Ahad, 5 Disember 2010

shalehudin

shalehudin


Kandungan memo air kepada Agong

Posted: 05 Dec 2010 05:01 AM PST



Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. ("SYABAS"), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

Memo berjaya diserah, tapi Polis yang tak dak arah

Posted: 05 Dec 2010 04:45 AM PST

Polis bagai hilang arah, hilang pedoman. Perarakan aman telah disambut dengan lepasan tembakan gas pemedih mata ke arah para peserta.

Rakyat hanya berarak beramai ramai secara aman untuk menyerahkan memo bantahan terhadap raja mereka, tapi telah dihalang oleh kekuatan polis yang bagai hilang pedoman. Apa salahnya, setelah memo diserah, rakyat dan orang ramai pasti akan bersurai.

Berikut adalah laporan terkini sekitar suasana dan keadaan di beberapa kawasan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Masjid Negara, Masjid Jamek dan Istana Negara bagi program perhimpunan aman 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat'.

Berikut adalah kronologi terkini.

2.20pm – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan memorandum dan petisyen 100,000 ribu rakyat Selangor kepada wakil istana. Beliau kini sedang memberikan kenyataan kepada wakil media. Sementara itu, lapan ditahan di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

2.10pm – Polis melepaskan tujuh das gas pemedih mata dan meriam bagi menghalang lautan manusia. Para peserta kini mengarah ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kereta yang dinaiki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin bagaimanapun dibenarkan menuju ke Istana Negara.

2.03pm – FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta dan merempuh perarakan tanpa sebarang amaran

1.55pm – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor ,Putrajaya dan Kuala Lumpur. Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat. Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ek Istana dengan tenang dan berdisiplin.

Sumber asal: KB

Demo air: Perarakan bermula, polis tembak pemedih mata

Posted: 04 Dec 2010 10:29 PM PST

Perarakan bermula, polis tembak gas pemedih mata

Jimadie Shah Othman
Penyokong baju merah sedang berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak sekurang-kurangnya dua gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak

Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air di hadapan stesen lama KTM.

Manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.

Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Demo air: Polis marah pakai baju merah

Posted: 04 Dec 2010 10:14 PM PST

Demo air: Dr Nasir, Arutchelvan ditahan

Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha agungnya, S Aruthcelvan antara tiga orang yang ditahan kerana didapati memakai baju merah.

Mereka ditahan pada kira-kira jam 11.30 pagi di sekitar KL Sentral.

Ketika ditemui, Nasir memberitahu Malaysiakini: "Saya tak pasti (ditahan). Polis halang saya (bergerak) sebab pakai baju merah."

Apabila dihubungi setengah jam kemudiannya, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara mengesahkan mereka ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya.

"Mereka kata ianya perhimpunan haram. Tapi kami hanya tiga orang sahaja," katanya.

Sementara itu, polis mengadakan sekatan jalan raya ekoran rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di Masjid Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah kenaikan kadar bayaran air.

Manakala di Stadium Merdeka, kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) berhimpun mulai jam 11.50 pagi tadi.

Polis kemudiannya mengarahkan mereka bersurai. Kemudian selepas berunding dengan polis, mereka menaiki dua kenderaan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mendakwa penyelewengan Kerajaan Selangor.- Malaysiakini

Memo ke Istana: Polis halau orang Najib

Posted: 04 Dec 2010 08:35 PM PST

Polis arah penyokong baju hitam bersurai

Fadzly Esa
Kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.50 pagi ini.

Manakala pihak polis memberi mereka tempoh sehingga jam 12.10 tengahari ini untuk bersurai. Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda. Mereka yang berpakaian hitam itu melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.

Mereka merancang untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Selangor.

Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin yang tiba kira-kira jam 12 tengahari, memberitahu bahawa mereka sedang berunding dengan pihak polis sama ada dibenarkan berarak ke Istana Negara.

Depa hantrar penjilat nak pujuk rakyat

Posted: 04 Dec 2010 06:30 PM PST

Harga dijamin tidak naik..ha..ha..Jaminan oleh penjilat UMNO@BN..!!!

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak dan gula yang bermula semalam dijangka tidak memberi kesan kepada harga makanan dan minuman serta tambang bas apabila persatuan pengusaha kedua-dua sektor itu memberi jaminan akan menyerap kos tambahan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hasan Sahul Hameed berkata, pihaknya telah meminta kesemua 3,000 ahli Presma di seluruh negara supaya tidak menaikkan harga makanan dan minuman.
Katanya, pengumuman kenaikan harga bahan api dan gula itu juga bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Kita sudah jangka subsidi bahan api dan gula akan dikurangkan.
"Walaupun kos meningkat, kami tiada pilihan kerana perlu kekalkan persaingan untuk jaga pelanggan masing-masing,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Nak pi mana tuu...

Posted: 04 Dec 2010 06:00 PM PST

KE ISTANA NEGARA...

Apa hal pulak dah ni...

Posted: 04 Dec 2010 05:23 PM PST

Istana Kelantan lucut dua pingat Ku Li, termasuk DK
Oleh G. Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal

Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai "Ku Li" malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

"Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini.

Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

"Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini," kata sumber itu lagi.

Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.

Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran "Datuk" kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

"Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara," kata Mohd Aiseri ketika itu.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A'ishah Putri.

Tiada ulasan: