Rabu, 8 Disember 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


MENGAPA IKTIRAF ORANG YANG DERHAKA KEPADA ALLAH SEBAGAI TOKOH MAAL HIJRAH?

Posted: 07 Dec 2010 07:23 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA disebut Maal Hijrah, tentulah berkaitan dengan Islam. Tokoh Maal Hijrah semestinya seorang tokoh yang mengamalkan segala aspek suruhan di dalam Islam di samping mempunyai kehebatan dan menyumbangkan jasa-jasa terhadap pembangunan Islam.

Saya tidak mempertikaikan kehebatan dan ketokohan Gabenor Bank Negara, Zetty Aziz di dalam kerjayanya sebagai Gabenor Bank Negara. Namun, memilih beliau sebagai tokoh Maal Hijrah amat tidak sesuai sekali kerana saya tidak nampak di mana hebatnya Zetty Aziz di dalam membangunkan Islam khususnya di bidang yang beliau ceburi sekarang. Paling tidak melayakkan beliau mendapat anugerah tersebut adalah kerana beliau seorang wanita yang masih kekal membuka auratnya.

Bahkan, sewaktu menerima anugerah tersebut juga beliau tetap tidak menutup auratnya dan perbuatan beliau itu dilihat seolah-olah mempersendakan Maal Hijrah itu sendiri. Bagaimana mungkin beliau boleh mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah, sedangkan beliau sendiri gagal untuk berhijrah dari yang melakukan yang haram (membuka aurat) kepada yang diwajibkan oleh Syarak (menutup Aurat). Apakah aspek yang diutamakan untuk memilih Tokoh Maal Hijrah?

Berbeza dengan di Kelantan, Tokoh Maal Hijrah tahun ini dianugerahkan kepada YAB MB Kelantan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Amat tepat dan sesuai sekali anugerah ini diberikan kepada Tuan Guru tersebut kerana beliau bukan sahaja sentiasa memandu rakyatnya di dunia bahkan di Akhirat juga. Keperibadian MB Kelantan ini juga sudah cukup untuk melayakkan beliau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kerana beliau boleh dijadikan contoh dan teladan kepada kita semua.

Dalam aspek kepimpinan, beliau juga berjaya mentadbir Negeri Kelantan dengan baik tanpa berlakunya penyelewengan atau rasuah di kalangan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri serta Exco atau Wakil Rakyat di negeri tersebut. Pengenalan mata wang Dinar adalah salah satu usaha beliau yang dapat meningkatkan Syiar Islam.

Pemilihan Tokoh Maal Hijrah sepatutnya dilakukan dengan niat yang baik dan telus agar imej Islam terus terpelihara. Jika mahu juga memberikan anugerah kepada orang seperti Zetty Aziz ini, berikan anugerah di dalam bentuk lain bukannya anugerah Tokoh Maal Hijrah. Jangan persendakan atau meremehkan Maal Hijrah dengan mengiktiraf manusia yang derhaka kepada Allah./wfauzdin.blogspot.com

PERHIMPUNAN GAPS YANG MEMALUKAN, SATU PENGAJARAN

Posted: 07 Dec 2010 05:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

KEGAGALAN `Kumpulan Baju Hitam' (GAPS) menyaingi perhimpunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri selangor (Baju Merah) Ahad lepas sepatutnya menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin melakukan sesuatu kerja yang bodoh dan menentang arus.

Ahad lepas, perhimpunan peserta di dalam kempen `Selamatkan Air Kita' yang berpusat di Masjid Negara dan berakhir di Istana Negara, walaupun diancam dengan gelagat pihak berkuasa namun ianya berjaya dilangsungkan. Puluhan ribu rakyat yang hadir menuntut agar kerajaan tidak terus bersubahat dengan puak yang `menghisap darah' rakyat, ternyata menenggelamkan perhimpunan yang dianjurkan oleh GAPS.

GAPS berhimpun kununnya ingin mengadu kepada Istana tentang penyelewengan yang berlaku di Selangor. Apakah penyelewengan itu? Tidakkah kesemua yang mereka katakan penyelewengan di Selangor itu telah pun diadu kepada pihak SPRM? Mana dia siasatan dan mana dia pendakwaan? Pihak SPRM tentu lebih tahu benar atau tidak dakwaan mereka atau sekadar omongan kosong setelah tiada lagi isu yang boleh mereka cungkil di Selangor. Yang jelas sekarang, bekas MB Selangor Khir Toyo yang dapat didakwa oleh SPRM. Tanpa GAPS berhimpun sekali pun, kes Khir Toyo telah pun dibawa ke mahkamah.

Akhirnya, Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin mengakui bahawa memang tiada sokongan dari rakyat untuk berhimpun bersama kumpulan mereka. Beliau cuma berkata objektif utama perhimpunan kumpulan itu di Stadium Merdeka Ahad lalu adalah bagi menyerahkan memorandum tersebut, telah tercapai. Ini bermaksud sekadar menyerahkan memorandum, jika begitu seorang diri pun yang hadir dikira berjayalah juga.

Berbeza dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang rata-rata berbaju merah. Mereka bukan mensasarkan memorandum sampai ke Istana Negara, tetapi kempen ini disertai oleh rakyat jelata dari berbagai kaum dan agama sebagai tanda sokongan. Bayangkan jika tiada sekatan atau ancaman dari pihak berkuasa, tentunya seluruh bandaraya KL dipenuhi dengan baju merah. Di dalam keadaan diancam dan diganggu sedemikian rupa pun, puluhan ribu rakyat turun menunjukkan mereka tidak lagi boleh diperbodohkan.

Semoga apa yang dilakukan oleh GAPS menjadi pengajaran bagi mereka. Perhimpunan yang diadakan di Stadium Merdeka oleh GAPS ternyata memalukan mereka sendiri. Walaupun dikatakan ada `raptai' sebelum itu, namun kehadiran peserta perhimpunan tidak menunjukkan perjuangan kosong mereka mendapat sambutan dari rakyat. Mereka hanya berjaya mengumpul beratus orang yang masih lagi gelap hati dan sanggup diperbodohkan./wfauzdin.blogspot.com

PIALA AFF SUZUKI - MALAYSIA KE SEPARUH AKHIR

Posted: 07 Dec 2010 11:17 AM PST

Malaysia ke separuh akhir


MOHAMAD Muslim (kanan) bertindak cemerlang pada aksi menentang Laos semalam untuk menutup benteng Malaysia daripada dibolosi.

MULA-mula kena belasah, sekarang melangkah bergaya ke separuh akhir.Begitu cabaran yang dilalui skuad bola sepak negara pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010.

Semalam, skuad bimbingan K. Rajagobal itu mara ke separuh akhir selepas membelasah Laos 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Jaka Baring, Palembang.

Pada masa yang sama, terima kasih kepada bekas penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas yang menjadi watak penting dalam membantu skuad negara layak ke separuh akhir, semalam.

Bambang mengesahkan kemenangan Indonesia apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Thailand dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Pada aksi semalam, skuad kebangsaan mudah membelasah Laos 5-1 menerusi dua jaringan Amri Yahyah serta masing-masing satu gol daripada Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli.

Kemaraan Malaysia dibantu kejayaan Indonesia menewaskan Thailand 2-1 hasil dua sepakan penalti Bambang pada minit ke-81 dan 88 biarpun Thailand mendahului hasil jaringan Suree Sukha pada minit ke-68.

Dengan keputusan itu, Indonesia muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata maksimum diikuti Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, Thailand ketiga dengan dua mata dan Laos menduduki kedudukan tercorot dengan satu mata.

Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B iaitu sama ada Filipina, Vietnam atau Singapura pada 15 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan di tempat lawan pada 18 Disember depan.

Pada aksi malam tadi, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal membuat empat pertukaran dalam kesebelasannya.

Sabre Mat Abu, Faizal Muhammad, Khyril Muhymeen Zambri dan Amri Yahyah mengisi tempat Asararuddin Putra Omar, Fadhli Shas, Amirulhadi dan Safee Sali.

Amri menanduk masuk gol pertama Malaysia seawal minit ketiga hasil hantaran Norshahrul tetapi Laos pantas menyamakan kedudukan menerusi Lamnao Singto pada minit ketujuh.

Namun Malaysia berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-1 hasil jaringan kedua Amri yang menolak masuk bola hantaran kapten, Safiq Rahim pada minit ke-39.

Sisa perjuangan Laos semakin luntur selepas Malaysia menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-73 dan gol keempat menerusi Norshahrul pada minit ke-76, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Laos, Kitsada.

Pesta jaringan Malaysia diakhiri bek kanan, Mahali yang naik ke atas untuk menyumbat gol kelima pada minit ke-90.

Tiada ulasan: