Ahad, 27 Februari 2011

AKU INGIN BEBAS

AKU INGIN BEBAS


POLITIK KUNO UMNO SEMARAK KEBENCIAN KAUM

Posted: 27 Feb 2011 04:25 AM PST

KEPALA BATAS, 27 Feb: Sistem politik kuno yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah bersifat perkauman yang sempit dan menyemarakkan kebencian antara sesama kaum dalam negara ini.

Amalan yang dipraktikkan Umno dan BN ini bukan saja merbahaya untuk diamalkan dalam sebuah negara berbilang kaum, malah ia memberi implikasi negatif yang begitu buruk kepada perpaduan dan hubungan antara etnik dalam negara ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr.Mujahid Yusof Rawa berkata demikian ketika berceramah di Dewan Millenium, Kepala Batas malam tadi dalam program Penang Harmoni 2, anjuran Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang.

Menurut Mujahid lagi, Pakatan Rakyat (PR) yang bermati-matian untuk mendapatkan kuasa pemerintahan bukannya untuk menggantikan Umno dan BN dengan menjadikan amalan mereka sebagai ikutan.

Sebaliknya kerajaan PR meletakkan kepentingan semua golongan masyarakat berdasarkan kepada keadilan dan keharmonian kaum yang tidak pernah dilaksanakan oleh Umno dan BN semasa memerintah negara ini.

Katanya lagi, berlakunya perpecahan kaum dalam masyarakat negara ini adalah kerana amalan yang dipraktikkan oleh BN dan komponennya seperti Umno, MCA, MIC dan juga Gerakan yang mengamalkan sikap pecah dan perintah.

"Sikap ini jugalah yang menanamkan sifat kebencian yang boleh menggugat keharmonian dan kesepaduan kaum dalam negara. Apabila Umno bercakap mengenai Melayu, MCA pula bercakap mengenai orang Cina dan MIC bercakap mengenai bangsanya sahaja.

"Ini menimbulkan prejudis suku kaum masing-masing dengan menidakkan keperluan yang semestinya diberikan kepada kaum lain yang terpinggir dan memerlukan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang mahu rakyat menjadikan kebangkitan di Mesir dan Libya sebagai satu bukti nyata sistem pemerintahan diktator dan tidak adil mampu untuk menumbangkan kerajaan yang ada.

"Umno dan BN juga sudah tidak lama untuk bertahan dalam politik negara ini, setelah dengan jelas memperlihatkan kegagalan mereka untuk membawa reformasi dan keadilan dalam pentadbiran negara selama 53 tahun menjadi pemerintah," ujarnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Muslimat PAS Pusat dan negeri, Ustazah Noridah dan Ustazah Rahmah Mat Isa. hrk

Tiada ulasan: