Khamis, 16 Disember 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Parlimen Kecoh, Speaker Si Pandikar Amin Sekali Lagi Menjadi Hero UMNO BN Untuk Menggantung Wakil Rakyat Pembangkang Seperti Di Arahkan !!

Posted: 15 Dec 2010 08:48 PM PST

Dewan Rakyat hari ini terus kecoh sebelum usul bagi menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diluluskan. Anwar dan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus bertikam lidah dengan ketua umum PKR itu menuntut hak untuk membela diri berhubung dakwaannya yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide. Pandikar berkata Anwar telah diberikan seminggu untuk menjawab dakwaan berkenaan dan kenyataannya itu mencetuskan kemarahan daripada ahli parlimen pembangkang. Ahli parlimen Gombak Azmin Ali terus bangkit dan menafikan bahawa Anwar diberi peluang membela dirinya. Hari ini adalah hari terakhir sidang parlimen sesi ini dan 11 rang undang-undang yang sepatutnya dibahaskan telah tunda pada sidang baru yang dijadualkan pada Mac tahun depan. Di luar bangunan Dewan Rakyat, terdapat anggota polis yang luar biasa ramainya serta sekurang-kurangnya lima kereta peronda mengawal keadaan. Dianggarkan kira-kira 40 anggota polis berada di sepanjang jalan menuju pintu pagar parlimen. Sekatan polis juga dibuat kira-kira 20 meter daripada pintu masuk parlimen. Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar berkata perarakan akan diadakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suhakam, yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ. Dewan Rakyat juga telah meluluskan usul penggantungan selama enam bulan terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR- Gombak). Bagaimanapun sewaktu usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dibahaskan, semua ahli Parlimen memboikot dengan keluar dari dewan.

[Apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini seolah-olah mengesahkan lagi campurtangan "tangan ghaib" yang mencaturkan apa saja kenyataan dan keputusan Pandikar Amin. Ternyata parlimen Malaysia kini rosak dan amalan demokrasi itu terus dihancurkan oleh pihak berkuasa. Jika dulu ISA digunakan untuk menahan rakyat tanpa bicara, kini ia berlaku pula di parlimen apabila wakil rakyat pembangkang dijadikan mangsa tuduhan dan pengantungan tanpa diberi peluang membela diri seperti kebiasaannya. Pandikar Amin menggunakan kuasa "Veto" untuk memuktamadkan sesuatu keputusan yang jelas bercanggah dengan undang-undang itu sendiri. Tindakan menerima usul menggantung Anwar selama enam bulan dari parlimen itu jelas sekali menunjukkan bahawa kerajaan UMNO BN kini sudah terlampau takut kepada Ketua Pembangkang itu. Langkah terbaik ialah menggantung dan mungkin selepas ini menghumbankan Anwar ke penjara. Semua ini adalah petanda awal pilihanraya umum ke-13 pasti akan berlaku pada pertengahan 2011 nanti].

Musykil: Apakah Motifnya Blogger UMNO Pahang Adakan Pertemuan Di Kuala Lumpur Pula Selepas Gagal Dalam Banyak Pertemuan Di Bumi Sendiri !

Posted: 15 Dec 2010 06:28 PM PST

KUANTAN, 16 Dis - Nampaknya UMNO BN Pahang kini sudah mula membuka gelanggangnya untuk memulakan "Perang Siber" terhadap pembangkang di negeri ini. Terbaru khabarnya satu pertemuan blogger Pahang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 13 Disember lalu. Perjumpaan yang dianjurkan oleh Biro ICT dan Media Baru Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu turut di hadiri oleh Dato' Sharkar Shamsuddin dan Dato' Shahaniza Shamsuddin. Difahamkan pertemuan itu turut dihadiri oleh blogger "otai" Pahang yang selama ini sering merintih simpati akibat dipinggirkan iaitu Braveheart . Turut hadir ialah beberapa blogger ternama pro UMNO Pahang seperti Sri Tri Buana, Juri Rakyat dan Semut Hitam dan lain-lain lagi. Perjumpaan berkenaan adalah dalam usaha merapatkan semula serta para blogger negeri disamping menentukan hala-tuju dan peranan mereka dalam media sosial setempat. Bagaimanapun ianya berlaku secara santai dan tidak ada agenda khusus dibincangkan dan tiada juga sebarang resolusi dikeluarkan. Bagaimanapun, kehadiran blog 'Aggregator Pahang', 'Gabungan Suara Anak Pahang' telah dimaklumkan dan dijadikan sebagai rujukan kepada blog-blog yang ada di negeri Pahang tanpa mengira sama ada blog menulis politik dan isu semasa atau tidak atau perbezaan fahaman politik. Khabarnya pertemuan tersebut adalah sebagai usaha pemula untuk mengerakan media sosial Pahang secara lebih aktif terutamanya menjelang PRU13 nanti. Banyak pihak yang hadir berharap supaya pertemuan ini dilakukan lagi dengan membincangkan agenda-agenda tertentu yang berkaitan dengan usaha UMNO menjuarai media sosial.


Pemimpin UMNO Pahang ketika pertemuan aktivis media baru 2009

Pelik, ke mana perginya semua aktivis media baru UMNO Pahang ini
[Kami sungguh terkejut melihat perkembangan terkini Unit Media Baru UMNO Pahang ini. Apakah motifnya mereka membazirkan masa dan wang mengadakan pertemuan blogger di luar Pahang agaknya. Sedangkan sebelum ini sudah beberapa kali pertemuan demi pertemuan telah dilakukan namun hasilnya tetap juga tidak memuaskan. Blogger UMNO Pahang bukan sahaja tidak mendapat tempat dihati rakyat, malahan termasuk ahli UMNO itu sendiri. Mengejutkan kali ini ialah kehadiran blogger Braveheart (foto) yang difahamkan telah dipinggirkan oleh UMB UMNO Pahang selama ini. Apakah yang menyebabkan beliau kini dipanggil oleh mereka?. Mungkin kerana melihat hanya Braveheart sahaja yang berupaya meneruskan perjuangan blogger UMNO bagi menentang pengaruh blogger pembangkang di negeri ini. Apapun, harus diingat bahawa blogger terbabit sebenarnya juga mempunya agenda tersendiri yang wajar diberi perhatian serius oleh puak-puak UMNO di Pahang. Tambahan pula, difahamkan beliau mempunyai hubungan erat dengan bekas Ketua Pemuda UMNO Pahang Khairuddin Yaakob yang dinyahkan oleh MB Adnan Yaakob sebelum ini. Makanya, apakah UMNO Pahang bakal dikucar-kacirkan oleh blogger terbabit nanti].

Kenyataan Najib Konon Kerajaan Tinggikan Syiar Islam Dan Membangunkan Ummah Bukan Slogan Serlahkan Lagi Kekeliruan Rakyat Itu Sebenarnya

Posted: 15 Dec 2010 05:43 PM PST

Sungguh melucukan bila mendengar kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (foto) berkata, usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah tidak boleh berdasarkan kepada slogan semata-mata. Malah katanya kerajaan hari ini telah melakukan pelbagai usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah bagi umat Islam menjalani ibadah dengan lebih selesa. Najib juga berkata, pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan perbelanjaan berjuta-juta ringgit setiap tahun antaranya ialah membina masjid dan surau, menambah elaun imam dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). ''Alhamdulillah, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan hari ini adalah untuk mengisi keperluan kerohanian umat Islam," ujarnya. Beliau berkata demikian berucap merasmikan Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil Melaka semalam. Soalnya sekarang, apakah umat Islam boleh menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib itu agaknya. Sedangkan dalam masa yang sama mereka melihat kerajaan yang ada terus gagal untuk melaksanakan undang-undang Islam itu sepenuhnya. Najib tidak wajar hanya berbangga dengan jenama, tetapi pengisian dan natijahnya tetap sama. Rakyat terutamanya umat Islam di negara ini semakin keliru dengan pendekatan Islamik yang diperkenalkan oleh kerajaan itu. Jika sebelum ini Islam Hadhari menjadi siulan mereka, kini Islam 1Malaysia pula menjadi bualan. Islam yang dicampur adukkan dengan kemaksiatan yang berleluasa. Bukti jelas menunjukkan bahawa kerajaan UMNO BN sebenarnya yang hanya menggunakan "slogan" semata-mata untuk mengatakan mereka Islam. Sebaliknya, Islam itu sendiri terus dipinggirkan dari hati-hati dan jiwa mereka. Malah, generasi muda terus rosak akhlak dan akidh akibat Islam cara UMNO yang jelas terpesong itu.

[Islam yang mengutamakan hiburan, sosial, rasuah, penyelewengan dan sebagainya itu jelas menggambarkan ia hanyalah retorik politik Najib sebenarnya. Islam dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram itu jelas sekali telah merosakkan perssepsi masyarakat antarabangsa terhadap agama Islam. Apa guna bercakap soal Islam jika isteri beliau sendiri Rosmah Mansor sehingga ke hari ini masih gagal "menutup aurat" iaitu syarat wajib bagi wanita Islam. Malah, apa guna Islam jika pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagaikan cendawan di seluruh negara kini menjadi tarikan kepada anak-anak muda Melayu Islam itu sendiri. Makanya, Islam apakah yang mahu diperkatakan itu agaknya?].

Edisi Sukan: Syabas Dan Tahniah, Dua Gol Hasil Jaringan Safee Sali Buka Peluang Cerah Malaysia Ke Akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF

Posted: 15 Dec 2010 03:22 PM PST

KUALA LUMPUR, 16 Dis - Pasukan Malaysia bakal melangkah kaki ke separuh akhir kedua dengan senyum lebar apabila menundukkan pasukan pelawat, Vietnam 2-0 pada saingan pusingan pertama Kejohanan Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Pada separuh masa pertama, kedua pasukan terikat tanpa jaringan biarpun Vietnam dilihat beberapa kali melakukan serangan, namun benteng pertahanan anak buah K.Rajagobal sukar ditembusi. Aksi pada babak kedua dilihat semakin sengit, lebih-lebih lagi kepantasan anak buah Henrique Calisto melakukan serangan, namun mereka gagal menembusi gawang Malaysia yang dijaga rapi penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat. Gol pertama negara hadir pada minit ke-61 apabila tandukan kencang Safee Sali gagal ditampan kemas penjaga gol Vietnam sekali gus bola menembusi gol pihak lawan. Suasana sekali lagi meriah dengan sorakan penyokong-penyokong setia Malaysia yang memenuhi setiap ruang di dalam stadium ini apabila Safee sekali lagi menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-79. Jaringan 2-0 kekal hingga ke wisel perlawanan. Skuad Malaysia bakal berkunjung ke Hanoi bagi mengharungi separuh akhir pusingan kedua 18 Disember ini.

[Apa jua keadaan yang berlaku sekali pun, rakyat Malaysia berbangga dengan permainan dan kemenangan yang diperolehi oleh pasukan Malaysia malam tadi. Keputusan tersebut dilihat memberi harapan baru kepada peminat bolasepak untuk melihat era kegemilangan bersinar kembali seperti zaman lampau. Cuma harapan kita agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memberi peluang seluas-luasnya kepada jurulatih K.Rajagobal untuk meneruskan agendanya. Tidak perlulah ada perubahan atau pertukaran jurulatih bila ada kekalahan seperti yang berlaku sebelum ini. Anak-anak buah pasti akan keliru dengan pertukatan rang berlaku dan akan menyebabkan permainan pasukan negara itu terjejas jua akhirnya. Syabas atas kemenangan hebat Malaysia malam tadi].

Posted: 15 Dec 2010 07:38 AM PST



Tiada ulasan: