Isnin, 7 Februari 2011

.

.


Menjenguk Ke Depan

Posted: 07 Feb 2011 02:28 AM PST

Apa Komen Pemuda Pas Terhadap Gelombang Merah?

SUDAH tiga hari projek Gelombang Merah di lancarkan oleh Mustapa Mohamed. Kalau ia diibaratkan sebuah bahtera, perjalanan dalam tempoh 73 jam itu ia sudah pun agak jauh meninggalkan pelabuhan. Semua layar merahnya sudah pun dikembangkan untuk merempuh lautan putih bagi mewujudkan Gelombang Merah, alun beralun.

Projek Gelombang Merah itu rupanya milik Pemuda Umno Kelantan. Ia mendapat sokongan padu dari Umno dewasa Kelantan. Pemuda Kelantan tidak panggil Khairy Jamaluddin melancarkan gelombang berkenaan, tetapi meminta ayahandanya, Setopa anak Setawa melancarkannya.

Mungkin Pemuda Umno Kelantan sudah perit akan sial dan majalnya Khairy Jamaluddin. Sebelum ini menjelang pilihan raya umum ke-12 Khairy melancarkan projek 18 Tahun Dah Padan Dah, yang berkesudahan Umno Kelantan yang padan muka. Projek Khairy menghina Tok Guru itu dihina oleh rakyat Kelantan.

Baik Umno hendak satu kerusi lagi untuk memerintah Kelantan, ditambah menjadi berpuluh kerusi. Atas sejarah malang dan kesialan Khairy Jamaluddin itulah maka Pemuda Umno Kelantan buat secara senyap, secara anak beranak dengan memanggil Setoapa anak Setawa melancarkanya.

Saya tenguk kecil saja banner yang dijadikan plat pelancaran. Mustapa pula pegang gunting kercil saja untuk memotong ribon bagi melepaskan beberapa buah belon. Nampak macam tidak bersungguh. Selepas itu ramai-ramai angkat tangan sambil melauangkan, entah apa tidak berapa jelas di tv. Tv pun nampak tidak berapa selera nak covernya.

Tetapi biarpun begitu projek itu jangan dipandang rendah. Ada kalangan Pas mempersendakan projek itu sebagai projek Mat Jenin. Bercakap dari luar Kota Bharu mengatakan projek itu sebagai Mat Jenin boleh, tetapi kalau berada di Kelantan apa lagi dapat menghidu masalah di dalam Pas, tidak mudah untuk mengatakan projek itu sebagai projek Mat Jenin.

Semasa saya balik Kelantan, dengar radio Kota Bharu. Juruhebah ada membuat jenaka dengan membawa kisah Mat Jenin. Katanya Mat Jenis versi Melayu akhirnya mati kerana terjatuh dari pokok kepala, tetapi Mat Jenin versi Cina hanya setakat dilempar telor oleh isterinya saja kerana berangan nak kahwin satu lagi.

Saya takut Mat Jenin disebut oleh pemimpin Pas yang berpejabat di Jalan Raja Laut terhadap projek itu sebagai Mat Jenin Cina di mana ia tidak mati tetapi setakat dilempar telor.

Sehingga kini saya belum dengar ulasan daripada pemimpin Pas Kelantan khasnya Dewan Pemuda terhadap projek berkenaan. Latif Abdul Rahman masih membisu. Apakah belum ada idea ataupun konotasi untuk menghina projek Pemuda Umno itu?

Latif tidak boleh duduk diam dalam hal ini. Beliau kena buat sesuatu bagi mengekang projek berkenaan. Lagi pun ia dilancarkan oleh Pemuda Umno, maka moleklah kalau Pemuda Pas yang menjadi penebatnya. Biarlah pemuda lawan pemuda. Kita hendak tenguk pemuda mana lebih canggih dan beridea dalam memnguakkan parti.

Baru ini Pemuda Pas beli bangunan Umno Kota Bharu. Ia dianggap satu kejayaan. Tetapi ternyata ia tidak banyak membawa perubahan dan boleh mengejutkan rakyat Kelantan. Pembelian itu tidak banyak membantu menaikan imej Pemuda Pas dan sekaligus menarik perhatian umum. Ini ternyata bila mana upacara jualbelinya dilakukan di Galas, saat pilihan raya kecil diadakan. Apabila keptusan pilihan raya kecil itu tidak memihak kepada Pas maka jelas projek membeli bangunan itu tidak banyak membawa keuntungan.

Jadi Pemuda Pas jangan berharap kepada pembelian bangunan Umno itu saja. Latif kena cari iktiar lain. Ikhtiar dan ideanya biarlah sebesar gambar beliau yang dipamirkan bersama gambar Tok Guru yang dipasang ditengah jalan di Kuala Kerai, atau di atas muka bilik Gerakan Pemuda di Galas yang lalu. Besarnya gambar Latif mengalahkan gambar calon, Zulkefli Mohamad.

Pamer gambar besar bersama Tok Guru juga tidak cukup. Latif kena cari dan gali idea lain yang boleh merangsang anak-anak muda menyokong Pas. Kalau boleh jangan jadikan Tok Guru sebagai daya tarikan tetapi fikirlah cara lain. Kalau boleh kita tunjukkan kebolehan kita sendiri, kredibiliti sendiri sebab akhirnya Tok Guru selamanya tidak boleh dijadikan umpan. Selama mana Latif atau pemimpin lain di Kelantan nak menempel gambar Tok Guru bersama?

Dalam hal ini Latif boleh berpakat dengan Setiausaha Badan Perhubungan Pas, Mohd Zaki Ibrahim. Zaki juga masih muda dan darah politiknya pun masih cair lolei lagi. Eloklah berkongsi dengan Zaki. Lagipun pengambilan Zaki untuk duduk di situ adalah untuk mentransformasikan Pas agar menjadi muda. Itu kehendak dan hasrat orang yang mengambil Zaki berada di Ibu Pejabat Pas.

Mungkin sudah lama saya tidak mengikut aktiviti Pas Kelantan maka saya tidak nampak apakah aktiviti atau projek Badan Perhubungan Pas Kelantan. Ataupun segala aktiviti dijalankan dalam internet menyebabkan ia tidak nampak pada mata kasar. Mungkinkah begitu atau tidak ada apa-apa dilakukan selain daripada mengeluarkan risalah minggu semasa Tok Guru mengajar atau sesekali mengeluarkan kenyataan menjawab dakwaan Umno yang hambar dan tawar serta berkadas sesama sendiri.

Badan Perhubungan kena melakukan sesuatu untuk menghadapi Gelombang Merah pemuda Umno itu. Zaki dan Latif jangan mudah terulik dengan pengecilan oleh orang Kuala Lumpur mengatakan projek GM itu angan-angan Mat Jeni. Jangan... selalunya kita akan masuk dalam jerat musuh apabila kita merasakan jeratnya sudah tidak berbingkas lagi.

Minggu depan atau sehari dua nanti hendaknya adalah projek dari Pemuda Pas Kelantan bersama Badan Perhubungan Pas yang akan dilancarkan bagi membendung Gelombang Merah itu. Buatlah apa-apa projek, Gelombang Hijau ke, atau apa-apa yang penting Pas tidak dilihat sebagai ketandusan idea untuk melakukan perang saraf ke atas Umno. Ingat berpolitik bukan saja menang jawatan tetapi ia lebih dari itu. [ttdi.kl 7:00 pm 07/02/11]

Susupan Malam

Posted: 06 Feb 2011 03:23 AM PST

MPM Samseng Budak-Budak

BICARA Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang terdiri dari 100 NGO mereka tidak akan menyokong mana-mana calon India dalam pilihan raya umum akan datang. Penolakan itu dicapai dalam satu ikrar bersama.

Alasan diberikan kerana pemimpin India berjaya memutar belitkan isu novel Interlok sehinggakan kerajaan akur kepada kehendak mereka, orang India. Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membuat keputusan pindaan akan dilakukan ke atas novel berkenaan yang dijadikan buku teks sastera tingkatan lima. Pindaan itu didesak oleh orang India.

Saya hanya tersenyum tatkala membaca berita ikrar MPM berkenaan. Bukan apa, mudah dan ringkas sangat keputusan dan tindakan mereka. Tidak akan sokong mana-mana calon India baik dari UBN atau Pakatan Rakyat.

Dalam kata mudah mereka tidak akan undi calon India. Kalau nak undi juga mereka akan undi Cina ataupun Melayu. Saya nak tanya berapa ratus ribu ahli MPM yang komited dengan pengundian dalam pilihan raya. Rasanya keahlian MPM tak ubah masih bueh dilautan saja. Kalau ia memang berskala besar tentu kerajaan akan akur kepada desakan mereka bukan India.

Apakah tindakan itu memberi kesan dan menggambarkan tindakan mereka profesional? Sejauh manakah tindakan mereka itu akan dipeduli? Saya merasa pelik dengan MPM ini kalau itulah tindakan yang mereka lakukan.

Tindakan seperti itu tidak ubah seperti tindakan budak-budak saja. "Kalau kau tak nak bagi aku kueh itu, kau tidak boleh ikut aku". Begitulah tindakan samseng budak-budak di masa kecil dulu. Suka mengugut. Dan ugut mengugut ini satu budaya Melayu. Nampaknya keputusan dan ikrar MPM itu samalah dengan samseng budak-budak.

Bukankah yang mempelopori MPM itu terdiri dari pemikir, cendekiawan, bekas pensyarah, golongan akademik dan penulis, apakah mereka tidak tahu berfikir. Kenapa mereka harus bergaduh dengan orang India. Mereka tetap akan memepertahankan hak mereka walaupun menggunakan apa cara sekalipun.

Puter belit, kelentung, tukar fakta, rasuah, bodek atau apa-apa adalah cara untuk mencapai matlamat perjuangan. Jadi tidak timbul orang India berjaya dalam puter belitnya atau menjadi pemutar belit kerana matlamat mereka mencapai perjuangan mereka. Itu yang penting.

Mereka mahu menghapuskan perkataan-perkataan yang meletakkan mereka di bawah tapak kaki bangsa dan kaum lain. Orang India mahu menyapu sejarah yang mereka adalah golongan imigran ke negara ini. Perjuangan itu adalah satu kewajiban kepada mereka. Itulah kaum yang berani, yang peka dan tidak mudah mengaku kalah seperti bangsa Melayu!

Yang patut MPM lakukan ialah bertindak ke atas kerajaan, bukan menghina orang India. Mereka patut berikrar menolak kerajaan atau Muhyiddin yang pengecut dan takut untuk membuat keputusan. Tolak orang India tidak guna sedikitpun. Kenapa takut nak tolak kerajaan atau Muhyiddin?

Jawabnya (bukan puter belit) kerana mereka tidak mahu kehilangan kepentingan dalam badan-badan tertentu milik kerajaan yang mereka pegang. Makanya kalau kita makan pun orang suap usahlah sesekali menunjukkan keberanian mengkritik tuan kita. Bukankan kerajaan itu majikan sesetengah ahli MPM itu?

Kesimpulan mudahnya kalau kita masih bergayut kepada kerajaan, kepada Muhyiddin usahlah nak jadi hero melawan orang India. Kalau kita hanya kumpulan invertebrate usahlah cuba bangkit menjadi pejuang bangsa.

Ataupun tindakan dan suara lantang MPM hanya menjalankan sebahagian babak sandiwara kononnya mereka menjaga kepentingan Melayu dan sejarah negara ini. Untuk dikatakan bahawa kerajaan hari ini tidak berbuat apa-apa atas tuntutan India itu. Walhal kedudukan sebenarnya mereka telah dan sedang makan komisyen?

Saya berani mengatakan ikrar MPM itu tidak ke mana pun. Lepas Najib atau Muhyiddin panggil makan malam, selesailah segala-galanya. Jangan hairan kalau selepas ini mereka akan gelajah ke seluruh negara mengatakan usaha kerajaan buat pindaan ke atas novel itu sebagai bijak.

Sudah ada sejarah sebelum ini. Seorang ahli akademik yang telah bersara dan berjuang dalam NGO bukan main lantang lagi menentang kerajaan, menyesali korupsi dan penyalahgunaan kuasa serta sikap tidak peka kepada nasib orang Melayu. Dalam sebuah wacana dicadangkan untuk mengadakan manifesto sendiri menolak Umno. Alih-alih selepas beliau dilantik menjadi dekan di sebuah IPTA, sauaranya entah hilang ke mana dan cadangan untuk mengadakan manifesto rakyat (Melayu) itu pun berkubur tanpa nisan.

Ditegaskan kalau pun kerajaan mengekalkan kejayaan dan kemenangan India, mereka tidak akan memberi apa-apa impak kepada calon India kelak. Orang India boleh bersatu menyokong kaum dan kumpulan mereka, bukan seperti orang dalam MPM meleset tahi ke muka kawan Melayunya sendiri.

MPM tidak ubah seperti Merlayu Pukul Melayu saja. Bubar sajalah! [wm.kl.7:30 pm 06/02/11]

Tiada ulasan: