Ahad, 19 Disember 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Konvensyen "Pakatan Rakyat 2010": Presiden PAS Ingatkan Semua Supaya Akui Kelemahan Diri Dan Tidak Hilang Tumpuan Apabila Di Serang Lawan !

Posted: 18 Dec 2010 09:40 PM PST

KEPALA BATAS, 19 Dis [2.14 pm] - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (foto) mengakui Pakatan Rakyat kini dibelenggu 'kelemahan diri sendiri' hingga boleh menggagalkan usaha untuk mencapai matlamat mengambil alih kerajaan. Beliau berkata, agenda perubahan yang dijanjikan kepada rakyat sukar dicapai sekiranya pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat mudah hilang tumpuan setelah menerima serangan daripada pihak lawan. "Kita dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN)," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di sini, Ahad. Selain itu Abdul Hadi berkata, komponen Pakatan Rakyat juga sememangnya berhadapan dengan cabaran besar iaitu dari segi perbezaan pandangan. Jelas beliau perbezaan pandangan yang wujud antara ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu diatasi dengan baik bagi mengelakkan wujudnya masalah yang lebih besar. "Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini. "Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang," katanya.

Pakatan Rakyat Perlu Berani Selesaikan Masalah

Bagaimana pun Hj.Hadi berkata, Pakatan Rakyat sentiasa berani dan bersedia untuk berdepan dan seterusnya menangani isu-isu yang timbul secara terbuka dengan semangat penyatuan. "Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti 'api dalam sekam' yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. "Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulen bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan," katanya. Tambah beliau, pemimpin negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat disaran supaya berani melakukan rombakan pentadbiran kerajaan negeri sekiranya perlu. "Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakanpentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. "Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus laksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan dan perkemaskan jentera parti di negeri yang belum bersama kita," katanya lagi.

PAS Akan Perkasakan Islam Sebagai Agama Rasmi

Abdul Hadi turut mengingatkan Pemimpin Pakatan bahawa sebuah pemerintahan yang baik tidak hanya akan berjaya dengan pencapaian ekonomi semata-mata. Menurutnya PAS tidak melahirkan masyarakat yang hanya melihat kepada pembangunan material hingga akhirnya mengabaikan pembangunan jiwa dan rohani hingga menyebabkan penularan penyakit kemanusiaan. "Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupanrakyat di bawah jagaan kita. "Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. "Dalam masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini," katanya.

[Pakatan Rakyat sepatutnya lebih berhati-hati dalam menentukan hala tuju masa depan mereka, terutamannyadalam usaha menakluki Putrajaya pada Pilihanraya Umum akan datang. Seharusnya, keyakinan itu tidak terlalu diperbesarkan buat masa ini kerana ia akan menyebabkan pemimpin UMNO BN tidak senang duduk dan senang berdiri bagai "cacing kepanasan". Adalah lebih elok, masing-masing bersikap berdiam diri daripada melaung-laungkan sesuatu yang akan menakutkan musuh. Malahan, tindakan menghebahkan kononnya Pakatan Rakyat sudah cukup kuat untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada PRU akan datang pasti membuatkan Perdan Menteri dan kuncu-kuncunya akan mencari jalan untuk menggagalkan hasrat itu. Lantaran itulah kita tidak hairan Najib boleh keluarkan kenyataan bahawa tidak ada parti lain akan menang andainya BN tewas dalam PRU-13 nanti. Malah, dengan penuh yakin Najib mengatakan akan pertahankan Putrajaya habis-habisan demi mencapai matlamat mereka dari terus berkuasa. Mereka juga harus ingat bahawa pilihanraya di Malaysia masih tidak bersih seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Lebih elok berhati-hati dalam setiap kenyataan panas yang dikeluarkan dari masa ke semasa itu hendaknya].

Tengku Mahkota Pahang Kini Kian Stabil Selepas Menerima Rawatan Di Hospital Tg. Ampuan Afzan

Posted: 18 Dec 2010 12:24 PM PST

BENTONG, 19 Dis [4.30 am] - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (foto) yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Jumaat lalu akibat pendarahan hidung, berada dalam keadaan stabil. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga hari ini, Tengku Abdullah masih menerima rawatan di Wad Diraja hospital berkenaan. Beliau berkata baginda tidak perlu dibedah namun memerlukan rehat yang cukup sebelum memulakan sebarang tugas rasmi dan harian. "Saya dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail bahawa baginda dimasukkan ke HTAA selepas mengadu berlaku pendarahan di hidungnya Jumaat lalu, walau bagaimanapun, baginda kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita selepas program bersepadu memperkasakan komuniti di Felda Lurah Bilut di sini semalam. Liow yang akan menziarahi Tengku Abdullah hari ini, berkata pendarahan itu mungkin berlaku disebabkan kesibukan dan jadual tugasan padat baginda, termasuk di luar negara. Khamis lalu, ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Pekan, Tengku Abdullah memaklumkan bahawa hidung baginda berdarah semasa berada di Guangzhou, China. Baginda turut memaklumkan keadaan itu berlaku mungkin disebabkan perubahan cuaca.

[Pahang Daily Online mendoakan semoga KDYTM Tengku Mahkota Pahang cepat sembuh dan dapat kembali melaksanakan tugas baginda untuk bersama rakyat. Sesungguhnya rakyat Pahang amat berbangga mempunyai seorang putera raja yang amat berjiwa rakyat dan lebih memahami kehendak mereka selama ini].

Kontroversi: Benarkah Chegubard Gadai Prinsip? Apabila Beliau Sanggup Terima Jawatan Lantikan Sebagai 'Timbalan Setiausaha Agung' Yang Baru !

Posted: 18 Dec 2010 12:07 PM PST

PETALING JAYA, 19 Dis [3.20 am] - Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengumumkan pembentukan kepimpinan baru Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas era pemilihan 2010 yang lalu. Apa yang menarik ialah beberapa orang calon yang kalah dalam perebutan jawatan utama parti itu telah dibawa masuk atas kapasiti jawatan lantikan. Mereka yang terpilih termasuklah calon Ketua AMK iaitu Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard (foto). Beliau yang kalah kepada Samsul Iskandar Md Akin itu telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung PKR yang baru. Agak mengejutkan kerana beliau sebelum ini begitu tegas tidak mahu menerima sebarang jawatan lantikan selagi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak melakukan siasatan secara telus dan adil terhadap semua laporan aduan kepincangan yang berlaku dalam pemilihan parti itu sebelum ini. Beliau juga berkata akan menolak semua lantikan parti itu selagi bantahannya berhubung pemilihan PKR yang berlangsung November lalu tidak diberi penjelasan bertulis. Namun, kini segalanya sudah bertukar dan apakah Chegubard telah diberi kata dua agar beliau "redha" dengan keputusan yang telah dibuat itu. Mungkin juga beliau menerima jawatan tersebut kerana ia bukanlah lantikan dalam AMK. Apa yang lebih menarik, sebelum ini beliau juga ada berkata "Ini bukan soal jawatan tapi soal ketelusan. Jika saya menerima lantikan dalam keadaan aduan saya juga gagal diperjelas secara bertulis ini akan membawa erti saya berkompromi dengan sesuatu yang saya pertikaikan sendiri". Namun kini, segalanya sudah tersurat dan Chegubard akhirnya dibawa masuk ke dalam kepimpinan PKR biarpun segala kemusykilannya itu belum terjawab lagi sebenarnya. Apakah yang bermain difikiran beliau sekarang?. Dimanakah prinsip yang beliau pertahankan itu agaknya?. Ini beliau juga pernah katakan akan akur terhadap apa yang berlaku tetapi tidak akan ikhtiraf keputusan tersebut.

[Apapun, kami ucapkan tahniah kepada Chegubard atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau itu. Soalnya, bolehkah beliau berkerjasama dengan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Biar pun kini beliau dilantik menganggotai MPP, beliau harus menyelesaikan segala kepincangan dan kemelut pemilihan yang masih diragui oleh ramai pihak itu. Janganlah bila sudah ada jawatan, beliau menutup sebelah mata untuk menerima segalanya dengan hati terbuka. Keadilan harus ditegakkan demi sebuah agenda perubahan yang lebih besar buat seluruh rakyat Malaysia. Terdapat maklumat mengatakan kemungkinan besar Chegubard tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan oleh parti itu. Namun, segalanya masih belum diputuskan lagi kerana beliau juga mungkin menerimanya berdasarkan kepada agenda perjuangan yang lebih besar iaitu untuk berhadapan dengan UMNO BN dalam pilihanraya umum akan datang].

Tiada ulasan: