Jumaat, 3 Disember 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Suami bercinta dengan pondan

Posted: 03 Dec 2010 03:42 PM PST

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: "Saya tak kisah dan sanggup bermadu jika dia (suami) ada hubungan gelap dengan wanita lain, tapi bukan dengan manusia dua alam atau mak nyah. Sebagai wanita tulen, saya rasa terhina seolah-olah tidak berupaya melayan suami," kata seorang wanita.

Ibu tiga cahaya mata berusia lima hingga 12 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lin berkata, hatinya kini luluh lebih-lebih lagi mengetahui suami dikahwini sejak hampir 15 tahun lalu bersikap dingin terhadapnya kerana mempunyai hubungan sulit dengan mak nyah popular berasal dari Indonesia yang terkenal dengan jolokan 'bencong'.

Hubungan terlarang itu terbongkar selepas dia menemui ratusan SMS mengandungi madah cinta dihantar bencong terbabit kepada suaminya sejak lebih tiga bulan lalu.

Menurutnya, pendedahan ini bukan bertujuan memalukan suaminya, sebalik mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mak nyah warga asing yang mengambil kesempatan menggoda lelaki warga tempatan.

Lin berkata, suaminya yang bekerja sendiri mula berkelakuan pelik sejak tiga bulan lalu apabila kerap keluar malam dengan alasan mahu berjumpa rakan atau menguruskan perniagaan.

"Mulanya saya tidak curiga kerana kami sudah lama berkahwin, namun perangainya mula berubah apabila dia semakin jarang untuk 'bersama' saya.

"Malah, ada kalanya dia lebih selesa tidur di ruang tamu dan jarang berbual dengan saya dan anak-anak. Bila ditanya dia memberi alasan kepenatan, sakit badan dan macam-macam lagi.

"Sejak itu saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengannya, apatah lagi dia kerap kali menyembunyikan dua telefon bimbitnya daripada saya setiap kali ia berbunyi," katanya.

Lin berkata, segala-galanya terbongkar apabila dia mendapatkan nombor telefon bimbit yang sering menghubungi suaminya dengan melakukan semakan pada bil diterima.

"Saya menghubungi satu nombor yang kerap tertera dalam bil berkenaan sebelum ia dijawab suara seakan-akan wanita. Apabila diajukan soalan, 'wanita' bersuara sedikit garau itu memperkenalkan diri sebagai Yuni. Namun, apabila ditanya lebih lanjut, dia yang bercakap dengan loghat Indonesia mematikan telefon.

"Saya yang masih tak berpuas hati menghantar SMS bertanyakan identiti dan hubungannya dengan suami saya, namun tidak dijawab. Berikutan itu, saya minta bantuan adik menyiasat dan mengekori suami setiap kali dia keluar rumah," katanya.

Menurutnya, persoalan itu terjawab apabila adiknya mengintip pertemuan sulit suaminya dengan seorang pondan jelita yang berpeleseran di Lorong Haji Taib 2, di sini.

"Hasil maklumat mendapati lelaki lembut berusia 20-an itu warga Indonesia yang menjaja tubuh di kawasan berkenaan hampir setiap malam.

"Saya diberitahu, suami menghabiskan masa dengan minum dan berhibur dengan pondan terbabit di pusat dangdut berhampiran sebelum berasmara di bilik sewa pondan itu," katanya.

Menurutnya, dia yang menjejaki pondan terbabit akhirnya mendapat maklumat lelaki lembut itu menjaja tubuh di kaki lima kawasan terbabit dengan bayaran RM50 sekali perkhidmatan.

"Saya tak dapat bayangkan apa yang ditawarkan pondan itu kepada suami saya, namun yakin ia menyebabkan suami saya ketagih. Saya dilayan seolah-olah tidak wujud padahal saya juga inginkan perhatiannya.

"Jika ikutkan hati mahu saja saya mengupah orang memukul pondan terbabit, namun bimbang ia akan lebih mengeruhkan rumah tangga kami. Apa yang saya tahu pondan warga asing hanya berminat pada wang dan bukan cinta," katanya - metro

DS Wan Azizah pukul tepat sasaran 'kelemahan' Umno

Posted: 03 Dec 2010 04:29 AM PST

Bahagian Pertama

Oleh Kim Quek

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail memukul tepat sasaran "kelemahan" Umno apabila beliau mengibaratkan konsep 'Ketuanan Melayu' sebagai ideologi songsang, yang menjadi tempat penggantungan Umno sejak bertahun-tahun lamanya.

Ketika menyampaikan ucapannya pada Kongres Tahunan parti 27 November lalu, beliau berkata, konsep 'Ketuanan Melayu' digunakan oleh golongan elitis Melayu untuk memperdaya orang-orang Melayu bagi mengekalkan kuasa politik mereka.

Namun hasilnya, majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera tetap miskin dan hidup seperti 'melukut ditepi gantang' walaupun Umno memerintah lebih 53 tahun.

Menyeru orang-orang Melayu supaya membuang jauh-jauh ideologi itu, beliau berkata, konsep "Ketuanan Melayu" hendaklah ditinggalkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi saling hormat menghormati di antara kaum.

Mengikut standard demokrasi, seruan Wan Azizah untuk membuang faham perkauman harus dipuji sejajar dengan nilai fundamental yang diterima oleh setiap masyarakat di dunia ini.

Meskipun Malaysia terlepas dari kutukan dunia seperti mana yang dialami oleh dasar apartheid Afrika Selatan, suatu ketika dahulu, namun penyakit rasis masih kekal sebagai satu wabak yang menghancurkan integrasi nasional dan membantut perkembangan ekonomi.

Ketuanan Melayu tak dapat dipertahankan

Mungkin atas kesedaran bahawa 'Ketuanan Melayu' tidak dapat dipertahankan di mata dunia maka Umno kelihatan kehilangan punca bagaimana untuk respon terhadap asakan tanpa duga daripada Wan Azizah.

Untuk mendiamkan diri bermakna membenarkan kata-kata Wan Azizah dan ini boleh membawa padah dan masalah besar kerana melalui hasutan rasis sebeginilah Umno berharap dapat merentangi halangan pilihan raya umum akan datang. Jadi, bagaimana mungkin Umno dapat membebaskan diri dari mendokong konsep 'Ketuanan Melayu'?.

Di samping itu, selagi Umno terus mempertahankan ideologi lapuk ini bermakna menarik kritikan dan penghinaan dari dunia luar. Ini tidak dapat dielak, memandangkan penggunaan peralatan komunikasi moden yang mampu membawa berita dan maklumat dengan sekelip mata maka kritikan dari masyarakat antarabangsa sukar untuk dibendung.

Jadi, selepas pulih dari kejutan yang dibuat oleh Wan Azizah, respon mula mencurah datang daripada para pemimpin tertinggi Umno tetapi alasan yang diberi sama ada tidak relevan atau mereka cuba mengelak dari menyentuh isu sebenar dan malah tidak ada yang berani berdepan dengan Wan Azizah.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan tegas daripada Wan Azizah itu sebagai langkah "menyelamatkan kapal yang sedang tenggelam" dan mengembalikan sokongan orang ramai selepas pepecahan dalam pemilihan parti PKR.

Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Zahid Hamidi pula berkata Wan Azizah "cuba mengalihkan perhatian rakyat dari masalah serius dalam partinya."

Beliau berkata PKR mahu mengambil hati masyarakat Cina dan India bagi mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi, beliau mengelak dari menyentuh isu 'Ketuanan'.

Kerja kotor Perkasa

Seperti yang dijangka, kerja kotor ini dilemparkan kepada sayap ultra rasis Umno, Perkasa untuk menjawabnya. Ketua Pemudanya Arman Azha Abu Hanifah menyerang Wan Azizah dengan menyifatkan beliau sebagai "pelacur politik."

Beliau berkata beliau (Wan Azizah) dan pemimpin Melayu PKR yang lain terhutang budi kepada dasar 'Ketuanan Melayu' atas pencapaian profesional mereka dan sekarang ini mereka telah mengkhianati bangsa Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Cina dan India.

Lebih menarik, sikap kurang ajar dan tidak sensitif yang diperlihatkan Arman dengan menghentam para pemimpin Melayu yang lain menjustifikasikan seruan Wan Azizah untuk menolak mentaliti 'Ketuanan Melayu' bagi memulih semula penghormatan dan harga diri bangsanya.

Kenyataan beliau menyifatkan Wan Azizah sebagai "pelacur" merupakan satu penghinaan terhadap bangsanya sendiri.

Kenyataan beliau bahawa orang-orang Melayu tidak mampu mencapai kemajuan tanpa mendapat layanan istimewa disebabkan bangsa merupakan satu lagi penghinaan terhadap bangsanya sendiri. - Free Malaysia Today

ESOK: Bukti jelas perkauman Umno

Tiada ulasan: