Selasa, 15 Februari 2011

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Kerajaan Pusat Di Ingatkan Jangan Lepas Tangan Hantar Pelajar Pulang Ke Mesir

Posted: 15 Feb 2011 05:51 PM PST

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa kerajaan tidak mengambil sikap lepas tangan dalam tanggungjawab membawa pulang semula pelajar ke Mesir untuk meneruskan pengajian yang tertangguh.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk menguruskan penghantaran pulang semula pelajar terbabit kerana melibatkan kos besar.

Menurutnya, ramai dalam kalangan ibu bapa pelajar melibatkan golongan kurang berkemampuan dan ini akan memberi kesukaran kepada pelajar untuk meneruskan pengajian mereka.

"Jika kos yang dibimbangkan kerajaan, seharusnya syarikat bukan kerajaan (GLC) wajar di pertimbangkan dan menaja pelajar pulang ke Mesir sebagai antara program khidmat sosialnya.

"Penglibatan GLC secara tidak langsung dapat mengurangkan kos kerajaan, selain membantu semua pelajar terlibat," katanya kepada, semalam.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh mencadangkan supaya inisiatif lain yang proaktif dan menjimatkan wang diambil kerajaan.

Beliau juga Ahli Parlimen Kuantan menyarankan supaya kerajaan menyewa kapal terbang daripada syarikat penerbangan yang terdapat di negara ini dan menyediakan penerbangan pulang pelajar ke Mesir.

"Langkah itu dapat mengurangkan kos dan semua pelajar dapat dibawa pulang ke sana.

"Apa yang pasti, Kerajaan Pusat sewajarnya menanggung kos penghantaran pulang mereka ke Mesir," katanya.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, faktor kewangan bukan alasan kerajaan 'lepas tangan' sebaliknya perlu mempertimbangkan nasib pelajar yang tidak berkemampuan bagi membiayai tiket penerbangan ke Mesir.



Dari Sinar Harian

Tony sedia dipanggil SPRM

Posted: 15 Feb 2011 05:46 PM PST

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar): masih menunggu laporan kos pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LSC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pua yang sebelum ini mendakwa kos dibayar TLDM adalah 870 peratus lebih tinggi berbanding kos dibayar negara lain untuk membina kapal yang sama berkata, beliau tiada agenda tersembunyi dalam membuat tuduhan itu tanpa maklumat yang jelas.

"Sebaik menerima laporan penuh berkaitan perkara itu, saya akan serahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

"Saya sedia dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun Pua berkata, jangan beliau sahaja yang dipanggil pihak berkenaan kerana isu itu melibatkan banyak pihak termasuk Kementerian Pertahanan dan syarikat yang membina kapal itu.

"Perbezaan harga itu menunjukkan jurang yang besar. Jika benar tiada penye�lewengan, pihak berkenaan harus memberikan penjelasan," katanya.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau dan pegawainya sedia disiasat jika benar berlaku penyelewengan seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen itu.

Ahmad Zahid berkata, berbeza pendapat dalam isu-isu politik adalah perkara biasa namun dalam soal keselamatan dan pertahanan negara, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tuduhan yang dilempar tanpa asas dan bukti.

Menurutnya, pembangkang secara membuta tuli menjatuhkan hukuman walaupun penjelasan terperinci mengenai perkara itu belum diberi.

Puan dalam sebuah portal berita tempatan sebelum ini mendakwa kos RM6 bilion bagi membina LSC TLDM lebih mahal daripada apa yang dibayar negara lain untuk kapal yang sama.

TERAJU - Apa yang diterajuinya?

Posted: 15 Feb 2011 05:02 PM PST

Pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU) baru-baru ini mendapat reaksi yang tidak memuaskan setengah pihak dan Najib dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai pemimpin yang flip-flop kerana berubah haluan dari pendirian yang telah dibuatnya sebelum ini.

'Kuala Lumpur and Selangor Assembly Hall' (KLSCAH) memberikan reaksi yang negatif dan menganggap keputusan mewujudkan TERAJU sebagai tindakkan yang menyimpang jauh dari NEM yang diumumkannya tahun lepas. Pada pihak ini Najib belum lagi membuktikan yang beliau benar-benar mengumumkan sesuatu yang belum tentu mahu dilksanakannya.

Penyakit mengubah haluan sebelum melaksanakan perancangan yang telah diumumkan memang menjadi perkara yang sangat lazim bagi Najib. Tidak tahu pula kenapa beliau tidak dianggap sebagai seorang flip-flop sebagai yang dilabelkan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Sekarang baru kita jelas bahawa flip-flop itu hanya diperuntukkan untuk Abdullah Badawi sahaja.

Jika pihak lain flip-flop ianya tidak menjadi isu. Dr Mahathir telah flip-flop dari Ulta Melayu menjadi Melayu Liberal semasa menjadi PM sekarang kembali menjadi Ultra sesudah bersara itu tidak flip-flop. Itu perjuangan namanya. Jika zaman Dr Mahathir UMNO itu parti yang baik tetapi setelah beliau bersara UMNO itu adalah parti 'contract' dan parti 'AP'.

Puluhan ribu AP yang dikeluarkan oleh MITI dan ratusan kontrak-kontak mega yang dirunding terus dengan kontaktor-kontraktor yang besar-besar semasa beliau menjadi PM dahulu itu tidak ditakrifkan sebagai 'UMNO parti AP dan contract'. Itu dinamakan sebagai usaha pembangunan. Dr Mahathir seperti Kamal Attartuk mempunyai sikap 'don't do what I do; just do what I ask you to do'.

Tahun lepas Najib telah memngumumkan pemansuhan dasar 30 peratus penyertaan Bumiputra untuk mengelakkan negara terjebak dalam kononya 'middle-income trap' dan ianya bermakna tidak ada lagi keistimewaan dan semangat NEP yang telah banyak membantu usaha untuk penyertaan yang 'equitable' dikalangan berbilang kaum dinegara ini.

Sekarang ini wujud pula TERAJU yang belum pun dinyatakan segala pelan yang sedang difikirkan oleh TERAJU untuk Bumiputra, kita sudah menghadapi reaksi negatif dari banyak pihak. Orang Melayu ini nampaknya seolah-olah satu bangsa yang terlalu malang kerana sentiasa tersepit dalam semua keadaan.

Bermacam-macam perancangan yang diumumkan untuk orang Melayu ini tetapi perancangan itu kadangkala dibatalkan kadangkala timbul kembali. Teringat pula saya kepada 'TV Commercial' biskut chocfudge; kadangkala ada kadangkala tak ada. Hanya yang kita berharap segala af'al tuhan ini akan membawa hikmah kepada bangsa kita ini pada masa-masa yang akan datang.

Sebagai seorang Melayu saya nampak situasi begini; orang Melayu bukan sahaja disaingi oleh bangsa-bangsa lain tetapi disaingi oleh kerajaan yang dipimpin Melayu ini. Kerajaan yang menyaingi orang Melayu dan apabila Melayu gagal pemimpin kita menyalahkan orang Melayu pula.

Semua agensi kerajaan menyaingi Bumiputra. Semua 'public companies by guarantee' yang sekarang dinamakan GLCs menyaingi orang Melayu dan Bumiputra dalam banyak peluang perniagaan dalam negara kita. GLC setakat ini hanya mampu menaikkan ego beberapa individu sahaja. Ketua-ketua eksekutif GLC merupakan kumpulan elit yang kecil yang tegulung kedalam kumpulan 'the rich and the famous' hasil dari kedudukan mereka didalam syarikat kepunyaan rakyat itu.

Tugas dan fungsi mereka untuk memajukan syarikat-syarikat tersebut tetap tidak tercapai dan dasar untuk memindahkan pegangan-pegangan pemilikan itu kepada Bumiputra tetap belum diselesaikan. Walaupu telah diumumkan yang beberapa syarikat akan disenaraikan diPasaran Saham tetapi belum lagi sehingga kehari ini kerajaan membayangkan bagaimana caranya untuk mengekalkan pegangan itu ditangan Bumiputra.

Pembahagian harta kekayaan negara tidak selesai dengan hanya menyenaraikan saham-saham syarikat yang terbesar secara 'direct' kerana pencapaian pegangan Bumiputra dikatakan hanya 18.7 peratus sahaja. Pertamanya orang Melayu masih lagi tidak berkemampuan untuk membeli saham-saham yang diperuntukkan melalui Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dengan pengkalan pegangan jangka masa yang panjang.

Itulah sebabnya saya selalu mengatakan yang usaha yang serius dan yang mempunyai 'consequence' yang besar ialah pentadbiran 'pre-Mahathir' sahaja. Pegangan Bumiputra yang hanya sebanyak 2.7 peratus telah berkembang kepada 18.4 peratus pada tahun 1984 dahulu. Tetapi apabila ekonomi negara dipacu oleh Daim Zainuddin yang dilantik oleh Mahathir pada Jun 1984 dahulu tidak berdaya untuk meningkatkan pegangan hak milik oleh Bumiputra dan dari 1984 sehingga ke hari ini kerajaan pimpinan Mahathir dan seterusnya hanya mampu untuk menambah 0.3 peratus sahaja. Bagaimana hndak kita katakan yang Mahathir dan pimpinan seterusnya berjaya untuk mencapai matlamat unggul DEB dahulu iaitu untuk mencapai keharmonian kaum yang 'ultimate'.

Yang berjaya hanyalah segelintiran rakan-rakan pemimpin yang istimewa yang dibantu oleh pimpinan kita sehinggakan mereka menjadi orang-orang yang terkaya tanpa usaha yang gigih. Usaha gigih puak-puak ini hanyalah untuk menjaga pucuk pimpinan yang berpengaruh dan jika budaya ini masih berterusan maka kita akan mempunyai penduduk yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Yang pasti hasil dari pengabaian dasar yang telah terbukti membawa faedah kepada rakyat itu maka jurang pendapatan diantara kaum dan sesama kaum terutamanya dikalangan orang Melayu bertambah melebar dan tidaklah menjadi satu perkara yang mengejutkan jika rasa tidak puas hati di kalagan rakyat itu bertambah meruncing dari masa kemasa.

Kejayaan dasar yang baik ini tentulah memerlukan pengorbanan. Apakah pengorbanan itu? Jawapannya ialah pemimpin dan perlaksana tidak mempunyai kepentingan dalam projek pembagunan negara. Tetapi oleh kerana masing-masing mahukan kekayaan yang luar biasa maka mereka terpaksa mencuri di sana sini dan seterusnya menggagalkan semua perancangan walau secantik mana pun perancangan itu di atas kertas.

Tidak akan membawa kejayaan apa-apa dasar pun jika dasar itu dikotori dengan rasuah yang mementingkan saku dan kantung pemimpin-pemimpin kita sahaja. Ratusan billion ringgit wang yang didapati dengan menyalahgunakan kuasa telah masuk kedalam bank-bank luar negara dan pengaliran wang negara dan rakyat keluar negara itu jugalah penyumbang terbesar kepada masalah kewangan negara yang tidak baik pada hari ini.

Kalau segala perancangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri bulan-bulan dan tahun-tahun yang lepas tidak berjaya maka kita tidak boleh yakinkan diri kita yang kali ini penubuhan TERAJU yang diumumkan beliau minggu lepas akan berjaya. Pengumunan itu tidak lebih dari 'window-dressing' untuk pilihanraya umum yang akan datang dan tidak lebih dari itu.

Tetapi rakyat tidak boleh bersuara dengan lantang kerana kumpulan pembodek dan pengampu kepada mereka yang berkuasa bertambah dari masa ke masa dan dari hari ke hari, bulan dan tahun-tahun yang akan datang.

Mereka mungkin kekal selagi mereka didokong oleh mereka yang berkepentingan dan menghalalkan segara cara untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata.

Lepas TERAJU ini apa pula yang akan diumumkan? Wallahu alam.



Dari Aspan Alias

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri P.Pinang 1432H

Posted: 15 Feb 2011 09:09 AM PST






Johan program realiti TV Imam Muda, Mohamad Ashraf Mohd Ridzuan dan pensyarah Falkuti Sains Kimia Farmasi Univesiti Sains Malaysia (USM), Zhari Ismail mendapat anugerah khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H peringkat Negeri Pulau Pinang yang di adakan di Dewan Sri Pinang pagi tadi.

Mereka mendapat cenderahati tanda satu penghargaan dari Kerajaan Negeri kerana berbakti pada negeri, negara serta meningatkan martabat Islam mengikut cara masing-masing.





Semua anugerah khas itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abas. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Exco Agama Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kasim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Abdul Halim Husain.

Mohamad Asyraf yang kini sedang menyambung izajah pengajian sarjana Syariah di Univesiti Malaya pernah diberikan penghormatan menjadi imam di Masjid Wilayah Persekutuan sejurus menjuari rancangan Imam Muda musim pertama lalu.





Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menyaksikan 46 kontijen mengambil bahagian mengelilingi Dewan Sri Pinang sejauh satu kilometer bermula jam 8.30 pagi.

Perarakan tahun ini diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Selain peserta orang ramai juga disajikan dengan persembahan nasyid dari Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri, alunan ayat-ayat Al-Quran dari Adik Awatif Abdul Majid selaku Johan Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah Pulau Pinang serta penceramah dari Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Faisol Omar.


-Dperbatasan

Gambar dan aksi melampau anak saudara Taib Mahmud

Posted: 15 Feb 2011 07:58 AM PST

Syabas! Untuk Elia Geneid, anak saudara Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud yang juga anak perempuan kepada Raziah Mahmud. Elia kelihatan berani menampilkan diri di khalayak ramai, walaupun dia seorang Muslimin, bergambar sambil memegang segelas bir atau menikmati champagne, di mana Muslimin yang lain pula pasti akan dikenakan hukuman sebatan jika berbuat demikian!


Elia (kanan) begitu yakin berpakaian semahunya, selain dipercayai meneguk arak secara terbuka

Sarawak Report .... meragui kenapa Elia dan rakan-rakan seagamanya berani beraksi untuk juru-juru gambar? Kita dapat simpulkan bahawa keberanian seperti itu wujud dari dalam keluarga mereka, di mana keluarga-keluarga Islam dari golongan kebanyakannya tetap mendidik anak-anak mereka untuk hidup dan bertindak sebagaimana dituntut oleh agama Islam.

Selain bergelumang dengan alcohol, Elia juga berani berpakaian menjolok mata di khalayak ramai dan bukannya berpakaian menutup aurat seperti yang diharapkan oleh wanita-wanita Islam yang lain dan juga golongan lelaki yang mentadbir kerajaan BN, termasuk juga bapa saudaranya, Taib Mahmud.

Umat Islam, khasnya kaum Muslimin di Malaysia pernah dikejutkan oleh suatu kes di mana seorang model Muslim yang pernah ditahan kerana meminum bir di sebuah restoran hotel tetapi kemudian telah dikecualikan dari hukuman sebatan, tetapi, sebaliknya tidak bagi Elia.

Mungkin Taib sekeluarga selalu memikirkan bahawa mereka berada di atas undang-undang, di mana mereka menggubal undang-undang hanya untuk dikenakan ke atas orang lain.


Kami ingin mencadangkan kepada Taib untuk membuat pertimbangan sewajarnya bagaimana beliau harus mendidik ahli-ahli keluarganya, meneladani kes Kartika Sari Dewi Shukarno. Elia, seperti mana yang kita ketahui pada entri terdahulu merupakan pewaris kepada harta yang bernilai berjuta-juta ringgit yang diterimanya daripada bapa saudaranya Taib, dalam bentuk tanah-tanah yang dirampas dari orang-orang asal. Justeru itu, Elia sudah pastinya telah melanggar undang-undang.

Pakcik Taib, kami ada menyimpan banyak lagi gambar yang menunjukkan ahli-ahli keluarga pakcik yang menunjukkan mereka berpakaian menjolok mata, gelas-gelas alkohol, barangan-barangan kemas mereka, walaupun pakcik sering berkhutbah sebagai seorang Muslim (mengalahkan seorang imam), tetapi akan menyebabkan mereka merasa marah terhadap pakcik.


Petikan Sarawakreport.org / Detikdaily

Guan Eng Saman Malu Keatas ADUN UMNO Pulau Betong Dan Utusan Malaysia

Posted: 15 Feb 2011 01:33 AM PST

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melantik syarikat guaman Karpal Singh & Co. untuk keluarkan saman malu atas ADUN UMNO Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia dengan fitnah mereka pada 2 Februari 2011 bertajuk bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengedarkan buku risalah "My Balik Pulau". Dalam lapuran bertajuk "Lupa Sejarah, Hina Melayu", kerajaan negeri PR Pulau Pinang didakwa mengedarkan risalah yang memperlekehkan sumbangan dan peranan orang Melayu di Balik Pulau.

Utusan Malaysia telah terus mangadu-dombakan isu ini dengan lapuran susulan pada hari berikutnya yang berbentuk menghasut sentimen perkauman terhadap kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang mahukan pinggirkan sumbangan orang Melayu. UMNO, Farid dan Utusan Malaysia telah meludah ke langit kerana yang keluarkan risalah "My Balik Pulau" tidak lain, tidak bukan adalah kerajaan BN negeri yang lama.

Ia diluluskan oleh kerajaan negeri BN lama sebelum Mac 8, 2008 dan sebelum PR mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Maka Farid patut tahu kerana beliau adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri lama. Lagipun beberapa penyokong kuat UMNO beliau adalah penyumbang ke atas keluaran "My Balik Pulau" ini.

Sungguhpun kerajaan negeri telah menjelaskan perkara itu dan meminta Farid tarik balik dan minta maaf atas sifat perkauman anti-bukan melayu dengan pembohongan dan fitnah yang menganiayai kerajaan negeri PR Pulau Pinang atas sesuatu yang bukan salahnya, Farid enggan buat demikian. Sebaliknya Utusan Malaysia teruskan laporan palsu yang mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan risalah "My Balik Pulau" yang sebenarnya dikeluarkan oleh UMNO dan kerajaan persekutuan.

Oleh itu kerajaan negeri telah membuat keputusan pada mesyuarat EXCO minggu lepas untuk saman malu ADUN UMNO ini kerana telah menggembar-gemburkan risalah "My Balik Pulau" dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat lapuran besar bertajuk "lupa sejarah, hina Melayu". Penasihat Undang-undang Negeri Dato Faiza telah menasihatkan agar saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan saman malu untuk mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam keghairahan buat serangan hentam-keromo ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan. Sungguhpun yang "bersalah" adalah BN/UMNO dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi-tubi dijalankan ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang dimangsakan sebagai kembiri hitam.

Kerajaan negeri PR Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya UMNO yang jahat seribu jahat ini. Politik rasis dan benci-membenci UMNO dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan berhabis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah Tan Sri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak habis kepada UDA.



Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 15 Februari 2011

Cerita Nazim, Hasbi dan Daim

Posted: 15 Feb 2011 12:47 AM PST

Baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. Najib berkata peruntukan tersebut akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad. Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Kg Bharu, Mohamed Nazim Abd Razak, yang juga adik Najib.

Menurut maklumat yang diperolehi, cadangan pengubahsuaian Masjid Jamek Kampung Baru itu telah diberikan kepada NRY Architect Sdn Bhd, yang mana pemiliknya adalah Nazim sendiri. Seorang penduduk Kampung Baru menelefon saya untuk meluahkan pandangannya: "Memandangkan Nazim adalah timbalan pengerusi masjid, SPRM diminta menjelaskan sama ada terdapat percanggahan kepentingan di mana sebagai sebagai pemilik firma arkitek NRY Architect Sdn Bhd, beliau tentu sedar bahawa perlantikannya mungkin atas kapasitinya sebagai timbalan pengerusi masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri."

Selain Nazim, tiga lagi saudara Najib terbabit aktif dalam perniagaan berprofil tinggi, iaitu Nazir, Johari dan Mohamed Nizam.

Nazim pernah disebut namanya oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, dalam akaun bersumpahnya, pada 3 Julai 208, yang cuba mengaitkan nama Najib, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dibunuh secara kejam. Sehari selepas membuat pendedahan itu, Bala secara tergesa-gesa menarik balik akuan sumpah awalnya dan menghilang keluar negara. Bala, bekas seorang anggota polis Cawangan Khas.

Ekoran itu, tiga pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat dalam satu aduan menggesa SPRM menyiasat dakwaan P Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri itu dalam isu pertukaran akuan sumpahnya.

II.

Cerita projek-projek besar kerajaan yang dibuat secara rundingan terus tanpa tender seperti pembinaan universiti, hospital dan projek jalan dijadikan seumpama skim cepat kaya oleh para pemimpin Umno-BN bukan kisah baru. Mungkin ramai sudah muak mendengarnya disebabkan tiada langkah berkesan diambil bagi membanterasnya. Dana awam dikaut bagi keuntungan peribadi dan sebahagiannya disalurkan kepada tabung parti, yang digunakan untuk membeli undi semasa kempen pilihan raya.

Kos projek ditingkatkan berkali ganda bagi memungkinkan mereka dan kroni membolot keuntungan secara mudah. Ada yang dirundingkan di "bawah meja" lebih awal dan ia menjadi semacam perkara yang ditetapkan semasa proses rundingan harga dibuat. Para pelobi projek dan kontraktor arif benar tentang siapa perantara bagi pihak menteri dan Umno yang perlu dihubungi.

Kementerian Kewangan dikenali sebagai lubuknya. Disebabkan Perdana Menteri sendiri yang mengetuai Perbendaharaan, tugas "mengutip komisyen" itu selalunya diserahkan kepada pihak lain. Tidak pasti apakah ia termasuk anak, menantu dan isteri PM sendiri?

Ada pihak mendakwa jawatan Menteri Kewangan II juga sering diperhatikan. Peluang boleh diintai termasuk daripada setiausaha sulit ataupun setiausaha politik menterinya. Di antara nama menteri yang disebut-sebut adalah Nor Mohamed Yakcop (2004-2009), kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Justeru, nama orang kanannya, Hasbie Satar, 38 cukup popular di kalangan pelobi.

Hasbie ditahan SPRM, di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, bersama penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta. Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Saya tidak begitu arif mengapa SPRM memilih pertuduhan di bawah akta berkenaan. Mungkin penemuan fakta kes dalam siasatan hanya menjurus ke arah itu. Cuma, ramai kenalan saya, yang terbabit dalam dunia perniagaan dan biasa berhubung dengan "perantara" menteri bagi melobi projek, mengharapkan lebih banyak kisah menarik tentang "dana politik Umno" tersingkap semasa perbicaraan nanti.

Bagi saya harapan kawan-kawan saya itu terlalu tinggi dan agak mustahil tercapai. "Segalanya akan ditutup nanti," balas saya.

III.

Semenjak Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda pada 1975, kampus institusi pengajian tinggi tempatan memang bagai penjara. Suara penghuninya dibisukan, gerakan mereka terbatas, dan mungkin angan-angan pun tidak dapat mencecah awan; segala-galanya memerlukan kebenaran naib canselor. Tradisi ilmu dan budaya cendekia dipasung.

Malah, kakitangan akademik yang menyuarakan pendapat dalam hal-hal berkaitan kepakaran mereka juga ditegur jika ia menyinggung "wilayah sensitif" yang sempadannya semakin diperluaskan. Mengambil jalan mudah dan untuk mengelak risiko, maka majoriti warga kampus lebih asyik dengan hal-hal remeh-temeh. Tidak terkecuali yang mengambil kesempatan untuk "membodek" pihak atasan, dan berlumba-lumba "menangkap peluang" untuk kepentingan peribadi.

Pelajar dan pensyarah seolah-olah dipisahkan jauh di menara gading, sedangkan rakyat dan pemerintah amat memerlukan idea serta sumbangan golongan intelektual. Gerakan mahasiswa sekadar berperanan seperti persatuan pelajar sekolah menengah atas. Autonomi yang sudah lama dicabut menjadikan masyarakat terpelajar itu tempang dan cacat. Anehnya, selepas itu bertalu-talu pula kritikan kedengaran, yang mendakwa bahawa perwatakan, keperibadian dan penampilan siswazah kita begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Walhal, yang "mencacatkan" mahasiswa secara sengaja, sehingga potensi mereka lumpuh atau tidak dapat dikembangkan dengan baik, adalah pihak universiti sendiri, yang tentunya direncanakan elit pemerintah. Bagi regim yang korup dan menindas, suara independen masyarakat terdidik begitu digeruni. Penguasa seumpama itu hanya mahu memperalatkan orang lain untuk kepentingan diri dan kelompok.

Kini tiba musim pilihan raya kampus bagi memilih kepemimpinan pelajar sesi 2011/12. Proses PRK sejak lama berjalan penuh kepincangan. Ruang untuk anak-anak muda berpatisipasi dalam politik pelajar juga diganggu dengan cukup dahsyat. Pihak universiti jarang bertindak adil melayani semua calon atau kumpulan yang bertanding. Mahasiswa yang dilihat tidak cenderung dengan pemerintah dianggap seperti musuh dan terpaksa berdepan kesukaran yang sengaja dicipta Urusetia Hal Ehwal Pelajar. Masa sama, universiti "menternak" kumpulan yang mendokong aspirasi kerajaan BN.

Tujuh tahun lalu, saya pernah mendedahkan penglibatan aktif Kementerian Pengajian Tinggi -- termasuk melibatkan naib-naib canselor -- melakukan sabotaj terancang bagi mengalahkan kumpulan mahasiswa yang tidak terikat dengan Umno-BN. Mereka mengadakan mesyuarat tetap di ibu pejabat Umno, di PWTC. Peruntukan kewangan universiti diambil bagi membiayai kempen kumpulan pro-BN.

Sungguh menyedihkan apabila pegawai-pegawai universiti sanggup merendahkan (menghina) diri mereka ke tahap menjadi "barua Umno". Apa salahnya dibiarkan mahasiswa bereksperimen dengan bebas dan kreatif bagi memilih pemimpin mereka? Mengapa perlu dikhianati cita-cita, aspirasi dan idealisme luhur pelajar? Sepatutnya disediakan ruang secukupnya agar mahasiswa dapat mengembangkan bakat kepimpinan dan mengungguli idealisme perjuangan tanpa sekatan.

Lebih mengejutkan apabila saya terbaca laporan yang mendedahkan insiden memalukan di Universiti Malaya, 10 Februari lalu. Sekumpulan 20 mahasiswa dihalang secara tidak bertamadun daripada mengadakan sidang media berkaitan peraturan PRK. Cuba bayangkan, seorang pengawal keselamatan universiti bertindak menekap mulut seorang aktivis pelajar pro-Mahasiswa ketika mahu memberikan ucapan!

Keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila pihak keselamatan enggan bertolak ansur dan membunyikan siren kereta perondanya yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut. Kumpulan mahasiswa tadi dapat juga meneruskan sidang media selama 10 minit.

Kes "tutup mulut" yang mengaibkan ini perlu diberi perhatian serius. Reaksi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang terkenal dengan kelantangannya mahu melakukan reformasi di IPT, amat ditunggu-tunggu. Dalam suasana dunia menyaksikan perubahan menyeluruh ke arah pemerintahan lebih demokratik dan regim autoritarian tergugat diasak tuntutan anak muda, malangnya situasi di negara kita begitu mengecewakan.

IV.

Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin jarang bersuara tetapi sesekali beliau membuat ramalan politik, agak menarik juga untuk disorot. Setahun sebelum PRU12, beliau menjangkakan BN akan menghadapi tentangan cukup sengit di beberapa kawasan panas, iaitu Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Hasilnya BN tersungkur di tiga negeri berkenaan, ditambah satu lagi Perak.

Baru-baru ini, dalam wawancara dengan akhbar China Press, Daim meletakkan Kelantan dan Pulau Pinang sebagai negeri selamat buat Pakatan Rakyat. Meskipun media yang dikontrol BN sering menggambarkan pentadbiran Lim Guan Eng tidak henti-henti berdepan masalah dan rungutan rakyat, Daim melihat kerajaan Pulau Pinang tetap kuat dan tiada petanda akan berlaku peralihan kuasa dalam PRU13.

Begitu juga dengan situasi di Kelantan. Bagi Daim, kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu disayangi rakyat. Bagaimanapun, pertembungan BN dan Pakatan tetap mendebarkan di Selangor, Kedah dan Perak. Keputusan akhirnya dilihat bergantung kepada calon yang dipilih dan kualiti menteri besarnya.

Daim, bekas Ahli Parlimen Merbok turut memandang tinggi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga katanya, disukai rakyat. Ustaz Azizan, tambahnya peramah dan senang didekati. Selain Daim, secara terbuka, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menghormati gaya pentadbiran Ustaz Azizan.

Keupayaan Pakatan mempertahankan Selangor dipersoal Daim. Sasarannya lebih tertumpu kepada cara Abdul Khalid Ibrahim menerajui kerajaan negeri, yang didakwanya lebih mirip seperti seorang CEO sebuah syarikat. Rakyat, katanya, mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bersih dan cekap. Peranan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri juga dikritik.

Saya tidak pasti mengapa Daim tidak merangkaikan Terengganu sebagai negeri yang juga cukup berpotensi untuk direbut Pakatan. Negeri yang pernah ditadbir PAS (2004-2008) kini menghadapi masalah besar daripada segi kewangan dan juga politik dalaman Umno. Pentadbiran Ahmad Said goyah dan menerima banyak kritikan khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Rasanya jika Pakatan berupaya menampilkan calon-calon terbaik, dalam keadaan wibawa menteri besar sekarang dipertikai, Daim perlu memasukkan Terengganu dalam senarai "kawasan panas".

Di mana-mana pun, sifat politik cukup dinamik. Tekaan hari ini boleh meleset atau diperkukuhkan lagi jika situasi politiknya berubah. Ramalan Daim tidak terkecuali. Kebijaksanaan rakyat dan kesungguhan parti-parti bertanding bakal menentukan keputusan akhirnya.



Dari Detikdaily / Ahmad Lutfi Othman

Nasib Blogger Bagai Telur Di Hujung Tanduk

Posted: 15 Feb 2011 12:22 AM PST

Blogger, apalah nasib blogger sharpshooter selepas ini?

Siapa di antara kita yang mengaku sebagai blogger harus waspada, harus lebih bersedia kerana perlawanan antara menteri dan blogger, inilah presiden kesnya. Kemenangan menteri bakal mengheret mana-mana blogger samada yang menulis mahupun blogger yang cukup rajin menggunakan kaedah 'copy n paste'.

Mengapa agaknya orang yang menulis artikel itu tidak didakwa tetapi orang yang menyalin tampal bakal dihadap ke mahkamah? Kerana walaupun yang menulis itu salah, tetapi yang menyiarkan sesuatu artikel itu akan cuba diterjemahkan sebagai lebih bersalah supaya kerja 'meraka' akan datang jadi jauh lebih mudah.

Saya sekarang berada di rumah Din Binjai pengendali blog sharpshooter, seorang blogger yang bakal di saman. Amizudin Ahmat mempamerkan surat lawyer Shaffee & co, yang diterima lewat minggu lepas menunjukkan fail injuksi dan saman sivil ke atas Din Binjai dari Rais Yatim.

Beringatlah semua, kalau Din Binjai yang salin dan tampal kenyataan dari harakah tanpa ulasan yang tak sebut nama Rais pun, bakal disaman malu juta-juta. Maka ia bakal menjadi presiden kes yang boleh sentiasa di rujuk dalam mana-mana saman ke atas blogger yang berhaluan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, adakah ribuan blogger pro Pakatan Rakyat hanya akan membiarkan kes ini berjalan seperti angin lalu? Membiarkan blogger sharpshooter terkapai-kapai? Atau sedia untuk bergabung bagi satu perlawanan di antara menteri dan blogger yang akan menentukan nasib semua blogger?

Pilihlah samada untuk bersama berjuang atau mengambil sikap tidak peduli dengan memikirkan nasib masing-masing. Inilah peluang untuk blogger bersatu!! Inilah peluang untuk menghalang sebarang gerakan dari pihak kerajaan untuk mengheret blogger ke dalam kancah akta komunikasi!!

Bukan tujuan saya menakut-nakutkan rakan blogger lain, tapi inilah hakikat dan satu subjek penting untuk sama-sama kita perjuangkan. Sedarlah bahawa kes saman blogger sharpshooter adalah subjek yang perlu kita lawan dan pertahankan demi nasib semua blogger seangkatan.

Saya menyeru setiap blog memainkan peranan untuk menyedarkan semua blogger, betapa kita sebenarnya dalam perhitungan hidup mati suatu media yang amat ditagih bagi menyampaikan berita dan kebenaran!!

Pilihan di tangan kita, ayuh blogger bangkit!! Bangkit!! Bangkit dari lamunan!! Bangkit melawan!!





Oleh EDYES @ edyesdotcom

Guru Kafa P.Pinang terima insentif sempena Maulidur Rasul

Posted: 15 Feb 2011 12:04 AM PST

Kira-kira 1,500 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) Kerajaan Pulau Pinang diberikan sejumlah RM150,000 sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri itu hari ini, lapor Malaysiakini.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata, setiap seorang akan mendapat RM100 seperti dicadangkan dalam mesyuarat exco negeri Khamis lalu.

"Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus; serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah," katanya sambil memberitahu perkara itu diakui oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009 dan badang antarabangsa seperti Transparency International.

Katanya, kerajaan juga memberikan RM100 kepada guru Kafa sempena perayaan Awal Muharam dan duit raya kepada golongan itu sebanyak RM250 pada tahun lepas.

Sementara itu, mengulas sambutan Maulidur Rasul bertemakan "Wasatiah (Kesederhannaan) Tonggak Kecemerlangan Umah", Lim (gambar) berkata kesederhaan Islam akan menolak dakwaan bahawa agama itu ekstrimis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup.

Memetik pandangan ulama terkenal Mesir Dr Yusof Al Qaradhawi, Lim berkata, kesederhaan Islam bersumberkan kepada prinsip keadilan, konsisten dan keamanan serta menjadi lambang kepada kebaikan dan tunjang kekuatan.

"Kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan," katanya.

Tiada ulasan: