Selasa, 15 Februari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Selangor minta Kerajaan Pusat tarik balik lesen konsesi air SYABAS

Posted: 15 Feb 2011 05:03 AM PST

BERITA HARIAN ONLINE

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata Kerajaan Persekutuan perlu menarik balik lesen konsesi pembekalan air di Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana syarikat itu didakwa melanggar perjanjian konsesi.

Beliau berkata Pengawal Selia Air Selangor iaitu Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Nordin Sulaiman telah menulis surat kepada kerajaanPersekutuan dan Syabas bahawa tindakan syarikat itu mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan negeri kepada rakyatnya untuk Tabung Budi adalah menyalahi perjanjian konsesi.

"Jadi ini (tarik balik konsesi pembekalan air) telah ditulis surat oleh Pengawal Selia Air, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

SYABAS telah menubuhkan Tabung Budi pada 24 Ogos 2009 melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas untuk dimasukkan ke dalam tabung itu.

Wang kutipan itu akan disalurkan kepada golongan kurang kemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Abdul Khalid berkata Pengawal Selia Air Selangor adalah satu lantikan pegawai kerajaan negeri untuk memantau perjalanan penswastaan bekalan air di Selangor semasa perjanjian konsesi bekalan air ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta Syabas pada tahun 2004.

Kes Tanam Anak Belakang Rumah: Siasatan Dapati Bayi Cedera Di Kepala

Posted: 15 Feb 2011 03:34 AM PST

KELAB GREENBOC

Kuala Lumpur - Bedah siasat ke atas mayat bayi perempuan yang cuba ditanam di belakang rumah ibu bapanya di kawasan setinggan di Jinjang Utara semalam mendapati bayi itu mati akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Feb lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya pada lima hari lalu dan dipercayai tidak sihat.
Tanam anak belakang rumah
"Bedah siasat yang dilakukan pada tengah hari tadi mengesahkan kematian bayi tersebut adalah kerana hentakan benda tumpul di kepala," katanya dalam kenyataan pada hari Isnin.

Beliau berkata bapa kepada bayi malang itu mendakwa anaknya mati akibat tercekik susu ketika isterinya keluar bekerja dan apabila isterinya pulang, dia menanam bayi tersebut kerana takut disoal siasat polis.

Katanya, curiga dengan keterangan bapa bayi tersebut, polis bertindak menahan lelaki berusia 38 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk siasatan lanjut.

"Kita juga telah mengambil keterangan isterinya yang bekerja sebagai pelukis inai di Jalan Masjid India tetapi wanita berusia 29 tahun itu tidak ditahan," katanya.

Zakaria berkata terdapat kesan pasir dan tanah pada mayat bayi tersebut dan polis percaya mayat bayi malang itu telah ditanam tetapi kemudiannya dikeluarkan semula.

Katanya, mayat bayi perempuan tersebut dibalut dengan kain dan berada di dalam beg plastik ketika dijumpai.

Semalam kira-kira-kira pukul 6 petang, polis bergegas ke rumah tersebut selepas mendapat maklumat dari orang awam yang berasa curiga apabila terlihat sebuah lubang di belakang rumah pasangan terbabit sebelum menemui mayat bayi berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan. -- BERNAMA

Berita semalam

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.

Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.

"Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.

"Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.

"Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan," katanya.

Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan," katanya. -hm

2,688 Kes Denggi Dilaporkan Sehingga Kini

Posted: 15 Feb 2011 03:32 AM PST

MSTAR ONLINE

PAPAR: Sebanyak 2,688 kes denggi dilaporkan di seluruh negara dengan enam kematian setakat Khamis lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata jumlah itu jauh berkurangan berbanding 5,848 kes dengan 20 kematian yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sejumlah 46,171 kes denggi dilaporkan dengan 134 kematian sepanjang tahun lepas, katanya.

"Walaupun terdapat penurunan dari segi jumlah kes dan angka kematian ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Gotong Royong Perdana di Kampung Pengalat Besar, dekat sini Selasa.

Dalam perkembangan lain, Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata aktiviti gotong royong perlu dipergiatkan untuk memerangi nyamuk aedes.

"Program gotong royong ini mempunyai dua objektif yang cukup murni iaitu mengeratkan tali silatulrahim di antara semua yang terlibat dan menjadi pencetus kepada usaha membudayakan aktiviti gotong royong dan pengenalan pembersihan sebagai amalan kehidupan masyarakat kita," katanya.

Rosnah berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menghapuskan nyamuk aedes dan mengurangkan insiden jangkitan demam denggi dengan meningkatkan pengetahuan serta menterjemahkan kesedaran tentang bahaya demam denggi kepada aktiviti pencegahan secara berterusan.

Benar, kata Najib Malaysia bukan Mesir, tetapi,,,,

Posted: 15 Feb 2011 03:24 AM PST

Oleh Syed Imran

Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak dengan tegas dan penuh yakin berkata Malaysia bukan seperti Mesir yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat menumbangkan pemimpinnya. Keadaan di Malaysia tidak sama dengan Mesir, antara sebabnya kita ada 1Malaysia.

Kata-kata Najib pantas disokong oleh Menteri Di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon dan beberapa lagi rakannya dalam Kabinet.

Betul, Malaysia bukan Mesir ataupun Tunisia dan negara-negara Arab lain yang dipimpin secara autokrasi atau diktator. Benar, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi ala England.

Walaupun demikian, kita tidak boleh terlalu yakin yang kebangkitan rakyat seperti yang sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara kita. Kita seharusnya belajar dan selidiki sebab-musebab kenapa ianya berlaku.

Kita, yakni pentadbir negara, tidak boleh terlalu yakin yang semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka di negara ini. Mereka perlu melihat sama ada wujud persamaan punca-punca yang memberi kekuatan kepada rakyat Tunisia dan Mesir serta yang sedang berlaku di Algeria, Yeman, Bahrain dan Jordan.

Pemimpin-pemimpin negara berkenaan mengawal media agar menyokong pentadbiran, memutar-belit berita dan menyekat kebebasan bersuara, mereka menahan dan menghumban ke dalam penjara penentang politik, mereka mengamalkan pilih kasih atau kronisme yang jelas memperkayakan keluarga dan pak-pak turut yang mengampu mereka, rasuah dan penyelewengan kuasa menjadi amalan biasa.

Itulah antara punca kebangkitan rakyat di dunia Arab yang sejak berpuluh tahun apabila pemimpin-pemimpin autokrasi dan kuku besi berkuasa.

Pemimpin di Malaysia perlu melihat sama ada wujud perkara-perkara tersebut di negara ini. Telitilah dengan jujur, tulus dan ikhlas.

Lihat kepada peranan media yang dikawal terutama media elektronik, lihak kembali kepada sekatan dan kekangan terhadap kegiatan politik, lihat kepada sekatan ke atas rakyat untuk bersuara walaupun dijamin oleh Perlembagaan tetapi dikawal pula oleh Akta Polis, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan sebagainya.

Dari sudut pelaksanaan dasar, adakah ia dilaksana dengan betul, adil dan saksama kepada Ali yang bukan ahli parti politik tertentu, kepada kaum kerabat Ah Keong, kepada komuniti Raju, kepada suku kaum Tawi Seli, Langkau dan Bariang di Sarawak, kepada anak buah Kitingan, Bangkoi mahupun Datu Suluk di Sabah, kepada masyarakat pimpinan tok-tok batin di pinggir belantara.

Benar, Malaysia tidak sama Mesir. Bumi Anbia itu adalah negara yang hampir 100 peratus dihuni oleh bangsa Arab sedangkan Malaysia berbilang bangsa. Benar, rakyat Mesir mudah bersatu atas fakta satu bangsa sedangkan di Malaysia masih terikat dengan faktor kaum. Benar, dari sudut itu tidak wujud persamaan. Tetapi dari sudut lain, banyak persamaan.

Walaupun begitu, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan yakin yang kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak mungkin berlaku. Kerajaan semestinya belajar dan jadikan iktibar akan peristiwa bersejarah di Tunisia dan Mesir. Lakukan perubahan dimana perlu, perbetulkan kesilapan, mansuhkan undang-undang dan peraturan yang dilapukkan oleh kemajuan Internet, pendek kata ubah sebelum diubah.

DURIAN RUNTUH : SEKOLAH TAMIL DAN BENTENG BANJIR

Posted: 15 Feb 2011 03:23 AM PST

Setiap kali adanya pilihanraya kecil, sudah tentu bermacam projek akan dilaksanakan oleh kerajaan BN semata-mata untuk memancing undi. Semalam Timbalan Perdana Menteri merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Merlimau yang berharga RM4juta.

Ketika wakil kami berhenti di sebuah kedai di Pekan Merlimau, seorang pekedai yang enggan namanya disiarkan berkata bahawa projek itu sudah lama dirancang tetapi sering tertangguh.

"Sudah 2 kali pilihanraya dia orang bikin ini itu macam, pecah tanah, rasmi dan lain-lain, tapi sekolah tarak juga"

"Ini rakyat mesti mau fikir, kena tipu sudah 2 kali mau sokong lagi ka" ujar pekedai tersebut dengan'pelat' Cina.

Sementara itu Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam pula meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk mendirikan benteng penghalang banjir di Chincin. Perkara ini sudah lama berlaku tetapi baru sekarang tindakan hendak diambil. Itupun selepas meninggalnya Adun Merlimau.


Adalah diijangkakan selepas ini semakin banyak projek 'mee segera' dan durian runtuh akan dijanji dan dijaja kepada rakyat semata-mata untuk menarik sokongan rakyat kepada BN.

Rakyat seharusnya tidak termakan dengan janji-janji seperti ini kerana pembangunan boleh dilaksanakan oleh sesiapa yang menjadi kerajaan. Apa yang penting ialah kita mesti melihat sesuatu perkara jauh ke hadapan berpandukan Islam dan keadilan. Apa guna pembangunan jika duit rakyat dihabiskan oleh kerajaan yang boros, membazir dan penuh dengan kecelaruan serta kekeliruan.

Tuduhan berlakunya rasuah, penyelewengan, penyalahguna kuasa dan sebagainya yang menghanguskan duit rakyat walaupun di nafikan mesti disiasat dan dinilai oleh rakyat mengatasi kepentingan pembangunan fizikal yang bersifat sementara.

Jambatan bengkok: Mahathir harap simpati Umno Johor kerana Najib tak hirau

Posted: 15 Feb 2011 03:13 AM PST

WarkahDaily

Walaupun dilihat belum berputus asa dengan ideanya ketika masih Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dilihat cuba membuat rayuan atau mengharapkan simpati dari pemimpin-pemimpin negeri (Umno) Johor untuk meneruskan projek jambatan bengkok yang dicadangkan sebelum ini.

Mahathir dilihat terlalu beriya mahu jambatan berkenaan dilaksanakan tetapi dapat merasakan ianya tidak akan menjadi kenyataan jika tiada sokongan dari Umno Johor. Dalam masa yang sama, mantan Perdana Menteri itu kelihatan sudah berputus asa dengan kerajaan pusat pimpinan Najib yang dilihat tidak mengendahkan permintaan bekas PM itu. Cuma peluangnya ada bersama Umno Johor.

Walaupun Perdana Menteri selepasnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membatalkan projek berkenaan, namun selepas Abdullah berjaya 'digulingkan', maka Mahathir cuba memikat anak didiknya, Najib untuk meneruskan apa yang pernah dicadangkan sebelum ini. Namun, Najib yang cuba membina empayarnya sendiri tanpa ada bayangan mentornya Mahathir, beliau kelihatan tidak mengendahkan apa yang diinginkan Mahathir sehinggakan Mahathir terpaksa mengharapkan simpati Umno Johor.

The Malaysian Insider - Tun Dr Mahathir Mohamad yakin jambatan bengkok yang pernah beliau ilhamkan bagi menghubungkan Johor dan Singapura akan dibina tetapi hanya jika disokong pemimpin-pemimpin negeri itu.

Bagaimanapun bekas perdana menteri mengakui bahawa mustahil untuk menekan agar projek itu diteruskan jika pemimpin-pemimpin negeri tidak melihat keperluan untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru.

"Saya optimistik jika mereka menekan untuk membina jambatan itu, jika mereka tidak ia mustahil (akan dibina)," kata Dr Mahathir ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin Johor baru-baru ini mengenai kemungkinan menghidupkan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Awal minggu ini, The Malaysian Insider membawa laporan, Dr Mahathir telah mengadakan pertemuan dengan Umno Johor hujung bulan lalu dalam usaha menghidupkan semula idea membina jambatan bengkok.

The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah memanggil satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian di mana Dr Mahathir telah meminta akar umbi memberi tekanan ke atas kerajaan pusat supaya meneruskan projek tersebut.

Pentadbiran Najib yang telah pun menekankan beliau mahu meneruskan hubungan mesra dengan Singapura kemungkinan tidak akan meneruskan projek itu tanpa persetujuan bersama republik tersebut.

Idea itu dilontarkan oleh Dr Mahathir ketika di peringkat akhir kepimpinannnya tetapi dibatalkan oleh pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembinaan jambatan itu yang mempunyai ketinggian 25 meter dari tanah akan membolehkan bot serta kapal kecil berlayar dari Timur dan Barat Selat Tebrau.

Selepas bersara Dr Mahathir telah beberapa kali membangkitkan semula idea tersebut.

Pada Mei lalu misalnya, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.

Beliau berkali-kali menegaskan pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak dalam wilayah Malaysia.

"Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita," katanya.

Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura, tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau pernah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor tetapi menghentikan rundingan itu selepas dua tahun menunggu jawapan daripada republik tersebut.

Hanya selepas itu katanya, beliau mencadangkan pembinaan jambatan bengkok yang tidak memerlukan persetujuan Singapura.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan bengkok itu dihentikan apabila Abdullah mahu terus berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus.

Dr Mahathir yang masih berpengaruh di kalangan Umno meskipun telah bersara pada 2003 tersinggung apabila Abdullah membatalkan projek tersebut dan terus mengenakan tekanan agar pentadbiran semasa meneruskan idea itu.

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak yang berhasrat untuk memulihkan hubungan dua hala dengan Singapura enggan membincangkan cadangan tersebut.

Sebaliknya perdana menteri berhasrat untuk membincangkan syor pembinaan jambatan ketiga menghubungkan republik itu.

Najib juga telah menyelesaikan isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad lama berlarutan tahun lalu.

Dr Mahathir juga mahu Najib meneruskan idea itu memandangkan perkara juga telah disentuh oleh Sultan Johor akhir Jun lalu.

"Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan Tambak Johor.

"Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak Tambak Johor diganti dengan jambatan.

"Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," kata Dr Mahathir dalam tulisan blognya awal Julai lalu.

Tambak Johor siap dibina pada 1923 selepas kerja-kerja pembinaan selama empat tahun dengan kos AS$17 juta.

Dalam pada itu laluan kedua menghubungkan kedua-dua Malaysia dan Singapura pula siap dibina pada 1998.

Zul Noordin: Hati-hati, yop!

Posted: 15 Feb 2011 03:12 AM PST

MALAYSIA KINI

Anggota parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin mengingatkan pegawai yang terlibat memberi kelulusan bagi persembahan artis luar negara lebih berhati-hati sebelum memberi kelulusan.

Mengulas pembatalan persembahan Mohsen Namjoo, Zulkifli berkata, pegawai bertanggungjawab, terutama dalam jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) patut membuat penyelidikan menyeluruh terlebih dulu.

"Janganlah kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Teman tahu ramai pegawai dan kakitangan kerajaan yang komited dan serius dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Janganlah kerana segelintir yang cuai dan gagal menjalankan tugas dan kerja mereka memberikan imej dan persepsi negatif kepada yang lain," katanya sambil turut menyebut kembali kelulusan penyanyi gay Amerika Syarikat Adam Lambert yang dibenarkan mengadakan konsert sebelum ini.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana tidak bersesuaian dengan agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum.

Selepas dibantah pelbagai pihak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Dr Rais dilaporkan berkata permohonan mengadakan persembahan penyanyi kelahiran Iran yang digelar 'Bob Dylan' oleh New York Times itu ditolak dalam Puspal semalam.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana tidak bersesuaian dengan agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum.

Selepas dibantah pelbagai pihak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Dr Rais dilaporkan berkata permohonan mengadakan persembahan Mohsen ditolak dalam mesyuarat Puspal semalam.

Zulkifli berkata, kecuaian seperti itu sudah tentu menyebabkan pihak menteri yang dituding jari kerana terdapat "serigala politikus yang bersedia menerkam apa sahaja demi survival politik mereka".

"Just be careful, yop! (berhati-hati, yop!)," kata anggota parlimen yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu berkaitan Melayu-Islam.

Mohsen, 35, penyanyi kelahiran Iran yang digelar 'Bob Dylan' oleh New York Times dikatakan menggunakan ayat al-Quran dan menyampaikannya dalam bentuk menghina kitab suci itu.

Pada Jun 2009, penyanyi itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di Iran kerana tidak menghormati kesucian agama Islam selain memperlekeh al-Quran.

Bagaimanapun Mohsen, 35, terlepas daripada hukuman itu kerana menetap di Vienna, Austria.

PERKASA gesa pinjaman automatik pada siswa Mesir

Posted: 15 Feb 2011 02:54 AM PST

MALAYSIA KINI

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan memberikan pinjaman bagi membiayai mahasiswa negara ini di Mesir secara automatik di semua peringkat.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana golongan Melayu dan Bumiputera dijamin kemudahan itu, termasuk biasiswa seperti termaktub dalam hak-hak istimewa dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

"(Lagi pun) kos belajar di Mesir pula amat rendah dan tahap mutu pelajaran begitu tinggi," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.

Dalam satu kenyataa pagi ini, Ibrahim berkata, dalam bidang perubatan misalnya, kosnya hanya sekitar RM2OO,000 hingga RM25O,000 berbanding di negara ini yang hampir RM6OO,000.

Manakala di United Kingdom, Ireland dan Australia pula mencecah RM1,2 juta, tambahnya.

"Oleh kerana ramai yang mengambil jurusan perubatan, bilangan anak Melayu masih rendah dan negara tidak mencukupi doktor, wajarlah kerajaan membiayai pinjaman secara automatik agar semua pelajar dapat kembali belajar di Mesir," katanya.

Sementara itu, Ibrahim juga menggesa kerajaan segera menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu pelajar sama ada yang pulang ke negara ini atau yang masih berada di sana.

"Perkara pokok, pelajar-pelajar hendaklah diberi peluang kembali ke Mesir untuk meneruskan pelajaran mereka sehingga tamat," katanya.

Demo Interlok: Hindraf minta 'bantuan' KDN

Posted: 15 Feb 2011 02:52 AM PST

MALAYSIA KINI

Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mahu bertemu dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk membincangkan rancangan mereka mengadakan perarakan pada 27 Februari nantu untuk membantahan penggunaan novel Interlok di sekolah-sekolah.

NONEDalam suratnya kepada Ismail hari ini, pengerusinya yang dalam pelarian P Waythamoorthy (kanan) berkata, mereka bimbang terdapat agen provokasi yang mungkin dihantar oleh Umno untuk menggangu acara itu.

Katanya, oleh kerana rancangan perarakan pada Mac ini berniat baik dan aman, polis patut melaksanakan tugas mereka memastikan tiada kejadian yang tidak baik berlaku.

"Jika kamu enggan buat apa yang patut, kami letakkan tanggungjawab untuk segala insiden buruk yang mungkin berlaku dan kamu dianggap cuai dalam menjamin keselamatan orang ramai yang tidak bersalah, yang membantah secara aman," tulisnya dalam sepucuk surat.

Acara itu, digelar Solidarity March Against Umno Racisme (Perarakan Solidariti Menentang Perkauman Umno) dijadual diadakan di KLCC di ibu negara. Tujuan utamanya bagi membantah tindakan Kementerian Pelajaran yang mengekalkan penggunaan novel kontroversi Interlok.

Pengkiritik - terutama daripada pemimpin dan aktivis kaum India - menolak teks sastera itu dengan anggapan ia sensitif dan memberikan gambaran buruk terhadap masyarakat itu.

Jumlah hari Saiful tidak mandi bercanggah

Posted: 15 Feb 2011 02:50 AM PST

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini didedahkan dengan keterangan yang bercanggah oleh saksi pihak pendakwaan berhubung jumlah hari Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya.

Dalam keterangan terdahulu, saksi pihak pendakwaan menjelaskan Mohd Saiful tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya selama empat hari, tetapi hari ini hanya dinyatakan selama dua hari sahaja.

Pakar jagaan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Khairul Nizam menjelaskan, Saiful tidak mandi, tidak membuang air besar dan tidak mencuci punggungnya selama dua hari disebabkan kesakitan pada bahagian anusnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan peguambela S N Nair sebagai sebahagian bukti Saiful benar-benar diliwat oleh seseorang yang didakwa oleh Saiful seorang tokoh terkemuka, Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung hari ini

Sementara sebelum itu, peguam pasukan pembela kes liwat Anwar menegaskan tiada bukti air mani dikesan pada Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana tiada ujian yang sewajarnya dijalankan untuk memastikan perkara tersebut.

Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, meskipun keputusan makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan adanya kesan air mani, tetapi tiada ujian-ujian yang standard dijalankan untuk mengesahkan perkara itu.

Menurut beliau, laporan kimia juga tidak mengambil kira ujian-ujian standard yang harus dijalankan untuk menentukan sebarang kehadiran air mani.

Dalam soalannya kepada ahli patologi forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng, beliau berkata, di peringkat antarabangsa terdapat ujian-ujian yang standard seperti itu yang diamalkan seperti PSA 'antigen' dan RSID yang akan memberi gambaran tepat mengenai air mani.

Dengan merujuk kepada laporan kimia, Sankara berkata, laporan kimia juga menunjukkan bahawa kesan air mani sendiri ada ditemui pada seluar dalam dan seluarnya.

"Bagaimanapun perkara ini tidak dicatatkan oleh anda?" soal Sankara yang turut diakui oleh Dr Siew bahawa beliau memang tidak mengambil catatan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan hari ini menetapkan perbicaraan akan disambung pada hari Rabu ini mulai jam 8.30 pagi.

Turut hadir dalam perbicaraan hari ini peguam Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Peguam Sankara ketika bercakap kepada pemberita kemudian berkata, keterangan yang bercanggah dari saksi pendakwaan mengenai jumlah hari Saiful tidak mandi atau tidak mencuci badannya itu, pasti akan memudahkan pihaknya mengemukan hujah-hujah lebih konkrit dalam perbicaraan akan datang.

Musa Fathullah, Harlina terima anugerah tokoh

Posted: 15 Feb 2011 02:49 AM PST

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Dua tokoh terkenal, Dr Musa Fathullah Harun dan Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dianugerahkan sebagai Tokoh Imam Ghazali dan Tokoh Siti Khadijah sempena Sambutan Maulidur-Rasul Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Berdasarkan pengalaman dan sumbangan besar di dalam bidang masing-masing kepada rakyat Negeri Selangor khususnya, mereka berdua termasuk pemenang tiga anugerah lain dinobatkan dalam majlis gilang gemilang yang berlangsung di Stadium Malawati, dekat sini.

Dr Musa merupakan tokoh aktif sehingga kini dengan bilangan buku yang banyak dihasilkan secara ilmiah; karya terbaharu adalah mengenai jawapan beliau terhadap mereka yang menidakkan Maulidur-Rasul yang dilancarkan di Indonesia, baru-baru ini.

Antara buku terkenal beliau juga adalah Perjalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat dan Undang-undang Jenayah Islam, ketika ditemui berazam menghabiskan usianya dengan menulis buku sebagai satu bentuk penyebaran ilmu.

Dr Harlina pula terlibat di dalam bidang sosial masyarakat, acapkali suaranya berkumandang di stesen radio yang bercakap tentang kesihatan tubuh badan dan keperluan kesihatan jiwa dan perasaan manusia sebagai hamba Allah.

Beliau merupakan Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia dan banyak memberikan sumbangan dalam membantu anggota masyarakat agar kembali berpegang teguh kepada ajaran agama meskipun kini berada dalam negara yang bergerak ke arah lebih maju.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mewakili Sultan Selangor yang kini berada berada di luar negara.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, Mufti Selangor, Datuk Seri Setia Mohd Tamyez Abdul Wahid dan pegawai kerajaan serta orang ramai.

Sebelum itu, sekitar 100 kontinjen dari berbagai agensi kerajaan, badan korporat, NGO, masjid dan pelajar sekolah telah menyertai perarakan dari Stadium Mini Shah Alam menuju ke Stadium Malawati sejak awal pagi mewujudkan suasana panca warna.

Dalam majlis sama, Siti Nadhirah Shafie, 18, dinobatkan dengan Anugerah Saidina Ali, Tan Sri Hashim Meon (Anugerah Omar Abdul Aziz) dan Mohd Nasir Abdul Ghani (Anugerah Khalid AlWalid).

Nadhirah merupakan calon termuda SPM dalam usia 15 tahun dan pelajar Matrikulasi UIAM dalam usia 16 tahun kini melanjutkan pengajian dalam Diploma Kepimpinan dan pengurusan Strategik Kolej Al-Itqan.

Beliau juga merupakan Johan Menghafaz Al-Quran pada 2009 dan 2010 peringkat Kebangsaan 30 juzuk dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Jordan untuk pertandingan 30 juzuk pada 2009.

Nadhirah merupakan anak keenam kepada Pengasas Kaedah Hafaz Al-Quran Al-Muqri, Dr Shafie yang kini mengasaskan Kolej Al-Itqan dengan lebih 200 pelajar pengkhususan kajian Al-Quran di Ampang.

Tan Sri Hashim Meon merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang memperkenalkan penggunaan ICT secara meluas dalam pentadbiran negeri, Pengerusi Majlis Agama islam Selangor (MAIS) dan Ahli Majlis Diraja Selangor.

Mohd Nasir pula adalah pegawai Bomba yang banyak menjadi pengarah operasi besar antaranya seperti Highland Towers dan merupakan Bendahari anggota Bomba Malaysia.

Pensyarah, Imam Muda terima anugerah Maulidur Rasul

Posted: 15 Feb 2011 02:48 AM PST

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN: Johan program realiti TV Imam Muda, Mohamad Ashraf Mohd Ridzuan dan pensyarah Falkuti Sains Kimia Farmasi Univesiti Sains Malaysia (USM), Zhari Ismail mendapat anugerah khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H peringkat Negeri Pulau Pinang yang di adakan di Dewan Sri Pinang pagi tadi.

Mereka mendapat cenderahati tanda satu penghargaan dari Kerajaan Negeri kerana berbakti pada negeri, negara serta meningatkan martabat Islam mengikut cara masing-masing.

Semua anugerah khas itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abas. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Exco Agama Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kasim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Abdul Halim Husain.

Mohamad Asyraf yang kini sedang menyambung izajah pengajian sarjana Syariah di Univesiti Malaya pernah diberikan penghormatan menjadi imam di Masjid Wilayah Persekutuan sejurus menjuari rancangan Imam Muda musim pertama lalu.

Menurutnya, anugerah yang diperolehi menambahkan semangatnya untuk terus berbakti pada Islam pada masa depan.

Namun apa pun katanya, penganugerahan itu merupakan satu sanjungan yang tidak terhingga daripada sebuah kerajaan kepada pendakwah yang bekerja kuat untuk meningkatkan syariat yang sedia ada.

"Saya bersyukur kerana mendapat anugerah ini dan berharap ia dapat menyuntik semangat baru demi memastikan syariat Islam mencapai kemenangan," ujarnya.

Seorang lagi yang mendapat anugerah khas tahun ini, Zhari menambah, beliau tidak menyangka akan memperolehi anugerah tersebut.

Kepada Kerajaan Negeri tambahnya, ia satu pengiktirafan yang tidak terhingga terhadap bidang sains yang menjadi minatnya sejak kecil.

Beliau yang juga pernah melibatkan diri dengan tugasan luar berperanan sebagai pemeriksa luar untuk calon PhD dan M. Sc dari Univesiti Malaya, Univesiti Kebangsaan Malaysia, Univesiti Sains Malaysia dan Univesiti Putra Malaysia.

"Ianya satu pengiktirafan yang tinggi dalam bidang sains dan merupakan satu usaha yang bagus," jelasnya.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menyaksikan 46 kontijen mengambil bahagian mengelilingi Dewan Sri Pinang sejauh satu kilometer bermula jam 8.30 pagi.

Perarakan tahun ini diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Selain peserta orang ramai juga disajikan dengan persembahan nasyid dari Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri, alunan ayat-ayat Al-Quran dari Adik Awatif Abdul Majid selaku Johan Tilawah Al-Quran Sekolah Menengah Pulau Pinang serta penceramah dari Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Faisol Omar.

Emansipasi wanita

Posted: 15 Feb 2011 02:45 AM PST

Kehadiran kebanyakan watak wirawati dalam kebanyakan filem Tamil dewasa ini hanyalah untuk membenarkan diri mereka dieksploitasi sepenuhnya.

COMMENT


Saya amat menyampah dengan wanita yang tidak mampu dan tidak mahu berdikari; termasuk dalam soal menggunakan nama sendiri – seperti yang saya ungkapkan dalam cerpen "Wanita" (Siru Kambam, DBP: 1996).

Cerpen itu mengisahkan watak 'Saya' seorang pemuda yang mempunyai pandangan tidak konvensional berhubung kedudukan golongan isteri khasnya dan wanita kaum India amnya di sisi golongan suami khasnya dan lelaki amnya.

Pada pendapat 'Saya', walaupun suami dan isteri sudah bersatu hati dan jiwa, mereka masih juga dua individu yang berbeza. Hal ini bermakna si isteri masih ada harga diri, martabat diri dan maruah diri.

Sikap 'Saya' kurang disenangi banyak pihak; khususnya golongan wanita di tempat kerjanya yang menganggap 'Saya' cuba mempengaruhi mereka dengan pandangannya yang "tidak betul".

Pada akhir cerpen, 'Saya' memutuskan bahawa "wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. … selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan karut yang tidak berasas."

Tentu sahaja hujah-hujah yang saya kemukakan melalui cerpen itu adalah pandangan dan pendirian saya berhubung soal hak, maruah, kebebasan dan martabat wanita kaum India.

Di sisi lain, sebagai seorang peminat filem dalam pelbagai bahasa dari seluruh dunia, saya perhatikan bahawa rata-rata watak wanita, yang kononnya "heroin" dalam kebanyakan filem Tamil, hanya menjadi tempelan dan bahan pameran. Saya merumuskan bahawa kehadiran kebanyakan watak "wirawati" dalam kebanyakan filem Tamil dewasa ini hanyalah untuk membenarkan diri mereka dieksploitasi sepenuhnya secara fizikal dan seksual di layar perak.

Mujurlah (pernah) ada pelakon berbakat seperti Revathi, Saritha, Radhika, Shalini, Shobana dan Suhashini yang ada harga diri dan membuktikan kepada peminat filem Tamil bahawa pelakon wanita juga boleh tampil sebagai "wirawati" (nayagi) pada erti kata sebenar.

Filem animasi


Filem animasi Inggeris pula sering membuai penonton dengan menampilkan watak wanita (remaja atau dewasa) yang mengimpikan kehadiran seorang putera yang kaya dan kacak untuk mengahwininya dan membawanya ke istana.

Bagaimanapun, tidak lama dahulu, saya berpeluang menonton tiga filem animasi Inggeris yang benar-benar membuatkan saya menarik nafas lega dan bersyukur dengan mesej yang dipaparkan.

The Princess and the Frog (2009) yang diadaptasi daripada novel The Frog Princess (2002) menampilkan watak Tiana, gadis berusia 19 tahun yang bercita-cita tinggi dan mampu berdikari.

Dia tidak sekadar menjadikan Putera Naveen, 20 tahun, dari Maldonia (India?) sebagai suami, sebaliknya juga sebagai rakan kongsi perniagaan restoran yang menjadi impiannya sejak kanak-kanak.

Barbie and the Three Musketeers (2009) yang diadaptasi daripada novel The Three Musketeers (1844) menampilkan watak Corinne, 17 tahun, yang bercita-cita menjadi "musketeer" untuk mempertahankan keluarga diraja Perancis.

Corinne bersama-sama Viveca, Aramina dan Renee dilatih oleh Helene, seorang wanita tua, sehingga menjadi benar-benar cekap dan mampu mempertahankan Putera Louis, 18 tahun.

Pada akhir cerita, keempat-empat "musketeer" wanita itu meneruskan tugas tanpa memikirkan untuk bersenang-lenang di istana atau hidup bahagia selepas dikahwini putera yang kaya dan kacak.

Filem Alice in Wonderland (2010) membuatkan saya sedikit bimbang kerana watak Alice dalam filem baru itu berumur 19 tahun, sedangkan Alice dalam novel asal (1865) karya Lewis Carroll berumur 6 tahun. Begitu juga dalam kebanyakan animasi berdasarkan kisah klasik itu sebelum ini; Alice adalah kanak-kanak.

Bagaimana jika ada "suntikan nilai jahat" dalam filem baru ini seperti yang sering dituduh dilakukan Hollywood "dalam usaha terancang Yahudi merosakkan orang Timur" yang terlalu suci dan murni?

Anak saya, Devishi Prabha Sankari, begitu berminat menonton filem Alice in Wonderland di pawagam. Maka, saya membuat tempahan tiket dengan sedikit rasa was-was; memikirkan kemungkinan ada unsur "dewasa" disuntik ke dalam filem itu kerana Alice berumur 19 tahun.

Wanita bertulang belakang


Namun, selepas menonton filem itu pada 12 Mac 2010, saya berasa amat gembira kerana watak Alice muncul sebagai wanita yang bertulang belakang dan berwawasan.

Devishi turut memuji watak Alice yang mampu berfikir secara rasional dan matang, serta bercita-cita meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya; berbanding berkahwin pada usia 19 tahun.

Mujurlah emansipasi wanita belum mati!

Uthaya Sankar SB menulis tesis berjudul "Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia" (1998) dan petikan kajian ilmiah itu boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com

PAS tetap bertanding di Merlimau

Posted: 15 Feb 2011 02:43 AM PST

"Kita telah pun membuat persiapan untuk pilihan raya kecil Merlimau. Wang pun sudah banyak dibelanjakan," kata Kamaruddin Sidek.


MERLIMAU: PAS tidak akan menarik diri dari bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, kata Yang DiPertua PAS Jasin, Kamaruddin Sidek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh PAS Pusat setelah diberi mandat oleh Pakatan Rakyat.

"Kalau ada berita PAS tarik diri, ia berita baru. Tetapi tidak bincang tentang tarik diri. Kalau hendak tarik diri tentu ada perbincangan tetapi hingga hari ini tidak ada perbincangan.

"Saya ingin tegaskan PAS kekal bertanding (di Merlimau) sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat pada 11 Februari lalu.

"Kita telah pun membuat persiapan untuk PRK Merlimau. Wang pun sudah banyak dibelanjakan," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Kamaruddin berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa PAS akan menarik diri dari bertanding di Merlimau.

Alasannya ialah bagi mengelak kekalahan terus memandangkan Merlimau merupakan kubu kuat BN.

Khabar angin juga mendakwa PAS akan menyokong seorang calon bebas yang akan bertanding di Merlimau.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, "PAS tidak pernah menaja seseorang untuk menjadi calon bebas. PAS juga tidak menyokong calon bebas. Tetapi tidak tahu jika Umno terdesak untuk meletakkan calon bebas di Merlimau."

PRK Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyat Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Febuari sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac hari pengundian. PAS akan mengumumkan calonnya pada 24 Februari ini.

Empat nama yang dibincangkan oleh PAS semalam ialah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man, Kamaruddin, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Penjenamaan UNISEL Pacu Perubahan Terbaik

Posted: 15 Feb 2011 02:41 AM PST

TVS NEWS


SHAH ALAM: Pertukaran nama Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor (UNISEL) merupakan langkah penjenamaan yang diambil dalam memacu UNISEL sebagai salah sebuah pusat pengajian yang terbaik selaras dengan penubuhannya hampir sedekad.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, UNISEL merupakan lambang kepada negeri Selangor dan pertabalan nama baru universiti diadakan pada majlis konvokesyen UNISEL yang akan datang.

"Saya berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang telah bersetuju tentang penggunaan nama baru diganti dengan nama Universiti Selangor bukan hanya mengambil kira program pendidikan dan perindustrian dan pengurusan tetapi secara menyeluruh," katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Fakulti Perniagaan UNISEL di Hotel Concorde Shah Alam, semalam.

Dalam ucapan alu-aluan Khalid mengingatkan kepada seluruh mahasiswa bahawa anak muda merupakan tunjang untuk membawa perubahan ditambah dengan sokongan teknologi maklumat masa kini.

"Dunia masa hadapan dalam tempoh 6 bulan atau setahun akan datang, saya telah melihat satu pergolakan baru yang akan berlaku dari segi belia dan anak muda dan ini telah kita lihat berlaku di Mesir di mana revolusi Mesir dibawah satu inisiatif belia dan melalui teknologi maklumat. Facebook merupakan antara alat yang membawa semangat perubahan dan reformasi di Mesir," katanya.

Pada majlis makan malam ini juga, Tan Sri Khalid menyampaikan hadiah kepada 10 orang pelajar telah dipilih selaku penerima anugerah pelajar cemerlang 2010 sementara Unisel Accounting Club dipilih sebagai kelab terbaik.

Muhamad Rauf Nur Misbah dipilih sebagai Olahragawan pada majlis makan malam fakulti perniagaan berdasarkan pencapaian cemerlang dalam acara berbasikal. Pelajar Diploma Pengurusan Industri Sukan berusia 23 tahun ini pernah dianugerahkan Anugerah Invirement Atlithe Award MBPJ bagi tahun 2007 -2008.

Sementara anugerah Olahragawati pula diberikan kepada Nurfarahin Sudin diatas kecemerlangan dalam sukan hoki. Beliau merupakan pemain hoki perempuan bagi pasukan Wilayah Persekutuan dan telah dinobatkan penjaga gol terbaik bagi Kejohanan Hoki Wanita Bawah 16 tahun pada 2006 dan Kejohanan Hoki Wanita 23 Tahun pada 2010.

Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada pelajar –pelajar dan kumpulan One Nation Emcee.

Taib Undur: Mahathir Hanya Ulangi Gesaan PR

Posted: 15 Feb 2011 02:31 AM PST

TVS NEWS

SHAH ALAM: Gesaan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sr Abdul Taib Mahmud supaya menamakan pengganti beliau merupakan satu usaha menjaga kepentingan Barisan Nasional(BN) di Sarawak.

Dr Mahathir sebelum ini dipetik menyatakan pandangan agar Taib Mahmud yang sudah 30 tahun menguasai Sarawak agar menamakan pengantinya jika tidak mahu menerima nasib seperti bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang dijatuhkan rakyatnya sendiri.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat Ketua Angkatan Muda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin ketika dihubungi Tv Selangor berkata, pihaknya konsisten mendesak Taib Mahmud berundur konsisten dan yakin ia akan menjadi modal politik besar kepada Pakatan Rakyat kerana pemimpin yang ada sekarang tidak melakukan yang terbaik kepada rakyat.

"Saya berpendapat gesaan Dr Mahathir merupakan ulangan kepada gesaan Pakatan Rakyat yang telah lama kita suarakan iaitu adalah satu perkara yang tidak munasabah untuk sesebuah negeri itu dipimpin oleh seorang pemimpin lebih daripada 30 tahun," katanya.

Pergolakan yang sedang berlaku di Mesir dan Timur Tengah di mana rakyat mendesak pemimpin yang zalim supaya berundur perlu dijadikan ikhtibar.

"Kita lihat dalam konteks Mesir bukan sekadar Hosni Mobarak memerintah lebih 30 tahun tetapi keluarganya juga terkenal dengan kekayaan walaupun rakyat Mesir itu miskin tetapi pemimpin dan keluarga pemimpin kaya raya dan ini yang berlaku dalam konteks Sarawak dan terdapat persamaan di antara Taib Mahmud dan Hosni Mubarak," katanya.

Tambah Shamsul lagi, pengunduran Taib Mahmud adalah untuk kebajikan rakyat Sarawak yang selama ini hidup dengan tekanan ekonomi dan kemiskinan.

Lebih malang, Sarawak merupakan antara negeri masih berada dalam kedudukan antara negeri yang termiskin di Malaysia.

Umno Kedah sahkan rombakan kecil

Posted: 15 Feb 2011 02:30 AM PST

BERNAMA

ALOR SETAR — Badan Perhubungan Umno Kedah akan dirombak bagi mengukuh dan memantapkan lagi badan itu berikutan pelantikan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Dr Mahathir sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi yang baru.

Ketika mengesahkan rombakan kecil itu, Ahmad Bashah berkata Mukhriz akan melepaskan jawatan bendahari Umno Kedah pada mesyuarat kali kedua badan itu di sini Sabtu ini.

Jawatan Ketua Penerangan yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan jawatan Datuk Othman Aziz sebagai setiausaha kerja dijangka tidak berubah.

Bagaimanapun setiausaha Datuk Ir Nawawi Ahmad dijangka dilantik sebagai bendahari yang baru menggantikan tempat Mukhriz dan tempatnya dijangka diisi oleh muka baru.

Ahmad Bashah dilantik menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala Mukhriz mengambil tempat Ahmad Bashah berkuat kuasa 1 Januari lepas.

"Saya telah membincangkan perubahan itu dengan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara di Kuala Lumpur Sabtu lepas.

"Kita mengambil pandangan Presiden. Saya fikir semua ketua-ketua bahagian telah faham kehendak beliau . . . tunggulah. Saya akan umum perubahan tersebut Sabtu ini," kata Ahmad Bashah.

Katanya mesyuarat Sabtu ini juga akan membincangkan secara mendalam pesanan Presiden Umno yang antaranya membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengemaskan jentera parti.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka, dan Kerdau, Pahang, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti lebih besar berdasarkan sikap pengundi sejak Najib menerajui kerajaan.

"Kepercayaan rakyat terhadap Najib juga boleh dilihat dengan sokongan rakyat terhadap Umno dan BN secara umum dan khususnya di Kedah. Kepercayaan rakyat ini dapat dilihat melalui ucapan pemimpin-pemimpin pelbagai kaum selain mereka lebih rapat dengan BN masa kini," katanya.

Terima dasar kami jika mahu ‘kongsi’ kerusi, kata PKR

Posted: 15 Feb 2011 02:26 AM PST

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya akan mempertimbangkan calon-calon daripada kumpulan bukan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka bersedia menerima dasar-dasar perikatan itu, kata timbalan presidennya Azmin Ali semalam.

Kata beliau, PKR terbuka kepada calon-calon yang dinamakan oleh pelbagai pertubuhan seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), malah sedia memberi Parti Sosialis Malaysia (PSM) lebih banyak kerusi jika mereka bersedia untuk menerima arahan whip perikatan.

"Kita boleh berbincang dengan mereka. Tetapi jika mereka masih mahu menjadi bebas, apa gunanya?" kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak ketika ditanya mengenai kesediaan MCLM menawarkan seramai 30 calon kepada PKR bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Jika dipilih, MCLM berkata, calon-calonnnya akan memutuskan isu berdasarkan pada suara hati mereka berbanding konsensus perikatan. Ia hanya akan menawarkan calon kepada PKR, bukan kepada DAP dan PAS.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya berkata kepimpinan tertinggi PKR termasuk ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan mesyuarat dengan PSM hujung minggu lalu untuk membincangkan peruntukan kerusi pilihan raya umum ke-13.

"Mereka setia kepada kami, berbanding dengan mereka lari dan berpaling tadah.

"Jadi, kami tiada masalah memberikan mereka dua lagi kerusi selagi mereka bersedia untuk berdiri bersama kami," kata beliau.

PSM telah bertanding dengan menggunakan logo PKR pada pilihan raya 2004 dan 2008.

Daripada empat calon diletakkan PSM pada 8 Mac 2008, dua daripada mereka memenangi kerusi. Mereka ialah Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang menang di Sungai Siput untuk muncul Ahli Parlimen pertama PSM manakala presiden parti Dr Nasir Hashim pula menang di Kota Damansara, Selangor.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli juga mengakui pihaknya mengambil sikap waspada dalam menerima calon-calon yang ditawarkan oleh MCLM kerana mahu mengelakkan "kesilapan" yang dialami tiga tahun lalu ketika menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Menurut Rafizi, sementara partinya "terbuka" kepada tawaran MCLM dan menerima kritikan pergerakan itu terhadap partinya, komponen Pakatan Rakyat itu akan membuat pilihan sendiri dan akan memilih ahli-ahlinya yang ada pengalaman selaku pemimpin akar umbi.

"Sementara kami terbuka kepada cadangan, calon-calon (yang dipilih) mesti menerima perjuangan kami.

"Kami, parti politik yang mempunyai struktur dan peraturan. Kami sudah pun melalui pengalaman 'katak-katak' (yang keluar) sebelum ini, yang kurang berpengalaman dan mereka melompat," kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam temu bual berasingan.

Sehubungan itu tegas Rafizi, "apa yang kurang ialah sikap menghargai perjuangan parti."

Sejak Mac 2008 PKR berhadapan dengan tindakan wakil rakyat kedua-dua peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang keluar parti.

PKR sudah kehilangan enam ahli Parlimen dalam tempoh setahun lalu. Ahli Parlimen terbaru keluar PKR ialah Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan.

"Kami mesti berhati-hati. Kami kena pastikan ia tidak berulang buat kali kedua," kata beliau lagi.

Oleh itu katanya, apabila MCLM tampil dengan cadangan bakal calon, "kami gembira untuk bekerja dan membincangkannya."

"Tetapi, sekali lagi, calon-calon ini mestilah ahli parti kami, memahami perjuangan kami, mematuhi disiplin parti, jika tidak kita kembali kepada keadaan asal," kata Rafizi.

Rafizi juga berkata, ada keraguan di kalangan ahli parti sama ada calon yang dikemukakan MCLM boleh bekerja di peringkat akar umbi mengambil kira latar belakang.

MCLM menegaskan bahawa pihaknya mahu membantu Pakatan Rakyat mendapatkan balik momentum semasa pilihan raya umum ke-13. Pergerakan itu bercadang untuk menawarkan 30 calon untuk dipertimbangkan oleh barisan perikatan itu.

Bagaimanapun usaha MCLM menawakan calon bebas, yang diketuai presidennya Haris Ibrahim dianggap sesetengah pihak bahawa akan memecahbelahkan undi yang diperoleh Pakatan Rakyat dan akan menjejaskan usaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia telah mengumumkan empat nama setakat ini dan difahamkan mempunyai 18 lagi dalam pertimbangan.

Azmin juga berkata jika dibandingkan dengan 2008, parti kini mempunyai ramai calon-calon yang berwibawa memandangkan mereka sedia dan berminat untuk bertanding di bawah tiket pembangkang.

"Sebelum pilihan raya 2008, kami tidak boleh mendapatkan calon sebab rakyat bimbang dan kami pula parti kecil dengan hanya seorang ahli Parlimen," katanya.

Risalah Balik Pulau: Pulau Pinang saman Adun Umno, Utusan

Posted: 15 Feb 2011 02:24 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan Pulau Pinang Pakatan Rakyat (PR) memutuskan untuk menyaman Ahli Dewan Undangan Negeri Umno kerusi Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia kerana terus membuat fitnah mengenai isu risalah My Balik Pulau kononnya lupa sejarah dan menghina orang Melayu.

Sehubungan itu, Ketua Menterinya Lim Guan Eng (gambar) berkata, beliau telah melantik firma guaman Karpal Singh & Co untuk menguruskan saman fitnah ke atas kedua-dua pihak berkenaan.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melantik syarikat guaman Karpal Singh untuk keluarkan saman malu atas Adun Umno Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia dengan fitnah mereka pada 2 Februari lalu bertajuk bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengedarkan buku risalah My Balik Pulau.

"Dalam laporan bertajuk Lupa Sejarah, Hina Melayu, kerajaan negeri PR Pulau Pinang didakwa mengedarkan risalah yang memperlekehkan sumbangan dan peranan orang Melayu di Balik Pulau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim berkata, Utusan Malaysia milik Umno telah terus mangadu-dombakan isu itu dengan laporan susulan pada hari berikutnya yang berbentuk menghasut sentimen perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya mahu meminggirkan sumbangan orang Melayu.

"Umno, Farid dan Utusan Malaysia telah meludah ke langit kerana yang keluarkan risalah My Balik Pulau tidak lain, tidak bukan adalah kerajaan BN negeri yang lama," katanya, Lim berkata, risalah itu diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum era 8 Mac 2008 dan sebelum PR mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

"Maka Farid patut tahu kerana beliau adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri lama. Lagipun beberapa penyokong kuat Umno beliau adalah penyumbang ke atas keluaran My Balik Pulau ini," katanya lagi.

Lim menambah, sungguhpun kerajaan negeri telah menjelaskan perkara itu dan meminta Farid menarik balik dan meminta maaf atas sifat perkauman antibukan Melayu dengan pembohongan dan fitnah yang menganiayai kerajaan negeri Pulau Pinang atas sesuatu yang bukan salahnya, Farid enggan buat demikian.

Sebaliknya kata beliau, Utusan Malaysia meneruskan laporan palsu yang mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan risalah My Balik Pulau yang sebenarnya dikeluarkan oleh Umno dan kerajaan persekutuan.

"Oleh itu kerajaan negeri telah membuat keputusan pada mesyuarat Exco minggu lepas untuk saman malu Adun Umno ini kerana telah menggembar-gemburkan risalah My Balik Pulau dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk 'lupa sejarah, hina Melayu'," kata Lim.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, penasihat undang-undang negeri telah menasihatkan agar beliau sebagai Ketua Menteri mengeluarkan saman malu untuk mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Dalam keghairahan buat serangan hentam-keromo ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan.

"Sungguhpun yang bersalah adalah BN/Umno dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi-tubi dijalankan ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang dimangsakan sebagai kembiri hitam," kata beliau lagi.

Lim menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya Umno yang "jahat seribu jahat ini."

"Politik rasis dan benci-membenci Umno dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan berhabis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah Tan Sri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak habis kepada UDA," katanya lagi.

Ops Lalang: Kit Siang terus cabar Mahathir kemuka bukti

Posted: 14 Feb 2011 06:12 PM PST


KUALA LUMPUR — Sambil mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk menjadi "mangsa amnesia" tiga tahun lalu, Lim Kit Siang menasihatkan bekas perdana menteri agar "berusaha keras" untuk mengingati kembali dakwaan bahawa pernah ada pertemuan "mengejutkan" dengan pembangkang sebelum Operasi Lalang 1987.

Dalam kenyataan ketiganya berhubung pandangan Dr Mahathir menyentuh operasi itu yang membawa kepada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berkata, bekas presiden Umno dan bekas menteri dalam negeri itu memang terkenal dengan sikapnya memilih untuk menjadi "mangsa amnesia kerana sebab-sebab politik" ketika sesi inkuiri suruhanjaya diraja berhubung isu klip video Datuk V.K. Lingam pada Januari 2008 apabila mengatakan "saya tidak boleh ingat".

Dr Mahathir memilih untuk berkata "saya tidak boleh ingat" bagi soalan-soalan penting yang dikemukakan oleh suruhanjaya.

"Adakah mungkin beliau ada menemui anggota pembangkang dan memberi jaminan tidak akan ditahan, tetapi beliau tidak ingat wajah-wajah mereka kecuali saya atau di bila, di mana atau siapa lagi di pihak dia yang hadir atau pihak kepada pertemuan itu?" kata beliau.

"(Oleh itu), Mahathir harus tampil dengan saksi-saksi pertemuan," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim juga menambah tiada sebab bagi pemimpin pembangkang harus menyembunyikan kebenaran mengenai pertemuan itu dan jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan sekiranya benar ia berlaku.

Ahli Parlimen veteran ini berkata, beliau pernah mendedahkan bahawa selepas dibebaskan dari Kamunting pada Mei 1989 memang ada bertanya pada Dr Mahathir mengapa Datuk Seri Najib Razak ketika itu ketua Pemuda Umno tidak ditahan.

"Soalan pertama yang sudah pasti saya kemukakan kepada Mahathir ketika menemui beliau ketika itu ialah mengapa memungkiri kata-katanya jika benar Mahathir ada memberikan kata-kata sedemikian pada pertemuan yang didakwa diadakan sebelum Operasi Lalang dijalankan," katanya lagi.

Lim berkata perkembangan ini dengan sendirinya sesuatu yang menarik untuk dilihat mengapa Dr Mahathir berusaha menulis balik sejarah sendiri mengenai Operasi Lalang.

Dalam kenyataan terbaru semalam, Dr Mahathir terus bertegas pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum operasi itu dilaksanakan.

"Ia berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya benar-benar ingat perjumpaan dengan mereka, saya tidak ingat wajah-wajah mereka. Saya pasti Karpal (Singh) bukan salah seorang daripadanya dan saya rasa (Lim) Kit Siang salah seorang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan menyahut cabaran oleh Karpal, Pengerusi DAP, untuk menamakan anggota pembangkang yang menemuinya sebelum Ops Lalang dilaksanakan.

Dr Mahathir berkata sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui yang mereka menemuinya sebelum operasi.

Katanya pemimpin-pemimpin pembangkang merayu kepadanya bagi mengelak penahanan mereka di bawah ISA pada 1987, dan itu adalah sebabnya mengapa beliau menemui mereka supaya mereka tidak ditahan.

Dr Mahathir berkata: "Ia memalukan buat saya, selepas beri jaminan yang mereka tidak akan ditahan, mereka ditahan polis, dan sudah tentu saya terpaksa menandatangani perintah tahanan."

Sebelum ini, Lim telah mencabar Dr Mahathir mendedahkan nama pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau bertemu dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan di bawah Operasi Lalang 1987.

Dr Mahathir mengatakan perkara itu dalam buku terbaru "Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad" tulisan Tom Plate.

Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.

Dalam Operasi Lalang ini, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain Lim, turut ditahankan ialah Chandra Muzaffar, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

Dr Mahathir mempertahankan beliau memang ada bertemu dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim bersama "kumpulannya."

JANGAN BUNUH GENERASI KAMI!

Posted: 14 Feb 2011 04:17 PM PST

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENDEDAHAN demi pendedahan dibuat Sabahkini.net berhubung pencemaran plumbum menarik minat pelbagai pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), NGO dan Aktivis Masyarakat; terutama bagi memastikan Sabah benar-benar bebas daripada pencemaran plumbum. Ikuti Wawancara dengan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi yang telah beberapa kali membawa isu ini ke Dewan Rakyat.

SABAHKINI: Assalamualaikum Datuk, sejak akhir-akhir ini rakyat Sabah mula sedar akan bahaya pencemaran alam sekitar dan memandangkan Datuk telah secara vokal membawa isu pencemaran alam sekitar beberapa kali ke Parlimen, bolehkah Datuk nyatakan kenapa isu ini begitu penting kepada Datuk?

RAIMIE: Terima kasih kepada Sabahkini.net kerana sudi menemuramah saya berhubung isu yang menjadi pantang larang selama ini, terutama berkaitan dengan Dasar Kerajaan dan sikap tidak apa yang membudaya di pihak penguatkuasa undang-undang. Sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri yang telah menekankan hasrat kerajaan untuk mengembangkan teknologi hijau (green technology) untuk terus meningkatkan pembangunan Negara, di samping memelihara alam sekitar demi kesejahteraan rakyat; saya perlu menyuarakan isu penting ini demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia, terutama memastikan landasan yang betul untuk menghindar impak pemanasan global menular menjadi suatu fenomena yang nyata, sebagaimana perubahan cuaca yang ekstrem, yang dialami di pelbagai pelusuk dunia.

SABAHKINI: Bagaiamanakah caranya Datuk dapat memastikan isu pemanasan global dapat ditangani dengan cekap dalam keadaan ketidak seimbangan sokongan ahli politik Malaysia berhubung isu ini?

RAIME: Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa bangga saya berhubung langkah berani kerajaan untuk menekankan komitmen kita bersama-sama dengan masyarakat global dalam mengambil segala langkah yang wajar untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbangkan kepada pemanasan global. Sebagaimana yang kita maklum bahawa walaupun negara kita merupakan sebuah negara pengeluar minyak, namun kita tidak terkecuali daripada mencari sumber tenaga alternatif bagi memastikan penggunaan sumber tenaga di negara kita dapat dioptimumkan dan mengelak pembaziran. Dalam usaha kita mencari tenaga alternatif ini, berbagai-bagai inovasi dan pengubahsuaian telah diusahakan, dikenal pasti dan diguna pakai, namun demikian kita tidak boleh sekali-kali alpa dengan kesan sampingan yang diakibatkan oleh penggunaan sumber tenaga alternatif ini.

SABAHKINI: Apa yang Datuk maksudkan dengan kesan sampingan tenaga alternatif dan bagaimana ia membahayakan negara?

RAIME: Setiap sesuatu yang memberi sesuatu kebaikan perlu diurus, ditadbir dan dipantau supaya tidak menjadi punca yang boleh membawa kepada kemudaratan. Dengan dorongan pihak kerajaan untuk mengembangkan teknologi hijau, kita perlu mengkaji secara teliti produk-produk yang sedia ada terdapat dalam pasaran yang boleh memudaratkan alam sekitar. Saya ingin mengambil contoh bateri plumbum (lead acid battery) sebagai contoh yang nyata. Suatu sumber tenaga alternatif yang amat memudaratkan alam sekitar dan juga kesihatan orang ramai.

SABAHKINI: Boleh Datuk nyatakan bagaimana bateri asid Plumbum boleh memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat?

RAIME: Pada akhir-akhir ini kita sering dikejutkan dengan kes-kes kanak-kanak mengalami keracunan yang diakibatkan oleh bateri plumbum di Nigeria dan China. Di Eropah pula, negara Jerman telah menjalankan usaha membangkitkan kesedaran untuk menghapuskan penggunaan bahan-bahan toksik logam berat seperti plumbum, antaranya berpunca daripada bateri asid plumbum. Malah negara Jerman telah mengambil langkah untuk meluluskan suatu perundangan khusus yang mengharamkan penggunaan bateri plumbum dalam sebarang aplikasi kecuali pemaju enjin (engine starter).

SABAHKINI: Boleh Datuk nyatakan senario penggunaan bateri asid plumbum di Sabah?

RAIME: Sekalipun diharamkan di negara maju, tetapi bateri asid plumbum masih digunakan secara berleluasa terutama di Sabah melalui program elektrik luar bandar seperti yang dibekalkan di hampir semua sekolah luar bandar di seluruh Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan lebih 10,000 Golf Kart Buggy di padang golf di seluruh Malaysia serta semua stesen utama telekomunikasi.

SABAHKINI: Boleh ceritakan sedikit kes pencemaran Plumbum di kawasan Datuk dan kesannya kepada manusia?

RAIME: Di kawasan saya, Tenom, terdapat sekolah yang dilengkapi dengan tenaga solar yang menggunakan bateri plumbum yang sudah pastinya memberi risiko gangguan kesihatan yang akhirnya boleh membantutkan pembelajaran mereka. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya pelupusan bateri plumbum ini tidak dilakukan dengan cara yang betul, apabila tamat tempoh hayatnya bateri plumbum ini mampu mengakibatkan kemusnahan yang tidak mampu dipulihkan (irreversible damage) terhadap alam sekitar dan menjejaskan kesihatan orang ramai.

Jika bateri plumbum tersebut dibuang ke dalam sungai, ia bukan sahaja boleh membunuh hidupan dalam sungai malahan manusia yang memakan hasil daripada sungai atau meminum atau menggunakan air sungai yang dicemari oleh bateri plumbum akan turut berisiko menghadapi pelbagai penyakit yang boleh membawa maut.

Terdapat juga usaha untuk melupuskan bateri plumbum ini secara menanam ke dalam bumi. Langkah ini juga akhirnya akan mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai apabila toksik plumbum ini merebak ke dalam lapisan air yang menjadi sumber air kepada manusia. Antara kesan-kesan yang diakibatkan oleh racun plumbum ialah serangan jantung, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf otak dan kecacatan bayi dalam kandungan. Tambahan lagi, bateri plumbum mengandungi asid sulfurik yang mempunyai kesan yang amat menghakis dan boleh mengakibatkan penyakit barah.

SABAHKINI: Bukankah kerajaan telah melantik pakar juruperunding berbangsa Jerman untuk menyelesaikan masalah ini?

RAIME: Saya mengetahui bahawa terdapat Juru Perunding berbangsa Jerman yang telah dilantik oleh pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang memberi nasihat kepada pihak kementerian berkaitan dengan tenaga yang dapat dipulihkan (renewable energy). Persoalannya ialah kenapakah juruperunding ini tidak menasihatkan kementerian berkenaan tentang kemudaratan yang diakibatkan oleh bateri plumbum yang kini ditolak bulat-bulat oleh pengguna di negara asalnya, Jerman?

Kenapakah sekolah-sekolah di luar bandar seperti di kawasan saya yang kerajaan ingin bangunkan menjadi mangsa ketidakprihatinan kementerian berkenaan termasuklah juru perundingnya yang telah gagal atau enggan menasihatkan akibat bahaya penggunaan bateri plumbum dalam sistem tenaga solar? Bagaimana pula nasib dan masa depan anak-anak kita yang terdedah dengan kesan bateri plumbum ini? Wajarkah perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada alam ini dibiarkan berleluasa tanpa ada tindakan yang drastik sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku?

SABAHKINI: Apakah peranan dan tindakan yang boleh Datuk lakukan untuk menjayakan misi penting ini iaitu menentang pencemaran plumbum?

RAIME: Sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengembangkan teknologi hijau, saya menggesa kepada pihak kerajaan terutama kementerian berkenaan dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan mengkaji penggunaan bateri alternatif yang mesra alam. Konsep 1Malaysia merupakan satu mind set atau kerangka fikir yang perlu ada dalam benak akal setiap warga Negara Malaysia. Sudah semestinya asas penting konsep ini adalah perpaduan dan saling peduli antara satu sama lain.

SABAHKINI: Datuk telah membangkitkan isu ini berulang kali di parlimen dan apa jawapan kerajaan?

RAIME: Saya belum menerima sebarang jawapan berhubung beberapa pertanyaan lisan saya di Parlimen. Saya akan kemukakan lagi beberapa soalan berkaitan isu yang sama pada persidangan parlimen akan datang. Saya hanya mendapat satu makluman balas pada 2009 iaitu jawapan lisan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas; yang menjelaskan bahawa bateri asid plumbum terpakai adalah terkawal oleh Jabatan Alam Sekitar melalui Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling. Di bawah peraturan tersebut pembuangan bateri berkenaan perlu dilupuskan dan kemudahannya dilesenkan oleh JAS sahaja.

Kata Douglas, Bateri ini tidak membahayakan dari segi penggunaannya. Ia menjadi bahaya jika dilupuskan secara tidak teratur sehingga mencemarkan tanah dan air. Setakat ini tidak ada kes pelupusan arang bateri asid plumbum yang direkodkan oleh JAS. Sebaliknya bateri asid plumbum terpakai adalah satu bahan buangan yang bernilai dan mempunyai harga pasaran kerana terdapat enam buah syarikat bateri asid plumbum terpakai untuk di pulih guna tetapi belum ada apa-apa syarikat di Sabah.

Sehubungan itu, Douglas berkata, untuk mengatasi masalah pembuangan bateri terpakai dan e-Waste dari punca isi rumah Jabatan Alam Sekitar telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di mana infrastruktur sedia ada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti lori pengangkut sampah dan pungutan sedia ada di bawah KPKT akan diguna untuk mengangkut untuk mengutip buangan-buangan ini sebelum dibawa ke premis yang dilesenkan oleh kerajaan untuk diguna dan dikitar semula.

Di Sabah Jabatan Alam Sekitar akan berbincang dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perusahaan Sabah mengenai kemudahan memungut pembuangan ini. Buat masa kini memang telah terdapat agen-agen untuk memungut bateri terpakai dan e-Waste di seluruh negara. Tetapi masalahnya sehingga kini, belum ada Pusat Pelupusan Bateri Asid Plumbum di Sabah.

SABAHKINI: Akhir sekali, apa yang Datuk ingin katakan kepada kerajaan dan rakyat?

RAIME: Kasihanilah rakyat Sabah dan Sarawak di luar bandar yang terdedah kepada bahaya pencemaran plumbum yang disumbangkan oleh projek elektrik solar hybrid. Saya harap Kerajaan menubuhkan segara Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menangani isu yang semakin parah ini. Saya harap Kerajaan tidak tunggu sehingga kes serius seperti Nigeria dan China baru mahu bertindak. Atasi segera masalah ini melalui penguatkuasa undang-undang kerana kita tidak mahu generasi akan datang menghadapi pelbagai masalah dan menjadi mangsa kekejaman para konspirator yang hanya mengaut keuntungan di atas kesengsaraan orang lain. Rakyat hanya inginkan elektrik bukannya 'pembunuh' generasi mereka. Salam hormat dan terima kasih.

HISHAMUDDIN HARUS BERPIJAK DI BUMI NYATA

Posted: 14 Feb 2011 04:16 PM PST

Oleh: MUTALIB M.D

AHLI Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin agar berpijak di bumi nyata dan prihatin terhadap nasib dan masa hadapan rakyat Sabah yang hidup dalam ketakutan sejak 1970-an setelah Kerajaan Persekutuan menerima pelarian perang Filipina walaupun tidak pernah menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 berhubung orang pelarian.

Ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi, Bumburing membuat gesaan demikian sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin yang menolak cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah imigran di Sabah.

"Pandangan Hishamuddin telah mengguris hati rakyat Sabah dan merupakan penghinaan yang tidak dapat dimaafkan oleh sesiapa sahaja yang lahir dan membesar di Sabah kerana setiap hari hidup kita bagaikan tidur di atas bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa," ujar Bumburing yang menyatakan Hishamuddin tidak berhak untuk memutuskan sama ada wajar atau tidak penubuhan Suruhanjaya Di Raja.

Isu kedaulatan Sabah, kata Bumburing telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada Perjanjian 20 Perkara dan tidak ada walau seorang menteripun berhak untuk mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan semangat Malaysia.

"Dalam hal ini, saya menggesa agar Dato' Seri Hisham membaca sepenuhnya memorandum yang saya sampaikan kepada beliau melalui Timbalan Menteri, Datuk Abu Seman sedikit masa lalu dan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan," ujar Bumburing yang mengatakan Hishamuddin keliru dengan bidangkuasa kementeriannya dan peruntukan undang-undang.

Bumburing menegaskan, tidak ada walaupun seorang rakyat tulen Sabah yang tidak mengetahui skandal pengeluaran kad pengenalan projek kerana mereka kenal siapa jiran mereka dan daripada mana mereka berasal.

"Ramai warga Filipina, Pakistan, India dan Indonesia yang mengaku mendapat kad pengenalan projek dan ada yang masih mengekalkan kerakyatan negara asal mereka sekalipun sudah menjadi warganegara Malaysia," ujar Bumburing yang menggesa agar Hishamuddin menyerahkan isu penubuhan Suruhanjaya Di Raja kepada Kabinet Malaysia dan Dewan Rakyat.

Menurut Bumburing, kisah warga asing mendapat kad pengenalan projek telah menjadi trauma kepada rakyat Sabah dan telah dibincangkan oleh ahli parlimen daripada Sabah sejak 1972 lagi namun tidak ada pemimpin pusat yang prihatin menyelesaikan masalah ini secara bijaksana.

"Kita harap agar Perdana Menteri campurtangan dan menghapuskan penghinaan terhadap 25 ahli Parlimen daripada Sabah agar BN akan terus diberi kepercayaan mewakili Sabah atau tidak mustahil BN akan kecundang pada pilihanraya umum akan datang jika hak rakyat Sabah untuk mendapat keadilan berhubung isu PATI tidak dilayan dengan sempurna dan saksama," ujar Bumburing yang meyakini bahawa Hishamuddin telah menerima maklumat yang salah berhubung isu keselamatan di Sabah.

Terdahulu daripada itu, Hishamuddin berkata cadangan penubuhan suruhanjaya sebagaimana yang disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok itu tidak akan membawa sebarang penyelesaian terhadap permasalahan imigresen di Sabah.

"Suruhanjaya Diraja tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana kita mahu penyelesaian...kita mahu sesuatu yang praktikal yang boleh diselesaikan, suatu imbangan antara ekonomi dan syarat keselamatan," katanya.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Semberong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Semberong di Kahang, kelmarin.

Katanya, kerajaan menubuhkan sebuah 'makmal' bagi mengkaji permasalahan imigran di Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Makmal terbabit, katanya, mengemukakan cadangannya kepada Kabinet Sabah dan kini sedang menunggu reaksi balas daripada pemimpin-pemimpin negeri itu.

"Jikalau dapati cadangan (oleh makmal) itu adalah kukuh maka sokongnya. Sekiranya cadangan itu tidak sebaik mungkin maka cadang sesuatu yang lain," katanya.

Mengenai dakwaan seorang ahli perniagaan yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Sabah yang diisytiharkan sebagai pemerintah di wilayah Sulu di selatan Filipina, Hishammuddin berkata, dakwaan terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan masalah imigran di negeri terbabit.

Katanya, terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap ahli perniagaan itu dan siasatan sudah dimulakan.

Doktor HKL: Saiful tenang ketika diperiksa

Posted: 14 Feb 2011 04:13 PM PST

Hafiz Yatim

Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini dengan peguam Karpal Singh dijangka menyoal balas ahli patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng berhubung borang perubatan pro-forma.


Borang pro-forma itu mengandungi soalan lazim yang digunakan semasa pemeriksaan penderaan seksual.

azlanDalam kes ini, ia membabitkan pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga merupakan bekas pembantu ketua pembangkang itu.

Pada sesi mahkamah yang lalu, Siew hanya mengemukakan borang pro-forma yang kosong untuk rujukan pihak pembelaan.

Doktor itu juga enggan merujuk kepada nota-nota perubatannya ketika disoal balas oleh pihak pembelaan.

Beliau bagaimanapun didapati sering merujuk nota berkenaan ketika mahkamah berhenti rehat.

Susulan itu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mengarahkan Siew supaya menyerahkan nota tersebut kepada pihak pembelaan.

Turut hadir dalam perbicaraan hari ini ialah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

LAPORAN LANGSUNG

4.11pm: Mahkamah ditangguhkan. Perbicaraan akan bersambung pada Rabu, 8.30 pagi.

3.40pm: Pakar jagaan kecemasan HKL Dr Khairul Nizam dipanggil ke kandang saksi. Ketika disoal oleh Sankara, Khairul berkata Saiful tiba di pusat trauma pada jam 5 petang dan kesnya dikendalikan pada jam 9 malam.

NONEKhairul berkata, Saiful (kiri) kelihatan tenang ketika beliau memeriksa pengadu itu.

Ditanya lanjut, Khairul berkata kelakuan itu bukanlah tingkah laku yang normal.

3.29pm: Siew berkata, mani atau spesimen mani boleh diambil dengan berhasil daripada kawasan anus dalam tempoh 46 jam. Sekiranya mani itu di dalam anus, tempohnya selama 65 jam.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kesusasteraan perubatan.

3.17pm: Ketika pemeriksaan semula oleh Nordin Hassan, Siew berkata pegawai penyiasat Jude Pereira tidak campur tangan atau mengarahkan pemeriksaan doktor ke atas Saiful.

Siew berkata Jude hanya terlibat dalam menulis keterangan pegawai penyiasat dia dalam borang pro-forma berkenaan.

3.03pm: Sankara menamatkan soal balasnya. Timbalan pendakwa raya Nordin Hassan memulakan pemeriksaan semula.

3.01pm: Sankara menyifatkan Siew sebagai seorang pembohong.

Siew seterusnya menafikan bahawa seorang pegawai penyiasat bernama Jude Pereira telah memberitahunya bahawa sampel mani yang diambil daripada anus Saiful itu adalah kepunyaan Anwar.

NONETerdahulu, Siew memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan oleh Pereira (kiri) bahawa DNA lelaki yang ditanda "Y" oleh ahli kimia itu adalah kepunyaan Anwar.

2.31pm: Menjawab satu lagi soalan Sankara, Siew berkata beliau cekap dalam menjalankan tugasnya.

Siew juga berkata, laporan kimia diserahkan kepadanya oleh pihak polis dan perkara itu ada kalanya mengambil masa berbulan-bulan.

Katanya lagi, dalam kes Saiful, sampel berkenaan dihantar dua hari selepas pemeriksaan iaitu pada 30 Jun, 2008. Keputusannya diperolehi pada 11 Julai.

2.21pm: Siew yang kembali ke kandang saksi berkata, beliau telah menandatangani satu botol mengandungi sampel bahan uji kapas.

Bagaimanapun, beliau tidak menandatangani plastik termateri yang memuatkan botol itu.

Ditanya peguam sama ada tindakan itu merupakan amalan yang baik, Siew berkata "Saya tidak fikir ianya perlu."

Katanya lagi, beliau telah menurunkan tulisan pada beg plastik itu namun tidak menandatanganinya.

Tambahya, beliau telah mematerikan sebanyak 10 sampel bahan uji berkenaan.

2.13pm: Perbicaraan disambung semula di hadapan hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.

12.32pm: Mahkamah ditangguhkan sehingga jam 2 petang.

11.41am: Sankara meminta Siew membacakan laporan kimia yang menyatakan bahawa kesan mani Saiful ditemui pada seluar dalam dan seluar panjang mangsa itu.

Siew berkata beliau tidak mencatat perkara itu dalam laporannya.

11.13am: Ketika disoal Sankara, Siew berkata ahli patologi forensik HKL menjalankan tugas dengan cara tidak memihak, tanpa gentar atau pilih kasih, dan semua kes dilayan dengan adil.

Siew berkata ujian DNA tidak dijalankan di HKL tetapi di Jabatan Kimia. Siew juga berkata, beliau turut mempunyai sedikit pengetahuan mengenai DNA.

11.10am: Perbicaraan disambung.

10.52am: Pembelaan memohon tempoh rehat selama 10 minit apabila Karpal yang mengetuai pasukan itu mula memasuki mahkamah.

Hakim membenarkan permohonan itu.

10.39am: Siew membacakan laporan Hospital Pusrawi yang menyatakan anus Saiful dalam keadaan sakit selama dua hari.

Doktor Hospital itu telah memasukkan proktoskop ke dalam anus Saiful dan mendapati tiada koyakan, kecederaan atau discaj.

Siew berkata beliau telah menguruskan 20 kes liwat dan kurang daripada 100 kes rogol sejak tahun 2000.

10.27am: Siew diberikan satu laporan daripada doktor Hospital Pusrawi.

Laporan itu antara lain menyebut mengenai "kesakitan dalam anus."

Pesakit yang dinyatakan dalam laporan itu didakwa telah disakiti dengan tindakan memasukkan plastik ke dalam anusnya, kata Siew lagi yang membacakan laporan berkenaan.

Ketika ditanya oleh pembelaan, Siew bersetuju bahawa kesakitan dalam anus itu mungkin kesan daripada trauma.

Saksi berkenaan berkata, beliau telah memeriksa Saiful sekitar jam 9.12 malam dan Saiful kelihatan tenang.

Sankara berkata, jika pesakit berada dalam kesakitan, proktoskop mungkin tidak akan dimasukkan ke dalam anus.

NONE10.20am: Soalan yang dikemukakan Sankara itu dibantah oleh Mohd Yusof (kanan) dengan alasan, pembelaan bertanya perkara yang tidak diketahui oleh saksi.

Siew sebelum itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau mengetahui terdapat seorang lagi, bernama Dr Suresh, turut memeriksa Saiful.

Hakim mengenepikan bantahan oleh Mohd Yusof dan membenarkan pembelaan untuk meneruskan soal balas.

10.13am: Siew berkata, Saiful berkunjung ke klinik pesakit luar di HKL dan dirujuk ke unit kemalangan dan kecemasan. Selepas itu, Saiful dirujuk ke pusat krisis sehenti di hospital berkenaan, kata Siew.

Saiful tiba di hospital itu pada jam 6 petang, 28 Jun 2008 dan beliau hanya diperiksa pada jam 10 malam. Sankara bertanya, apakah yang berlaku dalam tempoh itu?

10.02am: Ketika ditanya berhubung latar belakang kesihatan Saiful, Siew berkata Saiful telah diliwat oleh seorang VIP sebanyak lapan kali.

Siew seterusnya diminta menjelaskan mengapakah beliau gagal bertanya sepenuhnya berhubung latar belakang kesihatan Saiful.

9.50am: Siew berkata borang yang digunakan mempunyai gambarajah termasuk kemaluan dan bahagian lain tubuh wanita. Justeru, ia tidak sesuai untuk kes liwat.

Katanya, seorang lagi doktor telah membantunya mengisi borang pro-forma itu.

"Juga pegawai penyiasat Jude Pereira mengisikan satu halaman (borang itu)," kata Siew.

NONE9.48am: Siew (kiri) berkata tidak ada borang pro-forma yang spesifik untuk kes liwat. "Hanya sekarang, baru ada."

Pertengkaran mulut berlaku antara saksi dan Sankara.

Siew berkata dia tidak mengisi halaman 4 borang itu kerana ia membabitkan mangsa yang dirogol dan memerlukan persetujuan mangsa.

9.43am: Sankara memulakan soal balas dengan bertanya kepada Siew mengenai borang pro-forma.

Doktor HKL itu menjawab beliau mengisi halaman 3, 5 dan 6 dokumen itu dan borang itu adalah untuk mangsa yang dirogol.

"Tidak ada borang pro-forma spesifik untuk kes liwat di HKL," kata Siew.

9.41am: Perbicaraan dimulakan tanpa kehadiran Karpal.

Ahli patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng tampil sebagai saksi. Peguam Sankara Nair ditugaskan menyoal balas.

Seorang perwakilan dari pejabat kedutaan Amerika Syarikat tiba.

9.37am:
Perbicaraan masih belum dimulakan kerana menunggu ketibaan Karpal yang dipercayai masih berada di inkuiri Suruhanjaya Diraja Teoh.

sankara nair bukit aman teresea kok isa arrest pc 170908 01Jurubahasa mahkamah telah dua kali bertanyakan bila Karpal akan hadir.

9.07am: Perbicaraan ditangguhkan atas permintaan peguam Param Cumaraswamy dan Sankara Nair (kanan) supaya hakim menunggu selama 10 minit lagi bagi membolehkan Karpal turut serta dalam perbicaraan.

"Dia ada sekitar ini dan dijadualkan meneruskan soal balas kerana ini adalah bahagiannya," kata Param.

Difahamkan, Karpal berada di mahkamah berasingan bagi mengikuti inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Teoh Beng Hock.

9.05am:
Mahkamah mula bersidang dengan hakim Mohd Zabidin mengambil tempatnya.

Peguam Karpal Singh masih belum tiba, Galeri awam agak penuh dengan kehadiran kira-kira 70 orang.

9.01am: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim masuk dan bersalaman dengan orang ramai.

Juga berada di galeri awam adalah ahli parlimen Machang yang juga setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution.

NONE8.41am: Peguam Sankara Nair tiba dengan ahli patologi Australian, Dr David Wells, yang ditugaskan membantu pihak pembelaan.

8.39am: Anwar tiba bersama isterinya yang juga presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama puluhan penyokongnya.

Turut berada di mahkamah adalah bekas ahli parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad dari PAS.

8.36am: Seorang wakil dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia juga hadir bersama ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dari PKR.

Tidak ramai wartawan, khususnya dari media berbahasa Cina, yang hadir bagi membuat liputan hari ini.

8.35am: Tidak ramai orang di mahkamah setakat ini. Ini mungkin kerana Diasatan Diraja mengenai kes Teoh bermula hari ini juga diadakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Wartawan dan orang ramai dibenarkan masuk ke mahkamah. Pihak pendakawaan diketuai oleh Peguam Cara II Negara, DatukMohd Yusof Zainal Abiden yang masuk melalui pintu yang berasingan.

8.29am: Pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersama bapanya, Mohd Lazim berada di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

RCI tolak permohonan singkir pengendali s'jaya

Posted: 14 Feb 2011 04:11 PM PST

S Pathmawathy

Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock hari ini menolak permohonan keluarga si mati itu untuk menyingkirkan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan prosiding berkenaan.


Suruhanjaya berkenaan turut menetapkan supaya prosiding itu diteruskan walau semakan inkues yang difailkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada awal bulan lalu belum diputuskan.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempengerusikan suruhanjaya tersebut.

NONETerdahulu, peguam yang mewakili keluarga Teoh antara lainnya membangkitkan isu berhubung kedudukan dua timbalan pendakwa raya dalam suruhanjaya itu.

Timbalan perndakwa raya berkenaan, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Amarjeet Singh didakwa tidak dapat bertindak secara bebas disebabkan semakan kehakiman itu.

Turut dipertikaikan ialah kedudukan seorang lagi pegawai pengendali suruhanjaya itu, Kwan Li Sa atas alasan sama.

Peguam Gobind Singh Deo, Karpal Singh dan Malik Imtiaz Sarwar mewakili keluarga Teoh dalam prosiding suruhanjaya diraja yang bermula hari ini.

Gobind dalam hujahnya berkata, pegawai pengendali dalam suruhanjaya itu perlu bertindak tanpa memihak sedangkan peguam negara merupakan pegawai yang berkuasa ke atas timbalan pendakwa raya berkenaan.

Dalam kenyataan balasnya, Amarjeet menjelaskan, autoriti mereka ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan surat pelantikan yang diterima dan bukannya daripada pejabat peguam negara.

Dalam pada itu, Foong pula memberi jaminan ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu akan bertindak dengan bebas.

Katanya lagi, keputusan untuk menyingkirkan timbalan pendakwa raya berkenaan tertakluk kepada budi bicara suruhanjaya berkenaan.

Prosiding yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan disambung semula pada hari Rabu.

Judi & pelacur di Kelantan: PAS minta Mustapa lapor

Posted: 14 Feb 2011 04:10 PM PST

MALAYSIA KINI

PAS meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan berleluasanya perjudian dan pelacuran di sebuah kampung di Kota Bharu.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, kenyataan Mustapa yang mengulas dakwaan sebuah blog berhubung isu itu kelmarin menggambarkan seolah-olah ia hendak dipolitikkan.

pas muktamar 130610 idris ahmad"Jika benar ada kegiatan seperti begini di Kota Bharu beliau (Mustapa) tidak boleh untuk berdiam diri. Jika ada mana-mana pihak yang melindungi kegiatan ini sila laporkan kepada pihak berkuasa," kata Idris (kiri).

Mustapa semalam dilaporkan menyifatkan kerajaan PAS Kelantan tidak bersih ekoran pendedahan sebuah blog terkenal - Kickdefella - bahawa berlakunya aktiviti loteri big sweep dan pelacuran di Kampung Limau Manis - kira-kira 500 meter dari kompleks pentadbiran kerajaan.

Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri juga dilaporkan berkata cakap-cakap mengenai kedua-dua aktiviti maksiat itu di bandar ini lama wujud dan kini ia telah disahkan dengan laporan surat khabar dan media online.

Dalam kenyataannya hari ini ini, Idris juga menegaskan bahawa kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak pernah berkompromi dalam soal itu dan bersedia bertindak tegas sekiranya terbukti terdapat anggota parti Islam itu bersekongkol dalam kegiatan itu.

mustapa mohamedMenurut Mustapa (kanan) lagi, jika benar dakwaan itu, Mustapa secara tidak langsung memperlekehkan kewibawaan polis yang berkhidmat di Kelantan "kerana tidak bertindak".

"Mustahil polis Malaysia yang cekap tidak dapat menghidu kegiatan yang tidak bermoral dan menyalahi sisi undang-undang. Datuk Mustafa mungkin lupa bahawa polis di bawah dagu kerajaan pusat.

"Bertindaklah segera jangan berkompromi kerana perkara jahat tidak perlu hendak dipolitikkan," katanya lagi.

Idris juga meyindir Mustapa dengan mengucapkan "tahniah" kerana "baru sedar loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama."

Tiada ulasan: