Isnin, 21 Februari 2011

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Penang Harmoni 2 tampil pemidato Pakatan

Posted: 21 Feb 2011 07:13 PM PST

Kesinambungan dari kejayaan Penang Harmoni 1 yang telah diadakan pada Februari 2010 yang lalu di tapak ekspo Seberang Jaya, sekali lagi bermula pada 25 Februari hingga 1 Mac ini, Penang Harmoni 2 akan menampilkan pemidato hebat dan pimpinan dari Pakatan Rakyat (PR) seluruh negara di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Edaran yang dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang, menyatakan majlis ceramah yang akan bermula pada 25 Februari ini akan menampilkan Badrul Hisham Shaharin dari Rembau, Dr Syed Azman dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari DAP, Lim Hock Seng.

Manakala pada 26 Februari pula akan dihiasi oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Noridah Salleh.

Sementara itu pada 27 Februari pula mengenegahkan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, dan Exco Kerajaan Negeri, Wong Hon Wai dan Fariz Musa dari PKR.

Pada 28 Februari pula pemidato yang akan menghiasi pentas ialah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datouk Mohd Amar, dan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh dan Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng.

Bermula pada 1 Mac nanti penceramah yang akan turut bersama ialah Nik Abduh Nik Aziz, Exco Kerajaan Kedah, S.Manikumar dan Timbalan Ketua Menteri II P.Pinang, Prof.P.Ramasamy.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang pula akan menghiasi pentas pada 2 Mac bersama-sama dengan Datuk Husam Musa, Speaker Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan dan Exco Kerajaan Negeri, Law Choo Kiang pula akan berceramah pada 3 Mac.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan bersama-sama dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Mansor Othman berceramah pada 4 Mac.

Acara kemuncak ialah pada 5 Mac di mana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersama-sama dengan Ustaz Haslin Baharin yang lebih terkenal dengan dakwah melalui pelbagai bahasa termasuk Hindi dalam Konsert 'Otai' .

Malam terakhir akan disertai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu bersama-sama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Tunggu Kebangkitan Siswa Seperti Di Mesir

Posted: 21 Feb 2011 06:45 PM PST

Jika 'mayat' diremehkan, tunggulah kebangkitan siswa seperti di Mesir

Agak lama kita tidak mendengar khabar menarik tentang gerakan mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan, sehinggalah tercetusnya beberapa kekecohan semasa proses penamaan calon pilihan raya kampus, Khamis lalu. Itu pun ia hanya membabitkan beberapa kampus utama dan "dewasa" di sekitar Lembah Klang, seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tambah panas apabila pada petang Ahad, 20 Feb, iaitu hari terakhir kempen, dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) UM, Masturah Abu Bakar, yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus. Dalam laporan yang dibuat rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor di balai polis Pantai, Masturah tidak dapat dikesan ketika membeli tambahan kredit telefon, selepas berkempen kepada pelajar UM yang tinggal di pangsapuri sekitar Pantai Dalam. Sebelum itu, Masturah pernah mendapat ugutan melalui SMS.

Rupanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terus mengongkong dan memenjara kehidupan anak-anak muda dan "membudaksekolahkan" mereka, ditambah teruk lagi dengan kuasa tidak terbatas Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam menentukan "apa yang boleh dan tidak boleh dibuat" di kampus. Rata-rata pentadbir universiti masih memandang rendah keupayaan mahasiswa untuk mengatur aktiviti dan melangsungkan fungsi gerakan pelajar secara berkesan dan matang, sekali gus membataskan "lingkungan operasi" mereka.

Tidak hairanlah apabila kita menyaksikan bagaimana seorang pegawai keselamatan UM bertindak menekup mulut seorang mahasiswa yang cuba mengadakan sidang media di hadapn para wartawan. Saya mencadangkan kepada rakan-rakan pelajar agar foto eksklusif penuh bermakna itu diedar dan dipamerkan secara meluas, sebagai bukti kebebasan bersuara di kampus kita sudah mencapai tahap kronik dan memalukan. Anak muda yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur jurucakap masyarakat patut berasa terhina dan terpukul dengan insiden berkenaan.

Aksi-aksi protes dan gimik berani pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati dengan peraturan pilihan raya kampus, seperti mengusung "keranda" di UPM dan membaringkan "mayat" di UM, begitu menarik untuk diperhatikan. Luahan rasa mereka tidak boleh diremehkan; ada mesej besar yang mahu disampaikan. Apatah lagi dalam suasana politik dunia yang banyak "ditakrifkan" oleh orang muda, khususnya revolusi di Tunisia dan Mesir, yang kini menjalar di negara-negara Timur Tengah lainnya.

Mahasiswa membantah -- secara kreatif -- penolakan pencalonan beberapa calon Pro-Mahasiswa, atas alasan remeh HEP, yang dilihat bermotif jahat. Apabila merasa diperbodohkan, amarah mereka tidak dapat dikawal lagi sehingga pejabat Timbalan Naib Canselor HEP pun diserbu. Itu bukan reaksi kecil. Jika universiti dan pemimpin kerajaan terus-menerus memperkecilkan potensi mahasiswa, usah terkejut apabila tercetus gelodak rasa yang boleh menyamai fenomena anak muda di Mesir dan Tunisia.

Anak muda, apatah lagi yang berkampung di kampus, sentiasa dan begitu berminat mengikuti proses pembentukan sejarah baru di Timur Tengah itu. Dengan kepesatan teknologi maklumat, khususnya melalui media sosial seperti Facebook, mereka cepat berinteraksi dan bertukar-tukar idea tentang gelombang pendemokrasian di seluruh dunia. Mungkin mereka sudahpun mempunyai hubungan dengan aktivis politik atau penggerak sosial di kalangan anak-anak muda di negara-negara bergolak itu.

Malang sekali di negara kita, HEP (dan juga pegawai kanan universiti), yang sepatutnya bebas dan adil mengendalikan pilihan raya kampus, secara terang-terangan memihak calon-calon yang cenderung kepada Umno-BN. Peraturan pilihan raya dimanipulasi dan sering diperketatkan bagi menyukarkan calon-calon pro-M. Sikap diskriminasi atau pilih kasih jelas diamalkan, membeda-bedakan kumpulan pelajar atas pertimbangan sempit politik.

Bagi saya, isu kritikal bukannya pembabitan pihak luar, terutama parti politik, untuk mempengaruhi dunia kampus. Mahasiswa sudah cukup matang untuk menentukan kecenderungan politik mereka. Yang patut dibahaskan adalah sikap sembunyi tangan orang politik yang mendalangi pentadbiran universiti sehingga timbul peraturan (dan penguatkuasaan) pilihan raya kampus yang "berat sebelah". Selain itu, hak asasi yang diiktiraf sejagat, seperti kebebasan bersuara dan berorganisasi, tidak langsung dihormati pihak universiti.

Perjalanan pilihan raya, yang merupakan petunjuk penting amalan demokrasi, bukan sahaja tempang di luar kampus, malah lebih buruk dan pincang keadaannya di pusat intelektual. Universiti tidak lagi berfungsi sebagai medan terbaik menimba ilmu, mencanai bakat, bergelut dengan pengalaman baru, meluaskan interaksi khususnya dengan dunia luar terutama untuk mempengaruhi dasar-dasar awam. Pelajar yang lantang bersuara dan bersikap kritikal seolah-olah dimusuhi walhal mereka merupakan aset bermanfaat untuk semua.

Saya tertarik dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang dilihat konsisten mahu kongkongan Auku (membabitkan banyak seksyen 15 dan 16) dilonggarkan dan mahasiswa bebas berhubung serta terbabit dengan pihak luar termasuk parti-parti politik, tanpa perlu mendapat kebenaran Naib Canselor.

Dalam bukunya, Kalau Saya Mahasiswa, Saifuddin menjelaskan, program mahasiswa jenis "aktiviti" dan "bakti" memang tidak dihalang, tetapi yang berbentuk "advokasi" (yang membezakan mahasiswa dengan pelajar sekolah) dilarang Auku. Advokasi adalah proses pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan dasar. Ia dilakukan melalui memorendum, perundingan, melobi dan sebagainya. Ada masanya ia melibatkan proses mempengaruhi pandangan khalayak seperti melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan dan demonstrasi. Dan gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi itu.

Saifuddin, semasa mengulas perkembangan terkini pilihan raya kampus, mengingatkan agar pihak berkuasa dapat meraikan hak-hak asasi pelajar. Jika hak berkenaan dinafikan, jangan pelajar pula yang dipersalahkan sekiranya mereka dilihat bertindak balas secara radikal.

Justeru, insiden mengusung "keranda" dan "mayat" pada hari penamaan calon pilihan raya kampus baru-baru ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mesej dan amarah mahasiswa itu tidak boleh dipandang ringan. Ternyata rimas-gelisah Saifuddin itu tidak dikongsi rakan-rakannya dalam BN, termasuk menterinya sendiri.

Pimpinan muda Pakatan Rakyat -- seperti disuarakan Nurul Izzah Anwar bersama pimpinan muda lainnya, seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa, Anthony Loke dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam memorandum "Bersihkan Pilihan Raya Kampus" kepada Menteri Pengajian Tinggi -- harus lebih proaktif dan serius menangani krisis di menara gading ini. Jangan mengulangi kesilapan pemimpin Umno-BN, yang mahu terus memperbudak dan memperbodohkan mahasiswa kita.

Saya tetap konsisten, iaitu biarkan anak-anak muda kita di kampus melakukan eksperimen dalam proses pembelajaran yang menyeluruh. Bebaskan semua rantai belenggu yang mencengkam kreativiti mereka. Sewajarnya mereka sendiri diberikan hak untuk mengendalikan pilihan raya kampus. Dan usah risau dan panik dengan kecenderungan politik anak-anak muda ini ...



Dari Ahmad Lutfi Othman

Kembalikah pelajar kita ke Mesir?

Posted: 21 Feb 2011 06:26 PM PST

Setelah 2 minggu Hosni Mubarak jatuh dan ribuan pelajar Malaysia diangkut balik ke tanahair, pelbagai andaian dibuat mengenai masa depan pelajar Malaysia yang balik.

Kita melihat situasi Mesir dahulu sebelum melihat nasib pelajar kita, samada boleh pergi semula ke bumi Anbiya' itu atau tidak.

Situasi Mesir memberi pelbagai warna dan corak selepas kejatuhan Mubarak. Antaranya :

i) Mesir kekal di tangan tentera. Bahkan pemerintahannya sama seperti Regim Mubarak iaitu diktator. Segala penentangan rakyat akan dihapuskan secara kejam.

ii) Mesir bakal berdepan situasi Algeria. Bermula dengan tentera memberi keizinan pilihanraya untuk rakyat. Jika pihak pro Islamik menang, secara automatik tentera mencipta " peperangan dan huru hara".

iii) Mesir pulih sepenuhnya kepada demokrasi. Ikhwan Muslimin memegang tampuk pemerintahan.Ataupun berkongsi kuasa dengan parti lain. Suasana subur buat jemaah dan gerakan Islam.

Jika kita melihat situasi diatas, situasi (i) adalah situasi yang menyenangkan Kerajaan Malaysia untuk menghantar kembali pelajar ke sana. Ianya sama seperti sebelum ini dimana Kelab UMNO dan Gerakan Pelajar yang pro UMNO selesa bergerak dan lepasan Mesir samada jurusan Agama maupun Perubatan akan tetap bersama UMNO bila pulang ke tanahair.

Situasi (ii), Kerajaan Malaysia tidak akan menghantar kembali pelajar ke Mesir atas faktor keselamatan.

Manakala jika Mesir menjadi seperti situasi (iii), inilah yang amat menggusarkan pihak kerajaan. Pengaruh Ikhwanul Muslimin(IM) bakal merebak cepat disanubari pelajar. Jika zaman Mubarak yang begitu ketat mengawal pengaruh IM pun, masih ramai pelajar Malaysia terpikat dengan IM dengan membawa balik dakwah dan pengaruh IM ke tanahair, sudah tentu lagi ramai dan cepat pengaruh IM memikat hati-hati pelajar Malaysia tanpa gangguan SB-SB Mesir seperti sebelumnya.

Sebab itulah, situasi Mesir sedang diperhatikan dengan penuh langkah berhati-hati oleh kerajaan yang didominasikan UMNO itu agar sebarang langkah untuk menangani isu ini memberi keuntungan politik kepada UMNO.

Yang pasti, UMNO pasti menagih nasihat dari penasihatnya APCO.



Dari Tok Pepijat

Pertahankan Negeri Kedah

Posted: 21 Feb 2011 06:12 PM PST

Aku anak kelahiran negeri Kedah Darul Aman. Aku bangga sebagai anak kelahiran negeri Kedah yang punyai sejarah ketamadunan Islam paling tua di Asia Tenggara. Dari sejarah kedatangan Merong Mahawangsa (Sultan Muzaffar Shah 1) hinggalah robohnya sebuah empayar besar disebabkan pengkhianatan mereka yang teringin benar mahu menjadi Sultan.

Hari ini sejarah kegemilangan tamadun negeri ini sedang kembali dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat yakni PAS. Negeri Kedah sedang mengalami perubahan dari corak pemerintahan yang zalim, rasuah dan tidak adil kepada bersih dari rasuah, pengagihan kontrak secara telus, penguatkuasaan undang - undang yang lebih ketat.

Jika selama ini kita sering menganggap Kelantan sebagai benteng terakhir Pakatan Rakyat maka Kedah adalah sebagai tempat lahirnya ramai pejuang. Di bumi itulah terkorbannya para syuhada Memali, di bumi itulah "berehatnya" seorang pemimpin agung yakni Almarhum Ustaz Fadhil Noor, d bumi itulah kebangkitan golongan petani pada tahun 1974, di bumi itulah penentangan pertama terhadap Malayan Union seperti mana yang dikatakan oleh Almarhum Onn Jaafar.

Jika tergadainya Kedah kepada Umno dan Barisan Nasional maka hilanglah tempat lahirnya ramai pejuang hebat. Pakatan Rakyat mahu tidak mahu harus berusaha keras untuk mempertahankan Kedah. Mempertahankan Kedah sama pentingnya bagaimana kita mempertahankan Kelantan. Kedah perlu dipertahankan agar orang Melayu yang tebal semangat ketuanan Melayunya dapat melihat bagaimana kerajaan Kedah ini mempertahankan dan mengangkat martabat orang Melayu ditempat sewajarnya berbanding Umno yang hanya tahu menjerit terpekik terlolong tapi merekalah yang merampas hak - hak orang Melayu. Bukannya mahu bersifat perkauman dengan tidak memberi kredit kepada Lim Guan Eng, tapi walau macam mana beliau berusaha melakukan keadilan terhadap semua kaum dan juga orang Melayu beliau tetap juga dipandang anti - Melayu. Sekarang orang Melayu yang bangga dengan Ketuanan Melayu harus membuat perbandingan diantara Kedah dibawah Umno ataupun Kedah dibawah PAS.

Bumi Kedah harus dipertahankan dari serangan anasir aparat - aparat APCO yang sedang gelisah kerana banyak lagi tanah orang Melayu yang mereka tidak sempat rembat. Tanah sawah yang terbentang luas pasti akan tergadai kepada para cukong - cukong MCA. Orang Melayu Kedah harus dihalang dari dibodohkan oleh Umno yang dibebalkan oleh MCA dengan duit. Mahukah anak - anak Kedah melihat sebuah kerajaan yang jahat kerana suka membodohkan rakyat itu kembali berkuasa.

Pertahankan negeri Kedah daripada dirampas oleh aparat Apco yakni Umno. Pertahankan bumi Kedah umpama mempertahankan bumi Palestin. Jangan sesekali biarkan Umno menguasai kembali Kedah. Jika kita membiarkan Umno menguasainya kembali umpama membiarkan orang Melayu menjadi bodoh.

Bangun dan terus melawan arus serangan dari Umno!!



Dari Vehicles to life

Jawapan untuk soalan bodoh Zul Kulim

Posted: 21 Feb 2011 06:09 PM PST

YB ZUL Kulim atau sinonim dengan `firaun besar' menasihatkan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz agar merujuk suatu surah, berhubung kait dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang menyebut bahawa kerjasama dengan DAP adalah untuk memperkenalkan Islam kepada parti berkenaan. Sebelum itu, baca di sini.

MP Kulim Bandar Baru yang menang atas tiket PKR, tetapi masih menebalkan muka menjadi MP Bebas itu meminta agar Tuan Guru Nik Aziz merujuk kepada Surah Abasa, katanya, "Surah itu diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berbincang dengan segelintir golongan kafir Quraish yang kaya dan berpengaruh.
Apa yang terjadi ketika perbincangan itu, datang seorang Muslim papa kedana dan buta bernama Abdullah Ibnu Maktum. "Abdullah datang ke tepi Rasulullah dan bertanyakan soalan tetapi Nabi (Muhammad) berpaling daripadanya untuk sambung berbincang dengan Abu Jahal serta rakan-rakan (kafir) kerana merasakan Abdullah mengganggu perbincangan itu.

Zul Kulim terus menyambung, "Ketika itulah Allah menurunkan Surah Abasa bagi mengingatkan Nabi supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain, saya nasihatkan tok guru (Nik Abdul Aziz) selak kembali surah itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tidak perlu Tuan Guru Nik Aziz yang menjawab hujah Zul Kulim yang sebelum ini tidak berani menyahut cabaran debat yang dilontarkan oleh MP Shah Alam Yb Khalid Samad berkaitan isu Kalimah Allah. Kisah beliau sebut di atas, jelas bahawa Orang Muslim bernama Abdullah itu menemui Rasullullah untuk bertanyakan soalan. Dan Allah perintahkan Nabi untuk menjawab soalan Muslim itu terlebih dahulu.

Di dalam hal ini jika mahu dikaitkan dengan Umno jauh bezanya. Usahkan pemimpin Umno mahu berjumpa Tuan Guru Nik Aziz, malahan Tuan Guru Nik Aziz mengajak dan menghantar surat untuk berjumpa pemimpin Umno untuk bincang tentang Islam, ada pernah Umno layan? Yang ada, Umno mahu jumpa PAS untuk bincang pasal Perpaduan Melayu...Melayu...dan Melayu...Tentang Islam bagaimana? Justeru itu, wajar PAS ketepikan Umno kerana banyak membuang masa dan lebih baik berbincang dengan DAP kerana sekurang-kurangnya DAP mahu mendengar Islam walaupun PAS tidak mengharapkan DAP terima Islam. Kerja hidayah untuk DAP terima Islam itu bukan kerja PAS, itu kerja Allah SWT. Umno mahu mendengar Islam, mahu terima Islam? Mempersendakan lagi adalah.

Jadi, usahlah Zul Kulim mahu tunjuk pandai putar belit kisah tersebut untuk menunjukkan kununnya PAS tidak melayan Umno yang kununnya mahu bertanya seperti di dalam kisah tersebut. Apa yang Umno mahu tanya? Tentang Perpaduan Melayu? Tentang Kerajaan Perpaduan?

Tentang 5 soalan dari Zul Kulim itu, itu soalan paling bodoh yang pernah saya dengar dari orang yang dikatakan berkelulusan peguam. Hampir kesemua soalan itu berhubung dengan cita-cita PAS menegakkan negara Islam dan Hukum hudud ditujukan kepada DAP, sedangkan yang wajib untuk menyokong dan melaksanakan hukum tersebut adalah ke atas semua pemimpin dan umat Islam. Mengapa perlu tanya DAP? Umno mahu terimakah negara Islam? Jika mahu, sokong lah PAS yang inginkan Negara Islam. Kes Liwat DS Anwar, mengapa Zul Kulim sanggup jadi salah seorang peguam kepada DS Anwar dalam kes liwat 1 dahulu dan dalam kes qazaf sebelum ini sebelum beliau di`sepak' dari PKR? Sekarang, mengapa ingin bertanya kenapa Karpal jadi Peguam DS Anwar? Busuk sungguh hati MP Kulim ini terhadap DS Anwar.

Lebih baik Zul Kulim terima cabaran debat yang dilontarkan oleh YB Khalid Samad terlebih dahulu sebelum mahu mengajar Tuan Guru Nik Aziz. Beliau boleh aturkan siaran langsung di TY debat beliau dengan YB Khalid nanti. Jika takut untuk berdebat dengan YB Khalid Samad yang tidak berkopiah macam Zul Kulim itu, lebih baik Zul Kulim duduk diam-diam kumpul duit banyak-banyak kerana selepas PRU ke 13 nanti, beliau pasti akan dipencenkan sebagai MP di Kulim Bandar Baru.


Dari WFAUZDIN NS

Pro-M menang bergaya di UM, tewas di UPM

Posted: 21 Feb 2011 05:22 AM PST

Keputusan Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) hari ini memihak Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) yang memenangi 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-M menyapu bersih semua 9 kerusi umum yang dipertandingkan manakala 14 di kerusi fakulti.

Lawan mereka pula, yang dikenali sebagai Penggerak hanya mendapat 16 kerusi fakulti, manakala bebas menang di dua kerusi.

Calon Pro-M Masturah Abu Bakar yang hilang sebelum ini turut menang.

Keputusan itu diumumkan Naib Chanselor kampus itu, Datuk Profesor Dr. Gauth Jasmon di Akademi Pengajian Melayu, jam 6 petang tadi.

Bagaimanapun sesi bantahan tetap dibuka sehingga jam 8 malam ini dan kesemua bantahan yang diterima akan diteli pagi esok.

Dengan keputusan itu, bermakna mereka boleh menubuhkan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus itu.

Pengumuman itu disambut penuh syukur kumpulan Pro-M yang menerima pelbagai tekanan dan halangan sejak bahang PRK bermula awal Februari lalu.

Selepas sahaja keputusan itu diumumkan, mereka terus berarak menuju ke Dewan Tunku Chanselor (DTC) bagi meraikan kemengan.

Satu majlis solat hajat turut diadakan selepas solat Maghrib tadi.

Ketua Jentera Pro-M UM saudara Farid Jalpah ketika dihubungi Harakahdaily untuk mengulas kemenangan itu berkata, ianya merupakan isyarat jelas sokongan mahasiswa kampus itu terhadap perjuangan Pro-M yang membawa aspirasi mereka.

"Kita rasa syukur atas kejayaan ini selepas diuji dengan pelbagai perkara.

"Kemenangan kali ini sebagai bukti bahawa sokongan mahasiswa terhadap Pro-M tidak pernah luntur dan tidak mampu dijatuhkan dengan sistem yang korup," katanya.

Sementara itu, pada malam ini juga semua calon Pro-M menyampaikan pidato sulung mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di hadapan DTC.

"Kemenangan ini kita akan gunakan sebagai peluang untuk menjalankan tugas kebajikan kepada mahasiswa," kata Farid.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, Pro-M terpaksa akur apabila kalah kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Kumpulan Pro-M hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan manakala Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi.

Puluhan Ribu Rakyat Hadir Ke Ceramah Ummi Hafilda

Posted: 21 Feb 2011 04:58 AM PST

Gambar : Puluhan Ribu Hadir mendengar Ceramah Ummi Hafilda

Ceramah yang menampilkan Ummi Hafilda sebagai pemidato utama ini telah menarik hampir 100,000 orang pendengar yang menantikan pendedahan atau peluru berpandu yang akan dilancarkan oleh Ummi Hafilda terhadap Anwar dan juga Abang kandungnya Azmin..

Saksikanlah.. sejarah telah tercipta..


Ceramah yang bertajuk Jom Bongkar Agenda Buruk Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh adik kepada Azmin Ali, Ummi Hafilda tidak mendapat sambutan.. Ceramah itu hanya dihadiri oleh kira 200 orang sahaja walaupun ceramah ini telah di war- warkan di seluruh Perak..


Ceramah itu diadakan di Arena Square, Batu Gajah.. Walaupun tempat itu boleh dipenuhi ribuan orang, namun hanya 'seciput' sahaja yang hadir. Sepatutnya ceramah itu disertai oleh Gobalakrisnan dan Rahimi Osman. Tetapi mereka tidak hadir. Hanya si puaka Hafilda yang hadir, beliau ditemani oleh Kak Midah Sungai Rapat.


Melayu Ultra antara peminat setia Ummi

Ceramah itu sepatutnya bermula jam 8.00 malam, namun atas sebab tidak ada orang, mereka menunggu kehadiran orang dan ceramah bermula jam 9.30 malam. Kesian Hafilda menunggu. Pada mulanya, mereka telah menyiarkan video berbaur perkauman yang melaga- lagakan DAP dan PAS.

Ummi Hafilda hanya berceramah menghentam dan memfitnah Anwar Ibrahim walaupun tiada bukti. Dia tu memang tak sedar diri. Ayahnya suatu ketika dahulu telah tidak mengakunya anak. Dia sudah dibuang keluarga. Apa motif dia kembali selepas 13 tahun menghilang. Kahwin pun belum. mungkin kocek sudah kosong.

Secarapa pandangan saya, orang langsung tidak percaya si Hafilda ini. Hanya puak-puak UMNgOK yang tengin. sudah-sudah la Ummi Hafilda.. Taubatlah!!!


Dia kata dia ni bekas ketua bahagian PKR mane ntah.. Padahal PKR guna istilah cabang.. haha..





Sumber dan lagi gambar sila lihat di sini / Dari sungai derhaka

Merungkai kekeliruan myBALIKpulau

Posted: 21 Feb 2011 02:09 AM PST

Apabila mereka buka mulut, mereka cuba melabel diri sebagai "hero" dan pembela bangsa. Mereka menjaja nama bangsa mahupun agama demi mengemis sokongan masyarakat. Mereka menggunakan alasan "Hak Melayu yang dijamin perlembagaan" untuk mewujudkan ketidakharmonian antara kaum. Walhal hakikat sebenarnya, mereka cuma mahu mempertahankan "periuk nasi" dan keberlangsungan saki-baki kuasa yang ada. Persoalan "hak Melayu" sememangnya telah terjamin oleh perlembagaan sampai bila-bila. Persoalannya, siapa yang memperkosa hak Melayu ini selama lebih separuh abad merdeka?

Bayangkan, walaupun bersandarkan dengan fakta-mereka akan terus cuma menegakkan benang yang basah. Saya melihat ia suatu yang sangat bodoh dan tidak matang apabila golongan ini cuba mempolitikkan segala isu yang timbul dan dilihat cuba menggugah keamanan dengan menjerumuskan hampir apa jua isu ini kepada isu perkauman.

myBALIKpulau oh myBALIKpulau

Kali ini isunya bukan kepala lembu, bukan kandang babi, bukan "Cina" masuk surau. Kali ini, isunya adalah mengenai risalah myBALIKpulau yang diterbitkan oleh Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang (Arts-ED) yang dikatakan "menghina Melayu dan sangat berbahaya".

Ada dua kekeliruan yang telah ditimbulkan mereka yang tidak berpuas hati. Pertamanya adalah berkaitan sumber-sumber sejarah yang dituduh "menghina Melayu dan berbahaya". Kedua adalah mengenai "siapa" yang bertanggungjawab menerbitkan risalah tersebut.

Pada 11 Februari baru-baru ini, Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang telah mengeluarkan tiga mukasurat Kenyataan Akhbar
yang menjawab semua pertuduhan mengenai sumber-sumber sejarah yang menjadi rujukan. Jelas, terang lagi bersuluh sebenarnya tiada isu panas yang boleh dimainkan.

Mari kita turuti sepintas lalu kronologi myBALIKpulau. Isu ini dibawa oleh ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad (gambar kanan). Risalah ini seperti yang kita sedia maklum dituduh sebagai menghina orang Melayu, cuba melupuskan sejarah Melayu di Balik Pulau dan cuba mengelirukan generasi muda. Muhammad Farid Saad juga menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat telah menerbitkan risalah myBALIKpulau tersebut.

Maka seperti biasa, Utusan Malaysia akan mula "memukul gendang" perkauman. Pada 2 Februari 2011 terpampang besar tajuk utama berita akbar tersebut "Lupa Sejarah, Hina Melayu" yang dilihat cuba memainkan sentimen perkauman. Ya. Mungkin inilah hakikat sebenar 1Malaysia yang dibanggakan Najib Razak. Jelas, wajah 1Malaysia ini kelihatan sangat capik.

Isu ini tidak terhenti setakat ini. Sejurus selepas itu, pada 9 Februari 2011 sebuah badan yang menamakan diri mereka Gabungan Bela Hak Islam (Gabungan) yang terdiri dari empat NGO mendesak kuat agar Kerajaan Pulau Pinang mengharamkan risalah tersebut dengan sebab yang sama.

Kerajaan Negeri meminta agar Utusan dan Muhammad Farid memohon maaf tetapi tidak diendahkan. Malang sekali buat ADUN Pulau Betong ini. Pada 15 Februari, kerajaan Pulau Pinang bertindak memutuskan untuk menyaman beliau dan Utusan Malaysia. Hal ini disebabkan kerana risalah itu sebenarnya ditaja oleh Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Pelancongan Pulau Pinang bawah kepimpinan GERAKAN-BN. Ini beerti, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah sesuatu yang berniat jahat.

Agenda Jahat UMNO-BN

Masih tidak berpuas hati dengan "sambutan hangat rakyat". Api perkauman terus-menerus ditiup sebaik mungkin. Pada 16 Februari 2011, beberapa lagi pertubuhan NGO dan individu membuat laporan polis berhubung risalah ini. Pertubuhan NGO tersebut terdiri daripada Pertubuhan Seni Silat Gayung Pulau Pinang, PERKASA, Belia 4B Permatang Pauh dan Johari Ahmad. Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia misalnya dilihat cuba mengheret Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan menyerahkan tiga sampul surat yang mendakwa mengandungi "bukti pembabitan kerajaan negeri" dalam penerbitan dan pengedaran risalah myBALIKpulau ini.

Belumpun isu myBALIKpulau reda, media UMNO memainkan isu perobohan yang melibatkan 1,000 gerai penjaja haram oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai di sekitar Taman Pelangi. Isu ini telah mendapat liputan yang meluas media cetak maupun elektronik. Kerajaan Negeri Pulau Pinang digambarkan "tidak perihatin" kepada nasib yang menimpa masyarakat Melayu. Walhal notis sebanyak empat kali telah dikeluarkan oleh pihak majlis.

Ini semua adalah permainan jahat. Para pemerhati menyimpulkan isu yang dilihat "membakar sentimen" perkauman ini adalah percubaan menjerumuskan kestabilan negeri ke kancah "ketegangan kaum". Dalam banyak-banyak isu yang timbul di Pulau Pinang. UMNO dilihat menjadi dalang utama memanipulasi isu. Bagi pendapat saya, isu ini sepatutnya tidak timbul. Rakyat Pulau Pinang lebih mengetahui perkara yang sebenar.

Soalan saya, apakah ini sesuatu yang bagus untuk rakyat, negeri mahupun negara? Tentu sekali tidak. Soalan saya lagi, sekiranya UMNO-BN berjaya menaikkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu, siapa yang akan untung? Tentulah UMNO. Adakah orang Melayu terbela di bawah BN satu ketika dahulu? Anda sendiri tahu jawapannya!

Skandal RM30 juta Pulau Jerejak??

Jangan jadi bodoh. Jangan bantut akal. Mari kita lihat dan fikirkan. Semasa isu Interlok timbul- isu ini telah dibawa ke peringkat tertinggi Kementerian Pelajaran. Walaupun pada mulanya mengundang tindakan emosi sesetengah pihak, Interlok dibawa ke meja mesyuarat dan rundingan. Wacana-wacana bersifat ilmiah terus dibahaskan.

Berbeza dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang; risalah myBALIKpulau tidak diberikan tempat yang adil seperti Interlok. Tindakan yang diambil dilihat emosi semata-mata. Mengapa ia jadi begini? Jawapannya amat mudah - Interlok disuarakan MIC manakala myBALIKpulau cuba diletakkan di bahu DAP! Bagi saya, apa yang berlaku sangat-sangat memalukan.

Ada beberapa sebab mengapa UMNO menimbulkan isu perkauman sebegini. Salah satu sebab adalah untuk menutup mata rakyat atas pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah pimpinan Koh Tsu Koon (gambar kanan) di mana beliau telah menyerahkan Pulau Jerejak kepada UDA. Ini merupakan skandal yang sangat hot. Cuba teka, siapa yang untung?

Rakyat Malaysia semakin matang. Ini bukan lagi zaman fotostat. Ini bukan lagi zaman mesin taip. Segala maklumat cuma dihujung jari rakyat. UMNO-BN harus sedar dan insaf. Sekiranya wujud kedaifan di kalangan rakyat Pulau Pinang, apatah lagi dari kalangan masyarakat Melayu; UMNO harus cermin diri mereka sendiri. Hodohkan?



*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas / Merdeka Review

Pakar gagal lapor DNA misteri di rektum, seluar Saiful

Posted: 21 Feb 2011 02:05 AM PST

Peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencetuskan keraguan terhadap laporan profil DNA disediakan pakar kerajaan dengan mendakwa dokumen itu gagal menyertakan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali.

Peguam Ramkarpal Singh mendakwa Dr Seah Lay Hong telah gagal untuk mematuhi garis panduan antarabangsa berhubung proses pemprofilan DAN dan oleh itu, laporan tersebut adalah bias.

Katanya, meskipun bacaan graf menunjukkan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali pada bahagian rendah rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan pada seluar hitamnya, Dr Seah tidak menyertakan maklumat pada laporannya.

Pakar itu setakat ini telah bersetuju bahawa ada tiga profil DNA melibatkan kes ini iaitu lelaki Y, satu profil DNA yang tidak dikenali dan satu lagi milik Saiful.

"Ia kelihatan DNA separuh pasukan bola sepak ditemui tetapi anda memilih untuk tidak melaporkannya," kata Ramkarpal di mahkamah hari ini.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak melaporkannya, Dr Seah berkata beliau tidak menemui bacaan yang signifikan.

"Bacaan tidak dilaporkan meskipun ia mempunyai bacaan yang tinggi," kata Ramkarpal.

Beliau menggunakan prosiding sebelah pagi tadi untuk memeriksa balas kredibiliti laporan kimia disediakan Dr Seah.

Sambil menekankan laporan kimia itu tidak konsisten, peguam itu menambah, Dr Seah telah gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik.

"Beliau telah gagal mematuhi garis panduan yang penting. Saya menyentuh soal garis panduan di sini.

"Saya mengesyorkan kepada beliau beberapa senario yang memberikan satu gambaran berbeza daripada apa yang beliau syorkan," kata Ramkarpal kepada pemberita kemudian.

Perbicaraan disambung pukul 2 petang tadi.

Jumaat lalu, Dr Seah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Kimia mempunyai garis panduannya sendiri untuk menjalankan analisis.

Dr Seah berkata walaupun pengeluar dan pembekal perisian memiliki garis panduan masing-masing, namun makmal boleh mengikuti garis panduan sendiri seperti yang disarankan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik.

Saksi kelima pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa sebagai anggota persatuan itu, beliau mengikuti perkembangan terkini dan saranannya terutama yang berkaitan pemprofilan DNA.

Dr Seah juga berkata beliau menggunakan perisian penganalisis biosistem genetik dan 'DNA view' bagi membantunya mendapatkan keputusan konklusif daripada sampel berkenaan.

Ditanya lanjut oleh peguam itu sama ada kedua-dua perisian tersebut selalu dikemas kini, Dr Seah berkata, kali terakhir ialah pada 2007.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Anwar, 63, yang didakwa meliwat Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pro-M, Pro-A 'bertempur' di 5 kampus utama

Posted: 21 Feb 2011 02:00 AM PST


Selepas drama demi drapa dilaporkan, pilihan raya kampus hari ini berlangsung di lima universiti utama di seluruh negara.

Persaingan sengit antara kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) dan musuh tradisinya Pro-Aspirasi (pro-A) akan berlangsung di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Proses pengundian bermula jam 9 pagi tadi sehingga jam 5 petang. Keputusannya pula dijangka diperolehi kira-kira jam 9 malam ini.

Terdapat juga universiti yang menjalankan pengundian menggunakan sistem pengundian secara elektronik atau e-undi.

Setakat ini belum ada sebarang insiden dilaporkan di kelima-lima universiti itu.

Bagaimanapun sebelum ini, berlaku beberapa bantahan dan demonstrasi dengan pelbagai gimik seperti mengusung 'keranda' dan 'mayat' di UM dan UKM.

Terdapat juga cubaan memecah masuk ke pejabat timbalan canselor di UM pada hari penamaan calon 17 Februari lalu.

Di UKM, jurucakap pro-M, Faiz Ismail memberitahu Malaysiakini, pihaknya selesai membuat bantahan bertulis kepada pentadbir pilihan raya terhadap kelayakan calon parti lawannya di fakulti ekonomi dan pentadbiran.

Faiz yang juga pelajar tahun akhir fakullti pendidikan mendakwa, calon pro-A, Norelfarra Mohammad tidak layak bertanding kerana gagal menghadiri bengkel wajib calon yang dikelolakan pihak universiti.

"Mereka kata dia dapat surat sokongan untuk pelepasan dari naib canselor tetapi surat itu tidak ditunjukkan.

"Bagi kita, kalau tak pergi, tak boleh bertanding walau apa alasan pun," kata Faiz yang masih menunggu keputusan bantahan itu.

Di UM, tinjauan di beberapa Fakulti Sains dan Akademi Pengajian Melayu dan dua kolej kolej kediaman mendapati proses pengundian bergerak perlahan dan 'muram' ekoran ramai mahasiswa mempunyai kuliah.

Seorang petugas pemilihan memberitahu Malaysiakini, lebih ramai pelajar akan keluar mengundi pada waktu rehat tengah hari nanti.

Sementara di UPM, setakat ini 48.97 peratus 21,643 mahasiswa daripada yang layak telah keluar mengundi (sehingga 2.50 petang)

Rakaman Ucapan TG Abdul Hadi Awang: Himpunan 30K Pemuda PAS

Posted: 21 Feb 2011 01:56 AM PST

Tiada ulasan: