Khamis, 16 Disember 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


"Plus Baru" dijangka ubah landskap lebuh raya bertol

Posted: 15 Dec 2010 10:13 AM PST

Tarikh 23 Disember adalah penting bagi pemegang saham PLUS Expressways Bhd berikutan mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan untuk mengundi mengenai tawaran bersama oleh UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk mengambil alih penggendali lebuh raya terbesar itu.
Pada harga RM4.60 satu saham, pembida telah menilai PLUS pada RM23 bilion. Keputusan untuk menjadikan PLUS hak milik persendirian telah dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bajet 2011 di mana beliau mengumumkan pembekuan peningkatan kadar tol di empat lebuh raya yang dimiliki PLUS selama lima tahun lagi.

Ini membawa kepada kerjasama antara UEM Group dan KWSP untuk membeli lebih banyak saham kerana kedua-duanya telah bersama-sama memiliki 67.5 peratus saham PLUS, yang memerlukan pembida bersama itu mengumpul lebih RM11 bilion bagi urusniaga itu.

Urusniaga tersebut akan menjadi kenyataan jika majoriti ringkas daripada baki 32.55 peratus pemegang saham mengundi untuk tawaran itu. Apa yang dinantikan oleh pemerhati industri adalah pusingan rundingan semula konsesi itu antara "PLUS Baharu" dan kerajaan, yang mana keputusannya akan
menjadi templat induk baharu untuk dilaksanakan ke atas lain-lain pemegang konsesi.

"Kerajaan harus mengubah model-model penswastaan lepas untuk memenuhi realiti sosio ekonomi dan politik, keperluan dan harapan terkini apabila peningkatan kadar tol atau pampasan dari kerajaan kepada pemegang-pemegang konsesi tidak lagi dapat ditahan.

"Penstrukturan semula sekarang yang didorong oleh pasaran menandakan perubahan, kerana sebelum ini kerajaan telah memberi pampasan kepada penggendali yang kemudiannya melanjutkan tempoh konsesi sebagai ganti untuk mengekalkan kadar tol," kata Dr Yeah Kim Leng, Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd.

Beliau berkata satu perjanjian konsesi baharu dijangka mengiringi perubahan pemilikan yang akan melihat mekanisme kadar tol yang lebih adil yang boleh diterima oleh semua pemegang saham.

"Turut penting, ia tidak akan menyebabkan kemerosotan pada kualiti perkhidmatan," kata Dr Yeah.

Ketua industri menganggap model perniagaan sekarang tidak sesuai bagi jangka masa panjang berikutan pengetatan dasar fiskal, seperti juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang dilaporkan oleh media pada Oktober sebagai berkata bahawa PLUS tidak boleh diberikan pampasan.

"Dengan konsesi sekarang dirunding semula berikutan pembelian PLUS oleh UEM Group dan KWSP, kerajaan tidak perlu membayar pampasan kepada PLUS," katanya.

Menyatakan analisanya terhadap perkembangan semasa, ketua eksekutif FA Securities, Zakie Ahmad Shariff, berkata, "Pemilik baharu PLUS harus merunding semula perjanjian konsesi induk kerana kerajaan telah berkata bahawa tidak akan ada lagi apa-apa bentuk pampasan.

"Ini adalah peluang bagi kerajaan mengubah semula konsesi tol yang dianggap oleh banyak pihak sebagai berat sebelah. Tetapi kerajaan harus mengambil pendekatan bertolak ansur dengan "pemegang konsesi baharu" kerana mereka sendiri berkait rapat dengan kerajaan."

Sementara menunggu perjanjian konsesi baharu disiapkan, apa yang jelas ialah kandungan perjanjian baharu akan memberi pembaharuan dengan tidak menyertakan apa-apa bentuk pampasan, kadar peningkatan tol yang lebih kecil dan tempoh yang lebih lama antara kenaikan.

Dengan kerajaan berkata tidak akan ada pampasan dan tekanan untuk mengurangkan kadar tol, apakah kedudukan pemegang saham minoriti PLUS?

Memandangkan ketidaktentuan ini, penganalisa berkata tidak ada tarikan untuk terus memegang saham PLUS, dengan banyak syarikat pelaburan menggesa pemegang minoriti untuk menerima tawaran tersebut.

Mengenai harga tawaran RM4.60 yang membolehkan mereka mendapat keuntungan besar, penganalisa berkata pemegang minoriti mendapat keuntungan sehingga 30 peratus yang dianggap menarik melihat kepada ketidaktentuan masa depan konsesi itu.

Penganalisa Hoy Ken Mak dari AmResearch berkata tawaran RM4.60 dianggap adil kerana ia hanya kurang sedikit daripada nilai adil RM4.72. "Harga dagangan akhir PLUS iaitu RM4.46 adalah harga penutup tertinggi saham itu," katanya

Tiada ulasan: