Rabu, 19 Januari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Speaker isytihar kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong

Posted: 19 Jan 2011 04:09 AM PST

Hazayani Zakaria

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang kosong.

Ianya berikutan kegagalan Adunnya, Badrul Hisham Abdullah hadir ke persidangan Dun dalam tempoh 6 bulan bermula 15 Julai 2010 hingga 15 Januari lalu.

Berikutan itu beliau mengisytiharkan kerusi itu kosong mengikut Fasal 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Menurut Fasal 69, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, jika seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri itu tidak hadir dalam masa 6 bulan, maka kerusi tersebut diisytiharkan kosong," kata Teng pada sidang media di Dewan Annex, dekat sini hari ini.

Menurut Teng juga, mengikut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, beliau berhak untuk mengisytiharkan status bagi kerusi Dun sebagai kosong sekiranya mana-mana Adun gagal menghadiri sidang Dun dalam tempoh ditetapkan.

"Tafsiran saya bagi melihat pengiraan 6 bulan itu, adalah merujuk kepada Fasal 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Saya melihat memang niat Undang-undang negeri hendakkan supaya Dewan bersidang dalam masa 6 bulan, katanya.

Ditanya adakah kekosongan kerusi itu menandakan pilihan raya kecil bakal berlangsung, Teng menegaskan perkara itu di luar bidang kuasa beliau.

"Kerusi dah kosong, jadi beliau tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan kalau mengikut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh makan pihak Suruhanjaya Pilihan raya dikehendaki untuk memanggil pilihan raya kecil.

"Itu di luar bidang kuasa saya. Bidang kuasa saya adalah apabila keadaan ini sudah menepati peruntukan dalam fasal 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, maka saya dikehendaki mengisytiharkan kerusi itu kosong," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kekosongan kerusi itu akan dimaklumakn kepada SPR dalam masa terdekat.

Badrul meninggalkan PKR pada Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Pakatan: BN wajar hadir sidang khas DUN bukti pendirian

Posted: 19 Jan 2011 04:07 AM PST

TERKINI


Lau berkata Adun BN patut hadir untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Sultan Selangor. — gambar fail

SHAH ALAM — Pakatan Rakyat (PR) hari ini menggesa kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-Barisan Nasional (BN) supaya hadir pada sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor 24 Januari ini bagi membuktikan pendirian mereka.

Sidang DUN khas ini diadakan untuk meminda Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Umno-BN dijangka akan memutuskan pendirian mereka esok.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San berkata, kesemua wakil rakyat perlu hadir dan memberikan sokongan ke atas usul pindaan undang-undang tubuh itu.

Beliau juga berkata sekiranya benar wakil rakyat Umno-BN menghormati Sultan Selangor, maka mereka perlu hadir bagi membuktikan kesetiaan mereka.

"Saya seru kepada Adun BN supaya hadir dan buktikan, saya seru mereka sokong pindaan ini yang akan mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada kerajaan negeri dan Sultan Selangor.

"Pindaan ini lebih menjurus kepada bentuk asal undang-undang tubuh (sebelum dipinda pada 1993), saya seru mereka hadir dan sokong," kata Lau pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Lau yang juga Setiausaha Pengelola DAP Selangor berkata, sekiranya Adun Umno-BN enggan menghadiri sidang khas DUN bermakna mereka tidak mahu mengembalikan kuasa Sultan Selangor.


"Tanpa kehadiran mereka, kita tidak boleh dapat majoriti, kalau mereka tak hadir mereka tidak mahu kembalikan kuasa kepada Sultan (Selangor).

"Kalau tidak sanggup (hadir) jangan kata Pakatan Rakyat derhaka kerana mereka yang derhaka.

"Umno-BN perlu ikhlas, jangan cakap serupa bikin, berikan kuasa lantikan ini kepada Sultan Selangor," katanya.

Beliau menambah pemimpin Umno-BN jangan bersuara sekiranya enggan memberikan sokongan kepada usul pindaan tersebut.

"Kalau datang tapi tak sokong lebih baik tutup mulut.

"Saya seru mereka datang dan sokong (pindaan)," katanya.

Selangor berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi, yang didakwa dibuat tanpa pengetahuan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid mahu kuasa melantik tiga jawatan eksekutif tertinggi dalam pentadbiran negeri dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar.

Sementera itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Umno-BN perlu buktikan bahawa mereka taat kepada Sultan Selangor dengan menyokong usul pindaan undang-undang itu.

"Kita dah buktikan tidak memusuhi Sultan Selangor, kalau cakap DAP dan Pakatan Rakyat memusuhi adalah tidak betul.

"Kita tidak ambil kesempatan seperti mana yang dilakukan Umn-BN dengan memusatkan undang-undang kepada kerajaan pusat.

"Kita tidak, kita hanya mahu kuasa itu dikembalikan seperti dulu," katanya.

Laporan semalam menyebut, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberikan perkenan baginda untuk persidangan khas Dewan Undangan Negeri Selangor.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan baginda telah menandatangani perisytiharan pada 14 Januari lepas untuk persidangan itu diadakan selepas mendapat permohonan daripada pihak DUN.

Mahkamah arah TUDM bebaskan Tharmendran, tahanan tidak sah

Posted: 19 Jan 2011 04:06 AM PST



Tharmendran (kanan) dan peguamnya N. Surendran (tengah) membantah anggota TUDM daripada menahannya semula pada 25 November lalu. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membebaskan bekas sarjannya N. Tharmendran atas alasan dia ditahan secara tidak sah di kem tentera di sini.

Hakim Datuk Su Geok Yiam berkata penahanan staf itu adalah sah tetapi tindakan menahan dia di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh di sini melanggar undang-undang kerana ia bukan pusat tahanan yang sah.

Peguam Tharmendran, Amer Hamzah Arshad berkata sebaik sahaja perintah mahkamah diperoleh mereka akan menuju ke kem tersebut bagi membolehkan Tharmendran dibawa keluar.

"Saya sangat gembira. Esok saya akan menyambut Thaipusam dengan anak saya," kata bapanya N. Nagarajah kepada pemberita.

Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus pada 26 November lalu dengan menamakan Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli, Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan sebagai responden.

Semalam, Amer dalam hujahnya berkata penahanan itu adalah salah atas alasan Tharmendran tidak lagi berkhidmat dengan TUDM selepas perkhidmatannya ditamatkan, selain gaji turut diberhentikan.

Katanya, Tharmendran tidak diberitahu mengenai lanjutan perkhidmatannya iaitu selama 12 bulan selepas tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Mei tahun lepas.

Tharmendran, 42, mendakwa penahanan itu tidak mengikut undang-undang kerana dia adalah orang awam dan tidak lagi berkhidmat dengan TUDM sejak 28 Mei lalu.

Dia juga mendakwa keempat-empat responden itu bertindak di luar bidang kuasa yang melakukan tangkapan dan tahanan secara tidak sah.

Pada 25 November lalu, Tharmendran ditahan semula oleh TUDM di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam kerana kesalahan meninggalkan tugas.

Penahanan itu dilakukan oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya di mahkamah itu.

Pada 6 Januari tahun lepas, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Dia didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk mencuri dua enjin itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini.

PKR pecat bekas bendahari Selangor Kottapan

Posted: 19 Jan 2011 04:01 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat keanggotaan bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan berkuatkuasa semalam.

Kotappan berkata beliau menerima surat pemecatan itu kira-kira pukul 7.33 petang semalam menerusi e-mel dari pejabat setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.

"Saya terima pemecatan itu menerusi satu e-mel dari pejabat setiausaha agung kira-kira pukul 7.33 petang sebaik saya balik dari mengadakan satu sidang akhbar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air oleh ketuanya Datuk Zaid Ibrahim di sini hari ini.

Kottapan berkata surat itu menyatakan bahawa dia telah melakukan kesalahan mengikut perkara 29 (1) (2) perlembagaan parti tetapi beliau tidak menjelaskan sebab dipecat.

Beliau juga diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari tetapi bertegas menolak untuk berbuat demikian.

Semalam beliau mencabar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat berhubung soal keadilan yang gagal diamalkan dalam pemilihan parti itu September tahun lepas sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan anggota dan pemimpinnya.

Pada 30 September tahun lepas, Kotappan mendakwa pemilihan PKR cabang Kota Raja, Klang, yang dimenangi exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar tidak sah kerana hanya diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Ditanya mengenai kehadirannya pada majlis hari ini, Kottappan berkata beliau dijemput oleh Zaid dan sudah bersetuju untuk menyertai Kita.

Beliau yakin akan membawa masuk antara 30 dan 40 orang bekas penyokong PKR menyertai Kita

MB Selangor: Kuasa 1993 dipulih, syor pindaan dapat perkenan Sultan

Posted: 19 Jan 2011 03:56 AM PST


Oleh Shazwan Mustafa Kamal

SHAH ALAM — Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan kandungan pindaan perlembagaan negeri yang disyorkan - berkaitan kuasa dan proses pelantikan tiga pegawai tertinggi perkhidmatan negeri, yang akan dibahaskan pada sidang khas Dewan Undangan Negeri, 24 Januari ini.

Syor pindaan itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini dan menerima perkenan baginda.

Menteri Besar (gambar) berkata pindaan itu membolehkan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kembali ke kedudukan asal peruntukan sebelum ia dipinda pada 1993.

"Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

"Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Kerajaan negeri bercadang meminda Seksyen 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan dari perkhidmatan awam yang relevan Isnin depan.

Sebelum ini Khalid berkata pindaan itu bagi membolehkan kerajaan negeri diberi kuasa melakukan pengurusan sendiri.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mahu kuasa melantik tiga jawatan eksekutif tertinggi dalam pentadbiran negeri dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar, seperti yang termaktub sebelum Seksyen 52 dipinda selepas krisis perlembagaan persekutuan pada 1993.

Muhyiddin mahu BN tebus balik majoriti 5,000 di Tenang

Posted: 19 Jan 2011 03:54 AM PST

BERNAMA

LABIS — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang menebus kembali majoriti lebih 5,000 yang pernah diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.

Beliau berkata piliha raya kecil Tenang merupakan medan ujian bagi BN Johor dan hanya dengan memenangi kerusi ini melebihi 5,000, ia mampu membuktikan Johor masih merupakan kubu kuat BN.

"Pada pilihan raya umum 2004, kita menang lebih 5,000 majoriti. Pada 2008, kita menang dengan lebih 2,000 majoriti. Soalnya, pada 2011 ini, macam mana pula?

"Kalau ikut tinjauan-tinjauan yang dibuat, semua kata kita boleh menang. Tetapi apa yang kita nak adalah tebus balik majoriti 2004, iaitu lebih 5,000. Kita mahu majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya kecil kali ini," katanya berucap sebelum menamakan calon BN pada pilihan raya kecil Tenang.

Mohd Azhar Ibrahim, 39, bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat, telah dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Tenang 30 Januari ini. Proses penamaan calon pada Sabtu ini.

Sehubungan itu Muhyiddin menasihatkan semua jentera BN berkerja keras bagi meraih setiap undi 14,753 pengundi di DUN Tenang dan tidak memandang rendah calon lawan.

Ahad lepas, PAS telah menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 39, sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil berkenaan.

"Jangan pandang rendah calon sama ada dia lelaki atau perempuan. Semua sama sahaja. Yang penting kita mesti bekerja kuat. Bukan menang biasa tetapi kita mahu menang luar biasa," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman calon BN, Muhyiddin berkata Mohd Azhar mendapat sokongan daripada semua pemimpin Umno Labis walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno Bahagian Labis.

"Saya mohon pengundi-pengundi Tenang menerima beliau yang baru memasuki 39 tahun, banyak tenaga untuk bergerak ke semua kawasan," katanya sambil menambah beliau mahu semua jentera BN bekerja rapat membantu beliau sebagai calon.

BN memenangi Dewan Undangan negeri (DUN) Tenang pada 2004 melalui Allahyarham Datuk Sulaiman Taha dengan mengalahkan calon PAS Mohd Saim Siram dengan majoriti 5,517 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mengekalkan kerusi yang sama dengan mengalahkan Saim dengan 2,492 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Allahyarham Sulaiman, 59, pada 17 Disember lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Cikgu Mala yang prihatin

Posted: 19 Jan 2011 03:27 AM PST

N.05 DUN TENANG

LABIS : Meskipun mempunyai jadual yang agak padat dengan pelbagai program dan aktiviti, bakal calon PAS, Normala Sudirman terus bergegas menziarahi jenazah warga emas, Malik Atan, 61 yang baru sahaja meninggal dunia.

Allahyarham Malik yang sebelum itu mengadu penat setelah menaiki anak tangga sebuah klinik gigi menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan menantunya di tempat yang sama.

Jenazah beliau kini ditempatkan buat sementara waktu di bilik gerakan Muslimat PAS yang terletak bersebelahan dengan klinik berkenaan bagi menanti ketibaan van jenazah.

Normala beserta Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman serta Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh mengunjungi jenazah setelah tamat sidang media di Bilik Operasi PAS.

PRK Tenang : Kemaskini 15-16 Jan

Posted: 19 Jan 2011 03:18 AM PST

SELATAN ONLINE

Dua minggu saya ambil untuk menyediakan beberapa butiran asas medan pertempuran ini. Hujung minggu lalu Jan 15-16 saya pergi ke sana untuk membuat beberapa kerja persediaan. Ini adalah kemaskini situasi terkini di sana.

Sekali lagi, saya jelaskan di sini fokus kepada 'Tenang' sebenarnya agak sedikit tersasar. Kebanyakan pengundi dan aktiviti sebenar adalah di bandar Labis.

'Tenang' atau bandar 'Stesen Tenang' sebenarnya hanyalah sebahagian kecil pengundi dan tidak sibuk sangat di sana. Saya menimbulkan perkara ini kerana terdapat rakan-rakan sukarela daripada JB tersalah arah menuju ke bandar Tenang sedangkan kami menunggu di bandar Labis.

'Balik Negeri Cina'

Biar saya memulakan dengan sebuah anekdot pengalaman saya di sebuah kawasan kejiranan yang bernama Taman Tenang.

Saya menerima penghinaan yang pertama 'balik negeri Cina' di situ. Sebagai persediaan untuk pilihan raya kecil, satu kajian dijalankan untuk mengenal pasti dan memahami isu-isu tempatan. Saya membantu ke sana ke sini sambil membawa borang tinjauan. Jadi saya memutuskan untuk menjelajah ke kawasan ini.

Bila saya bertemu dengan seorang pakcik sekitar 60an, dia kelihatan berminat dan memberikan respons terhadap tinjauan saya. Bagaimanapun dia akhirnya merasa terganggu dan mula mengancam saya, pertama sekali dengan berkata 'balik negeri Cina' lalu diikuti pula dengan menunjukkan kepada saya dua orang lelaki yang duduk di meja sebelahnya dan berkata "dia orang SB, boleh tangkap awak ke lokap di Melaka".

Pakcik itu kelihatannya sedih dengan kehadiran saya yang boleh mencuri beberapa undi UMNO. Dia tidak mampu memberikan hujah dan saya sedih kerana dia sudah dimabukkan dengan dogma bersifat perkauman UMNO. Saya kemudiannya berundur dengan senyap dari kawasan itu kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan. Ingin saya nyatakan orang pertama yang ditemu duga sebenarnya agak terbuka dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai isu-isu setempat. Tidak semuanya takut.

Jangkaan kehadiran polis yang ramai.

Bila saya telah melewati sebuah kompleks sementara yang sangat besar, saya terkejut. Akhirnya saya mengetahui ia sebenarnya adalah kompleks sementara untuk kakitangan polis. Sudah dijangka kehadiran polis yang ramai pada pilihan raya kecil ini tetapi diharapkan agar tidak berlakunya berat sebelah dan keganasan dari Polis Di Raja Malaysia.

Dari jauh, kompleks mega yang bercahaya dan sangat menakutkan. "Siapakah yang akan bina bangunan sementara pada yang skala sebegitu besar?"

Setiap khemah nampaknya dilengkapi dengan sistem pendinginan udara yang amat besar. Pasti sangat selesa di dalamnya.

Pekerja-pekerja bekerja keras demi keselesaan pihak polis kita.

Tapak penjana kuasa. Memerlukan banyak bekalan elektrik untuk 'menyejukkan' kompleks sementara ini dan nyata TNB tidak dibebani dengan kewujudannya

Satu parkir besar sudah dibina sejak dari mula. Hanya untuk penggunaan sepuluh hari, mungkin.

Jentera Kerajaan menjadi sibuk, buat sementara waktu

Seperti biasa, pelbagai kementerian kerajaan telah masuk gear penuh dalam mengadakan aktiviti-aktiviti di bandar sunyi Labis. Aktiviti besar-besaran ini dianjurkan di Dataran Labis.

Dataran Labis sekarang ini dipenuhi hampir setiap hari.

Kami tidak pasti apa tujuan kenderaan-kenderaan jabatan kerajaan ini berada di sini, tetapi apa yang pasti mereka tidak menjangkakan mereka akan memasuki Labis jika bukan kerana pilihan raya kecil.

Banyak hadiah dan buah tangan diberikan di sini kepada penduduk tempatan. Mungkin mingin memenangi hati pengundi?

Kawasan tengah Melayu

Dalam perjalanan terakhir, saya tidaklah menjelajah jauh ke dalam kampung-kampung dan kawasan-kawasan Felda. Jadi saya memutuskan melawat beberapa kawasan sahaja. Satu perbezaan nyata yang saya perasan ialah (terutamanya BN) bendera-bendera parti yang hilang secara misteri di pusat bandar telah berpindah ke kampung-kampung. Adakah mematuhi peraturan pilihan raya SPR hanya diguna pakai di pusat bandar sahaja

Keluar dari pusat bandar, anda dapat merasakan satu suasana pilihan raya yang kuat dengan pertunjukan bendera-bendera parti BN.

Jalan membawa kepada penempatan Felda Kg Tenang. Anda boleh menghidu bau tar yang baru diturap. Prosedur operasi standard UMNO-BN setiap kali pilihan raya.

Jalan menuju ke Felda Tenang, dipenuhi dengan logo BN, menandakan jelas sebagai 'Kubu BN', betulkah?

Satu bukti mudah Najib sudah mula (secara haram) berkempen. Dia akan melawat ke kawasan ini pada 18 Jan dan ada acara cabutan bertuah yang besar berupa pelbagai hadiah seperti motorsikal .

'Sasaran' - lebih kurang 90 peneroka yang disenaraikan sebagai peneroka Kg Tenang Felda. Seorang daripada mereka bagaimanapun membina sebuah rumah yang besar di antara rumah-rumah kayu. Saya mengesyaki dia adalah ketua UMNO bahagian.

Azhar Ibrahim calon BN di Tenang

Posted: 19 Jan 2011 03:15 AM PST

NONESELATAN ONLINE

Bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azhar Ibrahim diumumkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan lapang di belakang Pejabat Umno bahagian Labis, petang ini di hadapan 500 penyokong.

Azhar juga merupakan anak kepada bekas ADUN Tenang sebelum ini.

Dalam pilihan raya kecil pada 30 Januari ini, Azhar bakal ditentang oleh ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman yang merupakan bekas guru berkelulusan dari Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundi pada 30 Januari depan.

Kerusi DUN Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

NONESeramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Yang hidup didahulukan, yang meninggal dilupakan

Posted: 19 Jan 2011 03:12 AM PST

SELATAN ONLINE

TENANG : Pn Maimunah Hindun sebak menerima kunjungan ziarah daripada bakal calon Pas PRK Tenang, Puan Normala Sudirman dan rombongan sebagai penghormatan terakhir kepada suaminya Abd Latif Subri Mohd Din. Suaminya meninggal dunia awal pagi tadi akibat sakit jantung dan darah tinggi.

Allahyarham suaminya merupakan Setiausaha Kerja Cawangan Umno Felda Tenang.

Jenazahnya diletakkan di masjid Felda Tenang sementara sebelum dikebumikan. Pada masa yang sama, berdekatan dengan masjid tersebut, terdapat majlis ramah mesra Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi UMNO bersama warga Felda Tenang di mana turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad.


Pada awalnya keluarga Allahyarham berharap Perdana Menteri akan melawat untuk kali terakhir Setiausaha UMNO Felda Tenang itu, namun menghampakan. Beliau tidak hadir pun untuk memberikan penghormatan kepada jenazah sedangkan padda hayatnya Allahyarham berkhidmat untuk Umno. Lebih menyedihkan lagi, imam yang sepatutnya bertugas turut pergi meraikan majlis lawatan Perdana Menteri tersebut.

Jenazah Allahyarham disempurnakan selepas Zohor oleh sukarelawan dan Unit Amal dari Pas termasuk membantu mengurus penggalian kubur. Allahyarham meninggalkan 4 orang anak dan seorang cucu./N05

Amaran : Fitnah Berzina Terhadap Cikgu Normala Sudirman Oleh Facebooker Umno!

Posted: 19 Jan 2011 03:07 AM PST

SELATAN ONLINE

Lagi fitnah berzina terhadap pemimpin2 PAS oleh penyokong (blogger/facebooker) Umno..kini seperti dijangka, calon PAS N.05 Tenang, Cikgu Normala Sudirman menjadi sasaran jahat mereka!



Suara Dari Bumi:

"Normala tinggalkan suami lama kejar Maarof kerana maarof kaya.DIA ada skandar sebelum kahwin.Ingat pas ingat zina ingat pas ingat maksiat"

"Tanya cikgu tenang semua tahu cerita ni.,kenapa calon pas jadi tak bermoral ni"

"Jawap le kenapa dia ada hubungan dengan maarof sedangkan masa tu dia masih bini orang"



Berita fitnah ini kemudiannya dijaja dan disebarkan oleh beberapa blogger dan facebooker Umno, antaranya..

Pas Beruk:
"TERKINI: BIAR BETUL....
CIKGU MALA ADA MAIN KAYU TIGA SEBELUM KAHWIN??... JGN BUAT FITNAH BRO...
TAKKAN AKU NAK TANYA SENIDIRI DGN MAAROF, YG KAYA TU?
TAKKAN LAH SEBUT PAS SAHAJA, ZINA... SEBUT PAS AJA, MAKSIAT... BUKAN SEMUA PEMIMPIN PAS TAK BERMORAL... BIAR BETUL BRO!!!
TUIH!! "

Amaran buat petugas PAS/PR!

Sila perhati muka-muka ini di DUN Tenang..jika boleh, sila cetak dan sebarkan gambar-gambar ini agar petugas2 parti dan pengundi Tenang boleh mengenalpasti tindak tanduk mereka..



Menurut admin facebook 'Kami Benci Saiful Bukhari':

"Papa Gomo di dapati telah mengekori beberapa petugas PAS serta mengambil gambar dan memasang telinga perbualan petugas PAS PRK Tenang! ~Mereka mungkin tak kenal Papa Gomo! Itu kelemahan mereka...

Namun bagi kita atau petugas2 PR utk PRK Tenang yg kenal beliau, sila ambil perhatian! Sila 'BUAT SESUATU' apabila nampak kelibat si MALAUN ni, lebih2 lagi di Tenang nanti! Khabarnya dia sedang mencari maklumat peribadi calon PAS Tenang.... ~AWAS GOMO AKU KENAL KO! -andak"
Siapa tak kenal blogger jumud Umno ini, Papa Gomo, seorang blogger pemfitnah yang paling tersohor dikalangan penyokong Umno..banyak koleksi fitnah beliau, antaranya beliaulah yg pernah menfitnah MB Selangor, Khalid Ibrahim adalah penagih arak dan alkohol..kalian boleh rujuk bukti di SINI..




Jika kalian perhati gambar di atas, di sebelah Papa Gomo adalah rakannya yg bernama Mohd Azmy bin Awang (Azmy Awang Kelana Jaya), seorang facebooker yang kerap memakihamun dan menyebarkan berita palsu dan fitnah..



Selain Papa Gomo dan Azmy Awang, seorang lagi rakan mereka adalah, Syamsul Azrai, yg menggelarkan dirinya sebagai 'Pas Beruk' di dalam facebook..kalian boleh rujuk contoh fitnah beliau di SINI..

Sumber dan pendedahan lanjut (latar belakang) muka-muka pemfitnah ini boleh dirujuk dlm blog "propartiislammalaysia.blogspot.com"..klik di SINI..

Kes fitnah zina ADUN Selising dan Perupok

Untuk pengetahuan pembaca, muka-muka inilah yang mereka dan menjaja fitnah knonnya ADUN PAS Selising dan Perupok telah berzina dan berkhalwat..mereka kononnya mahu mendedahkan bukti bergambar dan video pada awal Januari 2011 jika ADUN Selising berdegil tidak mahu mengaku..namun sehingga kini langsung tiada bukti2 sebagaimana yg dijanjikan walaupun ADUN itu telah menafikan sekeras2nya..

Kalian boleh rujuk tulisan penulis mengenai koleksi kes fitnah zina oleh penyokong2 Umno di SINI..

Akhir kalam..ingat Umno, ingat Fitnah Zina..fikir2kan..wallahua'alm..

/PriaMalaya

500 lot tanah hasil perjuangan Anak

Posted: 18 Jan 2011 09:00 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM8.5 juta untuk 500 lot tanah oleh Felda kepada generasi kedua Felda Johor yang diumum Datuk Najib Tun Razak semalam adalah hasil perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Katanya, dengan desakan berterusan yang dibuat Anak yang dipengerusikan Mazlan Aliman, akhirnya peneroka kini mandapat hak mereka semula.

"PAS mengucap tahniah kepada perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh Saudara Mazlan Aliman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang telah berjaya menampakkan hasil.

PAS ujanya turut memanjat kesyukuran kepada Allah kerana tuntutan untuk rakyat sudah di ambil berat oleh Perdana Menteri.

Namun beliau yakin, pengumuman terbaru Najib itu dibuat kerana takutkan sokongan masyarakat Felda amat menggalakkan kepada Pakatan Rakyat, ditambah dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat yang akan menghapuskan Felda Plantation yang dianggap tidak adil kepada peneroka.

"PAS yakin stok penimbal Umno di Felda semakin reput, sebab itu tindakan Datuk Najib meluluskan projek di Tenang.

"Mungkin inilah risikan yang telah sampai kepada beliau, jika tidak generasi kedua akan beralih sokongan," telahnya.

Bagaimanapun katanya, adalah tidak adil jika pemberian tersebut hanya diberi kepada peneroka Felda di Johor sahaja sedangkan terdapat 317 rancangan dengan bilangan 900,000 peneroka di seluruh negara.

"Tidak adillah jika peneroka Johor sahaja yang dapat, kebetulan ada pilihnaraya kecil Tenang, bagaimana pula nasib peneroka yang tidak ada pilihanraya kecil," katanya.

Walau bagaimana pun tambahnya, PAS yakin peneroka sudah celik maklumat, terutama generasi muda Felda setelah setengah abad hak mereka dinafikan oleh kerajaan BN.

"Sekarang baru kerajaan sedar untuk cakna kepada peneroka kerana BN tidak lagi boleh berada di zon selesa hasil daripada perjuangan Anak di bawah kendalian PAS," katanya.

Isu laungan azan: BN dwi standard, kata Pua

Posted: 18 Jan 2011 08:36 PM PST

Regina Lee

DAP hari ini membidas kerajaan kerana cara mereka menangani isu laungan azan yang didakwa oleh seorang peguam bukan Islam terlalu kuat sebagai dwi standard.

NONE"Saya berpendapat permohonan maaf (daripada pengadu) harus diterima semua dan tidak sepatutnya dieksploitasi," kata setiausaha publisiti kebangsaannya, Tony Pua yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara.

"Namun, hanya satu isu yang Pakatan Rakyat kurang senang adalah amalan dwi standard dalam menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Pua soalnya bukan mengenai permohonan maaf dibuat oleh peguam yang membuat aduan tetapi sikap pilih kasih diamalkan Umno.

Katanya, memandangkan isu kontroversial itu membabitkan ahli MCA, kes berkenaan ditutup dengan cepat dan dipastikan agar tidak menjadi sesuatu yang berpanjangan.

"Bila yang silap itu adalah ahli politik BN, mereka dengan segera akan menutup kes dan berkata semuanya sudah selesai.

NONE"Tetapi jika ia membabitkan ahli Pakatan, kita dibidas berhari-hari dan berita itu akan disiarkan di muka utama Utusan Malaysia, dengan dilabelkan sebagai tidak sensitif dan rasis," kata Pua.

Sebelum itu, seorang ahli MCA seumur hidup, Ng Kian Nam yang juga seorang peguam mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat Islam di negara ini apabila mendakwa laungan azan yang berkumandang di kawasan kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi adalah terlalu kuat dan mahu ia diperlahankan.

Namun, Ng kemudiannya menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

ng kian nam apologise raja nong chik 170111"Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya pada sidang media.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.

teresa kok dap hq isa release pc 190908 05Menurut Pua, serangan yang sama dilakukan ke atas rakannya dari DAP dan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 2008 apabila Utusan mendakwa beliau bertanggungjawab membuat petisyen supaya laungan azan di sebuah masjid di Puchong diperlahankan.

"Malah, dakwaan yang dilemparkan itu adalah rekaan dan tidak wujud.

"Meskipun terbukti tiada arahan dikeluarkan olehnya (Teresa Kok), namun beliau diserang tanpa henti," kata Pua sambil menambah tindakan itu akhirnya menyaksikan exco kerajaan negeri Selangor itu ditahan selama tujuh hari mengikut Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

Kes Krishnan: Polis, AG setuju bedah siasat kedua

Posted: 18 Jan 2011 08:33 PM PST

MALAYSIA KINI

Pihak polis dan pejabat Peguam Negara dipercayai telah bersetuju bedah siasat kedua dijalankan ke atas mangsa yang mati ketika dalam tahanan polis - M Krishnan pada 7 Januari lalu.

Mahkamah dikatakan akan merakamkan persetujuan itu di hakim petang nanti.

Rakan-rakan dan keluarganya sebelum ini, mendakwa Krishnan dibelasah sehingga mati di lokap polis di Bukit Jalil manakala polis, bersama pihak hospital mendakwa mangsa mati akibat ulser di perutnya.

NONEBalu Krishnan, P Revathi, 37, berkata dia percaya kematian suaminya ada kaitan dengan keganasan polis ketika dalam tahanan dan menuntut bedah siasat kedua dijalankan.

Semalam, anggota keluarga Krishnan dan beberapa perwakilan Pakatan Rakyat mengemukakan permohonan di mahkamah Jalan Duta untuk memaksa kerajaan menjalankan bedah siasat kedua.

Bedah siasat pertama yang dilakukan oleh hospital HUKM di Cheras menyatakan mangsa mati akibat radang atau luka dalam perut. Namun ahli keluarga dan seorang saksi mendakwa Krishnan dibelasah

Dalam permohonannya, P Revathi menamakan ketua balai polis Bukit Jalil, OCPD Cheras, ketua polis negara, majistret Kuala Lumpur dan peguam negara sebagai responden.

Dia memohon satu lagi bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya dan dilakukan oleh Dr Prashant N Samberkar.

NONERevathi juga menuntut mayat suaminya itu dibawa dari HUKM ke UMMC bagi tujuan bedah siasat itu.

Dia juga mahu salinan bedah siasat kedua dan juga laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh HUKM diserahkan kepada peguamnya.

Dia juga meminta sebuah inkues ditubuhkan mengikut seksyen 334 Kanun Jenayah dan mahu seorang peguam hadir semasa bedah siasat pertama dan segala kos tersebut ditanggung oleh responden.

Parti dirasmi: KITA tidak lagi berseorangan

Posted: 18 Jan 2011 08:25 PM PST

Regina Lee

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim dirasmikan pagi ini dengan dibarisi nama-nama terkenal daripada pelbagai parti.

NONEAntara mereka termasuk ahli parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan dan presiden PPP Datuk M Kayveas. Selain itu perwakilan daripada Snap dan bekas pemimpin PKR yang lain termasuk bekas setiausahanya, Datuk Salahuddin Hashim dan bekas timbalan setiausahanya yang dipecat P Jenapala juga hadir.

"Kita tidak lagi berseorangan," kata Zaid dalam ucapan perasmiannya.

Beliau yang juga bekas ahli majlis tertinggi PKR meninggalkan parti itu dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan kepimpinan.

Zaid mengambil kepimpinan sebuah parti kecil yang berpangkalan di Kelantan, Akim sebelum menamakannya semula sebagai KITA pada mesyuarat agung luar biasa parti berkenaan pada Disember lalu.

PM lupa ziarah jenazah Setiausaha Umno Cawangan Tenang

Posted: 18 Jan 2011 08:21 PM PST

Harakahdaily

LABIS: Para petugas PAS dari Pahang terpaksa mengurus dan mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia semalam apabila imam yang bertugas terpaksa meraikan kedatangan
Perdana Menteri ke tanah rancangan Felda itu.

(Gambar: Cikgu Normala Sudirman mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham ketika menziarahi jenazah Setiausaha Umno cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi, di masjid Felda Tenang tengahari semalam.)

Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

"Jenazah itu berada di masjid sejak jam 10 pagi. Ia tidak diziarahi apatah lagi disembahyangkan oleh Presiden Umno yang datang ke situ,"kata seorang saksi kejadian itu pagi semalam.

Allahyarham Abdul Latif adalah bekas MP Tentera Darat dan pagawai Pertahanan Awam adalah pewaris Felda. Beliau meningalkan empat anak dan seorang cucu di samping balunya, Puan Maimunah Hindun.

"Suasana pilu dan terkilan menyelubungi keluarga Allahyarham apabila imam bertugas ada bersama meraikan Najib dan akhirnya jenazah disolatkan oleh sukarelawan PAS daripada Pahang selepas Zohor di masjid itu.

"Inilah akhlak kepimpinan Umno kepada ahlinya sendiri," kata saksi itu ketika menceritakan peristiwa ini.

Najib tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi Selasa semalam. Sejak jam 10 pagi, jenazah Allahyarham ditempatkan di masjid itu untuk membolehkan Perdana Menteri menziarahinya kalau-kalau sempat.

Najib telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.

Walaupun beliau dan rombongannya melintasi masjid Felda Tenang, tempat jenazah itu ditempatkan sejak jam 10 pagi, ia tidak langsung dipeduli, jauh sekali untuk disolatkan, dijenguk pun tidak sempat.

Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, yang diumumkan oleh PAS akan menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil Tenang ini telah menziarahi jenazah Allahyarham jam 1.30 tengahari sebaik sahaja selesai solat Zohor.

Beliau mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan meminta semua keluarganya bersabar dengan dugaan dari Allah itu.

Pelatih PLKN beragama Sikh dakwa rambut di potong

Posted: 18 Jan 2011 08:19 PM PST

BERNAMA

IPOH – Seorang remaja lelaki beragama Sikh enggan meneruskan program latihan khidmat negara selepas mendakwa beliau mengalami trauma apabila rambutnya dipotong semasa sedang tidur Ahad lepas.

Basant Singh, 18, berkata kejadian itu sangat mengejutkan beliau kerana rambutnya tidak pernah digunting sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.

"Saya tidak berpuas hati dan tidak mahu meneruskan lagi latihan ... saya mahu pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di rumahnya yang di kawasan Rumah Ibadat Sikh Wadda Gurdwara Sahib di sini.

Basant telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada petang Ahad berhubung insiden itu yang dipercayai berlaku antara 3 pagi hingga 6.30 pagi Ahad.

Beliau mendakwa insiden itu berlaku semasa beliau sedang tidur di asrama lelaki Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, awal pagi Ahad lepas.

Katanya, beliau yang mengikuti latihan di kem itu sejak 4 Januari hanya menyedari perkara itu apabila bangun tidur pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mendapati rambutnya yang sebelum ini panjang hingga mencecah pinggang didapati sudah pendek sekadar paras bahu, dipercayai dipotong antara 50 hingga 60 sentimeter.

Basant berkata beliau terus menghubungi ayahnya, Surinderpal Singh, 46, bagi memaklumkan perkara itu dan pihak kem kemudian membenarkan beliau bercuti selama seminggu dan melaporkan diri semula pada Ahad ini.

Beliau berkata 10 pelatih lain yang tinggal bersamanya turut terkejut dengan kejadian itu dan mengesyaki ia dilakukan oleh penceroboh kerana asrama berkenaan tidak berkunci.

Katanya, kesemua pelatih yang tinggal bersama dalam asrama berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan beliau mengenali mereka.

Sementara itu, ayahnya Surinderpal berkata beliau juga tidak bersetuju anaknya kembali meneruskan latihan di kem berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya.

"Jika ketika tidur orang lain boleh sewenang-wenangnya masuk ke asrama dan memotong rambut penghuninya, tidak mustahil pada masa akan datang mereka memotong leher anak saya tanpa sedar," katanya.

Di Putrajaya, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya sedang menyiasat aduan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya kesemua 27 pelatih di bilik yang sama telah disoal siasat dan pihaknya tidak menemui objek tajam atau rambut yang dikatakan dipotong.

"Menteri Pertahanan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah mengarahkan agar kajian terperinci dibuat dan saya telah mengarahkan Pengarah Operasi JLKN Kol Sanusi Hashim untuk mengetuai siasatan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata pihak pengurusan kem PLKN sedia maklum tentang agama Sikh dan rambut mereka tidak boleh dipotong dan pelatih-pelatih diberi ingatan supaya bahasa, agama dan kebudayaan rakan-rakan mereka dihormati.

Komandan kem telah memberi cuti kepada pelatih berkenaan berasaskan permohonan ibu bapa pelatih untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan secara kebetulan pelatih tersebut mempunyai temu janji dengan doktor gigi pada Jumaat ini, katanya sambil menyatakan kecewa dengan kejadian itu.

Abdul Hadi juga berkata pelatih sememangnya tidak dibenarkan untuk membawa sebarang objek tajam dan pihak pengurusan mempunyai pengawasan yang ketat terhadap perkara tersebut.

Jurufoto Finas ditemui mati dalam bilik air

Posted: 18 Jan 2011 08:17 PM PST

BERNAMA

PETALING JAYA – Seorang jurufoto Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ditemui mati terlentang dalam bilik air di kediamannya di sebuah kondominium di Seksyen 10, Kota Damansara, hari ini.

Norhaslinda Jaffar, 34, ditemui mati dalam keadaan berulat dan berbau busuk oleh rakan serumahnya yang kebetulan baru pulang dari bertugas di luar negeri kira-kira pukul 5.30 pagi.

Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

"Rakan mangsa yang berusia 40an terhidu bau busuk ketika masuk ke dalam rumah, terkejut apabila menemui mayat mangsa yang sudah berulat di dalam bilik air," katanya.

Arjunaidi berkata mangsa dipercayai telah mati lebih tiga hari lepas.

Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Khir Toyo beri projek RM244 juta kepada tertuduh bersama kes rasuahnya

Posted: 18 Jan 2011 08:16 PM PST

TERKINI

KUALA LUMPUR – Selangor mendakwa Dr Mohd Khir Toyo pernah menganugerahkan lima tender secara langsung bernilai RM244 juta kepada pengarah Ditamas Shamsuddin Haryoni ketika beliau masih menerajui kerajaan negeri.

Kedua-dua Dr Khir (gambar) dan Shamsuddin merupakan defendan dalam kes rasuah menerima dua lot tanah daripada Shamsuddin pada harga RM3.5 juta sedangkan ia bernilai RM6 juta pada 2007.

Setiausaha politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, butiran tender langsung ini didedahkan kepada umum bagi mengelakkan spekulasi dan andaian negatif terhadap kerajaan negeri semasa apabila perbicaraan Dr Khir berlangsung Jun ini.

"Kerajaan negeri percaya bahawa maklumat ini akan membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Faekah menambah, pentadbiran Dr Khir juga ada menganugerahkan dua projek kepada syarikat dimiliki Shamsuddin, masing-masing bernilai RM30 dan RM14 juta, yang telah dibatalkan oleh kerajaan negeri tahun lalu.

Beliau berkata pendedahan maklumat itu adalah penting bagi memastikan kerajaan Selangor dan kakitangannya tidak dikaitkan kan dengan perbicaraan Dr Khir kelak.

Awal bulan lalu, Dr Khir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan mendapatkan dua lot tanah di Seksyen 7 Shah Alam pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.

Dr Khir, 45, didakwa mendapatkan tanah tersebut bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No 8 & 10, Jalan Suara 7/1L di sini daripada Shamsuddin yang diketahui ada hubungan dengan kerja rasminya pada harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah tersebut telah dibeli oleh syarikat tersebut pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, Faekah juga berkata kerajaan negeri Selangor yang kini ditadbir Pakatan Rakyat tidak terlibat dengan pemberian projek secara runding terus kepada syarikat-syarikat dimiliki Shamsudin.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Disember lalu telah membuat keputusan supaya maklumat tentang jenis projek dan nilai projek yang diberikan kepada syarikat milik Shamsuddin didedahkan untuk pengetahuan umum.

"Sebanyak lima projek runding terus telah diberikan kepada Majulia Sdn Bhd dengan nilai projek berbeza," katanya lagi.

Projek-projek itu ialah pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16 Fasa 1 dengan nilai RM22,880,000, kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16 fasa 2 dengan nilai RM61 juta, cadangan mereka bentuk, membina dan menyaipkan bangunan Perpustakaan Selangor Maju bernilai RM71,080,000, membina dan menyiapkan jalan dari Simpang B15/B11 Lama Daerah Sepang bernilai RM73,750,871.53 dan cadangan projek pembangunan sebuah stadium terbuka, sebuah pencawang elektrik, dua kebuk dan satu unit loji kumbahan atas sebahagian tapak Kompleks Sukan atas tanah kerajaan mukim Dengkil bernilai RM14,999,000.

"Sementara itu, dua lagi syarikat milik Shamsuddin iaitu Getrahome Sdn Bhd dan Kanasutra Sdn Bhd telah diberikan projek secara penswastaan," jelas beliau.

Getrahome Sdn Bhd mendapat projek pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah seluas 134.57 ekar mukim Dengkil, Daerah Sepang bernilai RM16 juta pada 2000 dan Kanasutra Sdn Bhd pula diberikan projek cadangan pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah kerajaan lot 5395 dan 5396 Mukim Dengkil pada 2005 bernilai RM14 juta.

"Bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 27 Januari 2010 telah membatal dan menarik balik projek berkenaan," katanya.

Jelas beliau, langkah itu juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didokong oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi.

Amaran PAS: Jangan guna isu negara Islam ‘pecah perintah’ Pakatan

Posted: 18 Jan 2011 08:11 PM PST



KUALA LUMPUR — PAS menegaskan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara Islam tetap menjadi impian parti itu buat selama-lamanya walaupun tidak termaktub dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat meluluskan Dasar Bersama ketika konvensyen pertama pada Disember 2009 dan keluar dengan Buku Jingga pada pertemuan tahunan mereka bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti Islam itu akan sentiasa "mengidamkan" pemerintahan sebuah negara Islam.

"Meskipun atas keinginan kami untuk terus memperjuangkan sebuah pemerintahan negara Islam, izinkan ia jadi impian kami sampai kiamat.

"Tiada halangan, DAP juga tidak dihalang untuk berimpian, kita punyai cita-cita yang tersendiri atas perjuangan PAS.

"Ini adalah permuafakatan yang kita capai dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Jangan jadikan ia (negara Islam) cara pecah perintah kami (Pakatan Rakyat)," katanya ketika Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS lebih selesa bekerjasama DAP dan PKR daripada Umno-Barisan Nasional (BN).

"Kami PAS bekerjasama untuk menegakkan keadilan menentang kezaliman bersama rakan DAP dan PKR.

"Kami ingin bekerjasama dengan sesiapa termasuk DAP walaupun mereka bukan Islam.

"Tapi demi keadilan kami bekerjasama dengan DAP daripada mana-mana pihak yang enggan menegakkan keadilan," katanya.

Isu negara Islam selama ini menjadi "duri dalam daging" dalam Pakatan Rakyat namun Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan Rakyat bersedia berbincang dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikannya.

Ia juga menjadi modal serangan ke atas PAS yang membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat turut disertai Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS pusat itu dihadiri kira-kira 100 orang.

Tambah Dzulkefly, negara yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan muflis sekiranya gagal menguruskan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau berkata kerajaan kini berdepan dengan peperangan untuk mengatasi "hutang dunia".

"Negara bertanggungjawab untuk mengatasi hutang negara, yang berjaya adalah negara yang mampu uruskan hutangnya.

"Apabila kita perkenalkan program 100 Hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri takut dan mula menakut-nakutkan kalau Pakatan Rakyat memerintah negara akan muflis.

"Mereka (BN) guna kaedah untuk menakutkan rakyat tapi bukan mudah kerana rakyat sudah celik maklumat," katanya sambil menambah, hutang terkumpul negara seluruh dunia berjumlah RM246 trilion dan ia bertambah setiap tahun.

"Seperti kita maklum hutang negara sudah melebihi 50 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ataupun kira-kira RM250 bilion buat pertama kali dalam sejarah," tambah Dzulkefly.

Pua berkata melalui Program 100 Hari Pakatan Rakyat negara boleh mengambil alih konsensi lebuh raya tanpa memufliskan negara.

"Mereka (BN) kata pengambilan ambil alih lebuh raya akan memufliskan negara tapi tidak sebaliknya kita boleh membantu rakyat.

"Janji 100 Hari Pakatan Rakyat mementingkan rakyat bukan membebankan," kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sementara itu, Rafizi berkata, 10 inisiatif dalam program itu diambil untuk ringankan beban rakyat yang dibebankan dengan kadar pendapatan yang rendah.

"Sebab kita buat itu adalah untuk membantu rakyat mengurangkan kos, yang jadi masalah BN menekan rakyat di bawah.

"Kita akan tingkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat melalui program 100 Hari Pakatan Rakyat ini," katanya.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari "kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan 10 program", antaranya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Lain-lain inisiatif ialah:

— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat

— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang

— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan

— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar

— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah

Undi proksi: SPR masih timbang input rakyat, kata Nazri

Posted: 18 Jan 2011 08:10 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengenai kajian memperkenalkan sistem undi proksi hanyalah satu cadangan yang belum diputuskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, sebarang pindaan dalam akta suruhanjaya itu perlu dikemukakan melalui memorandum dan dibawa ke persidangan jemaah menteri terlebih dahulu sebelum ia dimuktamadkan.

Katanya, buat masa ini cadangan itu telah dikemukakan oleh SPR untuk mendapat maklum balas daripada rakyat sama ada mereka bersetuju dengan sistem itu atau tidak.

"Saya telah dihubungi oleh beliau dan katanya SPR dalam proses untuk berjumpa rakyat serta meminta apa pandangan yang perlu dan dimahukan oleh rakyat.

"Jadi kita pertimbangkanlah. Tetapi apa pun pindaan yang dibuat dalam akta SPR, ia semestinya datang sebagai memorandum dan diputuskan oleh jemaah menteri," kata beliau di Kota Baru semalam.

Dipetik Utusan Malaysia, Nazri (gambar) mengulas cadangan Abdul Aziz tersebut yang membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

Abdul Aziz berkata, pindaan kali ini melibatkan sekitar 30 perkara dengan sebahagian besarnya sudah pun diteliti dan kemungkinan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Nazri yakin rakyat telah faham dengan perkara itu meskipun beberapa pihak mengemukakan bantahan mereka.

"Saya tidak fikir rakyat tidak faham, cuma mungkin pandangan daripada media itu menyebabkan mereka seolah-olah melihat undi proksi sudah dipersetujui," jelas beliau.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Abdul Aziz berkata SPR sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu layak pada hari pengundian.

Di bawah syor SPR itu, sistem proksi dilihat mirip hak mengundi yang diamalkan oleh sektor korporat.

"Kita sedang kaji undi proksi, khusus bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari pengundian," kata beliau.

Sambil mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan, Abdul Aziz berkata, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Ada cara, ada caranya... ia mesti ada cara sendiri," kata beliau sambil menambah, beberapa negara lain dan pihak berkuasa tempatan mereka sudah mengamalkan sistem tersebut.

Misalnya laman web pilihan raya Toronto menyebut, pengundi-pengundi yang tidak dapat hadir pada hari pengundian atau lebih awal boleh memohon mendapatkan kemudahan hak undi berproksi.

Di bawah sistem pengundian Toronto itu, undi proksi membolehkan pemilih lain yang tinggal di kawasan atau bahagian yang sama mengundi bagi pihak mereka yang hendak memberi hak mereka kepada orang lain.

Di Toronto, seseorang pengundi proksi tidak boleh mengundi bagi pihak lebih dua pemilih berdaftar dan permohonan perlu dibuat sehari sebelum hari pengundian.

Bagaimanapun idea itu mendapat reaksi berbelah bahagi setakat ini.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hak untuk mengundi dalam pilihan raya adalah sulit dan peribadi.

Bagaimanapun, Koh berkata beliau perlu mendapatkan maklumat berhubung cadangan SPR untuk mewujudkan sistem pegundian secara proksi sebelum memberi sebarang ulasan terhadap perkara itu.

Dewan Pemuda PAS pusat membantah cadangan itu atas alasan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan.

"Meskipun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, DPPM merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar.

"Mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir," kata Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Firdaus Jaafar.

Permohonan semakan keputusan inkues Teoh didengar 31 Jan

Posted: 18 Jan 2011 04:38 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar permohonan semakan terhadap keputusan terbuka inkues Teoh Beng Hock pada 31 Januari ini.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memaklumkan perkembangan itu menerusi mesej Twitter kira-kira 9.30 pagi tadi.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki telah dilantik untuk mendengar permohonan itu, jelas Gobind kepada The Malaysian Insider menerusi mesej SMS kemudian.

Teoh Lee Lan, adik perempuan mendiang pula kelihatan terkejut dengan perkembangan tersebut.

"Ini kali pertama saya mendengar mengenai perkara ini," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Katanya, dia akan menghubungi Gobind sebelum mengulas lanjut mengenainya.

Pada 7 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi semakan terhadap keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dalam inkues kematian bekas setiausaha politik itu, yang diumumkan dua hari sebelum itu.

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.

Keluarga Teoh juga dilaporkan akan membuat permohonan semakan, tetapi pada masa yang sama banyak pihak meminta satu suruhanjaya diraja siasatan bagi mencari punca Teoh didapati mati di Plaza Masalam, Shah Alam ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tiada ulasan: