Isnin, 28 Februari 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Drama Liwat II: Masa Video CCTV Lif dan Pintu Utama Tidak Selari. Skrip Tidak Betul?

Posted: 28 Feb 2011 05:45 AM PST

Saya petik:
[TVS] KUALA LUMPUR: Masuk minggu ke tiga prosiding kes fitnah 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguambela meneruskan soal balas terhadap Juru Analisa Audio dan Video Makmal Forensik PDRM, ASP Fauziah Che Mat.

Dalam keterangannya, Fauziah menjelaskan pada 3 Julai 2008, DSP Jude Blacious Periere hadir ke makmal forensik PDRM untuk menyerahkan dua bungkusan mengandungi cakera keras video keselamatan kamera litar tertutup (CCTV) untuk dianalisa.

Peguam Anwar, Sankara Nair seterusnya merujuk catatan rakaman video Khamis lalu yang mengesan kehadiran individu yang dipercayai pengadu, Saiful Bukhari Azlan yang menggunakan kereta Fiat Ulysse bernombor plat WPK 5925 masuk ke kawasan kondo pada 2.47 petang menggunakan pintu utama.

Namun kamera di lif mencatatkan masa individu tersebut naik ke tingkat 5 pada 2.42 petang.

Berdasarkan rakaman video berkenaan, peguambela mendapati masa yang direkodkan pada sistem CCTV di pintu utama dan lif tidak selari.

Justeru Sankara Nair menyoal sekiranya penelitian terperinci mengenai kedudukan CCTV dan sistem komputer di kondo berkenaan dipantau Fauziah sendiri untuk mengesan perbezaan masa.

"Apa yang terdapat dalam cakera keras adalah ketetapan komputer dan tidak boleh diubah.

"Saya tidak dapat jelaskan perbezaan masa dalam sistem kerana saya bukan pakar. Anda boleh rujuk kepada syarikat yang memasang CCTV," jawab Fauziah.

Khamis lalu mahkamah dipertonton video CCTV kondominium Desa Damansara bertarikh 26 Jun 2008.

Dalam video tersebut, mahkamah mengenal pasti kelibat tujuh individu dan kenderaan termasuk Saiful Bukhari Azlan keluar masuk kawasan kondo berkenaan sekitar jam 12 tengahari hingga 4 petang pada tarikh yang sama.

Sankara kemudian mempersoal sikap profesional juru analisa anggota polis berkenaan namun mendapat bantahan pendakwaraya Yusof Zainal Abiden.

"Tidak menjadi kebiasaan saya pergi ke tempat kejadian. Saya cuma membuat analisa berdasarkan rakaman imej sahaja," jelas Fauziah.

Sementara itu, Fauziah menjelaskan analisa yang dilakukan menggunakan rakaman video yang telah diklonkan dan bukan cakera keras asal.

Mahkamah kemudian memanggil Ketua Seksyen Audio Video PDRM, ACP Fazil Ahmad.

Fazli menjelaskan beliau telah dihubungi oleh DSP Jude pada 30 Jun 2008 sekitar jam 1 petang untuk hadir ke Kondominium Desa Damansara bagi membantu siasatan.

Beliau kemudian menjelaskan telah memanggil syarikat Cyber Security untuk membuat pengklonan cakera keras sistem keselamatan CCTV kondo tersebut pada hari yang sama dan selesai pada jam 10 malam sebelum merampasnya.

Ketua Jabatan Forensik Digital Cyber Security, yang hadir memberi penjelasan sebagai saksi ke 10 berkata, masa yang dicatatkan pada komputer yang disambungkan pada CCTV lif kondo berkenaan lewat 19 minit daripada masa sebenar.

Mohd Zabri Aidil Talib menjelaskan waktu tersebut teah dibandingkan dengan masa standard Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Saya sudah semak dengan waktu Jabatan Meteorologi dan saya perlu menambah 19 minit untuk daripada waktu yang dicatatkan dalam komputer untuk mengetahui masa sebenar," jelas beliau.
 P/s: Skrip tidak betul atau pengarah tersilap?

*Blog DCM tidak dapat dikemas kini seperti biasa kerana masalah BERUK BAND!

Chan Kong Choy Hadapi Tuduhan MENIPU PM Berkaitan dengan PKFZ

Posted: 28 Feb 2011 12:37 AM PST


Saya petik:
[TMI] PUTRAJAYA, 28 Feb — Bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). 

Chan merupakan bekas menteri pengangkutan yang kedua didakwa berhubung skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Chan yang berada di luar negara pulang beberapa hari laku selepas diminta oleh pihak berkuasa.
Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman membenarkan Chan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua pihak pendakwa dan pembela bersetuju dengan wang jamin RM1 juta.

Pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ''Mega Distribution Hub'' di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kes ini dikendalikan itu oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega ''distribution hub'' di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Chan merupakan individu keenam dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.
Akhir 2009, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat projek itu telah mencadangkan supata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Chan dan Phang kerana pecah amanah.

Menurut laporan PAC itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.
PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Berikutan itu, pada 10 Disember 2009, Phang didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan atas dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

*Blog DCM tidak dapat dikemas kini seperti biasa kerana masalah BERUK BAND!



Polis Diperintah Bela Diri dalam Kes Bunuh Aminulrasyid

Posted: 27 Feb 2011 08:27 PM PST


Saya petik:
[MK] Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan anggota polis, Koperal Jenain Subi membela diri atas tuduhan menembak mati Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar berkata beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di Shah Alam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Seramai 39 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Okt tahun lalu.


 * Blog DCM tidak dapat dikemas kini seperti biasa kerana masalah BERUK BAND!

Cikgu Disiplin BERAHI-BODOH

Posted: 27 Feb 2011 04:30 PM PST


Saya petik:

[HM] KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu menjadi 'doktor', seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan, Jumaat lalu.

Difahamkan, guru lelaki berusia lewat 30-an itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dahulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.

Menurut sumber, ketika guru disiplin itu melakukan rondaan, dia melihat kumpulan 12 pelajar perempuan tingkatan tiga berkenaan berada dalam kelas sebelum memarahi mereka.

"Guru disiplin terbabit mahu mengambil tindakan terhadap semua pelajar berkenaan kerana tidak mengikuti perhimpunan.

"Biarpun semua pelajar cuba menjelaskan keadaan sebenar, guru terbabit tidak mempedulikan alasan itu, sebaliknya memberitahu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap semua mereka sebelum mengambil tindakan," katanya.

Sumber berkata, guru disiplin itu dengan bersahaja memberitahu akan memeriksa tahap degupan jantung mereka.

"Dia mendakwa bimbang tahap kesihatan pelajar berkenaan akan menyebabkan mereka pengsan atau mengalami masalah jika dirotan membuta tuli.

"Guru lelaki terbabit memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan. Difahamkan, dia mengambil masa kurang daripada 10 saat untuk melakukan pemeriksaan bagi setiap pelajar pada peringkat pertama," katanya.

Sumber berkata, disebabkan ketakutan, semua pelajar terbabit akur dengan tindakan guru terbabit.

"Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi.

"Kali ini, dia didakwa memasukkan tangan ke dalam baju semua pelajar perempuan terbabit. Selepas berpuas hati, guru disiplin itu merotan tangan semua pelajar dan meninggalkan kelas berkenaan," katanya.

Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, pelajar perempuan berkenaan mengadu perbuatan guru terbabit kepada waris.

"Waris yang mendapatkan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah," katanya.

Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis menahan guru disiplin itu berhampiran sekolah menengah berkenaan, kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu .

Difahamkan, dia direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan selain penahanan guru terbabit. -Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

P/s: Apalah bingainya cikgu disiplin ini. Pelajar ini mungkin dapat dikenakan tindakan disiplin kerana gagal menghadirkan diri ke perhimpunan, namun kebingaian dan keberahian-bodohnya menyebabkan pelajar-pelajar tersebut dianggap sebagai mangsa dalam kes ini.

* Blog DCM tidak dapat dikemas kini seperti biasa kerana masalah BERUK BAND!

Tiada ulasan: