Ahad, 27 Februari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PRK Merlimau: Bob Lokman Seru Merlimau Tolak UMNO BN

Posted: 27 Feb 2011 12:40 AM PST

PAS tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dengan menggunakan pengaruh pelakon, pelawak dan penulis lirik Bob Lokman, yang menyertai parti Islam itu awal minggu lalu, dalam kempen kerusi Merlimau.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman telah menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Dalam ceramah pertamanya di Merlimau Pasir di sini malam tadi, ketibaan Bob Lokman disambut meriah kira-kira 500 orang.

"Hari ini menjadi sejarah apabila saya menyertai PAS selepas pada 2004 dan 2008 merupakan satu usaha yang sia-sia saya membantu Barisan Nasional (BN).

"Sebagai orang yang bertanggungjawab kepada negara saya berada di landasan benar bersama PAS," kata Bob Lokman.

Penulis lirik "Isabella" itu berkata pengundi-pengundi di Merlimau harus menolak kerajaan BN yang tidak "mengiktiraf" Islam dalam pentadbiran negara.

Beliau juga yakin PAS boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 6 Mac ini.

"Kita perlu undurkan kerajaan yang sudah lama bertapak, kerajaan yang tidak iktiraf Malaysia sebagai negara Islam," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, jika Bob Lokman boleh melakukan perubahan dengan memilih PAS mengapa tidak pengundi di Merlimau.

"Dulu beliau (Bob Lokman) sokong Umno-BN tapi sekarang boleh sokong PAS pula.

"Nanti bila tiba hari pengundian kalau nak pangkah Umno, ingatlah Bob Lokman dan pangkah PAS," katanya.

PAS meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizat Abdullah sebagai calon manakala BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau.

Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sementara itu, calon PAS Yuhaizat Abdullah berkata pengundi di DUN Merlimau perlu membuat keputusan bijak dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib rakyat.

"Pilihan raya bukan masa untuk buat jalan raya, pilihan raya bukan masa untuk betulkan atap rumah, pilihan raya bukan masa untuk perbaiki longkang, pilihan raya juga bukan masa untuk menabur janji kosong.

"Tapi sistem untuk pilih wakil rakyat yang memahami kehendak rakyat, BN sedar betapa besar kuasa rakyat sebab itu pelbagai projek dibawa ke Merlimau," katanya.

Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin berkata beliau sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Merlimau.

"Saya merayu untuk berikan undi dan kepercayaan kepada saya di Merlimau, saya janji dan akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat serta memahami masalah rakyat," katanya.

Yuhaizat akan berdepan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin. -TMI

Terengganu Diminta Hentikan Pameran Mistik

Posted: 26 Feb 2011 10:38 PM PST

Penganjur satu pameran di Kuala Terengganu yang bakal mengetengahkan artifak mistik seperti anak kerak, jenglot dan jin diminta membatalkan sahaja program itu memandangkan ia ditegah dalam Islam.

Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan bahawa pameran seperti itu adalah haram sejak tahun 2007 lagi.

"Jawatankuasa Fatwa membuat ketetapan itu atas kepentingan tidak mahu lagi melihat umat Islam di negara ini terus disogok dengan perkara-perkara tahyul serta khurafat yang tidak mendatangkan faedah,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengulas mengenai laporan akhbar semalam terhadap pameran bertemakan Masyarakat Berakidah yang dijadual berlangsung tiga bulan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu mulai April ini.

Pameran dikendalikan Dynasty Event Sdn. Bhd. itu turut mendapat kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Kebudayaan Terengganu, Majlis Penggalakan Pelancongan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. -kosmo

Jururawat Batal Hidup Semati Bersama Gaddafi

Posted: 26 Feb 2011 08:30 PM PST

Seorang jururawat Ukraine membatalkan ikrar untuk terus menjaga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selepas protes antipemerintah makin serius di negara Afrika Utara itu.

Jururawat peribadi Gaddafi berambut perang dan bertubuh seksi itu, Galyna Kolotnytska, 38, (atas), kelmarin berkata beliau akan terus berada di sisi pemimpin itu selepas Gaddafi berikrar untuk berjuang hingga habis-habisan menghapuskan tentangan terhadapnya.

Gaddafi 'tidak boleh mengadakan perjalanan' tanpa wanita cantik berstatus janda yang berasal dari Ukraine serta dituduh menjadi kekasih pemimpin itu.

Wanita ibu tunggal itu arif mengenai rutin lelaki itu, kata dokumen bocor yang didedahkan kepada akhbar The Sun.

Pegawai Ukraine berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk membawa wanita itu pulang.

Anak perempuan janda itu, Tatiana, 20, berkata:
"Ibu menelefon semalam. Dia berada di Tripoli.

"Ada kejadian tembakan, pertempuran dan kekacauan lain disiarkan di televisyen.

"Dia masih tenang menghadapi keadaan dan berkata akan pulang segera."

Gaddafi lebih mengutamakan Kolotnytska berbanding pengawal peribadi wanita Amazon yang pakar dalam pertahanan diri dan dikatakan masih dara.

Nota rahsia 2009 kepada Setiausaha Negara Hillary Clinton disiarkan selepas didedahkan WikiLeaks memberitahu yang pemerintah kuku besi itu bergantung kepada wanita itu.

Gaddafi dikatakan pernah menghantar pesawat peribadi untuk membawa Kolotnytska dari Libya ke Portugal untuk bertemu dengannya berikutan kelewatan kedatangan wanita itu akibat masalah visa.

Pegawai politik Ukraine mengesahkan jururawat Ukraine sentiasa bersama-sama pemimpin itu ke mana saja.

"Sesetengah sumber mendakwa Gaddafi dan Kolotnytska mempunyai hubungan romantik," katanya.

Gaddafi dikatakan terlalu taksub bergantung kepada pegawai yang dipercayainya seperti Kolotnytska.

Tetapi kini kehidupannya sebagai orang kepercayaan akan berakhir dan musuh Gaddafi pula terus mendapat kekuatan.

Di sempadan di antara Tunisia dan Libya, ahli sukan bina badan Nabil Mohamed, berkata "Eva Braun tinggal dalam kubu bersama Hitler, mengapa Kolotnytska tidak boleh tinggal bersama Gaddafi?" – Agensi

Ulasan GB

Berita di atas belum tentu benar, sama-sama kita semak.

Begini Keadaan Rumah Di Negeri PM Setelah 53 Tahun Malaysia Merdeka

Posted: 26 Feb 2011 07:35 PM PST



Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Anggota Parlimen Bera sempat meluangkan masa menziarah seorang wagra emas Kalsom Yunus, 80, yang tinggal seorang diri di rumah yang usang dan kurang lengkap ketika melawat bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Kuala Tekal di sini hari ini.

Ismail Sabri melawat kampung berkenaan untuk memastikan jentera kempen BN berada dalam keadaan sempurna dan dapat menjalankan kerja-kerja kempen. --fotoBERNAMA

Ulasan GB

Gambar-gambar yang disiarkan oleh Bernama mendedahkan fakta yang tersangat jelas keadaan rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan - di negeri Pahang, negeri dimana datangnya seorang PM yang bongkak dan sombong menyatakan BN sahaja yang membawa kemajuan.

I help you, you help me. Mentang-mentang warga tua itu tak berupaya "to help you", then Najib tak pedulikan nasibnya.

Mana JKKK? Mana PPRT? Mana Jabatan Kebajikan?

Menteri yang bernama Ismail Sabri pun sekadar berkempen nakkan undi, bukan untuk memabtu sepenuh hati. Kalau tak kenapa hanya duduk ditangga serambi, tak pergi jengah ke dapurnya, periuk dan kuali samada berisi? Itulah perangan sang menteri dari BN ini!


[Bergambar] Kilang Buat Sarung Tangan Getah Terbakar, Tiga Pekerja Melecur

Posted: 26 Feb 2011 06:30 PM PST

Klang: Sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Batu Belah, Meru di sini hangus dalam kebakaran pagi Sabtu, dan menyebabkan tiga pekerjanya yang tinggal di asrama dalam kawasan kilang melecur.

Gambar: Anggota Bomba sambil dibantu pekerja kilang cuba untuk memadam api yang semakin marak di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Batu Belah, Meru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohamad Shukor Sulong berkata lima jentera bomba iaitu masing-masing dari Balai Bomba Klang Utara, Klang Selatan, Andalas, Pelabuhan Klang dan Shah Alam berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran itu yang berlaku kira-kira 7 pagi tadi.

Beliau berkata setakat 4 petang tadi, pihak bomba dan penyelamat masih berusaha memadamkan kebakaran itu.

"Kita masih belum dapat kenal pasti punca kejadian kerana ketika ini usaha memadamkan kebakaran masih giat dijalankan.

"Setakat ini, kita dimaklumkan tiga mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan ke kilang berusia 10 tahun itu mendapati kepulan asap hitam tebal dapat dilihat kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang anggota bomba bertugas berkata api masih marak dan mengambil masa lama untuk dipadamkan.

Beberapa kenderaan penyiasat kebakaran juga dilihat memasuki kawasan kejadian tengah hari tadi.

Sementara itu, seorang pekerja kilang itu Salman, 38, dari Bangladesh berkata beliau dan beberapa rakannya sedang bersiap untuk mula bertugas sebelum terdengar satu bunyi letupan.

Menurutnya apabila melihat api mula marak, beliau dan rakan-rakannya menyelamatkan diri di kawasan lapang perumahan di bahagian belakang kilang itu.

Rakannya, Vivek, 35, dari Vietnam berkata beliau terkejut apabila dikejutkan rakan serumahnya berikutan kebakaran itu.-BERNAMA







Ada Yang Sinis Daphne Iking Peluk Islam

Posted: 26 Feb 2011 05:00 PM PST

KBicara seorang mualaf

"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.

"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.

Wanita keturunan Kadazan ini sudah lali apabila dirinya menjadi bahan bualan. Kisah rumah tangganya yang terdahulu terbuka luas, umpama buku yang dibuka lembar demi lembar.

Dia mahu menakluk privasi. Mahu menjadikan kehidupan peribadinya tidak terlalu terbuka. Dia seolah-olah mahukan segala ketenangan yang dulu seperti tidak melekat pada dirinya. Kini dia membuka buku baru, bergelar isteri dan rusuk kiri buat lelaki bernama Azmi.

Takdir menjadi mualaf

Mungkin ada yang berfikiran skeptikal, berkahwin dengan seorang Muslim bernama Azmi Abdul Rahman atau mesra disapa Joe membuatkan Daphne terpanggil memeluk Islam. Namun dia punya sebab tersendiri, punya rasa tersentuh dengan kemurniaan Islam dan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini kisah bagaimana Daphne atau Dahlia akhirnya bergelar mualaf.

"Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukan dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah," tegasnya yang membikin kejutan kepada penonton Anugerah Sri Angkasa 2010 apabila melafazkan ungkapan 'MasyaAllah' dan 'Assalamualaikum' pada malam tersebut.

DAPHNE memilih nama Dahlia sebagai nama Islamnya.

Ujar personaliti televisyen popular ini, telekung dan sejadah adalah peralatan pertama yang dibelinya sebagai persediaan bertukar agama. "Pengalaman bertukar agama adalah yang paling indah," ujar si bunga baru, Dahlia.

"Saya selalu berminat terhadap agama lain. Malah, saya datang daripada keluarga yang gemar membaca. Bahan bacaan ilmiah berbentuk kerohanian menjadi pengisi rak buku di rumah kami.

"Keluarga ibu saya juga merupakan campuran yang unik, datang daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Ia membuatkan kami sentiasa saling menghormati terhadap kepercayaan agama-agama lain," katanya.

Dia menamakan takdir sebagai titik yang mendekatkan dirinya terhadap Islam, bertemu rakan-rakan mualaf yang gemar bercakap indah tentang agama. Mendalami apa yang diperdengarkan di telinganya, Daphne secara semula jadi mendekati Islam dan sering mengutarakan soalan demi soalan kepada ustaz apabila berhadapan dengan keraguan.

"Kebetulan, pembantu rumah saya juga Muslim dan menunjukkan kepada anak saya cara kehidupan Islam. Langsung saya tidak terganggu dengan caranya. Malah bersikap terbuka terhadap pelajaran yang positif dan membangun," terangnya tentang buah hatinya Isobel yang juga sering membuat dirinya bahagia dan bercahaya.

Ujar Daphne, Isobel yang merangkak ke usia empat tahun merupakan anak yang cukup gembira, sihat walafiat dan cukup pintar.

"Dia terlalu muda untuk memahami semua ini tetapi apabila dia memerhatikan pembantu rumah saya solat dan cuba meniru dengan sejadah mininya, itu adalah momen yang cukup manis," terang ibu berusia 32 tahun ini.

Gambar: AZMI ABDUL RAHMAN atau Joe adalah pelindung dan suami sah Dahlia.

Solat jemaah

"Barang pertama yang saya beli adalah sejadah dan telekung serta sebuah buku bertajuk, How To Solat in English and Malay. Buku yang dibaca oleh kanak-kanak berusia enam tahun bukan? Jujurnya saya tidak terus bersolat tetapi memahami dan mempelajari cara-cara untuk mengambil wuduk dengan tertib seiring doa-doanya," ujar Daphne yang cukup gembira dibelikan buku-buku tentang Islam oleh suaminya. Kini dia membacanya satu persatu, perlahan-lahan memahami dengan hati.

Masuk ke dalam gerbang perkahwinan kedua bersama Joe, ujar Daphne, mereka kini sering melakukan solat berjemaah dan percaya perkara tersebut adalah salah satu kunci untuk memperkuatkan hubungan mereka sebagai famili. "Insya Allah," balasnya.

Pada tarikh 8 Januari juga, Daphne dan Joe menyatukan hati, bicara dan nekad mereka bergelar suami isteri. Hembusan bayu di Penampang, Sabah menjadi saksi jiwa mereka diikat. Berlangsunglah acara pernikahan dan resepsi perkahwinan yang diadakan secara kecil-kecilan dengan disertai jiwa-jiwa terdekat mereka, keluarga dan rakan karib.

Pasangan yang sudah mengenali hati masing-masing selama setahun lebih ini sebenarnya bertemu melalui rakan mereka. Lelaki pilihannya merupakan bekas Pengarah Urusan Redberry Group yang merangkap rakan bisnesnya.

Sebenarnya penulis pernah bertembung dengan 'pasangan' ini beberapa kali dan benar, mengikut pandangan mata sewaktu itu, mereka beraksi sebatas profesional. Mereka tidak memberi gambaran langsung bahawa cinta sedang bertali.

"Joe adalah seorang usahawan. Sangat proaktif dan mahu dirinya tidak menjadi tumpuan khalayak," Daphne mewakli Joe yang dilihat peramah dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja.

BERPAYUNGKAN mahligai baru, Daphne mahu fokus terhadap kehidupan kini.

Bukan hal untuk ditertawa

Nur sedang dilimpahkan dalam hidup Daphne. Kini mempelajari satu persatu, dia juga sedar khalayak sedang memerhati dan memberi respons dengan cara mereka sendiri. Bicara wanita ini amat tegas.

"Memeluk dan masuk agama lain bukanlah satu hal yang boleh ditertawakan. Semestinya bukan aspek yang boleh dibawa main-main. Lebih penting lagi saya mengetahui sepenuh hati dan jiwa raga saya ke mana arah yang saya tuju. Mungkin kerana saya berada dalam lapangan seni, semuanya diperbesarkan 10 kali ganda.

"Tidak guna rasanya saya merangsang sokongan daripada teman-teman atau keluarga sekiranya saya sendiri tidak bersedia. Senang dikatakan begini, Those who matter don't mind. Those who mind, don't matter. Biarlah Allah melembutkan hati mereka," tegasnya.

Menjadikan Islam agama dan anutannya kini, Daphne mengaku semuanya menuntut masa.

"Sebagai permulaan cara-cara sembahyang, saya merujuk kepada nota yang saya tampalkan di dinding. Saya perlu memahami dan melakukannya.

"Alhamdulillah. Saya boleh fokus dengan famili baru dan teruskan dengan kehidupan kini," ujarnya yakin.

Selamat datang buat saudara baru ini. -kosmo






Sudah lama berminat



Kuala Lumpur: "Jangan salah sangka kerana saya tidak memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki Melayu.

Saya sudah lama terdedah kepada agama ini dan kerana keindahannya, saya tertarik untuk menjadi seorang Muslimah," kata pelakon dan personaliti terkenal, Daphne Eleanor Iking.

Sebelum ini, gosip mengenai bintang filem Belukar berusia 32 tahun itu memeluk Islam menjadi tajuk hangat di laman web hiburan tempatan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Daphne menjelaskan kepada media, dia memeluk Islam awal bulan lalu selepas mempelajari selok- belok agama itu, Disember lalu.

"Selepas memeluk agama Islam, saya membuat keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan hati, iaitu Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe. Majlis resepsi dilakukan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah 8 Januari lalu.

"Majlis perkahwinan itu hanya dilakukan kecil-kecilan. Bagi saya, tidak perlu mengadakan majlis besar- besaran kerana yang penting adalah keutuhan rumah tangga berkenaan dan bukan majlis perkahwinan," katanya, semalam.

Menurut Daphne, dia dan Joe adalah rakan kongsi dalam perniagaan.

Katanya, sejak mengenali hati budi masing-masing, mereka tertarik antara satu sama lain dan membuat keputusan menamatkan hubungan yang terjalin ke jenjang pelamin.

"Suami saya bersikap rendah diri dan tidak mahu terlalu menonjol di khalayak ramai mahupun media. Malah, saya mencintainya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang," katanya. -hm



Ulasan GB

Ada juga umat Islam yang memandang serong penyertaan Daphne sebagai seorang muslimah.

Sedang siapa tahu itu hidayah Allah s.w.t. yang dikurniakanNya kepada Daphne, dan perkahwinan itu hanya sebagai perantaran atau dijadikan sebab untuk turunnya hidayah itu.

Memanglah Daphne belum mengikut syariat Islam sepenuhnya. Itu perlukan masa, sedang orang Melayu beragama Islam sendiri ramai yang belum mematuhi syariat Islam, inikan pula seorang muallaf seperti Daphne.

Yang mengkritik tu dah berapa ramai bukan Islam yang awak dah Islamkan? Berapa banyak kerja dakwah yang awak dah lakukan? Dan jika ada kerja dakwah pun, berapa ramai yang terkesan dengan dakwah awak sehingga boleh si bukan Islam mengucapkan kalimah syahada?

Kepada Daphne, teruskan perjalanan. Kami sentiasa doakan kejayaan dan kebahagiaan anda dunia dan akhirat.

Bekas Juara Taekwando Didenda Kerana Kegiatan Pelacuran

Posted: 26 Feb 2011 02:39 PM PST

Pemenang pingat emas di dalam acara taekwando pada sukan SEA 1993 didenda sejumlah S$29,000 hari semalam kerana korupsi dan kesalahan yang berkaitan pelacuran.

Gambar: Wong bersama isterinya, Shirinbekova Yelena warga Uzbekistan berjalan keluar dari mahkamah

Isteri Wong Jing Ching, Shirinbekova Yelena, 23, seorang warga Uzbekistan, juga didenda S$8,000 kerana hidup dari kegiatan tidak bermoral dari sumber pelacuran, membantu suaminya menguruskan temujanji untuk mendapatkan para pelacur dalam tahun 2010.

Wong, alias Patrick Champion Wong, 40, berumur 22 tahun semasa beliau memenangi pertandingan taekwando kategori flyweight di Dewan Sukan Yishun. Beliau mengaku bersalah di atas lapan tuduhan dengan 17 yang lain setelah mengambilkira hukuman dijatuhkan. Tiga daripada mereka memperolehi sumber pendapatan dari kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh para pelacur Uzbekistan, mengambil pelacur berumur 21 tahun di lapangan terbang, dan menguruskan tempat tinggal mereka di Landmark Village Hotel diantara April 29 dan Jun 2 2010.

Beliau merasuah penyelia keselamatan, Sazali Kassim, 31, S$1,200 pada setiap empat kejadian diantara Januari dan Mei 2010, sebagai pertukaran untuk tidak melaporkan kegiatan pelacuran di hotel berkenaan kepada pihak pengurusan. Wong juga berpakat dengan Sazali dengan memberinya S$600 upah kepada rakan setugasnya, Muhammad Farhan Osman, 23, pada bulan April, untuk tujuan yang sama.

Kesalahan telah kesan pada Jun 1 2010, apabila Wong menawarkan kepada anggota-anggota polis berpakaian preman di Orchard Towers samada mereka berminat untuk mendapatkan khidmat seks yang diberikan oleh 'pelacur Russia'. Beliau membawa mereka di dalam teksinya ke Victoria Street hotel dan menunjukkan mereka ke satu bilik untuk melihat lima orang pelacur Uzbekistan.

Sejurus selepas itu, satu pasukan pegawai polis menggelidah bilik tersebut dan menahan Wong bersama-sama dengan perempuan tersebut. Pasangan tersebut mula mengaturkan untuk rakan-rakan Shirinbekova menjalankan kegiatan pelacuran di Singapura dan meneriam komisyen dari mereka daripada setiap pelanggan yang mereka layan.

Algeria Kembali Bergolak

Posted: 26 Feb 2011 07:28 AM PST

Ratusan polis anti rusuhan dikerahkan hari ini untuk meleraikan satu usaha baru pembangkan melakukan tunjuk perasaan anti pemerintah di tengah ibu kota Algeria.

Tunjuk perasaan terhadap rejim puluhan tahun Presiden Abdelaziz Bouteflika menurut rencananya akan dimulai dua hari setelah pemerintah menamatkan keadaan darurat yang dikuatkuasakan sejak 19 tahun, ketika terjadi perpecahan di kalangan pembangkang Algeria.

Ratusan polis menahan akses ke dua taman pusat di mana para pemprotes pada 12 dan 19 Februari berusaha melakukan tunjuk perasaan, yang dilarang di ibu kota Algeria sejak tahun 2001.

Polis yang didukung kereta kebal serta satu helikopter yang terbang di atas lokasi-lokasi itu tetapi para saksi mata mengatakan jumlah mereka tidak sebanyak pada dua tunjuk perasaan sebelumnya bulan ini.

Akhir minggu lalu para pemprotes terlibat pertepuran dengan polis anti rusuhan yang mencegah sekitar 3,000 orang bergerak melakukan tunjuk perasaan di ibu kota itu.

Kelmarin, Bouteflika, 73 tahun juga berjanji akan memasukkan "anti korupsi" dalam tindakan penting kerajaan setelah protes-protes yang belum pernah terjadi sebelumnya pada Januari yang mengorbankan lima orang.

Tindakan-tindakan itu dianggap sebagai usaha-usaha perdamaian untuk meredakan kemarahan masyarakat setelah protes-protes anti korupsi melanda sebagian dunia Arab menggulingkan para pemimpin di Tunisia dan Mesir.

Protes baru itu dilakukan setelah satu perpecahan dalam pembangkang minggu ini.

Perhimpunan untuk Kebudayaan dan Demokrasi (RCD) berikrar pihaknya akan bergerak Sabtu "dan setiap Sabtu".

Akan tetapi bekas sekutunya, Koordinasi Nasional untuk Perubahan dan Demokrasi (CNCD), satu kelompok induk pembangkang yang dibentuk bulan lalu, menolak, dan pada Jumaat mengatakan pihaknya berencana akan "mengubah gerakan itu".

CNCD mengatakan pihaknya ingin mengakhiri segera rejim Bouteflika, mengutarakan masalah-masalah yang sama yaitu pengangguran yang tinggi, perumahan dan harga yang tinggi dilihami pemberontakan-pemberontakan rakyat di Mesir dan Tunisia.

Gempar Bunyi Dentuman Kuat, Paip Pecah,

Posted: 26 Feb 2011 06:00 AM PST

Taman Perling – Kesibukan kira-kira 100 keluarga membuat persediaan ke sekolah dan tempat kerja, bertukar panik selepas digemparkan bunyi dentuman kuat dari arah tangki air Taman Perling berhampiran kediaman masing-masing.

Tekanan air yang kuat menyebabkan salah sebuah paip dari tangki yang terletak di bukit di Jalan Belibis 17, di sini, pecah dan bocor sekali gus menenggelami pokok kecil serta membasahi kawasan perumahan tersebut, semalam.

Saksi kejadian, B Bargavi, 62, berkata, dia baru sahaja pulang ke rumah selepas bersiar di sekeliling kawasan perumahan di jalan itu seperti hari kebiasaan sebelum kejadian berlaku.

"Secara tiba-tiba pagi itu dikejutkan dengan satu bunyi letupan yang kuat sekitar jam 6.30 pagi ketika saya sedang melakukan kerja rumah.

"Kemudian timbul tanda tanya dan rasa pelik apabila kedengaran pula bunyi seperti hujan lebat selepas letupan itu sedangkan cuaca cerah pada pagi ini," katanya.

Bargavi berkata, dia secara terburu-buru keluar dari perkarangan rumah seterusnya terlihat pancutan air dari salah sebuah paip sehingga timbul perasaan bimbang akan berlakunya runtuhan pada struktur tangki itu.

"Panik dengan situasi yang terjadi, saya segera pulang ke rumah untuk memberitahu suami bersama jiran untuk menyelamatkan diri berserta dokumen penting sekiranya berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini.

"Terlalu banyak air memancut keluar dari paip itu sehinggakan pokok kecil di bahu jalan ranap selain berlakunya hakisan tanah di lereng bukit tangki itu dan kawasan berhampiran," katanya kepada Sinar Harian.

Ahli perniagaan, Andy Koh, 28, berkata, dia sedang mempersiapkan tiga cahaya matanya untuk ke sekolah ketika dentuman kuat itu kedengaran sebelum diberitahu jiran hadapan rumahnya, Bargavi berhubung kejadian itu.

"Saya meninjau apa yang berlaku kerana menyangka berlakunya kemalangan di hadapan rumah sebelum terlihat pancutan air setinggi kira-kira enam meter ke udara dari paip itu seterusnya membasahi jalan dan memasuki kediaman penduduk.

"Ketika kejadian, timbul persoalan dan perasaan hairan dalam kalangan penduduk mengapa kakitangan atau pegawai dari Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJH) tidak berada di lokasi sebaik sahaja insiden ini dilaporkan," katanya.

Suri rumah, Elaine Lau, 55, berkata, dia amat kecewa dengan operator talian kecemasan 999 apabila mendakwa laporan dibuat olehnya menerusi panggilan dilakukan untuk memberitahu kejadian itu tidak menerima layanan sewajarnya.

"Hairan apabila talian yang sepatutnya berfungsi untuk menerima panggilan kecemasan seperti dilayan acuh tidak acuh sedang keadaan panik ini bukanlah satu perkara main-main.

"Adakah mereka hanya akan menganggap perkara ini serius dan bertindak sekiranya sudah berlaku kemalangan nyawa membabitkan penduduk?," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting, Chia Sing Cheng yang terus bergegas melawat tempat kejadian berkata, dia akan meminta SAJH segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan perkara itu.

"Saya diberitahu penduduk setempat berhubung kejadian ini sekitar jam 6.45 pagi seterusnya mendapati tekanan air dari paip itu amat kuat sebaik sahaja tiba di lokasi.

"Semua penduduk yang tinggal berhampiran tangki air ini menyuarakan rasa cemas sekali gus bimbang kejadian sama akan berlaku pada masa akan datang.

"Sebagai penyelesaian, saya memohon SAJH supaya mewujudkan satu pasukan khas yang akan bertindak untuk sentiasa memantau saluran paip tangki terletak berhampiran semua kawasan perumahan dan bertindak segera sekiranya berulang kejadian seumpama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAJH, Jamaluddin Jamil berkata, dia mengesahkan ada menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 6.30 pagi.

"Satu pasukan sudah dihantar untuk menutup injap paip air yang terletak berhampiran Perling Mall bagi menghentikan bekalan air ke tangki tersebut.

"Saluran paip yang pecah ini mempunyai kapasiti air tiga juta gelen dan jarak antara lokasi kejadian dengan injap paip di Perling Mall terletak kira-kira tiga kilometer sekali gus menjadi antara penyebab mengapa proses menghentikan air mengambil masa lebih satu jam.

"Bagaimanapun, tiada sebarang gangguan bekalan air akan berlaku di taman perumahan ini dan paip bocor akan segera ditukarkan seterusnya kembali beroperasi semula menjelang sebelah malam," katanya.

Justeru, Jamaluddin berkata, orang ramai yang menghadapi masalah sama atau bekalan air boleh menghubungi SAJH di talian bebas tol 1800-88-7474 atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7727474 selain emel kepada customer.care@saj.com.my.

Lagi Kes Kereta Terbakar

Posted: 26 Feb 2011 05:17 AM PST

MUAR – Seorang wanita terselamat apabila kereta yang dipandunya jenis Nissan terbakar secara tiba-tiba ketika melalui Jalan Junid di sini, kelmarin.

Dalam kejadian ketika jam 8.30 pagi, Asiah Khamis berkata, dia dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Jalan Junid.

Menurutnya, apabila menghampiri persimpangan Jalan Junid, keretanya mengeluarkan asap dari papan muka kenderaannya.

"Panik dengan kejadian tersebut, saya mengambil tindakan pantas keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri sebelum api menjadi marak membakar kereta.

"Saya berasa bingung dan terkejut dengan insiden ini serta bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, saksi kejadian, Zakaria Muhammad, 58, berkata, dia berada di tempat kejadian semasa insiden tersebut berlaku.

Menurutnya, ketika itu dia bersama beberapa rakannya yang lain baru pulang daripada berjoging di kawasan Tanjung Emas.

"Semasa melintasi persimpangan lampu trafik berkenaan, saya terkejut melihat api marak dari sebuah kereta.

"Orang ramai yang melalui jalan ini turut menjarakkan diri dari kenderaan terbabit kerana bimbang kereta yang terbakar ini meletup dan membahayakan nyawa orang ramai," katanya.

Menurutnya, sejurus terlihat insiden kebakaran itu, dia segera menelefon bomba untuk menyelamatkan keadaan memandangkan api semakin marak di kereta tersebut.

"Orang ramai ketakutan dan berusaha menjauhkan diri daripada kenderaan tersebut kerana bimbang akan meletup pada bila-bila masa.

"Kira-kira 10 minit kemudian anggota bomba tiba ke lokasi kejadian untuk memadamkan api, namun kenderaan itu sudah hangus terbakar," katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memadamkan api.

"Insiden ini turut menyebabkan lalu lintas di persimpangan lampu trafik di Jalan Junid sesak dan pulih sediakala apabila rangka kenderaan itu dialihkan.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan mangsa terselamat daripada sebarang kecederaan," katanya. -SH


Kereta baru musnah

KUALA KRAI - Hasrat sebuah keluarga empat beranak untuk menaiki kereta yang baru dibaiki tidak kesampaian apabila kenderaan itu musnah dalam kebakaran di Kampung Enggong, dekat sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kereta jenis Proton Wira dianggarkan bernilai RM15,000 itu terbakar selepas rumah didiami keluarga berkenaan sejak enam bulan lalu musnah dijilat api.

Ketua keluarga terbabit, Mohd Azuwee Abdul Rahman, 30, berkata, kereta itu baru siap dibaiki dan dibawa pulang dari bengkel lewat petang kelmarin.

"Saya habis (belanja) RM2,100 untuk buat 'overhaul' enjin dan baru bawa balik kereta ini ke rumah petang kelmarin," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Enggong, dekat sini, semalam.

Mohd Azuwee berkata, kebakaran berlaku ketika dia dan isteri, Zukaidah Yaakob keluar mengambil dua anak mereka yang ditinggalkan di rumah adik iparnya di Jalan Kubur Lama di kampung berkenaan.

"Masa kami keluar jam 11.45 pagi, rumah masih ada," katanya yang dimaklumkan jiran mengenai kejadian itu ketika berada di sebuah kedai runcit dan dalam perjalanan pulang ke rumah bersama isteri serta anak mereka berusia dua dan empat tahun.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azmi Ibrahim berkata, dua jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah hari.

Katanya, walaupun menempuh kesukaran kerana jalan masuk yang agak sempit, pihaknya berjaya tiba di tempat kejadian pada jam 12.48 tengah hari sebelum dapat mengawal kebakaran lapan minit kemudian.

"Apabila jentera bomba sampai, kira-kira 90 peratus rumah papan ini sudah terbakar dan kerugian dianggarkan RM60,000 manakala punca kejadian masih dalam siasatan," katanya. -SH

Kereta Baru Terbakar Dan Meletup

Posted: 26 Feb 2011 04:23 AM PST

Lukut – Seorang lelaki melalui saat getir apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar sekitar jam 11.08, pagi semalam.

Lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia memandu dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke bilik pameran sebuah syarikat kereta di Port Dickson.

Menurutnya, ketika tiba di lampu isyarat di Lukut, dia memberhentikan kereta kerana lampu merah dan ketika mahu bergerak semula enjin kenderaannya mati.

"Ketika mahu menghidupkan semula enjin kereta, saya terdengar satu bunyi letupan. Ketika itu ada asap keluar daripada bahagian enjin kereta dan saya terus keluar menyelamatkan diri.

"Beberapa saat selepas itu kereta terbakar, sebelum seorang pemandu lori memberikan pertolongan dengan menggunakan alat pemadam api yang disimpan dalam kenderaannya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun berjaya memadamkan kebakaran, api menyala semula selepas itu sebelum berlaku lagi satu letupan.

"Anggota bomba dan penyelamat kemudian datang dan berjaya mengawal api sebelum memadam kebakaran berkenaan.

"Kereta terbabit masih dalam proses pendaftaran dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sinar Harian difahamkan, anggota bomba mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memadam kebakaran. -SH

Mayat Pelajar Tahun Enam Ditemui Dalam Tasik Sri Gombak

Posted: 26 Feb 2011 03:00 AM PST

Gombak: Mayat pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Gombak (SKSG) yang dipercayai terjatuh ke dalam Tasik Sri Gombak di sini, petang kelmarin, ditemui pagi semalam.

Mayat Herman Jamaluddin, 12, ditemui tertiarap oleh Unit Penyelamat Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira sembilan meter di dasar air berhampiran laluan pintu air.

Sebelum kejadian itu, Herman kali terakhir dilihat memakai baju dan seluar sukan oleh tiga pelajar Kolej CQ-Tech yang berteduh di pondok tasik itu ketika hujan lebat, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Menurut saksi, Sivaneswaran, 19, beliau dan dua rakannya melihat mangsa cuba mengambil buah kelapa di tebing tasik bersama seorang lagi rakan.

Bagaimanapun, setengah jam kemudian, Sivaneswaran hanya melihat seorang kanak-kanak saja di lokasi itu lalu bertanya di mana rakannya berada.

"Namun kanak-kanak terbabit pucat dan terus berlari pulang. Saya ternampak rakan mangsa mengelilingi tasik dan raut wajahnya seperti merahsiakan sesuatu namun cuba mengelak ketika kami bertanya mengenai rakannya," katanya di sini, semalam.

Pada jam 10 malam kelmarin, saksi yang pergi ke lokasi kejadian sekali lagi, menemui sepasang kasut dan beg sekolah mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis.

Sejam kemudian, sepasukan bomba dari Balai Bomba Selayang membuat pemantauan di lokasi kejadian. Namun, berikutan cuaca gelap, bomba menyambung usaha mencari dan menyelamat pada jam 8 pagi semalam.

Ketua Operasi merangkap Ketua Pasukan Penyelamat Bomba, Japari Tajudin berkata, gerakan menyelamat menghadapi kesukaran akibat air deras dan keruh.

"Usaha menyelam terpaksa dilakukan dua kali sebelum mangsa ditemui berhampiran laluan keluar air tasik. Kita percaya mangsa dihanyutkan air deras," katanya.

Mayat Herman kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang (HS), di sini untuk dibedah siasat. -BH

DAP Perhebatkan Kempen Menangkan PAS Di Kerdau

Posted: 26 Feb 2011 02:00 AM PST

DAP usaha tambah undi Cina pada PAS

TEMERLOH, 26 Feb: DAP akan berusaha untuk memastikan undi pemilih Cina kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dapat ditingkatkan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, walaupun jumlah pengundi Cina di Dun Kerdau sekitar 450 orang atau 3.6 peratus, namun pertambahan walaupun satu undi adalah penting.

Katanya, DAP akan menerangkan kepada mereka mengenai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sama ada kerajaan negeri dan Pusat dalam usaha untuk menambahkan sokongan kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Kerdau.

"Kami akan menerangkan kepada mereka keadaan negara dalam semua segi, politik, ekonomi bagi menambah undi kepada calon PAS kerana semua adalah penting," katanya ketika ditemui semasa menunggu pengisytiharan calon yang akan bertanding pada PRK Kerdau di perkarangan Dewan Majlis Daerah Temerloh, di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong menambah rakyat mesti didedahkan dengan penyelewengan kerajaan BN seperti penyalahgunaan wang rakyat, rasuah, nepotisme, pilih kasih dalam pembahagian projek dan tender kerajaan dan sebagainya.

"Kita akan menerangkan isu-isu berkenaan kepada mereka," ujarnya.

Berdasarkan statistik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Dun Kerdau mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 455 pengundi Cina (3.6 peratus), India (3.4 peratus) dan 260 orang daripada lain-lain kaum (2.98 peratus).

Berada kira-kira 20 kilometer dari bandar Temerloh, Kerdau mempunyai penduduk yang rata-ratanya menjalankan kegiatan pertanian kelapa sawit dan getah di bawah program Felda dan Felcra selain usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdapat tiga tanah rancangan dalam Dun Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 an 25, selain mempunyai beberapa penempatan Orang Asli. -harakahdaily

Tiada ulasan: