Sabtu, 1 Januari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


"Hantu" PRU Ke-13 Bagi BN dan PR

Posted: 01 Jan 2011 02:59 PM PST

A Kadir Jasin

BANYAK petanda semasa menjurus kepada pilihan raya umum diadakan lebih awal daripada tempoh sah Parlimen.

Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak telah mula menghidangkan sajian-sajian PRU seperti cuti umum merayakan kemenangan pasukan bola kebangsaan dalam pertandingan Piala AFF Suzuki dan bayaran khas kepada peneroka Felda serta pelantikan baru dalam Umno.

Sebelum itu kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang begitu hebat dipromosikan beberapa bulan lalu.

Dikhabarkan juga yang dalam masa beberapa hari lagi beliau akan bersidang dengan semua Wakil Rakyat Barisan Nasional bagi mendapatkan maklum balas mengenai sentimen rakyat jelata terhadap pemerintahannya.

Dari aspek undang-undang, PRU tidak perlu diadakan hingga Mac 2013 atau lewat daripada itu setelah mengambil kira tarikh PRU ke-12, tarikh persidangan pertama Parlimen dan hakikat bahawa PRU boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh Parlimen.

Namun daripada gaya percakapan pemimpin politik, sama ada pemerintah atau pembangkang, PRU ke-13 akan diadakan jauh lebih awal daripada itu.

Ada ramalan mengatakan seawal Mac tahun ini kerana Mohd Najib mahukan mandatnya sendiri dan angka 11 adalah nombor "bertuah" beliau, lantas kenderaan bermotornya berangka plat 11.

Alasan yang lebih serius ialah keyakinan beliau bahawa BN sudah cukup pulih dan bersedia untuk menghadapi pengundi.

Ramalan ini dikukuhkan oleh keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 30 November lalu yang menangguhkan selama 18 bulan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

Ini diikuti oleh pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno bagi negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Walaupun Mohd Najib cuba meredakan spekulasi dengan mengatakan penangguhan pemilihan Umno bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan dan pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini, namun ramai yang tidak yakin.

Kemudian, ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di Phnom Penh pada 2 Disember lalu, Mohd Najib berkata PRU akan datang akan menjadi "hari penentuan" bagi BN.

Mesej Perdana Menteri yang lebih utama adalah kelangsungan BN sebagai parti peneraju pemerintahan. Katanya, sama ada PRU diadakan awal atau lewat, keputusannya kelak akan menjadi petanda kelangsungan BN.

Petanda PRU Mengejut

Daripada tanda-tanda yang semakin banyak muncul, Perdana Menteri nampaknya tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk mengadakan PRU atas sebab-sebab berikut:-

1. Beliau yakin kedudukannya cukup kuat untuk mengharapkan prestasi lebih baik daripada PRU 2008;

2. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada "kebaharuan" kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk merayu diberi peluang memerintah dengan mandat sendiri;

3. Beliau yakin beliau boleh mengulangi rekod Perdana Menteri sebelum beliau yang semuanya menang besar dalam PRU pertama masing-masing;

4. Beliau yakin perubahan kepemimpinan parti-parti komponen utama BN – MCA dan MIC – mula mengembalikan sokongan bukan Melayu;

5. Beliau yakin segala dasar, pelan dan projek yang beliau perkenalkan mula berhasil dan mendapat sokongan rakyat jelata;

6. Beliau tidak mahu tunggu lama kerana bimbang suasana ekonomi yang semakin cerah sekarang tidak mampu bertahan lama. Seperti diumumkan, kadar pertubuhan kasar ekonomi suku tahun telah mula menurun; dan

7. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada suasana yang tidak menentu dalam parti-parti Pakatan Rakyat, khasnya Parti Keadilan Rakyat.

Perjalanan Tidak Mudah Bagi PM

Namun, perjalanan Mohd Najib ke arah mandat sendiri yang besar tidaklah semudah yang dibayangkan oleh para penyokong beliau.

Pemulihan BN masih tidak muktamad dan kacau-bilau dalam PR serta di kalangan parti-parti anggotanya mungkin tidak seburuk yang digembar-gemburkan oleh media massa pro-pemerintah.

Yang pasti adalah kedudukan Mohd Najib sekarang adalah lebih teguh daripada Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memanggil PRU 2008.

Namun beberapa faktor yang menyebabkan prestasi BN merudum pada 2008 masih wujud. Mohd Najib perlu mengatasi dan menyelesaikan masalah ini kalau beliau tidak mahu nasib malang yang menimpa Abdullah tidak terjadi kepadanya. Antara faktor itu adalah:-

i. Masih ramai ahli dan penyokong BN, khasnya Melayu, yang berpaling tadah kepada pembangkang kerana "benci" kepada pentadbiran Abdullah masih kurang yakin bahawa pentadbiran Mohd Najib lebih baik;

(Pentadbiran Abdullah dituduh lemah, mungkir janji dan dilarikan oleh empat lima kerat anak menantu dan sekutu-sekutu beliau.)

ii. Mohd Najib wajib meyakinkan mereka bahawa kepemimpinannya tidak mempamerkan ciri-ciri yang sama iaitu campur tangan oleh orang luar parti, orang luar pentadbiran dan oleh ahli keluarga;

iii. Ramai orang Melayu masih tidak yakin bahawa cogan kata, dasar, pelan dan projek yang Mohd Najib perkenalkan menjamin hak dan kepentingan bangsa Melayu manakala bukan Melayu pula beranggapan mereka belum mendapat hak yang secukupnya;

iv. Walaupun pertumbuhan kasar ekonomi memuaskan, namun kenaikan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi terus menghantui tenaga kerja, khasnya lepasan institusi pengajian tinggi; dan

v. Kesan projek-projek raksasa yang diumumkan sejak Mohd Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 masih belum meluas untuk dirasai dan dikecap oleh rakyat terbanyak.

Ini ditokok-tambah pula oleh faktor yang di luar kawalan kerajaan dan BN seperti kenaikan harga minyak dunia yang diramalkan melepasi US$100 setong tahun ini.

Faktor-faktor berikut penting dalam menentukan trend pengundian dalam PRU akan datang:

a. Bilangan pemilih baru yang semakin ramai dan kematian pengundi tua. Trend pengundian di kalangan pengundi muda sukar ditentukan dan mungkin tidak memihak kepada BN;

b. Kemampuan PR mempamerkan kelainan, khasnya di negeri-negeri yang baru mereka takluki seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah;

c. Percambahan saluran maklumat baru dan kemunculan kewartawanan jelata (citizen journalism) dieksploitasi sepenuhnya oleh PR. BN yang memperkecil dan mempersendakan peranan media baru pada PRU 2008 masih tertinggal walaupun sudah mengubah pendirian dan mula memanfaatkan saluran alternatif ini; dan

d. Pengedaran akhbar arus perdana prokerajaan yang semakin menguncup dan kegiatan "channel switching" di kalangan penonton TV dan pendengar radio.

(Perangkaan Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulations/ABC) bagi tahun audit berakhir 30 Jun, 2010 menunjukkan penjualan The Star's jatuh daripada 295,479 kepada 286,409 (-3.1 peratus), New Straits Times daripada 120,770 kepada 109,341 (-9.5 peratus), Utusan Malaysia daripada 181,346 kepada 170,558 (-5.9 peratus) dan Berita Harian daripada 183,187 kepada 160,597 (-28.7 peratus). Jualan Utusan dan BH "dicuri" oleh dua akhbar ringan iaitu Harian Metro dan Kosmo. Kosmo mencatatkan peningkatan paling tinggi (naik 32.9 peratus) daripada 129,633 kepada 172,252 manakala Harian Metro nak 11.8 peratus kepada 378,354 naskhah.)

Kesimpulannya, walaupun Mohd Najib lebih popular berbanding Abdullah, tetapi beliau berdepan dengan pembangkang yang lebih kuat.

PR mempunyai perwakilan yang besar di Parlimen dan dalam Dewan-Dewan Undangan Negeri. Mereka menguasai empat buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. PR juga kuat di Perak dan Negeri Sembilan.

Pada PRU 2008, PR tidak kuat tetapi BN sangat lemah. PR memperoleh kerusi tambahan kerana pengundi menolak BN. PR menjadi kuat kerana kelemahan BN.

Sekarang BN dikatakan semakin pulih dan semakin kuat. Tetapi kita perlu akui bahawa PR telah mempunyai kekuatan sendiri melalui perwakilan yang lebih ramai di Parlimen dan penguasaan ke atas Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Ini belum diambil kira keputusan pilihan raya DUN Sarawak yang terpaksa diadakan tidak lama lagi. Keputusannya akan memberi kesan besar kepada kedua-dua belah pihak.

Apa pun, kita akan menyaksikan PRU yang sengit yang seperti kata Mohd Najib "akan menjadi hari penentuan bagi BN". Tidak kurang pentingnya ia juga akan menguji kelangsungan PR serta keserasian sistem dua parti.

Kerjaya GRO, Paksa Henti, Hukum & Dr Fadzilah Kamsah

Posted: 01 Jan 2011 07:30 AM PST

SOALAN

Ustaz, baru-baru ini ada seorang pemberi motivasi yang tersohor di tanahair memberitahu boleh seorang GRO yang telah mengandungkan anak luar nikah, untuk meneruskan kerjayanya sehinggalah disediakan alternative dan agar dia bosan dengan tugasannya. Lalu mula mencari kerja lain. Kita juga tidak dibenarkan menghina golongan terbabit. Minta sangat ustaz mengulas kerana kenyataan itu agak mengelirukan. Dan perlukah kita merujuk beliau lagi selepas ini?. Terima kasih

JAWAPAN

Sebelum saya menulis jawapan ini saya sudah pun membaca kenyataan tokoh motivasi tersebut di akhbar yang menyiarkannya. Kenyataan awal beliau pada 11 Disember 2010 dan juga kenyataan balasannya pada 15 Disember 2010.

Secara ringkasnya, saya ada bersetuju dengan beliau dan ada juga yang tidak bersetuju dengan beberapa fakta dalam kenyataannya. Apapun, ingin saya tegaskan, saya menghormati beliau selaku tokoh besar di dalam Negara, pakar dalam bidang motivasi individu dan rumahtangga, yang telah banyak menyumbang kepada pemulihan diri individu masyarakat melalui pelbagai medium.

Namun begitu, kesilapan dan kekeliruan mungkin sahaja berlaku kepada sesiapa jua. Kesilapan dan kekeliruan ini ada kalanya amat kecil berbanding kebaikan yang telah dilaksana dan diusahakan sejak bertahun lamanya. Oleh itu, JIKA BENAR SEKALIPUN ADA KESILAPAN DALAM ULASANNYA, JANGAN SEKALI dilupakan segala sumbangan beliau.
Pun begitu, disebabkan imej dan tersohornya itu, saya merasa tanggungjawab untuk menjelaskan respon kepada soalan yang diajukan kepada saya, agar tidak berlaku salahfaham di kalangan masyarakat ramai.

SETUJU

Saya bersetuju bahawa mesti ada pihak berwajib mengambil tanggungjawab untuk menyediakan alternatif bagi wanita seperti ini.

Saya juga bersetuju kita TIDAK BOLEH terus menghina petugas seperti itu seolah mereka tiada lagi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Khususnya penghinaan tanpa usul periksa , kerana bagi saya, mungkin ada yang terjebak kerana terperangkap dalam sindiket pelacuran dan GRO. Mereka menjadi mangsa dan bukan sengaja menurut kehendak dirinya.

TIDAK SETUJU

Namun saya tidak bersetuju untuk tidak mengutuk pekerja-pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit. Kutukan dan kecaman perlu dibuat terhadap KERJAYA kotor itu dan bukannya tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan oleh satu pihak agar kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.

Dalam masa yang sama, ada pula pihak pendakwah lain yang mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun untuk menyalahkan teknik kutukan secara umum adalah kurang tepat dari sudut ilmu dakwah.

Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau yang menyatakan:
"Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah"

Dalam hal ini, saya andaikan kemungkinan kenyataan beliau lahir dari kekeliruan tugasan motivator yang sentiasa inginkan clientnya bersikap positif, namun tugas pendakwah pula, perlu memaklumkan kepada 'client'dengan jelas kesalahan sebagai kesalahan hukum yang mesti dihentikan serta merta.

Justeru, di sini saya ingin tegaskan hukum kerjaya GRO adalah tetap haram, Alhamdulillah hal ini juga diakui oleh motivator terbabit dalam kenyataan yang disiarkan di dalam harian metro bertarikh 15 Disember 2010.

APA ITU GRO DAN BIDANG KERJANYA?

Kita sedar teknik dakwah adalah satu hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer (GRO) mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan. Setelah melakukan beberapa semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang neutral dan benar-benar bersifat pentadbiran, Namun begitu, tugasan yang tidak tertulis itulah yang merumitkan, dimana ia kerap melewati tugasan tertulis kepada tugasan lain yang tidak sihat sama sekali. Iaitu melayan kehendak pelnaggan walau hingga di dalam bilik. Tema utama tugasan adalah 'melayan pelanggan sehingga target bisnes tercapai'.

Susasana di Malaysia perlu dirujuk sebelum komentar lanjut dikongsikan. Jika dilihat dari laporan-laporan akhbar yang boleh membentuk perspesi rakyat dan majority, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada 'kerjaya pelacur' , sebagai contoh lihat sahaja petikan akhbar-akhbar ini dan ini. Tangkapan pelayan-pelayan ini ditanggap oleh awam sebagai 'pelacur' dan GRO adalah gelaran lembutnya.
Selain itu, saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau ( jika tiada salah catatan pihak wartawan) berikut :-

a. "Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi."

Ulasan saya : Suzie TIDAK BOLEH meneruskannya, tidak reda dalam pelakuan maksiat yang direlai tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta adalah tidak diterima di dalam Islam.

Malah tidak reda itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancur agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak, dan hartanya tidak diberkati.

b. "Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu."

Ulasan saya : Ada perkara yang dibenarkan untuk berubah sedikit demi sedikit, selaras dengan ilmu. Namun kerjaya seperti ini tidak boleh digolongkan dalam perkara yang dibenarkan untuk beransur kerana pilihan lain adalah banyak, Cuma mungkin kurang pendapatan berbanding yang di hadapannya. Justeru, jangan silapfahami konsep tadarruj (beransur) yang diajar oleh Islam dan salah aplikasi.

c. "Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan."

Ulasan saya : Jangan sewenangnya menggelar keadaan itu dharurat. Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, apa yang diharuskan kerana "dharurat mesti diikat dengan limitasinya". Sejauh mana limitasi telah dipantau dan dipatuhi.? Dharurat juga perlu menilai timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia adalah maslahat yang tertolak.

TAMBAHAN FAKTA YANG MESTI DIFAHAMI

Hasil dari itu, saya ingin menegaskan secara umum bahawa :-

1. Yang haram mesti disebut haram dan seorang pendakwah mesti memaklumkan gesaan berhenti serta merta dan bukan memberi masa. Khususnya apabila kenyataan di buat secara awam di media massa yang boleh mengelirukan pembaca yang kurang ilmu agamanya.

Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai :

ترك المعاصي في الحال، والعزم على تركها في الاستقبال، وتدارك ما سبق من التقصير في سابق الأحوال

Ertinya : Meninggalkan maksiat dengan serta merta, dan berazam kukuh untuk meninggalkannya di masa hadapan, dan berusaha menebus dosa-dosa yang lalu. ( Ihya 'Ulumiddin, 4/5)

2. Kerjaya haram GRO juga boleh mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupannya itu hanya menjauhkannya dari kesedaran dan bukan memberi harapan dan ruang untuk dia meneruskannya. Justeru tidak timbul cadangan 'biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar', atau memberinya masa untuk terus bergelumang dengan dosa.

Nabi s.a.w bersabda :

إن المؤمن إذا أذنب ذنباً كانت نكتة سوداءُ في قلبه ، فإذا تاب ، ونزع ، واستغفر صقل قلبه منها ، وإذا زاد زادت حتى يغلف قلبه ، فذلك الران الذي ذكره الله في كتابه ( كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون ) المطففين 14

Ertinya : Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, maka wujudlah satu titik hitam di hatinya, maka apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam KitabNya ( Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban & Al-Hakim; Hasan menurut Tirmidzi, Sohih menurut Ib Hibban; Al-Hakim menilai sohih dan dipersetujui Az-Zahabi atas syarat Muslim )

3. Nabi mengajar umatnya agar jangan bertangguh dalam mengerjakan hal yang baik, khususnya taubat. Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru suzie untuk segera bertaubat dan bukan memberinya masa seolah kerjayanya itu boleh diterima dengan hujjah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.

Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihenti serta merta tanpa tangguh. Sebagai pemberi motivasi dan pendakwah, kita tidak boleh sama sekali kita berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya 'memberi tangguh' sedang Allah dan RasulNya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.

Allah swt berfirman :-

إنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوَءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُوْلَـئِكَ يَتُوبُ اللّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللّهُ عَلِيماً حَكِيماً

Ertinya : Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana ( An-Nisa : 17)

Imam Al-Ghazzali berkata :-

أما وجوبها على الفور فلا يُسْتًرَابُ فيه ؛ إذ معرفة كون المعاصي مهلكاتٍ من نفس الإيمان

Ertinya : Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa sebarang keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang ( Ihya 'Ulumiddin, 4/7)
Imam Ibn Qayyim pula mengulas:

المبادرة إلى التوبة من الذنب فرض على الفور ، ولا يجوز تأخيرها ، فمتى أخرها عصى بالتأخير فإذا تاب من الذنب بقي عليه توبة أخرى

Ertinya : Bersegera bertaubat dari dosa adalah fardhu yang mesti dikerjakan dengan SEGERA, dan TIDAK HARUS dilewatkan, barangsiapa melewatkannya dia telah melakukan satu lagi kedurhakaankerana itu, jika kemudian dia bertaubat dari dosa itu, dia perlu tuabat pula kerana dosa melewatkan taubat awal tadi. (Madarij al-Salikin, 1/283 )

Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun KITA TIDAK BOLEH memperuntukan tempoh tangguh tersebut.

4. Tiada diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau kita belum menyediakan tugasan alternative untuknya.

Pertama: kerana selaku manusia yang sihat, dia sepatutnya bijak DAN BERTANGGUNGJAWAB PENUH menggunakan seluruh anggotanya yang cukup untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan skill tersebut untuk memperolehi pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.

Kedua ; kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya WAJIB DIFIKIRKAN OLEH SI PELAKU itu sendiri jika dia masih beragama Islam. Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah Negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat. Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah dari memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat sahaja Nabi Musa dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya sahaja yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.

Imam Al-Ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa TANPA TAUBAT dan BERHENTI tapi INGIN rahmat Allah dan DIMUDAHKAN kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti :

وهو كمن ينفق جميع أمواله، ويترك نفسه وعياله فقراء، منتظراً من فضل الله تعالى أن يرزقه العثور على كنز في أرض خربة

Ertinya : Orang sedemikian adalah seperti seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan faqir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang" ( Ihya Ulumiddin, 4/58)

Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata , penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi ( Ihya Ulumiddin, 4/58)

KESIMPULAN

Ingatlah, jika sekiranya si pekerja GRO terus dalam pekerjaan kotornya atau mana-mana petugas dalam industri haram dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan 'berjaya 'dari mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan kata Nabi s.a.w :-

إذا رأيت الله يعطي العبد من الدنيا على معاصيه ما يحب فإنما هو استدراج ثم تلا: (فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبواب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذناهم بغتة فإذا هم مبلسون)

Ertinya : Apabila kamu lihat Allah memberi limphaan kurnia di dunia kepada hamabnya sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu istidraj iaitu kurniaan kepada penjahat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan, kemudian Nabi membaca firman Allah : " Dan tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperolehi, kami akan RAMPAS DARINYA SECARA TIBA-TIBA, ketika itulah mereka berputus asa. Al-An'Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani : perawinya thiqat )
Oleh itu, kita dibenarkan paksa dia berhenti dari GRO melalui nasihat, dan jangan membuka jalan dan gambaran ada ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.
Namun hulurkan bantuan dan kasih sayang memang diperlukan, antara tanda kasih sayang itu adalah dengan menasihatkannya agar terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
16 Disember 2010
10 Muharram 1432 H
___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
KENYATAAN KEDUA

15 Disember 2010

KUALA LUMPUR: "Pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah salah, haram tetap haram," kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, (gambar) ketika mengulas kenyataannya dalam Harian Metro terbitan Sabtu lalu.
Menurutnya, masyarakat diminta tidak salah faham dengan kenyataan beliau yang disiarkan akhbar ini terdahulu, seolah-olah beliau mengatakan pekerjaan Suzie sebagai GRO adalah tidak salah.

"Pekerjaan GRO itu memang haram dan tidak boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam. Maksud saya di sini ialah, jangan hanya tahu memaksa Suzie berhenti, tetapi apa peranan kita (pembaca) untuk mencarikan pekerjaan lain kepadanya. "Jangan terus menghina dan mencaci wanita yang bekerja sebagai GRO sebaiknya kita mencari alternatif untuk membantu wanita seperti itu mendapatkan pekerjaan lain," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu membantu golongan seperti itu keluar daripada kepompong dosa dengan membantu mereka mencarikan kerja yang berkat.

Masyarakat tidak seharusnya tahu menghukum tetapi dalam masa yang sama perlu mencari alternatif terbaik untuk membantu.

"Jangan menghina GRO. Mereka yang sudah menyesal dan sempat bertaubat kita cuba bantu mereka. Tidak baik menghina dan mencaci mereka. Jangan terus menghukum tetapi hulurkan tangan memberi bantuan dan kasih sayang," katanya.
Terdahulu, beliau menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie supaya bersama-sama menadah tangan mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

KENYATAAN PERTAMA

11 Disember 2010
KUALA LUMPUR: "Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah," kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. "Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.

"Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. "Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. "Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa," katanya.
Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.

"Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.

"Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah," katanya.
Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

"Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya," katanya.

[Sumber]

Isu SUK Selangor: Khir Disneyland Bersuara

Posted: 01 Jan 2011 07:00 AM PST

Khir Toyo: Panel pilih SUK tidak sah

Oleh Adib Zalkapli


KUALA LUMPUR, 1 Jan — Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat campur tangan dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri dengan mengadakan jawatankuasa pemilihan sebagai langkah yang tidak sah.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang menekankan pendirian kerajaan pusat bahawa soal pelantikan ketua pegawai perkhidmatan kerajaan negeri adalah prerogatif Ketua Setiausaha Negara.

"Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah sah apabila Ketua Setiausaha Negara menyatakan persetujuan," kata Dr Khir kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dr Khir juga membidas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana mengadakan proses pemilihan sendiri untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menurutnya ia satu tindakan tidak yang sah.

"Jawatankuasa yang dibentuk oleh Khalid untuk memilih (calon) Setiausaha Kerajaan Negeri adalah tidak sah. Kemungkinan beliau tidak berunding dengan penasihat undang-undang negeri," kata beliau.

Malah menurut beliau, Khalid sangsi dengan perkhidmatan awam kerana beliau lebih berminat untuk mencapai agenda politiknya.

"Beliau ada begitu banyak agenda politik, disebabkan itu beliau meragui semua orang," kata Dr Khir.

"Ketika saya jadi MB, saya bekerja dengan empat Setiausaha Kerajaan Negeri dan saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan mereka. Mereka semua kakitangan awam," kata beliau.

Negeri paling kaya ini kini berhadapan dengan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang diumumkan oleh Putrajaya Isnin lalu.

Pelantikan itu berkuat kuasa hari ini.

Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat tidak menerima pelantikan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak muktamad.

Istana Selangor pula menegaskan pelantikan itu sebagai muktamad dan Khusrin dijadual untuk mengangkat sumpah pada 6 Januari ini.

"Apa yang dikatakan oleh Lau Weng San tidak betul. Selangor tidak (boleh) melantik Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri," kata Dr Khir.

Baru-baru ini, Lau, ADUN Kampung Tunku berkata pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri mesti dibuat dengan persetujuan Khalid selaku Menteri Besar.

Bagaimanapun Dr Khir berkata, majlis angkat sumpah hanya prosedur pentadbiran semata-mata.

"Sama ada majlis angkat sumpah diadakan di istana atau tidak, bukan isunya. Ia hanya prosedur pentadbiran," kata beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Khalid agar tidak membantah pelantikan itu memandangkan Sultan Selangor sudah memberi perkenaan.

"Tan Sri Khalid harus tahu bahawa beliau akan berhadapan dengan banyak masalah jika perselisihan dengan Tuanku berterusan. Malah beliau juga memerlukan perkenan Tuanku untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri," kata Dr Khir.

"Saya percaya Tuanku mahukan seseorang yang boleh berkhidmat tanpa mengira hubungan politik," kata beliau.

Pengalaman bukan keutamaan, KSN bermotif politik pilih Khusrin

Posted: 01 Jan 2011 06:30 AM PST

SHAH ALAM, 1 Jan – Tindakan Putrajaya menggunakan kuasa mutlak melantik Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menghantar mesej bahawa kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam menentukan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak professional dan bertindak atas motif politik apabila meminggirkan kerajaan negeri dan proses pemilihan yang ditetapkan demi melantik Khusrin sebagai SUK baru.

Khalid menegaskan bahawa Nota Amalan Perkhidmatan Awam jelas meletakkan tanggungjawab pemilihan SUK kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan pejabat Menteri Besar sebelum memohon restu Sultan Selangor.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

"Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri akan memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," ujar beliau.

Tan Sri Mohd Sidek mengabaikan segala proses itu dan sebaliknya membuat pengumuman mengejut bahawa Khusrin adalah SUK baru bermula 1 Januari sungguhpun penyandang jawatan itu Datuk Ramli Mahmud hanya dijadualkan bersara penghujung Mac 2011.

Pelantikan sebegini memberi gambaran negatif kepada pegawai-pegawai kerajaan mengenai isu ketelusan dan kemampuan serta pengalaman calon untuk dinaikkan pangkat.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen," ujar Khalid.

Khalid kesal kerana Putrajaya langsung tidak menimbang langkah kerajaan negeri membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Jawatankuasa itu memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor," katanya lagi.

Khalid berkata tindakan Sidek mengumumkan pelantikan Khusrin tanpa merujuk kepada kerajaan negeri, bukan saja membelakangkan pejabat Menteri Besar tetapi mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Khalid menegaskan bahawa tindakan Sidek meluluskan pelantikan Khusrin dengan cara begitu melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Kenyataan Akhbar Menteri Besar Selangor

Posted: 01 Jan 2011 06:00 AM PST

KENYATAAN AKHBAR
1 JANUARI 2011
______________________________________________________________________________
KETUA SETIAUSAHA NEGARA MEMBELAKANGKAN ETIKA PROFESIONAL PEGAWAI TINGGI KERAJAAN

Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Pemilihan Dato' Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan.

Selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan.

Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Dato' Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor.

Ketika mengumumkan pelantikan Dato' Mohamad Khusrin Munawi, Ketua Setiausaha Negara bukan saja membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Perlu dinyatakan di sini, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Lebih merunsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan. Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

________________________________________________________________________________________________________________________________
PRESS STATEMENT
JAN 1, 2011
CHIEF SECRETARY DISREGARDS PROFESSIONAL CONDUCT AMONG CIVIL SERVANTS

The Selangor Government regrets that Chief Secretary to the Government Tan Sri Mohd Sidek Hassan willfully ignored the process of selection adopted by the state in choosing the best candidate to fill the state secretary position.

In naming Dato Khusrin Munawi , the Chief Secretary had disregarded the selection process which is in line with the civil service practice notes as prepared by the state civil service commission which seeks advice from the public civil service at the federal level.

The selection process requires the state civil service to propose candidates suitable for the position for the approval of the Menteri Besar after which the names will then be presented to the DYMM Sultan of Selangor for consent.

After securing the consent of the Sultan, the state service will forward the name to the public civil service for appointment.

The State had taken a step further by setting up a committee led by Selangor State Assembly Speaker Dato' Teng Chang Kim to interview all eight candidates proposed by the state civil service commission. The committee had chosen three best candidates based on their merits apart from other necessary criterias needed to fill such a strategic and senior position.

When he announced Dato Khusrin's appointment , the Chief Secretary had not only bypassed the Menteri Besar but he had willfully disregarded a process which had picked the best candidates based on their ability, caliber and experience.

Needless to say, Tan Sri Mohd Sidek's acts are unconstitutional, irresponsible and unprofessional which can be construed as a political act in an attempt to sabotage the credibility of the Pakatan Rakyat Government in Selangor.

Additionally, Tan Sri Mohd Sidek has sent out an unhealthy message to civil servants that merits and ability is not priorities in promoting government servants who are already facing criticisms for being ineffective and incompetent.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR

Charles : Kenaikan cukai perkhidmatan bebankan rakyat

Posted: 01 Jan 2011 05:45 AM PST

SHAH ALAM, 1 Jan – Selesaikan dahulu masalah gaji minima yang membelenggu nasib pekerja di negara ini sebelum menaikkan cukai perkhidmatan yang ternyata cukup membebankan bukan sahaja rakyat miskin bahkan memberi kesan kepada golongan kelas pertengahan.

Ahli Parlimen Klang , Charles Santiago yang dihubungi Selangorkini berkata kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 5 kepada 6 peratus berkuatkuasa hari ini akan menyebabkan caj hospital,bil elektrik serta bil-bil perkhidmatan yang lain sekaligus memberikan tekanan kepada rakyat yang kini terbeban dengan kenaikkan harga barangan keperluan.

"Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah sahaja merungut tetapi golongan kelas pertengahan turut merungut bahawa harga barang keperluan naik tetapi gaji tidak naik.

"Menurut laporan Bank Dunia menunjukkan 34 peratus daripada pekerja Malaysia, gaji mereka kurang daripada RM700, iaitu kurang daripada garisan paras kemiskinan di negara kita," katanya.

Tegasnya, dalam keadaan begini apakah tindakan kerajaan dalam membela nasib mereka soal beliau.

"Apa keluarga ini akan buat dalam membela nasib mereka jika harga naik seperti itu.

"Oleh kerana itu, kita hendak satu gaji minima (bukan gaji minima seperti dicadangkan oleh kerajaan untuk pengawal keselamatan). Apa yang kita hendak adalah gaji minima yang berpatutan bagi menyara keluarga mereka," ujar beliau.

Menurut Charles, gaji minima yang dicadangkan oleh kerajaan daripada apa jumlah yang digunakan bagi menampung keluarga mereka khusus yang tinggal di bandar-bandar.

"Apa yang jelas ialah selepas 53 tahun Barisan Nasional menguruskan ekonomi negara kita, kebanyakkan nasib pekerja di Malaysia masih lagi berada di bawah paras kemiskinan.

"Oleh kerana itu, kita hendaklah adakan konsep baru dalam menetapkan gaji minima," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan Bajet 2011 Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, Oktober lalu mengumumkan kadar cukai perkhidmatan atas semua perkhidmatan bercukai dinaikkan daripada berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011.

Cukai perkhidmatan itu turut akan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar yang juga akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011.

Eksperimen Rakyat Memilih Pakatan Rakyat Dalam PRU 2008 Tepat

Posted: 01 Jan 2011 05:30 AM PST

Gesaaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang. Pas berpandangan ucapan Datuk Seri Najib sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan kehadapan walaupun beliau ini terkenal degan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seoalah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

Pas hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat. Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya.

Pas berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat. Kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, tamil dan China, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri. Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin umno sepanjang 53 tahun memerintah. Jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini megkhianat amanah rakyat? Akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%. Barang makanan naik 10%, Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Jan 2011. Apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat, buktinya pada 21 Okt 2010 – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima".

Pas hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah umno Bn mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah.

Idris Ahmad

Memasuki 2011 – Tenang medan bertarung menuju PRU13

Posted: 01 Jan 2011 05:00 AM PST

Memasuki tahun 2011, pada tarikh 1 Januari [bulan 1] 2011 [tahun 11] adalah menarik pada angkanya. Ia boleh diringkaskan menjadi 1.1.11. Namun, dalam sepanjang tahun 2011 Masehi ini antara angka menarik ditulis, selain 1.1.11 ialah 11.1.11, kemudian 1.11.11 dan 11.11.11. Bermakna ada empat tarikh yang mengumpulkan angka 1.

Bagi peminat angka 1.1.11 adalah sesuai bagi diletakkan pada kereta/kenderaan. Lebih-lebih lagi bagi nombor pendaftaran JPJ Melaka yang bermula dengan urutan MCA. Ini kerana MCA merupakan rakan akrab Umno dalam BN, kini telah menjadi pemula kepada huruf siri kenderaan

Namun tarikh 1.11.11 telah jatuh pada hari Sabtu, maka ia menjadi pilihan ramai pasangan peria berkahwin dan mengadakan kenduri kesyukuran.

Mungkin ada lagi event yang dianggap menarik dan mudah diingat dan sesuai dijayakan pada hari ini. Antaranya, pihak PAS Johor pada hari ini telah melancarkan gerak kerja jentera pilihan raya bagi pilihan raya kecil DUN Tenang bertempat di Markaz Pilihan Raya Kecil PAS Pekan Labis. Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan dijangka disertai sama pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri Johor serta semua wakil jentera dan petugas pembantu pilihan raya dari PAS Negeri-negeri.

Semuga DUN Tenang menjadi medan ujian sebenar populariti Pakatan Rakyat berdepan dengan Barisan Nasional. Justeru Tenang berada dalam palrimen Labis merupakan kubu kuat pimpinan MCA, Presiden MCA, Chua Soi Lek. Namun, PAS bakal berdepan dengan calonnya mungkin Umno di DUN bukan MCA, kerana MCA hanya bertanding di parlimen. Dalam pilihan raya lepas parlimen Labis telah diserahkan oleh BN kepada nepotis MCA, Chua Tee Yong (gambar) iaitu anak Chua Soi Lek. Maka, Labis dan Tenang kawasan pilihan raya yang membuiktikan nepotisme dalam BN. Apakah BN atau PAS bakal menang pada angka 1,111?

Selamat berjuang pembuka tirai tahun masehi 2011 kepada para perjuangan Islam dan Pakatan Rakyat. Semuga kalian diberkati Tuhan Yang Maha Esa.

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/01/memasuki-2011-tenang-medan-bertarung.html

Khalid Ibrahim : Perancangan rapi jadikan Daerah Kuala Selangor maju

Posted: 01 Jan 2011 04:30 AM PST

IJOK, 1 Jan – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perancangan menjadikan Daerah Kuala Selangor sebagai daerah yang maju dengan pembangunan yang rapi dan terancang.

Menurut Tan Sri Khalid, dijangka seramai 20 ribu penduduk baru akan mendiami daerah yang sebelum ini dikenali sebagai daerah yang agak mundur walaupun dua Menteri Besar sebelum ini berasal dari daerah ini.

Khalid turut menyatakan betapa beliau sedang berusaha menarik minat pelabur dan pekilang bagi menyediakan pekerjaan kepada populasi baru nanti.

"Ijok dan Kuala Selangor adalah antara tempat pembangunan yang dirancang dengan rapi. Pihak setiausaha pembangunan dan ahli-ahli majlis sangat sibuk sebab permohonan untuk membangunkan kawasan di Kuala Selangor ini bukannya sedikit tapi banyak," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjalankan acara rasmi pertama beliau pada tahun 2011 ini dengan beramah mesra bersama pengundi beliau di Ijok.

Khalid Ibrahim ditemani oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menghabiskan hampir sepanjang hari di samping merasmikan Karnival Rakyat 2011 yang diadakan di Taman Sejati, Ijok.

Aktiviti yang dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) DUN Ijok, Jawatankuasa Kemajuan Pertanian (JKP) Desa Coalfield dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Daerah Kuala Selangor ini menganjurkan pelbagai program dilakukan seperti pertandingan memasak, pertandingan gasing, selain persembahan kebudayaan seperti permainan wau dan tarian singa.

Beliau turut turun padang dan menyertai pelbagai aktiviti seperti bermain gasing, bola jaring dan melawat peserta dan hadirin Hari Karnival ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan Krismas berbentuk beras dan barangan makanan kepada keluarga kurang bernasib baik serta bantuan persekolahan kepada anak-anak mereka berupa beg sekolah dan buku tulis dalam menempuh sesi persekolahan yang baru.

Dalam ucapan perasmian juga, Khalid menyatakan betapa kepentingan menjaga pendidikan anak-anak bagi memastikan mereka dapat membesar sebagai seorang yang berjaya.

"Harap anak-anak kita dijaga dengan baik dari segi persekolahan dan pendidikan. Kita perlu menjaga mereka kerana inilah pelaburan paling penting untuk keluarga. Dan saya sendiri akan mencari jalan bagaimana kita boleh menolong membangun pendidikan di negeri Selangor," katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan dengan pelaksanaan program untuk rakyat ini yang dilangsungkan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama serta menganggapnya sebagai 'cara pakatan rakyat meraikan rakyat.'

"Kalau kita lihat keliling kita. Tiada bezanya orang Melayu, orang India dan orang Cina semua sinsing lengan berganding bahu untuk menjayakan program rakyat," katanya lagi.

Himpunan mahasiswa,tekad bela nasib mahasiswa dan rakyat

Posted: 01 Jan 2011 04:16 AM PST

PETALING JAYA, 1 Jan – Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia (HMUM) hari ini mengeluarkan tiga deklarasi bagi terus memperjuangkan nasib rakyat dan mahasiswa bagi memastikan golongan mahasiswa kekal relevan dan tidak tenggelam di negara ini.

Lebih 200 mahasiswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi berhimpun di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menunjukkan "persaudaraan bawah semangat patriotisme".

"Kita kena nyatakan pada rakyat pada tahun 2011, mahasiswa akan lebih garang untuk membela rakyat.

"Kita kena nyatakan kepada seluruh warganegara pada 2011 tuntut kebebasan mahasiswa di kampus, politik.

"Pada 2011 kita akan cakna segala dasar kerajaan dan lebih sensitif memberi respon serta jadi semak dan imbang."

Pengarah HMUM 2011 Ezuan Saad menganggap perhimpunan ini merupakan titik tolak bagi meneruskan perjuangan yang dititipkan pemimpin pelajar terdahulu seperti Anwar Ibrahim, Hishammudin Rais dan Yunus Ali pada era 70-an.

Bekas Presiden Gerak, Nazree Yusof turut bersama pada hari ini bagi membakar semangat mahasiswa yang hadir.

Mengorak Langkah Masa Depan: Politik Berlandaskan Nilai

Posted: 01 Jan 2011 03:00 AM PST

Oleh Suara Keadilan

fuziah5Saya mengharapkan agar 2011 akan menjadi tahun perubahan, tahun yang akan dianugerahi keselamatan dan keadilan untuk rakyat Malaysia di seluruh dunia.

Saya percaya, rakyat Malaysia akan bersama-sama menjadikan perubahan dalam sistem pentadbiran negara suatu realiti menerusi Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Perubahan sedemikian akan berupaya melahirkan kestabilan demokrasi, memastikan tadbirurus baik negara dan merealisasikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Pemilihan saya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan baru-baru ini telah menggerakkan fokus saya terhadap The Way Forward, Mengorak Langkah Masa Depan demi memastikan parti ini kekal berpegang pada nilai-nilai yang akan sentiasa berkembang, menjadikan ia sebuah parti yang berintegriti, adil dan saksama terhadap anggotanya dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Saya percaya, ini adalah tanggungjawab politik saya agar kita bersama-sama istiqamah dalam melakukan perubahan, terus membangunkan KEADILAN dan juga negara yang kita warisi, bersama-sama rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP.

Melaksanakan apa yang wajar dan memastikan bahawa pengorbanan anggota parti dan juga rakyat sekaliannya tidak dipersia-siakan. Untuk sentiasa mendahulukan kepentingan bersama dengan mendokong prinsip dan nilai yang kita yakini bersama.

Untuk melangkah ke hadapan, pencapaian sehingga kini, dan pengajaran daripada masa lalu perlu dinilai semula, seterusnya membentuk masa hadapan yang berpandukan realiti politik semasa, di mana rakyat kini semakin celik dan jelas tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam menegakkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil. Sebagai sebuah parti politik yang ingin menjadi harapan baru rakyat, sewajarnyalah KEADILAN juga jelas tentang perjuangan dan halatujunya, bukan semata-mata jelas mengenai lawan dan persaingan terhadapnya.

Langkah masa depan bagi KEADILAN adalah dengan memenuhi harapan untuk menyerlah sebagai tautan terkukuh dalam komponen parti Pakatan Rakyat, agar kepercayaan rakyat tetap utuh terhadapnya, dengan itu rakyat akan rela memberi mandat kepada KEADILAN, menerusi Pakatan Rakyat bersama rakan-rakan PAS dan DAP, untuk mentadbir Putrajaya dalam usaha memenuhi tuntutan Agenda Reformasi, yang merupakan tujuan asli perjuangan KEADILAN.

Agenda Reformasi mendokong prinsip-prinsip pencerahan politik, ketuanan dan pemberdayaan rakyat serta kewujudan sebuah masyarakat dan negara madani di Malaysia.

Sebagai Naib Presiden KEADILAN, saya akan memberi sepenuh komitmen untuk membina portfolio yang berkaitan dengan pembangunan politik berasaskan nilai ini. Adalah diharapkan politik berasaskan nilai ini akan menjadi dasar kepada sistem, kepolitikan dan gerakan politik dalam KEADILAN.

Justeru, marilah kita menyambut tahun baru ini dengan penuh optimis dan keyakinan diri, berlandaskan kepada apa yang telah dicapai dan akan kita capai bersama.

Fuziah Salleh
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Isu SUK: Khalid dakwa KSN tak hormati fungsi MB, sabotaj Selangor

Posted: 01 Jan 2011 02:30 AM PST

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

"Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Hasilnya menurut Khalid, jawatankuasa tersebut telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.

"Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin, Ketua Setiausaha Negara bukan saja membelakangkan Menteri Besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman," kata Menteri Besar.

Menurut Khalid lagi, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, malah tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

"Malah boleh dianggap bermotifkan politik, sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," kata Khalid (gambar).

"Lebih merungsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen," kata beliau lagi.

Khalid memberikan kenyataan rasmi bertulis kedua dalam seminggu ini ketika pakar perundangan dan perlembagaan berpendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai "tidak sah" memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan itu boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

"Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

"Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian. "Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah," kata beliau kepada The Malaysian Insider semalam.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai "amalan baru" yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan," kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan sultan.

Dalam kenyataan pertama, Khalid berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Lantikan Khusrin wajar dikaji semula, kata ketua Wanita PKR

Posted: 01 Jan 2011 01:45 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin terus mendesak agar pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, yang berkuat kuasa hari ini, dikaji semula dengan segera.

Kata beliau, sebagai seorang Setiausaha Kerajaan Negeri, penilaian dan kelebihan pada kredibiliti dan rekod kerja yang baik adalah amat penting.

"Namun, nampaknya pelantikan Khusrin tidak berdasarkan penilaian terhadap rekod dan pencapaiannya dan hanya melalui 'pintu belakang' serta ihsan 'kabel besar Putrajaya'," kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kini sekuel politik kotor kerajaan pusat ini semakin terdedah kecacatannya apabila perkara asas pelantikan ini sendiri dikesampingkan sewenangnya, semata-mata mahu mendahulukan matlamat politik berbanding kepentingan rakyat Selangor.

"Jika tidak masakan seorang yang diketahui telah mencemarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri?

"Tindakan biadab ini membuktikan bahawa kerajaan pusat Umno-BN sengaja mahu menganiaya rakyat negeri Selangor," katanya.

Zuraida berkata, ketandusan wang negara kerana 'membiayai' politik janji perdana menteri membuktikan bahawa pelantikan Khusrin adalah satu agenda rampasan oleh "kerajaan lanun Umno-BN."

"Maka, Selangor harus segera diselamatkan daripada agenda kotor lanun kolar putih Kerajaan Lanun Umno-BN ini.

"Andai Kerajaan Lanun Black Pearl musnah dengan strategi makan tuan, begitu juga nasibnya dengan kerajaan Umno-BN yang nampaknya kini umpama di tali gantung sahaja kedudukannya," kata beliau .

Zuraida menambah jika benar pelantikan Khusrin adalah strategi terbaru Datuk Seri Najib Razak, yang juga selaku Pengerusi Umno Selangor, beliau percaya pemimpin Pakatan Rakyat tidak gentar kerana "kami yakin, rakyat Selangor matang dan tahu siapa yang berjasa, dan siapa yang merompak."

Malah menurut beliau, sebagai seorang mantan pengarah Jais, Khusrin sendiri pastinya sedar akan kemampuan dan kelayakannya dan sepatutnya telah menolak tawaran jawatan ini sejak awal.

"Maka, saya menggesa agar Khusrin segera tampil memberi penjelasan agar dakwaan bahawa beliau sebagai ejen dan boneka pihak tertentu dapat disangkal, sekali gus membersihkan nama dan memulihkan integritinya selama ini," katanya.

MTUC: Jangan syok sendiri anggap PKR sudah kubur, kata MP Kuala Langat

Posted: 01 Jan 2011 01:30 AM PST

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 1 Jan — Jangan cepat membuat andaian pengaruh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah "berakhir dan berkubur" hanya kerana keputusan pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Khamis lalu, kata Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Wakil rakyat PKR itu juga memberi amaran barisan calon pimpinan beliau dan Syed Shahir Syed Mohamud yang tewas pemilihan presiden akan kembali ke gelanggang persaingan pada 2013.

"Orang yang berpandangan pengaruh PKR sudah hilang hanya kerana tewas dalam pemilihan MTUC adalah mereka golongan yang syok sendiri," kata beliau yang tewas kali kedua berturut-turut dalam percubaan bersaing jawatan setiausaha agung kali ini.

Pada 2007 beliau tewas dengan perbezaan empat undi dalam saingan satu lawan satu dengan G Rajasekaran.

Rajasekaran yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini sebelum ini mengharapkan MTUC tidak akan diketuai oleh pemegang jawatan yang aktif berpolitik.

Kali ini Abdullah Sani tewas di tangan Abdul Halim Mansor yang turut berhadapan dengan cabaran J Solomon.

Ekoran andaian sedemikian, kata Abdullah Sani, beliau mahu melihat prestasi barisan Halim selaku setiausaha agung dan Khalid Atan, presiden baru, yang dilihat membebaskan MTUC daripada pengaruh politik dengan keputusan pemilihan terbaru.

Khalid mengatasi Syed Shahir yang gagal mempertahankan kerusi presiden buat penggal ketiga. Khalid, sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC, memperoleh 255 undi manakala Syed Shahir pula 213 undi. Halim, timbalan setiausaha agung selama 12 tahun, menerima 188 undi, Solomon 117 undi manakala Abdullah Sani 165 undi.

"Dari segi undi, undi saya dan Solomon mengatas jumlah undi yang diterima Halim. "Jadi, Halim dan pasukannya tidak memperoleh undi mutlak untuk mengatakan bahawa MTUC memperoleh pemimpin yang bebas politik sepenuhnya dan beliau ada sokongan besar dalam MTUC," kata Abdullah Sani.

Lagi pun, kata Abdullah Sani, jawatan timbalan setiausaha agung dan setiausaha kewangan pula dimenangi oleh calon dari pasukan mereka.

"Ada empat calon kami dalam barisan kepimpinan baru, jadi mereka tidak harus menganggap bahawa mereka mendapat keputusan bersih dan sudah menganggap bahawa MTUC sudah menghapuskan pengaruh PKR dalam MTUC," kata beliau.

Abdullah Sani juga berkata, tidak wajar untuk membuat ukuran pengaruh PKR sudah berakhir dalam arena politik kerana barisan kepimpinan dipilih oleh sekitar 500 perwakilan dengan MTUC diwakili kira-kira 230 kesatuan gabungan yang mewakili 500,000 ahli.

"Saya tewas dengan beza 23 undi daripada 475 orang yang mengundi... apakah ia boleh menggambarkan sokongan sebenar Halim dan pasukan Khalid? Saya rasa tidak.

"Di luar sana, ada enam juta pekerja yang memerlukan bantuan dan kebajikan mereka dilindungi, di mana PKR menerusi Pakatan Rakyat akan terus menunaikan janji yang dibuat, dan kami yakin kaum pekerja akan menyokong kami... begitu juga dengan kaum guru," kata beliau yang kelihatan merujuk kepada kandungan Buku Jingga dan Program 100 Hari yang diumumkan.

"Saya nak tanya Rajasekaran, siapa yang mendesak kerajaan akan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja di Parlimen? Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan pampasan kematian dan hilang upaya KWSP dikurangkan daripada RM30,000 kepada RM2,500 10 tahun lalu? Ini berlaku ketika era Rajasekaran dan Datuk Zainal Rampak (ketika itu presiden).

"Jadi mengapa sekarang mengatakan hanya kerana kami pemimpin PKR dan Pakatan, kebajikan kaum pekerja akan terjejas?" kata beliau lagi.

"Semua ini tidak masuk akal," kata wakil rakyat penggal pertama ini. Sehubungan itu Abdullah Sani berkata, beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengerusi BN agar mengadakan pilihan raya umum segera jika merasakan pengaruh PKR dan Pakatan Rakyat sudah berakhir hanya kerana keputusan pemilihan MTUC kali ini.

"Jika BN menganggap pengaruh sudah berakhir dan merasakan ia perkembangan yang memihak mereka, saya mencabar pentadbiran Najib bubar Parlimen sekarang dan adakan pilihan raya segera," katanya.

Bersatu kerana benar, berpecah kerana benar

Posted: 01 Jan 2011 01:15 AM PST

oleh Subky Latif

PAS hari ini bersatu dengan DAP dan PKR. Itulah realpolitik masa ini dan masa mendatang. Realpolitik ini tidak pernah diperkenan Tun Dr. Mahathir sebelum wujud Pakatan Rakyat lagi dan sejak beliau masih Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Apa yang dikatakan tsunami politik Mac 2008 itu adalah gambaran realiti realpolitik itu dan tidak perkenan Dr. Mahathir itu ada asas dan sebabnya. Sebabnya ia adalah ancaman politiknya dan politik Barisan Nasional termasuk Umno.

Maka reaksi Umno ialah memperleceh penyertaan PAS dalam muafakat Pakatan Rakyat itu dengan mengatakan konon PAS diperkuda dan diperalat DAP dan PKR. Lalu mereka menggambarkan publik amat wajar Umno dan PAS bersatu belaka. Pintu penyatuan itu kononnya dibuka lapang ketika PAS dan DAP memadu muafakat politik yang real itu.

Saranan Dr. Mahathir itu masuk ke kepala setengah budayawan dan pejuang bahasa yang terpesona dengan ketuanan Melayu hingga ada yang menulis betapa PAS perlu tegak sendiri.

Pejuang bahasa dan budayawan pun memuji Umno setinggi langit hingga lupa apa Mahathir buat terbahap Bahasa Melayu dan pengajaran yang bercempera sekarang. Digambarkan juga tentang adanya profasional Melayu dan ahli bijak pandai Melayu yang menyintai kedua PAS dan Umno amat keciwa d engan PAS yang dikatakan diperkuda DAP dan tidak tertarik dengan berpadu dengan Umno.

Mungkin juga ramai orang Melayu berfikiran begitu dan termakan dengan pelemah Umno itu, tetapi rata-rata pendukung PAS yang juga tebal Melayunya apa lagilah pegangan Islamnya, menerima pakai realpolitik yang direnangi PAS sekarang.

Dengan realpolitik itu PAS merasa menjadi Menteri Besar di Perak, memerintah Kedah, bersama mentadbirkan Selangor dan tidak pernah memperoleh 20 kerusi di Parlimen melainkan setelah bekerjasama dengan DAP dalam PRU 1999 dan PRU 2008.

PAS pernah bersendirian paling tinggi MPnya 13 orang tahun 1959. Lepas itu ia turun naik bahkan pernah ada satu saja tahun 1986. Sejak menjana politik baru sudah dua kali dapat lebih dari 20 kerusi, bahkan dalam tahun 1999 ia dapat lebih banyak dari DAP.

Bahkan dalam politik baru ini geger atau gegar juga kuasa di Putrajaya, suatu yang tidak pernah terbayang sejak pengalaman pilihan raya bermula tahun 1955.

PAS pernah tegak sendiri sejak mula. Ketika pengundi Melayu melebihi 85 peratus dan Tanah Melayu penuh dengan kawasan dominan Melayu, pengundi Melayu yang dibantu oleh pengundi Cina tidak mengundi PAS. Apabila peluang itu PAS tidak dapat raih dalam tahun 1955, maka lima tahun kemudian peluang itu bertambah payah apa lagi bilangan pengundi bukan Melayu bertambah mendadak.

Tiap-tiap lima tahun peluang kian payah. Tetapi PAS mesti ada. Jika PAS tidak ada di dunia, nescaya bertambah teruklah Melayu dan Islam di bawa Umno. Berjaga-jaga sedikit Umno kerana bimbang PAS akan kuat.

Tetapi apakah PAS terus begitu diperlakulan oleh Umno ibarat tikus dipermian kucing sebelum kecing mekakannya? Membiarkan Umno memerintah rakus telah menjahanamkan negara, orang Melayu dan segala saki baki milik Melayu. Lagi dibenarkan ia berkuasa, sama seperti membiarkan tikus membaiki labu dan membiarkan nasi menjadi bubur.

Bersatu itu benar. Orang-orang yng mengasaskan PAS juga mulanya bersatu dalam Umno. Tetapi sejak dari mula tidak nahi munkar iaitu tidak mencegah kemungkaran. Ia bercadang menaja judi loteri bagi menjada dananya dan ia menggalakkan pesta hiburan yang ada judi. Lalu penentang maksiat itu membentuk PAS. Ia seolah-olah membuka perpecahan. Tetapi berpecahkan dengan Umno yang pro maksiat itu adalah benar juga. Itulah namanya bersatu kerana Allah dan berpecah kerana Allah.

Sejak itu Umno tidak pernah sukakan PAS dan jauh sekali untuk bercakap demi kepentingan ummah. Semua orang PAS dalam jawatankuasa masjid dan surau dibuang oleh pengaruh kuasa Umno.

Bila Umno sayang pada PAS? Bila ia terdesak seperti 13 Mei, 1969. Ia cari PAS. Bila ia berpecah dengan penyokong Tengku Razaleigh tahun 1987 dan bila ia berpecah dengan penyokong Anwar tahun 1997.

Masa 13 Mei itu Tun Razak menghantar menteri Tan Sri Hamzah Abu Samah mengambil Dato Asri dengan helikopter. Umno mengajak PAS berpakat. Dato Asri pun bersetuju. Dalam PRU 1974 berpuluh kerusi dimenangi BN tanpa bertanding kerana PAS bersatu dengan Umno dalam BN.

Lepas Umno merasa ia sudah pulih ia tendang PAS dan rampas Kelantan dari PAS. PAS lumpuh selumpuh-lumpuhnya, mengambil masa bertahun untuk pulih hingga Dato Asri, Yang Dipertua Agung PAS terpaksa diketepikan dari parti.

Ia berbaik dengan PAS rupanya hendak menelan PAS.

Umno menggunakan polis bagi menyekat PAS bermuafakat dengan Team B Umno pimpinan Tengku Razaleigh. Apa hak polis bertanya PAS, mana lebih baik PAS bekerja dengan Teak A atau bekerjasama dengan Team B Umno? Minatnya pada PAS masa itu takut PAS dan Team B boleh mengalahkan Umno.

Demikian juga bila penyokong Anwar membentuk kumpulan cuba bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Umno. Tiba-tiba aktivis Umno di kampung dan kota bercakap orang Umno sedia menyokong PAS tetapi tidak sedia menyokong bekas Umno yang membela Anwar. Masa itu Umno berkata lebih elok PAS tegak sendiri.

Yang Umno tiba-tiba rasa sayang pada PAS mengapa? Natijah PAS berkawan dengan Ku Li, Kelantan hilang semula dari Umno. Gara-gara PAS berbaik dengan penyokong Anwar dan DAP, PAS berkuasa di Terengganu, beroleh hampir 30 kerusi di Parlimen, ia dapat banyak kerusi di Kedah, ada kerusi di Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Bersatu untuk kepentingan ummah itu adalah benar. Justeru itu Dato Asri membawa PAS berbaik dengan Umno dan Anwar Ibrahim terjun dalam Umno. Tetapi Dato Asri dan Anwar yang ada jasa pada Umno telah dikhianati oleh Umno.

Maka bagaimana PAS dapat memikirkan bersatu dengan Umno itu benar? Semua seruan supaya PAS meninggalkan DAP, bahkan berkawanlah dengan Umno adalah andaian yang tidak benar. Ia hanya melanjutkan lobi dan pelemah Umno.

Pada masa ini berpecah dengan Umno itu adalah benar. Berkawan dengan DAP belum tentu tidak benar. Cubalah mempercaya DAP dan PKR itu seperti Rasulullah SAW bertahaluf dengan Yahudi dan Nasaro di Madinah dan berdamai dengan musyrikin Mekah di Hidaibiyah.

* Subky Latif adalah pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, pada tahun 1978.

Ramalan pun fitnah, TPM ‘tergeliat otak’

Posted: 01 Jan 2011 01:00 AM PST

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sebuah akhbar harian bertarikh 15 Disember melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajuk 'Ramalan PAS fitnah'. Ia merujuk kepada andaian Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang membayangkan kemungkinan BN akan melakukan rampasan kuasa jika kalah dalam pilihanraya umum akan datang. Andaian Mahfuz itu pula bersandarkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib bahawa mereka akan tetap menerajui Putrajaya meskipun tewas dalam pilihanraya umum ke 13.

"Semua itu satu pembohongan, fitnah dan berniat jahat," kata Muhyiddin. Pihak yang mula mencetus kenyataan kontroversi itu ialah Najib. Jika BN kalah, masih juga hendak terajui Putra Jaya, ia hanya membawa kepada dua maksud. Pertama, BN akan beli wakil rakyat parti lawan macam di Perak. Sehingga mereka mempunyai majoriti, maka mereka akan berkuasa di Pusat melalui penubuhan kerajaan katak. Kedua, dengan melakukan rampasan kuasa macam yang sering berlaku di Thailand. Itu saja andaiannya dari tafsiran kata-kata Najib. Tiada andaian lain yang boleh dibuat selain itu.

Mahfuz memilih andaian kedua. Itupun sekadar satu andaian, bukan tuduhan yang nyata bahawa BN akan melakukan perkara tersebut jika mereka kalah dalam pilihanraya umum. Tetapi bagi Muhyiddin, andaian pun boleh jadi fitnah. Spekuasi, ramalan, andaian, tilikan atau apa-apa perkataan yang semaksud dengannya adalah perkara yang belum berlaku. Sama ada ia akan betul-betul berlaku atau tidak belum pasti. Selagi ia belum berlaku maka orang yang membuat ramalan belum berbohong atau memfitnah. Kalau berlaku tidak seperti diramalkan pun ia tetap bukan fitnah kerana ia cuma andaian. Nampaknya Muhyiddin 'tergeliat otak'.

Persoalan berikutnya ialah jika benar BN tidak bercadang mahu melakukan rampasan kuasa atau menubuhkan sebuah kerajaan katak selepas tewas dalam pilihanraya umum kelak, maka apa pula maksudnya kata-kata Najib bahawa BN tetap akan berkuasa sekalipun tewas. Silalah jawab.

Seterusnya pada 21 Disember, sebuah lagi akhbar harian melaporkan kenyataan Muhyiddin di bawah tajuk, 'Pembohongan besar untuk tipu rakyat." Timbalan Pengerusi BN itu merujuk kepada Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika dapat mengambilalih kerajaan Pusat.

Aneh, macam mana Pakatan Rakyat dilaporkan sudah berbohong sedangkan pilihanraya umum ke 13 pun belum berlaku. Tak apalah, katakan BN kalah dan Pakatan menang. Jika tamat tempoh yang dijanjikan, iaitu selepas 100 hari berkuasa, Pakatan tidak tunai janji barulah boleh dikatakan mungkir janji, bohong atau menipu. Lagi sekali Muhyiddin 'tergeliat otak', asyik terbabas dengan kenyataannya.

Satu lagi kenyataan Muhyiddin yang mengelirukan yang dilaporkan dalam akhbar yang sama ialah, "Jika 40,000 orang guru diberikan imbuhan bulanan sebanyak RM500, ini bermakna kerajaan pembangkang perlu membelanjakan RM200 juta sebulan." Di mana agaknya Menteri Pelajaran itu belajar istilah 'kerajaan pembangkang', kerana dalam amalan demokrasi pembangkang tidak boleh bentuk kerajaan kerana tidak cukup majoriti. Sekali lagi Muhyiddin terbabas. Dia tidak layak untuk jaga guru-guru sedangkan dia sendiri jahil dalam penggunaan istilah dalam bahasa yang mudah.

Kekelamkabutan pemikiran Timbalan Presiden Umno itu adalah manfestasi dari rasa ketakutan yang bukan kepalang mengenai kemungkinan hilang kuasa di Pusat.

Jika lebih dua dekad lalu, kenyataan standard pemimpin BN setiap kali mengulas janji pihak lawan sebelum pilihanraya ialah, "Mereka tiada masalah untuk berjanji kerana tahu tidak akan menang pilihanraya." Kini selepas Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pernah ditawan maka kenyataan bertukar menjadi, "Jangan percaya janji pembangkang."

Amalan di negara-negara yang subur demokrasinya, parti politik berpeluang menceritakan manifesto masing-masing. Biasa juga mereka mengkritik manifesto pihak lain, mungkin kerana kononnya kerana ada aspek sampingan yang tidak diteliti. Atau ada aspek-aspek yang tidak praktikal dalam manifesto tersebut. Maka mereka pun memberi hujah menolak manifesto pihak lawan berasaskan fakta-fakta yang dilihat kukuh. Tapi tiada pula di kalangan mereka yang menjerit memberitahu rakyat, "Jangan percaya janji parti lawan, mereka menipu!" Maka nampak sangatlah perangai buruk BN dalam menghadapi pihak lawan terlalu primitif dan kebudak-budakan.

Tindakan Pakatan Rakyat mengumumkan agenda bertindak jika berkuasa dalam jarak waktu lebih jauh dari pilihanraya, akan menambahkan beban kerja BN. Sebelum ini isi manifesto hanya terdedah kepada rakyat selepas Parlimen dibubarkan. Di waktu semua media utama masih di bawah cengkaman kuku besi BN, sebahagian besar isi manifesto pembangkang tidak sempat sampai kepada rakyat kerana digelapkan oleh mereka.

Kini awal-awal lagi rakyat sudah tahu bahawa jika Pakatan Rakyat menang di Pusat maka tol akan dihapuskan, imbuhan untuk guru bertambah RM500, para perasuah (yang selama ini dilindungi) diheret ke muka pengadilan, ISA dihapuskan, pinjaman PTPTN distrukturkan semula, media menjadi bebas, kebajikan warga emas diutamakan, WiFi percuma kepada seluruh rakyat, berusaha meningkatkan pendapatan isi rumah ke RM4,000, memperbanyak dialog antara agama untuk mewujudkan keharmonian dan menjadikan polis, SPR dan SPRM sebuah badan bebas yang tidak terikat dengan arahan politik mana-mana pihak. Nah, tiada siapa yang waras akan menolak segala kebaikan yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat itu.

Rakyat biasa yang menjadi ahli parti politik BN pun akan terliur dengan tawaran itu. Maka satu-satu propaganda BN untuk mengajak rakyat menolak tawaran itu ialah, "Pakatan Rakyat bohong, jangan percaya." Lalu mereka pun akan mencari pelbagai 'bukti' untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Pakatan berbohong, melalui cara berbohong yang bagi mereka adalah halal.

Berbohong bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang berbohong pada rakyat bahawa wang ehsan untuk warga emas adalah duit hasil berjimat, walhal duit hasil judi; adalah satu contoh "berbohong dengan menuduh pihak lain bohong". BN kemudian melancar program mengutip kembali wang ehsan tersebut dari warga emas untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, tapi tidak dikembalikan pun. Bohong lagi. Bohong BN bohong yang berlapis-lapis.

Semakin dekat dengan pilihanraya, semua media talibarut BN akan melakukan kerja berbohong kepada rakyat mengenai Pakatan Rakyat setiap waktu dan detik. Andai BN terus berkuasa selepas ini, maka kemenangannya kerana berjaya membohongi rakyat, di samping kejayaan merasuah rakyat. Masih ada nilaikah sebuah kerajaan yang naik kerana rasuah dan pembohongan?

PRU-13: Najib jumpa setiap MP BN 8 Jan

Posted: 01 Jan 2011 12:50 AM PST

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabtu depan di sebalik spekulasi bahawa perdana menteri kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Pengerusi BN itu dijadual akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ahli Parlimen untuk mendapatkan maklum balas mengenai langkah mengadakan pilihan raya umum awal memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu kelihatan berbelah bahagi dalam soal itu. Najib kini bercuti di Timur Tengah.


"Najib akan bertemu dengan setiap ahli Parlimen BN selama lima minit pada 8 Januari. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam, jadi kemungkinan akan berlarutan sehingga Ahad ( 9 Januari)," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Seorang ahli Parlimen BN mengesahkan pertemuan itu sambil berkata Najib telah meminta mereka melaporkan pandangan tentang persediaan di bahagian masing-masing.

"Kami kena berikan satu laporan. Tetapi lima minit adalah waktu yang singkat kecuali setiap orang yakin dan mengatakan kesemuanya OK," kata wakil rakyat itu.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun depan ketika cuti sekolah bulan Mac.

Bagaimanapun BN sekarang dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkannya sehingga apabila projek-projek ekonomi diperkenalkan Najib mula merancakkan ekonomi tempatan.

The Malaysian Insider difahamkan Najib telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin komponen BN awal bulan lalu di Parlimen untuk membincangkan sama ada mengadakan pilihan raya umum pada bulan Mei atau Jun.

Mandat semasa hanya akan berakhir 20 April 2013. Ia pertemuan pertama seumpama itu sejak Najib menjadi perdana menteri April 2009.

BN juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.



"Ketika mesyuarat Kabinet baru-baru ini, dipersetujui bahawa pilihan raya umum kemungkinan diadakan minggu kedua bulan Jun. Jika tidak, ia akan dianjak sehingga November," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun perkembangan-perkembangan terbaru ini menunjukkan wakil rakyat-wakil rakyat yang tidak berhasrat untuk bertanding mahukan pilihan raya diadakan tahun depan.

"Ahli-ahli Parlimen kanan mengharapkan faedah daripada pelbagai projek yang dilaksanakan sebelum pilihan raya umum. Mereka juga menyebarkan khabar angin bahawa ahli-ahli Parlimen muda (penggal pertama) tidak akan memperoleh pencen jika pilihan raya umum diadakan awal," kata sumber itu lagi.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan pencen bagi wakil rakyat jika mereka berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan.

Penasihat-penasihat Najib pula dikatakan menggesa beliau agar mengadakan pilihan raya umum seawal Jun ekoran kebimbangan bahawa ekonomi dunia kemungkinan perlahan, sehingga boleh memberi kesan ke atas ekonomi tempata pada suku ketiga.

Najib, perdana menteri keenam, telah memperkenalkan pelbagai projek untuk merangsang ekonomi negara meskipun ramalan menunjukkan ia akan perlahan tahun ini.

Ia termasuklah projek transit aliran massa (MRT) yang akan menelan RM36 bilion, menara Warisan Merdeka RM5 bilion, Daerah Kewangan Antarabangsa KL RM26 bilion, projek ekoresort RM3 bilion di Karambunai, Sabah dan pembangunan kawasan seluas 1,084 hektar milik Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh.

Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan lima peratus, satu peratus lebih rendah daripada diharapkan oleh pentadbiran Najib.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dua minggu lalu mengadakan konvensyen kedua mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang dan menerima Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari.

Seminggu sebelum itu BN telah mengadakan konvensyen mereka, yang memfokus usaha ke arah persiapan pilihan raya umum.M/I

Terkini! Hiburan: Pelakon Drama Adamaya, Faizal Yusof Meninggal Dunia

Posted: 31 Dec 2010 11:35 PM PST

http://mstar.com.my/archives/2011/1/1/mstar_hiburan/faizal.jpg


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

PETALING JAYA: Pelakon Faizal Yusof telah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur pagi Sabtu.

Menurut bekas isterinya, Siti Nordiana, Allahyarham Faizal mengadu sakit jantung dan pelakon drama Tiramisu itu pengsan di rumah Faizal.

"Saya dan isteri Faizal terus membawanya ke Hospital Pusrawi dan dia dimasukkan ke wad ICU. Keadannya pada ketika itu sudah kritikal," katanya yang dihubungi mStar Online, Sabtu.

Jenazah masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumah Faizal di Sentul petang nanti.

Konsert Wali Band : Pemuda UMNO Kelantan Dinasihati Memahami Enakmen Kawalan Hiburan 1998

Posted: 31 Dec 2010 11:30 PM PST

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Saudara Anuar Safian seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia 1 Januari 2011 (muka 24). Kenyataan yang sama turut tersiar di dalam akhbar Sinar Harian 1 Januari 2011 (muka N7). Beliau di dalam kenyataan tersebut mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan penganjuran persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band sempena sambutan tahun baru 2011 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu, Kelantan.

2. DPPNK ingin memberikan penjelasan bahawa setiap persembahan hiburan di Kelantan haruslah mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998. Inilah pendirian kerajaan Kelantan sejak memperkenalkan Dasar Membangun Bersama Islam dan tidak timbul timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda seperti yang dinyatakan oleh Anuar.

3. Di dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan dan persembahan konsert Wali Band tidak langsung melanggar Enakmen tersebut. Manakala penganjur konsert, Anjung Tulus Corporation Sdn. Bhd. telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung. Inilah juga peraturan yang dikenakan terhadap semua penganjur aktiviti hiburan di Kelantan termasuklah Jom Heboh yang dianjurkan oleh Stesyen TV Portal TV3 pertengahan tahun lepas.

4. Sebarang kelemahan di dalam penguatkuasaan Enakmen tersebut tidaklah sama sekali boleh menafikan hasrat positif yang terkandung di dalamnya.

5. DPPNK ingin menasihatkan Pemuda UMNO Kelantan khususnya ketuanya sendiri agar membaca dan memahami dahulu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang hanya menampakkan kedangkalan semata-mata.

6. Saudara Anuar Safian juga turut membangkitkan berkenaan status kumpulan tersebut sebagai 'orang luar' yang kononnya diutamakan berbanding dengan kumpulan tempatan. Alasan yang remeh seperti ini sepatutnya tidak keluar dari seorang ketua pergerakan pemuda parti yang mendakwa mendokong 1Malaysia. Barangkali Pemuda UMNO Kelantan mahu menyindir kerajaan Barisan Nasional yang mengambil syarikat perunding APCO Wordwide menjadi penasihat dengan bayaran RM77 juta setahun!

7. Sewajarnya Pemuda UMNO Kelantan lebih prihatin terhadap langkah UMNO membenarkan penganjuran konsert yang terang-terang melanggar syariat seperti persembahan artis gay yang penuh kontroversi, Adam Lambert mengadakan konsert di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Oktober 2010 yang lepas. Tidurkah Pemuda UMNO Kelantan ketika itu?

8. Justeru, DPPNK melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan tersebut hanyalah kenyataan remeh temeh dan hanya bertujuan untuk mengelakkan tanggapan bahawa Pemuda UMNO Kelantan sudah kekeringan isu untuk bersuara. DPPNK ucapkan, selamat bersuara!

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 26 Muharam 1432 / 1 Januari 2011

Rantau Panjang banjir, 67 mangsa dipindah

Posted: 31 Dec 2010 11:15 PM PST

RANTAU PANJANG, 1 Jan — Seramai 67 penduduk di sini mula dipindahkan ke satu pusat pemindahan sejak pagi ini akibat banjir berikutan hujan yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata 21 keluarga diarah pindah kira-kira pukul 11 pagi ini selepas kediaman mereka mulai ditenggelami air melebihi satu meter.

"Kesemua mereka, kebanyakannya dari Kampung Pohon Tanjung, Lalang Pepuyu, Kubang Rambutan dan sekitarnya berpindah ke pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) di Rantau Panjang," katanya kepada Bernama hari ini.

Jurucakap itu berkata dua laluan ditutup kepada kenderaan iaitu Jalan Pohon Tanjung ke Jeram Perdah (Jalan lama Rantau Panjang) dan Jalan Rantau Panjang ke Lalang Pepuyu.

Beliau berkata paras air Sungai Golok kini berada pada paras 10.21 meter melebihi paras bahaya sembilan meter.

"Penduduk di kawasan berhampiran sungai Golok dan sungai utama di seluruh negeri ini dinasihatkan mengambil langkah awal dengan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kehadiran banjir gelombang kedua," kata jurucakap itu.

Hujan renyai-renyai dan kadangkala lebat turun berterusan sejak beberapa hari lalu terutama di kawasan pedalaman Kelantan. — Bernama

Charles : Isu Kuil Sivan, tindakan Gobala bermotif politik

Posted: 31 Dec 2010 11:00 PM PST

SHAH ALAM,1 Jan – Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago menempelak tindakan Ahli Parlimen Padang Serai P. Gobalakrishnan yang mengaitkan isu penutupan Kuil Sivan di Bukit Gasing dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru beliau menganggap kenyataan Gobala hanyalah semata untuk memburukkan nama Anwar di kalangan masyarakat India dan hanyalah bermotif politik semata.

Isu kuil ini berkait dengan Majlis Perbandaran. Peranan Datuk Seri Anwar langsung tidak ada dalam isu ini. Tapi oleh kerana kepetingan politik Gobalakrishnan, beliau telah membangkitkan nama Anwar supaya dapat mencemarkan nama beliau di kalangan orang India dan Hindu di Malaysia.

Pada sidang akhbar semalam, Gobala menuduh Anwar sebagai anti-Hindu dan mendakwa Ketua Pembangkang itu kononnya menutup sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya pada tahun 2008.

Dalam membuat tuduhan itu, Gobala tidak menjawab kenapa beliau membuat tuduhan itu hanya sekarang, setelah gagal dilantik menjadi Naib Presiden PKR.

Charles menceritakan hakikat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya membekukan kerja-kerja mengubah suai kuil itu setelah tapak berkenaan di landa masalah hakisan tanah dan tanah runtuh setelah mendapat aduan dari penduduk di sekitar kawasan itu sendiri.

"Oleh kerana itu, MPPJ membuat penyiasatan. Selepas penyiasatan mereka keluarkan satu freeze order, jangan buat apa-apa sebelum boleh buat pembaikan dan sebagainya. Itu tanggungjawab pihak kuil. Saya diberitahu kerja pembaikan belum selesai, jadi isu keselamatan masih ada," katanya.

Justeru beliau memberi amaran kepada Gobala agar tidak memainkan sentimen kaum dan agama persis taktik UMNO BN.

"Saya nak beritahu YB Gobalakrishnan supaya jangan bodohkan rakyat, khususnya orang India dan Hindu. Mereka pun tak mahu pergi ke satu tempat yang tidak selamat untuk sembahyang. Janganlah bangkitkan dan putar belit isu kaum dan isu agama untuk kepentingan sendiri seperti Barisan Nasional," katanya lagi.

MB Selangor kesal, KSN belakangkan etika profesional

Posted: 31 Dec 2010 10:48 PM PST

SHAH ALAM,1 Jan – Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan.

"Selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," kata beliau.

Kerajaan Negeri Selangor kata Khalid telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor.

"Ketika mengumumkan pelantikan Khusrin, KSN bukan saja membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

"Perlu dinyatakan di sini, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," ujar beliau.

Apa yang lebih merunsingkan beliau adalah Sidek telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen," tegas Khalid.

Pengasas WikiLeaks diugut sejak siar kabel diplomatik

Posted: 31 Dec 2010 07:00 PM PST

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange percaya ada 'kemungkinan besar' dia akan dibunuh dalam penjara Amerika Syarikat jika diekstradisi dari Britain atas tuduhan mengintip.

Warga Australia itu yang berada di Britain dengan ikat jamin, berusaha menghalang Sweden daripada mengekstradisinya berhubung dakwaan penderaan seks, tetapi Washington dipercayai sedang menimbang bagaimana untuk mengenakan tindakan ke atasnya berikutan pembocoran kabel diplomatik AS.

Assange, 39, memberitahu akhbar The Guardian, adalah 'mustahil dari segi politik' untuk Britain menyerahkannya kepada AS kerana kerajaan Perdana Menteri, David Cameron tidak mahu menunjukkan ia mengikut telunjuk Washington.

"Dari segi undang-undang, United Kingdom berhak tidak mengekstradisi sesiapa kerana jenayah politik. Mengintip adalah satu contoh jenayah politik," katanya.
AS juga sedang berusaha berpakat dengan Bradley Manning, askar AS yang disyaki menyalurkan maklumat kepada WikiLeaks.

Assange menambah, jika AS berjaya mengekstradisinya, kemungkinan besar dia akan dibunuh seperti yang dilakukan ke atas Jack Ruby ketika dalam tahanan AS.
Ruby, pemilik kelab malam, ditembak Lee Harvey Oswald di balai polis Dallas, Texas beberapa hari selepas Oswald ditahan kerana membunuh Presiden John F Kennedy pada 1963.
Assange sebelum ini menyatakan dia dan kakitangan WikiLeaks menerima ugutan bunuh sejak laman web berkenaan mula mendedahkan sebahagian daripada 250,000 kabel rahsia Jabatan Negara AS, November lalu.

Sejak dibebaskan dari penjara minggu lalu, Assange, menumpang di rumah agam rakannya di timur England dengan jaminan ketat dia perlu melaporkan diri kepada polis setiap hari dan memakai alat pengesan elektronik.

Mahkamah di London dijadualkan mengadakan perbicaraan penuh ekstradisinya ke Sweden mulai 7 Februari depan.

Sementara itu, di DUBAI, Ketua Polis Dubai berkata WikiLeaks akan mengesahkan tuduhannya bahawa perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, bertanggungjawab atas pembunuhan seorang komander Hamas yang sedang melawat negara berkenaan 20 Januari lalu.

"Dokumen yang dibocorkan itu membuktikan kebenaran mengenai pembabitan Mossad, tetapi akan ada orang yang akan menafikannya walaupun ada dokumen yang dibocorkan," kata Dahi Khalfan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris di sini, Gulf News. – AFP

JHEAIPP cekup pasangan lakukan 'aksi ringan-ringan'

Posted: 31 Dec 2010 06:30 PM PST

GEORGETOWN: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, ditahan bersama teman lelakinya kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam di Pantai Jerejak di sini, tengah malam semalam.

Pasangan yang berusia 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam Ops Sayang 2010, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata ketika pemeriksaan dilakukan, pelajar itu berada di tempat duduk penumpang di bahagian depan, manakala pasangannya di tempat duduk pemandu Proton Waja yang bercermin gelap.

Katanya, selepas penguat kuasa memperkenalkan diri dan mengarahkan pasangan itu keluar untuk dibuat pemeriksaan, pelajar wanita berkenaan didapati tidak memakai baju dalam.

"Apabila soal siasat dilakukan, pelajar itu memberitahu dia membuka baju ketika bermadu kasih bersama pasangannya. Malah, zip seluar dan tali pinggang teman lelaki pelajar itu cuba dibetulkan ketika pemeriksaan," katanya.

Khairul Azman berkata, ketika soal siasat dilakukan, pasangan itu mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya sekadar melakukan aksi 'ringan-ringan' di dalam kereta.

Pasangan itu diberikan notis supaya menghadirkan diri ke pejabat JHEAIPP untuk diambil keterangan diri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Imbuhan RM500 hanya untuk guru sukar dilaksana?

Posted: 31 Dec 2010 06:00 PM PST

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran tidak menghargai peranan guru apabila mempertikaikan tawaran pembangkang mahu memperkenal-kan imbuhan khas pendidik RM500 seorang setiap bulan.

Sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai taktik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk meraih sokongan rakyat bagi mendokong hasratnya menawan Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya Menteri Pelajaran yang tidak berhati perut tidak menghargai jasa guru.

"Saya gembira mendengar tawaran ini, tetapi kita perlu melihat secara keseluruhan untuk menterjemahkan apa yang ditawarkan ini dengan hakikat. Kita kena ingat apabila menawarkan RM500, kita kena ambil kira jumlah keseluruhan kakitangan awam lain iaitu 1.2 juta orang. Kita perlu beri tawaran sama kepada mereka juga.

"Saya ingin cabar Anwar melaksanakan kenaikan gaji bagi kakitangan awam di negeri pakatan pembangkang dulu jika beliau benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam," katanya sambil menambah Anwar yang 'pakar dan bijaksana' harus tahu bagaimana sukar melaksanakan tawaran itu kerana pernah berada dalam kerajaan dan menjadi Menteri Pendidikan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis 'Teach for Malaysia', di sini semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan langkah meneliti setiap perkara yang berkaitan secara holistik sebelum membuat tawaran kepada rakyat.

"Kerajaan bukan tak boleh buat begitu (beri imbuhan kepada guru)... tetapi kita mengambil kira implikasi dan kesannya kepada pihak lain. Jika saya naikkan gaji guru saja, penjawat awam lain akan persoalkan. Saya membuat penilaian kepada semua perkara dan me-ngambil kira konteks keseluruhan kakitangan awam," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, program 'Teach for Malaysia' berasaskan konsep mengajar sambil berbakti dipelopori rangkaian global 'Teach for All' yang memberi peluang kepada graduan cemerlang berkhidmat kepada negara melalui profesyen perguruan.

Katanya, penempatan peserta program itu di sekolah berkeperluan tinggi akan bermula pada Januari 2012 dan akan dilatih selama lapan minggu di Institut Aminuddin Baki sebelum diserapkan mengajar di sekolah terpilih dengan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas India dan China melaksanakan inisiatif itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin meminta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd merumuskan formula yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua pihak jika mahu memulakan kerjasama strategik bagi memastikan kedua-dua syarikat dapat terus bersaing pada peringkat global.

"MAS dan AirAsia perlu memulakan kerjasama strategik walaupun mereka bersaing khususnya dalam soal tambang murah dan sederhana. Bagaimanapun, perkara itu terserah kepada pihak pengurusan kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan kerana kami (kerajaan) faham ini satu bentuk perniagaan dan elemen persaingan sihat," katanya.

Mengenai isu pembangunan nuklear, beliau menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan kerana kerajaan perlu mengambil pandangan pelbagai pihak.


jangan pandai cakap sebab hang nak lari wahai sembab! tiada jasa lansung hang kat guru-guru malaysia!

Tiada ulasan: