| Mangsa rogol rayu identiti tidak didedah Posted: 03 Jan 2011 07:28 AM PST  MALAYSIA KINI NGO Indonesia yang memperjuangkan kes dakwaan rogol oleh seorang menteri kabinet semasa pentadbiran mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata mangsa dan keluarganya merayu agar identiti mereka dirahsiakan. Ini kerana mereka bimbang impak skandal itu ke atas mereka dan kemungkinan menteri berkenaan yang kini berkhidmat di bawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mempunyai kesan kepada mereka meskipun berada di Indonesia.  Menurut sepucuk surat yang didakwa ditulis oleh adik perempuan mangsa - yang disiarkan di beberapa blog - dan dihantar ke kedutaan Indonesia dan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, kejadian rogol itu terus dirahsiakan kerana "menteri berkenaan mempunyai banyak wang dan kenalan di Indonesia." "Adalah dikhuatiri sesuatu akan berlaku kepada keluarga dan kakak saya seperti yang berlaku dalam kes Altantuya di Malaysia," petik surat yang ditulis pada pertengahan 2007 itu yang merujuk kepada pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Ketika dihubungi ketika itu, pengarah Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Anis Hidayah memberitahu Malaysiakini mereka tidak boleh menghebahkan kes itu kerana mangsa dan keluarganya- meskipun telah menjalani sesi kaunseling - menolak untuk membuat kenyataan umum dan mengheret menteri berkenaan ke mahkamah. Isu yang tertersorok selama tiga tahun itu muncul semula di alam siber sejak beberapa minggu lalu apabila ia dikatakan didedah oleh laman WikiLeaks. Ketua pengarang The Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan juga menulis mengenai pendedahan WikiLeak dalam blog Rocky Bru kelolaannya. Menurut beliau Pejabat Perdana Menteri yang ketika itu di bawah Abdullah juga menerima laporan berkenaan. Pada 27 Disember 2009, kumpulan pelindung pendatang asing, Tenaganita mendesak kejadian rogol yang didakwa berlaku pada 19 Jun 2007 itu disiasat. Pada laporan bertarikh Ogos 2007, Anis berkata perjumpaannya dengan mangsa berkenaan pada 24 Julai tahun yang sama di rumah mangsa di Madukara, Banjarnegara Jawa Tengah untuk mendapatkan maklumat. Setelah dipujuk, mangsa berkenaan yang telah bekerja selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada menteri berkenaan, akhirnya mengakui majikannya itu telah merogolnya. Mangsa bagaimanapun merayu kepada Anis dan dua aktivis Migrant Care supaya kes perogolannya tidak dihebahkan kerana "bimbang malu ke atas dirinya, keluarga dan juga masyarakat di kampung mereka." Katanya, "beliau hanya orang kecil berbanding (menteri itu) adalah orang besar, jadi beliau amat takut dan meminta kes rogol itu ditutup," petik laporan Anis. |
| Ada perkara dibincang dengan PM Posted: 03 Jan 2011 07:25 AM PST Rizal Tahir
| | KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana demi menjaga peraturan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap pemimpin. Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 25 Disember lalu. Ketika ditanya adakah sebarang perkara telah dibincangkan antara pemimpin tertinggi negara itu, Tuan Guru juga turut mengakuinya. "Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan Perdana Menteri untuk bersembang biasa. "Bagaimanapun kerana ianya pertemuan tertutup, jadi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum, itu salah dari segi peraturannya," ujarnya selepas meraikan Wira Negara di Kampung Cherang, dekat sini tengah hari tadi.(gambar) Ketika ditanya adakah pertemuan itu turut mensentuh soal royalti, beliau juga enggan mengulas lanjut. "Saya tak boleh sebut apa-apalah sebab ianya tertutup," ujarnya. |
|
| Sultan belum perkenan, Selangor tidak rai SUK Posted: 03 Jan 2011 07:21 AM PST | Harakahdaily | | SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco, di Pusat Media di Tingkat 20, Bangunan SUK dekat sini. Dalam sidang media itu, Khalid berkata, Sultan Selangor belum perkenan cadangan Suruhanjaya Perkhdimatan Awam (SPA) mengenai pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) yang baharu. Menurutnya, beliau telah menghadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan SUK dan Sultan telah berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak mana-mana calon cadangan SPA.
"Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.
"DYMM Sultan mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik," tegas Abdul Khalid sambil menyanjung kasih atas nasihat baginda.
Dengan itu, jelasnya, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan mengisi jawatan tersebut.
Tegasnya, sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tiak mahu terlibat di dalam bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan SUK.
"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin tidak akan hadir pada sebarang mesyuarat Exco dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor sebagai ex-officio.
"Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mencadangkan Datuk Speaker mengadakan sidang DUN tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Slangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang kepada Sultan dan Menteri Besar," tambahnya. MB tidak mahu jumpa
Sementara itu, dalam sidang medianya pula (gambar), Khusrin berkata, beliau cuba untuk berjumpa dengan Menteri Besar namun tidak dapat.
Setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Datuk Mohd Khusrin Munawi gagal mendapatkan temujanji bagi berjumpa dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung upacara angkat sumpah jawatannya.
Upacara itu perlu diadakan sebelum beliau boleh menjalankan tugas-tugasnya termasuk mengambil bahagian pada mesyuarat dewan undangan negeri dan tugas ex-officio yang lain.
"Saya telah menulis (kepada Khalid) hari ini, dan juga cuba bercakap dengan setiausaha sulitnya tetapi belum mendapat respon," katanya kepada wartawan pada sidang media di pejabat barunya di bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Sham Alam.
Meskipun dijangka tidak akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat ini, Khusrin berkata beliau masih boleh menjalankan tugas-tugas termasuk membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, sumber manusia dan perkara-perkara merancang.
Sambil menyifatkan perkara itu sebagai cabaran besar sepanjang 24 tahun berkhidmat di Selangor, beliau menegaskan tidak mempunyai masalah dan ia juga tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai penjawat awam.
''Saya maklum yang Menteri Besar akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan selagi saya tidak diarah balik ke Kerajaan Persekutuan, saya akan jalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Saya juga telah memohon untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar melalui surat pagi ini, tetapi masih belum ada jawapan,'' katanya..
Berikut kenyataan penuh MB Selangor Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan. DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda. Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut. Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri. Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato' Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato' Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar. TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM, DATO' MENTERI BESAR SELANGOR |
|
| Persoal wanita bersalin: Pemuda Gerakan didesak pohon maaf Posted: 03 Jan 2011 07:19 AM PST | Harakahdaily | | KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang melemparkan satu soalan yang bersifat diskriminasi terhadap semua warga wanita apabila beliau mempersoalkan kemampuan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh untuk berkhidmat ketika cuti bersalinnya.
Setelah mendapat berita bahawa Hannah telah masuk bulan ke empat menggandung anak pertamanya, Tan melemparkan satu soalan berat di Twitter, di mana beliau bertanya sama ada seseorang itu akan memilih Jessica Lai, pemimpin Beliawanis MCA atau Hannah yang akan cuti bersalin tidak berapa lama lagi.
"Saya membayangkan bahawa saudari mungkin tidak dapat untuk berkhidmat di kawasan saudari ketika cuti bersalin, di mana saudara berhak. Walau macammanapun, tahniah atas kehadiran anak saudari," jawab Tan ketika disoal Hannah mengenai maksud sebenar kenyataannya.
Namun, jawapan Tan tidak disenangi para pengikut Twitternya sendiri, dengan ada yang memberikan komen bahawa Tan telah melampaui batas mempersoalkan kemampuan wanita ketika cuti bersalin.
"Salam Tuan Tan, saya rasa saudara telah melampaui batas. Kita hanya manusia dan hanya boleh melakukan yang terbaik," kata Benny Paul dalam mempertahankan Hannah.
"Mungkin semua pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung untuk 5 tahun," kritik satu lagi pengikut Tan yang bernama Hoong Ling.
Akibat desakan bertubi-tubi, Tan akhirnya terpaksa mengeluarkan satu kenyataan penafian.
"Saya tak pernah kata seorang pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung atau mengambil cuti bersalin. Saya hanya memberikan fakta kepada rakyat untuk memilih. Adakah salah untuk memberitahu bahawa seseorang akan pergi cuti bersalin?
"Hanya persepsi anda terhadap kenyataan saya yang membingungkan," jelas Tan.
Kenyataan Tan itu dibalas dengan penuh keyakinan oleh Hannah yang mengatakan bahawa beliau boleh bertugas jauh lebih rajin daripada sesetengah Ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun beliau sedang cuti bersalin.
"Saya berharap orang macam saudara tidak akan menjadi menteri satu hari nanti," bidas Hannah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mengikuti perkembangan di Twitter tersebut, hari ini mengeluarkan satu kenyataan menuntut Tan untuk meminta maaf kepada Hannah dan kaum hawa atas kenyataan sinis dan merendahkan martabatkan wanita.
"Beliau kena ingat kaum hawa merangkumi 49 peratus penduduk Malaysia. Jika benar beliau berhasrat menjadi seorang pemimpin yang dipilih rakyat, beliau mesti mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada konsistuen lelaki dan perempuan tanpa prejudis.
"Saya menyeru Tan untuk meminta maaf pada Hannah dan semua kaum hawa atas kejahilan beliau dan mendidik dirinya tentang kesamaan gender," bidas Teresa.
| |
| Projek tebatan banjir sudah 10 tahun berlalu Posted: 03 Jan 2011 07:17 AM PST Harakahdaily
| | RANTAU PANJANG: Projek tebatan banjir yang membabitkan kos sehingga RM2 bilion kini dicanang kembali selepas projek diuar-uarkan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi kenyataan. Ketika merasmikan jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong, Pasir Mas kira-kira 10 tahun lalu Dr Mahathir sebagai perdana menteri mengumumkan kerajaan pusat akan membina projek tebatan banjir RM2 bilion di Kelantan. Ketika itu lakaran projek RM2 bilion diedar kepada orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan. Dan selepas kira-kira 10 tahun berlalu, projek tersebut difahamkan tidak disenarai dalam rancangan pembangunan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-8, RMK-9 atau RMK-10. Namun semalam projek itu diuar-uarkan kembali. Kali ini disebut pula Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika melawat mangsa banjir di sini. Bagaimanapun beliau mengakui projek itu tidak dimasukkan dalam RMK-11 kecuali dalam jumlah yang kecil sahaja. Mengulas isu berkenaan, Adun Gual Periuk, Mohamad Awang berkata, cadangan membina tebatan banjir sudah lama diuar-uarkan, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang. "Malah pengakuan menteri tiada peruntukan bagi membina projek berkenaan menggambarkan tiada kesungguhan kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah banjir di sini. "Sedangkan di sebelah Thailand benteng bagi mencegah banjir sudah lama dibina. Sebab itu setiap kali hujan lebat di negara jiran, air mudah melimpah di sebelah Rantau Panjang," katanya di sini. Sebelum ini seramai 494 penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang berpindah ekoran banjir yang berlaku Sabtu lalu. Mangsa banjir yang tinggal di sekitar kedai lama Rantau Panjang berpindah ke stesen kereta api. Mohamad juga berkata, banjir mudah melimpah di kawasan berkenaan kerana sebuah jabatan kerajaan membina pusat kuarantin sehingga menimbuskan laluan air di kawasan terbabit. "Sebelum ini pada mesyuarat pembangunan di peringkat jajahan Pasir Mas saya sudah bangkitkan perkara itu, namun pembinaan pusat kuarantin diteruskan juga tanpa ada sistem saluran yang sesuai. "Sepatutnya pembentungan lebih besar dibina bagi mengelakkan air bertakung sehingga menyebabkan banjir," ujarnya. Beliau juga berkata, mangsa banjir yang berpindah mendapat bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurutnya penghulu ditugas memantau mangsa banjir bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang disediakan. Bagaimanapun kata beliau mangsa hanya berada di pusat pemindahan satu malam sahaja dan pulang ke rumah selepas air surut. Sementara itu anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof bertungkus lumus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang tidak berpindah. |
|
| Tegas kawal harga minyak masak, elak disorok Posted: 03 Jan 2011 07:09 AM PST Hazayani Zakaria
| | KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga minyak masak tahun ini bagi mengelakkan berlakunya perbuatan menyorok barang kawalan itu. Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, selagi kerajaan tidak mengeluarkan satu kenyataan yang tegas, spekulasi kenaikan harga akan terus berlaku dan peniaga akan terus menyoroknya manakala pengguna pula membuat pembelian panik. "Sehingga hari ini kabinet belum buat keputusan lagi sama ada nak naikkan harga (minyak masak) ataupun tidak. "Jadi kalau ada khabar angin kenaikan harga ini, memang munasabahlah. Ini akan menimbulkan suasana kenaikan harga barang. "Saya harap kerajaan bertegas mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menaikkan harga minyak masak dalam tempoh setahun ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehabisan bekalan minyak masak di Lembah Klang dan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak seminggu lalu. Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut berkata, pengumuman kerajaan akan melegakan semua pihak dan peniaga tidak boleh mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang. "Pengumuman kerajaan paling tidak akan melegakan rakyat dan menolak sebarang khabar angin dan juga hasrat mana-mana pihak untuk menaikkan harga barang," katanya. Menurutnya juga, bekalan minyak masak dalam negara tidak akan habis kerana Malaysia merupakan negara pengeluar utama minyak. "Bekalan tak habis, tapi ada pihak yang mengambil kesempatan berpunca daripada khabar angin dan ketidaktegasan kerajaan menangani situasi ini," katanya. Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50). Terdapat peniaga yang menyorok bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga akan naik sebanyak 40 sen sekilogram. Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini. Timbalan menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai. Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan. |
|
| BN GAGAL TUNAI JANJI PRU-12 Posted: 03 Jan 2011 07:01 AM PST Oleh: MAIL MATHEW
KERAJAAN Barisan Nasional (BN) terutama sekali para wakil rakyatnya digesa agar bertanggung jawab terhadap pelbagai janji pembangunan yang pernah mereka janjikan kepada rakyat di sesuatu kawasan ketika mereka berkempen dalam pilihanraya umum kali ke-12 lalu seterusnya mengambil langkah langkah serius untuk menunaikan janji mereka itu sebelum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar untuk PRU13 sepertimana yang diwar-warkan ketika ini.
Gesaan tersebut dinyatakan Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah ketika memberitahu Sabahkini.net sempena majlis rumah terbuka Krismas di kediamannya di Taman Tensan, Tenom, baru-baru ini.
"Kita juga gembira apabila jambatan Binaie sedang dalam pembinaan ketika ini walaupun kita hampir kecewa kerana janji pembinaan sudah tersasar lebih tiga tahun. Bagaimana pun kita berharap agar janji pembinaan pekan kecil Melalap dapat direalisasikan dalam tahun 2011 ini juga," kata Jimmy.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa janji-janji pembangunan pesat Koridor Pembangunan Sabah (SDC) khususnya di wilayah tengah yang menfokuskan kawasan pedalaman meskipun perancangan dalam kertas SDC memang baik malah ia dilihat sebagai satu anjakan ekonomi kawasan pedalaman namun persoalannya bilakah ia mula dilaksanakan.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC Tenom turut menegaskan bahawa selain mereka (BN) pernah menjanjikan pembangunan bersaiz besar akan dilaksanakan namun pembangunan kecil-kecilan terutama sekali pembangunan infrastruktur yang dimusnahkan oleh bencana alam sekitar 2008, 2009 dan awal 2010 masih belum dibaiki lagi.
"Kita bersimpati bila rakyat meluahkan perasaan mereka kerana seolah-olah mereka dianaktirikan dari segi pembangunan. Sebagai contohnya, rumah kebudayaan yang ada di antaranya, atap bumbung diterbangkan oleh angin kencang dan tidak kurang juga ada yang hampir roboh tetapi terus terbiar walaupun JKKK di situ berulangkali meminta peruntukkan pembaikan," tegas beliau.
Dalam pada itu, Jimmy menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk memperkecil- kecilkan kewibawaan kerajaan BN dalam mentadbir negeri ini dan seterusnya kebertanggungjawaban pembangunan di seluruh kawasan, tetapi janji mereka mendahulukan rakyat sudah tidak bermakna lagi jika rakyat terus dikebelakangkan dalam serba-serbinya.
"Saya berani berkata semua itu kerana rakyat sering mengadu kepada saya sama ada secara lisan atau 'SMS' berhubung perkara perkara kepalsuan janji mereka sedangkan mereka adalah kerajaan yang bertanggung jawab soal pembangunan," tambahnya lagi. |
| Kita Yang Senantisa Dalam Krisis Perlembagaan Posted: 03 Jan 2011 06:56 AM PST MSO
SUKA atau tidak Mohd Khusrin Munawi pagi ini sudah masuk pejabat dan bersandar di kerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang baru. Kemasukannya tidak dihalang oleh sesiapa. Dengan membawa surat perlantikan ditanda tangani KSN, Sidik Hassan beliau masuk ke SUK dengan tenang dan bergaya tanpa sedikit keraguan.
Beliau tidak merasai ragu-ragu dengan kuasa surat berkenaan. Apa lagi beliau melangkah masuk dengan keyakinan Sultan Selangor telah memberi perkenan kepadanya.
Dia tidak kisah apakah perkenan Sultan itu menurut perlembagan atau tidak. Yang penting Sultan telah merestuinya. Siapa lagi yang lebih besar dari Sultan di Selangor kalau bukan Sultan?
Kusrin juga tidak kisah sama ada Khalid Ibrahim sedia menerima kedatangannya dan mendengar lapaz memegang jawatan. Khusrin boleh saja lafaz sumpah jawatan di hadapan Sultan. Kalau pun seribu kali perbuatan itu bercanggah dan luar biasa, siapa yang berani nak 'murkah'kan kepada Sultan?
Khalid nak marahkan Sulatan? Apakah kata kalau di masa akan datang Sultan enggan menerima Khalid untuk jadi MB atau mana-mana calon dari PKR atau Pas untuk jadi menteri besar kalau tertakdir Pakatan Rakyat menang. Bukankah kalut namanya. Kekuataan Sultan terletak di sini maka baginda boleh melakukan apa saja yang dia suka, kecuali pinda perlembagaan tubuh kerajaan Selangor.
Wal hasil balik asal apa yang dilaungkan sia-sia saja. Katalah apa pun orang tidak akan peduli. Ahli undang-undang bercakap menggunakan logik dan kuasa undang-undang. Malangnya undang-undang negara ini tidak siapa hormati lagi. Ada setengah undang-undang dan perkara dalam perlembagaan hanya untuk dibaca bukan untuk dipraktikkan.
Ahli perlembagaan bercakap berdasarkan laras perlembagaan. Cakaplah sampai berbueh mulut sampai air liur meleleh ke dagu. Siapa hendak hormat undang-undang dan perlembagaan. Undang-undang dan berperlembangaan hanya berlaku ke atas rakyat yang lemah saja tetapi perlembagaan boleh dibongkar dan dirogol kemudian dibunuh begitu saja oleh orang atas.
Sebaiknya rakyat yang lemah seperti menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim tidak usah cakap apa. Ikut saja apa yang berlaku. Kadang-kadang kita lebih baik jadi bodoh daripada jadi cerdik kalau dengan kecerdikan itu menimbulkan masalah.
Jadi macam Kusrin Munawi. Kalau dia ada maruah dia tidak akan masuk ke SUK hari ini sebab dia tahu kemasukannya itu tidak diterima oleh MB. Tetapi kerana dia boleh jadikan dirinya seperti lembu kenyang dia masuk juga. Itulah kadang-kala lebih baik jadi macam lembu kenyang dripada jadi macam harimau yang lapar.
Khusrin berada di dua persimpangan yang sukar untuk beliau pilihkan. Apakah dia harus hormati perlembagaan dan prosuder biasa ataupun hormati kepada Sultan?
Sebenarnya apa yang berlaku di negara kita mengenai hal ini - antara undang-undang, perlembagaan dan kuasa yang lahir secara lisan dan budaya berada dalam dilema. Kita bermasalah di dalam hal ini. Kita tidak tahu ke mana satu yang hendak kita pegangi. Kita hilang pendirian dan prinsip.
Situasi inilah menyebabkan kita senantiasa berada dalam krisis undang-undang. Keadaan ini sebenarnya sungguh merbahaya. Kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang tidak konssiten dalam berpegang kepada undang-undang dan adat. Orang juga bingung mana lebih berkuasa atau besar antara adat dan undang-undang dan perlembagaan.
Lebih bingung lagi dan orang akan anggap kita bahalul apabila membuat sesuatu keputusan dan ketetapan kemudian kita langgar begitu saja. Ciri-ciri dan sikap ini menyebabkan kita jadi bangsa yang merangkak ke belakang dalam menuju ketamdunan manusia.
Bertolak dari hakikat ini sesetengah ahli perlembagaan menyarankan agar perlembagaan kita dilemparkan saja kerana ia tidak ada guna dijunjung sebab ia tidak dipatuhi. Kita boleh melanggar perlembagaan seperti lembu kerbau melanggar pagar begitu saja untuk makan padi.
Apakah kita rakyat yang seperti lembu? Sebab itu saya bilang lama dulu bangsa Melayu adalah bangsa separuh masak dan separuh tamadun. Bangsa yang seperti ini akan bermasalah sepanjang zaman dalam apa juga keadaan. |
| Subky sertai majlis peringati Fan Yew Teng 5 Jan Posted: 02 Jan 2011 10:15 PM PST Harakahdaily
| | KUALA LUMPUR: Kolumnis Harakahdaily, Haji Subky Latif adalah antara tetamu yang bakal menyertai malam memperingati bekas pemimpin kanan DAP Fan Yew Teng Rabu 5 Januari ini di Dewan YMCA Brickfield dekat sini.
Turut serta adalah isteri Fan Yew Teng sendiri, Dr. Noeleen Heyser, Penolong Setiausaha Agung dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangasa Bersatu (PBB) untuk Asia dan Pasific.
Di samping itu, dua anak mereka iaitu Lilianne dan Pauline serta abangnya bekas MP Sungai Besi, Farn Seong Than dan ahli keluarga yang lain akan turut serta.
Di samping mereka, akan bersama dalam majlis ini adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr. Chen Man Hin, Dr. Syed Husin Ali, Dr. Muhammad Nur Manuty, S. Arutchelvan, Mohd Anuar Tahir dan A. Rajaguru.
Fan Yew Teng meninggal di Bangkok pada 7 Disember lepas selepas diserang Kanser.
Beliau adalah kolumnis tetap Harakah English section sejak akhir tahun 1990an. Beliau adalah antara mangsa awal Akta Hasutan yang menyebabkannya hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen apabila didapati bersalah.
Semasa Lim Kit Siang ditahan di bawah ISA pada tahun 1969, dilantik sebagai pemangku Setiausaha Agung DAP. |
|
| Debat: Pemuda Umno Larut penakut Posted: 02 Jan 2011 10:14 PM PST Nazri Abdullah
| | KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Larut Nazri Din menyelar tindakan Ketua Pemuda Umno bahagian yang mungkir janji untuk berdebat isu Melayu Islam.
Beliau yang kecewa dengan ketidakhadiran Mohamad Anuar Arifin pada debat yang dijadual malam semalam mendakwa, pemuda Umno penakut dan hanya pandai bermain wayang. "Pemuda Umno dilihat cuba bermain wayang apabila satu persatu alasan diberikan untuk mengelak dari menyertai debat dan itu sudah disyaki sedari awal lagi.
"Buktinya sehingga tepat hari dan masa yang dijanjikan untuk berdebat, pemuda Umno masih lagi menyorokkan diri disebabkan takut untuk berdepan dengan pemuda PAS di pentas debat," kata Nazri kepada Harakahdaily.
Beliau menyatakan, Debat itu pada asalnya dicetuskan Pemuda Umno Larut sendiri yang mencabar Pemuda PAS Larut dan kemudiaannya dipersetujui bersama dengan tajuk 'Islam dan Melayu'.
Inisiatif penganjuran debat itu kemudiannya disambut oleh sebuah badan NGO dari Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) yang bersedia menjadi penganjur debat itu.
Nazri turut mendakwa pihaknya mendapat maklumat pemuda Umno Larut mendapat tekanan dari pemimpin tertinggi Umno agar membatalkan debat tersebut kerana dibimbangi rahsia penyelewengan dan kezaliman mereka terhadap rakyat terbongkar.
"Jika ketua pemuda umno Larut tidak mampu berdepan dengan pemuda PAS Larut, saya mencabar supaya Umno menghantar Ketua Umno bahagian, Raja Ahmad Zainuddin bertemu dengan pemuda PAS Larut dipentas perdebatan," cabarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa, pihak pemuda PAS Larut sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan siapa sahaja pimpinan Umno sama ada pimpinan dari peringkat bahagian atau negeri asalkan debat yang dicanang selama ini dapat direalisasikan.
Tambahnya, jika Pemuda Umno berani mereka sepatutnya tidak memberikan alasan untuk mengelak dari menyertai debat ini, sebaliknya mengotakan janjinya dan tampil ke pentas debat untuk menyatakan hujah mereka, bukannya bercakap diluar gelanggang sahaja.
Debat itu sepatutnya mempertemukan Nazri Din dan Mohamad Anuar dengan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid akan menjadi perantara majlis.
Naib Ketua Pemuda PAS kawasan itu, Akmal Kamarudin sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan terhadap sikap berdolak dalih pemuda Umno yang dari awal mencipta pelbagai alasan.
Ekoran sikap dolak dalih itu juga, tempat asal program terpaksa ditukar ke Dewan Serbaguna Majlis Bandar Selama.
Difahamkan lebih 200 orang ramai hadir bagi menyaksikan debat tersebut, namun akhirnya pulang kecewa akibat sikap ketua pemudaa Umno Larut yang tidak hadir pada program tersebut. |
|
| Kenapa SPRM belum heret Ali Rustam Posted: 02 Jan 2011 10:11 PM PST Ahmad Danial
| | ALOR GAJAH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Ini berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang dipengerusikan beliau. Adly kesal kerana sehingga ini, SPRM masih gagal menyiasat dan mengheret Ketua Menteri Melaka itu ke muka pengadilan walaupun bukti-bukti sudah terbentang di hadapan mata tentang salah laku dan penyelewengan Maim dan agensi-agensi lain. Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina kompleks MAIM menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat. Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN yang diketuai Mohd Ali sehingga menyebabkan tanah milik MAIM terlepas kepada pihak ketiga. Katanya, kerajaan Melaka melalui Maim juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004. Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83. Adly mendedahkan, Maim telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002. "RMSB dikehendaki membina Kompleks Maim di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta. "Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan MAIM akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks Maim selesai," tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com. Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006. RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta. Mais, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, di samping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106. "Sikap kerajaan Umno BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam. "PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan kemuka pengadilan," tegas Adly. Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus 'Negeri Maju'. Beliau berkata nilaian tanah milik Maim telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008. "Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian kompleks perniagaan Maim, yang disewakan kepada Jaim. "Selain itu Maim juga gagal mendaftar sebanyak 20% dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan," jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah. Menurutnya, kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal serta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya. |
|
| Tenang: Jentera PAS perlu berakhlak, bermaklumat Posted: 02 Jan 2011 10:10 PM PST Hazayani Zakaria
| | LABIS: Jentera PAS diingatkan agar tidak menjadi agen penyebar fitnah sewaktu menyampaikan maklumat kepada masyarakat khususnya pengundi di Dun Tenang.
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, jentera PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh terikut-ikut dengan cara Umno BN yang gemar menyebarkan fitnah, sebaliknya perlu berhujah menggunakan fakta yang tepat.
"Jangan kita menjadi agen penyebaran fitnah, pastikan apa yang kita cakap itu berdasarkan fakta yang betul. Periksa dahulu fakta, fahami dahulu suasana dan keadaan, kenali masyarakat di hadapan kita sebelum kita menyampaikan sesuatu perkara.
"Jangan terikat dengan fitnah media Umno BN," kata beliau ketika berucap di majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya bagi PRK N. 05 Tenang dekat sini, kelmarin.
Nasharudin juga berkata, sebagai peyokong dan pendokong parti yang memperjuangkan Islam, jentera parti harus menunjukkan akhlak yang baik sewaktu berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai latar belakang.
"Akhlak Islam menjadi teras perjuangan PAS. Kita dekati pengundi dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama lain dan memahami kehendak satu sama lain.
Tambahnya, jentera parti mesti memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah keabikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata.
"Tugas kita ialah tugas politik tapi sebagai parti Islam kita juga merupakan gerakan dakwah yang bertanggungjawab menghimpun manusia untuk melakukan kebaikan.
"Harus difahami, defiinasi politik PAS berteraskan Islam dan jauh berbeza dengan definasi politik yang diamalkan Umno. Kita diajar bahawa politik itu mengajak manusia menjadi baik.
"Jadi dalam pilihan raya kecil ini merupakan peluang yang paling baik untuk kita melakukan perubahan dalam masyarakat dan mengubah pentadbiran negeri dan seterusnya pusat yang sejak sekian lama berada di bawah Umno BN," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera agar berdepan dengan masyarakat di Tenang dengan rasional dan bersiap sedia dengan segala fakta.
"Kita akan berdepan dengan tohmahan Umno yang sudah pun bermula, tapi kalau kalau nama pun sudah tenang sudah tentu tenang hati penduduknya untuk mengundi.
"Kalau nama pun sudah tenang, begitulah tenangnya pemikiran pengundi yang bakal mengundi kita. Tapi mereka tak akan tenang kalau kita tidak lebih tenang daripada mereka.
"Tonjolkan peribadi yang baik untuk kita mengajak mereka ke arah kebaikan. Sekali lagi saya ingatkan, jangan menggunakan fitnah kerana salah satu unsur yang menafikan kemenangan ialah apabila kita melakukan maksiat termasuklah melakukan fitnah," katanya. |
|
| Tiger Show dibiar, pakaian Nie Ching dipersalah Posted: 02 Jan 2011 10:08 PM PST Nazri Abdullah
| | KUALA LUMPUR: PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu pertunjukkan maksiat 'Tiger Show', dalam satu majlis makan malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali melahirkan rasa pelik apabila Umno sangat cepat menyelar cara pemakaian Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel tarian tiger show, Umno seperti tidak peduli.
"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro Umno," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.
Majlis makan malam tersebut didakwa dianjurkan Syarikat Sony dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.
Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa tidak memperdulikan atau bertindak ke atas penganjur majlis makan malam tersebut.
Katanya, majlis tersebut secara jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.
"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.
"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.
Minggu lalu, Harakahdaily telah melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudi Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.
Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.
Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.
Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas Sony sebagai penganjur dan pihak Hotel Marriot sebagai pengendali majlis. |
|
| Kelantan hadiah rumah untuk Khairul Fahmi Posted: 02 Jan 2011 10:06 PM PST Salmah Mat Husain
| | KOTA BHARU: Penjaga gol skuad Harimau Malaya yang berjaya membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki, Khairul Fahmi Che Mat dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini.
Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meraikan kepulangan beliau ke Kelantan di Chabang 4, Cherang dekat sini hari ini.
Bagaimanapun tidak dinyatakan apakah nilai rumah berkenaan. Pengumuman itu dibuat di majlis yang dianjurkan oleh pejabat Anggota Parlimen Kota Bharu dan juga kerajaan negeri Kelantan. Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan pernah menghadiahkan rumah kepada Nik Madihah, pelajar Kelantan yang berjaya menjadi pelajar terbaik Malaysia dalam peperiksaan SPM. Khairul Fahmi berjaya mempertahankan gawang Malaysia dari ditembusi semasa Indonesia bertandang ke Malaysia yang membawa Malaysia menang 3-0 dalam pusingan pertama perlawanan akhir piala itu di Bukit Jalil.
Beliau juga berjaya menjaga gawang Malaysia dengan baik apabila pasukan negara itu berkunjung ke Jakarta termasuk menyekat sepakan penalti oleh Indonesia.
Malaysia menang dengan agregat 4-2 walaupun kalah di Jakarta dengan 2-1.
Media hari ini melaporkan, sebuah laman web menyiarkan berita kononnya Mancester United berminat dengan Khairul Fahmi apabila pengurusnya, Sir Alex Ferguson mengarahkan lamaran ke atas Khairul dibuat selepas dua jam perlawanan akhir di Jakarta itu. |
|
| Bekas GM Sime Darby hadapi dua tuduhan rasuah Posted: 02 Jan 2011 10:05 PM PST THE MALAYSIAN INSIDER
JOHOR BARU — Bekas pengurus besar operasi Sime Darby Engineering Sdn Bhd Md Zaki Othman, 48, menghadapi dua tuduhan rasuah membabitkan RM55,300 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kontrak RM23 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta. Ia kes terbaru membabitkan pegawai-pegawai kanan konglomerat sepanjang dua minggu ini. Pada 24 Disember lalu, Sime Darby dan tiga subsidiarinya memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan dua eksekutifnya memohon ganti rugi sekurang-kurangnya RM92.2 juta kerana pecah amanah dan tanggunggjawab berhubung projek Bakun. Ia merupakan saman kedua difailkan oleh Sime Darby terhadap mereka. |
| Samy mulakan tugas duta khas dengan lawat New Delhi Khamis Posted: 02 Jan 2011 10:02 PM PST BERNAMA KUALA LUMPUR — Datuk Seri S. Samy Vellu, yang menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan pada Sabtu lepas, akan memulakan khidmatnya bermula dengan New Delhi, Khamis ini. Beliau akan mengetuai delegasi 150 kaum India Malaysia untuk menghadiri Pravasi Bharatiya Divas kali kesembilan, satu persidangan tahunan yang menghimpunkan masyarakat berketurunan India dari seluruh dunia, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Samy Vellu di sini hari ini. Bekas menteri kerja raya itu akan mengadakan perbincangan dengan pegawai peringkat tertinggi kerajaan India di luar persidangan empat hari di New Delhi untuk menyediakan asas ke arah membuka lebih banyak peluang untuk diteroka oleh ahli perniagaan Malaysia di India. Persidangan itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh pada Sabtu, akan turut dihadiri oleh menteri-menteri utama Kabinet India, termasuk Menteri Kewangan Pranab Mukherjee serta Menteri Pengangkutan dan Lebuh Raya Kamal Nath, yang bertanggungjawab terhadap projek infrastruktur di India. Bekas presiden MIC, yang meletak jawatan bulan lepas setelah menerajui parti selama 31 tahun, dilantik sebagai Duta Khas Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memanfaatkan pengalaman Samy Vellu dalam mendapatkan projek bernilai berbilion ringgit bagi syarikat dari Malaysia semasa berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya.
|
| SUK baru Khusrin masuk pejabat 6.45 pagi tadi Posted: 02 Jan 2011 10:01 PM PST Oleh Syed Mu'az Syed Putra
 Khusrin di pejabat SUK pagi ini. — Gambar oleh Jack Ooi
SHAH ALAM — Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi. Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah. Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini. "Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi. "Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Namun ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khusrin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen perhubung tugas baru beliau. "Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya kepada wartawan di pejabatnya. Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan. "Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas. "Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar," kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini. Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu. Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan. Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin. Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan |
| Mohamad Sabu bebas tuduhan halang polis Posted: 02 Jan 2011 09:58 PM PST BERNAMA NIBONG TEBAL — Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu dan sembilan rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menghalang tugas penjawat awam tiga tahun lepas. Majistret Mohd Izham Ali ketika menyampaikan keputusan itu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga sebab utama. Katanya tiga sebab itu ialah terdapat keraguan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, percanggahan keterangan dua saksi pendakwa iaitu saksi kesepuluh Supt Mohd Nasir Salleh dan saksi ke-11 Idris Rejap dan tiada keterangan spesifik mengenai tertuduh telah menolak penjawat awam. Sembilan tertuduh yang lain ialah Mohd Binyamin Ishak, 48, Fuadzi Suharat, 48, Md Lazim Osman, 54, Abdul Razak Ramili, 46, Mohd Subri Mohd Said, 46, Zamarul 'Aini Abdul Malik, 40, Zainul Azrun Zainal Abidin, 39, Abdul Rahim Mat Ariff, 62, dan Mohamad Salleh, 51. Mereka dituduh enggan membuka pintu kenderaan dan telah menolak pegawai dan anggota polis dalam menjalankan tugas pada 7.45 malam, 9 Disember 2007 di hadapan Plaza Tol Plus Bukit Tambun (laluan keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Kuala Lumpur-Pulau Pinang). Mereka didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, dibantu oleh Khairul Fairuz Rahman dan Ahmad Razali Muhamad Nazri, manakala Mohamad dan sembilan rakannya diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusof. Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan menganggap ia satu kemenangan dalam menegakkan perjuangan. "Terima kasih atas usaha peguam-peguam kami yang telah bertungkus-lumus mencari bukti dan berhujah membela kami untuk menang dalam kes ini," katanya. Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Mohamad dan rakan-rakan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat. Tahniah kepada barisan peguam yang telah berusaha memastikan kemenangan bermakna ini, katanya. Turut hadir memberi sokongan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti (Tenaga, Air, telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi) negeri Lim Hock Seng.
|
| Isu SUK: Khir Toyo bina acuan bahaya, diulangi KSN Posted: 02 Jan 2011 09:57 PM PST THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR — Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah melanggar Perlembagaan apabila beliau membiarkan diri beliau dibelakangi dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdahulu, kata pejabat Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini. Malah Dr Khir juga telah mengizinkan Ketua Setiausaha Negara melantik Datuk Ramli Mahmud sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa berunding dengan Menteri Besar seperti yang disyaratkan Perlembagaan. Ramli, 56, digantikan oleh bekas pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi yang masuk pejabat pagi tadi. Kelmarin, Dr Khir mendakwa tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat campur tangan dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri dengan mengadakan jawatankuasa pemilihan sebagai langkah yang tidak sah. "Beliau (Dr Khir) telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar," kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin. Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Faekah berkata, kerajaan Selangor enggan meneruskan ketidakpedulian Dr Khir terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan Ketua Setiausaha Negara menyalah guna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. "Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan kebijaksaan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa. "Ini kerana KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar," katanya lagi. Faekah juga berkata, Umno-BN telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1993 tetapi sekarang mereka cuba bersembunyi di sebalik istana untuk meneruskan agenda politik jahat. "Seperti dalam isu-isu lain, Dr Khir tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemu bual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang menekankan pendirian kerajaan pusat bahawa soal pelantikan ketua pegawai perkhidmatan kerajaan negeri adalah prerogatif Ketua Setiausaha Negara. "Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah sah apabila Ketua Setiausaha Negara menyatakan persetujuan," kata Dr Khir kepada The Malaysian Insider kelmarin. Dr Khir juga membidas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana mengadakan proses pemilihan sendiri untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menurutnya ia satu tindakan tidak yang sah. Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat tidak menerima pelantikan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak muktamad. Istana Selangor pula menegaskan pelantikan itu sebagai muktamad dan Khusrin akan mengangkat sumpah pada 6 Januari ini. Dr Khir berkata, majlis angkat sumpah hanya prosedur pentadbiran semata-mata. Faedah menambah kerajaan negeri mahu mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan. "Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. "Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka," katanya lagi. Tegas beliau, hanya kerana kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan sekarang perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan