Isnin, 28 Februari 2011

Ajijoi

Ajijoi


BN janji lagi buat kali ke tujuh

Posted: 28 Feb 2011 07:12 AM PST

TEMERLOH: Penduduk Kerdau mendengar sekali lagi janji kerajaan untuk menyiapkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Paya Taram yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Adakah pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau yang sedang berlangsung ketika ini akan menjadi penamat kepada permasalahan yang dideritai penduduk selama puluhan tahun itu.

Bagi penduduk, mereka sudah mendengar janji kerajaan mahu menyiapkan rumah tersebut sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, 1995, 1999, PRK Sanggang tahun 2000, PRU 2004 dan yang terakhir pada PRU 2008 yang lalu.

Kelmarin, sekali lagi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said mengumumkan kepada media, kerajaan telah meluluskan RM2.2 juta bagi membaiki semula perumahan perumahan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang itu.

Menurut Ismail, pembaikpulihan itu akan ditanggung kos oleh Syarikat Perumahan Negara (SPN).

PAKR Paya Taram mengandungi 198 unit rumah teres setingkat dengan ukuran 6 meter x 9.3 meter dan mula dibina pada 1988 tetapi projek berkenaan terbengkalai beberapa tahun kemudian sebelum sempat siap.

Lebih mengecewakan lagi, projek kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada bank dan pembeli terpaksa memohon pinjaman sehinggalah harga tawaran asal RM25,000 sebuah rumah telah meningkat kepada RM35,000 bagi lot biasa manakala harga bagi lebihan lot dikira sebanyak RM2.50 bagi setiap sekaki persegi.

Seorang penduduk, Sharuddin Mohd Salleh, 50, mengalu-alukan janji Ahli Parlimen tersebut dan berharap masalah tersebut tidak berlarutan lebih lama lagi kerana kebanyakan pembeli rumah itu merupakan penduduk kampung sekitar yang masih belum memiliki rumah.

''Sesetengah daripada kami sanggup menjual lembu dan tanah untuk membeli rumah ini kerana belum memiliki rumah sendiri. Ada pula yang sudah dipotong gaji untuk bayar pinjaman rumah.

"Apabila terbengkalai dan belum diketahui entah bila siapnya, tentulah membuatkan kami tak senang duduk," katanya.

Tambah Sharuddin, kediaman yang selesa adalah salah satu kewajipan asas bagi sesebuah keluarga yang sempurna kerana dari situ akan lahirlah sebuah masyarakat yang teratur seterusnya menyumbang ke arah keharmonian negara.

Katanya lagi, sebuah kerajaan yang baik dan prihatin pula, lazimnya akan mengambil tanggungjawab memastikan rakyatnya tidak terabai dalam urusan memiliki tempat tinggal.

Seorang pembeli lagi, Siti Fatimah Abdul Rahman, 49, ketika ditemui memberitahu impiannya bagi memiliki rumah sendiri hampir 'berkubur' apabila projek berkenaan terus terbengkalai.

"Sejak anak saya kecil dan kini dia dah berusia 24 tahun, rumah yang kami impikan masih juga belum disiapkan", luahnya dengan nada kecewa.

"Saya sangat kecewa dalam hal ini, sebab telah merancang bersama keluarga untuk tinggal di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,'' .

"Ini adalah rumah pertama yang saya mohon untuk bersama keluarga dan akibat terbengkalai, saya sekeluarga masih terpaksa menumpang di rumah kakak,'' ujarnya.

Menurutnya, dia telah mengisi borang pada tahun 1989 dan hanya ditemuduga kelayakan pada tahun 2000. Setelah dua dekad menunggu, awal tahun ini pihak kerajaan telah menyuruhnya pergi ke bank untuk membuat pinjaman pembelian rumah berkenaan.

"Saya memang harap sangat rumah ini dapat siap cepat dan kerajaan tidak lepas tangan. Apatah lagi ada pihak yang menjanjikan pemilikan rumah ini tiap-tiap kali pilihan raya", katanya lagi.

Calon Pas, media tinjau pekan Kerdau

Posted: 28 Feb 2011 07:10 AM PST

TEMERLOH, 27 Feb: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau, Hassanuddin Salim membawa wakil media yang berkampung membuat liputan pilihan raya di sini meninjau sekitar Pekan Kerdau untuk melihat kedhaifan pembangunan di situ.

Kata penyelaras lawatan tersebut, Hashim Abdullah di kesempatan PRK ini, beliau mahu pihak media sendiri menjadi saksi bagaimana tahap pembangunan di kawasan Kerdau yang kononnya dikatakan maju dan tidak ada masalah. (Gambar: Hassanuddin menyantuni penduduk di sebuah kedai kopi di pekan Kerdau.)

"Saya harap media melaporkannya untuk membuka mata pihak terbabit. Selama ini sudah lama orang Kerdau menagih pembangunan, tetapi tidak langsung di hiraukan," katanya.

Pekan Kerdau merupakan Pekan lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pekan yang terletak di antara laluan utama Temerloh-Jerantut ini pernah menjadi penting semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an.

Waktu itu keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.

Bagaimanapun apabila menyaksikan sendiri, pekan ini tidak ubah seperti pekan zaman 40-an, walaupun sudah lebih 50 tahun negara merdeka.

Salah satu lokasi dilawati oleh wakil media bersama calon PAS ialah stesen keretapi Kerdau yang semakin tidak berfungsi dan dhaif.

Sedangkan pernah satu ketika, stesen keretapi Kerdau merupakan antara yang penting kepada masyarakat setempat.

Kewujudan stesen keretapi yang terletak di laluan yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai ini pada asalnya menjadi pemangkin kemajuan Pekan Kerdau kerana pekan ini menjadi salah satu tempat persinggahan keretapi untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Gambar: Hassanuddin dan wakil media meninjau stesen keretapi di pekan Kerdau.)

Malah, sejarah juga mencatatkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.

Namun apa yang dilihat hari ini, stesen keretapi Kerdau sudah tidak lagi berfungsi sebagai perhentian utama.

Tiada kuanter jualan tiket di sini, yang ada hanyalah sebuah bangunan seperti pondok menunggu bas dan tandas awam yang tidak lagi boleh digunakan.

Manakala bangunan asal stesen keretapi ini hanya tinggal tapak yang dinaiki semak samun dan kelihatan sebuah rumah kayu terbiar yang dikatakan pernah menjadi kuarters para pekerja keretapi.

Menurut penduduk di situ, tidak ada usaha untuk memulihara stesen tersebut sama ada untuk tujuan memajukannya atau untuk mengekalkan kesan-kesan sejarah di situ.

Wakil media juga dibawa menyelusuri Pekan Kerdau yang sebahagian besarnya deretan bangunan kayu dua tingkat yang amat usang.

Jelas pekan ini amat ketinggalan, malah melihat aktiviti ekonomi melibatkan penduduk sekitar dan peniaga di situ tidak keterlaluan mengatakan pekan Kerdau tersisih dari arus pembangunan yang diwar-warkan oleh kerajaan kononnya sedang rancak di laksanakan ketika ini.

Walaupun Kerdau hanyalah sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (Dun), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk di sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa.

Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut penduduk di situ, pekan Kerdau sebelum ini lebih hidup dan aktiviti ekonominya sangat berkembang.

Antaranya Pekan Kerdau dikatakan pernah menjadi tumpuan orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka dikatakan telah membuka gedung-gedung perniagaan.

Selain itu, peniaga-peniaga Cina juga ramai datang menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.

Pekan Kerdau juga menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945.

Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang.

Di situ juga terdapat pekan sehari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.

Bagaimanapun realiti hari ini, Kerdau tidak menunjukkan pernah wujud sebagai sebuah lokasi tumpuan dan maju satu ketika dahulu.

Kebanyakan penghuni di situ hanyalah orang-orang tua, yang banyak meluangkan masa di kedai-kedai kopi.

'Kerdau ini bandar orang pencen, budak-budak semua cari kerja di luar," kata seorang penduduk veteran yang ditemui di pekan itu.

Wakil media juga di bawa meninjau satu-satunya pusat kesihatan yang ada Kerdau.

Bukan sahaja kecil dan usang, sukar bagi sesiapapun untuk memikirkan bagaimana sebuah bangunan kayu yang menjadi tempat operasi pusat kesihatan ini masih di kekalkan untuk menampung hampir lima ribu penduduk di Kerdau.

Selain itu, tiada sebuah pun klinik swasta beroperasi di sini dan juga di seluruh Kerdau.

Kata Hashim, selain daripada pusat kesihatan ini, penduduk terpaksa pergi ke Temerloh untuk mendapatkan sama ada hospital ataupun pusat perubatan swasta di situ.

Di Pekan Kerdau juga, wakil media dibawa ke lokasi pembinaan kuarters anggota polis yang terletak bersebelahan dengan sekolah Cina.

Kuarters polis ini sebenarnya sebuah projek gajah putih di Kerdau, projek untuk membina tiga blok bangunan setinggi empat tingkat itu sebenarnya telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Lebih ironis lagi, para penduduk di situ selama ini telah mempersoalkan pembinaan kuarters yang begitu besar di Pekan Kerdau sedangkan anggota polis yang bertugas di situ hanyalah sekitar 13 orang.

Mengulas perkembangan di Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih terlalu banyak masalah rakyat setempat yang perlu dibangkitkan kepada kerajaan.

Malah beliau turut membidas sikap sombong Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan tiada isu perlu dibangkitkan di negeri ini.

"Kami akan memberi maklumat ini (masalah-masalah rakyat) kepada Adnan untuk beliau jawab," tegasnya.

Tuan Ibrahim juga mengharapkan di kesempatan ini, rakyat Kerdau membuat pilihan bijak dengan memilih wakil PAS untuk mewakili mereka dalam Dun Pahang.

"Saya percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara rakyat Kerdau dalam Dun dan beliau akan menjadi suara pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.

"Saya yakin beliau akan memikul tangungjawab untuk menegur serta membetulkan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negeri supaya kerajaan sentiasa berada dalam landasan yang betul," ujar Tuan Ibrahim.(HDaily)

Bloggers Perak tiba di Kerdau

Posted: 28 Feb 2011 03:32 AM PST

Bloggers Perak yang bergerak ke Kerdau sekitar jam 9.30 pagi tadi selamat sampai ke destinasi jam 3 petang tadi bersama laptop, kamera dan videocam memenuhi ruangan bonnet kereta.

Misi: membantu kerja-kerja kempen calon PAS di Dun Kerdau dengan membuat liputan dimensi media baru seperti blog, facebook dan juga twitter.

3 buah kereta berkonvoi menuju ke Kerdau di Temerloh, Pahang manakala 3 buah lagi membelah lebuhraya untuk ke Merlimau di Jasin, Melaka.

Setiap orang mempunyai tugasan dan peranan masing-masing dalam membantu kempen di dua dun tersebut dengan niat memenangkan calon Pas.

Misi bloggers Pas adalah jelas dan nyata iaitu menyuluh yang benar dan membongkar yang salah. Pastikan hak mengatasi yang batil. Segala fitnah, tohmahan, dakwaan pihak lawan melalui media utama milik mereka perlu dipatahkan dengan segera agar rakyat tidak terpesong dengan dakyah mereka. Keupayaan dan halaman yang terbentang luas untuk kita bermain adalah diruang maya, dan disitulah tempat para bloggers memainkan peranan mereka.

Biasalah, bila gunakan lebuhraya, pasti kena bayar TOL

Sebaik melepasi plaza tol, banner-banner sebegini akan menjadi penyambut setiap tetamu yang tiba ke 'Kubu Umno' ini

Antara banner yang tertinggal disini oleh Pemuda Umno Permatang Pauh. Hidup BN memang seperti dibakar api, sepertimana yang cuba dijelaskan oleh empunya banner ini

Seperti tidak cukup lagi ruang bermain(berkempen) BN di surat khabar, tv, radio, agensi kerajaan, menteri-menteri, TPM dan PM sendiri, banner-banner yang terkadang melucukan seperti ini memenuhi setiap ruang kosong ditepi-tepi jalan sekitar Kerdau. Mana tak lucunya, banner ini mengata Pas atau Umno?

Nak tunjuk baik, kebajikan rakyat menjadi keutamaan konon. Setakat buat klinik desa ni, kerajaan mana pun akan buat sehinggakan di negara komunis pun berlambak klinik. Di Taiwan pun banyak perkhidmatan perubatan yang diberi secara percuma kepada rakyat.

Jangan terkejut apabila ditahan pihak polis untuk pemeriksaan, kerana disetiap kawasan pilihanraya kecil akan diadakan sekatan jalanraya untuk memastikan keselamatan rakyat dikawasan tersebut.

Ini bukan poster calon yang bertanding di Kerdau. Cuma gambar Ketua Polis Negara yang 'menyeramkan' para penjenayah yang sedang berkira-kira hendak membuat onar disini.

Kompleks MARTEK (Markas Taktikal) PDRM yang baru saja disiapkan. Macam zon perang pun ada. Ini negara Malaysia, kata Rais Yatim, bukannya negara Arab.

Kalau setakat duduk macam berdikir barat tu dah dikira berjiwa rakyat, depa ni nak tipu sapa? Mat Bangla, Mat Indon atau Mat Nepal?

Pintu gerbang ni dah ditawan Pas

Inilah dia rupanya Markas Induk PAS di Kerdau ni. Tak lah secanggih markas induk BN, tapi sentiasa berseri dengan solat dan zikir pengunjungnya

Panji-panji yang sedia menunggu untuk dijulang

Ketibaan disambut oleh Pengarah Pilihanraya Pas Dun Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Duduk bersimpuh bersahaja diatas tikar. Kalau gambar Najib yang duduk begini, dah penuh pondok-pondok bas ditampal gambar 'pemimpin berjiwa rakyat' itu

Abang Mat Sabu tengah layan cokodok sambil baring cari idea untuk ceramah malam nanti kot? Bagi yang kaw-kaw punya, Bang Mat. Biar pedih sampai ke ulu hati

Minum petang sambil berbual mesra dan berbincang strategi kempen. Kelihatan Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mat Sabu dan berbaju vest itu adalah blogger yang berhemah sopan santun gaya ala-ala sedang solat apabila berdepan dengan 'orang-orang kuat' markas induk. Siapa blogger tersebut?, lu pikir la sendiri...

Kempen baru masuk hari ketiga, langit masih cerah buat Pas di Kerdau ini.

Tiada ulasan: