN Tenang baru-baru ini banyaklah kotak mee segera dibawa ke situ dan banyak pengumuman dan pemberian yang tidak pernah dibuat dan diberi kepada penduduk di situ disampaikan.

Makmur sekejap dan makmur segera penduduk kawasan itu oleh limpahan pemberian dan janji projek mee segera.

Sebaik selesai PRK Tenang orang beralih ke DUN Merlimau. Sebelum penamaan calon, mengikut Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh, jalan-jalan di DUN itu mula diturap belaka. Pengumuman projek baru pun menjadi-jadi, ikut sedap mulut menteri dan Ketua Menteri.

Santa Klaus BN itu bersepah-sepah di Merlimau dan setengahnya berkampung pula di Dun Kerdau, Pahang membawa kotak mee segera dan projek tiba-tiba.

Kata Syed Ibrahim, ia melanggar peraturan pilihan raya. Janji Najib tiada lagi projek mee segera sudah tidak dipedulikannya sendiri. Betullah dia seorang pawang memecah timba. Mee segera ada bila-bila selagi ada Umno dan BN.

PRK bukan indikasi

Posted: 22 Feb 2011 03:00 AM PST

Oleh Mohd Rashidi Hasan

BANYAK rumours diperkatakan tentang tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal menjadi penentu masa depan Umno-Barisan Nasional.Tempoh akhir bagi kerajaan Umno-BN yang mendapat mandat semula memerintah negara pada Mac 2008, hanya akan berakhir pada Mac 2013.

Bermakna Umno-BN masih ada tempoh dua tahun lagi untuk menyempurnakan mandatnya.Ada yang mengatakan PRU akan diadakan serentak dengan PRU Negeri Sarawak.


Malah ada juga yang mengandaikan BN terpaksa mengadakan PRU tahun ini juga walaupun mandatnya masih jauh disebabkan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

Apa pun pandangan dan andaian terhadap PRU, wujud kerana Malaysia tidak mempunyai sistem pilihan raya yang terancang dan telus seperti negara-negara lain yang sudah menetapkan PRU mereka, setiap lima tahun sekali.

Tarikh PRU di Malaysia adalah hak eksklusif seorang Perdana Menteri. Hanya beliau sahaja yang mengetahui tarikh sebenarnya.

Tarikh PRU sebenarnya bergantung sejauhmana keyakinan Perdana Menteri, bahawa Umno-Barisan Nasional mampu untuk mendapat semula daripada rakyat.

PRU Mac 2008 memberi pengajaran yang cukup besar buat Umno-BN, menyedarkan mereka bahawa tiada lagi istilah dominasi politik terhadap rakyat.

Akibat daripada tercalarnya imej Umno-BN, maka selepas Mac 2008, BN cuba membuat perubahan dengan menggesa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, berundur untuk digantikkan dengan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Najib yang mengambil alih pemerintahan pada April 2009 cuba untuk membuat beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran dan politik negara.

Najib memperkenalkan program 1Malaysia, ETP dan sebagainya yang cuba diperlihatkan sebagai reformasi politik untuk memenangi semula hati rakyat.

Namun, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari dalaman Umno-BN, selepas hampir dua tahun berlalu, semua program yang dicanangkan Najib, masih tidak ada kesan yang positif untuk Umno-BN.

PRK bukan indikasi

Sedikit kesan positif, kononnya diperolehi daripada beberapa siri PRK yang dimenangi Umno-BN sejak akhir-akhir ini. Antaranya adalah Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Tenang.

Ada petunjuk yang sedikit menyedapkan hati Umno, iaitu sekitar 3 hingga 5 peratus pengundi Melayu, dikatakan sudah kembali kepada BN.

Oleh sebab itu, sejak selepas PRU 2008, Umno terus memainkan isu Melayu dan cuba untuk memprovok orang-orang Melayu, bahawa ketuanan mereka akan tercalar jika Pakatan Rakyat menguasai negara.

Provokasi dan memomokan Umno-BN ini nampaknya ada memberi sedikit kesan, kepada golongan muda dan middle-class yang dikatakan mula terpengaruh dan tergugat.

Namun selaku PM, Najib sedar bahawa PRK bukan indikasi sebenar, kekuatan Umno-BN sudah pulih atau mereka sudah diterima rakyat.

Sebaliknya, indikasi dari beberapa siri PRK juga menunjukkan bahawa pengundi Cina kekal menolak BN dan terus menyokong Pakatan Rakyat.

Najib menyedari bahawa kemenangan yang diperolehi pada PRK tersebut, hanyalah disebabkan lambakan wang dan projek. PRK mudah dikuasai dan dikawal Umno-BN kerana ia adalah lokasi yang kecil.

Tambahan pula seluruh jentera kerajaan dikerah membantu untuk memenangkan Umno-BN. Mereka boleh menang kerana mereka boleh memusatkan fokus.

Oleh sebab itu, di benak fikiran Najib, apa yang Umno-BN lakukan untuk memenangi PRK, tidak boleh dilakukan ketika menghadapi PRU.

Kerana pada saat itu, masing-masing pemimpin terpaksa berkubu di kawasan sendiri. Bagaimana jentera kerajaan hendak dikerahkan sepenuh, juga menjadi masalah kepada Umno-BN

Pertemuan dengan MP

PM Najib tidak mempunyai pilihan lain, selain cuba mendapatkan feedback dari seluruh negara untuk membolehkan beliau mengukur sejauhmana kekuatan Umno-BN.

Mula-mula beliau menemui semua Ahli Parlimen BN. Ahli Parlimen (MP) Umno-BN terpaksa beratur macam budak-budak sekolah untuk berjumpa PM.

Sekali masuk tiga orang MP. Seorang MP diberi masa lima minit untuk berbicara dengan PM.

Hampir semua MP merungut masa yang diberikan kepada mereka terlalu singkat. Mereka tidak dapat bercakap one-by-one dengan PM. Mereka tidak dapat meluahkan segalanya depan Najib kerana PM sentiasa ditemani Setiausaha Agung Umno.

Banyak MP merungut bantuan dan peruntukan untuk mereka 'maintain' kawasan parlimen tidak diperolehi. Mereka tidak mampu menghadapi tekanan dari Pakatan Rakyat. Mereka memerlukan dana dari Umno-BN, tetapi dalam keadaan sekarang, semuanya terhad dan terbantut.

Banyak projek politik Umno-BN tidak berjalan di kawasan parlimen kerana kerajaan sudah tiada wang. Apabila tiada wang, maka kerja politik Umno-BN tidak dapat dilaksanakan.

Malangnya, perjumpaan PM dengan MP tersebut tidak dapat menghasilkan apa-apa manfaat kepada kedua-dua pihak. Ianya hanya sekadar suatu pertemuan biasa, seumpama murid-murid sekolah mengambil report card dengan guru sahaja.

Pertemuan dengan Ketua Umno Bahagian

Situasi yang sama dihadapi ketika Presiden Umno berjumpa dengan Ketua-Ketua Bahagian, masa yang amat singkat dan masuk sekali ramai.

Masalah timbul pada pertemuan Najib dengan Ketua Umno Bahagian ialah masalah politiking dalaman Umno di peringkat bawahan yang banyak tidak selesai.

Najib terpaksa berhadapan dengan pergaduhan Ketua Perhubungan Umno Negeri Perlis, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dengan Ketua-Ketua Umno Bahagian.

Masalah Umno di peringkat akar umbi banyak tidak selesai. Pergaduhan Ketua Bahagian dengan Menteri Besar atau Ketua Umno negeri berlaku secara terbuka.

Hasil daripada perbalahan ini berlaku banyak masalah, antaranya jentera Umno di peringkat negeri dan bahagian tidak dapat bergerak. Malah ada yang 'jam' terus.

Walaupun masa pertemuan dengan Ketua Bahagian Umno agak singkat,

menurut sumber, ianya cukup untuk memberi kefahaman kepada beliau, bahawa Umno sehingga kini, masih belum bersedia untuk menghadapi PRU.

Pertemuan dengan BN Sarawak

Selain itu Pengerusi BN itu turut mengadakan pertemuan dengan BN Sarawak.

Masalah timbul kepada Pengerusi BN adalah bagaimana dengan menangani kemarahan beberapa buah parti komponen terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud.

Ada antara mereka, misalnya SUPP berbalah dengan KM kerana Taib dikatakan hendak mengetepikan calon mereka pada PRU Negeri yang dijangka berlangsung bila-bila masa.

Taib dikatakan membuat kenyataan terbuka, mahu meletakkan calon pilihannya di kawasan SUPP, kerana pada PRU lepas calon SUPP banyak tewas ditangan calon DAP.

Isu campur tangan Taib terhadap kouta SUPP ini termasuk beberapa yang lain, agak memeningkan kepada Pengerusi BN.

Masalah di Semenanjung

Bukan sahaja di Sarawak. Pengerusi BN juga menghadapi masalah yang sama di Semenanjung.

Selain daripada perbalahan soal kaum dan kuota dengan MCA, Gerakan dan MIC. Najib turut berhadapan dengan tuntutan dan permintaan dari parti-parti baru di bawah naungan BN.

Antaranya Makkal Sakhti, Parti Cinta Malaysia dan Kimma. Itu belum lagi termasuk PPP yang sentiasa dipinggirkan sejak dahulu lagi.

Jika Najib mengekalkan status quo, iaitu kawasan yang ditandingi komponen kekal seperti formula 2008, bagaimana parti-parti baru ini hendak mendapat peluang?

Jika Najib hendak memberi peluang kepada parti-parti baru ini, kerusi komponen manakah yang hendak dikorbankan?

Sudah tentu Umno, MCA, Gerakan dan MIC sukar hendak compromise. Tiada parti yang sanggup mengorbankan kawasan yang mereka tandingi.

Justeru pada pendapat penulis, pada waktu ini, Najib masih terlalu calculative. Walaupun pada pemahamannya, Najib berkuasa mutlak untuk menentukan calon-calon BN, Najib juga tidak berani dipersalahkan jika komponen BN memberontak dan akhirnya menyebabkan calon pilihannya tewas kepada Pakatan Rakyat.

Sekacar keseluruhannya walaupun ada pandangan penganalisis bahawa persepsi terhadap PM Najib agak tinggi, namun persepsi rakyat terhadap kemampuan Umno-BN secara keseluruhannya masih ditahap membimbangkan beliau.

Pada masa ini, komponen BN masih belum terurus. Pada masa ini MP dan wakil-wakil rakyat Umno-BN, masih gagal berfungsi dengan baik kerana mereka tidak mendapat peruntukan untuk diagihkan kepada rakyat. Pada masa ini, masalah komponen BN di Sarawak masih belum dapat diselesaikan.

Pada masa ini juga, masalah dalaman Umno, khususnya melibatkan Ketua Perhubungan dan Ketua Umno Bahagian, masih banyak yang kelam kabut dan tidak selesai.

Najib sedar bahawa beliau tidak boleh mengharapkan jentera Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya pada PRU akan datang.

Buat masa ini Najib terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan dan media tali barut Umno-BN untuk mempamerkan kekuatan BN yang artifical.

Pencacai jadi sandaran

Oleh sebab itu, Najib tidak boleh mengharapkan pemimpin Umno-BN untuk berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Najib tidak mempunyai pilihan, selain menggunakan pencacai-pencacai dan minah ronggeng yang sudah tidak laku untuk menyanyikan lirik-lirik lapuk.

Ezam Mohamed Noor, Lokman Noor Adam, Umi Hafilda Ali, entah siapa lagi yang hendak diberi prime time dalam laporan berita untuk memaki hamun Anwar dan keluarga.

Apakah Najib berfikir bahawa rakyat Malaysia hendak mempercayai segala cerita-cerita lapuk, drama tahun 1998 untuk ditayangkan semula pada 2011 ini?

Lagi bodoh seorang daripada mereka, Lokman mendedahkan Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjadi isteri TPM Anwar, memakai pakaian yang berharga ribuan ringgit.

Apabila Lokman membangkitkan isu kemewahan ini, maka rakyat kembali bertanya kepada Umno-BN, bagaimana yang isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikenali gemar bershopping mewah dan boros?

Bertimbun fakta yang dikemukakan tentang pembaziran dan pemborosan Rosmah, sehingga kini tidak dijawab secara telus oleh pemimpin Umno-BN.

Menggunakan pencacai upahan seperti Lokman, Umi dan Ezam, hanyalah ibarat 'meludah ke langit, jatuh berterabur ke muka Najib dan Rosmah'.

Jelas tindakan Najib, pemimpin Umno-BN menggunakan pencacai-pencacai ini, hanya merupakan langkah terdesak dalam menghadapi kekuatan Pakatan Rakyat.

Walaupun diserang segenap sudut, Pakatan Rakyat tetap utuh. Sebaliknya Umno-BN ibarat tongkang buruk yang hampir karam.

Buat masa ini jelas, Umno-BN masih tidak bersedia berhadapan dengan Pakatan Rakyat, jika PRU diadakan dalam waktu yang terdekat.

Pemilihan kampus: Pro Mahasiswa kuasai lapan IPTA, luaskan pengaruh

Posted: 22 Feb 2011 02:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Calon-calon barisan Pro Mahasiswa mencatatkan prestasi lebih baik dengan menguasai lapan daripada 13 universiti yang mengadakan pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semalam.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan MPP di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Ini termasuklah MPP Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian, Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.

Meskipun kedua-dua kumpulan itu bukan badan formal di pusat pengajian tinggi awam tetapi lazimnya mereka sinonim dengan arah aliran sokongan dan landskap politik di luar kampus.

Pro Mahasiswa dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro Aspiras lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.

"Prestasi kali ini jauh lebih baik berbanding sesi pengajian lalu... bukan baik tetapi jauh lebih baik, khususnya di universiti-universiti awam yang berada di Lembah Klang," kata anggota Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hilman Idham kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Pada sesi lalu kami kalah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, malah kalah teruk di Universiti Putra Malaysia dengan tujuh calon Pro Mahasiswa telah dibatalkan kelayakan... tetapi keputusan kali adalah sebaliknya," kata beliau lagi.

Kali ini kata beliau, walaupun kalah di Universiti Putra Malaysia tetapi jumlah calon Pro Mahasiswa yang menang adalah seramai 11 orang.

Di universiti itu, calon Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum.

Hilman yang juga pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan ini menunjukkan bahawa mahasiswa mahukan perubahan dalam banyak aspek membabitkan universiti-universiti awam termasuk berhubung cara pilihan raya kampus dikendalikan.

"Selain itu mereka sebagai pelajar universiti menyampaikan mesej yang jelas ekoran penindasan yang dilalui ketika pilihan raya kampus sesi lalu," katanya yang turut menambah, kejayaan ini akan digunakan untuk meningkatkan kualiti perjuangan kepada komuniti pelajar negara ini.

Selain MPP Universiti Putra Malaysia, kumpulan Pro Aspirasi juga menguasai kepimpinan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur.

Calon-calon Pro Mahasiswa tidak bertanding di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Hari ini pilihan raya kampus diadakan di Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara.

"Kami yakin Pro Mahasiswa akan menang di UIA memandangkan setakat ini sudah pun memperoleh 14 kerusi tanpa bertanding," kata Hilman.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, seramai 6,686 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengundi bagi memilih seramai 15 anggota MPP universiti itu tahun ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata pemilihan yang diadakan setiap tahun itu menggunakan system e-Undi melalui komputer, berbeza dengan universiti-universiti di Pantai Barat yang masih menggunakan kertas undi.

"Saya dapati pemilihan hari ini berjalan lancar dan tidak ada sebarang gangguan berlaku. Cuma kalau universiti besar itu, hangat sedikit kerana banyak kelompok serta pengaruh dari luar. Pemilihan MPP UMT tidak dimasuki unsur luar atau pengaruh politik dari luar . . .," katanya ketika ditemui di sini.

Dr Yahaya berkata pemenang MPP akan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program-program sebagaimana yang dirancang dan membawa usul kepada pengurusan universiti untuk meperbaiki kemudahan dan kebajikan penuntut.

"Mereka akan mewakili universiti ke peringkat nasional bersama dengan MPP universiti-universiti lain dan banyak program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, mereka akan mengikutinya," katanya.

‘Sultan Sulu’ henti jadi ahli Umno

Posted: 22 Feb 2011 02:00 AM PST

KOTA KINABALU, 22 Feb — Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, yang menjadi tumpuan kontroversi selepas dinamakan sebagai 'Sultan Sulu' baru-baru ini, hari ini mengumumkan keluar dari Umno dengan serta-merta.

Katanya, surat peletakan jawatan sudah dimaklumkan kepada ibu pejabat Umno dengan satu salinan dihantar ke pejabat parti peringkat Sabah.

Mahasiswa bangkit menempuh arus zaman!

Posted: 22 Feb 2011 01:30 AM PST

Oleh Hafiz Zainuddin

Kebangkitan mahasiswa bukan sesuatu yang baru kepada sejarah negara kita. Nama-nama seperti Kamarazaman Yacob, Abu Zer, Yunus Ali, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis mahasiswa sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa suatu ketika dahulu.

Kerajaan melihat kebangkitan mahasiswa sekitar tahun 1970-an membuktikan bahawa "student power" ini bukan subjek yang boleh dipandang enteng


Sebab itu mereka telah memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971 yang dilihat bertujuan mengekang kebangkitan dan mengongkong mahasiswa dari aktif berpolitik. Malah negara menyaksikan ramai aktivis mahasiswa dari dahulu sehingga kini ditahan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Kita mengakui bahawa universiti-universiti awam di negara ini telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh-tokoh ulung. Golongan cendekiawan ini telah melontarkan banyak idea, pandangan, kajian dan sebagainya. Semua ini telah banyak membantu dalam perkembangan ilmu pengetahuan, perindustrian, menaik taraf sosio ekonomi masyarakat dan negara amnya. Tetapi fakta ini cuma berada sebuah sudut yang umum mengetahui. Kita harus mengeluarkan minda mahasiswa kita dari kefahaman sempit. Universiti kita bukan cuma sebuah pusat pengumpulan manusia-manusia untuk diprogramkan. Kalau begitu lebih baik belajar di sekolah sahaja - Profesor kangkung, sebagaimana yang disifatkan Hishamuddin Rais. Ia merujuk kepada peranan universiti adalah lebih besar dari sekadar "pusat pengajian".

Mahasiswa: Produk tertentu memenuhi permintaan pasaran?

Tugas sebagai mahasiswa bukan semata-mata untuk belajar dalam jurusan yang diambil- menyiapkan kerja kursus dan menduduki peperiksaan. Menjadi mahasiswa juga bukan semata-mata bercuti ke Genting pada hari minggu. Tugas sebagai mahasiswa adalah sebagai penggerak massa dan minda masyarakat zamannya. Tugas sebagai mahasiswa adalah untuk memberi solidariti kepada perjuangan rakyat. Mahasiswa merupakan nadi dan tulang belakang gerakan rakyat dalam memerangi kezaliman. Tugas mahasiswa adalah untuk menyedarkan rakyat. Mahasiswa perlu menceburkan diri dalam politik untuk menyeimbangkan suara rakyat. Lihatlah sejarah yang pernah tercipta di Iran, Perancis, Tunisia, Mesir, Greece, Korea dan sebagainya. Mahasiswa mencipta sejarah! Adalah amat menyedihkan sebahagian besar mahasiswa dilihat cuma mahu menjadi produk-produk tertentu dalam memenuhi permintaan pasaran.

Pilihanraya Kampus sangat penting bertujuan untuk menyediakan barisan kepemimpinan di kalangan mahasiswa itu sendiri. Pilihanraya Kampus ini merupakan sebuah platform kepada mahasiswa untuk berjuang menggangkat isu-isu berkaitan kebajikan pelajar, pentadbiran universiti malah isu-isu melibatkan kepentingan negara. Di sinilah mahasiswa mengetengahkan, memperkenalkan idealisme perjuangan mereka. Mereka yang memenangi pilihanraya kampus perlu bertindak sebagai mata-kepala dan suara pelajar-pelajar yang diwakili dan bukan sebagai "pak turut" pentadbiran universiti mahupun kerajaan. Gerakan mahasiswa perlu menjadi sebuah gerakan yang non-partisan demi menjamin kestabilan dan keutuhan gerakan pelajr itu sendiri.

Adalah sangat tidak tepat jika kita tafsirkan bahawa Pilihanraya Kampus merupakan sebuah platform untuk "belajar" dan "merasa berpolitik" semata-mata. Malah di sinilah bakat calon-calon yang bakal menerajui negara diasah. Partisipasi mahasiswa dalam politik kampus mahupun luar kampus harus dilihat sebagai sesuatu yang positif tetapi "mahasiswa yang berpolitik" ini sering sahaja dilabel menentang kerajaan dan mencabar pentadbiran universiti.

Tahun 2010 dilihat sebagai zaman kebangkitan semula mahasiswa. Tertangkapnya beberapa orang pelajar semasa membantu jentera PR di pilihanraya kecil Hulu selangor dan kes "bini puaka", diikuti dengan perhimpunan-perhimpunan aman di Kementerian Pengajian Tinggi, perhimpunan-perhimpunan solidariti mahasiswa amat meresahkan kerajaan lebih-lebih lagi taring AUKU semakin menumpul.

Cabaran kepada semangat demokrasi

Insiden mengejutkan kehilangan calon Pro Mahasiswa UM; Masturah Abu Bakar merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah pilihanraya kampus. Kehilangan Masturah dilihat sebagai "konspirasi terancang" pihak-pihak tertentu dalam menakutkan gerakan Pro Mahasiswa seterusnya menggagalkan kemenangan mereka di universiti-universiti. Apa yang akan berlaku sekiranya gerakan Pro Mahasiswa tewas? Ya. Pentadbiran universiti akan lebih mudah untuk menjalankan dasar-dasar yang menekan mahasiswa dari beraktivisme.

Berbalik kepada insiden kehilangan Masturah sebuah laporan polis telah pun dibuat oleh temannya. Nurhanis Wahidah diikuti dengan sebuah perhimpunan di Dewan Tunku Canselor yang melibatkan sekurang-kurangnya 200 mahasiswa untuk menyerahkan memorandum yang menuntut pihak universiti agar bertanggungjawab atas kehilangat tersebut.

Mengulas insiden kehilangan Masturah, pihak pentadbiran universiti menekankan bahawa mahasiswa dilarang berkempen di luar kampus. Sekiranya berbuat demikian, mereka harus bertanggungjawab di atas tindakan yang mereka lakukan. Ini merupakan sebuah kenyataan yang sangat memalukan.

Logiknya seseorang individu itu memang bertanggungjawab atas apa yang dilakukan-tidak perlu peraturan bertulis pun kita sudah mengetahuinya. Isunya ialah - Masturah adalah seorang pelajar UM sendiri dan merupakan Calon Pro Mahasiswa yang bakal bertanding. Pihak universiti harus lebih prihatin dengan insiden yang menimpa Masturah dan bukan mengambil sikap eskapis. Ini sangat tidak profesional. Sikap acuh tidak acuh pentadbiran UM ke atas insiden yang menimpa Masturah cuma akan menjejaskan ketelusan dan kepercayaan pelajar dan masyarakat kepada institusi ulung tersebut.

Kebebasan beraktivisme mahasiswa cuba dikekang sebaik mungkin. Seorang demi seorang aktivis Pro Mahasiswa bakal dikenakan tindakan akibat program "ziarah mesra" bagi mendekati masyarakat kampus. Soalan saya, apakah impak negatif dari ziarah mesra tersebut? Apakah ini sebuah pencabulan terhadap demokrasi? Malah program ziarah ini akan merapatkan lagi hubungan sesama pelajar. Satu lagi isu yang harus diketengahkan sebagai isu yang dilihat cuma mengongkong kebebasan beraktivisme dan kebebasan berkreativiti mahasiswa adalah isu dari pentadbiran UM yang mewajibkan calon pilihan raya kampus menghadiri bengkel calon. Isu ini telahpun dijawab dan disokong oleh Front mahasiswa.

Tempoh berkempen bagi pilihanraya kampus seluruh negara diperlihatkan dengan insiden-insiden buruk yang menjejaskan sistem demokrasi pilihanraya kampus. Antara lain adalah insiden mengoyak poster calon Pro Mahasiswa, membaling cat kepada kenderaan, membakar sepanduk dan sebagainya. Apakah yang boleh diertikan dengan semua insiden ini? Ya. Mahasiswa kita cuba diterapkan dengan budaya "kebudak-budakan" dan tidak matang. Pihak lawan cuba melakukan provokasi, menakut-nakutkan calon Pro Mahasiswa; tujuan akhirnya agar calon Pro Aspirasi menang. Maka; mahasiswa sebolehnya akan dikawal dengan ketat.

Sehingga saat artikel ini ditulis, pilihanraya kampus telahpun berlangsung. Ia menyaksikan kemenangan calon-calon Pro Mahasiswa di UM, UKM, UIA dan pengaruh Pro Mahasisa mula bertapak universiti lain. Nampaknya, gerakan mahasiswa mula mendapat momentum. Idealisme perjuangan mahasiswa harus dilaungkan. Perjuangan untuk menggangkat martabat mahasiswa perlu diperluaskan. Dan untuk hari-hari seterusnya, gerakan Pro Mahasiswa bakal menghadapi rintangan demi rintangan. Teruskan perjuangan! Ayuh ciptakan sejarah! Mantapkan agenda perubahan!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Sampel diambil dari tubuh Saiful sebelum laporan polis dibuat

Posted: 22 Feb 2011 01:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membicarakan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terus digemparkan dengan keterangan pakar Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong, dalam sesi soal balas hari ini.

Dalam perbicaraan tersebut, mahkamah diberitahu bahawa dua sampel DNA diambil dari tubuh pengadu, Mohd Saiful Bukhari terlebih dahulu sebelum laporan polis dibuat.

Sampel berkenaan bertarikh 26 Jun 2008, sedangkan Saiful membuat laporan polis mendakwa dia diliwat pada 28 Jun 2008.

Sesi soal balas terhadap Ketua Unit Jenayah Berat dari Jabatan Kimia itu masuk hari ketiga hari ini di mana beliau terus diasak dengan pelbagai soalan dari peguam bela Anwar.

Semalam, mahkamah dikejutkan dengan pendedahan peguam bela, Ram Karpal Singh bahawa pihaknya mendapati terdapat dua lagi DNA misteri ditemui pada tubuh Saiful, selain tiga DNA yang dikesan Dr Seah.

Berikut kronologi perbicaraan yang bermula sejak pukul 8.44 pagi di hadapan hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah.

11.08- Mahkamah berhenti rehat dan disambung semula pada pukul 11.30 pagi.

9.51 pagi – Sankara menegaskan kepada mahkamah bahawa Dr Seah langsung tidak perasan perbezaan tarikh yang tidak masuk akal tersebut sehingga ke hari ini.

"Awak tak perasaan sehingga saya beritahu sekarang!" kata Sankara.

9. 48 pagi – Sankara menjelaskan tarikh laporan polis 28 Jun 2008 tetapi tarikh sampel 26 Jun 2008. Sankara bertanya dalam keadaan begini apakah yang perlu dibuat.

"Apakah tugas anda (apabila perkara begini berlaku)?" tanya Sankara.

"Kami tidak perlu menolak sampel itu," kata Dr Seah.

Sankara terus menekan Dr Seah kerana tidak menjawab dengan terus terang dan mengulangi soalannya kembali. Dr Seah memberi jawapan yang sama. Sankara terus bertanya dan DPP Noorin mencelah mengatakan saksi sudah menjawab.Sankara meminta beliau duduk.

"Awak bukan saksi. Awak nak jadi saksi?" kata Sankara.

Sankara seterusnya berkata berdasarkan standard antarabangsa apabila terdapat perbezaan begitu ketara, sampel diambil sebelum laporan polis dibuat, ia sepatutnya ditolak.

"Berdasarkan standard antarabangsa awak sepatutnya sudah menolak sampel tersebut!" tegas Sankara.

"Saya tidak bersetuju," balas Dr Seah.

9.36 pagi – Sankara memberi sampel DNA B4 yang diambil di kawasan tubuh Saifuldan meminta Dr Seah memeriksa tarikhnya. Dr Seah berkata tarikhnya 26 June 2008. Sankara memberi sampel B5 yang diambil dari kawasan dub** dan meminta Dr Seah memeriksa tarikhnya. Dr Seah berkata tarikhnya 26 June 2008.

9.32 pagi – Apabila Sankara bertanya samada ia amalan yang baik untuk mengambil gambar bukti, Dr Seah mengelak menjawab ya atau tidak sebaliknya mengatakan ia merupakan amalan yang tidak berkredibiliti.

Setelah diasak berulangkali oleh Sankara, Dr Seah masih tidak memberikan jawapan yang pasti. Akhirnya, selepas ditegur Hakim Zabidin, Dr Seah sekadar menjawab ia mungkin amalan yang baik. Hakim Zabidin berkata ia boleh diambil sebagai Dr Seah bersetuju dengan kenyataan Sankara.

9.22 pagi – Apabila Sankara bertanya bagaimana sampel didaftar apabila diterima- samada terdapat borang proforma diguna- Dr Seah berkata ia didaftar secara elektronik,menggunakan sistem LIMS (Link Information Management System). Sankara bertanya samada salinan borang tersebut boleh dicetak, Dr Seah berkata ia tidak boleh dicetak. Selepas ditanya berulang-kali oleh Sankara, Dr Seah berkata ia boleh dicetak oleh pentadbir sistem LIMS.

9.15 pagi – Sankara bertanya prosedur langkah demi langkah yang dilakukan apabila makmal Jabatan Kimia menerima sampel untuk dianalisis. Apabila Dr Seah kelihatan teragak-agak menjawab, Sankara berkata beliau sepatutnya boleh menjawab dengan lancar kerana ia dilakukan sepanjang masa di makmal tersebut.

9.03 pagi – Ram Karpal masuk semula.

8.59 pagi – Ram Karpal Singh keluar daripada mahkamah sebentar

8.54 am – Menurut Dr Seah, kali terakhir makmal tersebut diperiksa adalah pada tahun 2005 dan ia diaudit setiap tahun.

8.50 am – Soal balas Sankara berkisar sekitar kemudahan makmal Jabatan Kimia Malaysia.

8.44 am – Mahkamah bersidang. Giliran Sankara menyoal balas pakar kimia Dr Seah Lay Hong.

Dakwa MP KEADILAN digugur: Laporan FMT mengelirukan, tak berasas

Posted: 22 Feb 2011 01:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Laporan sebuah portal berita, Free Malaysia Today yang menerbitkan laporan mendakwa beberapa ahli parlimen KEADILAN akan digugurkan dari parti itu kerana prestasi lemah, dianggap mengelirukan dan tidak berasas.

Sehubungan itu, Pengerusi jawatankuasa audit KEADILAN, Nik Mahmood Nik Hassan menafikan berita tersebut yang turut memetik namanya dalam laporan berkenaan. Jelasnya, beliau langsung tidak dihubungi laman portal berita itu bagi mendapatkan maklumat yang sebenar.

"FMT akan mengetahui hakikat ini sekiranya mereka menghubungi saya dalam menulis laporan mereka. Saya dinamakan sebagai pengerusi jawatankuasa tetapi langsung tidak dihubungi FMT.

"Malangnya FMT bergantung kepada sumber yang tidak dinamakan dalam menyebut tentang laporan audit tersebut," katanya dalam satu kenyataan media yang dibaca Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Ahad lalu, FMT dalam laporannya mendakwa tujuh ahli parlimen KEADILAN akan digugurkan kerana gagal dalam laporan audit bebas parti itu.

Dalam pada itu, Nik Mahmood menjelaskan bahawa audit tersebut dibuat untuk menilai pandangan awam bagi menambahbaik prestasi KEADILAN di kawasan tertentu.

"Tiada seorang pun daripada Ahli Parlimen yang dinamakan dalam laporan FMT diaudit oleh jawatankuasa saya," jelasnya.

Menurutnya lagi, audit itu juga meneliti fungsi pusat khidmat, perjalanan program dan interaksi antara wakil rakyat, organisasi parti, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat secara umum. Laporan itu kemudiannya dikongsi secara dalaman dengan pimpinan parti.

"Justeru, jelas sekali laporan FMT adalah mengelirukan dan tidak berasas. FMT patut menghentikan kerja tidak beretika ini dan lebih bertanggungjawab untuk laporan mereka," tegasnya .

Saiful homoseksual pasif- Karpal Singh

Posted: 22 Feb 2011 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menyatakan kemungkinan pengadu dalam kes fitnah 2, Mohd Saiful Bukhari Azlan merupakan seorang homoseksual pasif, berdasarkan penemuan terlalu banyak air mani di bahagian dubu* pengadu itu.

Beliau menimbulkan pertanyaan itu ketika menyoal balas saksi pendakwa, pakar Kimia dari Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong. Berikut kronologi perbicaraan sehingga mahkamah ditangguhkan tengahari tadi.

12.31 – Timbalan Pendakwaraya (DPP) Noorin Baharuddin meminta mahkamah ditangguhkan. Apabila Hakim Zabidin bertanya samada masih panjang lagi atau tidak dan dijawab 'sangat panjang lagi' oleh DPP Noorin, hadirin di galeri awam tergelak kecil.

Mahkamah ditangguh dan bersambung semula 2.30 petang.

12.26 tengahari – Dr Seah kelihatan lebih tenang, dan memberikan perhatian penuh kepada DPP Noorin sepanjang soalan diajukan kepadanya oleh DPP Noorin.

Ram Karpal bertongkat dagu dan Sankara menguap sambil menutup mulut. Hakim Zabidin Mohd Diah kelihatan berusaha keras menahan mengantuk dengan berteleku kedua-dua belah tangan di hadapan wajah beliau. Tiada sebarang pergerakan dalam mahkamah.

12.13 pagi – Sebahagian hadirin di galeri awam kelihatan mengantuk dengan tempo perbicaraan yang perlahan sepanjang sesi soal balas oleh DPP Noorin.

11.44 pagi – DPP Noorin mula soal balas berkaitan perisian GeneMapper yang digunakan di makmal Jabatan Kimia. Dr Seah menjelaskan beliau mungkin tidak tahu bahasa pengaturcaraan yang digunakan dalam perisian tersebut tetapi beliau tahu cara menggunakan perisian tersebut. Beliau dibantu juruanalisis terlatih dalam menggunakan perisian tersebut.

11.40 pagi – Mahkamah bersidang semula. Hakim benarkan soalan Karpal.

11.00 pagi- Karpal menyoal balas Dr Seah. Karpal bertanya jika sebelum ini berdasarkan borang proforma hanya berlaku cubaan liwat, bagaimana boleh terdapat kesan air mani dalam dubur Saiful. DPP Yusof membantah soalan tersebut kerana menurutnya, borang proforma tidak disediakan oleh Dr Seah.

10.50 pagi – Karpal Singh memulakan soal balas Dr Seah. Karpal meminta pengesahan daripada Dr Seah bahawa memandangkan terdapat lebih daripada satu sampel DNA ditemui dalam dubur Saiful, ia bermakna Saiful adalah seorang 'homoseksual pasif'.

Dr Seah membalas beliau tidak dapat menjawab soalan tersebut.

DPP Yusoff membantah soalan Karpal namun Karpal menegaskan soalan tersebut relevan.

10.26 pagi - Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar tiba ke mahkamah. Nurul Izzah bertudung warna pic dan berbaju kurung kuning.

10.20 pagi – Ram Karpal menyoal balas Dr Seah.

10.05 pagi – Dr Seah bersandar di kerusi pada kandang saksi dan kelihatan defensif selepas tembelangnya menerima sampel lebih awal daripada laporan polis dibongkar Sankara Nair.

Mengempur Propaganda BN

Posted: 22 Feb 2011 12:00 AM PST

Oleh harun

"Kelebihan BN ialah mereka mampu menguasai mekanisma penyebaran propaganda dengan baik dan berkesan. BN menguasai media perdana, samada dalam bentuk bercetak, elektronik, mahupun secara maya, yang mana semua mekanisma ini dimanfaat sepenuhnya oleh mereka untuk menyebarkan propaganda gabungan parti nasionalis sekular ini. Media propaganda yang mereka kuasai ini dilihat dapat dipergunakan oleh BN secara berkesan untuk menarik sokongan masyarakat, khususnya para pengundi kepada mereka.

BN juga nampaknya amat memanfaatkan kelebihan mereka sebagai kerajaan yang tentunya menguasai jentera-jentera kerajaan yang sepatutnya bebas dari kepentingan kepartian, di mana jentera-jentera ini turut diperkudakan sebagai media propaganda mereka. Pendekatan propaganda yang lebih berbentuk mendekati dan memikat hati dan jiwa pengundi melalui agenda bantuan materi dipergunakan sepenuhnya oleh BN, bukan sahaja melalui jentera-jentera ini malah melalui institusi-institusi kemasyarakatan seperti masjid, badan-badan kebajikan, pertubuhan belia dan sebagainya.

Pakej yang digunakan BN untuk menguasai minda dan jiwa pengundi melalui penguasaan saluran informasi atau maklumat dan pendekatan menabur bantuan materi, sebenarnya telah banyak mendatangkan keuntungan kepada mereka. Pakej ini nampaknya berkesan di sepanjang masa dan keadaan. PR (Pakatan Rakyat) kelihatan belum mampu menandingi BN dalam menguasai mekanisma menarik sokongan pengundi seperti itu.

Banyak isu, samada di peringkat nasional atau tempatan yang secara jelas memihak kepada PR dan dilihat mampu digunakan untuk menarik sokongan pengundi. Contohnya isu-isu Felda yang dibangkitkan oleh ANAK di kalangan para penoroka sendiri. Tetapi realitinya isu tersebut masih gagal menarik sokongan padu para peneroka kepada PR. Yang nyata bukan soal isu itu tidak menarik atau tidak berimpak tinggi, tetapi ianya lebih kepada keberkesanan media propaganda BN kelihatannya telah mampu menangani isu itu dan sekaligus mengagalkan agenda PR.

PR masih gagal memperkukuh dan mengefektifkan media propaganda mereka untuk menguasai bukan hanya minda pengundi malah turut menguasai jiwa dan emosi mereka. Penulis merasakan bahawa PR wajar meningkatkan lagi usaha dan mengkaji secara tuntas berkaitan dengan mekanisma atau media-media yang mereka perlu garap dan terokai untuk berdepan dengan strategi propaganda BN yang semakin mengancam itu. Pendekatan dan strategi yang berkesan perlu dikenalpasti dan diperkukuhkan. Samada ianya pendekatan atau strategi baru atau yang lama diberi nilai baru, perlulah diberi perhatian, pemantauan dan penilaiaan keberkesanan yang rapi. Pendekatan yang telah lasak dan kelihatan berkesan yang digunapakai hari ini, seperti pendekatan ceramah, blogging, sebaran risalah, program kebajikan, ziarah, dialog, rekreasi dan sebagainya rasanya amat perlu dibedahsiasat secara rapi untuk diberi nafas baru atau ditambah nilai agar ianya dapat mendatangkan impak yang lebih besar kepada sasaran. Perhatian juga perlu diberi kepada pendekatan menguasai jiwa dan emosi pengundi, bukan semata-mata menguasai minda dengan asakan-asakan isu yang kadang-kadang tidak langsung mempedulikan sensitiviti jiwa atau emosi sasaran. Dalam usaha untuk menguasai minda dan jiwa sasaran atau pengundi, pendekatan yang lebih menyeluruh, yang meliputi propaganda intelek dan sentuhan ruhani dan jiwa amat perlu diberi penekanan.

Pada PRU ke 10 yang lalu, PAS khususnya, telah meraih undi Melayu yang amat memberangsangkan. Bagaimana ini berlaku ? Apakah faktor-faktor yang membawa kepada perubahan itu ? Perbahasan berkaitan dengan faktor-faktor yang mendatangkan impak kepada pola undi PRU10 itu telah banyak diketengahkan oleh pelbagai pihak. Namun sewajarnya kita turut menkaji dan meneliti apakah bentuk mekanisma pada masa itu, samada dirancang atau tidak terancang, yang membolehkan maklumat sampai kepada pengundi secara berkesan, dan apakah pendekatan yang dilakukan pada masa itu, sehingga kita dapat kuasai jiwa dan emosi pengundi untuk memberi undi kepada kita? Dan yang paling mustahak, apakah penambahbaikan berterusan yang perlu kita usahakan agar mekanisma atau pendekatan itu tetap releven dan berkesan?

Jenaka Mahathir dan "kesilapan" politik Ikhwan dalam Revolusi 1952

Posted: 21 Feb 2011 11:30 PM PST

Oleh Ahmad Lutfi Othman

UNTUK merampas kembali beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, selain mempastikan Putrajaya masih dalam genggaman, maka jentera Umno-BN tentunya ligat mencari dan mengusahakan jalan keluar. Usaha meraih sokongan dan simpati melalui kerja-kerja propaganda secara terbuka tidak dapat menyembunyikan komplot atau konspirasi lebih besar, yang terselindung daripada pengetahuan umum, malah sukar untuk dihidu.

Sejak merdeka, Umno gagal membuktikan keupayaannya untuk memenangi pilihan raya secara "anak jantan". Segala kemudahan dan perkakas kerajaan diperalatkan, manakala kekuatan pembangkang dilumpuhkan melalui pelbagai tindakan kekerasan dan penggunaan undang-undang. Jarang hujah saingan politiknya disanggah dengan argumen. Mereka berlindung di sebalik akta zalim seperti ISA, di samping mengamalkan rasuah politik dan menimbulkan budaya takut.

Apabila BN menghadapi kejutan dalam pilihan raya 1999, ekoran era Reformasi, apabila majoriti pengundi Melayu menunjukkan penentangan terbuka kepada Dr Mahathir Mohamad, ramai menyifatkan Umno bagai lembu nazak selepas disembelih, hanya menunggu maut menjemput. Saya cuba melihat di sebaliknya. Umno masih berkuasa penuh.Ia masih memegang majoriti dua pertiga. Kemudahan kerajaan termasuk institusi penting demokrasi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terbuka untuk diperalatkannya.

Masakan Mahathir hanya menunggu takdir melihat Umno dibungkus sejarah dan beliau terlucut jawatan perdana menteri. Secara licik, perancangan dilakukan penuh strategik. Senarai pendaftaran pemilih dan proses persempadan semula kawasan Parlimen dijadikan tumpuan. Untuk mendapat kerjasama SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) misalnya bagi mewujudkan "pengundi hantu", adalah perkara mudah.

Pembangkang hanya mampu melahirkan rasa terkejut dengan penambahan mendadak jumlah pendaftaran pengundi baru di kawasan tertentu, khususnya Terengganu, tanpa menyedari ia satu grand design merampas balik negeri yang kaya dengan minyak itu.

PRU12 lebih buruk berbanding 1999. Mustahil strategis Umno (termasuk Apco) duduk diam atau "biasa-biasa sahaja" menghadapi PRU13 nanti. Benar, Najib cuba menjana pelbagai bentuk transformasi, namun di belakang tabir, saya yakin banyak "perancangan kotor" yang sedang berjalan secara cukup sulit. Dibimbangi kita hanya tersedar selepas pelan licik itu berjaya disempurnakan dalam pilihan raya nanti.

Pendedahan wartawan Saidah Hairan tentang operasi pertukaran alamat penduduk Sabah -- yang mendapat kerjasama sepenuhnya pejabat JPN di Shah Alam -- untuk mengundi di Selangor mungkin cebisan kecil daripada konspirasi lebih besar yang masih belum dapat dibongkar. Saidah berada di lokasi kejadian dan sempat berbual-bual dengan mereka yang terlibat.

Umno Selangor yang diterajui Najib Razak sendiri sedang meniti laluan "hidup atau mati". Apa jua akan dilakukannya bagi memastikan Umno dapat merampas Selangor dalam PRU13 sebelum kekuatan Pakatan Rakyat terasas lebih kukuh di negeri paling maju itu.

Ramai syak bahawa ada operasi lebih besar berkaitan senarai daftar pemilih, juga melibatkan kerjasama erat JPN dan SPR. Ia bukan sekadar mengagihkan pengundi ke lokasi lebih strategik berdasarkan kepentingan politik Umno, tetapi juga membabitkan warga asing yang mungkin diberikan kad pengenalan untuk kegunaan di hari mengundi. Proses penyamaran identiti dan mengundi lebih sekali bukan perkara baru di Malaysia.

Usaha membersihkan proses pilihan raya di negara ini masih meniti jalan-jalan penuh krikil ... Harakah mengalu-alukan informasi tentang konspirasi Umno ini jika anda mempunyai bahan bukti atau sumber cerita yang boleh kami lanjutkan.

II. Mahathir, Menteri Dalam Negeri yang paling lemah kuasanya?

Dr Mahathir Mohamad, 17 Feb lalu, berkata beliau sebenarnya mahu memansuhkan ISA ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun. Bagaimanapun, dakwanya, usaha itu gagal kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak cadangan tersebut.

"ISA harus digunakan ikut keperluan tapi bila saya jadi perdana menteri saya mahu ia dimansuhkan tetapi polis menentang. Bila saya cadangkan usul itu, ia ditolak," katanya pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen. Sebelum ini, merujuk Ops Lalang 1987 yang melibatkan lebih 100 orang tokoh masyarakat dan penggantungan empat akhbar, Mahathir juga menyalahkan pihak polis.

Saya pelik mengapa Mahathir perlu menimbulkan isu ini dengan nada berbeda. Apakah Mahathir mahu menulis semula sejarah daripada kacamatanya sendiri, walaupun terpaksa melakukan pendustaan terang-terangan? Mungkinkah rasa bersalah bekas Perdana Menteri ini membuatkan beliau resah-gelisah sehingga sanggup berbicara apa sahaja menurut sedap hatinya?

Regim Mahathir memang penuh babak-babak kontroversial. Beliau diasak pelbagai masalah, sama ada dari dalam Umno, dengan raja-raja, pihak peguam, kesatuan sekerja, ulamak, hakim dan lama sebelum itu, dengan mahasiswa. Tidak sedikit korban yang gugur ekoran pertembungan itu. Paling menjolok mata, partinya sendiri, Umno, diharamkan atas kehendak beliau. Kebebasan institusi kehakiman musnah; tiga hakim Mahkamah Agung termasuk Ketua Hakim Negara dipecat melalui proses tribunal yang mengelirukan.

Khususnya selepas pemilihan presiden Umno 1987, yang menyaksikan beliau hampir tumpas kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Mahathir bertindak keras mengetatkan lagi akta zalim seperti Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan ISA. Elok ditekankan di sini, Mahathir juga sepanjang pemerintahannya melakukan siri pindaan perlembagaan bagi membataskan kuasa hakim dan mahkamah, sebaliknya memperuntukkan lebih kuasa kepada eksekutif, iaitu dirinya sendiri.

Saya masih ingat situasi cemas yang sengaja diwujudkan sekitar pertengahan 1987 membawa kepada hari gelita, 27 Oktober 1987. Kedudukan Mahathir memang terancam. Sentimen perkauman berkaitan isu sekolah Cina sengaja diapi-apikan. Anehnya, tokoh-tokoh politik Umno dan MCA yang galak menimbulkan rasa gelisah ketika itu, termasuk Najib Razak, tidak pula dikurung. Pimpinan PAS pula yang ditahan, antaranya Mohamad Sabu, Khalid Samad, Halim Arshat dan Mahfuz Omar.

Mahathir boleh saja mendapat sokongan bekas Ketua Polis Negara, Abd Hamid Omar atas dakwaannya bahawa inisiatif penahanan dimulakan oleh polis tetapi saya tidak mempercayainya, sekali gus beranggapan ia satu lagi "jenaka terbaik" Mahathir. Gerak itu mesti bermula dan dirancang oleh orang politik yang berkepentingan. Tiada pihak paling mendapat manfaat daripada Ops Lalang itu melainkan Mahathir.

Memang semasa mula menjadi PM, Mahathir membebaskan beberapa orang tahanan ISA. Najib juga meneladaninya. Tetapi apabila berdepan krisis, berikutan dasar dan pendekatan pemerintahannya yang menimbulkan banyak penentangan, Mahathir "akan menggunakan sebesar-besar senjata walaupun untuk memusnahkan musuh yang kecil".


Okey, kita terimalah dulu lawak Mahathir itu. Bersopan sungguh Mahathir dalam kerjanya, ya? Sentiasa mengutamakan pandangan pihak lain walaupun bercanggah dengan dirinya. Soalnya, kalaupun ISA tidak dapat dimansuhkan, mengapa pula Mahathir sentiasa memperketatkan akta itu dari masa ke semasa walaupun ancaman komunis bersenjata yang menjadi punca penggubalan ISA sudah berakhir? Berbanding tiga PM sebelumnya, Ops Lalang membabitkan paling ramai penahanan tokoh masyarakat berprofil tinggi.

Mengapa apabila berdepan permohonan habeas corpus Lim Kit Siang, salah seorang tahanan ISA 1987, dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terpaksa melepaskannya, maka dengan segera dan tergesa-gesa Mahathir melakukan pindaan akta berkenaan apabila kes ditangguhkan. Hari ini pindaan dibahaskan di Dewan Rakyat, esok dibawa ke Dewan Negara dan kemudiannya pantas diwartakan. Apabila kes Kit Siang disambung perbicaraan, peluang beliau dibebaskan tertutup rapat disebabkan hakim telah menggunakan akta yang baru dipinda itu!

Begitu juga dengan kes penangkapan Karpal Singh, di bawah Ops Lalang. Pada 9 Mac 1988, Mahkamah Tinggi Ipoh membebaskannya disebabkan fakta pertuduhan pihak polis didapati tidak benar. Karpal didakwa memberi ucapan berbaur hasutan di satu lokasi sedangkan beliau berada di tempat lain ketika itu. Hanya beberapa jam selepas dibebaskan mahkamah, Karpal ditangkap semula. Pihak Peguam Negara kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Agung atas keputusan Mahkamah Tinggi.

"Jangan dok merapu lagilah Mahathir," SMS seorang kawan.

III. Gerak politik Ikhwan semasa Revolusi 1952 tersasar?

Ikhwan Muslimin -- walaupun selepas ditekan dan dianiayai selama lebih 60 tahun -- diakui gerakan paling tersusun, kuat dan berpengaruh di Mesir. Kini, selepas Hosni Mubarak tersungkur, bukan saja warga Mesir menanti langkah dan kebijaksanaan pemimpin Ikhwan, malah dunia sedang memerhatikannya penuh minat. Revolusi rakyat yang turut menganugerahkan ramai syuhada itu membawa harapan cukup besar bagi memastikan proses pembaharuan berjalan lancar.

Semasa saya mencari-cari catatan pengalaman demonstran di Medan Tahrir (disebabkan rasa kagum dengan kecekalan dan kehebatan mereka bertahan selama hampir 20 hari), saya disuakan dengan analisis menarik pakar Timur Tengah, Dr Mohammad Redzuan Othman tentang Ikhwan. Bagaimanapun perkembangan yang disorotnya itu bukan situasi terkini, tetapi bedah-siasat kegagalan Ikhwan dalam konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Umumnya, artikel itu seperti menonjolkan banyak kelemahan Ikhwan tetapi saya berasakan ia penting untuk melihat sejauhmana pemimpinnya kini dapat memanfaatkan iktibar masa lalu, berdepan realiti kritikal hari ini.

Ikhwan ketika itu muncul sebagai organisasi yang paling mendapat sambutan rakyat dengan keahlian dua juta. Hinggakan apabila meletus perang di Palestin, Ikhwan merupakan satu-satunya organisasi yang berjaya menghantar sukarelawan terlatih untuk menentang Israel. Pasukan ini mendapat sanjungan kerana keberanian dan kehebatannya. Bagaimanapun, dengan pengalaman dan pemilikan senjata, Ikhwan terdedah kepada risiko besar terutama disebabkan tindakan segelintir anggotanya yang melakukan keganasan politik, di luar pengetahuan dan kawalan Hasan Al-Banna.

Berpunca daripada insiden "keganasan", Ikhwan diharamkan, dan 32 anggotanya ditangkap bersama sejumlah senjata. Al-Banna menegaskankan senjata itu untuk menentang Israel dan kewujudannya diketahui pemerintah. Pembunuhan Perdana Menteri, Nokrasyi Pasya, memburukkan lagi imej Ikhwan. Selepas Al-Banna ditembak syahid pada 1949, Ikhwan bukan saja sukar menjadi pengganti sedinamik beliau, malah menghadapi masalah perebutan kuasa, yang mengakibatkan pengaruhnya semakin lemah. Hasan Al-Hudaibi, bagi pimpinan Ikhwan tertentu, bukan pengganti terbaik kerana dikira masih baru dalam jamaah dan bukan dari kalangan pengasas; perlantikannya mencetuskan perpecahan dalaman. Beliau berlatarbelakang perundangan, seorang yang bersikap sederhana, tenang dan lemah-lembut.

Mesir pula mencatat sejarah apabila Raja Farouk digulingkan dalam Revolusi Julai 1952, yang digerakkan sekumpulan pegawai tentera, Free Officers (diketuai Mohamed Neguib dan Gamal Abdul Nasser). Secara tidak langsung kemarahan rakyat kepada raja turut disumbangkan oleh Ikhwan. Free Officers dianggarkan hanya dianggotai 50 pegawai tentera, dengan hubungan yang longgar dan spontan. Menyedari Ikhwan mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat serta mantap organisasinya, Free Officers sedaya upaya cuba mewujudkan kerjasama dan persefahaman, terutama di peringkat awal.

Sebagai tanda persahabatan, Free Officers memenuhi tuntutan Ikhwan, antaranya membuka kembali kes pembunuhan Al-Banna, membebaskan anggota yang ditahan, pembubaran polis rahsia dan pelantikan seorang penyokongnya, Kolonel Rashad Muhanna sebagai salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan sementara. Ikhwan nampak berpuas hati dan memberikan sokongan, tetapi pada masa sama Free Officers memperkukuhkan dominasinya dalam politik Mesir bagi membolot kuasa, selain berhasrat melakukan komplot jahat memusnahkan Ikhwan. Pada 14 Oktober 1952, Rashad MUhanna digugurkan daripada Majlis Revolusi disebabkan beliau lantang bersuara supaya dilaksanakan Perlembagaan Islam di Mesir.

Semasa Free Officers memperkukuhkan kedudukannya, Ikhwan pula dilanda krisis demi krisis. Dalam mesyuarat majlis syira pada 9 Disember 1953, beberapa tokoh penting Ikhwan dipecat keanggotaannya, seperti Muhammad Al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Nasser menyedari kewujudan krisis dalaman itu dan beliau mengambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin Ikhwan. Regim tentera juga berjaya menyusup masuk. Perancangan rapi diatur bagi mengharamkan Ikhwan, dan hanya selepas satu setengah tahun sahaja selepas revolusi, ia diharamkan, manakala 450 anggotanya ditangkap termasuk semua ahli majlis syura dan Mursyidul Amnya, Hasan Al-Hudaibi.

Susulan itu, pada 26 Oktober 1954, "drama" pembunuhan Nasser dilakonkan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ketika beliau memulakan ucapannya di Iskandariah. Penembaknya dikatakan seorang anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Tiada yang cedera, cuma beberapa mentol lampu sahaja pecah. Nasser meneruskan ucapan dan menonjolkan imejnya sebagai manusia yang mendapat perlindungan Allah daripada angkara "pengkhianat". Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan Ikhwan. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Redzuan merumuskan, Ikhwan membuat beberapa perhitungan politik yang boleh dipertikai. Walaupun mempunyai pengaruh dan kekuatan tetapi Ikhwan tidak menggunakan kesempatan apabila sampai masanya dan kesempatan ini disebut pihak lain. Mereka tidak menggunakan tawar-menawar politik yang berkesan di peringkat awal ketika Free Officers masih lemah. Inggeris juga melakukan sabotaj dalam perundingan dengan Ikhwan (sehingga dituduh membelot kepada negara) dan ini memberi tekanan lagi kepadanya. Kewibawaan Nasser, terutama dari segi imiginasi politiknya yang baik, berjaya menyingkirkan semua saingannya. Nasser bukan saja membunuh ramai pemimpin Ikhwan, malah memaksa mereka melarikan diri sehingga ke Eropah.

Kini, masa berubah. Gerak politik Ikhwan selepas Revolusi Rakyat Medan Tahrir tentu juga berbeda.



http://mindalutfi.blogspot.com

Tulisan Zainal Epi bayangkan apa agendanya

Posted: 21 Feb 2011 11:00 PM PST

Cicit Mat Kilau

Sekali lagi penulis upahan Umno yang dibayar gajinya melalui Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) Kementerian Penerangan Malaysia, Zainal Epi cuba memecahkan PAS dan PKR.

Kali ini dengan menulis berita kononnya PAS tidak akan bertanding di Kerdau, Pahang dan akan memberikan laluan kepada PKR.

Kononnya ada pemikiran PAS untuk memboikot pilihan raya kecil itu. Baca "PAS may give way to PKR in Kerdau" (PAS mungkin bagi jalan kepada PKR di Kerdau) dalam Free Malaysian Today.

Pada 19 Februari, beliau juga menulis dengan nada yang sama iaitu melagakan PAS dan PKR melalui tulisannya bertajuk "On the horns of a dilemma".

Dalam tulisan ini, wartawan berpengalaman tetapi diketepikan selepas akhbarnya, The Malay Mail diambil alih oleh satu pihak lain, mengatakan PAS akan memberikan tumpuan kepada Kerdau berbanding dengan Merlimau kerana peluangnya lebih besar.

Namun, tulis Zainal, PAS terpaksa berebut dengan PKR kerana parti itu juga mahu bertanding dalam pilihan raya kecil ini selepas terlepas Merlimau.

Sebelum ini, pada 15 Februari, beliau juga membuat berita yang senada iaitu 'PAS may stay out of Kerdau fray" (PAS mungkin akan tidak menyertai pertandingan di Kerdau).

Penulis ini membayangkan, PAS mungkin tidak menyertai pilihanraya ini jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya serentak dengan Merlimau.

Pada 12 Februari, Zainal juga menulis dengan nada yang sama

Dalam tulisan ini, beliau menggambarkan PKR pada awalnya mahu bertanding kerusi ini tetapi setelah membuat kajian lapangan, mereka mendapati akan kalah lalu membiarkan PAS bertanding di situ.

Semua tulisan ini membayangkan agenda sebenar penulis ini. Mungkin beliau berpengalaman sebagai wartawan tetapi nada tulisan beliau kini jauh benar dengan tulisan ketika beliau berada di zaman kegemilangannya dahulu.

Ketika bersama The Star, Zainal antara penulis yang disegani. Begitu juga ketika beliau bersama memulakan akhbar Harian Watan bersama bekas pengarang Harakah, Zin Mahmud.

Ketika itu, tulisan Zainal disegani oleh rakan dan musuh politik BN. Ini kerana, tulisan itu penuh dengan isi dan laporannya menepati apa yang berlaku di lapangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, tulisan beliau umpama 'armchair reporter' sahaja. Duduk depan komputer, ketuk dan terhasillah tulisan 'maha hebat' itu.

Lihat sahaja ulasan beliau tentang Kerdau. Tidak berbangkit langsung PAS mahu melepaskan kerusi Kerdau itu kerana ia adalah kubu PAS. Mungkin PAS Pahang sekarang tidak kuat tetapi kerusi ini adalah antara yang terbaik di Pahang.

Mungkin ada faktor Suhaimi Said di kerusi ini yang menyebabkan ada yang terfikir PAS perlu memberikan peluang kepada PKR untuk bertanding. Namun, dari segi realitinya tidak begitu. PAS Pahang atau PAS Pusat sesekali tidak akan terfikir untuk menyerahkan kerusi itu kepada pihak lain.

Jadi dari mana sebenarnya maklumat kononnya PAS akan melepaskan kerusi itu. Mungkin dari Umno kerana bimbang untuk bertembung dengan PAS di situ tambah-tambah lagi apabila PAS Pahang kebelakangan ini sangat meningkat semangat juang mereka.

Cicit Mat Kilau

Mengapa Tuan Guru Nik Aziz diserang

Posted: 21 Feb 2011 10:30 PM PST

Li Fook Gao

Minda Naib Presiden PAS ke 23 bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Jika anda mempunyai soalan khas untuk ditujukan untuk ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila emailkan kepada sembangnaibpresidenpas@gmail.com

Soalan 1:

Apa pandangan Naib Presiden sekalian terhadap serangan bertubi-tubi Umno, terutamanya terhadap Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat?

Tuan Ibrahim:

Serangan bertubi-tubi Umno terhadap Murshidul Am PAS menggambarkan ketakutan Umno terhadap pengaruh beliau di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga merupakan usaha Umno bagi menjatuhkan imej PAS di mata rakyat Malaysia.

Serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi PAS bukanlah perkara baru, beliau dituduh melakukan rasuah, menyampaikan ajaran salah, tidak pandai mentadbir, dan lain-lain; cuma kali ini ianya lebih fokus dengan andaian bilamana imej Mursyidul Am jatuh, maka PAS tidak lagi mendapat tempat di kalangan pengundi.

Bahkan di Kelantan mereka melantik dan membayar upah kepada 'tok guru pondok bagi memperlekehkan Tok Guru Nik Aziz dengan pelbagai dakwaan bohong mereka.

Namun ianya masih gagal mengikis pengaruh beliau; lantaran itu serangan peribadi begini merupakan asam garam bagi Tuan Guru dalam pengalaman perjuangan yang lama dihadapinya.

Bahkan beliau tidak takut dan bimbang dengan celaan mereka yang mencelanya kerana dengan ilmu dan pengalaman yang ada, beliau yakin akan berjaya menangkis fitnah buruk ke atasnya. Insya Allah.

Salahuddin Ayub:

Pada pendapat saya, mereka telah mengenalpasti tonggak kekuatan PAS, dan di antaranya ialah kekuatan yang dimiliki oleh Tok Guru Nik Aziz.

Tok Guru Nik Aziz ialah Mursyidul Am dan seorang pemimpin yang berjaya merentasi sempadan kaum dan agama yang diterima sebilangan rakyat di negara kita kerana PAS hari ini telah berjaya memecahkan tembok pemisah orang Islam dan orang bukan Islam.

Tembok yang dibina Umno ini telah runtuh dan mereka kini menyaksikan kehakisan sokongan terhadap MCA, MIC dan Gerakan – itulah punca sebenarnya mereka menyerang samada soal peribadi ataupun kredibiliti Tok Guru Nik Aziz.

Mahfuz Omar:

Tok Guru Nik Aziz diserang kerana Umno berasa beliau ialah faktor kekuatan yang menyebabkan masyarakat dan rakyat menerima PAS.

Pada diri Tok Guru Nik Aziz mempunyai daya kepimpinan yang berjaya untuk membina kepercayaan masyarakat dan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Sifat Tok Guru yang penuh integriti, akaunbiliti dan ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab telah menjadi faktor kekuatan PAS yang perlu dilumpuhkan oleh Umno.

Secara langsung, Umno mengakui bahawa Tok Guru Nik Aziz mempunyai kekuatannya yang tersendiri yang tidak dapat ditandingi selama ini – dari segi kepimpinan, kewarakan, ilmu pengetahuan dan integritinya selama 21 tahun memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar.

Sehingga kini, tiada apa-apa perkara yang boleh Umno guna untuk mengheret Tok Guru ke mahkamah dan sebagainya.

Soalan 2:

Perbezaan kefahaman "Islam" dan "Melayu" yang paling ketara antara PAS dengan Umno?

Salahuddin Ayub:

Kita menjadikan Islam sebagai asas dan tonggak dalam kekuatan Melayu. Melayu harus bergantung kepada Islam sebagai agama dan dasar – dan Islam jugalah yang memandu PAS selama ini.

Ini kerana PAS menyedari sebaik manapun kepimpinan yang dilahirkan, ia hanyalah manusia biasa yang mesti dipandu Islam dan agama sebenarnya.

Itu beza kita dengan Umno – kita tidak menjadikan Melayu itu sebagai segala-galanya – kerana Melayulah kita tolong orang, kerana dia Melayulah kita mesti beri dia semua kelebihan, kerana Melayu kita boleh buat segala-galanya.

Dalam PAS, Melayu itu perlu disandar kukuh dengan Islam di mana neracanya ialah Islam sebagai agenda besar perjuangan kita.

Mahfuz Omar:

Perbezaannya cukup jelas jika kita merujuk kepada perlembagaan PAS di mana parti menjunjung Islam pada kedudukan yang amat tinggi berbanding dalam perlembagaan Umno.

Dalam soal Melayu, ia tidak terpisah antara soal Melayu dengan Islam apabila kita meletakkan Islam dalam konteks agama yang dijunjung tinggi, maka dengan sendirinya, orang Melayu yang berlatar belakang berasaskan Islam akan turut dijunjung dari segi kepentingan dan keutamaan.

Ini berbeza dengan Umno kerana ia tidak meletakkan soal Islam itu sebagai suatu yang tinggi – walaupun zahirnya orang nampak macam serupa antara PAS dan Umno dari sudut Islam, kepimpinan Melayu, akan tetapi hakikatnya mereka tidak serupa umpama ikan keli dan ikan sembilang yang sukar dilihat perbezaannya.

Namun, hakikatnya mereka tidak sama, satu hidup di laut dan satu hidup di sungai – nampak serupa tapi ia tetap berbeza.

Tuan Ibrahim:

Perbezaan paling besar ialah ketika Umno menanam keyakinan rakyat bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu – satu kefahaman yang mengakibatkan masyarakat khususnya bukan Muslim gagal mendapat gambaran sebenar tentang Islam bilamana mereka melihat akhlak dan perangai orang Melayu yang tidak mencerminkan Islam yang sebenarnya.

Bagi PAS Islam ialah a way of life, yakni suatu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan dan Islam berada di atas dalam segala urusan.

Islam memerintah bukan sekadar sebuah jabatan atau majlis yang diperintah dengan pelbagai perkara bertentangan dengan Islam sehingga Islam dianggap sama dengan jabatan-jabatan lain.

Manakala Melayu adalah jenis bangsa yang dicipta oleh Allah sebagaimana Allah mencipta bangsa lain; sayang kepada bangsa adalah fitrah manusia.

Islam melarang kita bersifat taksub kepada bangsa sehingga melakukan penganiayaan dan kezaliman kepada bangsa lain.

Bangsa bukan tuan, ia hanya hamba Allah. Istilah ketuanan Melayu yang menggambarkan seolah-olah Melayulah tuan, manakala yang lain bukan tuan; jesteru ia bertentangan dengan nilai Islam yang sebenar.

Bagi PAS, Islam adalah rahmat bagi alam seluruhnya; bukan sesuatu yang perlu ditakuti atau dibimbangi; dan pelaksanaannya secara syumul dalam semua urusan adalah kewajipan yang mesti diperjuangkan.

Ia bukan bermakna orang bukan Islam tidak ada hak atau jaminan; bahkan jaminan inilah yang membawa rahmat bagi alam seluruhnya.

Usaha menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar mesti dilakukan bagi menyelamatkan negara dari kehancuran moral dan akhlak. Kuasa politik diperlukan bagi menyempurnakan perintah Allah ini.

Soalan 3:

Satu cadangan untuk memperkasakan parti PAS di peringkat cawangan?

Mahfuz Omar:

Kita perlu meningkatkan keupayaan mengurus kepada pemegang-pemegang jawatan – itu yang sangat-sangat penting untuk mereka dapat menyesuaikan diri dalam konteks negara moden supaya mereka memahami soal approach yang harus dilakukan.

Tuan Ibrahim:

Perlu diwujudkan satu mekanisme bagi menghubungkan antara cawangan dengan kawasan.

Oleh kerana hubungan rasmi antara cawangan dengan kawasan tidak dinyatakan secara jelas dalam struktur; maka dicadangkan sebuah Majlis Tindakan Kawasan (MTK) dibentuk; di mana mesyuarat bersama antara pimpinan kawasan dengan semua ketua dan setiausaha cawangan perlu diadakan samada bersifat dwi bulanan atau tri bulanan.

Ini perlu dilakukan agar maklumat dan pengarahan parti dapat disalur terus kepada cawangan dan dengan ini kita akan berjaya mengikuti perkembangan sesuatu cawangan serta dapat memperkasakan cawangan tersebut.

Salahuddin Ayub:

Ahli-ahli PAS perlu diberikan pengetahuan sebagai nilai tambah kepada asas perjuangan yang sedia ada. Untuk memperkasakan cawangan PAS, mereka harus lebih ke hadapan dalam menerajui pembaharuan yang dikehendaki masyarakat di keliling mereka.

Jawab Wahai Tok Pa

Posted: 21 Feb 2011 10:00 PM PST

PKR mahu Putrajaya dedah maklumat lengkap penerima saham khas Bumi


KUALA LUMPUR, 22 Feb — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Putrajaya agar mendedahkan maklumat lengkap mengenai penerima 1.5 bilion saham khas Bumiputera yang diagihkan sepanjang tahun lalu.

Selain itu komponen Pakatan Rakyat ini juga meminta kerajaan mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas Bumiputera untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera tidak berulang.

"Saya akan membawa perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban pihak-pihak yang terbabit," kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pegangan ekuiti Bumiputera dalam pasaran modal kini mencecah 22 peratus berbanding sasaran kerajaan 30 peratus.

Katanya peningkatan pegangan itu dicapai antaranya berikutan sumbangan melalui pengagihan unit saham khas Bumiputera melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

Bagi tahun lepas sahaja, beliau berkata, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas Bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada para pelabur Bumiputera.

Namun, katanya kementerian akan mengkaji semula keberkesanan instrumen ini kerana walau pun sudah lama dilaksanakan, pegangan baru mencecah 22 peratus.

Sehubungan itu Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang ini memberitahu, PKR percaya bahawa teras pengupayaan ekonomi Bumiputera perlu beralih dari kegilaan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti kepada fokus untuk meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga Bumiputera.

Katanya, golongan itu membentuk 75 peratus daripada anggaran 11 juta rakyat termiskin di negara ini yang hanya mendapat pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,500 sebulan.

"Kegilaan dengan 30 peratus sasaran ekuiti seperti yang dimainkan Umno/BN tidak akan berjaya menangani kemelut ekonomi rakyat terbanyak Bumiputera dan akan terus disalahgunakan oleh golongan elit pemerintah dan niagawan," kata beliau.

Saifuddin juga berkata, rakyat sudah tentu merasa janggal apabila kerajaan Umno/BN mendabik dada apabila hanya berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra ke tahap 22 peratus dalam 2011 sedangkan ia gagal mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan untuk tahun 1990.

"Selepas 21 tahun dan penyelewengan saham berjumlah puluhan bilion ringgit atas nama Melayu dan Bumiputera, kini Umno/BN tidak lagi memikirkan persoalan maruahnya dan akan sanggup mendabik dada walau sekelumit mana pun peningkatan ekuiti Bumiputera," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kebimbangan sebenar PKR adalah berhubung pengurusan agihan saham khas Bumiputera memandangkan skim agihan yang sama telah menyebabkan sejumlah RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diagihkan kepada Bumiputera lesap begitu sahaja, seperti yang diakui Perdana Menteri sendiri.

"Dalam tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur Bumiputera," katanya.

Tahun 2010 juga menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham.

"Jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputera itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas ini, maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama Bumiputera," katanya.

Saifuddin berkata mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera.

"Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak.

"Oleh itu, mekanisme yang sama yang telah menyebabkan kerugian RM52 bilion saham Bumiputra ini perlu dirombak sama sekali," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada awal bulan ini mengumumkan penubuhan Teraju bagi menyelaraskan isu-isu pembangunan ekonomi Bumiputera.

Pemilihan kampus: Pro Aspirasi kuasai tiga IPTA, Pro Mahasiswa dua

Posted: 21 Feb 2011 09:45 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Pilihan raya kampus 2010/2011 membabitkan lima universiti 'kanan' di negara ini, yang berlangsung semalam, menyaksikan pertarungan sengit dengan barisan Pro Aspirasi menang di tiga pusat pengajian tinggi awam.

Maklumat diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Pro Aspirasi menang di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala Pro Mahasiswa merampas tapak Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Gabungan Mahasiswa UKM.

Di Universiti Malaya, Pro Mahasiswa memperoleh 23 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan berbanding Pro Aspirasi yang hanya mendapat 16 kerusi dan dua lagi dimenangi calon Bebas.

Di UPM, Pro Aspirasi mempertahankan penguasaan mereka apabila memperoleh kemenangan besar dengan menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi peringkat umum.

Sementara itu di UKM, Gabungan Mahasiswa UKM menang apabila memperoleh 22 kerusi berbanding Pro Aspirasi yang hanya mendapat 15 kerusi.

Sebanyak 37 kerusi dipertandingkan di UKM.

Di UTM pula, Pro Aspirasi memperoleh kemenangan besar apabila mendapat 38 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Pro Mahasiswa hanya mendapat 12 kerusi manakala enam lagi dimenangi calon Bebas.

Di peringkat USM pula, yang proses pengiraannya tamat selepas tengah malam tadi, menyaksikan Pro Aspirasi menang dengan kelebihan hanya satu kerusi apabila mendapat 11 kerusi daripada 21 kerusi yang dipertandingkan.

Difahamkan Pro Aspirasi gagal mendapat keputusan yang begitu memberangsangkan berbanding pilihan raya kampus sebelum ini yang mana kumpulan itu menyapu bersih di kelima-lima universiti itu.

"Berbanding dengan tahun lalu, kumpulan Pro Mahasiswa memperlihatkan prestasi yang lebih baik... ini menunjukkan petanda baik untuk gerakan mahasiswa," kata seorang pemimpin Pro Mahasiswa kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Satu sidang media dijangka akan diadakan oleh Pro Mahasiswa hari ini.

Turut mengadakan pilihan raya kampus semalam ialah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dan Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan.

Selain itu, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan juga mengadakan pemilihan kampus.

Bagaimanapun persaingan antara kumpulan Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa lebih ketara di universiti-universiti yang sudah lama bertapak.

Taubat Nik Aziz, Bukan Tok Guru Tulen?

Posted: 21 Feb 2011 09:30 PM PST

'Nik Aziz cakap tidak serupa bikin'

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) kesal dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mempunyai ulat dalam otaknya.

Setiausaha Agungnya, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian (gambar) berkata, ini kerana belum pernah seseorang yang mendakwa dirinya ulama mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai tindak balas apabila ditegur.

Menurutnya, oleh itu, jika Nik Abdul Aziz menegaskan tidak boleh menerima saranan Zulkifli maka JMM menyeru beliau merujuk kepada surah Abasa yang menuntut kerjasama sesama Islam didahulukan sebelum bekerjasama dengan bukan Islam.

''Nyata Nik Abdul Aziz seorang ahli politik yang menggunakan agama untuk kepentingan diri kerana cakap tidak serupa bikin.

''Mursyidul Am Pas itu juga tidak layak untuk bercakap tentang demokrasi kerana jawatan yang disandangnya tidak boleh dipertandingkan dan Nik Abdul Aziz sendiri memang suka ia berterusan begitu,'' katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz menyifatkan Ahli Parlimen Bebas itu mempunyai ulat di dalam otaknya ketika mengulas saranan Zulkifli yang mahukan Menteri Besar Kelantan itu merujuk surah Abasa.

Pada perkembangan berasingan, Tengku Amalluddin Sani mendesak Nik Abdul Aziz menjelaskan tindakan yang bakal diambil ke atas menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman berhubung beberapa kes penyelewengan yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Tengku Amalluddin Sani berkata, sekiranya Nik Abdul Aziz seorang tok guru tulen yang beramal mengikut prinsip Islam, sudah pasti Mursyidul Am Pas itu tidak perlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak.

''Nik Abdul Aziz sepatutnya dengan sendiri bertindak terhadap Ariffahmi sebab beliau berkuasa penuh di Kelantan. Namun JMM melihat Nik Abdul Aziz sebaliknya terus mempertahankan Ariffahmi seolah-olah menantunya itu proksi kepada beliau.

''Kita minta Tok Guru mengambil tindakan terhadap menantunya, jika tidak, JMM berpendapat Nik Abdul Aziz tidak perlu melaungkan mengenai agama dan Rasulullah.

''JMM juga menyifatkan Nik Abdul Aziz sama tarafnya seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu JMM meminta Nik Abdul Aziz segera bertaubat,'' tegasnya.

SPRM Kelantan minggu lalu memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan beberapa aduan membabitkan Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

ciri tok guru tulen di mata umno:

cium najib
ampu rosmah
senyap macam tikus
tengok jer bila ada masalah
ulas berkaitan hukum sah ke tak wudhuk
puji kerajaan
jangan tegur kalau ada salah
minta gaji banyak2
serang pas dan pakatan
anda senarai lagi la sendiri tok guru tulen umno macam mana
kesian tok guru umno

Tiada ulasan: