Rabu, 2 Februari 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Agongpun Tiada Kuasa Satukan Pas Dan Umno

Posted: 01 Feb 2011 08:48 PM PST

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) menegaskan PAS tidak akan berganding dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan, yang diharapkan oleh parti teras BN itu sejak 2008, jikapun pihaknya dipelawa berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

"Saya memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menyertai Umno-Barisan Nasional (BN) meskipun dipelawa oleh Agong," kata beliau ketika berucap pada pertemuan pertama program Jelajah Pemimpin 2011 anjuran PKR di sini malam tadi.

Sambil merujuk kepada pertemuan 24 Disember 2010, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu berkata, bekerjasama dengan umno seolah-olah menjalin kerjasama dengan mereka yang tidak mengendahkan amalan Islam dan mengibaratkan Umno dengan umat Islam yang berkunjung ke kelab-kelab malam untuk mengambil minuman keras.


Justeru kata beliau, PAS lebih rela untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat berdasarkan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan dan kebenaran, bukannya hanya kerana kaum semata-mata.

"Kami menerima Pakatan Rakyat kerana Umno sudah busuk hingga ke teras," kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis santapan diraja di Istana Terengganu, Kuala Lumpur atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan itu difahamkan ada menyentuh soal kerjasama Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan walaupun matlamatnya tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun pada 7 Januari lalu, Najib yang juga presiden Umno mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mahu mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu pada 24 Disember yang dihadiri atas jemputan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu.

"Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan Agong mahukan ia satu majlis peribadi," kata Najib.

Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

"Tak ada dah, tutup 'book' (buku) dah," kata beliau sehari sebelum itu. - MI

Malaysia Hantar Pesawat TUDM Untuk Misi Menyelamat Ke Mesir

Posted: 01 Feb 2011 07:46 PM PST


Tiga pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pesawat tersebut akan turut membawa bekalan makanan bersama mereka.


"Pukul 12 ini tiga pesawat milik TUDM akan berlepas dari Kuala Lumpur. Macam-macam makanan mereka akan bawa sekali dalam pesawat tersebut seperti beras, sardin, minyak masak, rempah kari, tepung, dan lain-lain lagi," kataya ketika dihubungi Bernama.

Katanya kerajaan juga berusaha mendapatkan visa sementara khas daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan pelajar yang berada di Mesir dipindahkan ke Jeddah sebelum dibawa pulang.

"...sebab kita nak keluarkan pelajar kita ramai sangat. Jadi kita nak bawa mereka ini ke Jeddah dulu," katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi jalan laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.

Dilaporkan terdapat kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di negara itu dan daripada jumlah tersebut 7,000 adalah pelajar.

Kerajaan Selangor Bantu Pelajar Di Mesir

Posted: 01 Feb 2011 05:36 AM PST

Prihatin terhadap keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan Wisma Putra akan menguruskan kepulangan para pelajar Malaysia di Mesir ekoran keadaan negara itu yang tidak stabil sekarang.

Exco Pendidikan Tinggi Selangor, Dr Halimah Ali berkata, beliau telah bertemu dengan pegawai Wisma Putra pagi ini bagi membincangkan soal itu dan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar negeri itu di sana.

Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat segera dengan Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dan Pengarah Jais hari ini juga bagi merangka pelan tindakan untuk membawa mereka keluar segera.


"Diharap semua para ibu bapa bertenang dan banyakkan berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan.

"Kerajaan Negeri melalui Lembaga Zakat Selangor akan menghantar peruntukan kewangan yang difikirkan mencukupi bagi menampung segala keperluan urusan harian para pelajar terutama dalam menghadapi saat-saat genting ini," kata Dr Halimah.

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menubuhkan Bilik Operasi yang yang beroperasi 24 jam untuk membolehkan ibubapa dan sanak saudara terutamanya mengetahui kedudukan mutakhir pelajar kita di Mesir.

Mereka yang ingin menghubungi Bilik Operasi ini bolehlah menghubungi talian seperti berikut bermula 8.30pagi esok 03-55143520/3534/3538/3539/3576. Pertubuhan sukarela Briged Amal Selangor bersama Yayasan Amal Selangor telah diarah untuk menyediakan tenaga pembantu bagi membantu Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam itu.

Sebelum ini, PAS dan PKR telah mendesak kerajaan supaya membawa keluar semua pelajar Malaysia di sana kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi.

Ini ekoran dari tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan untuk diri sendiri dengan cara merompak dan mengganggu pelajar Malaysia di sana selepas polis tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.

Melayu Terpecah Kerana Mahathir

Posted: 01 Feb 2011 05:10 AM PST

Sejarah buktikan Mahathir pecah belah Umno

Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kewujudan PAS membawa perpecahan orang Melayu tertolak.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mempersoalkan bukankah kewujudan Umno yang direstu oleh penjajah Inggeris.

Malah, katanya ketika Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, sudah ada parti Melayu yang pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Malah, tambahnya ketika semua parti di Tanah Melayu diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1948, yang dibenarkan hidup hanya Umno.


Menurutnya, bukankah itu bukti kewujudan Umno untuk memecah belah perpaduan Melayu dan menjadi alat penjajah untuk melawan sesama sendiri.

"Kenapa hendak salahkan PAS dan Tuan Guru Nik Aziz apabila lahirnya Parti Semangat 46.

"Bukankah Tun merupakan orang yang bertanggungjawab di atas perpecahan di dalam Umno, sehingga lahir team A dan team B?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Begitu juga, tambah beliau lahirnya Parti Keadilan Rakyat kerana kebangkitan ahli Umno yang tidak puas hati dengan cara Mahathir memimpin parti pada waktu itu dan melakukan kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apakah Islam nasionalis yang difahamkan oleh Tun menepati dengan kehendak Islam?" tanya beliau lagi.

Tambahnya, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memperlekehkan hukum salam mungkin adalah anutan Islam nasionalis.

Menurutnya, mungkin Soi Lek belajar daripada Tun yang pernah mengatakan bahawa nabi simpan janggut kerana tidak ada pisau cukur.

Beliau juga, katanya melihat bagaimana isteri pemimpin Umno berpeluk dengan Shah Rukh Khan.

"Jadi tidak hairanlah Soi Lek memperlekehkan hukum salam dalam Islam. Siapa gurunya?" ujarnya lagi. - hrkh

Tiada ulasan: