Jumaat, 28 Januari 2011

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Karnival kelab ForTeen Masjid Bukit Indah bermula malam ini...

Posted: 28 Jan 2011 06:38 PM PST

Melayari fb kawan2 lama..(masa di STK dulu sungguh mengasyikkan).

Ada antaranya mengingatkan aku tentang banyak perkara yang aku dah lupa. Jelaslah... bahawa daya ingatan seseorang berbeza antara satu dengan yang lain.

Akupun tak ingat kelas apa aku masa di Tingkatan 5? Sehingga ada yang menegur...

"Hmm...dah tua sangat ke engkau sampai kelas manapun tak ingat?"

Tapi betul...sungguh aku tak ingat.

Aku juga dingatkan dengan macam2 benda yang aku buat masa di STK dulu. He he...

Kalau mengenangkan khutbah Ustaz Hasrizal semalam...memang tak banyak yang patut aku rungutkan pasal anak2 aku. Apa yang anak2 aku buat ni kira-kira tak sampai 62.35% daripada yang aku dah lakukan di zaman persekolahan dulu...he he!!

Kalau anak aku rambut pacak...aku pernah berfesen ala2 Temenggong Jugah pada zaman persekolahan dulu. Terkejut mak bapak aku..

Entah apalah yang cantik fesen ni akupun tak tau? Kalau anak aku berfesen macam ni mau aku botakkan terus budak2 tu...

Tapi terkejut2 mak bapak aku tak de lah pulak marah2. Cuma emak aku tak dapat menahan rasa geli di hatinya, Seharian dia ketawa. Kalau dilihat dari sudut positif, mungkin aku dapat pahala berfesen begitu. Sekurang2nya aku dapat menghiburkan hati mak...

Bila aku dengar berkali-kali khutbah Ustaz Hasrizal semalam...aku dengan sendirinya menghargai "parenting skills" mak bapak aku. Dalam segala 'limitation'...mereka rasanya lebih berjaya dari aku.

Anak2 diberikan kelonggaran untuk berimijinasi, berfikir dan membuat keputusan. Tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat. Mak bapak aku walaupun kadang2 jauh tetapi seolah2 ada sentiasa dekat dengan aku. Ouch...aku merindui itu semua. Al-fatihah..

Bak kata Elaine Heffner...

"The art of mothering is to teach the art of living to children."

dan Elbert Hubbard mengingatkan...

"Be patient with boys—you're dealing with soul stuff. "

Dan sudah tentu sebagaimana yang dipesan oleh Ustaz Hasrizal semalam, selalu-selalulah mengingatkan kisah bagaimana Nabi Ibrahim memberitahu anaknya Nabi Ismail tentang perintah Allah terhadap mereka...

Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa cuba untuk memenuhi impian peribadi mereka yang gagal dicapai, dengan memindahkan impian itu kepada anak-anak. Terlalu ramai remaja di luar sana yang berasa tertekan dengan sikap ibu bapa seperti ini. Mereka mungkin sangat lemah lembut terhadap anak-anak, tetapi hakikatnya mereka telah bersikap kasar kepada emosi anak-anak.

Lupakah kita kepada sikap yang ditunjukkan oleh Ibrahim alayhi al-Salam kepada anaknya Ismail.

Ibrahim adalah sepatuh-patuh manusia kepada Allah. Tatkala menerima perintah daripada Allah untuk menyembelih anaknya Ismail, apakah kata Ibrahim kepada anaknya itu?

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". [Surah al-Saaffaat 37: 102]

Kata-kata Ibrahim (فانظر ماذا ترى) yang bermaksud "Maka fikirkanlah apa pendapatmu?" adalah contoh bagaimana dalam soal sebesar melaksanakan wahyu Allah sekali pun, Ibrahim masih meminta pendapat anaknya Ismail. Inilah jiwa seorang bapa mithali yang wajar kita teladani.

Dengarlah, sebelum kita berharap pendapat kita didengari.

Berikan perhatian, sebelum kita berharap diri kita menerima perhatian mereka.

Ia bukan seruan Kebaratan atau menolak adat kebiasaan masyarakat Melayu. Ia adalah seruan kepada mencontohi para Anbiya' dan Rasul.

Hari ini dan esok ada program di Masjid Bukit Indah, Ampang yang dinamakan Kelab ForTeen yang mana di sana disediakan 'makanan' sesuai untuk memenuhi selera emosi dan spritual anak2. Hantarlah anak-anak ke sana agar selera mereka itu dapat dipenuhi dengan cara yang betul dan tepat sebagaimana yang dituntuk oleh syarak.

Insya'Allah...program 2 tahun ini akan dapat membentuk sahsiah dan jatidiri anak-anak kita yang bakal mengambilalih pentadbiran dan pengurusan masjid ini dalam masa 5 tahun dari sekarang.

Ustaz Hasrizal dan pasukannya akan membimbing anak-anak kita semua ke arah itu. Tuan2 dan puan2 juga dijemput hadir untuk memahami apa Kelab ForTeen ini sebenarnya..

Gara2 "TT"...Laman Direktori Wanita Pertama dikeluarkan..he he

Posted: 28 Jan 2011 06:15 PM PST

Gara2 TT memberikan makna tersendiri kepada F.L.O.M. (Fat Lady Of Malaysia), akhirnya Rosmah memaksa isterinya mengeluarkan Laman Direktori FLOM di JPM. He he...padan muka!!

Laman direktori 'Wanita Pertama' JPM dikeluarkan
Jan 28

Laman direktori sesawang Pejabat Perdana Menteri yang memuatkan bahagian F.L.O.M. yang misteri serta mendatangkan pelbagai perdebatan telah dikeluarkan.

Bahagian berkenaan telah sejak sekian lama menjadi bahan gurauan di blog dan juga forum online yang semuanya bersependapat abjad itu membawa pengertian "First lady of Malaysia" atau "Wanita pertama Malaysia".

Menurut beberapa blogger senarai dalam direktori itu menunjukkan ia adalah sebahagaian daripada divisyen di Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan khas bagi memberi perkhidmatan kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Antara lain, beberapa blogger telah memuat-naikkan video perbualan telefon diposting klip video dari telefon kepada seseorang yang bernama Nurul Rosemiemmy Khasimi @ Mohamed, yang disenaraikan oleh F.L.O.M. sebagai penolong pegawai dengan tugas-tugas khas.

Tiada jawapan diberikan

Dalam satu video, seorang pemanggil gagal untuk bercakap dengan Nurul Rosemiemmy dengan orang di hujung talian itu mengatakan beliau telah keluar mengiringi "Datin Rosmah".

Satu lagi video menunjukkan seorang pemanggil mencari seseorang yang dipercayai Nurul Rosemiemmy, dan ditanya apa itu singkatan bagi F.L.O.M. tetapi tiada jawapan yang diberikan.

Kewujudan bahagian F.L.O.M. dikesan beberapa bulan yang lalu oleh beberapa blogger tetapi ia hanya menjadi perhatian ketara berikutan lawatan 15 hari oleh Rosmah ke Muscat, Oman; Riyadh, Arab Saudi dan Dhaka, Bangladesh.

Semasa lawatan itu Rosmah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Oman, Sayyid Fahad Mahmood al-Said, Menteri Pendidikan Arab Saudi, Putera Mohamad Faisal Abdullah Al-Saud dan Perdana Menteri, Bangladesh Sheikh Hasina.

Menipu rakyat

Selesai lawatan itu, media arus perdana melaporkan kunjungan Rosmah berjaya meningkatkan hubungan dua hala, dan pelaburan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata kewujudan bahagian F.L.O.M. adalah bukti bahawa Najib telah berbohong di Dewan Rakyat.

Menurut Kok, dalam jawapan perdana menteri kepada ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Najib berkata Rosmah tidak diperuntukan elaun perjalanan ataupun mempunyai kakitangan sepenuh masa.

Menurutnya, mengikut undang-undang, isteri perdana menteri hanya dibenarkan menuntut perbelanjaan perjalanan sekiranya beliau menemaninya bagi lawatan rasmi.

Kok berkata kewujudan F.L.O.M. Yang disenaraikan dalam lamn direktori Jabatan Perdana Menteri membuktikan Najib sebenarnya berbohong.

"Hakikat direktori di laman web itu yang tiba-tiba hilang beberapa hari lalu selepas dikritik oleh orang awam membuatkan kewujudan bahagian ini semakin mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok berkata dengan pendedahan itu, Najib harus memberi penjelasan dan mengakui bahawa dia telah memesongkan Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia.

Dan 'Wanita Pertama' Rosmah perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau berdiam diri dan membiarkan Najib untuk berbohong, menjadikan dirinya bersubahat.

[Baca berita penuh]

Khutbah Ustaz Hazrizal Abdul Jamil Sempena Minggu ForTeen Di Masjid Bukit Indah, Ampang

Posted: 28 Jan 2011 12:05 AM PST

KHUTBAH JUMAAT: Lahir Muslim, Biar Hidup Muslim dan Mati Muslim
On 28/01/2011, in Khutbah, by Abu Saif

Khutbah Jumaat ini disampaikan di Masjid Bukit Indah di Ampang, bersempena dengan Karnival Forteen yang Insya Allah bakal berlangsung pada 29 – 30 Januari 2011. Semoga bermanfaat.

Rakaman audionya boleh didengari di sini... http://saifulislam.com/?p=9203 atau link di sebelah kanan (atas sekali)..

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Bertaqwalah kepada Allah. Kita hamba, Allah Tuhan kita. Tiada milik kita. Semua milik Dia. Semua yang ada pada harta, kehidupan dan nyawa, adalah amanah daripada-Nya. Bertaqwalah kita pada melunaskan amanah itu, dan jangan sekali-kali mati, kecuali sebagai Muslim yang tunduk dan patuh kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" [Surah al-An'aam 6: 162-3]

Sidang kaum Muslimin yang berbahagia di hari Jumaat ini,

Kita semua bersetuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi doktor tanpa ilmu dan latihan yang secukupnya. Dia perlu belajar dan belajar, memahami sepenuhnya tentang tugas yang digalas kerana risikonya adalah keselamatan dan nyawa pesakit. Kita semua setuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi jurutera awam tanpa ilmu dan latihan yang diperlukan. Tanpa kelengkapan itu, risikonya boleh meretakkan jambatan, merosakkan lebuh raya dan meruntuhkan bangunan.

Semua itu perlu kepada ilmu.

Tetapi bagaimana dengan seorang ibu dan bapa?

Pentingkah untuk seseorang yang menjadi ibu, khususnya bapa, untuk dirinya mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk menjalankan tugasnya? Subjeknya bukan jambatan atau bangunan. Subjeknya bukan pesakit yang tidak dikenali atau mayat yang sudah tidak boleh diselamatkan. Subjeknya adalah zuriat kita sendiri. Anak yang berbinkan nama kita. Anak yang akan dipersoalkan oleh Allah di Mahsyar nanti, sama ada kita telah melunaskan tanggungjawab dengan sebaiknya, atau kita gagal dalam menjalankan tugasan yang amat besar ini.

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim 66: 6]

Ya, risikonya bukan jambatan runtuh. Bukan bangunan retak. Risikonya bukan setakat kecederaan dan kematian orang yang tiada kena mengena dengan kita. Malah risikonya lebih besar. Allah memberi ancaman bahawa kegagalan berperanan dengan baik sebagai ibu dan bapa, akan mengundang seisi keluarga menghuni Neraka! Wal'iyadzabillah. Kita rasa sangat marah mendengar ibu bapa yang mendera anak-anak dengan mencucuh putung rokok atau seterika panas kepada zuriat mereka sendiri. Tetapi berapa ramai ibu dan bapa yang kerana tidak peduli akan hal ini, sedang menyiapkan anak-anak mereka untuk dibakar oleh api Neraka Allah? Tidakkah ini pendera hakiki? Tidakkah nanti anak-anak itu akan mengheret ibu bapanya sekali?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Sabda Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam:

"Tidaklah lahir setiap bayi melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya itulah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi…" - Riwayat Muslim / 4803

Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak.

Ibu bapa Yahudi berjaya meYahudikan anak-anak mereka.

Ibu bapa Nasrani berjaya meNasranikan anak-anak mereka.

Ibu bapa Majusi berjaya meMajusikan anak-anak mereka.

Bagaimana dengan kita sebagai ibu bapa Muslim? Berjayakan kita meMuslimkan anak-anak kita? Jika Yahudi hari ini benar-benar menyerupai sifat Yahudi yang disebut di dalam al-Quran, jika Nasrani hari ini benar-benar menyerupai sifat Nasrani yang disebut di dalam al-Quran, jika Kuffar dan Musyrikin hari ini benar-benar menyerupai sifat Kuffar dan Musyrikin yang disebut di dalam al-Quran, serupakah kita dengan gambaran Islam dan Muslim di dalam al-Quran? Serupakah anak-anak kita dengan gambaran Islam dan Muslim di dalam al-Quran?

Mimbar hari ini tidak bermaksud untuk berbicara secara pesimis.

Tetapi atas amanah yang diterima daripada Sunnah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, kita perlu saling mengingatkan akan hal ini. Tiada makna kita berjaya di dalam kerjaya, tidak bererti keuntungan yang dikecapi dalam perniagaan, jika harga yang dibayar adalah kemusnahan keluarga sendiri. Membentuk rumahtangga dan anak-anak mesti diangkat sebagai suatu JIHAD.
Sabda Nabi sallallaahu alayhi wa sallam:

Daripada Umm al-Mu'minin Aisyah radhiyallahu anha beliau berkata, Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda: Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku. [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

NAFKAH FIZIKAL

Seorang ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang mengusahakan keperluan nafkah fizikal anak-anak. Soal makan minum, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan fisiologi anak-anak, diusahakan sebaik mungkin. Rezeki yang diberikan bukan sahaja Tayyiban, malah Halal. Kita mungkin tidak membawa pulang makanan yang haram seperti babi atau haiwan yang tidak disembelih. Namun berhati-hati dengan RIBA, RASUAH, gaji yang diperolehi oleh ibu bapa yang ponteng waktu kerja, zakat pendapatan yang tidak dilunaskan atau peniaga yang menipu dalam perniagaan.

Membina kehidupan dengan sumber yang haram, merupakah salah satu bencana kepada keluarga. Bertaqwalah kita kepada Allah daripada rezeki-rezeki yang kotor seperti ini.

NAFKAH MENTAL

Seorang ibu bapa yang baik juga adalah ibu bapa yang sedar bahawa anak-anaknya bukan sekadar bertubuh badan yang memerlukan minum makan dan pakaian. Setakat memberi makan minum dan perlindungan keselamatan, mungkin ada ibu burung, bapa kambing dan emak kucing yang lebih bersungguh mengusahakannya berbanding sesetengah kita yang sering anak-anaknya terlepas sarapan pagi sebelum ke sekolah.

Namun anak-anak kita dianugerahkan oleh Allah akal fikiran. Akal fikiran itu memerlukan kepada ilmu, pendidikan, dan rangsangan berfikir. Sifat anak-anak yang bertanya soalan, ingin tahu, jangan dibunuh dengan menutup mulut mereka. Galakkan mereka berfikir, kerana manusia yang akalnya gagal berfungsi, akan menurunkan martabat dirinya ke serendah-rendah kejadian.

NAFKAH EMOSI

Seorang ibu bapa yang lebih baik juga sedar bahawa anak-anaknya mempunyai perasaan atau emosi yang turut memerlukan makanannya sama seperti tubuh badan memerlukan makanan harian. Ibu bapa perlu berusaha untuk menunaikan nafkah emosi ini dengan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak. Pendapat mereka hendaklah dihargai, diminta dan didengar dari semasa ke semasa.

Hari ini kita berhadapan dengan dua kelompok ibu bapa yang ekstrim.

Kelompok pertama adalah ibu bapa yang terlalu merancang segala-galanya untuk si anak. Bukan sahaja apa makanannya, sekolah di mana, belajar subjek apa, mengaji bidang apa, di universiti mana, kerja sebagai apa, malah kahwin dengan siapa dan bagaimanakah bentuk rumahtangga anak-anak itu, semuanya diatur mengikut kehendak ibu bapa. Perbuatan sebegini akan menyebabkan anak kehilangan WUJUD DIRI mereka kerana pendapat mereka tidak pernah diberi perhatian.

Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa cuba untuk memenuhi impian peribadi mereka yang gagal dicapai, dengan memindahkan impian itu kepada anak-anak. Terlalu ramai remaja di luar sana yang berasa tertekan dengan sikap ibu bapa seperti ini. Mereka mungkin sangat lemah lembut terhadap anak-anak, tetapi hakikatnya mereka telah bersikap kasar kepada emosi anak-anak.

Lupakah kita kepada sikap yang ditunjukkan oleh Ibrahim alayhi al-Salam kepada anaknya Ismail.

Ibrahim adalah sepatuh-patuh manusia kepada Allah. Tatkala menerima perintah daripada Allah untuk menyembelih anaknya Ismail, apakah kata Ibrahim kepada anaknya itu?

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". [Surah al-Saaffaat 37: 102]

Kata-kata Ibrahim (فانظر ماذا ترى) yang bermaksud "Maka fikirkanlah apa pendapatmu?" adalah contoh bagaimana dalam soal sebesar melaksanakan wahyu Allah sekali pun, Ibrahim masih meminta pendapat anaknya Ismail. Inilah jiwa seorang bapa mithali yang wajar kita teladani.

Dengarlah, sebelum kita berharap pendapat kita didengari.

Berikan perhatian, sebelum kita berharap diri kita menerima perhatian mereka.

Ia bukan seruan Kebaratan atau menolak adat kebiasaan masyarakat Melayu. Ia adalah seruan kepada mencontohi para Anbiya' dan Rasul.

Manakala kelompok kedua daripada kalangan ibu bapa yang ekstrim ialah ibu bapa yang langsung tidak merancang apa-apa berkenaan anak-anak mereka. Makan minumnya, sekolahnya bagaimana, belajarnya apa, siapa kawannya, apa masalahnya, tiada apa yang pernah diambil tahu. Niat asal meramaikan anak kerana mahu membanggakan Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam berubah kepada menambah ramaikan musuh agama Allah Subhanahu wa Taala.

NAFKAH ROHANI (SPIRITUAL)

Sidang Jumaat sekalian,

Anak-anak kita dilahirkan sebagai Muslim. Perjuangannya adalah untuk memastikan kita dan mereka yang lahir Muslim, mati sebagai seorang Muslim. Kita sering risaukan cara kita mati. Jika boleh, kita mahu mati semasa berdoa di atas sejadah, atau mati semasa bertawaf di Kaabah, atau mati semasa menderma di rumah anak yatim.

Sedangkan cara mati itu di luar kuasa kita.

Apa yang berada di tangan kita adalah cara hidup. Cara hidup yang ditentukan oleh tujuan hidup. Apakah tujuan hidup kita? Tahukah anak-anak kita mengapa mereka lahir ke dunia?

Sebatang pen digunakan untuk menjadi paku di dinding bagi menggantung bingkai gambar akan pecah dan rosak semasa diketuk. Apabila rosak ia dibuang ke tong sampah. Bagaimana pen menjadi sampah? Pen diciptakan atas tujuan yang khususnya. Apabila disalah guna dia akan rosak. Dan apabila rosak ia menjadi sampah.

Demikian juga manusia. Allah menciptakan manusia dengan satu tujuan yang khusus. Jika manusia hidup dengan tujuan yang lain, dia akan menjadi rosak. Apabila rosak mereka menjadi sampah. Dan itulah asal usulnya sampah masyarakat. Siapakah sampah masyarakat? Kita boleh namakan mereka sebagai penagih dadah atau mat rempit. Tetapi hakikatnya mereka adalah manusia yang gagal menjawab soalan paling penting: HIDUP INI UNTUK APA?

Sains tidak mampu memberi jawapan. Matematik tidak boleh memberi jawapan. Hanya AGAMA sahaja yang mampu menjawab persoalan ini.

Itulah intipati firman Allah:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surah al-Dzaariyaat 51: 56]

Kita mesti sedar bahawa kita hamba. Anak-anak perlu diajar bahawa mereka hamba. Apabila manusia gagal hidup sebagai hamba, mereka akan menjadi tuhan. Tuhan kepada diri mereka sendiri. Hamba kepada nafsu sendiri yang semuanya itu mengundang binasa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita berusaha untuk memainkan peranan ini. Berfungsilah kembali sebagai bapa dan ibu yang bertanggungjawab. Ibu bapa yang bukan hanya memiliki anak yang lahir Muslim, tetapi mesti juga hidup Muslim dan mati Muslim.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tiada ulasan: