Rabu, 8 Disember 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kontroversi: Bantahan Kenaikan 37% Tarif Air Di Selangor, Pihak Polis Nafi Bertindak Luar Batasan Meleraikan Demonstrasi Di Ibu Negara Ahad Lalu

Posted: 07 Dec 2010 04:09 PM PST

KUALA LUMPUR, 8 Dis - Polis menafikan pihaknya bertindak di luar peruntukan undang-undang bagi meleraikan perhimpunan dan perarakan penyokong yang membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor di Masjid Negara Ahad lepas, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang minimum untuk menyuraikan kumpulan tersebut. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis telah memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan beliau menghantar memorandum tersebut ke Istana Negara. "Menteri Besar telah bersetuju dengan cadangan dan nasihat polis bahawa mereka tidak berarak ke Istana Negara dan selepas solat Zuhor di Masjid Negara, beliau telah diberi laluan bagi menyerahkan memorandum itu di Istana Negara," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel bertajuk 'Bar Council Slams Cops For Polis-State Mindset' dalam The Malaysian Insider yang menyatakan tindakan polis bagi meleraikan perhimpunan itu kasar dan menindas. Zulkifli berkata, kedegilan sekumpulan penyokong yang masih berkumpul dan berarak menuju ke Istana Negara menyebabkan polis terpaksa bertindak bagi menyuraikan perhimpunan sekaligus mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di Bandaraya Kuala Lumpur. "Pada masa kini peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967 masih berkuatkuasa dan selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebarang perhimpunan perlu mendapat lesen daripada polis terlebih dahulu," katanya.

Ahad lepas, beribu-ribu orang berkumpul dalam dua perhimpunan di Masjid Negara bagi membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor. Kedegilan kumpulan penyokong itu yang enggan bersurai serta mengganggu tugas polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata. Akibat perhimpunan itu, ribuan warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya selain mendatangkan kerugian kepada peniaga di sekitar lokasi perhimpunan itu.

[Soalnya sekarang, apakah benar polis tidak menggunakan kekerasan dalam meleraikan perhimpunan tersebut?. Daripada gambar-gambar di atas jelas membuktikan sebaliknya. Inilah dia pengakuan ikhlas pihak polis yang akan ditertawakan oleh rakyat sebenarnya. Sepatutnya mereka menyokong penuh bantahan kenaikkan tarif air tersebut. Ini kerana, ramai juga diantara mereka sendiri yang tinggal di Selangor dan bakal menghadapi kesulitan akibat tindakan drastik Syabas itu. Malah mereka juga sepatutnya berbangga dengan rakyat yang mahu turun dijalanan untuk menyatakan bantahan berkenaan. Apa salahnya pihak polis hanya memantau dan mengawal pergerakan lalu lintan untuk melancarakan perhimpunan terbabit. Namun, dek kerana arahan membabi buta pihak atasan menyebabkan mereka hilang akal dan sanggup menggempur rakyat yang tidak berdosa. Bukan sahaja semburan water canon dan gas pemedih mata mengenai peserta demo. Malahan sepak, terajang, tendang dan berbagai-bagai lagi kezaliman dilakukan tanpa mengambilkira langsung faktor kemanusiaan. Anehnya, ia berlaku ketika himpunan rakyat yang menyokong isu panas babitkan mereka. Tapi jika ia dilakukan oleh penyokong UMNO untuk jatuhkan pembangkang, maka dibolehkan pula. Inilah dia bukti amalan double standard yang diamalkan mereka itu].

Tiada ulasan: