Isnin, 20 Disember 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Tragedi: Bas Pelancong Terbabas Dekat Simpang Pulai Ketika Turun Dari Cameron Highlands Dan 27 Warga Thailand Di Sahkan Meninggal Dunia !!

Posted: 19 Dec 2010 11:06 PM PST

IPOH 20 Dis [3.21 pm] - Dua puluh TUJUH orang, kebanyakannya ialah pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas persiaran (foto) membawa pelancong negara itu terlibat dalam satu kemalangan di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi tadi. Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata 23 orang mati di tempat kejadian manakala empat lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Katanya bas dua tingkat itu milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah, membawa 37 pelancong Thai manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia. Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat. Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok. Zakaria berkata siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang. Menurutnya, identiti dan jantina mangsa belum dikenal pasti.

[Nampaknya berlaku lagi kemalangan maut melibatkan bas ekspress. Biar pun sudah berbagai usaha dilakukan oleh kerajaan namun kenapa kes-kes seperti ini masih berlaku lagi. Semakin diwar-warkan maka semakin menjadi-jadi pula kemalangan yang melibatkan bas seperti ini. Apakah masalah yang sebenarnya. Apakah dek kerana harga minyak dinaikkan menyebabkan syarikat terbabit terpaksa mengurangkan kos penyelenggaraan dan ini menyebabkan bas tidak berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, anehnya masih ramai pemandu bas yang terus memecut di jalanraya sekarang ini terutamannya bas-bas yang melibatkan syarikat Transnasional ekpress. Di mana-mana kami mendapat maklumat pemandu bas terbabit masih tidak insaf dengan banyak kejadian kemalangan yang berlaku sekarang ini. Mereka masih terus berlumba sesuka hati. Oleh itu syarikat terbabit perlu memantau perkara ini atau kami akan siarkan gambar-gambar bas yang terlibat yang kini sudah berada ditangan kami. Apapun, berhati-hatilah ketika memandu di jalanraya terutamanya yang libatkan nyawa ramai penumpang seperti ini].

SPR Akan Umumkan Tarikh Penamaan Calon Dan Hari Pengundian PRK DUN Tenang Pada Jumaat !

Posted: 19 Dec 2010 08:54 PM PST

KUALA LUMPUR, 20 Dis [12.56 pm] - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon serta hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Jumaat ini. Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya telah pun menerima notis berkenaan kekosongan itu selepas dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor pada 17 Disember lalu. Kerusi Tenang dalam kawasan Parlimen Labis kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha.

[Seperti biasa rakyat sudah boleh menjangka hari apakah yang akan dijadi tarikh keramat itu. Umum mengetahui bahawa mereka yang duduk di SPR sebenarnya tidak faham kaedah. Hari pilihanraya adalah detik sejarah dan hari peristiwa yang sudah pastilah ia diadakan pada hari cuti. Anehnya, SPR lebih berselera mengadakan peristiwa penting itu pada hari bekerja dengan syarat kawasan itu adalah kubu kuat UMNO BN dan mereka yakin menang. Makanya dalam kes DUN Tenang ini, ia terletak dalam negeri Johor "karat UMNO totok" dan sudah semestinya SPR akan pilih hari Sabtu Ahas sebagai hari penamaan dan pembuangan undi. Itulah yang pasti, bila kita melihat balik stratetgi jahat SPR ini sejak dulu, kini dan selamanya. Mereka sungguh tidak faham dan sengaja buat-buat tidak faham kepentingan untuk pengundi balik membuang undi pada hari berkenaan. Justeru itu, semua pihak diminta bertenang dan bersedia].

Konvensyen: Berbagai "Agenda Rakyat" Terus Di Pertahankan Sekiranya Pakatan Mengambil Alih Malaysia Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 Nanti

Posted: 19 Dec 2010 04:11 PM PST



Konvesyen Pakatan Rakyat yang berakhir di Kepala Batas Pulau Pinang semalam jelas sekali telah memberi harapan baru buat rakyat Malaysia sebenarnya. Apa tidaknya, berbagai agenda rakyat akan terus dipertahankan seandainya Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih tampuk pemerintahan negara daripada UMNO BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Biar pun mendapat tohmahan daripada pemimpin UMNO BN tentang agenda yang bakal dilaksanakan itu, namun apa yang diputuskan itu juga jelas membuktikan bahawa Pakatan Rakyat lebih "mendahulukan rakyat" daripada sekadar retorik politik yang dimainkan oleh puak-puak UMNO BN. Makanya, rakyat harus sedar sekarang dan mula mencongak untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya umum nanti jika mahu hidup mereka lebih selesa dan terjamin pada masa akan datang. Jika senario hari ini dikekalkan, nescaya mereka tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan, kedaifan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Oleh itu, mereka perlu bersedia untuk melakukannya. Jika tidak, fenomena itu akan terus berlarutan buat sekian lama selagi UMNO BN terus berkuasa di negara ini. Usah gentar dan takut untuk membuat perubahan jika ia menjamin kehidupan yang lebih selesa. Apapun, kami ucapkan syabas kepada Pakatan Rakyat atas usaha dan semangat mereka untuk menjaga kebajikan rakyat lebih dari segalanya. Semoga harapan untuk melihat perubahan besar dalam pilihanraya umum itu nanti akan terlaksana jua akhirnya. Inilah yang dinantikan rakyat sejak dulu, kini dan buat selama-lamanya. Antara agenda penting yang telah dibincangkan dalam konvesyen tersebut ialah :-
Anwar Ibrahim Tetap Jadi Ketua Pembangkang

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi Ketua Pembangkang walaupun beliau digantung dari Parlimen selama enam bulan, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata majlis pimpinan membuat keputusan itu sungguhpun ketika ini DAP mempunyai jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat. Anwar, Sivarasa Rasiah dan Azmin Ali dari PKR dan Pengerusi DAP Karpal Singh Khamis lalu digantung enam bulan sebagai ahli Parlimen tanpa diberi peluang membela diri bersabit isu Apco. Karpal berkata partinya tetap menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang. "Saya yakin konvensyen ini akan diadakan di Putrajaya tahun depan tetapi kita tidak akan ke sana tanpa tanpa Anwar," tambah beliau dalam ucapannya kepada perwakilan Pakatan Rakyat.

Karpal Tetap Sokong Islam Agama Rasmi Malaysia

Pengerusi DAP Karpal Singh menegaskan bahawa partinya terbuka kepada rundingan dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat mengenai isu Malaysia sebagai negara Islam. Karpal berkata beliau tidak lagi mahu Umno-Barisan Nasional memutarbelitkan isu negara Islam untuk melaga-lagakan pemimpin PR, khususnya DAP dan PAS. Beliau menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan Perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya. "Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit Negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus," kata Karpal. Ini kali pertama Karpal membuat ketetapan sedemikian dan menzahirkan permuafakatan yang semakin kukuh antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Pakatan Sedia Hadapi PRU Dengan Lapisan Baru

Pakatan Rakyat telah melahirkan lapisan kepimpinan kedua yang berkaliber dan bersiap-sedia untuk mengambil-alih obor Malaysia Baru dari kepimpinan hari ini. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin pelapis ini telah melalui pentarbiyahan serapinya untuk meneruskan cita-cita reformasi. Beliau meminta para perwakilan dan akar umbi parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat supaya menghayati kandungan buku "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia" yang disediakan sepenuhnya oleh pemimpin generasi baru itu. "Katakan kepada mereka yang meragui kita, bahawa kita mempunyai barisan kepimpinan lapisan kedua. Kita telah bersiap-sedia dengan lapisan kepimpinan baru, dan ini buktinya Pakatan Rakyat mempunyai potensi yang amat besar," tegas Anwar dalam ucapan penggulungan Konvensyen Pakatan Rakyat ke-13 di Pulau Pinang, petang tadi. Kongres Pakatan Rakyat ini dipercayai adalah Kongres terakhir sebelum PRU-13 nanti. Setiap parti komponen sedang bersiap-siaga memperkemaskan jentera menghadapi pembubaran Parlimen. Menghadapi cabaran itu, Anwar kembali mengingatkan saf kepimpinan Pakatan Rakyat supaya menggiatkan lagi pengkaderan ahli.

Pemilihan Calon Perlulah Di Perketatkan Lagi

Pengerusi DAP, Karpal Singh, meminta Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dan berwaspada memilih calon untuk dipertandingkan dalam pilihanraya mendatang. Di hadapan perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat ke-II petang tadi, Karpal berkata Pakatan Rakyat tidak boleh lagi bersikap mudah dalam soal ini, memandangkan beberapa wakil rakyat gagasan itu telah melompat ke Barisan Nasional. Dalam teguran terbukanya kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Karpal berkata keengganan menghayati tegurannya telah menyebabkan imej Pakatan Rakyat tercalar. "Saya memberi amaran kepada Dato Seri Anwar untuk tidak menerima Zaid Ibrahim (foto) ke dalam PKR. Saya kenal siapa Zaid, saya terlibat dalam dunia guaman lebih 41 tahun, dan saya tahu orang itu tidak boleh dipercayai," katanya.

Subsidi Di Teruskan Demi Kepentingan Rakyat

Tender terbuka untuk projek awam, pertahan subsidi rakyat, hapuskan pemberian kontrak kepada kroni, tidak ada lagi tol lebuhraya, sediakan rumah selesa yang rakyat mampu beli – itu intipati pelan tindakan ekonomi Pakatan Rakyat jika berjaya menawan Putrajaya. Pelan itu menjurus kepada membanteras pembaziran dan keborosan, khususnya memansuhkan amalan memberi keistimewaan kepada kroni kerajaan, kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, mengenai rancangan ekonomi yang dipersetujui bersama oleh Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP. Ketika membentangkannya pada Konvensyen PR, beliau berkata pelan tindakan itu berpaksi kepada melindungi kepentingan rakyat melalui pengagihan kekayaan yang adil, serta meningkatkan daya ekonomi mereka. Beliau berkata kronisma yang mewarnai pentadbiran Umno-BN telah menghakis daya saing ekonomi negara, Justeru Pakatan Rakyat mahu merombak sistem subsidi negara, dengan mensasarkan golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan dan bukan syarikat-syarikat yang disuapkan dengan kontrak-kontrak mewah. "Kita bercadang untuk mengkaji semula subsidi gas yang diberikan kepada penjana tenaga bebas, yang menguntungkan syarikat-syarikat terpilih dan membebankan Petronas," kata Anthony. "Pakatan Rakyat akan mempertahankan hak rakyat yang lebih berhak untuk mendapat bantuan kerajaan seperti subsidi minyak dan subsidi barangan keperluan asas," tambah beliau.

Tol Di Mansuhkan Dan Wifi Percuma Di Bandar

Anthony juga menegaskan iltizam gagasan pembangkang itu melancarkan perang besar-besaran terhadap rasuah dan pembaziran di setiap lapisan kerajaan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diletakkan dibawah Parlimen, manakala sistem tender terbuka akan menjadi amalan standard di setiap susun-lapis kerajaan. "Pakatan Rakyat akan bertindak keatas kes-kes membabitkan kepentingan rakyat seperti penyelewengan saham bumiputera bernilai RM52 juta ringgit," kata Anthony. Saham berkenaan diperuntukan kepada bumiputera sejak tahun 70an tetapi dibolot oleh segelintir kroni Umno-BN dan menghakis pegangan ekuti bumiputera dalam ekonomi Negara. Pakatan juga bertekad meningkatkan pendapatan rakyat melalui penstrukturan semula empat bidang prasarana iaitu air, elektrik, lebuhraya dan jaringan internet jalurlebar. "Antara yang dicadangkan adalah menghapuskan tol lebuhraya, memperkenalkan wi-fi percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar di seluruh negara, dan menjamin tidak akan ada penswastaan sektor kesihatan," kata Anthony.

Mazlan Sokong Pakatan Mansuh Felda Plantation

Pengerusi lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman menyambut baik cadangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk memansuhkan Felda Plantation. Ujar, Mazlan dalam sesi perbahasannya hari ini berkata, dengan membatalkan Felda Planttation ini, sekurang-kurangnya 79,000 nasib anak peneroka akan terbela. "Saya menyokong penuh ucapan Datuk Seri Wan Azizah dalam 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, perkara paling besar yang harus dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah memansuhkan Felda Plantation," kata Mazlan. Menurut Mazlan, perjuangan masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda telah memasuki fasa kritikal untuk mempertahankan survival peneroka. Dalam program 100 harinya turut merancang melaksanakan reformasi ke atas organisasi yang bertanggungjawab menguruskan Felda Plantation bagi membuka ladang-ladang diuruskan oleh generasi kedua dan ketiga anak peneroka. Justeru katanya, beliau mencadangkan agar Pakatan Rakyat, parti yang sekian lama memperjuangkan hak rakyat, menggubal semula akta-akta yang menzalimi nasib para peneroka. "Saya mencadangkan apabila kita memerintah akta GSA 1960 yang menjadi kekangan ini digubal semula bagi menjamin hak berdasarkan kaedah faraid," tegas Mazlan lagi.

[Sebenarnya banyak lagi agenda kebajikan untuk rakyat yang dirancang terutamanya selepas 100 hari menakluki Putrajaya. Semua ini adalah satu perancangan yang dianggap omongan kosong oleh penyokong UMNO BN. Bagi mereka semuanya adalah "angan-angan Mat Jenin" belaka. Sedangkan mereka lupa, dalam PRU-12 lalu Pakatan Rakyat berjaya menguasi lima negeri di semenanjung Malaysia. Itu pun negeri lain hampir-hampir ditawan seperti Negeri Sembilan dan Perlis. Jika tidak sudah pasti UMNO BN semakin "gila meroyan" sebenarnya. Kini, mereka mengatakan Pakatan Rakyat berangan-angan untuk takluki Malaysia pula. Malah mereka menyangka segala janji-janji yang dibuat itu adalah auta semata-mata. Sedangkan mereka sendiri melihat apa yang dijanjikan di Selangor, Kedah, P.Pinang dan Kelantan sudah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Inilah bukti yang Pakatan Rakyat lebih prihatin menjaga kebajikan rakyat daripada apa yang diwar-warkan oleh UMNO BN itu].

Tiada ulasan: