Sabtu, 19 Februari 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


PAS popular di kalangan 'rockers'

Posted: 19 Feb 2011 12:13 AM PST


Pelakon dan penulis lirik terkenal Bob Lokman hari ini mengejutkan banyak pihak apabila hadir ke himpunan besar Pemuda PAS dan di Alor Setar bagi memohon menyertai parti Islam itu.

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak yang juga pesuruhjaya PAS negeri.


Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, penyertaan golongan selebriti itu diharapkan memberi anafas baru kepada PAS supaya parti itu dianggotai pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami rasa ini akan menarik perhatian lebih ramai golongan muda...," kata Mahfuz kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, tambahnya, Bob - penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Search - bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy dan Ito daripada kumpulan Blues Gang menyertainya, kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Sementara Amy Searh pula didakwa agak dekat dengan pemimpin PAS dan sering hadir ke program parti itu.

"Kami sebenarnya popular di kalangan rockers (penyanyi rock)," kata Mahfuz sambil berjenaka.

Katanya, penyertaan itu menunjukkan kepelbagaian dalam PAS.

Faekah Husin Menyegat Lagi

Posted: 18 Feb 2011 09:54 PM PST

Guna wang MBI: Selangor kata biasa, tak janggal

Tindakan Selangor membelanjakan wang anak syarikatnya Perbadanan Menteri Besar (MBI) bagi tujuan penginapan tetamu merupakan amalan biasa dan bukan sesuatu yang janggal, kata setiausaha politik kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah Husin berkata, dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar itu jelas merujuk kepada tetamu kerajaan dari Sabah dan Sarawak yang mengadakan kunjungan rasmi dan perjumpaan dengan Khalid.

"Memandangkan Noh telah membangkitkan perkara ini kita menggesa beliau mengemukakan bukti bahawa telah wujud penyalahgunaan wang kerajaan dan rakyat.


"Sedikit pun kita tidak berasa gusar kerana kerajaan Selangor khususnya MBI bersikap terbuka dalam hal ini dan sedia disemak oleh Bahagian Audit Dalaman, hatta disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor didakwa membiayai penginapan kira-kira 500 perwakilan pada Kongres PKR tahun lalu sebanyak RM80,500.

Sambil mendakwa mempunyai bukti invois dan resit, menteri pertanian dan insdustri asas tani itu berkata, ia dikeluarkan oleh MBI bagi membayar tempahan 100 bilik di sebuah hotel di Petaling Jaya ketika kongres tersebut diadakan.

'Hisham politikkan isu polis bantuan'

Noh berkata, Pemuda BN akan membuat laporan kepada SPRM dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan pagi ini, Faekah sebaliknya berkata banyak tuduhan yang cuba dilemparkan oleh Noh berkenaan pentadbiran negeri "jelas menunjukkan bahawa beliau terdesak untuk membuktikan dirinya masih relevan di Selangor."

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Faekah menyatakan kekesalannya terhadap sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa mempolitikkan isu permohonan polis bantuan oleh kerajaan negeri.

"Beliau katakan kerajaan negeri tidak pernah menolong membanteras jenayah tetapi dengan masa yang sama menolak pula tawaran kami untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang telah dicadangkan sejak Julai 2010.

"nilah akibatnya apabila pemimpin-pemimpin mengutamakan kepentingan politik sebelum kepentingan rakyat.

"Amat menyedihkan apabila tawaran kami yang dibuat berkali-kali ditolak dengan alasan yang lemah dan jelas menunjukkan bahawa keputusan itu dibuat demi menjaga air muka pemimpin BN," katanya.

'Ketuanan Melayu berkeris timbulkan kebencian'

Posted: 18 Feb 2011 09:48 PM PST

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan peluang di sebuah konvensyen anjuran PAS hari ini untuk menjelaskan pendekatan Islam parti itu dalam pentadbiran Kelantan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyerang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan slogan Ketuanan Melayu yang dianjurkan Umno.

Nik Abdul Aziz berkata, tindakan PAS menjalankan dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan adalah mencontohi langkah yang diambil Nabi Muhammad dalam meluaskan pengaruh Islam.


"Nabi Muhammad tidak akan berjaya mengembangkan Islam jika menggunakan pendekatan ketuanan Arab.

"Jika baginda tidak ke depan dengan perjuangan kaum, begitu jugalah PAS yang mencontohi perjuangan baginda.

"Tapi soalnya adakah PAS mengenepikan bangsa Melayu? Seolah-olah Melayu akan mati, cacat dan mundur tanpa Umno," katanya lagi dalam majlis dihadiri lebih 700 anggota PAS itu.

Tanah rizab menyusut

Jelasnya, masyarakat Melayu diutamakan dalam agenda dakwa PAS memandangkan golongan itu merupakan kumpulan terawal menerima Islam di Malaysia.

"Sekalipun kita mentadbir dengan tidak menyebut Melayu, kita menggunakan dasar Membangun Bersama Islam yang telah diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat," katanya lagi.

Tambahnya, penerimaan itu berbeza dengan penerimaan ke atas slogan Ketuanan Melayu oleh Umno.

"Slogan Ketuanan Melayu oleh Umno dengan bersenjatakan keris hanya menjauhkan golongan bukan Islam dan menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

"Umno jaga Melayu pun tidak, jaga Islam jauh sekali," katanya lagi.

Nik Abdul Aziz memberi contoh, jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang susut hampir separuh dalam tempoh 40 tahun pentadbiran Umno.

"Faktanya, tanah rizab Melayu telah susut daripada tiga juta hektar pada 1957 kepada 1.7 juta hektar tahun 1997," kata Nik Aziz.

Alternatif kepada Melayu

Nik Abdul Aziz juga mendakwa, DEB sendiri telah digagalkan oleh pemimpin Umno.

"Ia telah digunakan kaum atasan pemerintah untuk memuaskan hawa nafsu mereka bagi membolot kuasa dan kekayaan," katanya.

"Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangaa -- Jaminan PAS" itu merupakan hasil daripada pemukiman yang dijalankan pemimpin PAS pada Julai tahun lalu.

Konvensyen di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam itu bertujuan mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dari sudut hak dan perlindungan setelah lebih 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ia turut bertujuan memberikan alternatif kepada golongan Melayu bahawa Pakatan Rakyat mampu mengembalikan semula hak dan maruah masyarakat itu melalui sebuah pentadbiran baru.

Turut berucap di konvensyen itu pagi ini ialah ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ribuan banjiri himpunan Pemuda PAS di Kedah

Posted: 18 Feb 2011 09:40 PM PST

Sejak awal pagi tadi, ribuan membanjiri kompleks PAS Kedah di Kota Sarang semut dekat Alor Setar bagi menghadiri himpunan besar-besaran Dewan Pemudanya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Mereka mensasarkan kehadiran 30,000 - sekali ganda lebih banyak daripada perhimpunan yang sama pada 2006 di Kota Bharu.

Mereka pada mulanya bercadang berkumpul di Selangor tetapi ekoran percaturan politik bagi mengekalkan penguasaan kerajaan PAS Kedah, mereka menukar tempat program ke situ.

Antara yang hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden PKR Salehuddin Ayun dan Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. - mkini

Selamat Datang Bob Lokman..

Posted: 18 Feb 2011 09:34 PM PST

Bob Lokman sertai PAS di hadapan 30, 000 hadirin

Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah sebentar tadi. Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada DS Ustaz Azizan Razak, MB Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah dihadiri lebih 30 ribu pemuda dari seluruh negari. Kontinjen Negeri Kedah lebih dari 7 ribu. Selain itu, negeri Terengganu Darul Iman dan Selangor Darul Ehsan berjaya menghantar ramai pemuda ke Himpunan ini.

Kesesakan jalanraya sepanjang lima kilometer di laluan ini dikawal dengan baik oleh para unit AMAL malaysia. Allah Akbar..!!!


Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan perbarisan kontinjen dengan lagu Negaraku, lagu PAS dan lagu Amal. Ucapan Alu-aluan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad bin Yahya. Seterusnya ucapan oleh Pengarah Himpunan 30K. Ustaz Nasarudin Tantawi menyampaikan amanat untuk para pemuda agar berjuang dengan lebih gigih untuk menjana kemenangan.

Seterusnya ucapan perasmian oleh DS Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau begitu bersemangat dan gembira dengan himpunan yang besar begini. Dalam ucapannya beliau menyindir UMNO dengan katanya ‎'umno kini macam nyamuk kena ubat nyamuk, pening'. Selain beliau mengingatkan media agar tulis bagi betul ‎'Hari ini pemuda PAS berhimpun 30 ribu, tapi esok surat khabar tulis 300 sahaja"..

Sumber [Cina Islam]

Pelakon kena tahan kerana ugut pegawai SPRM kes Nikah Palsu

Posted: 18 Feb 2011 05:14 PM PST

Seorang pelakon sebuah drama bersiri popular ditahan kerana disyaki mengugut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba mendapatkan keterangan lelaki itu berhubung dakwaan pernikahannya dipercayai menggunakan khidmat sindiket nikah palsu.

Pelakon berusia 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebaik menyerah diri di Balai Polis Kepong, di sini kira-kira jam 10 pagi semalam selepas mendapat tahu pegawai SPRM membuat laporan polis berhubung ugutan diterima mereka.

Terdahulu, dua pegawai SPRM itu dikata mengadakan pertemuan dengan pelakon terbabit kira-kira jam 11 malam Isnin lalu di sebuah kedai makan di Danau Kota, di sini untuk mendapatkan maklumat berhubung kes berkenaan.


Pelakon itu tiba bersama tiga rakannya, termasuk seorang bertindak sebagai jurucakap yang kemudian didakwa meminta pegawai SPRM menutup kes terbabit sambil memaklumkan kononnya beliau mempunyai hubungan rapat dengan pegawai atasan suruhanjaya berkenaan dan polis.

Malah, rakan pelakon itu dikatakan turut mengugut melakukan apa saja dan tidak teragak-agak menembak pegawai SPRM terbabit, selain mengugut mereka akan dibuang kerja jika enggan bekerjasama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata dua pegawai SPRM terbabit membuat laporan berhubung ugutan berkenaan di Balai Polis Wangsa Maju sejurus selepas kejadian.

Akhbar semalam melaporkan, tokoh korporat bergelar Tan Sri dan artis adalah antara 500 pelanggan menggunakan khidmat sindiket nikah palsu yang dibongkar SPRM, Ahad lalu selepas menahan empat anggotanya termasuk seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz ketika dihubungi, berkata Lembaga Tata Tertib jabatan itu yang bersidang semalam membuat keputusan menggantung kerja kakitangan terbabit selama 59 hari berkuatkuasa semalam.

Bernama

Speaker Teng: Mahkamah tak patut dengar kes Badrul tanpa peguam saya

Posted: 18 Feb 2011 05:06 PM PST

Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim terkilan kerana Mahkamah Tinggi Shah Alam terus mendengar permohonan Badrul Hisham Abdullah berhubung status kerusi Pelabuhan Klang, sekali gus mencapai keputusan hari ini tanpa kehadiran peguam beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Teng (gambar) berkata mahkamah sepatutnya tidak meneruskan pendengaran itu tanpa kehadiran peguamnya.

Beliau berkata pada 11 Februari lalu, peguamnya Tommy Thomas telah memohon untuk penangguhan atas alasan bahawa beliau akan menghadiri perbicaraan tiga hari mulai 16 Februari di Mahkamah Tinggi Johor Baru di mana tarikh pendengaran ditetapkan sebulan lalu.

Teng berkata pada 14 Februari, peguamnya menerima sepucuk surat dari Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk penangguhan bagi pendengaran itu yang pada awalnya ditetapkan semalam.


"Bagaimanapun, pada 16 Februari, penolong peguam saya hadir pada pengurusan kes di hadapan pendaftar kes dan walaupun dimaklumkan bahawa Tommy akan berada di Johor Baru, timbalan pendaftar berkeras menetapkan perkara itu untuk pendengaran hari ini.

"Oleh itu, peguam saya menghantar penolongnya untuk memohon penangguhan hari ini tetapi tidak dibenarkan. Keputusan mahkamah menolak permohonan peguam saya bagi penangguhan pendengaran saman yang difailkan terhadap saya oleh Badrul Hisham tidak adil dan tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya dipetik Bernama.

Teng berkata beliau akan mengarahkan peguamnya untuk memohon bagi mengetepikan penghakiman, paling awal menjelang minggu depan.

Kontroversi itu timbul selepas Teng mengisytiharkan bahawa kerusi Pelabuhan Klang kosong pada 16 Januari dengan menyatakan bahawa Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa sebab yang sah.

Pada 24 Januari, Badrul Hisham memfailkan saman pemula memohon satu pengisytiharan bahawa beliau masih Adun Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan dewan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa kerusi Pelabuhan Klang tidak kosong.

Pada 11 Februari, Teng memfailkan permohonan untuk menolak saman pemula Badrul Hisham dengan menyatakan bahawa beliau dilindungi oleh imuniti berdasarkan Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang oleh Badrul Hisham.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, Teng berkata beliau berpendapat bahawa keputusan yang diumumkan mahkamah hari ini bukan terikat.

"Saya masih menegskan bahawa deklarasi (saya) masih kekal," kata beliau.

Teng berkata Badrul Hisham masih boleh dihalang daripada menghadiri sidang DUN akan datang jika permohonannya untuk mengetepikan keputusan hari ini berjaya kelak.

Sidang DUN akan bersidang pada 28 Mac ini.

Sambil menyifatkannya sebagai keputusan tertinggi yang paling tidak munasabah, Teng berkata: "dalam kes ini, keadilan telah dikuburkan."

Hari ini mahkamah memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai Adun Pelabuhan Klang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya setelah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Teng ekoran tindakannya mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu.

Pada masa yang sama, Zaleha turut memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi itu kosong.

Fomca Bidas Kenyataan Tak Masuk Akal Ismail Sabri

Posted: 18 Feb 2011 08:41 AM PST

Minta PR Turun Harga Barang, Saranan Menteri Tak Masuk Akal- FOMCA

KUALA LUMPUR : Saranan Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, mengesa kerajaan Pakatan Rakyat menurunkan harga barang di negeri yang ditadbir, disifatkan tidak masuk akal oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah.

Sha'ani berkata jika benar kerajaan pusat ingin melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Pakatan Rakyat, kerajaan pusat seharusnya menyerahkan kutipan hasil cukai kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau dia(Ismail Sabri) sarankan mahu Pakatan Rakyat tentukan harga barang, dia perlu serahkan kutipan hasil cukai kepada Pakatan Rakyat, kalau dia tidak mampu untuk laksanakan bagi sahaja kepada mereka yang boleh buat," katanya.


Mengulas isu kenaikan harga barang, Sha'ani menjelaskan ia adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan tetapi menerusi pengurangan kos sara hidup dalam perkhidmatan sosial mampu mengurangkan beban yang dipikul rakyat.

"Kerajaan sendiri tidak faham bagaimana mahu membantu pengguna dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kenyataan menteri-menteri sebenarnya memperdayakan pengguna.

"Kerajaan hanya boleh membantu dengan cara lain seperti mengurangkan kos sara hidup dengan menyalurkan bantuan kepada perkhidmatan-perkhidmatan sosial seperti pendidikan, perubatan, perumahan dan pengangkutan awam," jelasnya.

Tambahnya lagi, rakyat bukan sahaja dibebani kenaikan harga barang tetapi mereka juga tertekan kerana kegagalan kerajaan dalam memberi gambaran jelas mengapa ia berlaku.

"Sebenarnya selama ini kerajaan tidak memberi gambaran yang jelas bagaimana untuk membantu rakyat dalam menghadapai kenaikan harga barang," jelasnya.

Manusia ada pemikiran banggang begini pun boleh jadi menteri Umno

Posted by PASPB

Bloggers PR Dambakan Pembelaan Pimpinan

Posted: 18 Feb 2011 06:06 AM PST

Dunia Blogger - Persimpangan dilema..!!

Salam hormat,

Umpama durian dengan mentimun, golek macamana pun sang durian, elak macamana pun sang timun, pastilah hancur berkecai akhirnya mentimun itu tanpa sedikit pun merosakkan si durian. Itulah perumpamaan paling sesuai merujuk kepada perlawanan berat sebelah di antara Menteri penuh kerajaan BN dan blogger Pakatan Rakyat.

Blog Sharpshooter bakal menjadi blog pertama yang disaman oleh seorang menteri. Hanya kerana menggunakan kaedah 'copy & paste' dan disiarkan dalam blog sharpshooter, Din Binjai menjadi sasaran seorang menteri di sebalik puluhan blog yang turut memaparkan banyak versi berita berkenaan isu menteri rogol amah.


Anda semua bayangkan, seorang menteri yang gaji dan elaunnya mencecah belasan ribu akan memfailkan saman malu terhadap seorang blogger yang terdiri daripada orang kebanyakkan. Meletakkan syarikat guaman ternama seperti Shaffee & co sebagai peguam dalam kes ini menunjukkan betapa seriusnya Rais dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang blogger. Setuju atau tidak, sebenarnya itu adalah satu tindakkan bijak dari wakil kerajaan untuk melumpuhkan kekuatan blogger PR di mata kerajaan dan juga para pengamal politik. Lumpuhnya medan blog Pakatan Rakyat bermakna satu kejayaan besar buat kerajaan Barisan Nasional.

Setakat waktu ini belum ada lagi peguam sivil yang menampilkan diri untuk membantu blogger kita Din Binjai yang bakal menghadapi zaman gelapnya kerana harga sebuah saman dari seorang menteri pastinya mencecah jutaan ringgit. Dengan bahana perbelanjaan guaman yang meningkat baru-baru ini, harga dokumentasi untuk guaman sivil juga menceritakan jumlah kos yang tidak mampu dibebani oleh Din Binjai atau mana-mana blogger. Adakah kita ingin melihat wakil blogger kita kalah tanpa bertanding? Din Binjai tidak akan dipenjarakan untuk sebuah saman sivil tetapi akan menjadi blogger pertama yang bakal muflis kerana terbabit dalam perjuangan di dunia blog.

Bila menyebut dunia blog, siapakah di antara kita yang terbabit dalam dunia blog? Adakah penulis semata-mata? Adakah penyalin tampal artikel dari media lain semata-mata? Adakah pembaca tidak terbabit dalam perihal ini? Adakah penyokong Pakatan Rakyat yang menjadi pendesak utama terhadap kerajaan sedia ada tidak terbabit? Adakah pimpinan Pakatan Rakyat juga tidak dikira terbabit sedangkan selama ini peranan blogger telah diakui dan diiktiraf sebagai satu faktor kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lalu!

Kekuatan blog yang selama ini menjadi mimpi ngeri kepada kerajaan pemerintah bakal direntap semahunya. Blogger akan lebih berhati-hati apabila melihat Din Binjai menjadi muflis hanya kerana aksi 'copy & paste'. Inilah langkah pertama kerajaan untuk menyekat kemaraan blog-blog baru yang tidak kurang bisa sengatnya.

Jika selama ini diketahui blogger-blogger aliran kerajaan banyak mendapat insentif dan elaun untuk menyerang dan mengfitnah segala elemen yang melibatkan Pakatan Rakyat, termasuklah kerajaan Penang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Tidak kurang juga fitnah yang dilempar kepada para pimpinan Pakatan Rakyat di mana Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Nizar dan Guan Eng juga tidak terkecuali. Mereka di haluan kerajaan dilihat mewah dengan habuan, tidak pernah menjadi permasalahan bagi blogger haluan PR dengan menganggap inilah peranan dalam perjuangan. Blogger PR mengambil tempat dan sedia untuk berperang di mana medan sekalipun tanpa mengharapkan balasan, apa lagi wang ringgit.

Perlawanan akan bermula dalam sedikit masa. Kalaulah para bloggers dapat melihat betapa pentingnya perlawanan ini. Begitu juga para pimpinan Pakatan Rakyat, mereka harus melihat perlawanan 'menteri vs blogger' ini adalah penting juga untuk mereka. Pemimpin PAS, PKR dan DAP harus peka dan mengambil berat tentang apa yang bakal terjadi jika seorang blogger disaman dan lebih memburukkan keadaan ialah apabila kepimpinan Pakatan Rakyat dilihat membisu dan tidak menghulurkan bantuan ke atas para blogger yang dihenyak kerajaan melalui menterinya.

Jangan jadikan persepsi buruk tercipta dan tersebar luas betapa kerajaan PR tidak bertanggungjawab dan hanya melepaskan tangan dalam isu sepenting saman ke atas blogger, setelah berjaya menguasai beberapa negeri. Harus jangan dilupa bahawa blogger memainkan peranan penting ditambah lagi dengan beberapa PRK termasuk pilihanraya negeri yang mendatang dan juga PRU yang semakin hampir.

Bukan satu ugutan, tetapi ingin dijelaskan bahawa Pakatan Rakyat harus memainkan peranan. Sepertimana rakyat itu harus dibela, blogger juga harus dibela! Bukan wang ringgit yang dipinta, tetapi hulurkanlah segala bentuk bantuan kepada blogger yang diserang saman,, bukan hanya kepada Din Binjai tetapi mana-mana blogger yang bakal terlibat dalam persengketaan mahkamah demi kejayaan Pakatan Rakyat itu sendiri. Ini adalah berkenaan nasib Din Binjai dan pasti lebih ramai blogger lain bakal diheret ke mahkamah sekiranya Rais menang mudah dalam kes yang bakal berlangsung ini.

Di samping itu juga, blogger lain dituntut memainkan peranan untuk perlawanan penting ini. Bak kata Pak Bakaq penarik beca yang pernah ditahan atas kesalahan yang melibatkan institusi kepolisian negara;

Hari ni hari Din Binjai. Esok lusa mungkin hari kita. Din disaman oleh menteri Umno, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berikutan hebohnya perbuatan terkutuk tibai amah. Saya tak tahu sama ada betul atau tidak Rais dah tenggek amah dia. Tapi, Rais nampaknya sangat berang. Ramai yang sebarluaskan cerita itu. Tetapi Din yang jadi pilihan Rais memuaskan amarah berangnya.

Percayalah bahawa kita tidak sekali-kali wajar menganggap perjuangan ini adalah perjuangan perseorangan. Kita blogger, pembaca blog, pimpinan, bawahan, facebooker, pengicau twitter dan sesiapa sahaja yang berhaluan Pakatan Rakyat adalah satu pasukan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam sokongan, tetapi titik persamaan kita ialah menghumban Barisan Nasional dalam jasad kerajaan pusat lantas membuka lembaran baru melalui pemerintahan baru yang segar untuk rakyat, demi rakyat!

Mempertahankan Din Binjai Sharpshooter seumpama mempertahankan medan blog kita. Sematkan istiqomah berani dalam menyertai perlawanan penting ini bagi mempertahankan medan kita bersuara, yakni medan rakyat mencangkir berita!!

Suara rakyat suara keramat!! Bukan pengorbanan blogger itu sahaja wajar jadi penghargaan, malah jangan dilupa blogger itu juga terdiri daripada rakyat kebanyakkan! Bantulah blogger!!

EDYES @ edyesdotcom
bersatu kita bersatu...
http://edyesdotcom.blogspot.com

Kes Anwar: Pakar Kimia Gagal Ikut Prosedur, Keputusan DNA Mencurigakan

Posted: 18 Feb 2011 04:18 AM PST

Lebih banyak keterangan curiga dan mengelirukan mengenai keputusan DNA didedahkan pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila peguambela menyoal balas pakar kimia kerajaan yang menjalankan pemeriksaan itu.

Pada satu ketika, pakar berkenaan Dr Seah Lay Hoong tidak menolak kemungkinan DNA air mani yang dijumpai pada tubuh pengadu Saiful Bukhari Azlan membabitkan 10 suspek.

Peguambela RamKarpal Singh memberitahu pemberita bahawa pemeriksaan DNA yang dijalankan amat rapuh untuk disandarkan sebagai bahan bukti kerana tidak telus dan bercanggah dengan prosedur yang menjadi amalan antarabangsa.


Semalam mahkamah digemparkan dengan pengakuan Dr Seah menemui tiga DNA lelaki pada calitan yang diambil daripada tubuh Saiful.

Pada hari ini peguam bela Datuk Seri Anwar memberi tumpuan kepada peralatan yang diguna pakai oleh Dr Seah serta rumusan-rumusan yang dibuat mengenai ujian DNA atas sampel yang diterima daripada polis.

Antara lain Dr Seah mengakui tidak menjalankan ujian perbandingan profil DNA atas sampel-sampel yang diterima beliau sebagaimana yang diperlukan. Beliau hanya melakukan satu ujian sebegitu namun laporannya tidak diberi kepada peguam bela Anwar.

Banyak daripada persoalan DNA bersifat teknikal dan dalam isu-isu penting Dr Seah gagal memberi jawapan kepada soalan yang ditanya oleh peguambela.

Penggunaan graf tertentu dalam menentukan laporan muktamad ujian DNa, contohnya, yang dijalankan ke atas sampel Saiful, amat diragui kerana tidak menepati protokol antarabangsa.

"Saksi (Dr Seah) kena jawab. Tetapi da yang dia tak tahu. Sebagai contoh, beliau adalah ahli kanan Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik, tetapi apabila peguam tanya mengenai intrepertasi graf itu dan prosedur DNA, dia dia tanya balik, Ini menunjukkan samada dia tak faham atau beliau tidak mahu bekerjasama," kata peguam Sankara Nair.

Pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar dibantu pakar DNA Australia Dr Brian McDonald.

Kehadiran beliau membolehkan pasukan peguambela Anwar untuk memerinci keputusan DNA yang banyak menimbulkan keraguan, khususnya selepas pendedahan bahawa sampel air mani seorang yang tidak dikenali dijumpai dalam dubur Saiful.

Peguambela Anwar berjaya menunjukkan urutan pemeriksaan doktor pakar Hospital Kuala Lumpur terhadap Saiful dan ujian yang dijalankan oleh pakar kimia kerajaan serta keterangan Saiful sendiri banyak bercanggah dan risiko bukti direka cipta adalah adalah amat jelas.

Menurut Sankara, soalan-soalan peguambela hari ini adalah bagi menunjukkan kepada Hakim Zabidin Mohd diah secara jelas bahawa bukti DNA yang digunakan untuk mendakwa Anwar tidak berwibawa dan harus ditolak.

"Kita katakan kalau prosedur tak betul, keputusan tak betul, sebab itu kita soal balas di sini untuk tahu mode atau cara kajian dilakukan, jadi kalau mode itu salah, keputusan akan salah," katanya. - TVS

Dr Seah Enggan Jawab Protokol Operasi Makmal (TERKINI)

Posted: 18 Feb 2011 02:19 AM PST

Dr Seah Lay Hoong bertindak defensif dan enggan menjawab beberapa pertanyaan mengenai protokol dan mode operasi makmal beliau.

Malah, peguam Ram Karpal pada sesi prosiding petang terus mempersoalkan cara ujian DNA oleh Dr Seah.

Ram bertanya adakah Makmal Jabatan Kimia Dr Seah mematuhi standard yang ditetapkan badan International Society for Forensic Genetics yang Dr Seah juga merupakan seorang ahlinya.

Peguambela Sankara Nair ketika ditemui wartawan di lobi menyatakan rasa terkejutnya dalam hal ini.


"Saksi kena jawab, tahu atau tidak, tapi ada yang dia tak tahu, sebagai contoh, Dia adalah ahli senior International Society for Forensic Genetics, apabila Ram tanya mengenai intrepertasi graf itu. Prosedur DNA, dia adalah ahli badan antarabangsa, tapi bila kita tanya dia tanya balik, Ini tunjukkan samada dia tak faham atau tak nak bekerjasama,"katanya.

Malah Applied Biosystem Genetic Analysis yang digunakan untuk mengeluarkan laporan tersebut turut dipersoal oleh Ram.

Pasukan pembelaan dibantu pakar DNA Australia Dr Brian McDonald.

Dr Seah menafikan ia perisian lama sebaliknya menyatakan ia selalu dikemaskini dan kali terakhir pada 2007 atau 2008.

Menurut Sankara, tujuan hasil penyiasatan ini ialah bagi melihat samada cara laporan kimia yang digunakan telus dan baik, serta boleh dinilai Hakim Zabidin Mohd Diah.

Kita katakan kalau prosedur tak betul, keputusan tak betul, sebab itu kita soal balas di sini untuk tahu mode atau cara kajian dilakukan, jadi kalau mode itu salah, keputusan akan salah.

Perbicaraan disambung pada Isnin nanti dan peguambela akan terus menyoal balas Dr Seah. - TVS

Mahkamah: Badrul Hisham masih ADUN Pelabuhan Klang

Posted: 18 Feb 2011 01:37 AM PST

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Badrul Hisham Abdullah masih merupakan ADUN Pelabuhan Klang.

Hakim Zaleha Yusof membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah berdasarkan kepada saman pemula.

Kerusi DUN Pelabuhan Klang itu telah diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Januari lalu.



Menurut Teng, Badrul Hisham, tidak menghadiri sidang dewan tanpa cuti selama lebih kurang enam bulan sejak bulan 16 Julai tahun lalu.

Mengikut Perlembagaan Selangor, kerusi DUN dianggap kosong jika wakil rakyatnya tidak hadir sidang dewan tanpa cuti selama enam bulan.

Badrul Hisham telah memfailkan saman pemula untuk mengisytiharkan bahawa pengumuman Teng itu tidak sah dan terbatal, serta memfailkan injunksi untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengisytiharkan pilihan raya kecil di DUN yang diwakilinya.

Beliau diwakili oleh peguam Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Manakala SPR pula diwakili oleh peguam kanan persekutuan Kamaluddin Md Said.

Tiada ulasan: