Isnin, 17 Januari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Mayat Bayi Dalam Beg Plastik Terapung Di Sungai

Posted: 17 Jan 2011 01:00 AM PST

Johor Bahru: Keseronokan dua anak Orang Asli mandi sungai dekat Perling di sini bertukar trauma semalam, apabila beg plastik terapung berhampiran mereka yang diharapkan mengandungi pakaian terpakai, sebaliknya berisi mayat bayi perempuan yang dipercayai dilempar sejurus dilahirkan.

Gambar: UNIT forensik memeriksa mayat bayi yang ditemui dalam beg plastik di sungai oleh dua budak Orang Asli Kampung Bakar Batu, Perling, semalam.

Dalam kejadian di Sungai Danga yang mengalir melalui Perkampungan Orang Asli Bakar Batu di Jalan Perling di sini, bungkusan plastik kuning itu mulanya ditemui Tina Paizal, 9, bersama rakan sebayanya, Mazni John, ketika mereka sedang mandi di situ kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mazni berkata, beliau tidak menyangka bungkusan yang dijumpai itu mengandungi mayat seorang bayi yang dihanyutkan arus ke tempat yang mereka selalu mandi-manda.
"Mulanya kami sangka bungkusan yang terapung berdekatan tempat kami mandi itu ada pakaian terpakai yang dibuang, lalu saya dan Tina menariknya naik ke tebing untuk dibuka.

"Bagaimanapun, bila kami buka, nampak ketulan daging, rupa-rupanya mayat bayi, ia membuatkan kami berdua sangat takut sebelum berlari pulang. Kini saya takut untuk mandi di sungai itu lagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian itu.

Ibu Tina, Merah Lat, 28, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai terbabit sebelum terkejut melihat Tina yang pulang dalam keadaan ketakutan sambil menangis sebelum dipujuk menceritakan kejadian yang berlaku.

"Saya terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan mayat bayi itu, sebelum mengajak beberapa penduduk kampung ke tebing sungai untuk melihat sendiri dan menghubungi polis.

Gambar: MAZNI John bersama Tina Paizal (kanan), trauma selepas menemui mayat bayi dalam beg plastik ketika mandi di sungai Kampung Bakar Batu, semalam.

"Berikutan kejadian itu, anak saya juga berada dalam keadaan ketakutan apabila menggigil dan tapak tangannya terasa sejuk, mungkin kerana takut terserempak mayat bayi terbabit," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mayat bayi perempuan terbabit yang dilahirkan cukup sifat dipercayai baru dibuang ke dalam sungai berhampiran perkampungan terbabit oleh individu tertentu.

"Siasatan yang dijalankan terhadap mayat bayi itu mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan pada badannya dan dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah, " katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, yang jika disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit, diminta hubungi menyalurkan maklumat melalui hotline Polis Johor menerusi 07-2212999. -BH

Kamu Seorang Boleh Berkempen, Orang Lain Tidak?

Posted: 16 Jan 2011 11:30 PM PST

Jabatan Pelajaran nafi suami calon PAS ditukar 24 jam, tapi…

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Jabatan Pelajaran Johor hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah memberi arahan pertukaran sekolah 24 jam kepada suami Normala Sudirman, yang akan turun sebagai calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Tenang.

Pengarahnya Markom Giran bagaimanapun memberi amaran kepada Makrof Abdul Mutalib supaya tidak terlibat dalam sebarang kempen membantu Normala yang mesra dikenali sebagai "Cikgu Mala".

"Tidak ada sebarang arahan pertukaran 24 jam. Ini hanya propaganda dibuat parti politik," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Khabar angin menerusi Twitter mengatakan Makrof telah diarah berpindah sekolah disebar malam tadi, sejurus selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Normala sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang.

Normala, 38, merupakan bekas guru sekolah menengah di Tenang. Beliau telah meletakkan jawatan bulan lalu.

Normala juga merupakan pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS pusat dan naib ketua Muslimat Johor.

Difahamkan Makrof yang turut mengajar di sekolah berdekatan dengan sekolah isterinya dilaporkan telah berpindah ke Johor Baru, namun arahan itu ditarik balik selepas dibantah pasangan suami isteri itu.

Markom juga menafikan dakwaan bahawa ada arahan pertukaran dikeluarkan terhadap Makrof.

"Beliau (Makrof) masih mengajar di sekolah sama, tapi jika beliau didapati berkempen kita akan mengambil tindakan disiplin. Kakitangan awam tidak dibenarkan berkempen.

"Apa yang saya katakan tidak melanggar perintah tetap," kata beliau merujuk kepada arahan sebagai kakitangan awam.

Sementara itu, Makrof ketika dihubungi berkata perkara tersebut sudah selesai dan enggan mengulas lanjut.

"Ia sudah selesai, tiada apa-apa lagi. Saya masih mengajar di sekolah yang sama," katanya.

Pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu.

Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di Johor.

Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi.

Penamaan calon akan diadakan 22 Januari manakala pengundian pada 30 Januari.

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya Rabu ini.

Ulasan GB

Kamu Markom Giran, boleh berkempen, orang lain tidak?
Kamu seorang boleh langgar peraturan, tak kena tindakan disiplin, orang lain perlu dikenakan tindakan disiplin?
Berkempen untuk UMNO tak apa, jika PAS tak boleh?

Itu bukti di Youtube, kamu nak kata apa? Kamu sepatutnya terlebih awal dipecat tanpa pencen.




[Video] Ucapan Sulung Calon PAS Bagi N05 Tenang

Posted: 16 Jan 2011 10:47 PM PST

Normala dapat sokongan akar umbi

PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang kerana mendapati wujudnya keperluan untuk membawa suara wanita di negeri Johor.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan PAS Johor mengenai keperluan meletakkan calon wanita dan ianya mendapat sokongan akar umbi parti.

"Ini keperluan bagi negeri Johor dan kita melihat pandangan PAS Johor dan kita melihat golongan wanita juga adalah pengundi, bukan sahaja lelaki. Jadi mereka juga perlu suara di Dewan Rakyat dan Dun.

"Kita lakukan kaji selidik di peringkat bawah dan kita dapati calon kita mendapat sokongan akar umbi parti di samping mempunyai pengaruh kerana pernah berkhidmat di kawasan Dun Tenang," kata beliau dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.

Normala Sudirman, 38, dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.

Berucap dalam majlis pengisytiharan calon sebelum itu, Abdul Hadi berkata, PAS memilih Normala sebagai calon kerana yakin dengan kemampuan beliau berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut selain kesungguhan yang ditunjukkan untuk berkhidmat kepada parti.

"Puan Normala tak minta jadi calon tapi kami (PAS) yang minta beliau jadi calon.

"Beliau telah meletakkan jawatan bukan kerana nak jadi calon tapi letak jawatan guru kerana nak aktif sepenuhnya dalam parti dan masyarakat.

"Ini merupakan kesungguhan beliau untuk bersama dalam perjuangan," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir bagi mengetahui siapakah calon yang dipilih PAS.

Abdul Hadi juga berkata, ini bukan kali pertama PAS meletakkan wanita sebagai calon setelah mendapati sejarah pemerintahan Islam sendiri mengiktiraf wanita sebagai pemimpin.

"Mengapa PAS pilih calon wanita? Sejarah Islam menunjukkan permulaan membina negara pada awal 1470 tahun dulu.

"Apabila Nabi Muhammad s.a.w mengajak pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah untuk mengadakan bai'ah janji setia bagi menguatkan sebuah pemerintahan yang adil, di antara yang diminta melafazkan janji setia ialah dua orang wanita.

Menurutnya juga, dalam al-Quran sendiri ada menyebut hak wanita untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

"Islam telah memulakannya seribu tahun dahulu. Kalau kita membaca sejarah, penglibatan dalam menegur dan menasihati pemerintah bukan sahaja melibatkan lelaki tapi juga wanita.

"Apabila khalifah Umar Al-Khatab menyampaikan ucapan yang dipandang oleh wanita sebagai ucapan yang memperkecilkan mereka, seorang wanita bangun di dalam majlis dan menegur Umar.

"Allah bagi hak kepada wanita di dalam al-Quran tetapi berani ketua negara membatalkan hak menyebabkan Umar menarik balik apa yang diucapkan," katanya.

Katanya, PAS juga pernah menghantar calon wanita pertama ke Parlimen, Khatijah Sidek pada tahun 1960.

"Dalam sejarah PAS, PAS telah menghantar ahli Parlimen yang pertama selepas merdeka pada tahun 1960 dan berjaya memenangkan calon ketua muslimat, Khatijah Sidek. Jadi ini bukan kali pertama kita letak calon muslimat," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, beliau juga menyeru seluruh petugas Pakatan Rakyat agar bertugas dengan berhemah sepanjang proses pilihan raya berlangsung dan tidak terpengaruh dengab sebarang provokasi pihak lawan.

"Dalam menghadapi pilihan raya Dun Tenang, saya menyeru kepada petugas Pakatan Rakyat supaya bekerja dengan tenang, jangan gelojoh, jangan melampau, menjaga keamanan, menjaga ketenteraman dan menjaga perturan pilihan raya dengan baik," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam suasan yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.

"Bukan senang nak menang kerana kita menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media perdana, stesen televisyen, radio untuk berkempen ke setiap rumah.

"Ini pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan pilihan raya yang tidak adil. Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.

Namun beliau meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya. -harakahdaily






[Bergambar & Video] Jeddah Dilanda Banjir Akibat Hujan Lebat

Posted: 16 Jan 2011 09:24 PM PST

Jeddah dilanda hujan lebat

JEDDAH: Hujan lebat di Jeddah dan kawasan sekitarnya sehingga petang semalam menyebabkan semua sekolah ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Jabatan Meteorologi Universiti Raja Abdulaziz, Mansour al-Mazrouei, berkata hujan selama empat jam di kawasan itu mencatatkan kadar 41.7 milimeter.

Katanya, kadar purata hujan di situ pada musim sejuk (di antara November hingga Januari) biasanya kira-kira 51 milimeter.

Dahulu, pada November 2009, sekurang-kurangnya 123 orang terbunuh dalam banjir besar di Jeddah, selain menyebabkan kerugian besar kepada penduduk setempat.

Jurucakap Jabatan Pendidikan berkata, semua sekolah ditutup bagi membolehkan pihak berkuasa memeriksa struktur bangunan serta mengurangkan kesesakan jalan raya.

Antara kawasan paling banyak menerima hujan adalah Samir, Ajawd, Braiman, al-Safa, al-Nahda dan al-Rehaili. Bagaimanapun, setakat ini tiada korban dilaporkan.

Anggota Pertahanan Awam memberi perhatian lebih banyak ke kawasan berisiko banjir seperti di timur Lebuh Raya Haramain yang tenggelam pada 2009.

Kerajaan tempatan juga menyediakan 100 pam dan peralatan pengairan bagi membantu mana-mana kawasan dinaiki air.

Sebelum ini, media melaporkan, sebatang jalan di daerah Safa runtuh akibat hujan lebat dan polis menutup laluan itu sepenuhnya. - AN

Ulasan GB

Mungkinkah bumi Arab Saudi dibasuh? Dosa apakah? Baca entri sebelum ini. Wallahu'alam.








WikiLeaks Dedah Pesta Liar Sesuatu Yang Lumrah Di Arab Saudi

Posted: 16 Jan 2011 07:58 PM PST

Arab Saudi mungkin sebuah negara yang mengamalkan peraturan Islam ketat berteraskan aliran fahaman Wahabi, tetapi di belakang tabir kediaman mewah ahli bangsawan negara itu tersembunyi pelbagai kejelikan seperti pesta seks, dadah dan arak.

Berdasarkan kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan laman sesawang WikiLeaks, cara hidup konservatif mungkin boleh dilihat di jalanan saja, tetapi secara tersembunyi, suasana malam di Arab Saudi dipenuhi aktiviti mendebarkan.

"Pelbagai jenis hiburan tersedia, termasuk pelacur, alkohol, dadah dan seks, tetapi ia berlaku secara tertutup," kata kenyataan dibuat pada November tahun lalu itu.

Keluarga raja

Menurut kabel diplomatik itu lagi, kejelikan berkenaan berlaku kerana pihak yang bertanggungjawab memantau aktiviti maksiat tidak berani bertindak apabila majlis itu dianjurkan keluarga diraja Arab Saudi.

Catatan dibuat pegawai konsulat AS itu memberikan gambaran sebuah parti Halloween diadakan dengan dihadiri kira-kira 150 orang.

Kebanyakan pengunjung, kata kabel itu, berusia di antara 20-an dan 30-an.

Suasana parti itu pula dikatakan tidak ada beza dengan pesta diadakan di luar Arab Saudi.

Katanya, setiap kali parti dianjurkan, ia dipenuhi dengan hidangan arak, pasangan muda-mudi menari secara bebas dan deejay dijemput khas sibuk menghiburkan pengunjung.

Parti Big Jeddah itu juga sering dihadiri pelacur - perkembangan baru yang semakin lazim di negara berkenaan.


Seorang daripada pengunjung pesta itu memberitahu konsulat AS berkenaan, penganjur parti itu mengadakan majlis keraian untuk meraikan keluarga bangsawan atau menjemput mereka semata-mata menghalang pihak berkuasa mengambil tindakan.

Disebabkan kos menyeludup arak agak tinggi - kira-kira RM1,300 sebotol bagi vodka Smirnoff - memaksa sesetengah penganjur mengisi semula bekas berkenaan dengan arak murah tempatan. Sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Islam, sebarang aktiviti menghasilkan atau menjual arak di Arab Saudi adalah dilarang. Jika dilakukan dan ditangkap, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara.

Bagi pengedar dadah pula, undang-undang Arab Saudi memperuntukkan hukuman mati jika didapati bersalah. - AFP

Ulasan GB

Demikian, rahsia yang terbongkar. Apakah yang berlaku selepasnya? Tunggu selepas entri ini sebentar lagi.

Anak Siapakah Ini?

Posted: 16 Jan 2011 06:22 PM PST

Budak hilang ingatan ditemui merayau

CHERAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemui merayau dalam keadaan lemah dan pakaiannya kotor di sekitar Damai Perdana, Cheras, di sini malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan hanya mengingati namanya sebagai Siti Aishah dan bersekolah dalam Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Sungai Besi Indah, namun tidak dapat mengingati dari mana dia berasal atau keluarganya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata seorang wanita yang kasihan dengan keadaan kanak-kanak itu membawanya ke Balai Polis Damai Perdana kira-kira jam 9 malam tadi.

"Ketika dia (Siti Aishah) dibawa ke balai, dia berada dalam keadaan lemah, mungkin kerana keletihan berjalan kaki seharian.

"Dia juga tidak dapat mengingat siapa ibu bapa atau keluarganya, malah tidak dapat mengingat di mana tempat tinggalnya, mungkin dia masih dalam keadaan trauma," katanya ketika ditemui di Balai Polis Damai Perdana di sini, malam tadi.

Beliau berkata, doktor sudah membuat pemeriksaan awal ke atas Siti Aishah dan mengesahkan dia sihat, namun berada dalam keadaan keletihan.

"Tiada sebarang tanda kecederaan pada tubuh badannya dan ketika kanak-kanak itu ditemui dia hanya memakai baju T berwarna putih, berseluar sukan warna biru dan berselipar.

"Esok (hari ini) kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya. Buat masa ini kita masih belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan kanak-kanak," kata Azman.

Azman berkata, waris Siti Aishah atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarganya diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Damai Perdana di talian 03-91056222.

Tragedi Bot Karam Di Rusila, Dua Nelayan Selamat Tekong Hilang

Posted: 16 Jan 2011 05:00 PM PST

Marang - Dua nelayan selamat manakala tekong sebuah bot nelayan tempatan dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Marang di Rusila dekat sini, awal pagi tadi.

Gambar: Kiri, Md Ali Musa, 61 dan kanan Yusof Salleh yang terselamat dalam kejadian bot karam di Pantai Rusila di sini hari ini.

Kejadian berlaku jam 5.30 pagi, kira-kira dua batu nautika dari lokasi mereka bertolak dari Pantai Pandak, Cendering.

Mangsa yang masih hilang ialah Abdullah Salleh, 51, manakala dua yang terselamat ialah adiknya, Yusof, 49 dan Md Ali Musa, 61 apabila kedua-duanya sempat berpaut pada sebiji tong fiber hampir lapan jam sebelum ditemui dalam keadaan lemah di tepi pantai Rusila jam1 tengah hari.

Mereka berdua dikejarkan penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dirujuk di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat Abdullah digerakkan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Gambar: Asmah Ali mengusap suaminya, Yusof yang dirawat di Klinik Kesihatan di Marang semalam.

Ketika ditemui pemberita, Md Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira setengah jam selepas mereka bertiga bergerak dari jeti Kampung Pandak, Chendering ke laut, apabila bot itu dimasuki air disebabkan mengalami kebocoran dan beransur-ansur tenggelam.

"Ketika itu, kami cuba buang air dari dalam bot yang bocor tapi setelah keadaan makin tidak terkawal, saya terus mencapai jaket keselamatan lalu terjun ke laut.

"Saya dan Yusuf sempat berpaut dan berpegang pada sebiji tong fiber sehinggalah dihanyutkan ombak ke tepi pantai tengah hari tadi," katanya.

Md Ali berkata, beliau bersyukur kerana selamat dalam kejadian itu namun bersedih dengan nasib Abdullah yang masih belum ditemui.

Dalam pada itu, anak sulung Abdullah, Mohd Shukri, 33, berkata dia terkilan kerana tidak bersama bapanya dan dua yang lain ke laut seperti biasa.

"Biasanya, saya ikut bapa ke laut tapi pagi tadi saya tolak ajakannya kerana rasa badan tak sihat dan letih.

"Saya kesal sebab sebelum ini saya selalu temankannya ke mana-mana sebab nak jaganya kerana dia ada penyakit asma, entah apalah yang berlaku kepadanya sekarang," katanya. - BERNAMA

Kisah Menyayat Hati Wanita Yang Dirogol Kerana Disuruh Ibunya

Posted: 16 Jan 2011 04:24 PM PST

Ibu suruh saya dirogol'

SERAH TAKDIR...Lili dan anak yang dijaganya.

KUALA TERENGGANU: "Ibu suruh abang merogol saya sebelum saya diserahkan kepada lelaki yang meminjamkan wang kepadanya," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lili, 26.

Kenyataan itu amat mengejutkan, namun bagi Lili itu sejarah hitam hidupnya hingga menyebabkan dia kini terhumban ke dalam dunia pelacuran dan menjual tubuh untuk meneruskan kehidupan.

"Apa yang berlaku ke atas saya berpunca daripada ibu dan saya sampai bila-bila pun tidak akan memaafkannya," katanya.

Lebih mengejutkan, Lili yang kini mengandung anak keempat hasil hubungan seks luar nikah, berhasrat menyerahkan bayi dalam kandungannya itu kepada orang lain supaya masa depan anaknya lebih terjamin dan mengharapkan sedikit imbuhan.

"Saya sudah lahirkan tiga anak, tapi dua daripadanya yang kini berusia dua dan tujuh tahun saya serahkan kepada orang lain sebaik mereka lahir.

"Anak ketiga berusia setahun dan saya menjaganya kerana tidak sampai hati untuk menyerahkannya kepada orang lain.

"Tetapi, saya sekarang mengandung tiga bulan dan bercadang menyerahkan bayi ini kepada orang lain. Ini saya lakukan demi kebaikan anak saya juga dan berharap mendapat sedikit imbuhan selepas menyerahkan anak itu," katanya.

Menceritakan lebih lanjut pengalaman pahit hidupnya, Lili berkata ketika usianya tiga tahun dia diserahkan ibunya kepada ibu saudara untuk dijaga kerana keluarganya miskin.

Menurutnya, kisah hitamnya bermula selepas dia pulang semula ke pangkuan keluarga ketika berusia 12 tahun.

Dakwanya, akibat perbuatan ibunya yang suka berhutang, dia menjadi mangsa apabila ibunya nekad menyuruh abang kandung merogolnya di depan ibunya yang menyaksikan perbuatan keji itu dari jauh.

"Selepas itu saya diserahkan kepada lelaki yang meminjamkan duit kepada ibu. Sejak itu saya menjadi tempat lelaki yang tidak dikenali terbabit melepaskan nafsu serakahnya.

"Tidak tahan dengan perbuatannya, saya nekad melarikan diri. Saya ceritakan perbuatan keji ibu dan abang kepada ibu saudara dan dia membuat laporan polis," katanya.

Lili berkata, sebelum dia dijual dia pernah menceritakan kejadian itu kepada bapanya, namun bapanya tidak mempercayainya dan memihak ibunya.

"Keluarga kami porak-peranda kerana selain saya, empat lagi adik-beradik perempuan saya mengalami nasib sama apabila ibu menjual mereka kepada pemberi hutang," katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Malah, sehingga kini dia tidak lagi berjumpa dan mengetahui nasib adik-beradiknya yang dijual ibunya kerana selepas laporan polis dibuat, dia mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, akibat perbuatan keji itu, ibu dan abangnya kini meringkuk di penjara manakala bapanya sudah meninggal dunia.

"Selepas berusia 18 tahun dan tidak lagi berada di bawah jagaan JKM, saya datang ke negeri ini dan akibat tidak mempunyai saudara-mara, saya nekad menjual tubuh dan mengemis untuk menyara kehidupan," katanya yang mengakui masa depan dia dan anaknya gelap dan hanya menyerahkan kepada takdir untuk menentukan segala-galanya. -hm

Normala Sudirman Diumumkan Calon PAS Bagi N05 Tenang - updated

Posted: 16 Jan 2011 03:02 PM PST


Normala Sudirman berumur 38 tahun seorang lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang yang sebelum ini bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, berjawatan Ketua Muslimat PAS Kawasan Labis dan Exco Dewan Muslimat PAS pusat telah diumumkan sebagai calon PAS di dalam pilihanraya N05 Tenang.





Berita Malaysiakini
PAS letak calon wanita bertanding di Tenang

PAS meletakkan calon wanita - Normala Sudirman - untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Dataran Wayang Pacak di Labis.

Hadir memberi sokongan ialah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung PAS, serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.

Normala merupakan ketua Muslihat PAS Labis, dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Normala adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, sebelum meletak jawatan baru-baru ini.

Beliau berbuat demikian kerana undang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Keputusan PAS meletak calon wanita di Tenang dilihat sebagai satu langkah untuk mensasarkan sokongan pengundi Cina yang merupakan 39 peratus pemilihan berdaftar di Tenang.

Pemilihan Normala juga akan membantu menyekat persepsi di kalangan bukan Islam yang mellihat PAS sebagai sebuah parti Islam konservatif yang mendiskriminasi terhadap wanita.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Walaupun lebih sedikit daripada separuh pengundi Cina menyokong PAS dalam pilihan raya umum lalu, tetapi dipercayai masih ada ruang untuk meningkatkan lagi sokongan mereka kali ini.

Terdapat kemungkinan Umno juga akan meletakkan calon wanita bertanding di Tenang. Pergerakan itu telah melobi pucuk pimpinan untuk meletakkan ketua Wanita Labis, Haslinda Salleh bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Calon BN akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon. -MK


Berita dari harakahdaily

Normala Sudirman calon PAS di Tenang

LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman (gambar) diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. -harakahdaily


FAKTA DUN TENANG

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang (N5) diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59 daripada UMNO. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu.

Tarikh Penamaan Calon: 22 Januari 2011

Tarikh Pilihan Raya: 30 Januari 2011

Fakta Berkaitan DUN Tenang

Pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 (PRU 12).

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Demografi Pengundi DUN Tenang


Pilihan raya kecil DUN Tenang akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.

14,753 pengundi berdaftar.
14,735 pengundi biasa.
18 pengundi pos.

Pecahan Mengikut Kaum

Melayu 47.54%
Cina 39.08%
India 12.07%
Orang Asli 1.16%
Bumiputera Sabah 0.04%
Bumiputera Sarawak 0.03%








Kenapa BERNAMA Kelam-Kabut Laporkan Kes Pramugari Malaysia Mati Di Amsterdam?

Posted: 16 Jan 2011 06:19 AM PST

Polis Amsterdam Tolak Unsur Jenayah Dalam Kematian Pramugari MAS

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Polis Belanda menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kematian pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len di tempat letak kereta di Radisson Hotel, Amsterdam Jumaat lepas. Gambar Chin Swee Len oleh 11news

Jurucakap Wisma Putra berkata Ahad polis negara itu memberitahu pihak kementerian bahawa buat masa ini belum ada maklumat lanjut berhubung kematian Chin.

Mayat Chin, 34, ditemui kira-kira 9 pagi hari tersebut oleh tetamu hotel, tempat beliau menginap.

Chin dijadualkan berlepas dari Amsterdam ke Malaysia dengan penerbangan MAS MH17 pada hari yang sama iaitu 14 Jan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas dari polis Amsterdam berhubung kes tersebut, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail.

Bercakap kepada pemberita semasa melancarkan kempen balik kampung rumah selamat di USJ Summit di sini, beliau berkata pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan polis Amesterdam bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman dalam satu kenyataan di sini berkata, MAS kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Amsterdam yang sedang menyiasat untuk menentukan sebab-sebab kematian Chin.

Azharuddin berkata pihak MAS sedih dengan berita kematian Chin secara mengejut itu.

Kehilangan beliau disedari bila beliau gagal melaporkan diri untuk taklimat pra-penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata Chin menyertai MAS pada 1997 dan rekod perkhidmatannya sepanjang masa adalah cemerlang.

"Chin disifatkan oleh rakan sebagai cukup berdisiplin, mesra dan peramah. Beliau meninggalkan suami dan seorang anak ," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah menasihatkan pramugara dan pramugari semasa di luar negara, berjalan secara berkumpulan dan tidak bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Chin.-- BERNAMA


Berita sebelumnya:


Kematian pramugari MAS akibat perbuatan jenayah, kata polis Amsterdam

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Polis Belanda menyatakan kematian pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len di tempat letak kereta di Radisson Hotel, Amsterdam, pagi Jumaat lepas adalah akibat perbuatan jenayah.

Jurucakap Wisma Putra berkata hari ini polis negara itu memberitahu pihak kementerian bahawa buat masa ini belum ada maklumat lanjut berhubung kematian Chin.

Mayat Chin, 34, ditemui pada kira-kira 9 pagi hari tersebut, oleh tetamu hotel dan sebelum itu beliau dipercayai telah diserang dan dicampakkan keluar tingkap dari bilik di tingkat empat hotel tempat beliau menginap.

Biliknya dilaporkan telah dipecah masuk dan digeledah.

Beliau dijadualkan berlepas dari Amsterdam ke Malaysia dengan penerbangan MAS MH17 pada hari yang sama iaitu 14 Jan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas dari polis Amsterdam berhubung kes tersebut, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail. — Bernama


Ulasan GB

Apa sudah jadi dengan agensi berita nasional BERNAMA ini.

Sudahlah berita-beritanya kebanyakannya tidak objektif dan tidak berkecuali, sehingga berita yang tak menyentuh politik pun lintang pukang.

GB ingat GB tersilap baca, rupanya wartawan TMI turut perasan...



Pakatan Rakyat Demo Kenaikan Tol LEKAS

Posted: 16 Jan 2011 04:30 AM PST

Seremban – Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini menganjurkan demonstrasi bagi mendesak syarikat konsesi Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) Sdn Bhd agar tidak menaikkan kadar tol dalam masa terdekat, semalam.

Demonstrasi berkenaan diketuai Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan diadakan di lokasi berhampiran Plaza Tol Paroi, dekat sini.

Mereka berbuat demikian selepas mendapat tahu bahawa kadar tol di lebuh raya berkenaan akan dinaikkan daripada sumber yang tidak didedahkan mereka.

Kira-kira 100 pemimpin dan ahli parti-parti komponen PR menyertai demonstrasi yang bermula jam 11 pagi hingga 12 tengahari itu.

Antara barisan kepimpinan yang hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P Gunasekaran; ADUN Mambau, Wong May May; ADUN Bukit Kepayang, Cha Kee Chin; ADUN Temiang, Ng Chin Tsai; ADUN Bahau, Teo Kok Seong; ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan ADUN Sikamat, Aminuddin Harun.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pembangkang di negeri ini, ada sumber memberitahu beliau kadar tol Lekas mungkin dinaikkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti sumbernya itu kepada media.

"Saya juga akan membentangkan usul membantah kenaikan kadar tol Lekas di Parlimen kerana ia dikhuatiri membebankan pengguna lebuh raya ini," katanya.

Demonstrasi aman itu bersurai tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku. -SH

Pencuri Kantoi Tersangkut Di dalam Lif Rosak

Posted: 16 Jan 2011 03:30 AM PST

Terjebak di Lift, Pencuri Minta Bantuan Polis

COLOGNE - Sial sekali nasib kedua pencuri ini, ketika mereka mencuba untuk menerobos masuk ke dalam sebuah pebabat, mereka malah terjebak di lift.

Kedua pencuri ini akhirnya cuba menghubungi polis Jerman karena mereka tidak dapat lolos dari lift tersebut karena rosak.

"Hal ini kedengarannya sangat bodoh," ujar salah seorang pencuri kepada polis Cologne melalui telefon darurat di lift, "Tampaknya kami terjebak saat menerobos masuk pejabat di lift ini."

Ketika polis tiba mereka menemukan kedua pencuri tersebut terjebak dalam sebuah lift di sebuah bangunan pejabat.

"Pencuri tersebut vuba menerobos ke dalam bangunan tersebut dan tampaknya ingin naik ke lantai atas dan akhirnya mereka terjebak di dalam lift," ujar polis seperti dilaporkan Reuters, Jumaat (14/1/2011).

Keduanya memutuskan untuk menghubungi polis setelah salah satu dari mereka cedera kerana berusaha untuk memecahkan pintu lift.

Pemadam kebakaran pun akhirnya diturunkan untuk membantu keduanya. Kedua pencuri sial ini akhirnya digari dan dibawa ke balai polis.

Nenek Harap Cucunya Bertaubat

Posted: 16 Jan 2011 03:00 AM PST

Jempol - Walaupun suaminya mati di tangan sekumpulan penjenayah remaja yang melibatkan cucu sendiri pada malam Khamis lalu, pertalian darah mendorong seorang nenek sanggup menjadi pemaaf dengan menganggap peristiwa hitam itu sebagai satu ujian tuhan.

Halimah Yasin, 57, berkata, dia reda dengan kematian suaminya, Mohtar Yusof, 71, yang diserang dan ditikam dengan pisau dari belakang dalam kejadian di Felda Palong Dua di sini.

"Peristiwa itu sudah berlaku. Walaupun dia (cucu) terlibat, saya sudah memaafkan serta ampun kesalahannya.

"Saya harap dia insaf dan bertaubat,'' kata Halimah ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pasangan warga emas itu pulang daripada satu kenduri tahlil pada malam kejadian sebelum mendapati bilik tidur mereka sedang digeledah.

Mohtar yang bergelut dengan kumpulan penjenayah remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu akhirnya ditikam dengan pisau dari belakang sebelum kesemua suspek lari bersama wang dan barang kemas bernilai RM10,000.

Halimah yang tidak berupaya menyelamatkan suaminya sempat melihat kelibat cucunya itu yang berusia 17 tahun dan menetap di Melaka. -kosmo

Berita Terkait

Cucu Bawa Kawan Rompak Dan Bunuh Datuknya

Tiada ulasan: