Khamis, 23 Disember 2010

SharpShooter

SharpShooter


Gangguan air selama 12 jam di P.Pinang pada 28 Dis 2010

Posted: 22 Dec 2010 11:05 PM PST

Gangguan bekalan air selama 12 jam akan berlaku di kebanyakan kawasan negeri ini pada 28 Disember 2010 bagi membolehkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyiapkan kerja-kerja penting di loji rawatan air utamanya.

Gangguan bekalan air akan bermula jam 7.00 pagi pada 28 Disember melibatkan banyak kawasan di negeri Pulau Pinang, iaitu di bahagian pulau dan seberang (sila rujuk lampiran peta)

Bekalan air dijangka disambung semula jam 7.00 malam pada hari yang sama untuk kebanyakan kawasan. Bagaimanapun, bekalan ke Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar yang terletak di hujung sistem agihan akan hanya disambung semula bermula 7.00 pagi 29 Disember 2010.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan gangguan bekalan air pada 28 Disember 2010, sila hubungi Pusat Panggilan 24-jam PBAPP (no. tel. 04 509 6509) atau layari laman web : http://www.pba.com.my


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Nazri sahkan APCO penasihat 1 Malaysia

Posted: 22 Dec 2010 10:27 PM PST

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam mengakui penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia, yang sekaligus mengesahkan pembabitan Apco dalam kempen 1Malaysia.

Dalam laporan yang disiar sebuah portal berita semalam, Nazri menunjukkan dua surat yang mengesahkan pembabitan APCO dengan pentadbiran Najib iaitu dalam bukti dua dokumen.

Salah satunya surat daripada Apco yang menyebut, firma perhubungan awam itu dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi.

Mengulas perkara ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, pendedahan Nazri itu sebenarnya mengesahkan bahawa Apco memainkan peranan sebagai penasihat dalam kempen 1Malaysia melalui sokongan komunikasi yang ditawarkan.

"1Malaysia adalah slogan yang dibawa Najib, dan tagline ini perlu dikomunikasikan kepada rakyat, jadi salah satu peranan Apco adalah menasihati kerajaan melalui perkhidmatan komunikasi ini supaya slogan ini sampai kepada rakyat. Ini lah yang kita katakan pembabitan Apco dalam kempen 1Malaysia,"jelasnya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa baru kini Nazri mahu membalas pendedahan Anwar, selepas Ketua Pembangkang itu digantung dari sesi parlimen selama 6 bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Walaupun selama ini Anwar ada bukti penglibatan APCO dan mahu membentangkannya di Parlimen, Nazri dan Najib hanya berdiam diri dan kenapa terus menggantung Anwar selama enam bulan? Kenapa selepas Anwar digantung, barulah Nazri bercakap kepada media menunjukkan surat yang dihantar APCO kepada kerajaan BN?

"Anwar sudah pun mencabar Najib untuk menafikan pembabitan APCO sejak dari bulan April lagi. Dan mereka ambil masa 8 bulan untuk menjawab perkara ini sekarang," kata Saifuddin lagi.

Nazri Aziz semalam mengemukakan dua bukti dokumen, iaitu surat daripada Apco dan kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, perunding politik yang menggubal konsep One Israel.

Kedua-dua dokumen itu hanya dikemukakan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tiga Ahli Parlimen lain selama enam bulan pada 16 Disember lalu.

Anwar digantung dari Parlimen tanpa dipanggil membela diri berhubung pendedahan beliau tentang pembabitan APCO Worldwide, firma Yahudi yang terlibat dalam kempen 1 Malaysia yang dicanangkan Najib, yang menyamai kempen One Israel.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Hukum jual pokke

Posted: 22 Dec 2010 08:12 PM PST




Kepada yang terlibat samada jadi penjual atau broker atau pembeli pokke...tolong tengok video dan faham betul-betul...

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Anak toyo mengaku b-end jual tapak surau

Posted: 22 Dec 2010 08:03 PM PST

SHAH ALAM, 23 Dis: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan tapak surau Al Hidayah, Rawang dijual semasa pentadbirannya iaitu pada 2003 tetapi telah dijual sebelum tahun 2000 lagi.

Menurut Khir dalam blognya, "Kelulusan penjualan tanah kepada SAP Holdings dibuat sebelum tahun 2000 lagi, yang mana ini bermakna ia dibuat sebelum pentadbiran saya"

(Gambar: Demo ini sepatutnya diadakan di depan bangunan Umno atau MCA, kata Faekah)

Ini bererti tapak surau itu dijual ketika kerajaan Selangor dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dimana Umno menguasai sebahagian besar kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Khir membuat penjelasan itu ekoran kenyataan Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin, berdasarkan rekod kerajaan negeri tanah itu dijual pada tahun 2003.

Baru-baru ini, sekumpulan penduduk tempatan termasuk para pemimpin Umno telah membuat demontrasi di perkarangan surau itu kerana membantah kerajaan negeri Selangor yang membenarkan surau itu dirobohkan untuk dibuat projek pembangunan.

Ini ekoran dari tindakan pemilik tanah itu memberikan notis sehingga 30 November lepas agar ia dikosongkan untuk membolehkan tanah itu dimajukan.

Antara yang membantah kerajaan negeri itu adalah pemimpin Umno yang juga Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom.

(Gambar: Surau Al Hidayah pekan Rawang yang kini menjadi pertikaian)

Tanah itu kini dimiliki oleh SAP Holding bekas anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang telah dijual oleh kerajaan negeri kepada pihak swasta.

Mengikut rekod kerajaan negeri, saham SAP Holdings Sdn Bhd dijual oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) kepada syarikat persendirian pada tahun 2003.

Namun kini, Khir Toyo berkata, ia telah diluluskan sebelum tahun 2000 lagi.

SAP Holdings Sdn Bhd adalah sebuah syarikat dimana pemegang-pemegang sahamnya adalah: Chew Ting Teck, Hung Te Hsin @ Ang Teck Thieng, Siaw Kwee Mow @ Sia Hock Chai, Sip Kew Yin, Tan Kok Yee, Tan Pang Kuan, Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat, Chew Teng Meng @ Francis Chew, Chew Siew Ying and Dhew Teng Fook @ Chow Teng Fook.

Lembaga Pengarah SAP Holdings Berhad sekarang ialah Datuk Abu Bakar Mohd Amin, Norihan Mohd Bakri, Tan Kok Yee, Chong Fook Sin, chew Siew Ying dan Chew Ting Teck.

"Fakta jelas mendedahkan siapa yang sebenarnya telah mengorban orang Melayu dan Islam di Rawang. Saya rasa mungkin lebih sesuai penduduk berhimpun di pejabat Umno dan MCA untuk membuat aduan mereka," kata beliau.

Faekah menjelaskan, tanah yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut dimiliki SAP Holdings Sdn Bhd yang akan menjalankan projek tersebut bersama satu lagi syarikat swasta Mahumas Sdn Bhd.

"Zainal sepatutnya selidik dahulu sebelum membuat tuduhan liar. SAP Holdings bukan lagi anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

"Pada 2002, Kerajaan Negeri Umno-Barisan Nasional (BN) telah membenarkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melepaskan saham kepada pihak swasta," tegasnya.

Namun begitu, kata Faekah, kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini agar penduduk di kampung itu dapat terus menjalankan ibadat seperti biasa.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tuduhan papagomo terlalu biadap, khianat dan fitnah

Posted: 22 Dec 2010 07:34 PM PST



PASIR PUTEH 22 Dis. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selising, Drs. Saipul Bahrin Mohamad menyifatkan dakwaan perlakuan zina membabitkan dirinya dengan isteri seorang guru dalam blog papa gomo, merupakan perbuatan khianat dan fitnah besar untuk menamatkan karier politiknya.

Beliau mendakwa, fitnah tersebut sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah diri dan seluruh keluarganya di mata masyarakat.

"Fitnah ini bukan baru. Kalau tidak silap saya ia telah dicetuskan sejak 10 tahun lalu iaitu pada tahun 2000. Tapi, mungkin kali ini nampaknya agak lebih sensasi. Kalau dulu keluar cerita ADUN Selising berkhalwat. Tapi kini berzina dengan bini orang.

"Kalau betul saya lakukan perbuatan terkutuk itu, malah saksi utama sendiri kata menangkap saya dan perempuan itu, tapi apa tindakan dia (saksi), kenapa tidak dakwa? Dakwalah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, malam tadi.

Saipul Bahrin diminta mengulas pendedahan klip video dalam blog berkenaan mengenai dakwaan beliau ditahan dengan seorang wanita yang juga isteri seorang guru dalam koc orang kenamaan (VIP), semasa menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

Mengulas lanjut, pendedahan tersebut, Saipul Bahrin yang menafikan tuduhan itu dengan tegas berkata, tidak halal ke atas mereka terbabit dari dunia sampai akhirat kerana memburukkan namanya dengan menabur fitnah yang amat mengaibkan itu.

"Ini satu tuduhan berat ke atas saya dan saya tidak halal, tidak rela, tidak maafkan perbuatan ini dari dunia sampai akhirat kepada semua yang terlibat dalam perbuatan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Saya tidak akan maaf selagi mereka tidak minta maaf secara terbuka dengan saya," tegasnya yang baru empat hari pulang dari Tanah Suci Mekah selepas menunaikan ibadat haji.

Ketika menjawab sebarang kemungkinan tindakan akan diambil ekoran tuduhan itu, wakil rakyat Pas itu berkata, beliau terlebih dahulu akan berbincang dengan pihak berkenaan sebelum membuat apa-apa keputusan.

Sharpshooter - anda boleh baca tuduhan tersebut di sini

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz berkata - "Kerja orang blog ini tak reti dosa pahala," demikian kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai pendedahan sebuah blog berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selising, Drs. Saipul Bahrin Mohamad ditangkap kerana berzina dengan isteri seorang guru di atas kereta api.

Beliau berkata, blog juga yang telah membuat laporan tidak betul dan mengarut bahawa rumah menantunya, Abdul Ariffhami Ab. Rahman diserbu oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu malam dan anak perempuannya pula bertindak memaki-hamun anggota suruhanjaya berkenaan.

Katanya, SPRM kemudiannya membuat keputusan menutup fail kes berkenaan setelah mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Abdul Aziz dan menantunya itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

"Malaysia ini suasana dia, suasana tak reti dosa pahala. Inilah yang menyebabkan hakim syarie ditangkap rasuah.

"Hakim syarie ini belajar syariah dan dia bertugas di mahkamah syariah, adakah masuk akal orang macam ini ditangkap rasuah.

"Inilah suasana Malaysia, macam tak ada agama, baik sikit daripada komunis, komunis tak ada tuhan langsung, tapi kita ada tuhan, buat apa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas pendedahan blog papa gomo menerusi klip video di mana seorang lelaki dikenali sebagai Ustaz Saidi Hussin mendakwa telah menangkap Saipul Bahrin di dalam koc orang kenamaan (VIP) kereta api bersama seorang wanita yang didakwa isteri seorang guru ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tawaran perbaiki IMEJ Polis, SPRM, JPP dan Keadilan

Posted: 22 Dec 2010 12:18 AM PST



Mendengar ucapan Setiausaha Agong Keadilan YB Saifudin Nasution dalam video di atas memang amat memukau dan mempersonakan. Beliau memang amat petah dan cara penerangan beliau memang amat disukai rakyat. Memang amat teruja mendengarnya.

Sharpshooter amat bersetuju dengan semua hujah-hujah yang disampaikan terutamanya tentang tawaran perbaiki imej Polis dan SPRM yang lebih berwibawa. Memang benar imej Polis dan SPRM tercalar teruk kerana mereka terpaksa menyapu kesalahan pemimpin umno dan b-end di bawah permaidani merah yang indah. Syabas YB Saifudin kerana berani menyatakan yang benar walaupun amat pahit. Inilah yang rakyat mahukan sebenarnya.

Namun begitu, YB Saifudin jangan terlupa imej JPP dan Keadilan juga tercalar teruk kerana pemilihan yang pertama kali diadakan dengan format baru satu ahli satu undi yang menyaksikan insiden pergaduhan dan penipuan dan kemuncaknya Zaid Ibrahim keluar Keadilan dan kini menjadi Presiden parti KITA. Sharpshooter hormati itu keputusan Zaid namun bagi sharpshooter, Zaid telah buat satu keputusan yang salah.

Zaid mengikut jejak Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46 pada tahun 1988 apabila beliau tewas dengan Dr Mahathir pada tahun 1987 dengan majoriti 43 undi. Akhirnya Semangat 46 pun kini terkubur kerana asas penubuhannya hanya berpaksikan kepada emosi dan balas dendam kerana kalah dalam pertandingan.

Jelas sejarah telah membuktikan bahawa jika asas perjuangan yang dibina tidak kukuh dalam parti, akhirnya Semangat 46 pada tahun 1996 telah tersungkur menyembah bumi dan terus terkubur dalam lipatan sejarah politik Malaysia.

Sebagai ahli Keadilan, sharpshooter tertunggu-tunggu juga bilakah agaknya YB Saifudin akan buat atau umum "TAWARAN PULIHKAN IMEJ JPP DAN KEADILAN" sebelum kita menerjah dalam pertempuran musuh sebenar umno b-end dalam PRU 13.

Dalam ucapan YB Saifudin semasa Kongres berlangsung di Shah Alam, beliau berjanji malah Anwar juga berjanji akan menyiasat segala aduan yang dikemukakan dalam masa dua minggu, namun hingga kini segala aduan seolah-olah telah disapu dibawah permaidani biru muda.

Kita tidak bersetuju dengan Polis dan SPRM menyapu kesalahan pimpinan umno dan b-end di bawah permaidani merah, janganlah pula Keadilan juga menyapu segala kesalahan pemimpin Keadilan di bawah permaidani biru muda berlajur merah.


Cukuplah tahun lalu kesalahan Fairus TKM 1 cuba ditutup dan disapu dibawah permaidani biru muda berlajur merah yang indah. Anwar bohong kepada rakyat dengan mengatakan Fairus mahu sambung belajar. Alangkah indahnya ketika itu jika Anwar tegas dengan mengatakan bahawa kita serius dengan pemimpin yang menyeleweng, kita ambil tindakan tegas. Rakyat akan hormat Parti Keadilan Rakyat kerana ketegasan atas prinsip bukannya berbohong dan akhirnya Fairus masuk umno semula.

Fairus juga berbohong dengan mengatakan beliau masuk umno setelah solat istiqarah selama 3 bulan dan masuk umno secara ikhlas bukan kerana imbuhan lumayan tetapi yang pelik dan hairannya Fairus telah berjaya melangsaikan hutang keretanya kepada Kerajaan Negeri P.Pinang RM109,000.00 secara tunai setelah masuk umno. Rakyat tahu Fairus berbohong dan rakyat juga tahu Anwar berbohong mengatakan Fairus sambung belajar. Yang sudah tu sudahlah...jangan diulangi perbuatan tersebut jika kita mahu rakyat yakin dan percaya kepada Parti Keadilan Rakyat.

Anwar juga pernah keluarkan kenyataan bahawa Keadilan tidak pernah melantik Zaid Ibrahim sebagai penyelaras parti di sini. Sharpshooter memang tidak menyokong Zaid setelah beliau menarik diri dan keluar parti tetapi persoalannya jangan bohong kepada rakyat.

Laman rasmi web Parti Keadilan Rakyat mengesahkan bahawa Zaid Ibrahim adalah Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat. Anda boleh layari dengan klik di sini untuk melihat semua pimpinan Pakatan Rakyat termasuk PAS dan DAP.


Dalam laman web rasmi Parti Keadilan Rakyat telah memaparkan Zaid Ibrahim, YB Teresa Kok dan YB Salahuddin Ayub adalah Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat bagi parti masing-masing.

Sebenarnya pada peringkat awal, Anwar telah melantik Zaid Ibrahim sebagai Setiausaha Agong Sekretariat Pakatan Rakyat (Penyelaras Parti) tetapi malangnya PAS dan DAP tidak bersetuju tetapi akhirnya semua bersetuju bahawa semua parti mempunyai seorang Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat.

Zaid Ibrahim adalah orang diberi tanggung jawab menyediakan Deklarasi Konvensyen Pakatan Rakyat yang telah dimeterai oleh Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi dan Lim Kit siang pada Konvensyen Pakatan Rakyat kali pertama di Shah Alam bertajuk ke arah sebuah negara baru yang adil , telus , saksama , toleransi dan berkebajikan.

Selepas itu Zaid juga pernah keluarkan kenyataan kontroversi dengan menamakan Tuan Guru Nik Aziz adalah orang yang paling layak mengetuai Pakatan Rakyat sekiranya ia berjaya didaftarkan. Kenyataan ini ternyata menghiris hati Anwar dan pendewa Anwar.

Di sinilah bermulanya bibit-bibit negatif tentang Zaid Ibrahim tetapi ianya berjaya diredakan apabila Zaid Ibrahim dicalonkan menjadi calon "Heavy Weight" Keadilan di Hulu Selangor. Zaid Ibrahim ketika itu dijulang umpama wira dan pahlawan sejati Keadilan, Anwar dan Azmin menjulang Zaid Ibrahim pagi petang siang dan malam, inilah calon terbaik Keadilan yang telah teruji, orang yang ada prinsip sangup melepaskan jawatan menteri kerana prinsip.

Jika anda tidak percaya tengok video dibawah ini.



Tetapi bila tiba pemilihan Keadilan 2010, apabila Zaid membuat keputusan untuk bertanding menentang Azmin Ali calon kesayangan Anwar, tiba-tiba sahaja Zaid Ibrahim ini dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan termasuk beliau adalah "trojan horse" dan berbagai-bagai. Beliau terus dihina hingga keluar parti.

Apa yang ingin ditegaskan, janganlah bila kita nak gunakan seseorang, kita puji dia, kita sanjung dia, kita julang dia bagai nak raja dan perwira serta pahlawan tetapi bila kita tidak mahu seseorang kita hina dia, kita aibkan dia, kita fitnah dia. Bukan soal sokong sesiapa tetapi politik begini tidak wajar diamalkan.

Semasa Kak Wan memimpin Keadilan sewaktu Anwar terpenjara 6 tahun, perkara-perkara seperti ini tidak berlaku. Kak Wan memimpin parti secara jujur dan penuh sifat keibuan.

Kini Nurul Izzah Naib Presiden baru telah menawarkan "POLITIK JUJUR ASAS PERJUANGAN" sebab beliau tahu rakyat meletak harapan yang tinggi kepada parti Keadilan. Rakyat marah jika dibohong atau ditipu oleh
pemimpin yang mereka percayai. Jangan rosakkan dan cemarkan serta meliwat kepercayaan rakyat kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat.

Berbalik kepada aduan dan laporan kepincangan Pemilihan Keadilan 2010, Sharpshooter telah dedahkan dan laporkan di sini, manakala laporan Chegubard di sini. Hingga kini kami tidak menerima sebarang jawapan bertulis. Takkanlah semua laporan itu bohong dan tidak ada satu pun yang berasas.

Lebih menyedihkan ada pula yang menuduh pengkhianat hanya kerana mendedahkan kepincangan parti. Jangan dihukum orang yang mendedahkan kepincangan tetapi hukumlah orang yang melakukan kepincangan.

Berkali-kali ditegaskan, bukan soal menang atau kalah tetapi sebagai TAWARAN UNTUK MEMULIHKAN IMEJ JPP DAN KEADILAN YANG TERCALAR.

Semalam muncul pula kenyataan rasmi dari ketua AMK Cabang Tenggiri seperti dibawah. Kepada YB Saifudin dan Anwar Ibrahim, segeralah respon dan ambil tindakan segera dan jangan biarkan ianya berlarutan, UBAH SEBELUM PARAH, UBAH DEMI MARUAH.

Kenyataan Rasmi Ketua AMK Cabang Tenggara

21 Disember 2010

che'GuBard Harus Mendesak Hasil Siasatan dan Tindakan

Pemilihan Parti sudah berlalu hujung November lalu. Memang banyak aduan dan rungutan sepanjang pemilihan keadilan 2010.

Namun semuanya dinafikan begitu sahaja, sehinggalah beberapa aduan mendapat perhatian media. Itupun Pihak JPP tidak ke depan menjawab persoalan, hanya Setiausaha Agong (SUA) parti yang menjawab bagi pihak JPP.

Namun apabila diasak oleh pelbagai pihak, ketika di Kongres Nasional 2010 dalam satu kenyataan terbuka SUA menyatakan semua aduan akan disiasat dan diselesaikan dalam masa dua minggu.

Namun sehingga kini sunyi dan sepi. Malah muncul pula persepsi jawatan lantikan diumumkan baru - baru ini seolah-olah cuba menutup mulut pihak tertentu.

Seperti kita mahu menyapu semuanya di bawah permaidani indah. Persoalannya tiada bukti adalah karut !! Di Johor ada satu Cabang dengan jelas JPP terlibat membenarkan orang yang tidak ada dalam senarai pemilih mengundi dengan menambah nama mereka dengan tulisan tangan. Bukti ini disertakan laporan polis dan gambar dihantar kepada ibu pejabat tetapi sampai hari ini senyap.

Ramai yang mengetahui apa yang terjadi mula kecewa. Namun kekecewaan ini sedikit tertangguh dan terubat apabila masih ada tokoh dalam parti yang dilihat gigih mendesak siasatan dan tindakan telus diambil seperti che'GuBard.

Kenyataan che'GuBard yang bertarikh 8 Disember 2010 yang tersiar dalam blog beliau sedikit memberi sinar kepada anak muda.

Terbaru Che'gubard ditawarkan jawatan Timbalan Setiausaha Agong. Selaku orang politik memang ada kewajaran untuk menerima jawatan tersebut sebagai tiket untuk terus aktif di arena politik nasional. Namun saya selaku Ketua AMK Cabang Tenggara dengan ini meminta pertimbangan che'GuBard agar terus berpegang dengan kenyataannya sebelum ini menolak semua jawatan sehingga penyiasatan dan tindakan terhadap penyelewengan dalam Pemilihan 2010 diselesaikan secara telus.

Pendapat ini juga saya rasa turut dikongsi dgn ramai pimpinan muda pelbagai peringkat dalam parti ini. Kami memerlukan pimpinan anak muda berprinsip. Tanpa jawatan pun saya lihat che'GuBard boleh terus bergerak kerana jawatan bukan syarat pengiktirafan.

Akhirnya sekali lagi ditegaskan harap che'GuBard menolak lantikan sebagai usaha perhebat desakan ke arah menjadikan KEADILAN lebih dihormati dan mantap.

Azlan Ishak
Ketua AMK Cabang Tenggara






* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: