Selasa, 11 Januari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Nazri kepada Anwar: Debat dengan saya sebelum cabar Najib

Posted: 11 Jan 2011 03:00 PM PST

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" pakatan pembangkang berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

"Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu," kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan gagasan 1 Malaysia dan kempen 'One Israel', walaupun kerajaan mendedahkan dokumen yang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lepas, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong.

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

"Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

"PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini hari ini.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

"Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam," dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

Di IPOH, Pergerakan Pemuda Umno Perak menyifatkan cabaran Anwar itu merupakan taktik murahannya untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap krisis peribadinya sendiri.

Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata sekiranya Anwar benar-benar mahu berdebat, beliau sewajarnya menerima pelawaan Ketua Pergerakan Umno Khairy Jamaluddin.

Pergerakan Pemuda Umno Perak menyokong penuh cabaran Khairy untuk berdebat mengenai isu pelaksanaan pendekatan ekonomi yang termaktub dalam Pelan 100 Hari pakatan pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno Hishamudin Yahya pula berkata pelawaan Anwar itu tidak perlu dilayan sebaliknya Najib perlu terus memastikan semua program yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Daripada segi pendekatan ekonomi, beliau berkata walaupun Anwar telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, namun beliau masih gagal mempamerkan 'kehebatan' menarik pelabur luar negara ke negeri itu. – Bernama

Interlok hina kaum India?

Posted: 11 Jan 2011 02:00 PM PST

Oleh Tumingan Suration

Lazimnya,NONE jarang sekali karya sastera, khususnya novel Melayu mendapat perhatian sebegitu meluas daripada masyarakat umum di negara ini seperti yang diperoleh Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.Tetapi malangnya semua perhatian berkenaan atas sebab yang tidak sepatutnya.


Banyak pihak tampil membidas Interlok yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk tingkatan lima. Ia dikatakan sebagai karya berbentuk 'rasis' serta menyemai bibit-bibit unsur penghinaan.

Buku setebal 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Ia dibahagikan kepada empat buku, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bahagian kedua tentang Cing Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum semua itu dirangkum dalam bab terakhir.

Ia juga merangkumi sekurang-kurang tiga generasi yang mengambil latar sekitar 1910 dan berakhir pada latar masa 1957 ketika negara menyambut kemerdekaan.

Walaupun semua keempat-empat bahagian buku itu mempunyai kandungan yang kontroversial, namun bab yang mendapat publisiti meluas sekarang adalah yang berkisar mengenai keluarga Maniam.



India melenting!

Tidak seperti kaum lain di negara ini, yang melenting adalah hanya kaum India!

Bermula dengan bidasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan ia diperpanjangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam yang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu.

azlanPersekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dalam kenyataan medianya mendakwa Interlok memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan.

Buku mengenai Maniam itu bermula apabila lelaki berusia 30 tahun itu yang berbadan tegap dan bertulang rangka besar meninggalkan kampungnya di Tricur, Kerala, India kerana tidak tahan dicengkam kemiskinan.

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)

Sekumpulan masyarakat India di negara ini mempertikaikan kebijaksanaan Abdullah yang mengolah ceritanya dengan fakta-fakta sejarah dan hakikat sistem kasta yang membelenggui masyarakat di India ketika itu.

Maniam digambarkan gembira dengan peluangnya mendapat pekerjaan dan begitu serasi bukan sahaja dengan cuaca di Malaya yang hampir sama dengan kampung halamannya, tetapi juga makanan seperti kari yang digemari penduduk tempatan menepati citarasanya.

Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada. (halaman 216)

Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218)

Di negeri ini, orang daripada kasta Brahma memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu.

Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)

Tidak puas hati

Bagi kumpulan masyarakat India, perenggan-perenggan di atas terlalu sensitif dan mereka tidak berpuas hati denggannya.

Cerita itu disambung mengenai kebahagian yang dikecapi oleh Maniam bagaimapun tidak lama, apabila orang kampungnya, Raman dan Suppiah datang membawa khabar berita, bahawa isterinya Ambika sudah mengikut lelaki lain.

Esakan Maniam berhenti dan dia mengesat air matanya. Barulah Suppiah, orang yang berair muka seperti keanak-anakan itu bercerita. Isteri Mania, Ambika sudah amat melarat hidupnya. Dia sudah mulai makan pucuk-pucuk kayu. Tukang pinjam wang sudah tidak membenarkan dia tinggal di rumah itu lagi kerana rumah itu sudah menjadi haknya dan lembu Maniam itu diambilnya. (halaman 221)

Malah, Maniam yang tidak berpelajaran, setiap bulan mengirim wang kepada rakannya di India, Pillay supaya diberikan kepada isterinya. Pillay bukan sahaja gagal menunaikan amanah itu tetapi juga melarikan isteri sahabatnya itu.

NONEAkibat tertekan dengan berita itu dan menanggung malu yang besar, Maniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang dan merayau dari satu kebun ke satu kebun sehingga dia tercampak di kebun orang putih di Cangkat Lima.

Dia berjaya mendapat pekerjaan dari tandil kebun kelapa itu - juga seorang India dari Madras, Perumal dan akhirnya berkahwin dengan anak perempuannya Malini dan hidup dengan bahagia, tanpa memberitahu latar perkahwinannya dengan Ambika.

Akibatnya, kebahagian itu tidak berkekalan - Suppiah kemudiannya datang ke kebun itu dan membawa cerita bahawa Maniam pernah berkahwin dan meninggalkan isterinya.

Akibatnya beliau diusir dari ladang itu dan semasa meninggalkan estet berkenaan, Maniam diserang dan cuba dibunuh oleh orang yang tidak dikenali. Mujur kehadiran seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkannya.

Sekilas pandang, tidak dapat dinafikan mungkin ada petikan yang menguris hati dan dikatakan berbaur perkauman, namun kita tidak boleh melihat ayat terpencil atau isu yang diambil di luar konteks novel. Tindakan seumpama itu, hanya menidakkan niat suci dan murni pengarang untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui karyanya itu.

Perlu dibaca menyeluruh

Interlok perlu dibaca secara menyeluruh. Untuk menuduh Abdullah sebagai penulis rasis dan menghina masyarkat India serta membakar karya sasterwan negara itu, sesuatu tindakan melampau.

Pandangan tajam Abdullah Hussain membidas keadaan ketika itu, juga tidak terkecuali ke atas masyarakat Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh dan malas.

Setelah guru besar itu berlalu, Pak Musa ketwa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Mak Limah. Dia amat gembira kerana menipu guru besar itu.

"Buat apa sekolah? Tengok tu, tahu membaca dan menulis pun aku yang tak bersekolah ini dapat tipu bulat-bulat."

Masyarakat Cina pula digambarkan bermata duitan dan sentiasa tidak ikhlas serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang.

Ini jelas dipaparkan dalam Buku Dua - Keluarga Cing Huat. Menghiasi halaman utamanya, dimasukan pepatah Cina yang berbunyi: "Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang."

azlanLee Kim Lock yang melarikan diri dari tanah besar Cina akibat hasil tanaman mereka diserang belalang sanggup melakukan apa sekali perkerjaan pun termasuk mengangkat najis manusia.

Selain itu, demi wang, ikatan persaudaraan tidak penting. Malah mereka menikam satu sama lain seperti yang berlaku antara Paman Kok Leng yang menipu keluarga Cina yang dibawanya masuk ke Malaya. Hubungan adik-beradik juga menjadi tegang kerana wang.

Yew Hock lebih percayai oleh bapanya. Dia patuh pada ajaran bapanya, menimbang barang selalu kurang, berjual beli selalu bertegang urat.

Watak positif

Di sebalik watak dan nilai negatif yang ditunjukkan pengarang, pada novel ini menonjolkan watak positif untuk memberi keseimbangan dan memperlihatkan nilai terbaik bangsa dimanfaatkan untuk perpaduan kaum.

Dia terlalu memandang rendah kepada orang Melayu. Dia tidak pernah menganggap mereka manusia beradab seperti dia. Dia selalu mengatakan bahawa mereka malas. Dia mahu menarik keuntungan sahaja daripada mereka. Kalau mereka memberi keuntungan wang kepadanya, dia berbuat baik, kalau tidak dia menganggap mereka seperti sampah. Sekarang baru terasa bahawa kata-kata anaknya itu benar. Orang Melayu itu pun manusia juga. Mereka seperti kita, bukan orang biadap. (Halaman 321)

Satu lagi contoh pada novel ini yang menonjolkan watak positif, bangsa berlainan yang cuba menghormati satu sama lain, boleh dilihat pada petikan ini.

Maniam menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa-apa yang mesti dibuat. Dia melihat Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya.

"Baik orang India tu, Seman," kata Mak Limah ketika mulai menggobek sirih.

Selain itu, Abdullah Hussain juga cuba memecahkan tembok kasta dengan memperlihatkan bagaimana Maniam diterima bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga penduduk tempatan.

Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya. Hanyalah kerana berlainan agama dan bangsa yang memisahkan mereka, tetapi dalam pergaulan sebagai manusia Maniam memperlakukannya sebagai anak dan dia menganggap Maniam sebagai bapanya. (Halaman 316)

Justeru, mendakwa Interlok menghina kaum India bukan sahaja tidak tepat tetapi membawa malapetaka terhadap niat murni sasterawan negara itu cuba menegakkan hakikat bahawa masyarakat india memang tahu mengenang budi.

"Orang perempuan Melayu dari Kampung Nyiur Condong juga ada ditahan di sini. Dia ditahan bersama-sama papa, tapi belum disoal siasat lagi," kata Ramakrrisynan.
"Anaknya mana?" tanya Maniam.

"Anaknya juga ada di sini, tapi tak ditahan. Dia mahu tolong ibunya."

"Engkau tolonglah dia, Rama. Dia itu macam saudaraku sendiri. Suaminyalah yang menolong menyelamatkan aku dulu.' (Halaman 359)

Kaki kayu

Kisah bangsa Melayu, Cina dan India dalam novel ini sebenarnya dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti terkandung pada bab akhir.

Cerita diakhiri secara simbolik. Yew Seng yang terpaksa dipotong kakinya.

Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya. Dia mahu membeli sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu, tetapi Lazim dan Raman pun berkeras juga. Mereka mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India. Masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah khaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang. (Halaman 418)

Kontroversi Interlok, Anwar kemuka saranan terbaik

Posted: 11 Jan 2011 01:00 PM PST

Ketua Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul memberikan kenyataan paling rasional di tengah-tengah kontroversi novel Interlok yang divisif.

Anwar dilapor berkata tidak ada elemen perkauman dalam novel Interlok dan menyarankan pihak terbabit dalam kontroversi berbincang menyelesaikan pertikaian.

Beliau pada masa sama menyifatkan novel itu sebagai satu karya yang baik tetapi bukan istimewa, satu kenyataan yang mengimbangi sokongan beliau terhadap novel itu.

Anwar turut menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira setiap teguran berkaitan karya itu.

Walaupun muncul agak lewat, kenyataan Anwar ini meletakkannya dalam posisi yang positif selepas PAS dikritik hebat aktivis seni ekoran pendirian parti itu tidak mempertahankan Interlok walaupun pernah berpendirian tegas mempertahankan novel Shit karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Parti itu dikritik kerana dilihat tunduk kepada tekanan yang berasaskan politik dan sentimen perkauman kumpulan tertentu dan didakwa tidak mempunyai dasar berhubung seni dan budaya yang jelas dan konsisten.

PAS walau bagaimanapun melalui pemudanya berhasrat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian isu kontroversi itu.

Semalam, lima persatuan termasuk Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis berhubung tindakan membakar novel Interlok oleh beberapa orang individu di Klang, Selangor.

Hari ini, Pena bersama 12 pertubuhan menyerahkan memorandum menyokong novel Interlok kepada Kementerian Pelajaran dan pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Isu Interlok turut dijangka menjadi salah satu isu dalam kempen pilihan raya kecil Tenang di Segamat, Johor bulan ini.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/01/kontroversi-interlok-anwar-kemuka.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FIqBc+(SIASAH)

Rambut Rosmah

Posted: 11 Jan 2011 08:30 AM PST

#tanyanajib: Rambut Rosmah jadi sasaran

Aidila Razak

Banyak gembar-gembur isu, suara kekecewaan, malah tidak kurang juga tulisan yang menggelikan hati yang timbul hari ini di Twitterjaya - nama jolokan untuk komuniti blog mikro Twitter di Malaysia.

Tulisan berkenaan timbul berikutan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuka ruang selama sejam untuk menerima soalan-soalan ke laman berkenaan bermula jam 4.30 petang ini.

NONENajib meminta pengguna Twitter mengemukakan soalan itu melalui label (hashtag) #tanyanajib dan akan "mengambil kira" semua soalan yang diajukan.

Selain Twitter, Najib juga membuka ruang sama di laman sosial Facebook beliau.

Berikutan itu, Najib menerima soalan bertalu-talu daripada para pengguna laman sosial berkenaan sehingga beliau melanjutkan masa untuk menerima soalan yang diajukan.

"Memandangkan respon yang menggalakkan, saya memanjangkan masa #tanyanajib hingga ke 6ptg, supaya anda semua boleh mengajukan soalan," kata Najib kepada lebih 57,000 pengikutnya di laman tersebut.

Langkahnya itu juga membolehkan label #tanyanajib muncul dalam senarai sepuluh trend Twitter paling popular.

rosmah mansorPopulariti itu bagaimanapun masih belum mengatasi rekod tulisan Twitter untuk penjaga gol kebangsaan Fahmi Che Mat yang menjadi tersohor ketika perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010 bulan lalu.

Bagaimanapun, ramai di kalangan pengguna Twitter mengambil peluang hari ini untuk menjadikan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan jenaka.

Ada yang menimbulkan isu gaya rambut Rosmah, dan tidak kurang juga yang menimbulkan persoalan berhubung kematian tragis wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pengguna yang lebih serius pula ada di kalangannya yang menimbulkan isu kos sara hidup, undang-undang yang menindas serta tahap perkhidmatan pengangkutan awam dan pendidikan.

Menurut pejabat perdana menteri, Najib akan menjawab soalan terpilih melalui satu siaran video di laman YouTube.

KHUSRIN JAGA SELANGOR IBARAT KUCING JAGA IKAN

Posted: 11 Jan 2011 08:00 AM PST

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Isu pelantikan Khusrin sebaagi KSU Selangor melambangkan betapa primitifnya Umno BN berpolitik. Sabotaj Kerajaan Pakatan adalah ajenda dan kerja utama Umno sejak beberapa Kerajaan Negeri jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Apabila Khusrin dilantik melalui kaedah pelantikan yang bertentangan dengan semangat dan roh federalisme yang merupakan ciri asas Perlembagaan Negara jelas sekali ketagihan Umno mencabul Perlembagaan sudah tidak dapat dirawat lagi.

Rakyat masih tidak lupa kerakusan kuasa Umno "merogol" bergilir-gilir Perlembagaan di Perak. Bagi menjustifikasi kudeta ( rampasan kuasa ) yang Umno lakukan di Perak , Umno membunuh doktrin "trias politica" ( pengasingan kuasa ) , doktrin raja berperlembagaan dan pemakaian konvesyen Perlembagaan iaitu Menteri Besar dan kabinetnya seharusnya dijatuhkan melalui undi tidak percaya. Adakah Umno fikir rakyat masih lupa bagaimana Umno mengganyang Speaker Perak yang sah, menyalahgunakan polis dan SPRM bagi mewujudkan ketakutan kepada Adun-Adun Pakatan di Perak dan akhirnya memanipulasi sistem kehakiman yang sudah hancur bagi mengiyakan segala "dosa" yang Umno lakukan ke atas Kerajaan Pakatan .

Jika Umno tidak ada niat untuk mensabotaj Kerajaan Pakatan di Selangor mengapakah Umno menyalahgunakan Ketua Setiausaha Negara ( yang malangnya sedia disalahgunakan ) bagi melantik Khusrin sebagai KSU Selangor.

Umno penuh sedar Khusrin telah banyak melakukan perkara yang dilihat menentang dan mencabar secara terbuka polisi Kerajaan Selangor. JAIS yang pernah dikepalai oleh Khusrin banyak melakukan tindakan-tindakan yang menyusahkan Kerajaan Selangor. Bukankan Khusrin yang telah gagal memberi nasihat dan pandangannya yang betul kepada Sultan Selangor dalam isu Ahli Parlimen DAP Serdang yang hadir di dalam Surau Al-Huda, Kajang kerana menghulurkan bantuan. Adakah Umno ingat rakyat masih lupa dengan kata-kata Khusrin bahawa " Teo Nie Ching tidak boleh masuk ke dalam masjid kerana berhadas besar" sedangkan Nabi Muhammad sendiri membenarkan orang-orang Kristian Najran bersembahyang ( cara mereka ) di Masjid Nabi .

Adakah Umno ingat rakyat masih lupa bahawa Khusrin tidak langsung bersuara jauh sekali menggunakan "fatwa hadas besarnya" kepada Ahli Parlimen MIC dari Hulu Selangor P.Kamalanathan yang juga bukan beragama Islam apabila Ahli Parlimen tersebut berada di dalam masjid Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bersama-sama Adun Umno bagi memberikan replica cek .

Adakah Umno ingat rakyat sudah lupa Khusrin adalah individu yang bersungguh-sungguh melarang tokoh-tokoh ilmuan dalam Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi menyampaikan kuliah dan khutbah di masjid –masjid dan surau-surau di Selangor tetapi dalam masa yang sama berkempen kepada Nazir Masjid Al-Ihsan , Kampun Medan supaya membenarkan permintaan Umno untuk mengundang Presiden Umno, Najib Tun Razak berceramah di Masjid tersebut

Umno sudah tentu tahu bahawa dalam mana sistem demokrasi berparlimen ala Westminster menjadi satu prinsip yang diterima pakai secara sejagat bahawa seorang Ketua Setiausaha sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri bertanggungjawab berkhidmat dengan Kerajaan semasa ( government of the day ) dengan jujur dan setia. Tidak perlu diiingatkan KSU di Negeri Selangor mestilah seorang yang bersedia secara jujur dan penuh taat setia memastikan dasar Kerajaan Pakatan di Selangor dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin. Dengan lain perkataan KSU tersebut mestilah individu yang tidak membuat tindakan yang dilihat bertentangan dengan polisi Kerajaan Pakatan.

Bertolak dari situ , menjadi satu konvesyen Perlembagaan ( constitutional convention ) mana-mana Kerajaan Negeri di Negara ini mestilah mempunyai "say" dan wajar dirunding sebelum seorang KSU ingin dilantik di Selangor . Sudah tentu mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Selangor tidak akan mahukan KSU yang dilantik adalah individu yang mempunyai track record yang buruk kepada Kerajaan Negeri. Khusrin adalah seorang kakitangan awam di Negeri Selangor yang secara jelas termasuk dalam kategori individu yang tidak dapat dan tidak bersedia melaksanakan polisi Kerajaan Pakatan di Selangor.

Khusrin bukan sahaja tidak dapat melaksanakan polisi Kerajaan Selangor sebaliknya beliau telah dibuktikan secara terbuka menentang , mensabotaj dan memburukkan imej Kerajaan Selangor dengan tindakan-tindakannya yang saya telah nyatakan sebelum ini. Mungkin Khusrin sesuai berkhidmat sebagai KSU jika Kerajaan Selangor masih diterajui oleh Kerajaan bobrok Umno tetapi beliau amat tidak layak untuk berkhidmat dengan Kerajaan Pakatan.

Memanglah seorang KSU pada prinsip umumnya harus bersifat berkecuali dan "apolitical" ( tidak menyebelahi ). Dengan lain perkataan seorang KSU tanpa mengira parti mana pun memerintah mesti bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi kerajaaan yang beliau bertugas di bawahnya. Adakah ada orang yang sihat pemikirannya boleh percaya Khusrin akan bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi Kerajaaan Pakatan di Selangor.

Mungkin ada yang berhujah kenapakah tidak diberi peluang Khusrin terlebih dahulu menjalankan tugasnya sebagai KSU Selangor . Ini hujah yang agak manis tapi penuh dengan racun. Menerima hujah ini samalah ibaratnya memberi peluang kucing menjalankan tugas menjaga ikan. Kalau ikan tidak dimamah sehingga hancur itu bukan namanya kucing !

Hakikatnya Khusrin sudah pun diberi peluang berkhidmat di dalam Kerajaan Pakatan di Selangor sebagai Pengarah JAIS walaupun tidak mempunyai kelayakan tinggi dalam bidang agama bagi memegang jawatan tersebut. Adakah sikap dan tindakan Pengarah JAIS di bawah Kerajaan Umno di Selangor yang banyak menggangu autonomi masjid berbeza selepas Kerajaaan Pakatan memerintah Selangor ? Bukankah Exco Agama Selangor pun diketepikan oleh Khusrin dalam banyak tindakan beliau ?

Khalid tak perlu lepas jawatan jikapun pindaan gagal, kata pakar

Posted: 11 Jan 2011 07:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak perlu melepaskan jawatannya sekalipun usaha meminda perlembagaan negeri mengalami kegagalan disebabkan ketiadaan sokongan majoriti dua pertiga, kata pakar perlembagaan.

Prof A Aziz Bari berkata, Khalid tidak perlu berbuat demikian kerana seseorang menteri besar seperti juga perdana menteri dan ketua menteri hanya perlu meletakkan jawatan jika sudah kehilangan sokongan majoriti anggota dewan.

"Ini diwajibkan oleh perlembagaan, baik persekutuan mahu pun negeri.

"Ini sebenarnya yang menentukan sama ada ketua kerajaan perlu meletakkan jawatan, bukan soal kegagalan mendapat kelulusan undang-undang di Dewan," kata beliau.

Pandangan ini diberikan ketika timbul cakap-cakap bahawa Khalid (gambar), menteri besar penggal pertama, perlu melepaskan jawatannya lebih-lebih ramai berpandangan bahawa usaha meminda perlembagaan tidak berjaya kerana Pakatan Rakyat tidak cukup sokongan dua pertiga.

Perkara itu menjadi sebutan di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat dan juga pembangkang negeri iaitu Barisan Nasional.

"Orang keliru kerana ada yang menyebut konvensyen atau amalan perlembagaan di United Kingdom (UK)," katanya lagi.

Kata beliau, aspek itu tidak relevan di Malaysia memandangkan di UK konvensyen atau amalan seperti itu penting kerana negara berkenaan tidak mempunyai perlembagaan bertulis.

"Di negara kita, ia dinyatakan dengan jelas, bila ketua kerajaan sudah hilang sokongan majoriti, dia kena letak jawatan," katanya lagi.

Malah jelas beliau, pindaan perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga, bukan majoriti mudah yakni lebih sedikit daripada separuh.

"Gagal mendapat kelulusan Dewan tidak mengapa kerana setakat ini tidak ada tanda yang komponen Pakatan akan ada yang membelot.

"Umno-BN boleh bawa usul undi tidak percaya ke Dewan dan kita lihat sama ada ia disokong oleh majoriti," kata beliau lagi.

Kata beliau situasi di Selangor tidak sama dengan keadaan di Dewan Rakyat pada Disember 2009 apabila kerajaan BN hampir-hampir kalah dalam meluluskan Bajet 2010.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menambah bahawa yang jelas Whip tidak akan memberi kebebasan kepada ahli parti untuk mengundi sendiri dan "mereka perlu ikut cakap dan arahan Whip."

Katanya, apabila Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1987, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kesemua ahli Parlimen BN untuk datang ke Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada diri beliau.

"Mungkin Adun Pakatan akan melakukan hal yang sama di DUN Selangor dan ini akan mengukuhkan kedudukan Khalid sebagai menteri besar," katanya lagi.

Sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor yang antara lainnya dijangka untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 akan diadakan pada 24 Januari ini.

Speaker Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan supaya surat pekeliling pemberitahuan dikeluarkan kepada semua Adun Selangor bagi memaklumkan bahawa persidangan itu akan bermula pada 10 pagi, demikian menurut satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sidang berkenaan diadakan selepas Teng berpuas hati dengan alasan Menteri Besar bahawa ia adalah untuk kepentingan awam.

Urusan perkara mesyuarat dan kertas mesyuarat akan diedar kepada semua Adun kemudian selepas ia ditetapkan oleh Khalid.

Kerajaan negeri telah melantik Aziz dan peguam Datuk Param Cumaraswamy bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang bertujuan mengembalikan kepada Sultan dan negeri, kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang ini yang kini terletak pada pertadbiran pusat.

Isu berkenaan tercetus ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Isu SUK, saya hanya dedah kebenaran-Khalid Samad

Posted: 11 Jan 2011 07:15 AM PST

SHAH ALAM 11 Jan - Pendedahan berkenaan penyelewengan proses pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hanya berlandaskan untuk mendedahkan kebenaran semata-mata, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Katanya, pendedahan itu tidak langsung membabitkan masalah peribadi tetapi disebabkan ada satu usaha secara tidak bermoral merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat (Pakatan).

"Kalau kerajaan negeri memilih Khusrin, beliau ditemu bual dan nombor satu dari pada enam calon yang dicalonkan, saya tidak ada masalah, tetapi beliau adalah calon nombor enam daripada enam yang ditemu bual dan beliau juga bukan pilihan kerajaan negeri.

"Dan beliau juga banyak kekurangan dari segi keupayaan untuk menyandang peranan SUK, ini bukan soal peribadi tetapi ini soal mencari calon yang terbaik untuk memegang jawatan SUK. Kalau beliau yang terbaik saya terima dan ini terbukti kerana kita jalankan temubual," katanya.

Terdahulu, Khalid mendedahkan konspirasi dalam pelantikan Khusrin sebagai SUK dengan mendakwa bekas SUK, Selangor Datuk Ramli Mahmud adalah dalang dengan mengemukan nama Khusrin kepada istana Selangor pada 3 Disember lalu tanpa pengetahuan Menteri Besar.

Khalid sebelum ini sering menegur tindakan Khusrin sewaktu menjawat jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Antaranya Khusrin digesa meletakkan jawatan jika beliau tidak mampu mengasingkan kecenderungan politik dari jawatan yang dipegangnya kerana didapati melanggar titah Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan agar masjid dan surau-surau di Selangor tidak dipolitikan.

Khusrin ketika itu, dilihat beria-ria menyokong permohonan rasmi Umno yang mahu menggunakan Masjid Al-Ihsan di Kampung Medan, Petaling Jaya untuk program bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan Pakatan S’gor sangkal tuduhan pembangkang

Posted: 11 Jan 2011 07:00 AM PST

SHAH ALAM, 11 Jan – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap kulit buku latihan sekolah yang diagihkan secara percuma kepada pelajar miskin di negeri ini mempunyai agenda politik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, maklumat kulit buku tersebut tidak mempunyai unsur politik kerana ia sekadar menyenaraikan dasar kerajaan negeri yang perlu diketahui umum.

Menurutnya, dakwaan sesetengah pihak bahawa perlaksaan pemberian buku latihan secara percuma itu sebagai mempunyai agenda politik berikutan tertulis manifesto yang dilaksanakan Pakatan Rakyat (Pakatan), adalah satu bentuk 'saluran maklumat' kerja-kerja pengurusan kerajaan negeri ini kepada rakyat semata-mata.

"Tindakan sedemikian bertujuan untuk memberitahu rakyat mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk rakyat, bahawa kerajaan negeri menggunakan wang rakyat bukannya untuk perbelanjaan percutian.

"Ia juga bukanlah agenda politik tetapi maklumkan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan dan perlaksanaan program yang telah dilaksanakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Halimah berkata, selama ini rakyat di negeri ini ingin tahu mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan negeri.

Semalam, akhbar ini melaporkan reaksi Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian Sungai Besar, Zainuddin Jubri yang menyifatkan tindakan tersebut boleh diklasifikasikan mengandungi agenda politik berikutan kulit buku itu mempunyai slogan dan manifesto yang dilaksanakan Pakatan.

Difahamkan setiap pelajar kurang kemampuan menerima 20 buah buku latihan yang akan digunakan mereka pada sesi persekolah tahun ini.

Difahamkan, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM650.000 bagi membekalkan lebih sejuta naskhah buku kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk kawasan parlimen tanpa mengira latar belakang politik.

Pakatan Rakyat cabar Adun BN hadir sidang khas DUN 24 Jan

Posted: 11 Jan 2011 06:45 AM PST

Oleh Yow Hong Chieh


SHAH ALAM, 11 Jan – Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencabar wakil rakyat Barisan Nasional (BN) agar hadir sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini bagi membuktikan sokongan mereka kepada Sultan Selangor.

Khalid berkata, sidang khas itu adalah "ujian asid" bagi BN Selangor yang selama ini mendakwa mereka setia kepada negeri dan juga Sultan.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu menambah, beliau tidak menjangkakan Adun BN akan muncul pada sidang khas 24 Januari ini atas alasan mereka "pengecut", yang hanya tahu untuk menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu menggunakan taktik-taktik kotor.

"Buktikan kalau saya salah," kata beliau.

Khalid juga berkata usul pindaan perlembagaan kemungkinan tidak akan menerima kelulusan, tetapi menekankan, sidang khas kali ini akan membuktikan Umno dan BN sebenarnya merupakan penderhaka kepada negeri dan Sultan.

Selangor akan mengadakan sidang khas 24 Januari ini untuk menyelesaikan kemelut semasa ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim hari ini berkata sidang khas itu akan diadakan 24 Januari dan surat rasmi memanggil persidangan telah pun dikeluarkan.

Dalam laporan awal pagi, The Malaysia Insider melaporkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat tidak meletakkan harapan akan memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan dalam usahannya meminda perlembagaan negeri, tetapi berpendirian tetap mahu meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi "mendedahkan sikap" Umno yang sebenarnya.

The Malaysian Insider difahamkan kerajaan negeri sudah pun menjangkakan yang cubaan mereka meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa pelantikan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru, tidak akan berjaya.

"Kami menjangkakan bahawa pindaan tidak akan berjaya kerana Umno atau BN (Barisan Nasional) (hanya) mahu merampas kuasa negeri," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

"Bagaimanapun, kami mahu meneruskan usaha ini, jadi rakyat akan tahu bahawa Umno bukan sahaja memperlekehkan kuasa Sultan, tetapi juga memperkecilkan kuasa negeri," katanya.

Keputusan itu dicapai pada majlis taklimat ringkas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Shah Alam, semalam.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 wakil di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan sebanyak 56 kerusi dan memerlukan sokongan dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

Sumber itu juga berkata, sidang khas kali ini juga bertujuan mengetepikan dakwaan Umno bahawa Pakatan Rakyat menderhaka pada institusi diraja.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membayangkan Umno-BN akan menolak pindaan ini.

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa Selangor akan memfokus untuk menyelesaikan pertikaian pelantikan Khusrin selepas sidang Dewan Undangan Negeri khas.

Pinda Perlembagaan: Dewan Negeri Selangor sudah siap siaga

Posted: 11 Jan 2011 06:30 AM PST

SHAH ALAM 11 Jan - Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya sudah selesai memberikan pandangan dan nasihat serta kesan-kesan pindaan dalam draf yang disediakan Kerajaan Negeri Selangor bagi meminda perlembagaan negeri itu.

Aziz Bari ketika dihubungi TVSelangor berkata, kerajaan negeri menyediakan draf pindaan dan Khalid sebagai Menteri Besar akan menjelaskan kepada Dewan mengenai kronologi dan isu sebenar dalam krisis pelantikan tersebut.

Sebelum itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim Khalid dilaporkan berkata, kerajaan negeri melantik Aziz Bari yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa dan peguam Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Ujar Khalid, ia membabitkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar, kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang.

"Menteri Besar juga akan menerangkan bagaimana kerajaan negeri menangani isu ini setakat ini serta menjelaskan kekeliruan supaya ahli Dewan dapat faham kedudukan sebenar.

"Kita cuma diminta memberikan nasihat dan menyediakan draf pindaan sahaja, yang lain itu merupakan keputusan dan pendekatan politik yang diambil oleh kerajaan negeri dan saya tidak campur tangan dan saya pun tidak tahu kerana perkara itu berada di dalam pengetahuan dan kebijaksanaan kerajaan negeri," jelasnya.

Cuma jelas Aziz selepas itu, mungkin ahli dewan akan bertanyakan soalan dan mungkin usul tertentu yang akan dibawa oleh ahli dewan dan terpulang kepada dewan untuk menerima atau tidak.

Dalam kenyataan pejabat Speaker Dun Selangor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha Dun supaya memaklumkan perkara itu kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Sidang 24 Januari ini nanti diadakan mengikut Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurut kenyataan itu, Speaker memanggil mesyuarat tersebut selepas berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal dari tarikh Dun ditangguhkan.

Kebakaran dalam tempoh dua minggu, dipercayai angkara khianat

Posted: 11 Jan 2011 06:15 AM PST

PETALING JAYA, 11 Jan - Sebuah lagi butik pengantin terbakar pagi ini, dipercayai angkara perbuatan khianat, selepas tiga kes yang sama dilaporkan dalam tempoh dua minggu lepas di SS2, Petaling Jaya.

Kebakaran berlaku di ruang tamu butik dua tingkat itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 apabila hampir keseluruhan barang-barang perkahwinan dalam butik itu musnah.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Sulaiman Shamsuddin berkata, bomba menerima panggilan pada pukul 5.34 pagi dan satu jentera dengan tujuh anggota mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

"Unit forensik bomba turut ke tempat kejadian bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata siasatan terperinci akan dijalankan mengenai kebakaran itu memandangkan terdapat tiga lagi kejadian yang sama melibatkan butik pengantin di kawasan berkenaan.

"Polis tidak menolak kemungkinan ada perbuatan khianat dalam kejadian ini. Ia boleh jadi ada persaingan dalam perniagaan. Kegiatan ini mungkin didalangi oleh suspek yang sama dengan kejadian kebakaran yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut ditemui kira-kira 60 meter dari butik itu ialah sebuah kotak berisi barang-barang dari butik terbabit yang dipercayai dilarikan oleh suspek.

-Bernama

Interlok: Saya bukan mahu hina kaum India, kata penulis

Posted: 11 Jan 2011 06:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain mempertahankan novelnya Interlok, yang menjadi fokus kontroversi sambil berkata, beliau tidak bermaksud mahu menghina masyarakat India negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempertikaikannya agar membaca kandungan novel itu dengan mendalam sebelum melahirkan pendirian mereka.

Novel itu yang kini berusia empat dekad telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan teks sastera mulai tahun ini.

"Baca betul-betul (teks Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India," kata beliau.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Abdullah berkata, beliau berasa dukacita kerana maksudnya baik, tetapi orang salah menerima.

"Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman 'paria'. Saya ikut (Bapa Kemerdekaan India) Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya," kata beliau dalam temu bual ringkas ekoran faktor uzur.

Semalam, Abdullah, 91, juga menerima kunjungan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd. Ghafar Mahmud di rumahnya di Petaling Jaya.

"Ia merupakan kisah Maniam iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini.

"Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia," kata beliau yang dilaporkan hanya hanya mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.

Abd. Ghafar pula berkata beliau tidak boleh berkongsi mengenai butir-butir perbincangan dengan Abdullah dalam pertemuan semalam sehingga laporan mengenainya dikemukakan kepada Kabinet.

MIC pula dilaporkan berkata, mahu Kementerian Pelajaran melakukan perubahan dalam kandungan novel itu yang dijadikan buku teks Saster Tingkatan Lima, yang akan digunakan bagi sesi persekolahan tahun ini.

Setiausaha Agungnya Datuk T Rajagopali berkata, ia penting kerana terdapat satu bahagian dalam buku tersebut yang menyentuh isu sensitif di kalangan masyarakat India.

Laporan semalam menyebut lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mengenai insiden pembakaran novel itu oleh sekumpulan penduduk di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Klang, Sabtu lepas.

Kelima-lima NGO itu - Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Persatuan Ikatan Melayu Asli Nusantara membuat laporan secara bersama di Balai Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Kumpulan penduduk itu mendesak kerajaan mengharamkan novel itu kerana didakwa menghina kaum India di negara ini dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran sastera subjek Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan Lima.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat memberitahu The Malaysian Insider pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan muhibah menyelesaikan isu berkenaan minggu ini.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran bagi mengkaji semula penggunaan novel itu sebagai buku teks subjek sastera.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi memberitahu kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini.

Beberapa pihak termasuk NGO telah mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera tingkatan lima itu telah ditarik balik kerana dikatakan mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.

Puad berharap agar semua tidak mempolitikkan isu novel itu kerana niat kerajaan adalah untuk menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar dan rakyat negara ini.

Belasah ahli perniagaan, 5 polis didakwa

Posted: 11 Jan 2011 05:45 AM PST

PETALING JAYA 11 Jan - Lima anggota polis hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini berhubung dakwaan membelasah ahli perniagaan, Chia Buang Hing.

Daripada lima anggota itu, empat konstabel didakwa mengikut seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana dakwaan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Chia di balai polis Kota Damansara daripada jam 12.30 pagi hingga 3 pagi pada 19 Disember tahun lalu.

Keempat-empat konstabel itu adalah Mohd Azwan Hassan, Norzali Rosle, Ahmad Saifullah Osman and Alizulhafiz Abdul Ghafar.

Mohd Azwan dan Norzali menghadapi pertuduhan kedua atas akta yang sama kerana mencederakan Chia di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Petaling Jaya antara jam 11.30 malam 18 Disember hingga 12.30 awal pagi hari keesokannya.

Keempat-empat mereka mohon dibicarakan. Jika bersalah mereka boleh dipenjarakan maksimun setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Seorang lagi anggota yang didaakwa adalah lans korporal Mohadi Adam yang didakwa mengikut seksyen 166, Kanun Kesiksaan kerana tidak mematuhi undang-undang dalam usaha untuk mencederakan pengadu.

Mohadi mohon dibicarakan. Jika bersalah dia menghadapi hukuman penjara maksimun setahun, denda dan juga kedua-duanya.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan tidak menetapkan sebarang ikat jamin bagi pembebasan kelima-lima mereka sementara menunggu perbicaraan yang ditetapkan pada 14 februari depan.

Chia sebelum ini juga mendakwa anggota polis berkenaan bukan sahaja menyerang tetapi merompak wang tunai RM13,000 daripadanya.-Malaysiakini.

Anwar pertahan ADUN Sri Muda, dakwa Umno penderhaka

Posted: 11 Jan 2011 05:30 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

PETALING JAYA, 11 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei, yang sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi tulisan blog, 30 Disember lalu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, jika tulisan Shuhaimi itu dianggap sebagai "penderhaka" bagaimana pula dengan tindakan Umno yang menarik kuasa Raja-raja Melayu pada 1993.

"Itu adalah istilah biasa, kalau tulisan Shuhaimi ditaktifkan sebagai penderhaka bagaimana dengan kenyataan pemimpin Umno di Terengganu dan Kelantan dan semasa meminda perlembagaan?

"Jadi sekarang ada dua Malaysia, satu mempertahankan kekebalan pemimpin Umno dan kedua untuk rakyat Malaysia," katanya.

Shuhaimi sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor "beraja di mata, bersultan di hati" dalam blognya pada 30 Disember lepas.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-seolah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Kata beliau, kenyataan Shuhaimi itu boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci baginda.

Shuhaimi bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan bersedia menghadap Sultan Selangor untuk memohon maaf.

Dalam blog itu, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, wakil rakyat itu menerusi kenyataan dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan gambaran amaran kepada institusi beraja Selangor supaya "tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana".

Shuhaimi berkata demikian dengan mengulas isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Sejak Khusrin diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan pelantikan itu, yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Dalam sidang media sama, Anwar (gambar) turut menyentuh soal suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock yang akan memfokus pada prosedur-prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata kemungkinan tiada sebarang tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat walaupun keputusan sudah dicapai.

"Dalam kes Teoh Beng Hock walaupun suruhanjaya diraja ditubuhkan tapi hanya mempunyai kuasa yang terhad.

"Kalau keputusan dibuat saya tidak rasa akan ada tindakan. Sebagai contoh kes VK Lingam, begitu juga kes mata lebam saya... tiada tindakan yang diambil walaupun ada bukti baru," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneruskan keputusan dibuat 17 Julai 2099 untuk mewujudkan suruhanjaya diraja, dengan terma-terma khusus, bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Suruhanjaya itu yang akan diwujudkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 akan menyiasat perjalanan dan pengurusan SPRM serta di mana sesuai, menyiasat kelakuan mana-mana pegawai SPRM.

Mahkamah Koroner sebelum ini memutuskan punca kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Malaysia must respond to stop brain drain, says Kit Siang

Posted: 11 Jan 2011 05:15 AM PST

By Debra Chong

KUALA LUMPUR, Jan 11 – The DAP's Lim Kit Siang today called the government's Talent Corporation meaningless, and pointed to news that another Malaysian had become Singapore's top student as a sign that talent was leaving the country at a faster pace.

He said Talent Corporation would not be able to stem the brain drain phenomenon unless it can provide what other countries are offering Malaysians.

The veteran opposition leader cited the example of Malaysian teen, Chia Pei Yun, topping Singapore's O-level examinations this year.

The O-levels are the equivalent of Malaysia's SPM examinations.

"Unless the Cabinet is prepared to come out with a commensurate response, even the formation of a Talent Corporation will not be meaningful in checking brain drain to retain and attract the best human capital in the country, the most important pre-condition to save Malaysia from bankruptcy in 2019," the 69-year-old said in a media statement today.

Minister in the Prime Minister's Department in charge of the government's transformation programme, Datuk Seri Idris Jala, had previously warned that Malaysia could become another Greece before it achieved its dream of a becoming a developed nation in 2020.

Lim said Prime Minister Datuk Seri Najib Razak should make the issue a priority when he holds his weekly Cabinet meeting tomorrow if he is serious about transforming the nation's economy from industry-based to knowledge-based.

Lim remarked that it was the third year in a row a Malaysian student had excelled in the island republic's exams, and named Selangor girls Lai Kai Rou and Haw Sue Sern to drive home his point.

The federal lawmaker reminded Najib to heed the advice of his own panel who had collectively said, when the New Economic Model (NEM) was announced last March, that: "Malaysia must be seen by its people and others as a land of equal opportunity to earn a good living and provide a secure, happy life for each individual and family."

The Talent Corporation – or Talent Corp for short – is an agency under the Prime Minister's Department tasked to draw skilled foreigners and an estimated 700,000 skilled locals currently abroad to work in Malaysia.

Another 1.5 million Malaysians are estimated to be studying and living overseas.

The agency is headed by Johan Mahmood Merican, 37, who has a first-class honours degree in economics from Cambridge University, and started operations on January 1.

Putrajaya had last month announced a new visa scheme to start in April that will make it easier for skilled expatriates to live and work in the country.

Pakatan nafi gantung kain rentang isu SUK

Posted: 11 Jan 2011 05:00 AM PST

SHAH ALAM 11 Jan – Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor hari ini menafikan mereka terbabit menggantung kain rentang yang didakwa menolak campur tangan Sultan dalam pentadbiran negeri itu.

Kain rentang yang digantung sekitar Shah Alam tertera tulisan berbentuk provokasi bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor

Kain rentang tersebut yang digantung di sekitar Shah Alam tertera tulisan berbentuk provokasi seperti 'Di manakah Keadilan Sultan Dalam Isu Pemilihan SUK? Siapa Lebih Berhak?" dipercayai ingin mencetuskan ketegangan antara pimpinan Pakatan di Selangor dengan Institusi Diraja.

Dalam sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menyifatkan tindakan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertangungjawab dengan lambang Pakatan jelas tertera untuk tujuan memburuk-burukan imej dan mengeruhkan hubungan antara rakyat, pimpinan Pakatan Rakyat dan pihak istana.

"Kita menafikan banner-banner ini datang daripada pihak kami (Pakatan) dan dari isi kandungannya bercanggah dengan sikap Pakatan dan kami jelas tidak mahu adanya sengketa dengan pihak istana dan ini terbukti atas kesanggupan Menteri Besar dan Exco untuk hadir dalam majlis angkat sumpah tempoh hari.

"Kita melihat lawan kita ialah Umno-BN dan bukannya pihak sultan," katanya.

Khalid berkata, sekurang-kurangnya terdapat tiga kain rentang, ditemui di Seksyen 9, Seksyen 13 dan di Bulatan Shah Alam.

Menurutnya lagi, dalam kain rentang tersebut tertera bendera ketiga-tiga parti gabungan Pakatan, dan tertulis Biro Penerangan Selangor.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa PAS Shah Alam telah membuat laporan polis berhubung kain rentang tersebut.

Mohd Sofian Mohd Shariff membuat laporan tersebut di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, wakil DAP, Ng Suee Lim berkata, pihaknya sentiasa berpendirian menjunjung Perlembagaan dan kedaulatan Institusi Diraja serta menyifatkan kain rentang tersebut adalah usaha Umno-BN untuk mencetuskan keretakan hubungan antara Pakatan dengan pihak istana.

"Saya beranggapan ini adalah satu lagi projek Barisan Nasional, khususnya Umno yang begitu tertekan dengan 100 hari Pimpinan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskan semasa Kovensyen Kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Ini kerana ramai rakyat dapat menilai keikhlasan Pakatan mentadbir negeri Selangor, membuatkan mereka tidak senang duduk dan melaga-lagakan serta membakar api kebencian, khususnya orang-orang Melayu terhadap Pakatan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cabang Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Selangor, Yahya Sabri berkata, provokasi seperti ini bukan perkara baru dan jelas ia dibuat untuk menjatuhkan pihak lawan dengan fitnah dan tohmahan yang melulu demi kepentingan poltik mereka.

"Bagi kita provokasi ini bukan perkara baru, ia seperti apa yang berlaku di Johor, ketika Datuk Chua Jui Meng menjadi Pengerusi KEADILAN Johor turut berlaku perkara seperti ini.

"Maknanya agenda ini dimainkan oleh Umno, dan kita cukup yakin ianya dimainkan oelh mereka, kalau setakat banner-banner ini kita sudah cukup masak," katanya.

Isu SUK: Selangor jangka pindaan gagal tapi mahu ‘dedah’ Umno

Posted: 11 Jan 2011 04:45 AM PST

Oleh Boo Su-Lyn


KUALA LUMPUR, 11 Jan — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak meletakkan harapan akan memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan dalam usahannya meminda perlembagaan negeri, tetapi berpendirian tetap mahu meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi "mendedahkan sikap" Umno yang sebenarnya.

The Malaysian Insider difahamkan kerajaan negeri sudah pun menjangkakan yang cubaan mereka meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa pelantikan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru, tidak akan berjaya.

"Kami menjangkakan bahawa pindaan tidak akan berjaya kerana Umno atau BN (Barisan Nasional) (hanya) mahu merampas kuasa negeri," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

"Bagaimanapun, kami mahu meneruskan usaha ini, jadi rakyat akan tahu bahawa Umno bukan sahaja memperlekehkan kuasa Sultan, tetapi juga memperkecilkan kuasa negeri," katanya.

Keputusan itu dicapai pada majlis taklimat ringkas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Shah Alam, semalam.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 wakil di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan sebanyak 56 kerusi dan memerlukan sokongan dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

Sumber itu juga berkata, sidang khas kali ini juga bertujuan mengetepikan dakwaan Umno bahawa Pakatan Rakyat menderhaka pada institusi diraja.

"Yang paling penting perjuangan ini adalah perjuangan bagi rakyat," kata sumber itu.

"Jika anda meyakinkan rakyat dan mendedahkan BN dalam isu ini, kita boleh justifikasikan apa sahaja yang kita hendak lakukan selepas ini," kata beliau.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membayangkan Umno-BN akan menolak pindaan ini.

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa Selangor akan memfokus untuk menyelesaikan pertikaian pelantikan Khusrin selepas sidang Dewan Undangan Negeri khas.

"Kami mahu menyelesaikan isu menderhaka terlebih dahulu. Ini langkah pertama," kata sumber itu lagi.

"Kami tidak mencuba untuk membunuh banyak burung dengan satu batu, atau kami kehilangan kesemua burung. Jadi, kami akan lakukan satu demi satu," katanya.

Beliau juga berkata, pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari telah menasihatkan kerajaan Selangor agar tidak meminda perlembagaan dengan mengunakan pendekatan kesan retrospektif iaitu menguatkuasannya sebelum pelantikan Khusrin.

Kata sumber, pakar itu berpandangan bahawa jika pendekatan itu digunakan pindaan perlembagaan akan dilihat bertujuan memenuhi kepentingan peribadi atau agenda politik.

Katanya, Selangor juga mempertimbangkan opsyen untuk meminda undang-undang bagi mendefinisikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai suruhanjaya perkhidmatan negeri.

"Ini hanya memerlukan majoriti mudah," katanya.

Putrajaya menekankan bahawa terma "suruhanjaya perkhidmatan sewajarnya" yang digariskan di bawah Seksyen 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri merujuk kepada SPA, bukannya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

Selangor berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu.

Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Khalid menolak pelantikan Khusrin yang sebelum ini merupakan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa pindaan ke atas Seksyen 52(1) akan mencerminkan peruntukan sebelum pindaan perlembagaan negeri 1993.

Barang Naik, Ahmad Maslan Gelabah

Posted: 11 Jan 2011 04:30 AM PST

Pemimpin Umno masih rungsing memikirkan mengenai janji Pakatan Rakyat 100 hari yang semakin diterima oleh rakyat apabila diberikan mandat untuk memerintah negara. Kenyataan Datuk Ahmad Maslan di Dewan Serbaguna Felda Chempelak Barat Tenang telah menyelar tindakan pembangkang yang selalu menghentam kerajaan berhubung kenaikan harga barang sebaliknya mencabar pembangkang menurunkan harga barang di negeri yang dikuasai mereka.

Ucapan Datuk Ahmad Maslan yang bertaraf Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan Umno Malaysia lebih bersifat emosi dan gelabah menghadapi kebangkitan rakyat, terutama generasi kedua Felda di Dewan Undangan Negeri Tenang. Tidak munasabah langsung cabaran beliau supaya negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga di negeri yang mereka kuasai. Kenyataanya sama seperti kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Seri Muhyiddin Yasin yang mencabar pemimpin negeri Pakatan Rakyat naikkan gaji guru RM500. 00 sebagaimana janji dalam buku jingga.

Pimpinan pakatan Rakyat boleh menurunkan harga barang dengan syarat segala hak yang dipungut di negeri Pakatan Rakyat oleh kerajaan pusat seperti saman ekor, saman Jabatan Pengangkutan Jalanraya, cukai kastam, imigresen, cukai stem, tol, cukai jalan, cukai perkhidmatan 6 % di restoran, cukai kad kredit RM50 diserahkan kepada negeri Pakatan Rakyat. Insyaallah negeri Pakatan Rakyat mampu memberikan kesenangan kepada rakyat, sebagaimana yang telah dibuktikan sekarang ini melalui air percuma , skim kifalah dan sebagainya walaupun hasil negeri tidak seberapa berbanding dengan pendapatan kerajaan pusat. Kenyataan beliau ini tidak lebih daripada hendak melindungi rasa bersalah kerajaan yang ada gagal menguruskan rakyat dengan baik walaupun hasil negara melimpah ruah sehingga kehidupan rakyat semakin tertekan. Rakyat bawahan sudah mula merungut dengan kenaikan harga barang. Kuasa membeli di kalangan rakyat semakin rendah seperti komen Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali, mengenai kuasa beli di kalangan rakyat semakin merosot di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat.Tambah Alsetdek lagi, kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidakseimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sebuah negara. Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai.

PAS ingin menyeru Datuk Ahmad Maslan memahami apa kuasa negeri dan pendapatan negeri berbanding dengan pendapatan yang dimiliki oleh kerajaan pusat. Pendapatan keraan negeri tidak banyak, cuma daripada hasil cukai tanah, perhutanan, air, cukai pintu sahaja. Dengan kekangan kewangan dan pendapatan ini pun kemampuan negeri Pakatan Rakyat mampu mentadbir, tanpa terencat untuk kebaikan rakyat, contohnya negeri Kelantan walaupun sudah 20 tahun kita mampu mengurus dengan baik. PAS menyeru rakyat bangkit menolak pemimpin BN dan berilah mandat baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mentadbir urus dengan baik, kerana terbukti dan teruji.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Mayat Bayi Perempuan Ditemui Di Tempat Pembuangan Sampah Di Kampung Baru

Posted: 11 Jan 2011 04:15 AM PST

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tempat pembuangan sampah di Jalan Hamzah, Kampung Baru di sini pada Selasa.

Mayat bayi yang lengkap berpakaian itu ditemui pada 10 pagi oleh seorang suri rumah, Supik Satun, 43, dalam sebuah kotak di hadapan rumahnya, ketika beliau hendak membuang sampah.

"Pada mulanya saya ingatkan dalam kotak itu sampah tetapi selepas membukanya saya dapati mayat seorang bayi perempuan. Terkejut dengan keadaan itu saya lantas memanggil jiran saya yang berada di dalam rumah untuk menentukan sama ada ia bayi atau anak patung," katanya kepada Bernama.

Jiran Supik, Suntari Manaf, 46, berkata beliau segera ke tempat pembuangan sampah itu selepas dipanggil oleh wanita berkenaan.

"Saya yang diberitahu ada bayi pada mulanya tidak percaya dengan perkara tersebut, namun setelah melihatnya akhirnya saya terkejut dan segera menelefon polis," kata Suntari, yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai kes tersebut.

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

Ramai Baru Tahu Fuad Zarkashi Bangang

Posted: 11 Jan 2011 04:00 AM PST

Tindakan Puad Zarkashi memalukan
Suhaizan Kaiat

Tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi mempertahankan Pengarah Pelajaran Johor Tn. Hj. Markom Giran berkempen untuk Barisan Nasional di Sekolah Menengah Tenang Station pada 31hb Disember 2010 sangat memalukan khususnya warga pendidik dan masyarakat di Dun Tenang, Johor. Dalam kenyataannya semalam Dr Mohd Puad menyatakan bahawa tindakan Tn Hj Markom tersebut tidak salah kerana sebagai penjawat awam beliau berhak menyokong polisi-polisi kerajaan. Dr Mohd Puad memberi alasan bahawa calon belum dikemukakan maka tiada kempen dilakukan oleh Pengarah Pelajaran Johor tersebut.

Sebenarnya Timbalan Menteri Pelajaran ini tidak mengkaji ucapan sebenar Tn Hj Markom yang rakamannya boleh diperolehi dengan mudah di YouTube. Beliau juga boleh mendapatkan penjelasan daripada Pembantu Khas beliau En. Zahari Bin Sharif yang turut hadir dalam taklimat tersebut. Secara jelas Tn Hj Markom mengesa guru-guru kaunseling menyokong dan berkempen bagi calon Barisan Nasional(BN) dalam pilihanraya Kecil Dun Tenang. Antara ucapan-ucapan beliau adalah :

"Kalau tidak ada pilihanraya Tenang, maka saya tidak akan berjumpa tuan-tuan semua"

" Memohon bantuan gerakan jentera bantu kerajaan untuk menang pilihanraya kali ini"

Tn Hj Markom juga meminta guru kaunseling berbangsa Cina dan India membuat program motivasi di sekolah Jenis Kebangsaan. Selepas program tersebut, guru kaunseling tersebut dikehendaki berjumpa ibu bapa pelajar bagi mengenalpasti kecenderungan politik mereka. Beliau menyatakan terdapat empat kategori ibu bapa iaitu hijau adalah penyokong pembangkang, kelabu mereka yang membantah dasar-dasar kerajaan, putih dan biru dipercayai penyokong BN. Tn Hj Markom juga mendesak kepada guru-guru kaunseling menukarkan kecenderungan poitik ibu bapa daripada kelabu kepada biru. Jika pegawai pendidikan tidak boleh berfungsi maka mereka akan ditukarkan ke tempat lain.

Taklimat Tn Hj Markom ternyata dengan jelas cuba mengerakkan guru-guru kaunseling memenangkan calon BN. Bagaimana Dr Mohd Puad boleh menyatakan bahawa taklimat tersebut adalah menyokong polisi-polisi kerajaan. Apakah mengkategorikan pengundi Dun Tenang sebagai hijau, kelabu, putih dan biru itu boleh dianggap usaha menyokong dasar kerajaan? Apakah memaksa guru kaunseling menukar pandangan politik pengundi DUN Tenang daripada kelabu kepada biru itu boleh dianggap sebagai usaha menyokong polisi-polisi kerajaan? Intipati taklimat Tn Hj Markom bukan menyokong polisi kerajaan sebaliknya menyokong parti UMNO- BN. Malah tindakannya telah menyalahi Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad hendaklah berkecuali dalam menilai laporan-laporan yang telah dikemukakan walaupun daripada Pakatan Rakyat. Beliau tidak boleh berpihak atau dilihat berpihak. Tindakan Dr Mohd Puad yang secara jelas berpihak kepada Tn Hj Markom tanpa kajian yang mendalam dilihat sebagai tindakan yang tidak profesional. Jika Dr Mohd Puad boleh bertindak sedemikian rupa bagaimana beliau boleh berperanan secara berkesan sebagai ahli Parlimen Batu Pahat dan Timbalan Menteri Pelajaran. Bayangkan bagaimana Dr Mohd Puad boleh bertindak secara adil jika terdapat laporan-laporan guru terlibat dengan pembangkang. Saya sangat khuatir ramai lagi warga pendidik yang akan menjadi mangsa dasar pilih kasih seorang Timbalan Menteri Pendidikan.

Saya mendesak kepada Dr Mohd Puad agar menyesali dan memohon maaf khususnya kepada semua warga pendidik serta masyarakat Dun Tenang berhubung dengan kecuaian beliau memberi respon yang salah terhadap isu ini. Keduanya saya mencadangkan kepada Tn Hj Markom agar memberi notis 24 jam berhenti sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil Dun Tenang. Beliau dilihat berpotensi memandangkan beliau sudah dikenali ramai melalui media baru dan kebetulan beliau sudah hampir bersara awal tahun ini. Saya penuh yakin Dato Abdul Ghani Othman, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor akan bersetuju dengan cadangan ini.

http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

** Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Pengusaha Pasir Melayu Selangor Mahu Jaminan Bertulis Struktur Jambatan Batu 3 Selamat

Posted: 11 Jan 2011 03:45 AM PST

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Konsortium Bertindak Pengusaha-Pengusaha Pasir Melayu Selangor Selasa meminta pihak yang terlibat dalam kegiatan mengorek pasir di susur keluar Batu Tiga, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) mengeluarkan jaminan bertulis aktiviti itu tidak menjejaskan struktur jejambat di situ.

Pengerusinya Datuk Tengku Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin berkata hanya dengan jaminan bertulis daripada jurutera bertauliah dapat meyakinkan pihaknya akan keselamatan mereka yang menggunakan laluan tersebut.

"Ini bukan isu publisiti murahan atau isu lapuk tetapi ia membabitkan keselamatan pengguna lebuh raya terbabit serta kesan kepada alam sekitar," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang memetik wakil syarikat kontraktor berkenaan bahawa seorang jurutera Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menyatakan aktiviti tersebut tidak menjejaskan struktur jejambat di situ.

Tengku Shaiffuliazan juga mengulangi dakwaannya aktiviti perlombongan itu dilakukan tanpa permit pihak berkuasa.

"Apa yang saya maklum kawasan itu hanya diberikan kebenaran untuk menggeluarkan kelodak berpasir dari 4 Ogos tahun lepas sehingga 3 Dis lepas dan bukannya untuk melombong pasir seperti apa yang berlaku ketika lawatan tapak diadakan bersama media 24 Dis lepas," katanya.

Katanya beliau juga difahamkan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Pejabat Tanah Daerah telah menggeluarkan surat henti kerja selain mengadakan lawatan tapak serta laporan polis terhadap kontraktor terbabit.

Namun, Tengku Shaiffuliazan berkata kontraktor itu masih meneruskan operasi sehingga hari ini dan tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pihak terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga sedia disaman oleh kontraktor berkenaan kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Najib berbohong, tidak yakin pilihan raya awal

Posted: 11 Jan 2011 03:30 AM PST

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak yakin mengadakan pilihan raya awal kerana beliau sendiri pun bercakap bohong, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas laporan bahawa Najib tidak yakin mengadakan pilihan raya seawal Mac atau Julai tahun ini kononnya kerana prihatin dengan janji-janji yang belum dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di setiap kerusi pilihan raya, Mahfuz berkata Najib sendiri banyak kali didapati bercakap bohong.

"Isu terbesarnya bukan janji-janji yang belum dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di bawahnya, tetapi Najib sendiri pun banyak kali didapati berbohong.

"Contohnya dalam isu terbunuhnya Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, keluarga mangsa kini menuntut Najib menunaikan janjinya untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian tersebut, jika mereka tidak berpuas hati dengan hasil siasatan inkues," katanya.

Sekarang, kata Mahfuz, ternyata mereka tidak berpuas hati dengan hasil siasatan inkues itu dan Najib pula tiba-tiba mengumumkan bahawa suruhanjaya tersebut hanya akan meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai.

"Ternyata Najib telah membohongi keluarga mangsa," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi beliau, Najib bukan sahaja menipu keluarga mangsa, malah menipu seluruh rakyat Malaysia yang tertanya-tanya siapa yang membunuh Teoh.

"Persoalannya mengapa Najib kelihatan beria-ia mengelak dan memesong dari janjinya kepada keluarga Teoh bagi menyiasat punca kematian tersebut, jika mereka tidak berpuas hati dengan hasil siasatan inkues.

"Rakyat semakin tertanya-tanya , apakah yang cuba hendak disembunyikan oleh Perdana Menteri memandangkan Teoh didapat terbunuh di pejabat SPRM Selangor, iaitu di premis salah sebuah agensi kerajaan," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan keenganan Najib itu sebagai bukti amat jelas bahawa kerajaan pimpinannya bersungguh-sungguh mengelak dari bersifat telus.

"Barangkali sebab itulah Najib dilaporkan tidak yakin lagi untuk mengadakan pilihan raya, mungkin imej pembohong dan tidak telus menyebabkan Najib sentiasa ragu-ragu untuk berhadapan dengan rakyat," katanya.

Beliau percaya, rakyat semakin bersedia untuk menghukum kerajaan yang penipu dan tidak telus.

Mayat Kedua Nelayan Hilang Ditemui

Posted: 11 Jan 2011 03:15 AM PST

KUANTAN, 11 Jan (Bernama) -- Satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Tanjung Gelang dua minggu lepas dijumpai terapung oleh nelayan di 8 batu nautika dari Tanjung Gelang, di sini kira-kira 4 petang Isnin.

Mayat itu adalah yang kedua ditemui dari kalangan empat nelayan warga Thai dan seorang tekong warga tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata, "Nelayan berkenaan menjumpai mayat dalam keadaan reput dan ia dibawa ke Pangkalan Polis Marin Kuantan pada 9.30 malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Bagaimanapun identitinya masih belum dikenalpasti," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau berkata, DNA mangsa bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mengenalpasti identiti mangsa selepas laporan bedah siasat yang dilakukan pagi tadi di HTAA masih gagal mengenalpasti mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi 30 Dis lepas, empat nelayan serta tekong itu hilang selepas bot pukat tunda kelas C yang dinaiki mereka tenggelam di 15 batu nautika dari Tanjung Gelang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada 5 Jan lepas atas faktor cuaca.

Pakatan hanya perlu RM19 bilion untuk rakyat

Posted: 11 Jan 2011 03:00 AM PST

Anwar Ibrahim

Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rayat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi Umno/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.

Tuduhan beliau bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, Umno/BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.

Tabiat berhutang Umno/BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion.

Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini. Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika Umno/BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang – tetapi ia bukanlah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis akibat ketagihan Umno/BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong Umno/BN.

Contoh-contoh pembaziran Umno/BN sudah diketahui rakyat. Perdana Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan disini.

Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh PETRONAS untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi toll untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung kerajaan.

Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat – lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan:

Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.

Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah membuktikan ia mampu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa Umno/BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang Umno/BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

KETUA PEMBANGKANG

11 JANUARI 2011

PRU: Kedah bayangkan tidak ikut pusat

Posted: 11 Jan 2011 02:30 AM PST

Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 11 Jan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat pusat.

Menurut Menteri Besar, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat (PR) yang bersepakat untuk memutuskan sendiri tarikh PRU bagi negeri-negeri yang dikuasai.

Ketika ini PR menguasai empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," kata beliau dalam pertemuan dengan seorang wakil media.

Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh kerajaan pusat.

"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan PR untuk memutuskan bila DUN akan dibubarkan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak tetapi Menteri Besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan mendapat perkenan Sultan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menegaskan untuk tidak membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum tergempar atau dalam masa terdekat.

Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan PR peringkat negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa terikat dengan rentak Barisan Nasional.

Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.

Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya BN yang takut untul mengumumkan tarikh PRU sekiranya mereka merasa sukar untuk mendapat kemenangan.

Tiada ulasan: