Selasa, 4 Januari 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Si Bangsat Dari Kulim Menguek Lagi

Posted: 03 Jan 2011 08:30 PM PST

MP Zul Noordin: Ops Gerhana mahu tukar kepimpinan PAS

Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Bharu Zulkifli Noordin mendakwa sudah ada perancangan sulit untuk menukar barisan kepimpinan PAS pada pemilihan Jun ini menerusi usaha dikenali sebagai "Ops Gerhana".

Katanya, kepimpinan golongan ulama yang bertapak sejak lebih tiga dekad lalu hendak ditukar dengan "Kaum Si-Tanggang" – calon-calon yang kononnya dikatakan lebih bersifat moden dan profesional.

Zulkifli (gambar) mengeluarkan pandangan ini ketika terdedah laporan bahawa pemimpin-pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Disember lalu.

Pertemuan itu turut dilaporkan dihadiri Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu di sini.

"Apa yang lebih memeranjatkan teman ialah sudah adanya satu perancangan sulit dibuat untuk menukar saf kepimpinan PAS yang dikuasai oleh para ulama sekarang kepada golongan yang dikenali sebagai "Kaum Si-Tanggang" pada Muktamar Agung PAS Jun 2011 nanti.


"Teman mendapat maklumat satu gerak saraf dan kempen halus sedang dijalankan untuk meletakkan calon-calon yang kononnya dikatakan lebih bersifat moden dan profesional menggantikan kepimpinan "serban jubah" yang kelihatan kolot dan kekampungan; yang jelas bagi para Pak Tanggang ini akan memalukan untuk dibawa bermahkota di Putrajaya nanti," katanya.

Pemilihan dua tahun sekali PAS dikatakan tidak akan ditangguhkan walaupun ada cakap-cakap bahawa pilihan raya umum ke-13 diadakan tahun ini.

Dalam blognya hari ini, bekas ahli PAS dan PKR ini berkata, "bila teman tengok di kalangan pak jangoat di Parlimen pun dah jelas."

"Ramai di kalangan mereka dah malu nak pakai kopiah, walaupun sebelum ditabal sebagai YB kopiah tak lekang dari kepala.

"Hari ni, tinggal beberapa kerat sahaja yang mahu berkopiah, yang lain dah jadi YB Tanggang dah pun," katanya lagi.

Zulkifli yang dipecat PKR awal tahun lalu menambah, dalam perancangan itu, beliau diberitahu bahawa beberapa nama telah disenaraikan untuk menandingi semua jawatan utama termasuk presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden.

"Dan, jawatan setiausaha agung serta bendahari agung juga akan dilantik daripada kalangan kaum tanggang ini. Siapa mereka, insya-Allah tiba masanya akan teman dedahkan.

"Namanya telah pun diberikan kepada teman, cuma teman perlu buat beberapa rujukan dan 'counter check serta double check' sebelum teman dedahkan," katanya.

Wakil rakyat Konsensus Bebas ini berkata, beberapa mesyuarat dan perbincangan sulit telah pun mereka adakan untuk merancang dan melaksanakan konspirasi "Ops Gerhana".

"Jika konspirasi sulit ini berjaya dilaksanakan, teman cukup percaya dan yakin prinsip dan semangat perjuangan PAS akan berubah daripada negara Islam kepada Putrajaya, demi memahkotakan pemimpin yang ditabal oleh bininya sendiri sebagai anugerah tuhan.

"Sebab itu teman namakan konspirasi ini sebagai 'Ops Gerhana', pakatan untuk menggelapkan lambang bulan purnama PAS dengan perjuangan negara Islamnya! Semoga perkara itu tidak terjadi, na'uzubillah," katanya.

Oleh itu tambah beliau, menjadi tanggungjawab semua ahli PAS mengekalkan kepimpinan yang ada, yang bernaung di bawah kepimpinan ulama.

"Saudara-saudari akan diduga dengan habuan dan jawatan, dan mereka yang gelap mata pasti akan tewas," katanya.

Khusrin: 'Hadiah istimewa' buat Sidek Hassan

Posted: 03 Jan 2011 08:24 PM PST

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini diserahkan senaskhah buku Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai 'hadiah istimewa' kepada beliau.

Hadiah itu diserahkan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor beserta memo sebagai membantah perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang didakwa mereka dibuat dengan proses yang mencabul kuasa kerajaan negeri.

Mereka diiringi hampir 100 penyokong, berarak dari perkarangan Masjid Putrajaya menuju ke pajabat KSN di Kompleks Jabatan Perdana Menteri kira-kira jam 10.30 pagi dengan dikawal oleh lebih 50 anggota polis.


Hanya tiga dibenar pihak polis masuk membuat penyerahan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainudin dan Adun DAP Teratai, Janice Lee Ying Ha yang juga ketua DAPSY Selangor.

Pada sidang media selepas itu mereka memaklumkan hadiah dan memo tersebut berjaya diserahkan kepada pembantu peribadi kepada Setiausaha Sulit Kanan KSN.

Dalam memo tersebut antara lain menggesa Mohd Sidek menghormati hak kerajaan negeri dalam isu perlantikan Khusrin.

Mereka mendakwa perlantikan Khusrin yang dibuat KSN bukan sahaja membelakangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah mencabul semangat faderalisme.

"Kita kecewa dengan KSN yg mendakwa kerajaan negeri tiada hak dalam isu perlantikan ini.

"Membelakangkan hak kerajaan negeri sama lah juga membelakang hak rakyat Selangor," kata Khairul Anuar.

Selain itu, perlantikan itu juga dakwanya turut mengabaikan Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang diamalkan negeri.

"Kita tolak Khusrin kerana ramai calon lain yang lebih layak.

"MB sudah bertemu Tuanku semalam, dan kita mintak KSN menyatakan pendirian beliau selepas penjelasan dibuat MB semalam," gesanya.

Hasbullah dalam pada itu mahu KSN menarik balik perlantikan itu yang disifatkan mampu menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak tidak mengheret dan berselindung di sebalik istana dalam isu itu.

"Kita berpandangan jika KSN tarik balik, tidak mencemarkan imej beliau.

"Kita mintak beliau memberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Janice pula mendakwa perlantikan Khusrin adalah usaha mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu mereka menggesa KSN segera menyelesaikan isu tersebut.

Mereka juga mendakwa akan meneruskan bantahan selagi kemelut itu tidak deselesaikan.

Khairy - Terbuang Atau Dibuang

Posted: 03 Jan 2011 08:12 PM PST

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membayangkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu disuarakan di laman Twitternya berbunyi "Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN (Barisan Nasional) pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar."

Kenyataan tersebut mendapat respon hebat daripada para pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada Ahli Parlimen Rembau itu tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak.

"Saya ingin 'menarik diri' seperti perumpamaan di United Kingdom. Beberapa perkara mahu saya lakukan sebelum terlambat."


Beliau bagaimanapun tidak menjawab mengenai tempoh 'rehat'nya dari politik.

"Belum tahu (tempoh masa). Tak pasti apa yang akan saya lakukan. Beberapa perkara saya mahu lakukan seperti menyambung pelajaran," katanya.

Khairy sebelum ini pernah menyebut tentang kemungkinan untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Rembau menerusi satu temu bual bersama portal berita pada Julai lalu.

Ketika itu, beliau memperjelaskan kenyataannya pada sehari sebelum, yang mengatakan dia hanya mempertimbangkan kemungkinan tersebut dan belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

Khairy memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan undi sebanyak 26,525 mengalahkan Badrul Hisham Shaharin (PKR) sebelum mengumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Kuasa Sultan - Siapa Yang Berbohomg?

Posted: 03 Jan 2011 05:38 PM PST

Setiausaha Sulit: Sultan Selangor ada kuasa eksekutif beri perkenan

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilaporkan berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap mempunyai kuasa eksekutif bagi memperkenankan sebarang pelantikan pegawai kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Justeru Munir menjelaskan, kenyataan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah pandangan dikeluarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Itu tidak tahulah tetapi semasa perjumpaan Menteri Besar ketika menghadap Tuanku (semalam), beliau ada menerangkan kepada baginda bahawa kuasa tersebut telah dipinda iaitu Tuanku tiada mempunyai kuasa memerintah membuat pelantikan yang kini dilakukan oleh SPA.


"Bagaimanapun, baginda sebagai Ketua Esksekutif Negeri tetap mempunyai kuasa eksekutif dan sebarang pelantikan perlu mendapat perkenan Tuanku.

"Menteri Besar pula berperanan menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang telah diturunkan oleh baginda kepada beliau," kata beliau dipetik Utusan Malaysia ini.

Semalam selepas menghadapi Sultan Selangor, Khalid berkata Sultan Selangor telah berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA.

Ini kerana katanya, kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan.

Kenyataan itu menyebut Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

Laporan Utusan Malaysia juga menyebut baginda murka dan berkecil hati ekoran sikap pentadbiran Khalid yang mempertikaikan dan enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah diperkenankan oleh baginda.

Menurut Munir, semasa perjumpaan Sultan Selangor dengan Menteri Besar semalam baginda ada bertanya mengapa kerajaan negeri tidak mahu menerima pelantikan Khusrin sebagai SUK.

"Tuanku ada bertanya, mengapa tidak suka Khusrin, adakah dia ada melawan tetapi Menteri Besar tidak kata apa-apa," katanya.

Minggu lalu, Munir berkata, pelantikan Khusrin adalah muktamad kerana telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Pada sidang media semalam juga Khalid berkata Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Katanya, dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh SPA.

"Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan," katanya.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Ketua Pemuda Pas Yang Teramat Bijak

Posted: 03 Jan 2011 08:48 AM PST

Nasrudin tawar Khairy masuk PAS

"Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam," kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

Kenyataan Nasrudin ini dibuat ekoran kenyataan Khairy yang menyatakan hasrat untuk berundur dari pentas politik dan tidak lagi bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang beliau wakili sekarang.

"Saya mengajak Khairy mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita," kata Nasrudin.


Bagi Nasrudin, Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib jelas tidak mahu menghargai malah tidak menghormati Khairy Jamaludin yang dipilih sebagai pemimpin Pergerakan Pemuda Umno sebaliknya mengambil Datuk Razali orang no 2 dalam Pergerakan Pemuda Umno ke jawatan Timbalan Menteri.

"Ini juga dilihat satu tamparan hebat buat Khairy Jamaludin," katanya.

Bagaimanapun, kata Nasrudin, beliau menghormati hasrat peribadi Khairy dan menyifatkannya sebagai "satu manifestasi penyisihan beliau dari menganggotai kabinet Datuk Seri Najib Abd Razak sebelum ini sedang beliau adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kebangsaan dan Ahli Parlimen Rembau."

Menurut Nasrudin, Khairy mempunyai potensi dan bakat kepimpinan yang baik terutama untuk mendekati anak - anak muda negara pada hari ini "dan saya kira ia lebih sempurna serta menjadi nilai tambah yang lebih baik jika Khairy melengkapkan diri dengan ilmu dan fikrah Islam yang mantap lalu menyertai Gerakan Islam ini untuk memperjuangkan Islam dan memimpin anak - anak muda menerajui kebangkitan dan perubahan era ini ke arah membina peradaban yang sejahtera dan negara yang aman membangun."

"Tidak baik mempersiakan bakat kepimpinan yang sedia ada sedang ia masih boleh digilap dan disempurnakan untuk menjadi seorang pemimpin anak muda yang berilmu dan beramal soleh," tambahnya.

"Jika Khairy sudah berasa letih dan bosan dengan politik lalu memilih untuk berehat , saya jangka ia adalah respon kepada situasi politik dalaman Umno yang beliau hadapi," katanya lagi .

Katanya, jiwa seorang pejuang mana mungkin boleh berehat dari perjuangannya.

"Justeru itu saya menghulur tangan mengundang Khairy Jamaludin untuk menyertai perjuangan Islam ini kerana indahnya perjuangan ini , ia tidak semata - mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar, pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwah untuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.

"Akhirnya saya mendoakan agar rakan sejawatan saya Sdr Khairy Jamaludin dikurniakan Allah swt akan kesejahteraan serta kekuatan untuk mendepani cabaran dan pentunjuk demi membuat pilihan yang tepat dan benar," kata Nasrudin lagi dalam kenyataannya itu.

Tahniah Rakyat Selangor !!!

Posted: 03 Jan 2011 06:24 AM PST

Secara peribadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang telah mengambil keputusan untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik 3 Ex-offico dalam barisan Exco Kerajaan Negeri kepada Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor dengan nasihat Menteri Besar. Ketiga-tiga jawatan yang dimaksudkan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Dalam peruntukkan sekarang Kebawah Duli Tuanku telah dilucutkan kuasa melantik ini semasa krisis perlembagaan 1993 yang dicetuskan oleh UMNO pimpinan Dr Mahathir. Saya telah menulis isu ini acapkali didalam blog ini beberapa ketika dahulu untuk membayangkan kekesalan diri saya sendiri diatas tindakkan pemimpin UMNO semasa itu yang beriya-iya benar untuk menghakis kuasa Raja-Raja Melayu termasuklah kuasa Raja-Raja Melayu untuk melantik 3 jawatan Ex-Officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri-Negeri diseluruh Negara.


Tuanku Sultan telah bertitah yang Baginda tidak ada kuasa untuk menerima dan menolak nama sesiapa yang dicadangkan oleh PSC kepada Baginda kerana kuasa itu telah ditarik balek hasil dari krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu. Semasa itu UMNO bertindak tanpa sebarang 'mercy' kepada Raja-Raja Melayu dan kata-kata pemimpin kita semasa itu sangat mengguris hati orang Melayu seperti saya yang tahu tidak ada Melayunya seseorang itu tanpa Raja yang berdaulat.

Saya sedang tercari-cari potongan-potongan akhbar yang boleh membuktikan perlakuan pemimpin-pemimpin kita semasa itu tetapi sampai sekarang saya belum terjumpa lagi. Saya pernah berucap dimerata-rata diseluruh negara membidas tindakkan UMNO 'menderhaka' kepada Raja-Raja Melayu tetapi seperti biasa saya menjadi mangsa kutukkan pihak pimpinan UMNO kerana kononnya saya dan ramai yang lain telah menderhaka kepada UMNO.

Sekarang UMNO baru merasakan betapa lemahnya mereka dan dimana-mana pimpinan mereka sedang berlindung dicelah ketiak Raja-Raja Melayu. Sekarang Najib baru merasakan betapa pentingnya Raja-Raja Melayu dan pernah berkata didalam perhimpunan agung UMNO yang lalu yang Raja-Raja masih ada kuasa untuk melantik pimpinan Kerajaan jika ada pihak yang akan cuba untuk mengambil alihnya. Tetapi beliau selaku Ketua Pemuda semasa itu bersama-sama berlegar keseluruh negara untuk mendapat sokongan untuk melakukan kepada pindaan perlembagaan itu.

Sekarang UMNO pula yang menuduh pihak pembangkang yang menderhaka sedangkan kuasa Raja telah menjadi tirus seperti tali gasing yang dilakukan oleh pindaan perlembagaan dicetusan oleh UMNO semasa itu. Kepada semua yang membidas saya tidak berapa lama dahulu elok berfikir; siapa yang durhaka kepada Raja-Raja Melayu….UMNO kah atau pembangkang?

Saya bergembira kerana Negeri Selangor akan memanggil sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Kebawah Duli Tuanku dengan nasihat Menteri Besar seperti sebelum pindaan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu.

Rupa-rupanya Pakatan Rakyat (PR) yang membuktikan mereka adalah pihak yang mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika UMNO jujur dengan apa yang mereka katakan sekarang Negeri-Negeri yang ditadbirnya mengembalikan peruntukan itu kepada peruntukkan asal semasa perjanjian persekutuan ditanda tangani dahulu. Ikutlah contoh Kerajaan Negeri Selangor jika benar UMNO mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Jangan bercakap manis dimulut sahaja ibarat menanam tebu dihujung bibir.

Setelah dululuskan oleh DUN Selangor pindaan ini nanti maka Negeri Selangor akan menjadi Negeri yang pertama yang telah sedar dan bertindak membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu. Didalam sidang khas itu wakil-wakil UMNO wajar memberikan sokongan kepada usul pindaan itu jika UMNO benar-benar telah berubah dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu seperti sebelum pindaan pada tahun 1993 itu.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Negeri Selangor diatas kejayaan saudara-saudari sekelian.

Aspan Alias

Saya Memang Lemah Bahasa Inggeris - Khusrin

Posted: 03 Jan 2011 06:10 AM PST


Khusrin akui beliau mempunyai kekurangan di dalam berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris tetapi menganggapnya tidak menjadi masalah baginya untuk berkhidmat sebagai SUK

Read more

Kedaulatan Raja-Raja Melayu Akan Dikembalikan

Posted: 03 Jan 2011 05:44 AM PST

Selangor akan kembalikan kuasa Sultan yang dirampas Umno pada tahun 1993 ?

Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).


Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato' Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato' Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM,

DATO' MENTERI BESAR SELANGOR


Sumber - PAS Parit Buntar

Tiada ulasan: