Rabu, 19 Januari 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Bernama MENIPU!

Posted: 19 Jan 2011 02:37 PM PST


–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–

Saya memandang serius laporan Agensi Berita Nasional (Bernama) bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Dato' Sri Najib Razak. Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar seusai Majlis Wacana Maqosid Syariah di Insaniah Alor Setar petang tadi.

Saya tegaskan di sini, saya sedikit pun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa YAB Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya. 

Saya berharap pihak Bernama agar menarik balik serta membetulkan laporan bertarikh 19hb Januari 2011 yang berjudul "SAYA TIDAK AJAK PERDANA MENTERI BERDEBAT, HANYA BERBINCANG" – ANWAR.

ANWAR IBRAHIM

Saya petik berita Bernama yang mengelirukan itu di Mstar. Berita asal di Bernama mungkin sudah dipadam.



Nenek BERAHI "Anak Ikan" Kena Cekup!

Posted: 19 Jan 2011 04:00 AM PST


Saya petik:
[HM] ALOR SETAR: Seorang nenek berusia 51 tahun dicekup berkhalwat dengan 'anak ikannya' berusia 24 tahun di hotel murah di Shahab Perdana, di sini, malam kelmarin.

Nenek kepada seorang cucu itu dikatakan sanggup menyewa di hotel berkenaan selepas membuat temujanji dengan pasangannya yang 27 tahun lebih muda daripadanya dan masing-masing baru mengenali sejak sebulan lalu.

Difahamkan, mereka berkenalan selepas seorang daripada mereka tersalah mendail nombor telefon sebelum hubungan itu diteruskan sehingga pertemuan di hotel berkenaan.

Mereka dicekup berkhalwat oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang membuat pemeriksaan di hotel itu kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Operasi Jaik, Mohd Nasir Md Dali berkata, anggotanya yang membuat pemeriksaan di hotel murah itu mengetuk pintu sebuah bilik dan memberi salam beberapa kali sebelum dibuka seorang wanita yang memakai baju tidur paras lutut.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, keadaan dalam bilik itu gelap dan diterangi cahaya televisyen tetapi selepas lampu dibuka, anggota penguat kuasa mendapati seorang lelaki yang hanya berseluar jeans tanpa baju di katil.

Hasil pemeriksaan menemui seluar dalam dipercayai milik wanita itu di atas katil.

"Apabila disoal siasat, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

"Wanita itu memberi alasan hanya berbual dengan pasangannya di bilik itu selepas keluar berjalan-jalan bersama dan singgah di hotel itu dengan mendaftarkan namanya untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Mohd Nasir berkata, pasangan itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.
* Gambar sekadar hiasan.

P/s: Seluar dalam nenek di atas katil...alahai!


Takziah Badrul: Rakyat Bersorak & BN Mungkin Tidak Memerlukan Anda Lagi!

Posted: 19 Jan 2011 12:53 AM PST


Malaysia Kini melaporkan bahawa Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun. 

Menurut Teng, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri yang tidak  memperuntukkan ADUN untuk merayu. Mengikut Artikel 69 Perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh Speaker.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 atas tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi. Dia kemudiannya meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Dengan kekosongan DUN Perlabuhan Kelang, maka negara bakal menyaksikan PRK ke-15.

Adios Badrul! Rakyat bersorak, BN dan UMCO mungkin tidak memerlukan anda lagi!


P/s: Ada jurublog UMCO mempersoal Speaker Selangor mengumumkan kekosongan tersebut kerana bagi mereka hanya SPR yang boleh berbuat demikian. Kata mereka, tindakan Speaker tidak mengikut protokol.  Masalah besarkah isu ini?

Yang menentukan kekosongan/status kerusi ialah Speaker berdasarkan peruntukan yang diberi, SPR pula mengesahkan kekosongan tersebut kepada umum berdasarkan notis daripada Speaker dan membuat keputusan untuk melaksanakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan yang disahkan oleh Speaker. Dalam kes ini, pilihan raya perlu diadakan kerana sebab kekosongan itu sudah jelas kecuali UMCO menggunakan muslihatnya untuk menafikan hak Speaker dalam hal ini.

Badrul ketika ditanya tentang hal ini menafikan dakwaan Speaker dan akan berbincang dengan bosnya dalam UMCO.Jeng..jeng...jeng! Apa muslihat mereka?
 




[Video] Tuan Mufti, Jika Anwar Itu Abdullah bin Ubai, Adakah Najib Itu Salah Seorang Khalifah Al Rasyidin?

Posted: 18 Jan 2011 10:15 PM PST


Video:


Budak Mana yang Mereka Upah?

Posted: 18 Jan 2011 09:50 PM PST


Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching menerima ugutan hari ini. Butiran ugutan sila lihat gambar di atas dan rujuk berita MK.  Kertas berisi ugutan serta seekor ayam mati disembelih ini di letakkan di pusat khidmat DAP di Sungai Chua, Kajang.

Cuba perhatikan tulisan pada kad ugutan itu!

[Kemas Kini] Parti KITA Dirasmikan. Adakah Kehadiran Pemimpin BN dan Mesra BN Jawab Hala Tuju KITA?

Posted: 18 Jan 2011 07:41 PM PST


Saya petik:
[MK] Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim dirasmikan pagi ini dengan dibarisi nama-nama terkenal daripada pelbagai parti.

Antara mereka termasuk ahli parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan dan presiden PPP Datuk M Kayveas. Selain itu perwakilan daripada Snap dan bekas pemimpin PKR yang lain termasuk bekas setiausahanya, Datuk Salahuddin Hashim dan bekas timbalan setiausahanya yang dipecat P Jenapala juga hadir.

"Kita tidak lagi berseorangan," kata Zaid dalam ucapan perasmiannya.

Beliau yang juga bekas ahli majlis tertinggi PKR meninggalkan parti itu dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan kepimpinan.

Zaid mengambil kepimpinan sebuah parti kecil yang berpangkalan di Kelantan, Akim sebelum menamakannya semula sebagai KITA pada mesyuarat agung luar biasa parti berkenaan pada Disember lalu.-Regina Lee

P/s: Parti KITA sudah mempunyai 300 ahli. Yang menariknya, sewaktu pelancaran pagi tadi, tidak dinyatakan kehadiran pemimpin Pakatan. Yang dinyatakan ialah kehadiran pemimpin BN, tokoh yang mesra BN, serta bekas ahli parti PKR.

Jadi, mungkin berdasarkan kehadiran mereka, kita sudah boleh mengagak hala tuju parti ini!

.


Inilah "Selangor Terkini" yang Guna Logo Kerajaan Negeri Secara Haram

Posted: 18 Jan 2011 07:00 PM PST


Hari Isnin lalu, Kerajaan Negeri Selangor membuat laporan polis berhubung dengan penerbitan akhbar Selangor Terkini yang menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran. Laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang mewakili Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pukul 4.30 petang.

Menurut laporan MStar, laporan itu dibuat agar pihak polis menyiasat penyalahgunaan logo pada akhbar yang tidak diketahui penerbitnya itu. Sumber kerajaan negeri mendakwa kandungan akhbar itu adalah usaha untuk menghentam pentadbiran kerajaan negeri dan mencemarkan imej Selangor, malah mengelirukan orang ramai kerana akhbar rasmi kerajaan negeri ialah "Selangor Kini".

Beberapa blog pro-UMCO membuat kewajaran penerbitan akhbar menggunakan logo kerajaan negeri secara haram itu dengan hujah bahawa logo itu bukan milik MB Khalid. Dangkalnya hujah. Walhal kerajaan negeri bertindak kerana pihak yang menerbitkan akhbar itu menggunakan logo kerajaan negeri yang secara haram, tanpa keizinan pihak yang memegang kuasa. Jika Noh Omar seperti yang tertera pada halaman hadapan Selangor Terkini itu adalah MB Selangor, maka sudah Khalid Ibrahim tidak sibuk-sibuk meminta pegawainya membuat laporan polis.

Laporan polis dibuat atas dakwaan akhbar itu menggunakan logo kerajaan negeri secara salah, bukan menghalang penerbitan akhbar itu. Jangan pusing dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri menghalang penerbitan akhbar itu pula.


* Jurublog: Anda berminat dengan artikel ini? Ambillah, tampallah, namun berilah kredit kepada blog ini. Terima kasih.

Ingat Kes Remaja Dibakar Hidup2? Berkemungkinan Kes "Bakar vs Bakar"

Posted: 18 Jan 2011 06:00 PM PST


Saya petik:
[HM] KANGAR: Dua remaja yang melecur teruk selepas dibakar hidup-hidup disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar kereta yang diletakkan di kawasan perumahan di Jalan Raja Syed Alwi, di sini, awal pagi kelmarin.

Sumber berkata, kenderaan Toyota SE hangus di bahagian enjin sebelum disedari pemilik rumah yang membuat laporan polis kira-kira jam 6 pagi kelmarin.

"Mungkin perbuatan mereka (remaja) membakar kereta berkenaan disedari pihak tertentu yang bertindak membalas dendam hingga menyebabkan kedua-duanya cedera parah akibat melecur keseluruhan badan," katanya.
Harian Metro semalam melaporkan dua remaja berusia 17 dan 20 tahun terbakar hampir keseluruhan badan dipercayai disimbah cecair mudah terbakar oleh penyerangnya sebelum ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di hadapan sebuah rumah di Jalan Raja Syed Alwi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, remaja berusia 17 tahun itu parah apabila hampir 70 peratus badannya melecur, manakala rakannya 30 peratus melecur di belakang badan dan kaki.

Polis turut menemui motosikal Modenas yang hangus terbakar dipercayai digunakan mangsa serta kereta Toyota SE dengan bahagian enjinnya terbakar.

Sumber berkata, kejadian membakar hidup-hidup itu menarik perhatian penduduk Perlis kerana ia tidak pernah berlaku apatah lagi ada di kalangan orang ramai bertindak menokok tambah kes berkenaan.

"Serah kepada polis untuk menyelesaikannya dan kejadian sebenar akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintenden Nashir Ya, yang enggan mengulas lanjut kes berkenaan berkata, pihaknya belum mengambil keterangan daripada kedua-dua remaja berkenaan.

Katanya, remaja berusia 17 tahun yang melecur keseluruhan badan masih dalam keadaan kritikal.

P/s: Orang kata" Jahat dibalas jahat!"

Menantu Lahanat!

Posted: 18 Jan 2011 05:00 PM PST


Saya petik:
[HM] KUALA LUMPUR: Bukan sekadar cermin dua kereta dipecahkan, malah bapa mentua dan adik ipar sendiri turut dicederakan seorang lelaki yang naik angin selepas isterinya tidak mahu pulang ke rumah kerana menghadiri majlis pertunangan adiknya. 
Kejadian berlaku di rumah bapa mentua terbabit di Jinjang di sini, malam Ahad lalu, selepas dia yang berusia 50-an campur tangan untuk meredakan kemarahan menantunya yang berusia 30-an.

Sumber polis berkata, selepas mengamuk dan memecahkan cermin dua kereta di rumah bapa mentuanya, menantu berkenaan meninggalkan tempat kejadian selepas ditenangkan bapa mentuanya.

Namun, kemarahannya nyata belum reda apabila dia menghubungi adik iparnya yang berusia awal 20-an kira-kira jam 10 malam kononnya mahu berjumpa bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

"Adik iparnya yang ditemani dua rakan berusia awal 20-an serta bapanya pergi menemui suspek di sebuah restoran berhampiran kawasan perumahan mereka.

"Bagaimanapun, semua mereka tiba-tiba diserang sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali bersenjatakan kayu dan besi dipercayai rakan suspek," katanya.


Sumber itu berkata, walaupun dapat melarikan diri, dua daripada empat mangsa termasuk bapa mentua suspek cedera pada tangan dan badan.

"Keempat-empat mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang. Dua daripada mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, semua kejadian itu berpunca daripada sikap baran suspek.

"Suspek berang apabila isterinya enggan patuh kepada arahannya supaya pulang ke rumah sebaliknya terus menghadiri majlis pertunangan adiknya," katanya.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berkahwin dua tahun lalu memang mengalami masalah rumah tangga kerana sering bertengkar.

Sumber itu berkata, suspek bagaimanapun ditahan berhampiran kawasan rumahnya kira-kira jam 11 malam kelmarin, namun rakannya yang lain masih dikesan.

Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. -Mohd Firdaus Ibrahim

Luahan Hati Penulis "INTERLOK"

Posted: 18 Jan 2011 04:00 PM PST


Saya petik:

[Mstar] "BACA secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis," demikian pesan berulang-ulang kali Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, 91, kepada penulis sepanjang perbualan berhubung kontroversi yang menyelubungi novelnya Interlok di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagi Abdullah, polemik yang tidak berkesudahan mengenai novel Interlok yang dihasilkannya 40 tahun lalu berpunca daripada sikap prejudis segelintir pihak yang tidak cuba memahami intipati sebenar karya itu.

Menurut Abdullah, menerusi Interlok beliau hanya menggambarkan bagaimana wujudnya penyatuan di kalangan penduduk peribumi Tanah Melayu iaitu orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris sebagai pekerja buruh di lombong bijih timah dan ladang getah.

"Tak rasis, saya cerita tentang penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

"Hubungan mereka dan penyatuan pada ketika itu yang membawa kepada wujudnya sebuah negara," katanya penuh bersemangat berkongsi mengenai niatnya yang disalahertikan.

Secara keseluruhannya menerusi Interlok, Abdullah secara halus memaparkan titik tolak bermulanya hubungan antara kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.

Sasterawan Negera kelapan itu juga berjaya memecahkan tembok pemisah antara ketiga-tiga kaum ini yang dirancang Inggeris menerusi dasar pecah dan perintah sama ada dari segi hubungan sosial mahupun ekonomi.

Namun setelah puluhan tahun novel berkenaan dihasilkan, ia kini secara tiba-tiba menjadi isu hangat bukan sahaja di kalangan peminat karya sastera, malah menembusi pelbagai lapisan dan golongan masyarakat.

Kontroversi mengenainya tercetus apabila wujudnya desakan pihak tertentu yang cuba menafikan sejarah, mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Malah kira-kira 100 orang kaum India bertindak melampau membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mengandungi unsur rasis yang menghina kaum itu.

Rupa bangsa
Sungguhpun berada dalam keuzuran, Abdullah yang kini bergerak menggunakan kerusi roda tetap tegas mempertahankan niat murninya iaitu mengangkat sumbangan ketiga-tiga kaum tersebut.

Jelasnya semangat muhibah masyarakat Melayu, Cina dan India pada ketika itu menjadi penyumbang kepada pembentukan 'rupa bangsa' Malaysia pada ketika ini.

"Kalau sudah baca sampai habis, pasti nampak maksud sebenar. Saya gambarkan orang Melayu, Cina dan India ada peranan masing-masing.

"Sebenarnya tiga bangsa yang bersatu inilah yang membentuk rupa kebangsaan kita... bangsa Malaysia," ujarnya yang masih petah berbicara sungguhpun mengalami masalah pendengaran.

Terang Abdullah lagi, beliau faham mengapa masyarakat India begitu marah mengenai karya sastera berkenaan.

Namun jelasnya perkataan 'paria' yang terdapat dalam novel tersebut bukan bertujuan menghina atau memperkecilkan kaum India.

"Kena faham betul-betul, 'paria' memang ada di India, tapi di Malaysia tak ada... itu bezanya antara di India dan Malaysia.

"Lagipun perkataan itu wujud dalam kamus, tapi orang India di sini mula lupakan mengenai pegangan sistem kasta seperti 'paria'," jelasnya.

Legasi perjuangan sosial
Bagi Abdullah, sebagai seorang penulis, beliau mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam membentuk pemikiran masyarakat menerusi nukilan karya-karyanya.

Justeru, novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merupakan salah satu sumbangannya dari perspektif pembangunan sosial masyarakat.

Menurut Abdullah sekiranya novel berkenaan tetap diangkat menjadi bahan Komsas pelajar sekolah, legasi perjuangannya akan diteruskan oleh golongan pendidik hari ini.

"Guru boleh mainkan peranan mereka, boleh terangkan kepada pelajar mengenai penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

"Soal hubungan penyatuan ini mesti selalu diingatkan supaya kita boleh terus hidup dengan baik," pesannya.
Bagaimanapun seakan sudah pasrah dengan apa yang berlaku, Abdullah menyerahkan nasib karyanya itu kepada Kabinet untuk membuat kata putus.

"Biarlah Kabinet yang tentukan, tunggu apa keputusan mereka," katanya ringkas.

Ditanya mengenai perasaannya tatkala karyanya kini menjadi mangsa prasangka, beliau termenung sejenak.
Walaupun tanpa linangan air mata, namun dari mata dan raut wajahnya tersembunyi perasaan sedih dan remuk lebih-lebih lagi dituduh sebagai seorang rasis.

"Saya sedih, saya kecewa sebab orang tak faham (intipati) Interlok.

"Orang salah faham maksud saya, saya tak hina orang India... bacalah Interlok sampai habis, baca betul-betul," katanya mengakhiri perbualan sambil mengalihkan kerusi rodanya masuk ke dalam bilik.


Karya ilmiah
Sepanjang perbualan penulis bersama Abdullah, beliau sentiasa ditemani isterinya, Datin Siti Soraya Basri, 65.

Menurut Siti Soraya, beberapa tahun dahulu Abdullah pernah memberitahunya bahawa sejak dari awal beliau berharap novel Interlok dijadikan bahan rujukan ilmiah.

Katanya, Abdullah menghasilkan novel berkenaan dengan harapan ia dapat dijadikan rujukan untuk pembangunan sosial masyarakat.

"Beliau beritahu saya bahawa Interlok ditulis dengan penuh berhati-hati serta kesungguhan kerana sejak dari awal beliau mahu novel itu dijadikan rujukan masyarakat hari ini dan akan datang.

"Jadi apabila pihak Kementerian Pelajaran putuskan bahawa Interlok akan dijadikan buku teks sekolah, suami saya sangat bersyukur kerana niat yang dipendamnya selama ini menjadi kenyataan," katanya yang masih aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut Exco Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia itu, beliau bersyukur kerana suaminya diberikan ketabahan oleh Allah untuk mengharungi situasi ini.

Bangga
Jauh di sudut hati, penulis begitu bangga dan kagum dengan semangat Abdullah berdasarkan keadaan kesihatannya ketika ini kerana walaupun hanya boleh membaca soalan-soalan yang ditulis kepadanya, Abdullah tetap bersemangat memberi penjelasan mengenai karyanya itu.

Jika dihayati novel Interlok dengan berlapang dada dan rasional, jelas sekali ia sebenarnya sarat dengan mesej hubungan sosial yang tinggi terutamanya bagi mengingatkan masyarakat hari ini mengenai asas hubungan antara kaum di Malaysia.

Asas kehidupan bertolak ansur dan tolong menolong inilah yang menjadi ramuan penting terhadap keharmonian antara semua masyarakat berbilang kaum di negara ini. - Affifudin Ishak

Tiada ulasan: