Ahad, 5 Disember 2010

Addin

Addin


Sultan Kelantan Lucut 2 Pingat Tengku Razaleigh Hamzah

Posted: 05 Dec 2010 08:00 AM PST

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui. Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai "Ku Li" malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

"Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider. Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini. Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

"Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini," kata sumber itu lagi. Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan. Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara. Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran "Datuk" kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud. Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat. "Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara," kata Mohd Aiseri ketika itu. Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini. Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A'ishah Putri.

Sumber

Kerajaan Selangor Buat Tawaran Semula Beli SYABAS

Posted: 05 Dec 2010 07:48 AM PST

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid berkata, pihaknya akan membuat tawaran semula untuk membeli aset empat syarikat konsesi air Selangor pada harga kira-kira RM6 bilion dengn persetujuan Kerajaan Persekutuan. Menurut Khalid, kerajaan Persekutuan semalam meminta kerajaan negeri membuat tawaran semula kepada Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abbas untuk membeli aset mereka.

"Saya telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, semalam telah bersetuju membenarkan kerajaan negeri membuat tawaran tentang penyusunan semula air. " Saya akan membuat dokumen penawaran pembelian tersebut yang bernilai melebihi RM6,000 juta kepada konsesi-konsesi air ini.Saya turut berterima kasih kepada Istana Negara dalam usaha memanjangkan hasrat rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku," ujar Khalid lagi, selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, hari ini.

Lebih 15,000 rakyat berpakaian baju merah membanjiri ibu kota bagi menyertai himpunan aman 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat' anjuran kerajaan negeri. Himpunan tersebut bagi menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno- Barisan Nasional. Ia juga untuk menyampaikan hasrat rakyat yang mahukan kerajaan negeri dan bukan syarikat kroni menguruskan bekalan air di Selangor.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat tawaran untuk membeli aset air di Selangor dengan nilai RM5.7 bilion untuk kesemua syer-syer bukan milik kerajaan negeri dalam Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abbas. Adalah difahamkan kerajaan pusat tidak bersetuju dengan tawaran itu dan mahukan pampasan hampir RM10 bilion ringgit untuk empat syarikat berkenaan.


Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan persetujuan kerajaan persekutuan untuk kerajaan negeri membuat tawaran semula kepada syarikat konsessi sebagai perkembangan baik untuk menyelesaikan kemelut pengurusan air Selangor." Dari satu sudut, ya (ia baik) kerana memandangkan kerajaan pusat memang mahu membawa kita ke meja perundingan dan kita juga bersedia untuk berunding.

" Jika mereka benar-benar mahu kita berunding, bagus kerana kita memang bersedia untuk membeli (syarikat berkenaan), maka ini satu perkembangan positif." Ini merupakan satu petanda bagus apabila kerajaan pusat minta kerajaan negeri untuk berunding dengan syarikat konsesi, kerana isu ini telah tertangguh untuk tempoh yang agak lama,"tambahnya lagi.

Sumber

Tiada ulasan: