Selasa, 1 Februari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


UMNO Terpaksa Dokong MCA Yang Lumpuh

Posted: 01 Feb 2011 12:30 AM PST

Umno terpaksa galas MCA yang lumpuh

Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar

"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.

"Tak ada batu, beban digalas," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.

"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.

"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.

Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.

"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.

"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.

"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.

Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.

"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.

"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.

Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.

Pemandu Lori Buka Langkah Seribu Selepas Dilepaskan Mahkamah Dari Tuduhan Edar Kanabis

Posted: 31 Jan 2011 11:45 PM PST

Alor Setar - Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier bergegas berlari seribu sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis, setahun lalu.

Tertuduh, Sazali Salleh, 38, yang memakai baju T berwarna kuning dan seluar sukan kelabu menekup muka dengan kedua-dua belah tangan sebaik hakim, Datuk Mohd. Azman Husin membacakan keputusan tersebut.

Dia yang berasal dari Sungai Petani sebelum itu bersalaman dengan anggota polis yang mengiringinya dan bergegas keluar dari bilik mahkamah tanpa sempat berjumpa dengan ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Sazali kemudian dilihat berlari ke arah kawasan rumah kedai dan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari kompleks mahkamah sebelum hilang daripada pandangan.

Tindakan itu sekali gus mengejutkan ramai yang berada di pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes tersebut.

Sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Januari lalu, seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Mohd. Azman dalam keputusannya menyatakan bahawa pertuduhan pendakwaan tidak lengkap dan terdapat kesilapan teknikal disebabkan kecuaian polis selain keterangan mereka selaku saksi pendakwaan juga menimbulkan keraguan.

Beliau juga hairan dengan kegagalan 15 anggota polis berpakaian preman untuk memberkas rakan Sazali yang dikenali sebagai Din selain tidak memperoleh butir- butir peribadi lelaki itu.

"Disebabkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri, namun tertakluk kepada rayuan (pihak pendakwaan)," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Sazali bersama seorang lagi yang masih bebas dididakwa mengedar dadah kanabis seberat 903.5 gram pada pukul 11.30 pagi, 15 Februari 2009 di hadapan rumah Lot 92, Lorong 13, Taman Bakar Arang, Sungai Petani.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sazali diberkas bersama kanabis oleh sepasukan 15 anggota polis yang menahan lori dinaikinya bersama seorang rakan tetapi lelaki itu dapat melarikan diri ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim berkata, beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sazali diwakili oleh peguam, Rahmatulah Baharudeen.

Labis: Bank Ditutup, Projek-projek Mee Segera PRK Tenang Dulu Hancur Lebur

Posted: 31 Jan 2011 11:24 PM PST

Bank Di Segamat Dan Labis Terpaksa Ditutup Akibat Banjir

Cawangan bank-bank komersil di Segamat dan Labis, Johor, terpaksa ditutup pada Isnin akibat banjir, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan pada Isnin.

Persatuan itu bagi pihak 10 bank anggotanya, berkata keadaan itu dipantau rapi dan bank berharap dapat beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

Ia berkata pengguna boleh memperoleh maklumat terkini menerusi nombor bebas tol ABM, ABMConnect 1-300-88-9980 dari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), 9:00 pagi hingga 5:30 petang atau menghubungi nombor telefon bank masing-masing.

Memandangkan esok cuti umum untuk Wilayah Persekutuan, orang ramai dinasihatkan menghubungi nombor di atas pada Rabu, 2 Feb, 2011.

Affin Bank Bhd boleh dihubungi di 03-55223000, Alliance Bank Malaysia Bhd (03-55169988), AmBank (M) Bhd (1-300-80-8888), CIMB Bank Bhd (1-300-88-0900), EON Bank Bhd (03-26161133), Hong Leong Bank Bhd (03-76268899), Malayan Banking Bhd (1-300-88-6688), OCBC Bank (Malaysia) Bhd (1-300-88-5000), Public Bank Bhd (1-800-88-3318) dan RHB Bank Bhd (1-800-88-4663).

Banjir mencetuskan keadaan cemas di beberapa negeri di negara ini, menyebabkan tiga orang terkorban, kerosakan hartanah dan memaksa beribu-ribu orang dipindahkan.

Setakat ini dua kematian dilaporkan di Johor manakala seorang lagi di Melaka.

Selain itu, banjir dan tanah runtuh yang berlaku antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan dan Kluang, Johor, memaksa Keretapi Tanah Melayu Bhd membatalkan perkhidmatan ke Selatan dan Timur. -- BERNAMA

Ulasan GB

Banjir melanda Labis & Segamat di hari mengundi semasa pilihanraya Tenang berlansung.

Kini, selepas kemenangan BN diumumkan ekonomi Labis & Segamat lumpuh apabila bank-bank komersial terpaksa ditutup kerana banjir besar.

Malah lebih daripada itu, waktu sebelum pilihanraya Tenang, beberapa projek mee segera mencurah di Tenang untuk menambat hati pengundi Tenang.

UMNO BN berbangga dengannya, konon hanya UMNO BN sahaja yang boleh membawa pembangunan, hanya UMNO BN sahaja yang boleh buat jalan, hanya UMNO BN sahaja yang boleh memberi itu dan ini kepada rakyat. Semua agensi kerajaan pusat dikerah untuk mengubah wajah Tenang untuk memukau pengundi Tenang. Berjuta dicurahkan untuk menghadapi pilihanraya Tenang. UMNO BN kaya raya, kata pengundi BN. Apa ada pada parti PAS? Apa ada Pakatan Rakyat?

Pembangunan yang sepatutnya menjadi kewajipan tetapi kini bertukar apabila UMNO BN menjadikan diri mereka seperti Santa Claus di hari natal memberi gula-gula pembangunan kepada rakyat. Sedangkan kekayaan itu milik Allah s.w.t.

Tak cukup dengan itu, Islam dipersendakan secara bergilir-gilir oleh UMNO dan MCA.

Kini sekonyong-konyonngnya Allah menurunkan hujan yang membanjiri seluruh Tenang. Tiada tampak projek mee segera yang dibanggakan lagi. Jalan-jalan yang baru diturap hancur lebur ditenggelami banjir dan ada yang merekah menjadi bongkah-bongkah batu yang perlu dibersih dan diperbaiki semula.

Tuhan telah dicabar dan lalu Tuhan memberikan jawpaannya. Tunjukkan kekayaan kamu yang kamu banggakan. Kamu taburkan pembangunan dengan niat untuk mendapat kemenangan di dalam pilihanraya. Ya, itu yang kamu dapat. Kamu diberikan kemenangan, kemudian Allah berhak untuk membersihkan semua projek-projek pembangunan yang kamu bina itu dengan banjir yang tak dapat kamu tolak kerana pembangunan itu kamu lakukan bukan untuk rakyat tetapi untuk pilihanraya. Pilihanraya sudah berakhir dan Allah juga berhak untuk mencabut semua projek itu semula dengan dikirimkan banjir yang tidak dapat ditolak lagi oleh sesiapa!

Sekarang siapa yang kaya raya dan siapa berkuasa? UMNO BN kah? Atau Allah Yang Maha Esa?

[Bergambar] Kes Ariel: Peminat & Aktivis Bertempur

Posted: 31 Jan 2011 09:30 PM PST

Bandung: Peminat vokalis kumpulan Peter Pan, Nazril Ariel Irham bertempur dengan penyokong kumpulan Islam di luar mahkamah di sini semalam selepas selesainya hakim menjatuhkan hukuman ke atas selebriti itu di atas kesalahan membabitkan pengedaran bahan lucah.

Berdasarkan pemantauan wartawan tempatan, beberapa penyokong kumpulan aktivis agama itu dilihat memukul penyokong Ariel yang memakai jaket celoreng hitam dan jingga di Jalan LRE Martadinata.

Bagaimanapun pertempuran itu tidak berlangsung lama kerana anggota polis berjaya meleraikan dua kumpulan yang kurang puas hati dengan keputusan yang diumumkan hakim.

1,000 anggota polis ditempatkan bagi mengawal keadaan sesak di mahkamah.

Indonesia sebuah negara sekular dengan 234 juta penduduk, mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia. Walaupun bersifat sederhana, kumpulan aktivis semakin bersuara lantang.

Kumpulan itu berjaya mendesak undang-undang kontroversi seperti undang-undang antipornografi direalisasikan, menyerang mana-mana pihak yang dianggap mempersendakan agama, aktiviti pondan dan menyekat mazhab yang bertentangan dengan agama.

Sesetengah penunjuk perasaan membaling kenderaan polis yang membawa Ariel ke mahkamah dengan telur busuk dan tomato. Yang lain memegang sepanduk mengutuk penyanyi itu. – Agensi/AP/Reuters










Cabul Anak Murid, Hukuman Ke atas Nasruddin Kekal

Posted: 31 Jan 2011 08:48 PM PST

Seorang guru agama kelu apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 kerana mencabul seorang kanak-kanak di sebuah rumah yang dijadikan pusat Qiraati lima tahun lepas.

Gambar: Nasruddin Niamat, 36, (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar setelah gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan mencabul anak muridnya lima tahun lalu, di Alor Setar, 31 Jan. - UM/KAMAL BASIR

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menolak rayuan Nasruddin Niamat, 36, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2009.

Mohd Azman berkata keputusan Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 adalah mematuhi prosedur mahkamah.

Guru agama itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Walaupun rayuan awak ditolak, ini bukan keputusan akhir kerana awak masih ada peluang. Awak boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan," kata Mohd Azman.

Menurut kertas pertuduhan, Nasruddin dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah bilik yang dijadikan kelas mengaji al-Quran di sebuah rumah di Lorong Teratai 1, Taman Berjaya, Jalan Pegawai pada 9.45 pagi, 8 Jun 2006.

Dalam rayuannya, tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan empat anak, memberi alasan kanak-kanak itu masih di bawah umur dan tidak dapat memberi keterangan selain tidak memahami kepentingan mengangkat sumpah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim mengendalikan kes itu manakala tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuddeen. --Bernama

[Bergambar] Sejuta Rakyat Mesir Akan Sertai Protes Di Mesir

Posted: 31 Jan 2011 07:47 PM PST

Kaherah: Satu pakatan pembangkang menggesa sejuta penduduk Mesir meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat depan dengan keluar beramai-ramai memprotes di tengah ibu kota Kaherah mulai semalam.

Gambar: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan penyokong demokrasi, Mohamed ElBaradei, sedang berucap kepada para pembantah yang berhimpun di Dataran Tahrir, di Kahirah, lewat kelmarin. -- Foto AP

Seramai 30 hingga 40 wakil pergerakan terbabit juga mendesak supaya mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu bagi memaksa Mubarak berundur selepas 30 tahun berkuasa.

Pakatan itu yang kebanyakannya pergerakan belia selain Ikhwanul Muslimin yang diharamkan, merancang untuk berarak dari Dataran Tahrir (Kemerdekaan) bagi memaksa Mubarak menyerah kuasa.

Jurucakap beberapa kumpulan terbabit berkata, wakil mereka berunding sejak petang semalam bagi membentuk strategi bersama menggulingkan Mubarak.

Mereka juga akan memutuskan sama ada pemenang anugerah Nobel, Mohamed ElBaradei akan dinamakan sebagai jurucakap penunjuk perasaan.

Ikhawanul Muslimin pula menyatakan bahawa ia tidak akan menerajui penentangan terhadap Mubarak.

"Kami tidak mahu mengancam revolusi ini," kata Mohamed Mahdi Alef, bekas pemimpin kanannya.

Mengulas tindakan mogok, salah seorang penaja bantahan, Israa Abdel-Fattah, berkata: "Kami tidak mahu keadaan pulih semula sehingga Mubarak tidak lagi memerintah. Kami mahu penduduk tidak bekerja hingga beliau berundur."

Israa adalah pengasas kumpulan 6 April, pergerakan belia yang mendesak pembaharuan demokratik dilakukan sejak 2008.

Bank, sekolah dan pasaran saham ditutup buat hari kedua manakala ramai terpaksa berbaris di luar kedai roti untuk menambah bekalan.

Kawat berduri menutup laluan ke Dataran Tahrir dari jalan utama, kawasan plaza yang diduduki penunjuk perasaan sejak Jumaat lalu, menjadikannya pusat kempen menjatuhkan Mubarak yang dipersalahkan atas kemiskinan berleluasa, inflasi, sikap tak peduli pihak berkuasa dan penindasan ke atas penduduk.

Beribu-ribu orang berhimpun di dataran itu sejak awal pagi, ramai yang tidur di kawasan padang atau dalam khemah. Ramai yang mula tiba sejak awal lagi.

Anggota polis dan pengutip sampah juga muncul semula di jalan raya Kaherah manakala stesen kereta api bawah tanah dibuka semula selepas askar dan sukarelawan bersenjatakan cotar dan parang menjaga keamanan semalaman.

Sementara itu, stesen televisyen Al-Jazeera pula menyatakan, enam wartawannya sudah dibebaskan selepas ditahan sehari selepas televisyen itu diarah memberhentikan operasinya. – Agensi








Hatta, Mahfuz Terperangkap 2 Hari Di Segamat Selepas PRK Tenang

Posted: 31 Jan 2011 06:50 PM PST

Dua Ahli Parlimen (MP) PAS menceritakan pengalaman ngeri mereka awal pagi tadi sehingga terperangkap dalam satu 'pulau' banjir di Pagoh.

"Kami sekarang berada di Kampung Bukit Limau Manis, Pagoh 3, Segamat. Kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa. Bantuan masih tidak kesampaian. Paras air semakin naik dan hujan masih turun.

Bekalan elektrik terputus. Kami sekarang tengah menumpang in satu rumah orang kampung dan dilayani dengan baik," tulis Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli yang tersangkut di kampung tersebut bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengimbas kembali peristiwa ngeri semalam, Dr Hatta berkata beliau dan Mahfuz cuba meninggalkan Labis pada pukul 1.30 pagi, namun tidak berjaya kerana tersekat kerana kesesakan yang teruk di Segamat.

"Kami tidak boleh meneruskan perjalanan, oleh itu kami berpatah balik ke arah Labis dan mengambil jalan Felda Chempedak ke Pagoh.

Selepas mengharungi dua kawasan banjir, masalah kami bermula," imbas Dr Hatta.

(GAMBAR: Dr Hatta bergambar dengan kanak-kanak di 'pulau' Pogoh tempat beliau terperangkap sehingga jam 8.30 malam 31 Januari. Selepas itu, belliau dibawa dengan bot penduduk kampung keluar dari situ dan dalam perjalanan menaiki Hilux. Kereta beliau terpaksa ditinggalkan di pulau 'Pogoh" ini)

Dalam perjalanan menghala ke Pagoh, Dr Hatta berkata mereka menemui lima kawasan banjir namun mereka berjaya merentasinya dengan kereta T Fortuner.

"Kawasan banjir terakhir sangat dalam airnya dan air mengalir dengan sungguh deras sekali. Air juga memasuki kereta, namun kita berjaya sampai ke kawasan tanah kering. Ia sudah 3 pagi pada masa itu," kata Dr Hatta yang mengklasifikasikan peristiwa itu tersebut sebagai 'sangat ngeri'.

Selepas itu, Dr Hatta dan Mahfuz membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan, dan selepas satu minit daripada tempat kejadian ngeri tadi, mereka sekali lagi bertembung dengan kawasan banjir, di mana kali ini Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS menasihatkan Dr Hatta untuk tidak mengambil risiko untuk mengharungi kawasan banjir keenam ini.

"Saya setuju dengan Mahfuz dan menghentikan kereta di tepi jalan berdekatan dengan dua rumah kampung yang bersuluh," kata Dr Hatta.

Sebelum berehat sejenak di kereta, Dr Hatta sempat meletakkan satu petanda di masa gigi air berada untuk melihat perubahan paras air.

"Saya tidur nyenyak sehingga masa untuk solat subuh dan mendapati petanda yang saya letak telah hilang dan paras air hanya beberapa kaki saja daripada kereta. Subhanallah. Kami terperangkap di dalam satu pulau!" kata Dr Hatta lagi.

(GAMBAR: Mahfuz bergambar dengan keluarga angkat tempat beliau menumpang ketika terperangkap)

Namun begitu, nasib malang Dr Hatta dan Mahfuz di'offset'kan dengan layanan mesra penduduk-penduduk kampung di Kampung Bukit Limau Manis di mana mereka dijemput untuk menumpang di salah semua rumah mereka.

"Kami dijemput oleh orang kampung, menunaikan solat dan diberitahu bahawa daripada pengalaman lepas mereka, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk paras air turun. Ahh sudahh!

Nasib baik ada bekalan elektrik untuk mencajkan Blackberry," kata Dr Hatta yang ketika itu berasa yakin bahawa mereka akan diselamatkan oleh bantuan JKM atau pasukan Ahli Parlimen kawasan tersebut sekejap lagi.

"Saya yakin bahawa JKM atau pasukan ahli parlimen kawasan ini akan datang dengan boat untuk memberikan ikan sardin. Aku pun akan buat muka welfare tadah tangan," tambah Dr Hatta.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, sehingga jam 2 petang tadi, menurut Dr Hatta, masih tiada orang dan pihak berkuasa yang datang menghulurkan bantuan, dan keadaan bertambah perit apabila bekalan elektrik turut terputus di kampung tersebut.

"Kami masih menunggu," itulah mesej terakhir yang dihantar Dr Hatta dan Mahfuz kepada Harakahdaily tengah hari semalam.


[Bergambar] Banjir Dasyat Landa 4 Negeri

Posted: 31 Jan 2011 05:54 PM PST

Keadaan banjir di beberapa buah negeri semakin buruk apabila meragut tiga nyawa hari ini masing-masing dua di Johor dan seorang di Melaka.

Keadaan banjir yang dilaporkan di Johor semalam juga semakin merebak ke beberapa buah negeri lain termasuk di Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Beberapa buah pusat pemindahan mangsa banjir di kesemua negeri tersebut juga mula menerima mangsa-mangsa banjir dan jumlahnya semakin meningkat sehingga petang ini.

Di JOHOR, seramai 39,304 penduduk negeri ini terpaksa dipindahkan ke 241 pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Hujan lebat berterusan sehingga tahap amaran merah oleh Jabatan Meteorologi menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di negeri ini telah mencecah paras bahaya termasuk Sungai Segamat, Sungai Muar, Sungai Bekok dan Sungai Mengkibol.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bencana banjir kini berada pada tahap serius namun pihaknya telah menggerakkan setiap jentera kerajaan untuk membantu penduduk yang terlibat.

"Kita melibatkan setiap pihak termasuk tentera, polis, bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk membantu memindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir ke tempat lebih selamat.

"Kami turut mengenal pasti lokasi-lokasi banjir dan mengerahkan setiap aset termasuk trak, bot serta helikopter untuk membawa keluar mangsa banjir," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Beliau berkata, setiap daerah di negeri Johor terjejas dalam banjir kali ini dengan Segamat yang paling teruk membabitkan seramai 9,539 mangsa diikuti Kluang (7,013), Johor Bahru (6,882), Ledang (1,616), Kulaijaya (1,426), Muar (1,283), Batu Pahat (736), Kota Tinggi (180), Pontian (126) dan Mersing (99).





Di NEGERI SEMBILAN pula, Seramai 4,198 penduduk di beberapa daerah sekitar negeri ini dipindahkan malam tadi hingga lewat petang ini berikutan hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, jumlah berkenaan meningkat sejak petang ini apabila beberapa kawasan masih lagi dilanda banjir berikutan paras Sungai Muar dekat daerah kecil Gemas naik mendadak.

''Sehingga pukul 12.45 tengah hari, jumlah mereka yang dipindahkan ialah seramai 4,198 orang dan ia dijangka meningkat berikutan keadaan laporan cuaca yang menunjukkan hujan akan terus berlaku di beberapa kawasan lewat petang ini dan sebelah malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Ali yang juga Setiausaha Kerajaan negeri memberitahu, sebanyak 22 pusat pemindahan sementara telah dibuka dan bantuan segera kepada mangsa banjir telah disalurkan pelbagai agensi penyelamat.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan banjir yang berlaku ini disebabkan hujan lebat tanpa henti.

''Kawasan paling teruk ialah di sekitar Tampin dan Gemas di mana, lebih 1,500 orang telah dipindahkan, katanya ketika ditemui pemberita di Nilai, hari ini.





Di PAHANG, seramai 690 orang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat dan banjir di empat daerah negeri ini hari ini.

Antara kawasan terjejas adalah Raub, Bentong, Maran dan Rompin.

Selain itu beberapa laluan utama turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan terbabit dinaiki air antara 0.5 hingga dua meter.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohd. Fauzi Abdul Rahim berkata, daerah Raub mencatatkan jumlah kawasan tertinggi yang dilanda banjir melibatkan 13 kampung dengan mangsa banjir seramai 204 orang.

Beliau memberitahu, beberapa jalan di sekitar negeri ini turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air meningkat di laluan terbabit.

Katanya, bagi daerah Bentong, jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Karak-Kuala Pilah di kilometer 9, kilometer 12 dan kilometer 13.

Tambahnya, Jambatan Kampung Bubuk Batu di Rompin ditutup kepada semua kenderaan kecuali kilometer 5, Jalan Felda Selancar yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

"Beberapa jalan di Bera pula ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan alternatif Kampung Pasal-Kampung Pelangi 8 ke Muadzam Shah dan kilometer 22 Jalan Kemayan-Jalan Ladang Risda Berat.

"Jalan di Kilometer 24 Jalan Maran-Jerantut di Maran hanya dilalui oleh kenderaan berat sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan di sini hari ini.







Di MELAKA, seramai 2,014 orang daripada 510 keluarga di Jasin dan Alor Gajah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.2 hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Asahan dan Simpang Bekoh di Jasin manakala Taman Seri Bayu, Rembia serta Seri Pengkalan di Alor Gajah.

Menurutnya, empat kawasan yang teruk dilanda banjir melibatkan 1,397 penduduk iaitu 306 penduduk dari Asahan, Sungai Bekoh (276), Taman Seri Bayu (538) dan Seri Pengkalan (277) manakala selebihnya dari Tehel, Batang Melaka, Lipat Kajang dan Melaka Pindah.

Beliau berkata, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka sejak malam tadi iaitu 19 di Jasin dan tujuh lagi di Alor Gajah.

Beliau menambah, tiga jalan utama terpaksa ditutup buat sementara waktu sejak awal pagi hingga tengah hari ini kerana dinaiki air antara 0.2 hingga 0.4 meter.

Katanya, jalan tersebut ialah dari jalan dari Pekan Lubuk China ke Simpang Ampat, Seri Pengkalan ke Alor Gajah dan Seri Pengkalan ke Rembia.

Mohd. Ali berkata, banjir berpunca berikutan limpahan air daripada tiga sungai iaitu satu di Alor Gajah dan dua di Jasin berikutan hujan berterusan sejak semalam hingga hari ini.







[Bergambar] Segamat Berubah Menjadi Pulau

Posted: 31 Jan 2011 05:00 PM PST

Labis: Segamat lumpuh sejak malam kelmarin apabila terputus perhubungan darat dengan dunia luar, berikutan semua laluan keluar masuk ke daerah itu ditenggelami air sehingga 1.5 meter.

Jalan keluar masuk ke daerah ini membabitkan Jalan Batu 8 Jementah-Lubuk Batu, Jalan Gemas-Segamat dan Jalan Bandar Segamat-Labis ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Berikutan perkembangan itu, semua pengguna jalan raya dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan berikutan kedua-dua hala jalan ditenggelami air dan berbahaya untuk dilalui.

Jurucakap polis berkata, semua hubungan ke Segamat kini lumpuh berikutan jalan dinaiki air mencecah paras dada orang dewasa, malah di sesetengah kawasan termasuk laluan di Tenang Station dikategorikan bahaya kerana arus deras.

Pasukan penyelamat kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan Sungai Segamat terus merekodkan kenaikan parasnya berikutan hujan berterusan sejak seminggu lalu.

Dalam pada itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghentikan sementara operasi pejabatnya di Segamat.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata ahli dan majikan yang ingin mendapatkan perkhidmatan KWSP boleh menghubungi cawangan KWSP terdekat iaitu di Muar atau Melaka.

Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 atau menghantar pertanyaan di laman web www.enquiry.kwsp.gov.my atau mendapatkan maklumat KWSP di laman web myEPF www.kwsp.gov.my.

Sementara itu, banjir besar yang melumpuhkan pekan Labis dan beberapa kawasan sekitarnya sehingga menjejaskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kelmarin, mulai surut.

Bagaimanapun, kebanyakan kedai dan premis perniagaan masih ditutup.

Tinjauan mendapati kedai makan dan serbaneka di pekan ini diserbu penduduk mendapatkan bekalan makanan sehingga stok makanan mulai berkurangan.

Tinjauan mendapati beberapa jalan sekitar Pekan Labis dipenuhi sampah sarap yang dihanyutkan banjir malam kelmarin, manakala beberapa jalan raya turut rosak.

Penduduk Kampung Paya Merah, Paya Merah Lama dan Lembah Bakti di Labis juga masih ditempatkan di pusat penempatan banjir berikutan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, yang memenangi pilihan raya kecil itu, kelmarin, turut meninjau mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.







Merlimau: PAS Lebih Berpotensi Untuk Wakili Pakatan Rakyat

Posted: 31 Jan 2011 04:10 PM PST

Merlimau: Pakatan bincang sama ada letak calon PAS atau PKR

SHAH ALAM, 30 Jan — Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan sama ada akan meletakkan calon PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di sini hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: "Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ."

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. — Bernama



Petikan dari malaysiakini

Di sebelah Pakatan Rakyat pula keadaan yang berbeza dapat diperhatikan apabila PAS dan PKR masing-masing bersungguh-sungguh untuk meletakkan calon daripada parti masing-masing.

Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Ghani Abdul Rahman nyata kesal dengan tindakan PKR sebelum ini yang membuat kenyataan untuk meletakkan calon daripada parti itu.

Abdul Ghani berkata, PKR tidak sepatutnya berbuat demikian tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan anggota Pakatan
.

Tambahnya, beliau menghormati keputusan ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri) untuk bertanding di DUN Merlimau.

Namun, beliau berpendapat tindakan itu akan menyebabkan berlakunya pergeseran di antara kedua-dua parti itu memandangkan kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS.

"Kita akan bertanding di situ," tegasnya dan menambah, PAS negeri telah mengadakan dua pertemuan sejak Jumaat lalu untuk membincangkan persiapan berkenaan.

Abdul Ghani yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat berkata, parti itu juga akur kepada kehendak PKR untuk mewakili Pakatan dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau.

Katanya lagi, PAS turut memberi peluang kepada Shamsul Iskandar untuk bertanding di kerusi parlimen Tangga Batu walau kerusi berkenaan merupakan kawasan tradisi PAS.

Begitu juga pada pilihan raya umum 2008 apabila Shamsul Iskandar diberi ruang bertanding di Terengganu walau kawasan berkenaan pada asalnya dikhususkan kepada PAS.

"Jadi,Shamsul sepatutnya menghormai status quo berhubung perkara yang telah diputuskan sebelum ini," kata Abdul Ghani lagi.

Abdul Ghani juga berkata, kerusi Merlimau mempunyai potensi lebih besar kepada PAS, berbanding pilihan raya kecil DUN Tenang, Johor yang sedang berlangsung.

Parti itu sebelum ini menurunkan yang dipertua PAS Jasin, Jasme Tompang untuk berdepan Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Jasme berjaya mengurangkan majoriti BN kepada 2,154 undi dalam pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir sebelum itu menang dengan majoriti lebih 5,000 undi ketika menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya umum 2004.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan susulan kematian Mohamad Hidhir pada Khamis lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh penamaan dan membuang undi bagi pilihan raya berkenaan pada hari Jumaat.


Ulasan GB

PAS telah terlalu banyak berkompromi. Terlalu banyak memberi ruang kepada PKR selama ini. Terlalu berlembut sedangkan PKR yang sedang menghadapi penyakit kronik dengan beberapa orang ahli parlimen dan DUN telah meninggalkan parti tidak pernah mahu membetulkan perjalanan parti mereka.

Di Merlimau, calon PAS lebih berpotensi. Sekalipun Ketua AMK merasakan dirinya hebat, tetapi beliau bukan anak tempatan Merlimau, dan telah diberikan peluang berkali-kali oleh PAS kerana ketamakannya untuk bertanding - tetapi tidak pernah pun menang malah kalah di kerusi yang pernah dimenangi PAS seperti Dungun.

Pada masa ini, PKR sepatutnya mengambil peluang membetulkan perjalanan parti mereka yang tercemar teruk akibat penipuan di dalam Pemilihan 2010, bukan untuk merebut kerusi PAS. Satu dunia telah tahu mengenai kepincangan perjalanan pemilihan PKR 2010tetapi belum ada langkah positif diambil oleh pucuk pimpinannya untuk mengatasinya.

Justeru itu, PAS dilihat lebih berpotensi dan lebih layak bertanding di DUN Merlimau.

Dia Peluk Islam Kerana Melihat Kebenaran Al-Quran Mengenai Fir'aun

Posted: 31 Jan 2011 02:14 PM PST

Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L'Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, 'dirawat' segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.


Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

"Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!"

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

"Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan," bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: "Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu". (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

"Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92)."

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: "Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini."


Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur'an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

"Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

"Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden," katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah. - Siti Ainiza








Ternyata Mahathir Ingin Mati Sebagai Seorang Firaun

Posted: 31 Jan 2011 07:24 AM PST

Dr M: Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat - yang disebutnya sebagai 'Islam Nik Aziz' - lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'.

"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis," kata Dr Mahathir.

Beliau rela mempertahankan (menteri mentor Singapura) Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu."

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, bayangkan sahaja pendekatan Islam bawah pemerintahan Nik Aziz ketika beliau duduk sebaris dengan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat seperti Lim Guan Eng (setiausaha agung), Karpal Singh (pengerusi) dan Lim Kit Siang (penasihat).

"Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew," sindir Dr Mahathir.

Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia juga melaporkan Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu dengan membandingkan dengan sikap segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

Melayu pecah tiga

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata, hasil perjuangan nasionalisme Melayulah banyak nilai Islam diterapkan dalam pemerintahan jika dibanding dengan pengamalan di zaman British yang mana ramai pembesar Melayu minum arak, pekerja Melayu minum todi dan ramai yang tidak sembahyang.

"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?" soal Dr Mahathir lagi.

Beliau juga sebaliknya membidas menteri besar Kelantan itu dan PAS yang hasil terbesarnya didakwa memecahbelahkan orang Islam di negara ini, termasuk melalui penubuhan parti Islam itu sendiri.

Sokongan kepada parti Melayu Semangat 46 suatu masa dulu, juga menyebabkan orang Melayu berpecah menjadi tiga.

"Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama Umno dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadikan Pakatan musuh Umnoyang kuat.

"Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal," coret Dr Mahathir sambil menambah ajaran bahawa orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz. -mk

Ulasan GB

Jelas bahawa Tun Dr Mahathir ialah golongan yang tidak tahu tentang Islam apabila menjuzukkan Islam sebagai Islam Nasionalis dengan Islam Nik Aziz.

Islam itu satu, Islam itu ad-deen, Islam itu satu tatacara hidup.

Apabila kita menyebut "tatacara hidup" agaknya tatacara hidup siapakah yang menepati tacatacara kehidupan Islam? Nik Azizkah atau Mahathir?

Begitu juga dengan sistem berkerajaan. Sistem kerajaan siapakah yang mengikut acuan Islam? NikAzizkah atau Mahathir?

Jangan lupa Mahathirlah merupakan Perdana Menteri yang secara terang-terangan mengakui bahawa beliau menyekat pembangunan di Kelantan kerana Kelantan diperintah oleh PAS.

Jangan lupa Mahathirlah merupakan Perdana Menteri yang telah menghapuskan royalti minyak Petronas Ke Terengganu dan Kelantan setelah pada tahun 1999, Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan PAS.

Tidakkah ciri-ciri pemerintahan TDM itu yang menganiaya dan menindas PAS yang dianggotai 100% umat Islam itu lebih dasyat dari pemerintahan kafir?

PAS tidak semudah itu dapat mengampunkan dosa itu.

Ada yang menyanjung anda begitu hebat kerana adanya Putrajaya, Twin Tower dan lain-lain. Ya memang hebat, sehingga orang terpukau dengan kehebatan itu.

Tetapi ingat dan sedarlah di Mesir, Firaun itu juga hebat yang telah memajukan rakyat di zamannya, malah mempunyai Piramid yang sehingga sekarang masih tegap wujud, tetapi di sisi Allah Firaun itu dilaknat Allah - tercatat di dalam Al-Quran - yang sehingga kini mayatnya tidak diterima bumi!

[Bergambar] 50 Rumah Terbakar Di Kg Titingan

Posted: 31 Jan 2011 04:30 AM PST

Seramai 300 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila 50 rumah setinggan di Kampung Titingan, dekat sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, siasatan mengenai punca dan anggaran kerugian masih dijalankan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, dua jentera bomba dan tiga kereta bantuan dengan 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sejam selepas itu.

"Anggota bomba terpaksa berhadapan dengan masalah angin kuat kerana tempat itu berdekatan laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.-Bernama




Kes Stadium Runtuh: Jurutera Perunding Didakwa Menipu

Posted: 31 Jan 2011 04:00 AM PST

Jurutera Perunding Didakwa Berhubung Kes Runtuhan Stadium

KUALA TERENGGANU: Seorang jurutera perunding pada Isnin didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini pada Jun 2009.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Jan dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. Hakim M.Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

Banjir Di Empat Negeri: Johor, N.Sembilan, Melaka Dan Pahang

Posted: 31 Jan 2011 03:15 AM PST

Banjir di Johor ragut 2 nyawa, 28,900 dipindahkan

LABIS: Banjir di Johor meragut dua nyawa, kedua-duanya wanita dengan 28,900 mangsa dipindahkan di 192 pusat pemindahan di seluruh negeri sehingga 8 pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata mangsa yang terkorban dari Kampung Rahmat, Kulai dan Kampung Chaah, Segamat.

Beliau berkata, mangsa yang dipindahkan itu adalah terdiri daripada 6,854 keluarga.

"Segamat, Johor Bahru dan Kluang kini adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir dan hujan dijangka berterusan sehingga esok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, semua hubungan ke Daerah Segamat kini lumpuh manakala laluan ke Muar, Johor Bahru dan Kuala Lumpur di kedua-dua hala turut ditenggelami air.

Laluan ke Pekan Labis yang semalam dinaiki air kini sudah surut tetapi kawasan pinggir daerah itu masih digenangi air.

TERKINI : Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila 39,304 orang dipindahkan ke 241 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu sehingga 4 petang tadi.

BERITA 2
Banjir di Melaka ragut mangsa pertama

MELAKA: Banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin sementara 2,714 mengsa dipindahkan di 26 pusat pemindahan di ketiga-tiga daerah di Melaka sehingga 4 petang ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 616 keluarga di daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Seramai 1,275 mangsa dari 330 keluarga dipindahkan di Jasin di 15 pusat pemindahanan, 1,390 mangsa dari 278 keluarga di Alor Gajah di 10 pusat pemindahan dan 49 mangsa dari lapan keluarga di Melaka Tengah di satu pusat pemindahan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata mangsa yang ditemui lemas ialah Yusry Mohd Yusof, 40, seorang pengawal keselamatan di Loji Air, Kg Chinchin, di Jasin.

"Mangsa dilaporkan terjatuh ke kolam itu pada pukul 10 pagi ini dan polis dengan bantuan orang ramai, pasukan bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa pada kira-kira 1.30 tengahari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, mangsa tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata antara kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Asahan, Selandar, Batang Melaka, Tehel, Melaka Pindah dan Lipat Kajang.

"Mangsa mula dipindahkan ke pusat pemindahan sejak petang semalam dan malam tadi," katanya.

Beliau berkata, air di kawasan terbabit naik antara 0.2 meter hingga 0.4 meter ekoran hujan renyai dan kadang kala lebat yang turun di negeri ini sejak dua hari lalu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam di Kota Cemerlang, Air Keroh di sini dan boleh menghubunginya di talian 06-2333333. - BERNAMA

BERITA 3
1,900 mangsa banjir di Negeri Sembilan dipindahkan

TAMPIN: Kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah di Negeri Sembilan dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan beberapa kawasan di daerah tersebut dilanda banjir akibat hujan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tampin berkata seramai 1,545 mangsa di daerah kecil Gemas dan daerah Tampin dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di dua daerah itu.

Katanya 416 mangsa dipindahkan di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Dewan Kampung Tiong (64 mangsa), Balai Raya Kampung Ladang (4), Masjid Kampung Londah (38), Dewan Sungai Kelamah (260), Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4 (125), Balai Raya Kampung Parit Buluh (325) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalor (150).
Pusat pemindahan lain ialah di tokong Buddha Air Kuning (25), Sekolah Kebangsaan Ladang (54), masjid Kampung Gedok, Gemencheh (20), Masjid Kampung Sungai Dua, Gemencheh (35) dan satu pusat pemindahan di daerah Tampin di surau Kampung Keru Hilir, Repah (29).

Sementara itu, di daerah Jempol 235 penduduk dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan banjir di daerah itu.

Seramai 88 mangsa dipindahkan di pusat ko-kurikulum kawasan Jempol di pekan Jelai, Sekolah Kebangsaan Palong 1 (80), Balai Raya Kampung Baru Rompin (24)Balai Raya Kampung Datuk Johan (20), Sekolah Kebangsaan Rompin (13), Balai Raya Kampung Dusat, Air Hitam (6) dan Dewan Orang Ramai Ladang Geddes (4).

Di daerah Kuala Pilah pula tiga pusat pemindahan dibuka di mana 77 mangsa dipindahkan ke Dewan Besar Dangi, Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah (51) dan Balai Raya Kepis (13). - BERNAMA

BERITA 4

Pahang mula dilanda banjir

KUANTAN: Pahang mula dilanda banjir apabila 419 mangsa membabitkan 101 keluarga di tiga daerah iaitu Rompin, Raub dan Bentong dipindahkan ke pusat pemindahan pagi tadi.


Ariel Peterpan Dipenjara 3 Tahun Setengah

Posted: 31 Jan 2011 02:31 AM PST

Bandung - Vokalis Ariel Peterpan atau nama sebenarnya Nazriel Irham, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan didenda Rp250 juta atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Dearah Bandung hari ini, setelah didapati bersalah membuat dan mengedar video pornografi melibatkan dirinya sebagai pelaku dengan artis Luna Maya dan Cut Tari.

Keputusan itu dibaca oleh Ketua Majelis Hakim kes itu Singgih Budi Prakoso pada perbicaraan secara terbuka yang penuh sesak dengan orang ramai serta wartawan. Sebelum ini, perbicaraan diadakan secara tertutup.

Mendengar keputusan itu, beberapa wanita peminat Ariel kelihatan menangis.

Hukuman itu adalah lebih ringan daripada tuntutan pihak pendakwaan pada 6 Jan lepas yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke terhadap penyanyi itu.

Dalam keputusan hari ini, majlis tiga orang hakim sepakat menyatakan bahawa Ariel terbukti melanggar Undang-undang Tentang Pornografi 2008 dan Undang-undang Jenayah.

Kes pengedaran video porno dirinya dengan kekasihnya Luna Maya dan artis Cut Tari tahun lalu menggemparkan negara dan menghebohkan masyarakat apabila ia tersebar dengan cepat di internet sehingga dapat diakses termasuk melalui telefon bimbit.

Di jejaring sosial, kes ini yang dikenali sebagai "Ariel Peterporn" turut menarik perhatian dunia dalam banyak akaun twitter.

Ariel dan Luna Maya tidak mengakui bahawa mereka adalah pelaku dalam aksi porno itu, namun Cut Tari telah membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka bahawa video itu benar antara dirinya dan Ariel, dan mempertahankan kenyataan itu sebagai saksi dalam perbicaraan kes Ariel itu.

Ariel, yang kelihatan tersenyum mendengar keputusan hakim seperti telah menduga hukuman yang akan diterima hari ini, tidak memberi apa-apa kenyataan apabila ditanya oleh hakim sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Penyanyi itu diberi waktu seminggu untuk mengemukakan rayuannya.

Ariel dikawal ketat oleh anggota polis semasa dibawa keluar dari ruang persidangan mahkamah melalui pintu belakang bagi mengelak dikerumuni wartawan dan orang ramai.

Di luar mahkamah, ratusan penunjuk perasaan telah bersedia sejak pagi untuk melakukan demonstrasi sehingga menyebabkan lalulintas di Jalan Marthadinata di sini menjadi sesak.

Mereka terdiri daripada dua kumpulan iaitu penyokong yang menamakan diri sebagai "Sahabat Peterpan" dan kumpulan masyarakat termasuk beberapa pergerakan radikal Islam, yang mengutuk perbuatan Ariel.

Kumpulan radikal Islam menyatakan rasa kecewa mereka terhadap keputusan itu dan menunut mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Ariel.

Selepas keputusan, berlaku insiden melempar batu oleh beberapa penunjuk perasaan ke arah kumpulan penyokong Ariel namun keadaan dapat dikawal.

Demonstrasi luar mahkamah berlaku setiap kali perbicaraan kes Ariel berlangsung sejak ia bermula pada 22 Nov tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Ditangkap Khalwat

Posted: 31 Jan 2011 01:09 AM PST

Hakim syarie didakwa khalwat di kuarters kerajaan

GEORGE TOWN, 31 Jan — Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini terhadap tuduhan berkhalwat dengan Nurul Izani Md Isa di kuarters kerajaan di sini pada 5 Disember lepas.

Nurul Izani, 34, seorang penasihat kewangan yang bertugas di Kuala Lumpur, juga mengaku tidak tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya, yang menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Adam dan Nurul Izani dituduh melakukan kesalahan itu pada 2.05 pagi di rumah nombor 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, Ketua Pendakwa Syariah, Zulhairi Aziz memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk perbicaraan kerana ia membabitkan pegawai kanan perundangan dan untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.

"Akan timbul isu-isu perundangan yang luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang yang lebih mendalam," katanya.

Bagaimanapun peguam bela Munawir Abdul Aziz memohon pihaknya diberi peluang mengemukakan hujahan balas berhubung isu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana katanya Mahkamah Rendah Syariah juga perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan untuk memindahkan kes itu. — Bernama


Tiada ulasan: