Selasa, 8 Februari 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Pelajar Mesir : Jangan hanya gimik politik

Posted: 08 Feb 2011 04:20 AM PST

Sidiqin Omar

Tindakan kerajaan Barisan Nasional hanya akan dianggap sebagai gimik politik semata-mata, sekiranya mereka gagal menyelesaikan masalah sebenar penuntut Malaysia yang baru pulang dari Mesir, kata Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang.

Beliau berkata, 'acara menyambut kepulangan' secara besar-besaran kumpulan mahasiswa dari Mesir itu tidak bermakna, sekiranya kerumitan utama mereka tidak diselesaikan oleh kerajaan.

"Bagaimana dengan masa depan pelajar ini? Bagaimana caranya hendak diteruskan pengajian mereka? Adakah kerajaan telah memikirkan sama ada mahu menyerapkan mereka ke Universiti tempatan? Apakah kerajaan hanya mahu glamour politik?


"Apa yang akan terjadi dengan fakulti-fakulti di universiti tempatan, yang berkaitan dengan kursus pengajian Universiti di Mesir. Mengapa sekarang sunyi sepi?" soal Abbas, merujuk kepada sikap pasif kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

Beliau menjelaskan demikan pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.

Abbas menambah, tugas kritikal ini perlu diselesaikan segera oleh Kementerian berkenaan, kerana ramai diantara ribuan pelajar tersebut, termasuk yang berada di Universiti tempatan berada di tahun akhir pengajian.

Beliau bimbang, proses pembelajaran para penuntut itu terganggu. Justeru, Abbas mendesak kerajaan untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi memastikan mahasiswa ini tidak tercicir dan dapat meneruskan pengajian mereka.

Terdahulu sebelum itu, Ketua Penerangan, Dr Muhammad Nur Manuty mengumumkan pelantikannya ke jawatan Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN.

Beliau yang berpengalaman luas di dalam sektor perguruan dan pentadbiran, diamanahkan untuk mengendalikan Biro Pendidikan KEADILAN, berkuatkuasa serta merta.

Jawatan akhir yang disandang oleh Abbas sebelum menceburi bidang politik secara sepenuh masa adalah Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Abbas juga merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Pahang dan Ketua Keadilan Cabang Bera.


Keadilandaily

Cukai kereta tinggi.. minyak pula mahal..

Posted: 08 Feb 2011 04:06 AM PST




Jika sebuah kenderaan keluaran Perodua yang berharga RM40,000 dikenakan cukai sebanyak RM16,500 oleh Kerajaan, cuba korang kira berapa tahunkah yang diperlukan oleh kenderaan tersebut untuk menghabiskan petrol dengan harga RM16,500 itu?

Dengan menggangap sebulan memerlukan RM250 bagi mengisi pertol, jadi RM16,500 itu boleh digunakan untuk mengisi petrol selama 66 bulan bersamaan dengan 5 tahun setengah.. jadi siapa subsidi siapa dalam isu petrol sebenarnya?


'Rakyat sengsara, hutang isi rumah RM577 bilion'

Pakatan Rakyat akan mencadangkan "penyelesaian radikal" bagi mengurangkan bebanan cukai yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia mengikut Dasar Automotif Negara (NAP).


Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata cadangan itu akan dibentangkan pada Persidangan Ekonomi Pakatan yang dijadualkan pada bulan depan.

Katanya, cadangan berkenaan bertujuan mengurangkan tiga jenis cukai yang sekarang membebankan pembeli dan melipat gandakan harga kereta. Ini termasuk cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.

Katanya, walaupun kenderaan di bawah 1,500 cc, cukai yang dikenakan sekurang-kurangnya 60 peratus untuk eksais, 10 peratus cukai jualan manakala 30 peratus cukai import, 60 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai jualan untuk kereta import.

"Ini bermakna bagi setiap kereta paling kecil yang dijual oleh Perodua pada harga RM40,000, sebanyak RM16,500 cukai dibayar kepada kerajaan.

"Oleh itu, masanya telah tiba untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal untuk mengurangkan harga kereta dan rumah," katanya pada sidang media mingguan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pagi tadi.

Beliau turun mendesak kerajaan Umno-BN memohon maaf kepada rakyat dan menjelaskan bagaimana rakyat dibebani dengan hutang sepanjang masa.

Azmin berkata hutang isi rumah yang tinggi sehingga mececah 74 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada November tahun lalu adalah bukti kurangnya pendapatan rakyat menerusi dasar ekonomi yang dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, polisi yang diamalkan tidak lagi relevan memandangkan setiap keluarga terpaksa menanggung hutang negara yang kini melebihi 50 peratus kepada KDNK selain hutang peribadi.

"Kita yakin kalau mahu menjana ekonomi, rakyat perlu ada kapasiti untuk belanja kerana hutang isi rumah yang tinggi," jelas beliau.

Ahli parlimen Gombak itu juga menjelaskan prospek malap ekonomi negara dan ketidakupayaan rakyat menikmati taraf hidup baik berpunca daripada tindakan melindungi kepentingan kroni.

Katanya, hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion berdasarkan statistik bulanan Bank Negara Malaysia merangkumi bebanan pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Ini jelasnya membuktikan kadar perbelanjaan pendapatan rakyat semakin rendah setiap tahun dengan kadar hutang yang tinggi.

"Sikap Umno-BN dalam menangani maslaah harga kereta dan rumah yang mahal dihadapi rakyat adalah bukti mereka tidak mempedulikan kesengasaraan rakyat. Rintihan rakyat selama ini terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan langsung tidak diendahkan," katanya lagi.


Malaysiakini

Ops Piramid : Tiada Unsur Politik.. tapi ada Banner UMNO

Posted: 08 Feb 2011 12:49 AM PST



Najib kata tiada unsur politik.. tapi kalau korang tengok Videoclip diakhir entry ini pada minit yang ke 2:38 hingga ke minit 2:48 dan kemudian pada minit yang ke 3:43, ada orang pegang banner yang tertulis 'Selamat Pulang dari Sekretariat Kelab UMNO'..

Apakah UMNO sekarang ini sudah jadi NGO?

Ops Piramid bukan misi politik

SEPANG 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid merupakan misi untuk kepentingan negara dan tiada unsur politik.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk membawa pulang rakyat Malaysia berikutan pergolakan di negara berkenaan.


"Kerajaan mengambil keputusan dalam apa jua keadaan, kita akan melancarkan misi menyelamatkan pelajar-pelajar dan warga Malaysia.

"Dan ini misi untuk kepentingan negara. Tidak ada pertimbangan politik sama sekali, tidak kira pertimbangan ideologi, asalkan mereka ini warga Malaysia, mereka mesti diselamatkan dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia itu mendarat kira-kira pukul 10 pagi dan turut disambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain.

Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah anggota keluarga masing-masing.

Najib berkata, oleh kerana misi tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerajaan telah membuat perancangan teliti termasuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir untuk ditempatkan sementara di Jeddah sebelum dibawa pulang ke tanah air.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai pihak terlibat dalam misi tersebut kerana matlamatnya hanya untuk memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Tegas beliau, kerajaan bimbang tentang keselamatan warga Malaysia di Mesir kerana di negara berkenaan kini tiada lagi pentadbiran awam dan yang berasaskan undang-undang.

"Runtuhnya sama sekali undang-undang dan ketenteraman di Mesir yang menyebabkan sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kami amat khuatir dan bimbang kalau berlaku perkara yang boleh mengancam nyawa dan berlaku kecacatan atau kecederaan kepada anak-anak kita yang tidak berdosa," katanya.

Perdana Menteri berkata, kepulangan kumpulan pertama rakyat Malaysia itu merupakan satu kelegaan kepada mereka di tanah air dan sebab itu, beliau yang sepatutnya mempengerusikan sebuah mesyuarat penting pagi ini menangguhkannya untuk bersama dengan mereka di sini.

Najib juga tidak 'bercuti' sepanjang dua tiga hari lepas sedangkan pada masa itu cuti umum untuk menumpukan urusan membawa pulang rakyat Malaysia.

"Ada pukul 3 pagi pun kita terima telefon (berkenaan dengan urusan membawa balik rakyat Malaysia ini). Alhamdulillah, semua urusan ini berjalan dengan baik. Saya doakan supaya penerbangan lain (selepas ini dari Mesir) akan selamat kembali ke tanah air," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk MAS, AirAsia, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Najib juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah al-Saud kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Juga, kata Perdana Menteri, ucapan terima kasih buat Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan seberapa banyak pesawat Malaysia di Jeddah.

Kata beliau, perkara itu merupakan satu 'pertimbangan yang luar biasa' dari negara berkenaan kepada Malaysia.

Najib berkata, jika perlu kerajaan juga akan berurusan dengan pihak universiti di Mesir supaya pelajar-pelajar yang menuntut di negara tersebut menduduki peperiksaan di Malaysia.

Lidah Rasmi UMNO

Aku Tak Takut!! - Amizuddin

Posted: 07 Feb 2011 11:51 PM PST

PETALING JAYA : Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat tidak gentar untuk berhadapan tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kehairanan apabila blog beliau yang dijadikan sasaran saman menteri terbabit dan bukannya pihak lain yang juga turut mengulas isu yang sama di dalam mana-mana penerbitan.


"Cuma pelik sikitlah, sebab dalam banyak-banyak media yang menulis isu yang sama, tetapi saya pula yang 'terpilih', tak apalah, saya bersedia, tiada apa yang hendak digentarkan.

"Migrant Care, yang mempertahankan kenyataan mereka yang mendakwa menemubual pihak terbabit ataupun WikiLeaks sendiri yang mencetuskan isu ini contohnya tidak pula disaman." katanya.

Beliau juga memberitahu beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau hanya diketahui melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam yang mewakili Rais.

"Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai

"Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur," kata Amizudin ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun sempat mengucapkan terima kasih kepada Rais yang menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

"Maaflah, setakat ini itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara," katanya dengan nada berseloroh.

Sementara itu menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau dipanggil ke mahkamah.

"Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Shamsul," kata sumber itu.

Menurut sumber itu yang menyamakan kes tersebut dengan kisah Raja Namrud dan nyamuk yang pernah berlaku pada zaman Nabi Ibrahim juga mempertikaikan keengganan Rais menyaman pihak lain yang turut memainkan peranan untuk mendedahkan isu ini.


Free Malaysia Today

Najib Munafik kata John Mallot

Posted: 07 Feb 2011 10:11 PM PST

Mantan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott mengecam kemunafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung slogan 1Malaysia dalam sebuah artikel pedas yang diterbitkan di Asia Wall Street Journal, hari ini.

Malott, seorang pengkritik kerajaan sejak menamatkan jawatannya selama tiga tahun sebagai duta besar Amerika pada tahun 1998, berkata Najib perlu "merenung lama di cermin" jika beliau serius mahu melihat matlamat 1Malaysia tercapai.

"Di sebalik slogan baru kerajaan, ketegangan perkauman dan agama hari ini adalah lebih tinggi hari ini berbanding ketika Najib dilantik pada 2009.


"Malah, ia lebih buruk daripada bila-bila masa sejak 1969, ketika sekurang-kurangnya 200 orang dibunuh dalam pergaduhan kaum antara masyarakat majoriti Melayu dan minoriti Cina," kata Malott dalam komentarnya di AWSJ.

Malott mempersalahkan peningkatan ketegangan kaum dan agama yang tercetus baru-baru ini kerana sikap "toleransi kerajaan dalam beberapa kes memprovokasi dan faksionalisme etnik melalui kata-kata dan tindakan kerajaan".

Sambil memberi beberapa contoh, beliau juga mengimbas kejadian di mana seorang pembantu kanan Najib - Hardev Kaur menyarankan supaya tidak ada salib dipamerkan semasa perdana menteri mengunjungi rumah terbuka hari Krismas di kediaman Paderi Besar Katolik Kuala Lumpur.

500,000 tinggalkan Malaysia

"Ms Kaur kemudian berkeras berkata saranannya itu satu permintaan dan bukannya arahan, seolah-olah seperti rakyat Malaysia boleh menolak permintaan daripada pejabat perdana menteri," keluh Malott.

Contoh lain berhubung ketidak sensitif kerajaan, kata Malott, termasuk tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang membela tindakan sekumpulan penduduk yang berarak membawa kepala lembu sebagai membantah pemindahan sebuah kuil Hindu di kawasan kejiranan mereka.

Malott juga menyentuh mengenai kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mempersoalkan "kurangnya patriotisme"di kalangan masyarakat Cina dan India di negara ini.

Turut dibidas bekas duta itu adalah akhbar Utusan Malaysia, milik Umno yang didakwa mencetuskan kebencian perkauman dengan secara teratur menyerang "ahli politik Malaysia berbangsa Cina dan bahkan mencadangkan seorang daripada mereka, ahli parlimen Teresa Kok, harus dibunuh".

Akibat ketegangan perkauman yang semakin memuncak, sebanyak 500,000 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu antara tahun 2007 dan 2009 - jumlah itu kecam Malott, adalah lebih dari dua kali ganda jumlah profesional Malaysia yang tinggal di luar negeri.

Beliau juga berkata Najib terpikat untuk mempertahankan kumpulan pelampau seperti PERKASA yang secara terang-terangan menentang pembaharuan ekonomi atas nama 'ketuanan Melayu'.


Malaysiakini

Jejantas kita pun paling mahal dalam dunia?

Posted: 07 Feb 2011 09:57 PM PST

142 meter yang menghubungkan sekitar KLCC di ibu negara dikatakan bernilai RM10Juta.. Kalau macam ni yang ada.. bila PR berjaya mengambil alih Putrajaya rasanya kena bayar hutang sajalah..

Nurul Izzah: Jejantas apa RM70,422 semeter?



Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mempersoalkan pembinaan jejantas berhawa dingin sepanjang 142 meter yang menghubungkan sekitar KLCC di ibu negara dengan nilai RM10 juta.


"Angka ini bermakna, secara purata RM70,422 digunakan untuk semeter (jejantas), jumlah yang menuntut penjelaskan sama ada wang awam digunakan... dan mesti diambil tindakan," katanya yang juga naib presiden PKR.

Semalam, ketika perasmian jejantas itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Holdings Sdn Bhd Hashim Wahir dilaporkan berkata, RM10 juta digunakan bagi menyiapkan pembinaan fasa pertama jejantas yang menghubungkan KLCC dengan Hotel Impiana itu.

Jejantas itu, yang dibuka kepada orang ramai pada hari yang sama tertutup dengan lapisan cermin dan dilengkapi sistem penghawa dingin dan eskalator bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Kemudahan itu dilaporkan sebahagian daripada projek menghubungkan jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dengan stesen pengangkutan awam bernilai 12 kilometer yang dijangka siap akhir tahun ini.

Projek yang masuk fasa kedua itu, dilaporkan dibiayai Petronas dengan sumbangan RM100 untuk laluan sepanjang enam kilometer manakala bakinya dibiayai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat-syarikat swasta.

Dalam kenyataan hari ini, Nurul Izzah berkata, walaupun gembira dengan kemudahan baru beliau berkata, masih banyak persoalan yang perlu dijawab, terutamanya oleh Menteri wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik (kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

"Berapa sebenarnya angka pembinaan jejantas itu? Ekoran jejantas itu berhawa dingin, berapa kos pengurusan dan operasi dan apakah kosnya akan sentiasa meninggkan ekoran kenaikan harga elektrik?

"Adakah syarikat berkaitan kerajaan(Petronas, KLCC Holdings Sdn Bhd, DBKL, and Prasarana) terlibat, adakah projek itu dibuat secara tender terbuka yang mana pilihan yang lebih murah dapat dikenalpasti?" soal Nurul Izzah bertubi-tubi.

Beliau bagaimanapun menegaskan mengalu-alukan pembinaan kemudahan asas untuk pejalan kaki di negara ini ekoran kenaikan harga barang dan petrol, selari dengan gesaan "ubah gaya hidup".

"Akhir sekali, perkara ini juga menguatkan alasan supaya jawatan datuk bandar boleh dipilih supaya beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada (hal ehwal) Kuala Lumpur," tambahnya.


Malaysiakini

PRK Merlimau : Rosmah bakal Calon BN?

Posted: 07 Feb 2011 07:32 PM PST

Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 8 Feb: Adalah amat dikesali bila mana isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang cuba mengambil kesempatan publisiti atas misi murni menyelamat rakyat Malaysia di Mesir baru-baru ini.

"Peranan beliau dalam misi ini nampaknya sudah melebihi tugasan seorang Menteri. Saya melihat keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Rosmah sebenarnya mahukan pengiktirafan dalam kerja kuatnya di Oman, Bahrain dan kini di Mesir," kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.


Maka, katanya adalah sesuai sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada Rosmah untuk bertanding di PRK Merlimau yang akan datang.

Tambahnya, cabaran itu juga sesuai buat BN sebagai pujukan kepada hasrat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah gagal meletakkan calon wanita pada PRK Tenang lalu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang melihat pemilihan Rosmah amat penting bagi menyelamatkan berjuta-juta wang rakyat Malaysia daripada terus dibazirkan dalam siri jelajah dunia dan pelbagai persidangan mengarut di bawah rancangan 'Wanita Pertama' Malaysia ini.

"Andai benar PM Najib mahu buktikan perubahan, saya mencabar beliau untuk menerima cabaran ini," ujarnya.

Alkisah musuh nama www, FB, @

Posted: 07 Feb 2011 09:42 AM PST

Oleh Hishamuddin Rais

Guruh bergema gegak gempita. Alam menjadi gelap-gelita. Tiupan angin makin lama makin kencang. Seolah-olah ada yang terus meniupkan angin sangkakala. Ini disambut pula oleh petir sabung-menyabung.

Sesekali bunyi halilintar memecah bumi. Air sungai semakin deras. Ombak laut mula bergelora. Maka turunlah hujan seperti seperti gajah terkencing berdiri. Inilah tanda sebuah negera yang sedang dilanggar bencana.

Maka tabuh dipalu. Beduk diketuk. Maka segala bala tentera, soldadu jantan dan betina semuanya dipanggil datang mengadap ke Balairung. Di balai kelihatan seorang jantan gemuk, pendek dan hitam sedang mengarahkan soldadu dan laskar untuk tegak berdiri.

Tidak berapa jauh dari pintu kelihatan seorang jantan kepala botak, berambut sejemput, berperut gendut, tidak berbaju, memakai cawat berwarna kuning sedang membakar kemenyan.


Maka gong pun dipalu lagi. Semua senyap dan sepi macam "mat pet" baru selesai berasap. Di saat dan ketikanya maka muncul Tok Seri, terus masuk ke Balairung. Tok Seri diikuti oleh segala para menteri. Apit di kiri Menteri Dalam, apit di kanan Menteri Luar.

Kemudian dibontoti oleh Menteri Beras, Menteri Duit dan Menteri Heboh. Di belakang semua ini ialah juak dan sida, dayang, hamba sahaya, tok penggawa, tok penghulu, tukang kipas dan tukang bodek.

Para soldadu, panglima dan laskar semuanya siap-siaga tegak berdiri, tunduk memandang ke bumi takut untuk melihat muka sang menteri. Maka Tok Seri pun duduklah di tilam pandak untuk menerima semua laporan dan sembah tentang kedudukan negara.

Maka Menteri Dalam membuka kisah bahawa negara sedang kelam lagi resah. Kini negeri sedang diserang bertalu-talu. Hinggakan saham bas mini jatuh mendadak. Hinggakan akhbar Meloya bertimbun-timbun tidak laku.

Menteri Heboh pun turut menyampuk dan menerangkan yang Jabatan Pengheboh dan para juruheboh upahan sedang cuba mengenal segala angkara.

Menteri Duit membuat hitungan jika serangan ini berterusan maka negara ini akan bankrap dalam masa yang tidak lama. Pelabur luar telah ramai lari. Kilang akan ditutup. Dan paling ngeri sekali, duit rasuah sudah tidak masuk lagi.

Ini amat amat menyusahkan ketika ini sedang mengumpul dana persediaan untuk membuat pilihan raya ke-13.

Menteri Beras memberitahu jika keadaan ini berterusan maka besar kemungkinan negara ini terpaksa makan keladi hutan. Ini kerana nilai wang jatuh dan tidak ada modal untuk mengimpot beras.

Bila mendengar laporan ini semakin banyak rambut Tok Seri yang gugur. Tok Seri mengetuk-ngetok kepalanya yang botak dan dia bertempik marah.

Ekornya bergulung-gulung

"Siapa yang berani menyerang kita? Pakatan siapa yang berani menyerang kita. Kita akan bertahan hingga hingus kita kering. Jangan siapa berani mencabar."

"Musuh baru melanggar kita, Tok Seri. Nak katakan geruda bukan geruda. Nak kata unggas bukan unggas. Tapi Musuh ini berkepak. Nak kata hantu bukan hantu. Tapi sekejap hilang sekejap muncul. Nak kata bini puaka pun bukan.

Bila nak ditangkap dia hilang. Kita lari dia datang. Kuman pun bukan hama pun bukan. Bukan ulat bukan binatang. Ada kecil, ada besar. Boleh dilihat tapi tak dapat dipegang. Kadang kadang ramai, kadang kadang sedikit," sahut Menteri Dalam.

"Musuh jenis apa ni? Jangan buat silap mata dengan aku," Tok Seri bertanya marah, tetapi penuh hairan.

"Ada ekornya bergulung-gulung. Ada kepak macam tiga ekor garuda. Macam rupa bentuk kereta pun ada.Selalu datang dengan kawannya bila menyerang," jelas Menteri Dalam lagi.

Semua dalam balairung senyap. Tidak ada sesiapa yang berani berkata apa-apa. Mereka semua amat sedar yang negara ini sedang diserang oleh sejenis musuh yang baru.

"Apakah ini garuda menyerang kita? Ada kepak, ada ekor bergulung-gulung. Kenapa pula rupa macam jenis kereta? Mana Guru Ji Bomoh Negara yang kita impot dari Bombay? Datang ke sini!" arah Tok Seri.

Maka jantan kepala botak, berambut sejemput dan berperut gendut tidak berbaju serta hanya mamakai cawat berwarna kuning terkedik-kedik datang ke hadapan Tok Seri. Dia menonggeng dan kemudian mencium buku lali Tok Seri.

Guru Ji terus terkumat-kamit mulutnya sambil membakar kemenyan dalam batil. Semua menunggu apakah yang akan ditemui oleh Guru Ji.

Musuh negara numero uno

"Wahai Tok Seri Jantan Mongoli, ada pun musuh ini datang dari negeri atas angin. Ada yang datang mengikut jalan laut. Ada yang datang mengikut jalan udara. Mereka halus tapi bukan polong. Mereka halimunan tapi bukan hantu.

Mereka bahaya tetapi bukan kuman. Mereka ini macam polong tak bertuan. Berkepak bersayap tapi bukan garuda. Mereka telah dilepas bebas oleh Ronald Reagan," terang Bomoh Negara.

"Berkepak macam mana?'" tanya Tok Seri dengan penuh kehairanan.

Yang lain pun turut sama hairan.

"Musuh ini bernama www, yang berkepak macam tiga ekor burung enggang terbang jauh di awan. Kawan dia ekornya bergulung. Nak kata A bukan A, nak kata C bukan C, inilah rupanya '@'.

"Inilah musuh yang sedang menyerang negeri kita. www ini bukan kereta Wok Wigan dari Jerman, wahai Tok Seri Jantan Mongoli," kata Guru Ji sambil meneran dan kemudian terus berundur.

"Menteri Dalam, kalau begitu, tangkap segera www dan kawan dia yang bernama @. Kita haramkan www, kita tangkap www, tangkap dan bunuh dengan senjata beracun kita.

"Apa jadi dengan Akta Mesin Cetak kita? Kita boleh hapuskan www dengan akta ini," perintah To Seri dengan bengis.

Maka semenjak petang itu, diketahui oleh para menteri siapa sebenarnya musuh negara ini. Maka segala bala- tentera, soldadu jantan dan betina telah di kerah untuk mencari dan menangkap www dan kawanya yang berekor-ekor, yang bernama @.

Jika sesiapa ada menemui www dan tidak melaporkan kepada polis maka orang ini akan ditahan untuk disoal-siasat di tingkat 14.

Tabuh dipukul, canang dipalu. Menteri Heboh masuk kampung, keluar kampung sambil menerangkan kepada sesiapa yang masih dalam gelap tentang siapa sebenarnya musuh negara ini.

Manakala Menteri Dalam dengan tergesa-gesa, belum pun sempat berfikir panjang telah meluluskan satu akta baru untuk mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak.

Akta dan undang-undang baru telah diluluskan tanpa bantahan dalam parlimen.

Maka dengan akta baru ini, sesiapa sahaja yang kenal, yang tahu, yang melihat, yang ternampak, yang membaca, yang menghidu, yang menggunakan atau yang berfikir tentang www, atau kawan www yang bernama @, maka orang ini akan ditangkap.

Sesiapa sahaja, tidak kira jantan atau betina, tua atau muda, jika dituduh oleh akhbar sebagai pengikut ajaran sesat dan boleh ditangkap. www secara rasmi telah dinobatkan sebagai musuh negara numero uno.

Menyuarat sulit

Sepurnama setelah akta ini diheboh-hebohkan, kelihatan serangan agak kendur dan mula reda. Tetapi yang menjadikan suasana bertambah pelik apabila serangan berkurangan, rakyat seantero negeri kelihatan resah, sugul dan gelisah macam gian dadah.

Tidak diketahui kenapa rakyat satu negara suka negeri mereka diserang. Bila musuh menyerang rakyat jadi gembira. Ada sesutu yang amat pelik sedang berlaku di negeri ini.

Tiga purnama satelah akta baru dijalankan, maka sekali halilintar memecah bumi. Hujan turun bergantang-gantang. Angin puting-beliung datang menyapu.

Kali ini berita baru diterima oleh Menteri Dalam bahawa rupa-rupanya www ada seorang lagi kawan yang wujudnya dahulu tidak disedari. Tok Seri menyinga marah. Dia memanggil Menteri Heboh dan Menteri Dalam datang mengadap.

Menurut laporan tiga badan risikan negara - Jawi, Jakim dan Juwiee - kawan kepada www ini lebih ganas lagi. Kawan www ini agak muda umurnya dan tugasnya hanyalah meracun kepala anak-anak muda seluruh negara untuk membenci kerajaan Tok Seri.

Guru Ji dipanggil sekali lagi untuk menentukan siapakah kawan baru www ini.

Dari tilikan Guru Ji, musuh baru yang meracun anak-anak muda ini bernama FB. Jangan silap dan jangan salah sangka, FB ini bukan jenama sabun yang boleh membersihkan pakaian. FB ini cukup lincah dan cukup licik.

Dari satu FB boleh menjadi seratus FB, dari seratus FB boleh menjadi seribu. Dan FB ini terus berganda- ganda. Amatlah susah hendak dikalahkan. Apabila Menteri Dalam sedar hal ini maka akta Mesin Cetak dipinda dan dimasukkan sama FB sebagai musuh negara.

Mengikut tuan empunya cerita, apabila rakyat mengetahui adanya serangan baru dari FB, maka sekali lagi rakyat bergembira. Anak-anak muda bukan membantu kerajan menumpaskan FB malah mereka merayakan kesampaian FB.

Bila berita kegembiraan anak-anak muda ini diketahui oleh Menteri Dalam, maka satu persidangan sulit telah diadakan.

Ketika mesyuarat sulit para menteri sedang berjalan - untuk menyedapkan cerita - ada satu lagi musuh baru akan datang. Musuh ini juga adalah suku sakat kepada www.

Musuh baru ini lagi amat merbahaya kerana tidak diketahui letupan apa yang akan dibawanya.

Musuh baru ini bernama www.wikiliks yang rupanya adalah sepupu kepada WWW dan ada pertalian saudara juga dengan @. Ketika riwayat ini diturunkan dari mulut ke mulut, menyuarat sulit para menteri masih lagi berjalan.

Dari berita yang didengar, belum ditemui lagi satu senjata untuk mengalahkan www dan suku sakatnya.

Oleh kerana itu, walau pun hujan turun macam gajah kencing berdiri, guruh berbunyi memekakkan telinga dan guruh berdentam-dentum, rakyat satu negara masih bergembira.

Tiada ulasan: