Rabu, 5 Januari 2011

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Posted: 05 Jan 2011 12:52 AM PST

Keputusan inkues Teoh Beng Hock cetuskan syak wasangka

Seingat saya tidak pernah dalam sejarah hidup menyaksikan mahkamah koroner mengembalikan satu keputusan seperti ini. Dalam kes mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di kaki Bangunan Masalam, Shah Alam 16 Julai tahun lalu, mahkamah yang bersidang memutuskan "Teoh tidak membunuh diri atau dibunuh"!

Kalau keputusannya Teoh membunuh diri maka ketahuilah kita yang Teoh telah terjun dari tingkat 5 Pejabat SPRM secara sukarela. Kalau keputusannya Teoh dibunuh maka ketahuilah kita yang ada sesesorang atau sekumpulan orang yang telah menolaknya jatuh dari tingkat 5. Masalahnya di sini kata koroner – membunuh pun tidak, bunuh diri pun tidak. Bermakna Teoh mati entah tidak diketahui kerana apa??!!

Ini bukan soal agama atau bangsa, bukan juga soal anutan politik. Seorang warganegara Malaysia yang bertugas di Pejabat EXCO meninggal dunia tanpa diketahui punca dan sebabnya, bayangkan jika beliau itu adalah anak atau adik atau saudara-mara kita, pasti kita akan risau dan marah. Pasti kita mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Pasti kita mahukan keadilan.
Hati kecil saya bimbang yang keputusan ini terpaksa dibuat kerana sebab-sebab tertentu. Saya berhak mengemukakan syak wasangka kerana saya pasti saya bukan keseorangan dalam hal ini.

Gelaplah Malaysia kerana keadilan telah digerhanai dengan keputusan ini.

Takziah dan simpati kepada keluarga mendiang, keadilan wajib dituntut.

Posted: 04 Jan 2011 08:00 PM PST

Minyak naik lagi: terima kasih BN!

Penuh ruangan media arus perdana dilimpahi dengan kontroversi perlantikan SUK yang baru di Selangor. Dalam pada itu para spekulator dan para pencetus adu-domba tak henti-henti mahu menangguk di air keroh. Perkataan durhaka dan biadap murah-murah dilontarkan di sini-sana.

Sementara itu bukan hanya rakyat di Selangor malah seluruh Malaysia dihadiahkan dengan kenaikan harga petrol dan minyak tanah mulai tengah malam tadi. Harga petrol RON97 naik kepada RM2.40 seliter (sebelum ini RM2.30 seliter) sementara minyak tanah kepada RM2.50 seliter. Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter.

Begitulah nasib kita, sorong papan tarik papan jawatan SUK itu hal dan urusan kerajaan, bebanan kenaikan harga minyak ini adalah bebanan hidup yang terpaksa ditanggung suka tak suka oleh keseluruhan rakyat pengguna. Ini bukan sorong papan tarik papan, ini kehendak kerajaan Barisan Nasional yang memerintah di Pusat. Rakyat sedang sibuk mengikis dan mengorek apa sahaja simpanan yang ada menanggung beban sesi sekolah baru, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan hadiah baru ini setelah tak sampai sebulan harga minyak naik.

Maka tanggunglah atas kepala bahu kita bebanan tambahan ihsan dari kerajaan BN.

Rakyat mahu dilekakan dengan isu kontroversi di Selangor, tak sedar rupanya kocek mereka terbakar angkara BN.
Terima kasih BN

Tiada ulasan: