"BERANI KERANA BENAR!" |
| Amanah Dalam Pengurusan Perbendaharaan Negara Posted: 17 Feb 2011 06:41 PM PST OLEH: ZAMSHA NEGARAWAN ulung India, Mahatma Gandhi terkenal dengan ungkapa n keramatnya mengenai alam sekitar. Kata beliau "Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, tetapi meminjamnya daripada generasi akan datang". Kata-kata tokoh besar ini sebenarnya bukan sahaja relevan dengan alam tetapi juga sesuai juga dalam konteks pentadbiran dan pengurusan negara. Kita juga sebenarnya tidak mewarisi negara ini daripada nenek moyang, tetapi kita sebenarnya meminjam daripada generasi akan datang. Oleh yang demikian, sudah menjadi resam, setiap yang dipinjam harus dipelihara dengan baik dan dipulangkan dalam keadaan yang sempurna apabila tiba waktunyaUngkapan Gandhi itu sebenarnya menyimpan banyak hal yang tersirat di dalamnya. Beliau berbicara tentang sifat amanah yang seharusnya dimiliki oleh mereka yang mempunyai kuasa. Sebagai pemegang amanah, setiap mereka yang memegang kuasa pada hari ini seharusnya bertanggungjawab terhadap generasi masa hadapan. Sebagai pemimpin, golongan ini bukan sekadar bertanggungjawab terhadap golongan rakyat yang dipimpin malahan yang lebih penting ialah negara itu sendiri. Pemimpin tidak boleh sama sekali mewariskan sebuah negara yang berwajah hodoh, penuh dengan penipuan, penyelewengan, penindasan dan korupsi kepada generasi akan datang. Salah satu tugas atau tanggungjawab pemimpin ialah menguruskan kewangan negara. Mustafa Haji Daud dalam bukunya Pengantar Politik Islam (1994) menjelaskan dalam urusan kewangan negara, Baitul Mal atau perbendaharaan negara merupakan nadi kekuatan sesebuah negara Islam. Ketua Negara berkewajipan untuk menguruskannya, iaitu menguruskan pemungutan hasil negara seperti zakat, kharaj, fai, jizyah dan sebagainya serta mengawal perbelanjaannya untuk kepentingan rakyat dan pembangunan negara. Malangnya, realiti yang terpancar di negara kita pada hari ini jelas sekali bertentangan dengan garis panduan yang dianjurkan oleh Islam. Golongan yang memiliki kuasa lebih mengutamakan kepentingan diri, keluarga, sahabat handai dan para pengikut berbanding kepentingan rakyat dan pembangunan negara. Apabila rakyat menuntut hak mereka seperti tuntutan kenaikan gaji atau pemberian bonus tahunan, maka pelbagai dalih dan helah dicipta. Ungkapan seperti "negara akan muflis" acap kali menerjah gegendang telinga rakyat. Pada waktu yang sama mereka membelanjakan wang milik rakyat dan negara seperti membelanjakan wang milik ibu bapa mereka sendiri. Cukai yang ditagih daripada rakyat jarang sekali dipulangkan kembali kepada rakyat dalam apa bentuk sekalipun. Begitu juga apabila berlaku kenaikan harga barang. Sekali lagi kata mereka negara akan muflis jika pihak kerajaan terus-menerus menanggung subsidi harga barangan terbabit. Akhirnya berlakulah hal yang pernah dijadikan peribahasa Melayu "Harapkan pagar, pagar makan padi". Kementerian atau jabatan yang asalnya dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal berkaitan pengguna, bukannya merajakan pengguna, sebaliknya dilihat lebih banyak tunduk kepada permainan golongan peniaga yang menganut fahaman kapitalis. Untung adalah segalanya-galanya dalam benak fikiran mereka. Mereka yang diberikan amanah memikul tanggungjawab kerapkali tertewas oleh permainan peniaga yang licik. Ketika rakyat daripada kelompok pertengahan dan bawahan berhempas-pulas bagi meneruskan kehidupan, pada masa yang sama telinga mereka terus dihujani bermacam cerita tentang pembaziran serta penyelewengan yang dilakukan oleh mereka yang memiliki kuasa. Di bibir mereka, rakyat sentiasa didahulukan. Kenyataan inilah yang selalu menjadi mimpi indah kepada segelintir rakyat yang tidak atau kurang terdedah kepada akses maklumat. Sedangkan bagi mereka yang mahu berfikir, semua slogan itu hanya cantik di dinding tetapi tidak di bumi sebenar. Dari masa ke semasa, rakyat dikhabarkan tentang cerita-cerita tentang pemborosan wang negara. Peruntukan yang besar dari perbendaharan negara diagihkan kepada golongan yang rapat dengan pemimpin utama seperti kaum keluarga dan sahabat terdekat. Hal-hal yang selama ini dianggap ganjil dan bertentangan dengan peruntukan yang sedia mengikut undang-undang negara, secara tiba-tiba diberikan "logo halal" hanya kerana mereka yang berkelakuan ganjil itu adalah kaum keluarga sendiri. Mereka bebas terbang ke seluruh pelosok alam dan hinggap di hotel-hotel mewah bertaraf istana sambil mencipta acara-acara yang sengaja diadakan bagi membenarkan segala tindakan. Sementara sahabat handai dan para pengikut mereka pula diberikan anugerah kontrak dan tender sehingga menjangkau angka billion ringgit, biarpun anugerah itu pada masa yang sama sebenarnya memeras wang dan keringat rakyat. Malahan ada di antara individu yang intim dengan dunia politik memiliki gaji bulanan yang lebih mahal daripada harga sebuah banglo mewah. Bayangkan ketika perjuangan pekerja sektor swasta di negara ini bagi menuntut gaji minimum hanya menjadi bola politik pihak berkuasa, rupanya ada di antara rakyat Malaysia yang gaji bulanannya menjangkau ratusan ribu. Rasuah bukan lagi kudis atau pekung tetapi sudah menjadi barah dalam organ kekuasaan. Hak dan peluang sering dinafikan bagi dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak. Ruang dan kesempatan terbuka seluas alam, asalkan ada pertukaran genggam di bawah-bawah meja. Projek-projek mega terus disuburkan bagi mengelabui mata rakyat, biarpun manfaat kepada rakyat, tidak wujud walau sebesar zarah. Kebajikan rakyat terus terabai. Jalan-jalan berlubang di sana-sini. Hal ini sangat dirasai oleh rakyat yang hanya mampu memilki kereta kecil. Sementara pemimpin selain daripada jarang sekali melalui jalan-jalan berkenaan, kereta mewah mereka dipercayai menjadi penghalang untuk mereka merasai apa yang ditanggung oleh rakyat. Pembangunan hanya dicurahkan bagai air hujan turun dari langit ketika undi dari rakyat dirayu dan ditagih. Maka setiap kali berlakunya pilihanraya, terutama sekali pilihanraya kecil rakyat diumpan dengan janji projek-projek besar yang sering pula tinggal selama-lamanya sebagai kata-kata yang tidak pernah ditunaikan. Sehubungan dengan itu, bermanfaat dikongsi kata-kata Saidina Ali bin Abu Talib kepada pengikutnya ketika baru dilantik menjadi khalifah. Katanya" Ingatlah! Sesungguhnya kunci harta kekayaan berada dalam tanganku dan aku tidak akan mengambil sedirham pun tanpa pengetahuan kamu". Menurut riwayat puteranya Hassan, ketika wafat beliau hanya meninggalkan 700 dirham yang diwasiatkan kepada puteranya manakala sewaktu hayatnya beliau hanya memakai kain kasar yang harganya tidak melebihi lima dirham. Bandingkan pula dengan kisah yang terjadi di Tunisia di mana ketidakadilan dalam pengagihan perbendaharaan negara telah menyebabkan Mohamed Bouazizi nekad membakar dirinya. Akhirnya , kemuncak kemarahan rakyat telah menyebabkan Presiden negara tersebut digulingkan oleh rakyat. Semuanya adalah iktibar bagi mereka yang mahu berfikir. |
| You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan