Jumaat, 21 Januari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Bergambar] Bursa Saham Dhaka Jatuh Teruk, Pelabur Merusuh

Posted: 21 Jan 2011 01:00 AM PST

Dhaka – Pihak berkuasa perdagangan saham di Bangladesh menghentikan dagangan di Bursa Saham Dhaka semalam selepas indeksnya jatuh 8.6 peratus dalam tempoh enam minit.

Penurunan itu merupakan yang terpantas dalam sejarah bursa tersebut.

Indeks bursa itu jatuh kepada 6,313.62 mata selepas dagangan bermula di Bursa Saham Dhaka pada pukul 1 petang waktu tempatan.

Ia merupakan penangguhan kali keempat dalam tempoh 10 hari.

Ekoran penangguhan itu, sejumlah pelabur kecil mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan bursa saham tersebut.

Pihak polis terpaksa bertindak dengan menyuraikan para penunjuk perasaan itu.

"Para penunjuk perasaan berkumpul di depan pejabat bursa saham itu tetapi kami berusaha untuk menyuraikan mereka," kata seorang pegawai polis, Abdul Momin.

Kelmarin, dagangan turut dihentikan apabila indeks jatuh 225 mata atau 3.2 peratus sekali gus mencetuskan pertempuran di antara polis dan ribuan penunjuk perasaan.

Kebanyakan pelabur kecil membuat pinjaman untuk membeli saham di bursa tersebut. – AFP







Guru Yoga Didakwa Rogol Pelajar 15 tahun

Posted: 21 Jan 2011 12:21 AM PST

Shah Alam, 21 Jan – Seorang guru yoga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun pada Februari dan November tahun lepas.

Gambar: GURU Yoga, Abdul Malik Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 5 Shah Alam atas dua tuduhan merogol pelajarnya berusia 15 tahun, di lokasi berasingan di Hulu Selangor tahun lalu. - Foto Roslin Mat Tahir

Abdul Malik Abdullah, 55, dari Batu Caves dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di Kampung Dato' Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira 8 malam pada Februari tahun lepas.

Abdul Malik yang ditahan pada 2 Jan lepas, juga didakwa merogol mangsa yang sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara 5 petang dan 6 petang pada November tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukannya serius kerana membabitkan mangsa di bawah umur.

Beliau berkata hubungan antara tertuduh yang merupakan guru yoga kepada mangsa juga memungkinkan tertuduh menganggu mangsa, lebih-lebih lagi mereka tinggal berdekatan.

Abdul Malik yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan kesihatannya tidak berapa baik dan perlu menanggung enam anak angkat.

Latifah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Feb depan untuk sebutan melantik peguam.

Terdahulu, Abdul Malik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 2.70 gram.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Berita berkaitan


Sebulan jadi hamba seks

HULU SELANGOR: Tiga remaja perempuan dikurung dan dijadikan hamba seks selama sebulan oleh seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru, di sini, sebelum diselamatkan polis, Rabu lalu.

Ketika serbuan di rumah guru yoga berusia 54 tahun terbabit, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan oleh keluarga mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru terbabit pada hujung November lalu. "Seorang daripada ibu mangsa membuat laporan anaknya yang berusia 16 tahun keluar bersama suspek dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Ibu mangsa memberitahu dia menghubungi suspek, tetapi suspek enggan memberitahu di mana anaknya berada," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Norel Azmi berkata, selepas menerima laporan ibu mangsa yang juga seorang penoreh getah berusia 38 tahun pada 30 November lalu, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dia kini direman empat hari sehingga 3 Januari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan mendakwa dirogol rakan teman lelakinya di Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, di sini, pada 22 hingga 27 Disember lalu.

Sumber polis berkata, sepasukan anggota forensik pergi ke lokasi kejadian semalam bagi mencari bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol. "Namun, polis menyiasat kemungkinan kejadian berlaku kerelaan wanita itu," katanya. -hm


Lagi Kes Gadis Hilang Dilarikan Kekasihnya

Posted: 20 Jan 2011 10:50 PM PST

Kepala Batas – Seorang bapa meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya yang didakwa hilang dipercayai dilarikan kekasihnya sejak sebulan lalu.

Mohd. Rashidi Mohd. Rashid, 46, berkata, anak perempuannya, Norhafiza, 21, dikatakan tidak balik ke rumah selepas pulang dari kerja di sebuah kilang di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah pada 25 Disember lalu.

Menurutnya, anak kedua dari lapan beradik itu dipercayai hilang ketika dia berada di Perlis atas urusan perniagaan. Dia hanya mengetahui mengenai kehilangan anaknya itu dua hari selepas kejadian apabila dimaklumkan oleh ibunya, Bariah Ahmad, 63, ketika pulang ke rumahnya di sini.

"Selepas mengetahui Norhafiza tidak pulang ke rumah, saya bersama ibu saya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

"Tapi sehingga hari ini, polis masih belum dapat kesan di mana lokasi anak saya berada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Paya Keladi di sini semalam. -kosmo

Sudahlah Pemboros, Angkuh Pula!

Posted: 20 Jan 2011 08:44 PM PST

Lawatan luar negara: Rosmah tak hirau kritikan

Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama di majlis-majlis tertentu.

"Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau malah parti apapun yang mereka wakili," katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman.

"Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia," kata Rosmah menjelaskan bahawa beliau dan anggota rombongannya diterima baik di Muscat dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, sendiri mengambil berat lawatan itu.
Berucap di sidang antarabangsa

Dalam lawatan itu, Rosmah disertai beberapa anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Beliau merupakan tetamu kerajaan Oman, kali pertama dalam tempoh 20 tahun seorang kenamaan Malaysia diberi keistimewaan itu.

Rosmah juga mengulas mengenai lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini di mana beliau memberi ucapan dalam satu persidangan antarabangsa mengenai pengurusan kualiti menyeluruh dalam pendidikan.

"Saya dimaklumkan di Riyadh bahawa saya dijemput bukan hanya kerana saya isteri seorang perdana menteri. Apa yang nyata, mereka telah menyelidik dan mengkaji untuk melihat apa yang saya telah sumbangkan kepada pendidikan kanak-kanak terutama bagi yang berumur di bawah empat tahun dan begitu juga dengan kanak-kanak yang berbakat.

"Dan saya sangat gembira bahawa malah di Arab Saudi, mereka telah mengiktiraf kenyataan bahawa adalah sangat penting memberi perhatian kepada pendidikan awal dan jagaan ke atas kanak-kanak dan juga kanak-kanak yang berbakat," katanya.

Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: "Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak."

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan - yang telah dijalankan oleh perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan kabinet.

"Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya." - Bernama

Ulasan GB

Rosmah berkata, "Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia"

Soalan kami: Siapa yang undi dan lantik awak mewakili rakyat Malaysia?

GB dah ulas sebelum ini di: Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah

PRK Tenang: Bukan Islam Terima Baik Cikgu Mala

Posted: 20 Jan 2011 07:35 PM PST

Normala mampu jadi kekuatan Pas

SENAI - DAP melihat kelebihan bergelar wanita bagi calon Pas, Normala Sudirman yang akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mampu menjadi kekuatan bagi memenangi kerusi berkenaan.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, statistik pengundi yang dikeluarkan bagi DUN Tenang menunjukkan 52 peratus pengundi adalah wanita.

"Cikgu Mala mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi memandangkan kredibiliti yang dimiliki sebagai warga pendidik dan mencurahkan bakti di kawasan berkenaan," katanya.

Justeru, katanya, walau siapa pun yang diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) telah menurunkan calon yang memiliki kredibiliti tinggi untuk mendekati hati pengundi dan rakyat.

"Siapa pun dia, bukan menjadi masalah, kerana calon yang dipilih Pas benar-benar layak dan mampu meraih undi," katanya.

Selain itu, kerjasama daripada jentera parti komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sejak dari awal sebelum penamaan calon lagi mampu meraih lebih ramai pengundi.

"Setiap parti komponen akan bekerja keras menggerakkan jentera parti, khususnya ke kawasan pedalaman, dalam mendekatkan parti dengan pengundi," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan yang akan dilakukan selepas kedua-kedua parti mengumumkan calon, Cheng Hau berkata, perancangan rapi sedang dibuat pucuk pimpinan bagi mengadakan kempen dan ceramah sebaik sahaja tempoh berkempen dimulakan kelak.



Makkal Sakti Sokong Pakatan Rakyat

LABIS, 19 Jan - Parti Makkal Sakti yang kini diterajui oleh Kannan Ramasamy selepas perlantikannya di Mesyuarat Agung Tahunan September 2010 menyatakan sokongan penuh kepada calon PAS, Normala Sudirman bagi PRK Tenang kali ini.

Sanjay Suramaniam selaku Naib Presiden parti tersebut memaklumkan antara objektif utama penubuhan Parti ini adalah untuk memperjuangkan hak kebajikan masyarakat India di Malaysia dan lebih bersifat natural terhadap mana-mana parti politik.

Menurut beliau, masyarakat India kini sudah bosan dengan pemberian hamper dan janji-janji manis Barisan Nasional (BN) terhadap mereka setiap kali pilihan raya berlaku.

Bercakap mengenai permasalahan presiden parti tersebut, beliau berkata;

"Sebelum ini, Parti Makkal Sakti adalah di bawah kepimpinan Rs Thanenthiran yang pro kepada BN.

"Tetapi, beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli parti kerana tidak membawa suara ahli seperti objektif sebenar penubuhan parti.

"Sehingga kini, beliau masih mendakwa dirinya sebagai presiden walaupun telah dilucutkan jawatan kerana tidak menghadiri mesyuarat lebih daripada 3 kali berturut-turut."

Beliau yang ditemui di Markaz Operasi PAS petang tadi, yakin bahawa majoriti masyarakat India di Tenang akan memberi undi kepada calon PAS disebabkan masalah rakyat tempatan yang diabaikan UMNO selama 53 tahun berkuasa di Johor dan khususnya di Tenang.


Pulau Pinang Catat Pelaburan Tertinggi

Posted: 20 Jan 2011 06:29 PM PST

Georgetown - Buat julung kalinya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh setahun berbanding tahun lalu dengan kedudukannya di tempat keempat.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu berikutan pengumuman yang dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohammed iaitu dalam aspek pelaburan bagi sektor pembuatan untuk Malaysia peratusannya meningkat sebanyak 45 peratus iaitu daripada RM32,637 juta kepada RM47,177 juta.

"Ini menunjukkan Pulau Pinang mencatat sejarah paling besar dalam aspek pelaburan dengan jumlah RM12,238 juta berbanding RM2,165 juta pada 2009 iaitu meningkat lima kali ganda selain angka pelaburan bagi tahun ini paling besar berbanding jumlah pelaburan sejak 1980.

"Kejayaan ini adalah berkat usaha keras semua pihak termasuk 1.6 juta rakyat Pulau Pinang yang memberikan kerjasama baik kepada kepimpinan Kerajaan Negeri dan juga semua agensi Kerajaan Negeri yang terlibat dan juga Kerajaan Persekutuan khususnya Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya kepada media semalam.

Menurutnya, dalam tempoh singkat termasuk sebagai kerajaan yang kurang pengalaman, Pulau Pinang mencapai prestasi yang tidak disangka namun ia berkat sokongan dan kerjasama semua agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Sebelum ini Pulau Pinang dapat pujian daripada laporan Ketua Audit Negara iaitu negeri yang mempunyai prestasi pengurusan kewangan yang baik di Malaysia pada 2009, Negeri Hijau pertama di Malaysia dan ini adalah kejayaan baru buat rakyat Pulau Pinang," kata Guan Eng.

Pelajar Perempuan UiTM Parah Dihempap Batu Besar

Posted: 20 Jan 2011 05:32 PM PST

Kuala Lumpur: Keghairahan seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menawan puncak Bukit Broga di Semenyih, Selangor pada Khamis, bertukar menjadi pengalaman pahit setelah beliau cedera parah akibat dihempap seketul batu besar.

Norhanani Shahim, 22, yang menyertai sekumpulan 15 penuntut universiti itu memulakan pendakian kira-kira pukul 8 pagi tadi dan tiba-tiba "hilang" daripada kumpulan ekspedisi itu.

Seorang anggota kumpulan ekspedisi itu, Mohd Khairul Nazmi Zubairu, 22, menemui Norhanani dalam keadaan tertiarap di kawasan lereng bukit Bukit A, Bukit Broga dengan seketul batu besar berada di atas belakangnya selepas lebih dua jam mencari mangsa.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika dihubungi berkata Mohd Khairul telah menghubungi JPAM Kajang, Selangor meminta bantuan untuk mengalihkan batu tersebut memandangkan beliau dan rakan-rakanya tidak berdaya mengangkat batu itu.

Sepasukan penyelamat JPAM, bomba dan dua pembantu perubatan dari Hospital Kajang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11 pagi dan berjaya mengangkat batu itu dari badan mangsa.

Jurucakap JPAM itu berkata Norhanani yang berkeadaan lemah ketika ditemui memberitahu rakannya bahawa beliau telah terjatuh sebelum batu menghempap belakang badannya.

Mangsa yang dipercayai cedera serius di bahagian tulang belakangnya akibat insiden itu kini dirawat di Hospital Kajang. - BERNAMA

Pemergian Hidhir Buka Pintu PRK Ke 15

Posted: 20 Jan 2011 04:02 PM PST

ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.

Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.

Kematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.

Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.

Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.

Ketika ditemui di hospital berkenaan malam ini, Mohd Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jenazah akan dibawa ke rumah allahyarham sebelum dikebumikan esok, katanya lagi.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham malam ini ialah Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhammad, anggota Exco serta pemimpin BN.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya.

Dikebumi di Kampung Chinchin

Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sininya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung Chin Chin.

Merlimau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan lebih 64 peratus daripada keseluruhan 10,500 pengundi. Selebihnya terdiri daripada 21 peratus pengundi Cina dan 14 peratus pengundi India.

Mohamad Hidhir mengekalkan kerusi berkenaan pada 2008 apabila menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 2,154.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, beliau memperolehi majoriti lebih besar sebanyak 5,087 undi dengan menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.

Sementara itu, ketua pembangkang Melaka Goh Leong San turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Hidhir ketika dihubungi hari ini.

Mengulas pilihan raya kecil yang dijangka akan berlangsung, Goh berkata beliau menganggap DUN Merlimau sebagai satu potensi kepada Pakatan Rakyat dan menjangkakan PAS akan bertanding semula di kerusi berkenaan.

Tambahnya, pilihan raya kecil itu akan menyediakan peluang yang baik kepada masyarakat tempatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas pentadbiran Mohd Ali. -mk







Dari Tenang Terpaksa Ke Merlimau Pula - Hasrat SPR Tak Tercapai

Dari Tenang Terpaksa Ke Merlimau Pula - Hasrat SPR Tak Tercapai

Posted: 20 Jan 2011 02:20 PM PST

Pemergian Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka memang tidak diduga oleh sesiapa sekalipun beliau telah dimasukkan ke hospital sejak minggu lepas selepas mengadu sakit dada.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor yang jatuh pada 30 Januari ini.

Hasrat SPR yang mengharapkan pilihanraya kecil DUN Tenang akan menjadi pilihanraya yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum nampaknya tidak kesampaian.

Ia sebagai bukti bahawa kuasa dan perancangan Allah sentiasa mengatasi kuasa dan perancangan manusia.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang beberapa hari lalu menyatakan bahawa SPR telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk mengendalikan 13 pilihan raya kecil setakat ini berharap pilihan raya kecil ke-14, di Johor, akan menjadi yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum.

Setakat ini SPR telah mengendalikan 13 pilihan raya kecil dengan yang pertama pada Ogos 2008 membabitkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan yang terakhir kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi awal bulan lalu. PRK Tenang adalah yang ke 14 sementara Merlimau nanti adalah yang ke 15.

Namun, pilihan raya kecil sepanjang tempoh selepas Mac 2008 hingga sekarang bukan kali pertama negara menyaksikan pilihan raya kecil yang banyak jumlahnya.

Yang paling banyak iala sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tempoh antara 1995 dan 1998 iaitu sebelum pilihan raya umum 1999.

DUN MERLIMAU



Merlimau adalah sebuah pekan yang terletak di tengah perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin.

Fakta:

Jumlah Pengundi: 10,471
Peratusan Kaum: M:64.69% C:21.11% I:14.16% L:0.04%

N27 Merlimau, di dalam pilihanraya umum yang lepas menyaksikan pertandingan dua penjuru diantara BN dan PAS. Di dalam pilihanraya sebelumnya (2004) Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan (BN) telah memenanginya dengan majoriti 5,087 undi. Pada PRU 2008, majoriti BN merosot dan hanya menang dengan 2,154.



Ini bermakna PAS hanya perlukan peralihan undi sekitar seribu lebih sahaja lagi untuk merampas kerusi DUN Merlimau selain mengekalkan jumlah undi pada PRU12 yang lalu.

Dari Tenang kita ke Merlimau pula nanti.


"Fitnah" Dan "Lucah" Sudah Menjadi Darah Daging Blogger ProUMNO

Posted: 20 Jan 2011 07:25 AM PST

Blogger Umno mula fitnah calon PAS

Tarmizi Mohd Jam dengan blognya di sanggahtoksago.blogspot hari ini di dalam satu kenyataan media telah membuat seruan kepada ahli-ahli PAS, dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang beragama Islam supaya mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger yang didakwanya sebagai pemfitnah atau pro-Umno/BN yang bergentayangan di alam siber.

KLToday.com melaporkan beliau mendedahkan satu blog pro-BN iaitu Papagomo dikhabarkan sedang ligat memutarkan fitnah yang mendakwa pertemuan blogger bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat pada Sabtu lalu yang kononnya setiap blogger yang hadir diberikan wang tunai sebanyak RM500, sebuah komputer riba laptop, kemudahan percuma talian broadband dan sebuah telefon mudah alih jenama Blackberry.

Sementara itu juga, seorang pemunya laman Facebook, "Suara Dari Bumi" pula di dalam mesej facebooknya pula membuat fitnah yang mendakwa calon PAS di Tenang, Normala Sudirman (gambar bawah sebelah kanan) meninggalkan suaminya, tohmahan mempunyai skandal luar dan malah menyeru pembacanya jika ingat perkataan zina kenalah ingat PAS.

Taktik-taktik jahat ini didakwa adalah sama dengan yang dilakukan ke atas semua calon dari PR sebelum ini. Contohnya calon PAS di PRK Galas sebelum ini yang didakwa berzina dengan ibunya sendiri dan calon PKR semasa di Hulu Selangor dahulunya, Datuk Zaid Ibrahim dikaitkan dengan isu arak dan judi lumba kuda.

Semua blogger pro-PR adalah diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger-blogger 'pemfitnah' pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger-blogger yang memilih cara fitnah yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan diseru menganjurkan solat hajat ini, kerana ia adalah lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam yang diadakan baru-baru ini agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger pemfitnah pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Kuala Lumpur (gambar atas). Lebih 200 blogger pro-PR dan pro-rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuklah Timbalan Menteri Besar dan Speaker Dun Kelantan. -harakahdaily


Hadapi blogger PEMFITNAH pro-Umno: Seru adakan solat hajat, dedah indentiti mereka setiap hari di alam siber

Koordinator Majlis Makan Malam Blogger bersama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 15 Januari lalu, Tarmizi Mohd Jam menyeru semua ahli-ahli PAS, dan umat Islam dalam Pakatan Rakyat mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger PEMFITNAH pro-Umno yang bergentayangan di alam siber.

Seorang blogger PEMFITNAH pro-Umn, PAPAGOMO, antaranya kini sedang ligat memutarkan fitnah kononnya pertemuan blogger bersama Tuan Guru Nik Aziz Sabtu lalu, setiap blogger diberi RM500, laptop, broadband dan telefon mudah alih jenama Blackberry.

Terkini facebooker bernama "Suara Dari Bumi" yang terkenal dengan FITNAH JAHAT KEJAM nya memaparkan fitnah dengan mendakwa dalam facebooknya: "Normala tinggalkan suami lama, kejar Maarof kaya. DIA ada skandar sebelum kahwin.Ingat pas ingat zina. Ingat pas ingat maksiat".

Inilah taktik yang sama berulang-ulang dilakukan kepada semua calon-calon Pakatan Rakyat sebelum ini. Calon PAS di Galas dituduh berzina dengan ibunya sendiri, sebelum itu hangat ADUN PAS Selingsing dituduh berzina dalam gerabak keretapi. Semasa Pilihan Raya kecil Hulu Selangor Zaid Ibrahim dijatuhkan dengan isu arak.

Apabila melihatkan bahawa fitnah zina sebagai peluru yang cukup ampuh bagi para blogger dan facebooker di dalam menjatuhkan calon Pakatan Rakyat, kali ini, sekali lagi isu zina digunakan untuk menjatuhkan Puan Normala Sudirman, calon PAS DUN Tenang. Di bawah ini bukti Facebooker upahan sudah mula mencipta isu zina untuk menjatuhkan Calon PAS DUN Tenang [Facebook].

Mengulas lanjut, Tarmizi yang juga Setiausaha Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat berkata, semua blogger pro Pakatan Rakyat diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger PEMFITNAH pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Ia bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

"Blogger PEMFITNAH pro-Umno ini, diyakini bukan dari kalangan orang terdidik agama. Sebab itu tak takut langsung dengan fitnah. Tak ada pertimbangan dosa pahala. Mereka memang berani memfitnah. Seolah-olah tiada hari pembalasan untuk membicarakan apa yang mereka lakukan di atas muka bumi ini semasa hayat," tegas Tarmizi.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger PEMFITNAH yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Tarmizi menyeru semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan menganjurkan solat hajat ini, kerana ia lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam baru-baru ini, agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger PEMFITNAH pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Hotel Grand Seasons. Lebih 200 blogger pro Pakatan Rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuk Timbalan Menteri Besar dan Sepaker Dun. -sanggahtoksago


Ulasan GB

Fitnah, mereka-reka cerita yang tidak benar, bahasa lucah/mencarut dan gambar porno sudah merupakan perkara asasi dan darah daging blogger proUMNO. Pergi ke mana-mana satu blogger pro-UMNO, anda akan menemui salah-satu daripadanya.

Kita perlu perbanyakkan bersabar dan sering membaca Surah Al-Buruj. Petikan

Orang yang memfitnah orang mukmin (yang lelaki) dan mukminah (yang perempuan), kemudian mereka tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar. Al-Buruj : 10



ADUN Merlimau Sah Meninggal Dunia Sebentar Tadi

Posted: 20 Jan 2011 06:02 AM PST

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mengalami serangan jantung sejak Sabtu lepas, meninggal dunia pada pukul 8.10 malam Khamis selepas menerima rawatan di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu Radhuana Salleh.

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Tersusun Lipat Kajang, Jasin.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan mengeluarkan kenyataan rasmiberhubung perkara itu malam ini.

Sebelum itu, portal media melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu telah meninggal dunia sedangkan beliau masih berada dalam keadaan koma.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Januari lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat. -mstar


ADUN Merlimau meninggal dunia 8.10 malam tadi

BANDAR HILIR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, meninggal dunia pada jam 8.10 malam tadi di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Ia disahkan doktor yang merawat EXCO Kerajaan Negeri Melaka itu, Datuk Dr Suhaimi Mohd Uda sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kerayong selepas solat Jumaat, esok sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Chinchin, Jasin. -BH



Ulasan GB

Inalillahi wainna ilahi rajiun. Semuga roh allahyarham ditempatkan di syurga jannatun-naim.


[Bergambar] Buaya Tembaga Ditangkap

Posted: 20 Jan 2011 05:20 AM PST

Kantan - Seekor buaya tembaga yang menggemparkan penduduk di Taman Seri Inderapura beberapa hari lepas akhirnya berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di tasik buatan perumahan itu di sini, hari ini.

Gambar: Buaya yang berjaya ditangkap. NSTpix by Mohd Rafi Mamat.

Buaya tembaga berkenaan berukuran 1.88 meter ditangkap di tasik buatan di taman berkenaan.

Haiwan liar yang dipercayai menghuni kawasan itu sejak beberapa tahun lalu didakwa dilihat penduduk ketika timbul di permukaan air dan berjemur.

Situasi itu membimbangkan mereka kerana tasik tersebut terletak berhampiran sebuah sekolah agama rakyat yang mempunyai kira-kira 400 murid.

Seorang penduduk, Kamaruddin Ibrahim, 44, percaya buaya tersebut tersesat dari Sungai Belat dan masuk ke tasik itu ketika banjir besar beberapa tahun lalu.

Gambar ehsan Bernama:






Rumah GAPENA Dipecah Masuk

Posted: 20 Jan 2011 04:41 AM PST

Kuala Lumpur - Rumah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di Jalan Dewan Bahasa di sini dipecah masuk dipercayai malam tadi, dan beberapa peralatan seperti komputer, mesin cetak dan televisyen LCD dilarikan.

Ketua Media dan Pehubungan Awam Gapena Borhan Md Zain berkata, kejadian itu disedari oleh beberapa krew drama yang hendak mengambil alat-alat penggambaran mereka kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di premis itu.

"Antara yang hilang ialah lima komputer, dua mesin cetak (printer), sebuah televisyen LCD dan dokumen-dokumen berkaitan buku Interlok.

Semua komputer itu turut mempunyai maklumat berkaitan Interlok," katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi kira-kira pukul 2 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daaerah (IPD) Dang Wangi untuk pengesahan dan siasatan lanjut. - Bernama

Dua Tentera Dituduh Memperdagang 16 Warga Myanmar

Posted: 20 Jan 2011 03:30 AM PST

Kangar: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan memperdagangkan 16 warga Myanmar termasuk empat wanita pada 29 Disember tahun lalu.

Mohd Rashidi Abd Halim, 36, dan Mohd Johari Abu, 28, yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.

Kedua-dua mereka yang menetap di Jitra, Kedah dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau keduanya sekali.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 29 Disember 2010, kira-kira 10.40 malam di ladang tebu Chuping dengan menyeludup 16 warga Myanmar berumur antara 15 dan 48 tahun termasuk empat daripadanya wanita.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norsalihah Sulaiman manakala kedua tertuduh diwakili peguam Rahmathullah Baharudeen.

Sebelum itu, Rahmathullah memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah berikutan kedua anak guamnya tidak mempunyai rekod buruk dalam perkhidmatan mereka dan berpendapatan kecil selain mempunyai tanggungjawab besar terhadap keluarga. - BERNAMA

Demo Interlok Thaipusam: Sembilan Hindraf Ditangkap

Posted: 20 Jan 2011 03:00 AM PST

Kuala Lumpur - Sembilan lelaki ditahan kerana cuba menimbulkan kekacauan dengan memaparkan poster bertulis 'Haramkan Interlok' ketika sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini.

Gambar: SEKUMPULAN lelaki yang memakai baju T berwarna oren dan mempunyai tulisan HINDRAF mempamerkan poster protes pada sambutan perayaan Thaipusam hari ini, di Kuil Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi itu, kesemua lelaki yang memakai baju T berwarna oren dan mempunyai tulisan Hindraf itu cuba mempamerkan tiga poster kepada orang awam.

"Ketika polis hendak menghalang kesemua mereka yang berumur antara 18 hingga 46 tahun itu, mereka merempuh polis menyebabkan mereka ditangkap.

"Kami turut merampas kesemua poster itu untuk simpanan bukti kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lapan daripada mereka berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Ipoh, Perak.

Siasatan juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, katanya.

Beliau turut berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Mereka kini ditahan di Balai Polis Selayang.

Tun Hisan berkata, dari Isnin hingga hari ini, tiada kejadian jenayah dilapor di kawasan tumpuan sambutan perayaan bagi penganut agama Hindu itu kecuali kekacauan yang dileraikan polis itu.

Dilaporkan kira-kira 1.3 juta pengunjung dan penganut agama Hindu tempatan dan luar negara membanjiri perkarangan kawasan berkenaan sejak Isnin lepas.

Seramai 1,200 polis ditugaskan mengawal keselamatan di kawasan itu termasuk laluan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi memastikan kelancaran trafik dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -Bernama



Exco Melaka Masih Koma

Posted: 20 Jan 2011 02:37 AM PST

ADUN Merlimau dilaporkan kritikal

MELAKA: EXCO Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, yang mengalami masalah jantung sejak minggu lalu, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Pakar Putra di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, difahamkan ketika ini ditempatkan dalam bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam yang melawat Mohamad Hidhir sejak dari jam 3.15 petang tadi masih belum meninggalkan bilik berkenaan.

Sementara itu, Mohd Ali menyatakan kekesalannya terhadap laporan salah mengenai Mohamad Hidhir dan berkata, ia adalah laporan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau merujuk kepada berita Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sebuah Utusan Malaysia awal tadi mengenai ADUN Merlimau yang dikatakan sudah meninggal dunia akibat serangan jantung, sedangkan beliau masih dirawat di hospital berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Ali mengesahkan ADUN Merlimau berada dalam keadaan kritikal dan kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

"Dia ada di ICU, dia gunakan alat bantuan pernafasan. Saya ada di hospital lihat keadaan dia," kata Ketua Umno Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah yang juga Ahli parlimen Jasin.

Terdahulu laporan beberapa portal dan laman web menyebut beliau telah meninggal dunia.


ADUN Merlimau berada dalam keadaan kritikal di Hospital Putra

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dalam keadaan koma dengan menggunakan alat sokongan di unit kawalan rapi (ICU) Hospital Pakar Putra di sini petang ini.

Antara yang hadir menziarahi beliau di hospital adalah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di Hospital Putra di sini pada empat petang tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak media agar tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan terkini Mohamad Hidhir kerana terdapat laporan berita portal media mengatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu telah meninggal dunia.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Januari lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lalu, dan ujian mendapati arterinya tersumbat. - BERNAMA


Suami 4 Orang Anak Ditangkap Bersama Janda

Posted: 20 Jan 2011 01:30 AM PST

Kulim - Seorang suami dan bapa kepada empat anak ditangkap khalwat bersama janda anak tiga ketika sedang berdua-duaan di dalam kereta Proton Iswara di satu lorong gelap di Taman Senangin kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, ketika tangkapan dibuat kedua-dua pasangan berada dalam kereta. Semua tingkap ditutup dan enjin kereta dimatikan.

"PADK mendapat maklumat dari orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan itu kira-kira jam 1 pagi dan sampai di tempat kejadian jam 1.20 pagi.

"Menurut pengadu, pasangan itu sering berada di situ dan berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan. Ketika tangkapan dibuat, pasangan kekasih itu mengaku tidak mempunyai hubungan muhrim.

"Pasangan lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sendiri. Dia telah berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia dan mempunyai empat anak. Kekasihnya berusia 32 tahun merupakan seorang janda anak tiga yang juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai pencuci pejabat. Dari siasatan dijalankan, pasangan perempuan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menurutnya, pasangan lelaki sering ke tempat kejadian untuk menghantar kekasihnya yang tinggal tidak jauh dari tempat mereka ditangkap. Oleh kerana khuatir perlakuan mereka diketahui penduduk, dia mengambil keputusan untuk menghantar kekasihnya setengah jalan dan berhenti di lokasi gelap untuk bersama.

Pasangan itu telah dibawa ke balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkap terhadap diri mereka dan kemudiannya ditahan dilokap. Pasangan lelaki di Balai Polis Kulim manakala kekasihnya di Balai Polis Lunas.

Mereka akan disiasat di bawah seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Semua ini dilakukan adalah untuk mengaburkan pandangan penduduk. Bagaimanapun pasangan itu dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan arahan menjamin diri.

"Setelah jamin diri dibayar, mahkamah Rendah Syariah Kulim akan menetapkan tarikh perbicaraan mereka," katanya. -SH

Tiada ulasan: