Selasa, 28 Disember 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Sharbinee akui lebih dulu jadi sasaran pancaran laser

Posted: 28 Dec 2010 02:58 PM PST

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1229/Kosmo/Negara/ne_01.1.jpg

WAJAH Sharbinee (kanan) yang disuluh dengan pancaran laser hijau selepas gawangnya bolos sewaktu Malaysia kalah 1-5 kepada Indonesia.

JAKARTA - "Memang ada (sinaran laser) pada perlawanan itu dihalakan ke arah saya. ''Kita kalah tetapi kita tidak menjadikan insiden yang menimpa saya itu punca kekalahan.''

Demikian pengakuan penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli, 24, terhadap insiden beliau menjadi mangsa pen sinaran laser dari penyokong bola sepak Indonesia ketika skuad negara tewas 1-5 dalam aksi sulung Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada 1 Disember lalu.

"Bagi saya ia tidak memberi kesan selagi kita tidak memandang ke arah pancaran laser itu,'' katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas sesi latihan ringan di pekarangan Hotel Sultan di sini semalam.

Isu pen sinaran laser itu menjadi hangat selepas penjaga gawang pasukan Indonesia, Markus Harison Rihihina membuat protes selepas mukanya terkena sinaran laser sehingga mendorong perlawanan akhir pertama antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil terhenti selama enam minit.

Ahmad Said kembali, apa petandanya?

Posted: 28 Dec 2010 02:00 PM PST

Dr Azman Ibrahim

Setiausaha Agung Umno mengumumkan rombakan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri bagi tiga negeri; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Sekadar catatan, selain Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan juga bukan dipengerusikan oleh anak tempatan negeri.

Menariknya kerana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang dirombak tersebut disandang oleh 3 orang Naib Presiden, Hishammuddin, Zahid Hamidi dan Shafie Afdal sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan dipengerusikan sendiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Apakah misi ketiga-tiga Naib Presiden ini untuk memulihkan masalah yang melanda Umno di negeri-negeri tersebut telah berjaya (mission accomplished) lalu melayakkan ianya dikembalikan semula kepada anak negeri untuk memimpin atau hakikat sebaliknya, mereka gagal sehingga Najib terpaksa akur kepada desakan supaya mereka bertiga digantikan?

Saya berpendapat faktor kegagalan mereka lebih menjadi penyebab utama kepada perubahan ini. Persoalan yang mungkin timbul, apakah Najib sendiri dan Muhyiddin berjaya dalam misi mereka untuk memulihkan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan sehingga mereka masih kekal sebagai Pengerusi Perhubungan bagi dua negeri berkenaan.

Kenapa Jawatan Pengerusi Perhubungan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak turut dikembalikan kepada anak negeri sama seperti Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang?

Mustahil tidak ada di kalangan pemimpin negeri yang bermimpi dan bercita-cita cuma mereka belum berani untuk mengisytiharkan secara terbuka sebagaimana beraninya Mukhriz.

Berbanding dengan Umno Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dilihat lemah dan bermasalah setelah negeri mereka dikuasai Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, senario di Terengganu agak unik dengan negeri kekal dikuasai Umno BN tetapi krisis perebutan jawatan Menteri Besar membawa perpecahan parah dalam Umno negeri. Ahmad Said yang disokong oleh minoriti Adun Umno negeri tetapi dengan sokongan dan dokongan istana membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar mengatasi kemahuan Pak Lah yang masih inginkan Idris Jusoh menerajui negeri.

Episod panjang perbalahan kekal berterusan sekalipun kerajaan negeri berjaya juga akhirnya dibentuk sehingga sengketa yang tidak mampu lagi dirungkai mengundang campur tangan Umno Pusat dengan perlantikan Panglima Keris Panca Delima sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Perlantikan ini dilihat sebagai kompromi jalan tengah walaupun ianya terlalu jauh untuk menuju titik penyelesaian. Apatah lagi bila pihak yang bertelingkah sebenarnya bukan mengambil kira agenda rakyat tetapi lebih memikirkan kepentingan puak, bukan untuk mencari damai tetapi untuk membuktikan siapa lebih handal dan jaguh dalam permainan ini.

Berulang-alik lah Hishammuddin ke Terengganu kononnya untuk menyusun semula barisan. Kadang-kadang Muhyiddin pun campur tangan sekali walaupun kerap program mereka diboikot begitu sahaja. Setiap kali berkunjung ke negeri angkatnya, Hishammuddin mencanangkan segala masalah telah berlalu dan Umno sedang diperkuatkan semula. Tetapi realiti yang dilihat berlaku amat berbeza.

Senario 10 budak hitam yang bisu di sidang Dun masih berterusan, kemudiannya berkurangan kepada 4 budak hitam sahaja. Mungkin 6 budak hitam lagi yang mula bersuara melihat mereka perlu bersuara walaupun bercakap dengan nada menghentam kerajaan sendiri, lebih teruk dari pembangkang.

Kehadiran Muhyiddin merasmikan Persidangan Agung Umno Bahagian Setiu tahun ini diboikot dengan ketidakhadiran kesemua empat Adun dari Parlimen Setiu. Isu agihan kontrak dan projek yang mementingkan kroni dan puak menjadikan kudis lebih bernanah. Idris Jusoh tentu sama sekali tidak akan mengalah. Puak-puak sekelilingnya yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankannya walaupun sehingga Sultan yang bersemayan digelar 'natang' (gambar). Majlis perdamaian demi perdamaian diatur tetapi lebih kepada simbolik dan retorik. Kita berdamai di dalam majlis, di luar nanti cerita lain. Kamu puak kamu, aku puak aku!

Dengan kedudukan Ahmad Said sebelum 1 Januari 2011 hanya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri tentu ianya akan mencetus dilema bagi seorang Menteri Besar yang tidak menerajui kepimpinan parti di negeri sendiri dalam rangka menghadapi PRU 13 nanti. Tentu sekali percaturan susun atur calon-calon tidak berada di tangannya apatah lagi dengan kedudukan Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya Umno Malaysia.

Hubungan rapat Idris dengan orang yang berkuasa di Putrajaya boleh menggugat peluang orang-orang Ahmad Said. Apatah lagi kepimpinan Ahmad Said dilihat tidak begitu dihirau dan dihormati oleh kerajaan pusat. Timbul juga cakap-cakap politik, apakah penggal ini, penggal pertama dan terakhir Ahmad Said menduduki kerusi Menteri Besar.

Mungkin atas senario ini beberapa orang Adun Umno dilihat berani menjadi pembangkang kepada kerajaan sendiri tanpa mereka bimbang dengan peluang mereka untuk dicalonkan semula nanti. Pernah terdengar mereka berkata, "Apa kita nak takut dengan Mad Said, dia bukan Pengerusi Perhubungan. Kita lok (biar) dia duduk situ penggal ni saja, lepas ini kita bubuh (letak) dia dalam Zoo Kijal." Begitulah optimisnya mereka tentang singkatnya hayat politik Ahmad Said. Itu pun belum diambil kira peluang Umno BN untuk kembali memerintah Terengganu selepas PRU 13 nanti.

Ketika perwakilan Umno Kedah mendesak di dalam Persidangan Agung Umno supaya dikembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kepada pemimpin dari negeri jelapang padi tersebut, perwakilan Terengganu nyata membisu.

Apakah betul bagai dikata, perwakilan Terengganu sendiri tidak menghendaki Ahmad Said dikembalikan jawatan tersebut? Kalau bukan Menteri Besar, maka siapa lagi yang layak dilantik ke jawatan ini. Idris Jusoh, Nasir Ibrahim Fikri, Ahmad Razif Abdul Rahman atau siapa lagi...?

Mampukah pengumuman Tengku Adnan Mansor semalam (Isnin, 27 Disember 2010) memberikan nafas baru kepada hayat politik Ahmad Said? Mungkinkah ini khabar duka untuk Idris Jusoh dan penyokong setianya? Episodnya masih terlalu panjang...

-------------------------------------------------------
Kunjungi blog penulis di www.drazmanibrahim.com

Kenyataan bahawa pelantikan Mohd Khusrin sudah "confirm" tiada sebarang asas perlembangan

Posted: 28 Dec 2010 10:00 AM PST

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Selasa, 28hb Disember 2010:

Kenyataan bahawa pelantikan Mohd Khusrin sudah "confirm" tiada sebarang asas perlembangan

Saya ingin merujuk kepada laporan suratkhabar yang disiarkan oleh Sinar Harian pada hari ini berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa pada "pendapat" beliau, keputusan untuk melantik Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah "confirm" kerana Tuanku telah berkenan untuk melantik beliau. Kenyataan oleh Datuk Mohd Munir Bani ini sebenarnya tiada sebarang asas perlembangan.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan hendaklah berbangsa Melayu dan menganut Agama Islam, dan hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal pentadbiran negeri.

Oleh itu adalah jelas bahawa pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malahan ianya boleh dilantik daripada "Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan" termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor. Perkataan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam" tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Ini sekaligus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar.

Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelantikan ini wajar dirujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor dan lebih baik lagi pendangan dan pendapat Kerajaan Negeri Selangor diambil dan diterima pakai kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting dan sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi.

* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

MB Perlis: Saya yakin boleh, harap Shahidan pun beri kerjasama

Posted: 28 Dec 2010 09:00 AM PST

KANGAR, 28 Dis – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap jurang perbezaan pandangan dalam Umno dapat dirapatkan demi masa depan parti itu.

Beliau yang dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis berkata walaupun terdapat pandangan negatif terhadap kepimpinannya namun ia bukan halangan untuk beliau memikul tanggungjawab besar kepada parti itu.

Bercakap kepada pada sidang media melalui telefon di pejabatnya hari ini, Md Isa yang kini berada di Sarawak berkata, keutamaan pada masa ini ialah memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat tempat di hati rakyat.

Ditanya mengenai pandangan negatif Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, beliau berkata Umno perlu bergerak dalam pasukan yang kuat.

"Saya yakin boleh bekerjasama dengan Datuk Seri Dr Shahidan dan berharap beliau (Shahidan) juga akan memberi kerjasama," kata Md Isa yang juga Ketua Umno bahagian Kangar.

Shahidan, Ketua Umno bahagian Arau, pula berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Umno berhubung pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Sementara itu, para pemimpin sayap Umno Perlis turut menyokong pelantikan Md Isa itu dan menyifatkannya sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar selain menyokong pelantikan Shahidan sebagai timbalannya.

Ketua Pemuda Umno Perlis, Mohsin Yusof berkata, demi kebaikan semua pihak, keputusan yang dibuat oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak itu perlu disokong dan diterima dengan hati terbuka.

Ketua Wanita Umno Negeri, Rela Ahmad pula berkata, pelantikan Md Isa dan Shahidan itu sebagai gandingan tepat.

Ketua Puteri Umno Perlis, Asmaiza Ahmad pula berharap gandingan Md Isa dan Shahidan akan membolehkan BN menang 100 peratus pada pilihan raya umum akan datang. – Bernama

Nik Aziz mahu pihak dakwa beliau meninggal dunia minta maaf

Posted: 28 Dec 2010 08:30 AM PST

KOTA BARU, 28 Dis – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS dipetik Bernama.

Beliau ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, hari ini.

Berita kononnya beliau meninggal dunia disebarkan menerusi blog dan mesej Twitter lewat petang.

Malah SMS mengenai fitnah itu turut disebarkan semalam.

Beliau menghadiri majlis rasmi pagi semalam sebelum menjalani rawatan rutin sebelah petang.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.

Singapura lebih banyak manafaat melalui BN

Posted: 28 Dec 2010 08:00 AM PST

Subky Latif

APA yang tersirat di sebalik ingatan Menteri Perdagangan Antarabangsa tentang kewujudan DAP dalam Pakatan Rakyat betapa parti itu asalnya tajaan PAP yang memerintah Singapura?

Adalah benar DAP itu asalnya PAP yang beroperasi di Semenanjung Malaysia semasa Singapura adalah satu wilayah Malaysia. Apakah PAP ada di semua wilayah Malaysia ketika itu tidak berbangkit sangat tetapi yang jelas Lee Kuan Yewlah Setiausaha Agung PAP baik di mana-mana saja.

Tetapi selepas terpisah Singapura dari Malaysia tahun 1965, PAP telah menjadi DAP. Sudah 35 tahun ia tegak sendiri. Sekali pun ia ada sejak mula dengan Singapura, tetapi usaha menakutkan orang Malaysia dengan pengaruh dan ancaman PAP Singapura sudah jadi lali dan tidak menakjubkan lagi.

Sama dengan ancaman komunis. Tidak siapa takut lagi dengan komunis. Bahkan Umno yang 100 peratus anti komunis ketika ISA digubal tahun 1960 dulu mengudang parti komunis dari banyak negara sebagai tetamu Perhimpunan Agung Umno sejak beberapa tahun lampau.

Maka apa takjubnya memperingatkan tentang DAP tajaan Singapura dulu menjadi kerabat penting dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak nampak apa takjubnya selain hendak menakutkan pengundi Melayu tentang bayang-bayang Lee KuanYew.

Saya tidak bercadang untuk mengatakan apa eloknya DAP dan apa hikmatnya berkawan dengan DAP. Tetapi jika sekadar hendak menakutkan pengundi Melayu tentang Pakatan Rakyat, ia adalah tahun 60an dan70an. Modal itu telah tenggelam mengikut sejarah.

Kalau hendak mengingatkan ia ancaman dari kaum Cina yang berpusat di Singapura, apakah meningatkan tentang Cina itu tidak mengetuk pintu hati rakyat Malaysia berketurunan Cina?

Mungkin tujuannya untuk menggerunkan orang tentang Lee Kuan Yew. Tetapi ia boleh terbalik menjadikannya sebagai dewa dan ikon pula. Lee itu politiknya bersih. Tidak rasuah, anti penyelewengan, anti jenayah, seorang puritan iaitu tidak kaki betina, tidak merokok dan tidak alkoholik. Kalau Islam tahapnya takwa yang tinggi.

Dia menjadi Cina yang dulunya suka berjudi, mengisap candu dan berbagai kepincangan lagi kepada Cina Singapura sebagai Cina contoh di dunia. Dari sebuah Singapura yang kacau bilau dijadikannya Singapura yang berjaya maju, negara dinamik dan pusat kewangan dan dagangan terpenting di Asia Tenggara.

Mana Cina Malaysia yang tidak tertarik dengan pimpinan Cina yang seperti ini? Kalau ada orang Melayu cuba hendak menakutkan rakyat dengan bayang Lee Kuan Yew itu, saya bimbang ia akan bertambah pujaan Cina kepadanya. Bertambah tinggi ingin Cina berpemimpinkan Lee Kuan Yew dan orang-orang dipercayai Lee Kuan Yew.

Jika kita ingatkan orang bahawa DAP itu parti yang dipasang oleh Lee Kuan Yew, apakah ia tidak mendorongkan Cina lebih tertarik kepada DAP kerana DAP mengembang politik dan cara kepimpinan Lee KuanYew. Mana orang Cina Malaysia tidak mahu Malaysia ditadbir seperti Singapura?

Saya percaya ingatan Anggota Parlimen dari Jeli boleh menyebabkan lebih ramai pengundi Cina meninggalkan Barisan Nasional kerana pemimpin Cina dalam BN tak ada sedikit pun imbasan Kuan Yew. Tetapi dalam Pakatan ada DAP yang dikatakan berikonkan Lee Kuan Yew.

Lee dan Singapura lebih berminatkan apa yang mereka boleh dapat dari Malaysia dari menjaga politik DAP dan Lim Kit Siang. Sekalipun ada sayangnya pada Kit Siang dan DAP, tetapi dia tahu kerajaan Malaysia di bawah Umno menyekat apa saja yang boleh menyenangkan DAP dan Kit Siang.

Lee tahu dia tidak boleh lagi menguasai Malaysia seperti yang dibayangkannya ketika menyertai Malaysia dulu. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia hancur. Dan peluang DAP untuk berkuasa tidak semudah yang disangka. Setelah 35 tahun wujud baru dapat berkuasa di Pulau Pinang.

Ketika DAP mendapat kejayaan bersama Pakatan Rakyat tahun 2008, Lim Kit Siang sudah tua. Lee lagilah lebih tua. Untuk melihat DAP berkuasa di Malaysia, Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang mati dulu.

Maka tidak banyak yang Lee boleh dapat dari memberi perhatian dan sokongan padu kepada DAP. Bahkan ia boleh mengurangkan peluang melabor dan melagang pembangunan Malaysia.

Yang utama bagi Lew Kuan Yew ia mendapat sebanyak harta dan kekayaan dari bumi Malaysia. Penguasaan ekonomi adalah lebih menguntungkan Singapura dan penduduk Cina dari menjaga kepentingan politik DAP dan Kit Siang.

Untuk menguasai Malaysia dan politiknya Lee tidak perlu datang melalui DAP tetapi ia sudah dapat banyak dari pelaburannya. Berapa banyak dia dapat dari pembangunan Iskandar Johor? Berapa banyak modalnya di Langkawi?

Lebih senang dia masuk Malaysia melalui Khairy Jamaluddin, Muhyidin Yassin dan orang-orang yang disenangi Najib dan Rosmah.

Apabila WikiLeaks menyebarkan petikan kata Lee Kuan Yew tentang Anwar Ibrahim, maka ia bukan sekadar menyusahkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Ia menyusahkan DAP sekali dan pengundi DAP yang menyokong Anwar. Tidak benar Lee ke Malaysia melalui DAP saja. Selama ini ia dapat banyak dari kerajaan BN yang pantang melihat duit.

Bank Amerika arah pelabur keluar - Mahfuz

Posted: 28 Dec 2010 07:46 AM PST

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 28 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan terdapat institusi kewangan dari Amerika Syarikat mengarahkan pelabur-pelabur dari negara itu mengalihkan perniagaan ke negara lain selepas isu penggantungan Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menjelaskan, perkembangan tersebut berlaku akibat timbul krisis keyakinan terhadap pemerhati ekonomi luar negara kerana pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel ketua pembangkang digantung.

Berucap dalam satu majlis dialog isu semasa dengan ahli-ahli PAS Kawasan ini yang berlangsung di pejabat Perhubungan PAS Pahang di sini, Mahfuz berkata keadaan tersebut sudah tentulah merugikan negara dari aspek ekonomi.

"Saya diberitahu apabila Anwar Ibrahim bersama tiga orang ahli parlimen pembangkang digantung, sebuah bank di Amerika segera menasihatkan para pelabur Amerika yang berurusniaga di sini segera mengalih dana mereka ke negara lain.

"Ini pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel ketua pembangkang digantung dan mereka yang sentiasa memerhati perkembangan bimbang dengan kesan kestabilan politik dan kesannya akan dirasai nanti," katanya.

Tambahnya, dengan perkembangan ini dan beberapa faktor yang tidak menyebelahi pemerintah, beliau berpendapat tidak mungkin pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada masa terdekat tetapi tidak akan melebihi tempoh 18 bulan.

Berucap di hadapan lebih 100 ahli PAS, Mahfuz berkata sasaran PAS pada PRU akan datang ialah bagaimana untuk meningkatkan undi Melayu dan pengundi muda justeru jentera PAS di semua peringkat perlu ada penumpuan khusus bagi mendekatkan parti dengan kelompok tersebut.

"Sebenarnya pada PRU 1999 PAS sudah dapat mendominasi undi Melayu. Malangnya momentum yang ada tidak berterusan. PRU 2008 juga kurang mendapat swing undi Melayu, sebaliknya mendapat swing undi bukan Melayu.

"Saya nak tekankan bahawa harus dilihat generasi anak muda yang baru pertama kali mengundi dan mereka ini kurang memahami dan belum terdedah dengan sepak terajang politik. Mereka inilah yang perlu diambil perhatian kerana life stylenya berbeza. Ada kajian mengatakan kebanyakan mereka tidak memihak kepada kita mungkin salah satunya faktor hiburan.

"Sebab itu bagi saya, perlu ada ikon daripada kalangan parti yang dilatih membuat penampilan dan membina imej PAS di kalangan anak muda supaya mereka merasa tiada jarak dan kita pula memahami cita rasa mereka sambil tidak melupakan anak-anak ahli dipastikan mendaftar sebagai pengundi," ujarnya.

Tambah Mahfuz, bertolak daripada sekarang jentera penerangan PAS mestilah melaksanakan program-program penerangan dan sebaran risalah bagi menjana mood rakyat supaya lahir momentum perubahan politik.

Bekas pelajar bantah kemasukan pelajar perempuan

Posted: 28 Dec 2010 07:30 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah (SMKAF), Kelantan, membantah kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, pihak yang menamakan diri mereka sebagai Badan Bertindak Bekas Pelajar (Bantah) mendakwa, keputusan pengurusan pihak sekolah tersebut adalah tidak relevan, sekaligus memecah tradisi dan jati diri sekolah itu yang sebelum ini hanya untuk pelajar lelaki sahaja.

Falahiah adalah sebuah sekolah ditubuhkan sejak tahun 1939 dan dikenali sebagai SMKA bermula tahun 1978.

Ianya sebuah sekolah harian berasrama di Kelantan yang terkenal dengan tradisi kecemerlangannya sebagai sekolah khusus pelajar lelaki di negeri itu.

Difahamkan, keputusan sekolah memasukkan pelajar perempuan ke sekolah itu disebabkan prestasi akademik pelajar yang didakwa jatuh teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun bagi Bantah, mereka menolak alasan itu dan menganggap ianya satu alasan yang melucukan kerana cuba menjadikan pendidikan sebagai 'tikus putih' tanpa kajian terperinci.

"Pihak pengurusan juga seolah-olah lupa dan tidak melihat sejarah SMKA Falahiah. Di mana kecemerlangan sebelum ini tidak pernah pun dikaitkan dengan kehadiran pelajar perempuan.

"Pada kami, kejatuhan akademik adalah daripada berpunca daripada masalah pengurusan sekolah kali ini yang tidak efektif berbanding pengurusan sebelum ini dan disiplin pelajar di sekolah," kata mereka.

Dalam kenyataan yang turut disiar pada laman Facebook Falahians Bantah, mereka mendakwa keputusan itu juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan dari semua pihak dan tanpa persediaan kajian yang terperinci.

Ianya termasuk mengenepikan perbincangan dengan pihak Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga tidak mendapat sokongan dari kebanyakan tenaga pengajar di sekolah itu.

"Pihak PIBG juga tidak diajak berunding terlebih dahulu sebelum keputusan ini dikeluarkan. Hanya sekadar makluman sahaja.

"Di saat Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan PIBG, tampaknya pihak pengurusan sekolah hari ini dilihat terlalu bersikap individualistik sehingga mengabaikan konsep bekerja secara kolektif," kenyataan itu dipetik.

Difahamkan, kebanyakan guru tidak sependapat dalam hal ini namun hanya melahirkan protes secara diam.

Ini kerana pandangan mereka didakwa telah dikesampingkan dalam beberpa isu sebelum ini.

"Pandangan para guru amat penting untuk dihargai kerana golongan mereka lebih akrab dengan pelajar dan lebih memahami keadaan pelajar khususnya guru-guru yang telah lama berkhidmat di SMKA Falahiah," kata kenyataan itu lagi.

Menurut mereka, keputusan itu juga dibuat ketika ketiadaan beberapa individu utama pengurusan sekolah, dan kini apa yang menjadi tanda tanya adalah berhubung agenda sebenar individu di sebalik keputusan itu.

"Maklumat yang diperolehi juga menujukkan permintaan ini adalah datang dari pihak pengurusan sekolah bukannya Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, turut dipertikaikan adalah kesediaan infrastruktur sekolah untuk menerima kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu termasuk padang permainan, kemampuan masjid menampung pelajar dan guru dan dewan makan.

Namun apa yang lebih dibimbangi, adalah masalah sosial yang akan berlaku di kalangan pelajar apabila keputusan ini dilaksanakan kelak.

Harakahdaily turut difahamkan, beberapa kain rentang membantah keputusan sekolah itu juga telah dinaikkan di beberapa tempat tumpuan di sekitar sekolah namun ianya telah dibuang oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun pihak Bantah mendakwa akan terus memperhebatkan bantahan mereka melalui kenyataan kepada media, internet, Facebook dan pengedaran risalah.

Pihak pentadbiran sekolah ketika dihubungi pula mendakwa segala tindakan dan fakta bantahan yang dikemukan kumpulan bekas pelajar itu hanya fitnah.

Bagaimanapun, mereka mengakui akan berlaku kemasukan sekurang-kurangnya 100 pelajar perempuan tingkatan satu dan empat pada sesi persekolahan Januari nanti.

Guru mana tak mahu RM500 sebulan

Posted: 28 Dec 2010 07:10 AM PST

Majdan Dagang

Tawaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menaikkan imbuhan sebanyak RM500 kepada warga pendidik merupakan sesuatu yang menarik. Hal ini kerana tawaran tersebut membabitkan kira-kira 400 ribu guru. Sudah pasti sebelum membuat tawaran ini pihak PR telah membuat kajian kerana wang yang diperlukan untuk tujuan tersebut mencecah RM3.2 bilion setahun.

Tawaran ini bolehlah disifatkan sebagai serampang dua mata – politik dan tanggungjawab. Dari sudut politik, seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo tawaran kenaikan gaji guru sebanyak RM 500 ini boleh mempengaruhi rakyat untuk memberi undi kepada PR.

Menurut Dr Khir, tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Hal ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi.

Tambahan pula kos sara hidup yang kian meningkat yang diakibat oleh pemotongan subsidi oleh kerajaan. Isu boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun Dr Khir mendakwa PR mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya. Pada masa yang sama alasan pemotongan subsidi pula sekadar melepas batuk di tangga.

Dari sudut tanggungjawab pula, Ahli Jawatankerja Kerja PAS Pusat, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa imbuhan RM500 untuk guru adalah suatu penghargaan kepada warga pendidik dan bukanlah suatu tindakan politik murahan bagi meraih undi mereka pada PRU akan datang.

Pernyataan Dr Dzulkefly ini ada asasnya. Jika imbuhan ini bersandarkan semata-mata kepada politik, PR sepatutnya menawarkan imbuhan yang sama kepada kakitangan kerajaan yang lain. Namun, PR menyedari bahawa bidang perguruan bukanlah suatu kerjaya seperti kerjaya lain. Tugas mendidik adalah tugas membentuk generasi masa depan.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, membentuk modal insan tidak akan dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Prosesnya memakan masa, wang ringgit dan pengorbanan dan tugas ini terpikul di atas bahu para guru. Hal ini kerana dari gurulah maka lahirnya ahli politik, ulama, jurutera, doktor, kerani, pegawai tentera dan sebagainya.

Jika PR berniat menawarkan imbuhan ini atas dasar politik murahan dan kepentingan peribadi untuk menang PRU, lebih baik tawaran ini diperluaskan kepada semua kakitangan kerajaan, warga emas, penganggur, dan sebagainya.

Oleh sebab itulah pihak lain selain guru ditawarkan imbuhan dalam bentuk lain seperti penghapusan tol, skim warga emas dan lain-lain.

Hakikatnya, kenaikan imbuhan sebanyak RM500 itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan peranan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh guru. Di sekolah, guru bukan sahaja mengajar anak-anak muridnya, malah mereka juga bertindak sebagai pegawai tadbir, kerani, atlit, imam malah kadang kala menjadi tukang kebun.

Namun, oleh sebab tawaran ini datangnya daripada PR, maka tidak dapat tidak akan dipolemikkan oleh ahli-ahli politik. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang kini diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melihat tawaran ini dengan serius. Mungkin beliau memandang tawaran ini sebagai sesuatu yang terpencil.

Namun, ingatan Dr Khir bahawa kesilapannya kurang mengambil kira tawaran PR dalam PRU yang lalu menyebabkan Selangor terlepas harus menyedarkan Muhyiddin. Dalam hal ini, bukan soal wang ringgit semata-mata, Muhyiddin mesti melihat permasalahan warga pendidik dalam kerangka yang lebih luas.

Banyak permasalahan dalam bidang pendidikan yang masih belum selesai. Antara isu yang paling besar ialah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), isu kekurangan guru dalam dalam mata pelajaran kritikal, isu pemansuhan peperiksaan utama, isu disiplin pelajar, isu bantuan sekolah agama, isu elaun dan sebagainya.

Namun, walaupun dihimpit dengan pelbagai isu, para guru di Malaysia tidak pula mengadakan demontrasi atau mogok. Mereka tetap meneruskan tugas yang diamanahkan.

Harus diingat, guru juga manusia seperti insan-insan lain. Ada hati dan perasaan. Tidak selamnya kepala mereka boleh dipijak, ditolak ke kiri dan kanan. Diam bukan bererti setuju, tetapi mungkin memberi peluang untuk pihak lain membetulkan kesilapan. Tetapi jika kesilapan itu diulang-ulang, seolah-olah para guru ini seperti robot, anda silap. Kesabaran manusia ada hadnya. Pengorbanan juga ada batasnya.

Jika pengorbanan yang dicurahkan selama ini, tidak pernah dipedulikan. Malah dijadikan kambing hitam pula atas kepincangan sosial masyarakat. Maka, akan sampai ke suatu tahap bahawa ada suatu lagi pilihan yang lebih baik, maka siapakah yang sanggup menolaknya. Mungkin nilai RM500 itu kecil, tetapi bakal membawa perubahan yang besar terhadap masa depan generasi anak-anak kita.

100 Hari di Putrajaya: Selangor telah laksana, Muhyiddin Ketinggalan

Posted: 28 Dec 2010 07:00 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menunjukkan betapa cetek semangat beliau terhadap kepedulian kepada rakyat apabila membayangkan Malaysia akan jatuh bankrap jika program 100 Hari Pakatan Rakyat dilaksanakan.

Ia juga menunjukkan betapa beliau tidak yakin dengan kemakmuran hasil mahsul Negara yang dikurniakan Allah SWT.

Apa-apa pun, saya tidak terperanjat apabila beliau berpendirian sedemikin walau sedikit kecewa kerana orang no. 2 negara gagal meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas mentadbir negara. Ini menunjukkan Umno-BN sememangnya akan meneruskan corak pemerintahan sejak 52 tahun dahulu yang tidak meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walau terpukul teruk pada 2008 yang lalu.

Kerana kedangkalan pemikiran pemimpin BN terhadap keperluan rakyat, Pakatan Rakyat mempersembahkan program 100 hari untuk rakyat Malaysia bagi melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pentadbiran; perundangan, ekonomi dan pendidikan.

Sebagaimana yang dijangka, tanpa berfikir panjang, Muhyiddin melahirkan keraguan terhadap kemampuan negara dan mempersenda pula jasa para guru apabila menyatakan negara akan bangkrap jika imbuhan RM500 diberikan kepada mereka. Malah dengan gelojoh pula mencabar negeri Pakatan melaksanakannya.

Terbukti Muhyiddin dan BN telah menjadi mangsa kepada perbuatan mereka sendiri yang menggunakan arus perdana, alat propaganda untuk memutar belit fakta sehinggakan mereka jelas tidak tahu bahawa Kerajaan Pakatan Selangor telahpun melaksanakan lebih daripada 60% daripada 9 program yang disenaraikan di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Bajet Selangor, Hasil Negeri Untuk Rakyat begitu komprehensif telah melaksanakan agenda Pakatan tersebut.

Pakatan Rakyat Selangor telahpun menjaga kebajikan kakitangan awam, khusus profesion perguruan. Bukan sahaja kita mengikhtiraf kewujudan dan kepentingan peranan mereka, kita telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM500 menjadikannya RM1,000 sebulan dalam tempuh setahun mentadbir Selangor. Kakitangan kerajaan pula diberikan sumbangan musim perayaan sebanyak RM500 dan RM500 lagi untuk bonus hujung tahun. Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, bukan sekadar slogan murahan.

Selangor telah memperkemas urusan pentadbiran negeri yang lebih telus dan bertanggungjawab dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang telah berjaya mengadakan beberapa siri sesi pendengaran awam berhubung dakwaan penyelewengan dana awam dan salah urus tadbir.

Selangor telah menjangkau ke hadapan apabila meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membolehkan rakyat tahu bagaimana negeri Selangor ditadbir termasuk tatacara perbelanjaan hasil negeri.

Selangor mahu pembayar cukai turut serta dalam pembangunan, pada masa yang sama mewujudkan proses timbangtara dalam penggunaan hasil negeri. Untuk itu Selangor menjadi negeri pertama yang melaksanakan pendengaram awam di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Melalui Pelan Tiga Tahun Selangor, seluruh rakyat Selangor berpeluang berbincang bersama PBT dan jabatan kerajaan berkaitan permasalahan rakyat baik dari segi mutu perkhidmatan yang ditawarkan, masalah keselamatan hinggalah masalah domestik. Penyelesaian menyeluruh juga telah dicadangkan dalam sesi tersebut.

Visi melindungi dan menyelamatkan Khazanah Nasional. Di Selangor, kita telah memperkasa Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang membolehkan MBI mengambil alih kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya pentadbirannya selari dengan matlamat penubuhan dan menyelamatkan aset milik kerajaan Selangor dari disalah guna samada atas tiket penswastaan mahupun oleh pemimpin dan syarikat kroni yang tamak.

Dalam tempuh kurang 3 tahun memerintah, MBI telah Berjaya mengenal pasti dan mengutip semula hutang lapuk dari syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta yang ditinggalkan kerajaan BN. Hasilnya, sebanyak RM50 juta dari kutipan hutang ini kita kembalikan semula kepada rakyat menerusi Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) untuk membantu golongan miskin luar bandar manakala RM20 juta diperuntukkan untuk membantu rakyat miskin di Bandar menerusi skim yang sama.

Mengenai Felda yang tersimpang jauh dari matlamat asal penubuhan; yakni memberi peluang peneroka memiliki tanah yang telah mereka usahakan maka terdapat banyak tanah felda di Selangor tergadai kepada pihak ketiga.

Malang sungguh kerana terdapat juga tangan-tangan pemimpin UMNO yang turut terpalit. Kerajaan Selangor sedang berusaha keras menyelamatkan tanah-tanah milik peneroka Felda termasuk tanah-tanah peserta program Revolusi Hijau yang telah tergadai kerana penyelewengan yang dilakukan kroni-kroni BN.

Kita telah berjaya menyelamatkan ribuan ekar tanah dan menyelesaikan ribuan unit rumah terbengkalai menerusi program pembangunan semula projek terbengkalai antaranya di Bukit Botak, Ukay Perdana dan Alam Perdana.

Penstrukturan semula syarikat GLC telah membolehkan Selangor melaksanakan program pemberian air percuma sejak Jun 2008. Pemberian air percuma ini bukti kita mengurus harta rakyat dengan cekap dan bijaksana. Dengan kebijaksanaan inilah maka hari ini kita telah mengenal pasti asset milik rakyat bernilai lebih RM10.9 bilion yang digunakankan syarikat kroni yang tamak.

Pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan lebih efisien dan berfaedah kepada rakyat sekiranya kerajaan negeri berjaya mengambil alih semula pengurusan air, malangnya mendapat kekangan dahsyat dari Kerajaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat Selangor juga telah mereformasikan suruhanjaya bebas supaya adil dan tidak dikawal oleh parti-parti atau pemimpin politik tertentu. Kita menawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pejabat cawangan di Pejabat Menteri Besar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Malah, SPRM dan KSSB telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menghalang jenayah rasuah.

Program yang dinyatakan ini tidak termasuk program kebajikan yang kita laksanakan seperti Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, Tabung Warisan Anak Selangor, Ujian Kesihatan Untuk Wanita, Tuisyen Rakyat, dana kesihatan, bantuan untuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina serta Tamil dan banyak lagi.

Kesemua program yang kita laksanakan ini tidak pula menyebabkan Selangor jatuh bankrap. Malah, Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sepanjang 2010 dan berjaya membentangkan belanjawan berimbang untuk 2011.

Ini jauh lebih baik berbanding sesetengah negeri di bawah BN yang membentangkan belanjawan defisit. Malah Malaysia sendiri membentangkan bajet deficit sejak 10 tahun yang lalu. Manifesto yang dibuat Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan Malaysia sebuah negeri bankrap jika diurus dengan baik, jujur, telus dan bertanggungjawab seperti diamalkan di Selangor.

Program kebajikan ini kita gunakan 100 peratus hasil negeri tanpa mengharapkan satu sen pun bantuan dari Kerajaan Pusat. Menerusi pentadbiran yang amanah, jujur dan iklas, kewangan Selangor masih kukuh dan lebih baik berbanding negeri-negeri bawah BN.

Walaupun tanpa slogan perpaduan yang diciplak , Kerajaan Selangor telah melaksanakan program tersebut yang telah memanfaatkan semua bangsa. Malah, orang Umno juga menerima manfaat daripada program berkenaan.

Muhyiddin boleh mengulangi komitmennya terhadap 'Melayu dulu' serta mengulangi retorik mahu membantu rakyat di bawah lembayung slogan 1Malaysia tetapi Pakatan Rakyat akan terus melakukan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi iaitu melakukan reformasi dengan telus dan kebertanggungjawaban.

Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor

Larangan penggunaan logo 1Malaysia menepati garis panduan PBT

Posted: 28 Dec 2010 06:30 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis – Tindakan Kerajaan Negeri Selangor melarang penggunaan logo 1Malaysia dipremis perniagaan adalah selari dengan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengarah Strategi Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli berkata, langkah yang diambil Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor berlandaskan garis panduan PBT, bukan bermofitkan politik semata- mata.

"Saya kira perkara ini bukanlah perkara baru. Ia sememangnya telah dipolitikkan sebab undang-undang tempatan di bawah majlis-majlis perbandaran, jelas bahawa logo-logo politik tidak boleh diletakkan di premis-premis perniagaan dan sebagainya," kata Rafizi.

Beliau menambah, Pakatan Selangor hanya mengaplikasikan undang-undang sedia ada yang diwarisi dari Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Beliau berpandangan, tindakan Umno-BN mengerahkan media kawalannya supaya mensensasikan tindakan larangan penggunaan logo 1malaysia itu tidak lebih daripada agenda politik mereka semata-mata.

Justeru, Rafizi menyeru rakyat negeri ini dan juga rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang dimainkan parti pemerintah.

"Logo 1 Malaysia itu digunakan sebagai propaganda politik dan ia bergerak ke arah supaya rakyat mengenal pasti 1Malaysia itu Barisan Nasional, dacing itu 1 Malaysia. There move it to that," jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang mengatakan isu larangan logo 1Malaysia itu akan dijadikan senjata politik oleh Umno-BN dalam usaha memburukkan imej pentadbiran Pakatan di Selangor.

"Saya kira pertimbangan Kit Siang harus diambil kira. Maknanya penerangan kita kepada rakyat, rakyat kena faham. Ini bukan permainan politik, ini undang-undang biasa, undang-undang tempatan," katanya.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP sebelum ini mahu kerajaan Selangor mengkaji semula larangan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di negeri itu.

Larangan itu bingkas disambut timbalan Perdana Menteri dengan melabelkan Pakatan Selangor sebagai takut kepada penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia.

Perlantikan Khusrin dipertikai banyak pihak

Posted: 28 Dec 2010 06:00 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis – Perlantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor terus dipertikai banyak pihak.

Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin beranggapan tindakan Kerajaan Pusat mengumumkan perlantikan itu menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan tidak melalui Kerajaan Negeri Selangor, akan mencetuskan huru-hara dalam pentadbiran negeri.

"Saya menyanggah tindakan KSN (Ketua Setiausaha Negara) melantik dan mengumumkan perlantikan SN (Setiausaha Negeri) tanpa merujuk atau memberitahu, apalagi mendapat persetujuan daripada MB. Bagi saya tindakan KSN berniat jahat untuk melaksanakan agenda jahat BN ke atas kerajaan negeri," katanya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam mengumumkan perlantikan Datuk Khusrin Munawai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Perkara itu turut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Perlantikan itu dilihat mempunyai agenda tersendiri berikutan kerajaan negeri telah mengemukakan tiga calon untuk menerajui jawatan itu.

Justeru Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil inisiatif bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok, bagi memohon perkenan Baginda mempertimbangkan keputusan itu dengan mengambilkira asas politik negeri Selangor.

Badrul menjelaskan, sekiranya perlantikan Khusrin tetap diteruskan maka jangkaan akan timbul masalah dalam pentadbiran negeri Selangor tidak akan meleset.

"Tetapi sekiranya perlantikan Khusrin diteruskan juga, ini akan menimbulkan masalah pentadbiran negeri memandangkan rekod Khusrin sememangnya menimbulkan konflik dengan negeri ketika mentadbir Jais.

"Jadi bagi kita, Tuanku Sultan yang bijaksana tentu akan melihat perkara ini melalui penilaian yang teliti dan saya yakin Sultan ada kuasa dalam hal ini untuk menentukan hala tuju negeri Selangor," jelasnya.

Perlantikan Khusrin tidak sah dari segi perundangan – Weng San

Posted: 28 Dec 2010 05:30 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis - Perlantikan Setiausaha Negeri baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi tidak sah dari segi perundangan selagi beliau tidak menandatangani surat perlantikan dan mengangkat sumpah setia di hadapan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San berkata demikian bagi membidas kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd Manir Bani yang mengumumkan kepada media hari ini bahawa perlantikan Khusrin telah mendapat perkenan Sultan dan merupakan perlantikan yang muktamad.

"Keputusan ini tidak wajar diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor, bahkan kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bawah Perkara 52, ia mengatakan bahawa calon yang akan menyandang jawatan setiausaha negeri ini perlu mengangkat sumpah setia rahsia di hadapan Menteri Besar," katanya.

Beliau yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Negeri Parti Tindakan Demokrat (DAP) Selangor berkata, Perkara 52 juga bermaksud, jawatan Setiausaha Negeri mempunyai tanggungjawab terus kepada Menteri Besar maka pendirian kerajaan Selangor di dalam hal ini perlulah dipertimbangkan dan bukan hanya mengambil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Kalau mengikut undang-undang pun, tidak memestikan jawatan dipenuhi oleh calon daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kerana mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, jawatan ini perlulah dilantik daripada suruhanjaya perkhidmatan yang berkenaan sahaja, maka tak semestinya perlu dilantik daripada SPA," jelasnya.

Beliau seterusnya berkata, walaupun SPA mempunyai bilangan penjawat awam yang paling tinggi di negara tetapi itu tidak bermaksud perlantikan hanya boleh dibuat menerusi SPA sahaja dan perkara ini telahpun dinyatakan dengan jelas di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bahawa mana-mana calon termasuk daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri boleh dilantik.

'Memang kerajaan negeri Selangor mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam perlantikan ini, dan saya rasa dalam seluruh episod ini, (campur tangan) Kerajaan Persekutuan menerusi kenyataan Sidek adalah tidak wajar dan betul," kata beliau.

Menurut Weng San, perkara ini sepatutnya dibincang dengan teliti bersama Kerajaan Negeri Selangor, bukannnya terus mengumumkan kepada media tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.

Weng San menjelaskan, beliau tidak bermaksud membangkang tindakan Sultan memperkenankan perlantikan Khusrin tetapi menegaskan perlantikan untuk jawatan Setiausaha Negeri, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Kerajaan adalah termaktub di bawah Perkara 52, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Mereka perlu menandatangani dan mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, dan perlantikan ini juga sebaik-baiknya mendapat perkenan daripada Sultan. Tetapi menurut undang-undang negeri, sekadar mendapat perkenaan Sultan adalah tidak mencukupi, ia perlu mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar," katanya.

Perlantikan Kusrin dibimbangi – Nizar

Posted: 28 Dec 2010 05:00 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis – Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin, melahirkan kebimbangannya terhadap perlantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, tidak mustahil apa yang berlaku semasa rampasan kuasa di Perak akan berulang kembali sehingga menyebabkan runtuhnya Sebuah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, yang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke 12 (PRU-12) lalu.

Nizar menegaskan, jika perlantikan Khusrin ini diteruskan, besar kemungkinan terdapat campur tangan daripada Kerajaan Pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya.

Sebelum ini, Umno-BN telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat (Pakatan) gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka ini adalah Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun ini masih dipertikai kerana ketiga- tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar juga mempertikaikan perlantikan Khusrin ini dan menganggap ia sebagai membelakangkan Menteri Besar Selangor kerana keputusan dibuat tanpa meminta pandangan Menteri Besar itu.

"Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat.

"Sebagai Menteri Besar, beliau patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya, walaupun ada perlantikan daripada Putrajaya tapi pandangan dia mesti dihormati oleh Putrajaya ataupun SPA, jadi ini menunjukkan membelakangkan Tan Sri Khalid dengan hanya menggunakan Tuanku Sultan," jelasnya.

Adun Nangka nafi berundur

Posted: 28 Dec 2010 04:45 AM PST

KUCHING, 28 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menafikan khabar angin yang beliau akan berundur daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu Mei lepas.

DUN Nangka terletak dalam Parlimen Sibu.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata beliau bersedia mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal itu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad sama ada beliau akan bertanding terletak di tangan pucuk pimpinan BN.

Mengulas lanjut beliau berkata, "Itu hanya satu khabar angin yang tidak berasas.

"Jika saya diberikan tanggungjawab, saya siap sedia mempertahankan kerusi Nangka," katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, Awang Bemee, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) menyampaikan pingat emas dan sijil penghargaan kepada 45 petugas yang bersara pada tahun ini pada satu majlis tahunan di pejabat KPA di sini.

Awang Bemee, 51, mula bertanding di kerusi DUN Nangka pada tahun 1996 dengan memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding manakala pada tahun 2001, beliau menang dengan majoriti 7,020 undi.

Beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada tahun 2006 dengan 4,815 undi. – Bernama

Isu Felda harus diperjelaskan dengan segera, kata Isa Samad

Posted: 28 Dec 2010 04:30 AM PST

PORT DICKSON, 28 Dis – Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang baru dilantik meneraju Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkata isu berkaitan organisasi itu harus diperjelaskan pada kadar segera.

Langkah itu katanya amat penting bagi mengelak golongan peneroka terus menjadi mangsa kepentingan politik pembangkang.

"Ini kerana mengikut fikiran pembangkang melalui pencetusan keraguan pada kalangan peneroka ini, sedikit demi sedikit akan menghakis kepercayaan peneroka dengan kerajaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Karnival Juara Rakyat Ladang Parlimen Teluk Kemang bagaimanapun yakin peneroka Felda tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya membangkitkan isu itu sejak kebelakangan ini.

"Felda tidak ada banyak masalah. Kalau benar fitnah pembangkang itu (tanah rancangan) Felda sudah lama kosong," katanya.

Mohd Isa berkata beliau juga sudah masak dengan taktik pembangkang dan akan menggunakan pengalaman politiknya untuk menangkis tohmahan mereka terhadap organisasi tersebut.

"Dalam pilihan raya umum yang lalu majoriti peneroka Felda menyokong kerajaan ... egelintir saja tidak menyokong," katanya.

Malah katanya, masyarakat di tanah rancangan Felda tidak mempunyai asas untuk menolak kerajaan sedia ada memandangkan ramai yang telah dapat membaiki taraf hidup menerusi program itu.

Hakikatnya kata Mohd Isa, pembangkang tidak menghargai tanah rancangan Felda pada awal penubuhannya namun kini mempolitikkan beberapa isu berkaitan organisasi itu bagi mendapatkan undi. – Bernama

Posted: 28 Dec 2010 04:00 AM PST

Aziz Bari: Pusat-negeri konflik, elak lantik Khusrin SUK Selangor
December 28, 2010

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pakar perundangan Prof A Aziz Bari berpendapat pelantikan Pengarah Jais Datuk Khustin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru perlu dielakkan memandangkan sudah wujud konflik awal antara negeri dan pusat.

"Dalam keadaan Khusrin telah sedia berkonflik dengan pentadbiran negeri, pelantikannya perlu dielakkan. Apatah lagi apabila kerajaan negeri telah pun mengemukakan nama-nama lain," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Khusrin disyorkan oleh Putrajaya manakala kerajaan negeri pula telah mencalonkan tiga nama hasil temu duga khas yang diadakan iaitu ketua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majis Daerah Sabah Bernama.

Malah Aziz juga berpendapat Sultan Selangor juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam soal pelantikan penyandang jawatan tersebut.

"Soalnya sekarang ialah apakah memang selama ini khususnya ketika pentadbiran BN... memang Sultan mempunyai kata putus? Apa pun melihat kepada apa yang berlaku di Perak dan Selangor, khususnya dalam kes Khusrin, sepatutnya istana bertanya dan berbincang dengan kerajaan negeri," kata Aziz lagi.

Malah menurut Aziz, perbincangan seumpama itu perlu kerana setiausaha kerajaan negeri ialah ketua pentadbiran negeri dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan polisi kerajaan.

"BN sendiri, khususnya di zaman pentadbiran (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad), begitu tidak selesa dengan campur tangan istana.

"Jadi sekarang BN tidak harus, kalau ia benar-benar memegang prinsip campur tangan. Apa yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan memberi isyarat campur tangan.

"Sepatutnya, kerajaan pusat memberi laluan kepada kerajaan negeri dahulu," kata beliau yang menegaskan, pelantikan Khusrin perlu dielakkan bagi mengelakkan konflik.

Aziz menambah, kontroversi yang melibatkan Khusrin dengan sendirinya tidak melayakkan beliau diletakkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Sepatutnya dicari pegawai lain. Meletakkan Khusrin memberi isyarat yang istana tak peduli soal itu.

"Kerajaan persekutuan, yang dipimpin oleh Umno, tidak sepatutnya dibiarkan oleh istana. Keputusan istana mengesahkan Khusrin meletakkan istana dalam kontroversi sebagaimana di Perak dan Kelantan.

"Ini amat dikesali. Istana sepatutnya memainkan peranan meredakan, bukan menajamkan konflik kerana yang rugi dalam soal ini ialah rakyat," katanya lagi.

Masalah yang sama pernah berlaku di Kelantan pada hujung 1990-an apabila pentadbiran negeri menggunakan istana untuk menyulitkan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika itu kerajaan negeri juga menghadapi dilema apabila penasihat undang-undang, pegawai pusat juga menimbulkan masalah.

Sehubungan itu kata beliau, masalah berhubung dengan pentadbiran yang dialami di Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor ini hanya boleh diselesaikan jika Pakatan menang di pusat.

Bagaimanapun itu bukan jaminan kerana peruntukan perlembagaan negeri dalam soal pelantikan anggota Exco itu meletakkan kuasa di tangan Sultan.

"Ia tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja. Sebagaimana yang terjadi dalam krisis di negeri-negeri yang disebutkan tadi istana mungkin mengambil kesempatan atau digunakan oleh Umno seperti sekarang," katanya lagi.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San pula berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52(1), jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan daripada kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Katanya, Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah berbangsa Melayu dan menganut agama Islam serta hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pentadbiran negeri.

"Saya ingin merujuk kepada lapporan hari ini berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa pada 'pendapat' beliau, keputusan untuk melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah 'confirm' kerana Tuanku telah berkenan untuk melantik beliau.

"Kenyataan oleh Datuk Munir sebenarnya tiada sebarang asas perlembangan," katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah jelas bahawa pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malah, ia boleh dilantik daripada kalangan mereka di "Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan" termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Perkataan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam" tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

"Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

"Ini sekali gus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar," katanya.

Oleh itu kata beliau, pelantikan penyandang jawatan tersebut wajar dirujuk kepada kerajaan negeri Selangor dan lebih baik lagi pendangan dan pendapat kerajaan negeri diambil dan diterima pakai kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting.

"Dan, sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi," katanya.

Jangan marah-marah dulu! - UMNO tidak akan berubah

Posted: 28 Dec 2010 03:00 AM PST

Rombakkan yang dilakukan oleh UMNO bagi Perhubungan Negeri-Negeri diumumkan semalam. Rombakkan ini telah ditunggu dengan sabar oleh ramai ahli-ahli UMNO dan semalam saat yang ditunggu-tunggu itu sampai. Rupa-rupanya tidak ada rombakkan pun. Yang ada hanyalah ibarat menganjak dan mengalih anak-anak pokok jantan yang tidak mungkin menghasilkan buah. Pokok jantan selalunya memang rimbun daunnya tetapi tidak berbuah dan tidak berhasil.

Negeri Kedah merupakan Negeri yang sangat penting untuk UMNO membariskan pemimpin yang berimej baik dan diterima oleh rakyat Kedah sebagai barisan yang akan mengambil alih tempat Dato Seri Azizan dan kerajaan tajaan PAS disana. Jika barisan yang diumumkan itu merupakan dari kumpulan yang ditolak rakyat dahulu, berikanlah dalil-dalil bagaimana meraka hendak merampas kembali kuasa melalui pilihanraya umum nanti. Nampaknya macam jauh panggang dari api, atau bermimpi disiang hari sahaja.

Mereka pernah berkuasa tetapi oleh kerana kelemahan meraka jugalah mereka ditolak. Jika mereka telah ditolak bagaimana pula mereka hendak melakukan usaha untuk kembali diterima rakyat? Bashah merupakan seorang pemimpin yang menjadi isu diKedah, tetapi pucuk pimpinan masih memilih Bashah juga sebagai peneraju untuk mengambil alih kerajaan negeri Kedah dari PAS. Kawan saya dari Kedah memberi tahu saya, "habislah bro! habis!"

Begitu jugalah diPulau Pinang dan negeri-negeri lain yang nampaknya tidak ada perubahannya. Perubahan hanya diperingkat Timbalan Pengerusi tetapi mereka ini adalah dari kumpulan yang sama dengan imej yang sama dan karaktor yang sama. Jadi dimanakah yang dikatakan perubahan itu? Jika kita hanya menukar baju tetapi masih lagi dengan tubuh yang sama, bagaimana hendak mengatakan sudah ada perubahan diperingkat perhubungan?

DiTerengganu, rata-rata rakyat disana mengatakan yang penukaran Pengerusi Perhubungan dengan mengambil dan memilih Ahmad Said sebagai usaha untuk mempersiapkan BN disana untuk mengekalkan pilihan rakyat diTerengganu dalam pilihanraya yang akan datang tidak akan membuahkan apa-apa. Katalah apa yang tuan-tuan hendak dikatakan; dengan barisan kepimpinan yang baru yang diumumkan semalam Terengganu memang sudah hampir pasti menghadapi kekalahan.

Memang tidak sedap mendengar pandangan saya ini, tetapi dimana dia kebenaran untuk menafikan pandangan saya ini? DiPahang Adnan Yaakop adalah pemimpin yang telah melepaskan dua kerusi Parlimen diPahang dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri. Tetapi beliau masih dikekalkan sedangkan ramai dibawah ini mengharapkan perubahan disana…tetapi tidak juga berubah.

DiPerak Zambri Kadir mengahadapi masalah dokongan dari Bahagian-Bahagian dinegeri tersebut, tetapi beliau tetap menjadi peneraju untuk mengekalkan kerajaan yang dirampas secara tidak demokratik itu. DiSelangor UMNO sedang mencari dan membelek-belek kesalahan kerajaan PR. Yang kecil diperbesarkan tetapi tidak pula berdaya membuktikan kepada rakyat yang dinegeri itu tidak ada berlaku rasuah mega semasa pimpinan BN dahulu.

Betullah Presiden Parti menjadi Pengerusinya tetapi Presiden parti sendiri menjadi bahan umpatan dimana-mana dan beliau tidak dapat hendak melenyapkan pandangan serong rakyat terhadap beliau. Jika ada yang bertaruh yang PR akan kekal berkuasa diSelangor banyak yang mengatakan mereka akan menang pertaruhan itu.

DiNegeri Sembilan PR hanya memerlukan 6 kerusi sahaja lagi untuk berkuasa, tetapi UMNO NS tidak ada perubahan langsung. Dalam pada itu rata-rata mengatakan yang DUN Pilah, Johol dan Juasseh diKuala Pilah akan jatuh jika pimpinan negeri masih tidak berubah. Nun diJelebu dikatakan ramai DUN Chennah akan gugur. Di Jempul katanya, Jeram Padang akan jatuh ketangan PR jika PR meletakkan calun Melayu disana.

Perpecahan yang dicetuskan oleh pimpinan negeri diJempul akan menambah ketenatan BN diJempul. Bagaimana dibahagian-bahagian yang lain? Jika NS tumpas maka tidak ralat lagilah rakyat untuk meletakkan kesalahan kepada pucuk pimpinan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk mencari ganti yang 'viable' bagi NS.

Hanya Melaka sahaja yang dikatakan akan mengekalkan semua kerusi BN yang dimenanginya dalam pilihanraya umum yang lalu. Tidak keterlaluan jika ada mereka yang memberikan pandangan yang Johor akan kehilangan beberpa kerusi Parlimen kepada PR. Jika Johor yang dikatakan sebagai kubu UMNO dapat ditembusi PR maka jika panjang umur kita semua, kita akan melihat kejatuhan pihak kita dimana-mana diseluruh negara.

Tentu ramai yang membenci saya dengan pandangan saya ini, tetapi apakan daya, saya tidak mampu untuk membohongi diri saya sendiri. Dulu blog ini pernah membuat telahan yang PR akan memenangi 75 kerusi Parlimen diSemenanjung ini. Ramailah yang menghentam saya dan menuduh diri saya sebagai pengkhianat kerana mereka tidak mendapat pandangan yang mereka ingin mendengarnya dari saya. Tetapi apabila keputusan disiarkan secara terus menerus, terbukti sebanyak 81 kerusi Parlimen diSemenanjung dan 1 kerusi diSarawak telah tumpas ditangan PR. Kerusi yang jatuh melebihi dari apa yang blog ini ramalkan.

Kali ini saya akan memberikan imbasan mengikut kajian saya yang serba tidak sempurna ini; BN keseluruhannya akan memenangi tidak lebih dari 100 kerusi diseluruh negara. Itu pandangan saya dan saya tidak berhajat untuk membawa sesiapa untuk mempercayainya.

Sekarang barulah ramai yang bertanya kenapa UMNO tidak mampu mencari pemimpin yang dihormati ramai untuk memimpin perhubungan negeri-negeri? Jawapannya ialah; kita tidak melakukan perubahan serta mengenepikan pemimpin yang tidak senonoh semasa budaya itu belum merebak. Sepatutnya dari dulu lagi pucuk pimpian mesti mengenepikan seorang demi seorang jika mereka melakukan kesalahan.

Sepatutnya dahulu lagi pucuk pimpinan patut membuang pemimpin ibarat makan tebu; busuk seruas dibuang seruas. Tetapi dibiarkan keseluruhan batang tebu itu busuk, maka nak mencari ruas yang boleh dimakan sudah tidak ada lagi. Nak dibuang pula sebatang tebu tidak ada pula yang akan memimpin. Maka UMNO kini terpaksa menggunakan juga ruas-ruas tebu yang busuk itu. Bak kata anak-anak muda sekarang, 'nasib lu lah brader'.

Itu sebabnya saya tidak segan dan silu menyalahkan kepimpinan 3 dekad dahulu. Beliau tidak mula membuang ruas-ruas tebu yang busuk itu secara beransur-ansur. Kerana apa? Sebab nak mendapatkan sokongan untuk berkuasa dengan lama. Hasilnya apa? Kita semua menjadi mangsa. Bila dah hilang keyakinan rakyat salahkan semua orang lain. Beliau tetap tidak bersalah. Seorang pemimpin UMNO memberitahu saya petang semalam, "UMNO sudah hilang hidayah sebenarnya, hanya Tuhan mampu menyelamatkannya".

Sama-samalah kita lihat nanti. Doakan supaya pandangan saya ini salah. Jika pandangan saya ini salah saya sendiri akan mengadakan kenduri kesyukuran yang kecil mengikut kemampuan saya. Jika saya tidak mampu hendak mengadakan kenduri, insyaallah saya akan menghantar sesikat dua pisang dimana-mana masjid dalam keriah saya.

Jangan kutuk saya dulu. Tengok keputusannya dahulu sebelum mengkritik saya. Kalau nak mengata saya juga, suka hati 'hang'lah.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2010/12/jangan-marah-marah-dulu.html

Edisi Berani! Raja Petra Dedahkan Siapa Menteri Yang Rogol Amah?

Posted: 28 Dec 2010 01:20 AM PST

Saya tak akan tunduk desakan pengikut Syiah, kata Pengarah Jais

Posted: 28 Dec 2010 01:00 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 28 Dis — Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Khusrin Munawi bertegas tidak akan memohon maaf kepada 200 pengikut ajaran Syiah yang ditangkap agensi kerajaan itu dua minggu lalu.

Ini kerana menurut Khusrin, pihaknya mempunyai bukti kukuh bahawa kumpulan itu yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada 15 Disember lalu menyeleweng daripada ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunah Waljamaah.

"Kita dah ikut kumpulan itu dua tahun, kita sudah ada bukti mengatakan mereka menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Jadi saya tidak akan minta maaf, buat apa nak minta maaf kepada orang yang kita tangkap.

"Kalau berkumpul biasa tiada masalah tapi kalau sudah berkumpul untuk menyebarkan ajaran ini (Syiah) ia memang salah. Sebab itu kita ambil tindakan segera, nanti kalau biar lama-lama jadi makin teruk lagi," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sehubungan itu Khusrin mencabar kumpulan ajaran Syiah itu untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati atas penangkapan dilakukan Jais.

"Kalau tidak puas hati, beritahu mahkamah. Kita sudah ada bukti mengatakan mereka menyeleweng.

"Malah dalam Fatwa yang dikeluarkan Selangor juga secara jelas mengatakan ajaran Syiah menyeleweng dan boleh dianggap sebagai kumpulan ajaran sesat," katanya.

Fatwa dikeluarkan kerajaan Selangor pada 1998 memutuskan bahawa ajaran Syiah didapati menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunah Waljamaah. Umat Islam yang menganut ajaran ini hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Malah Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan Ahli Sunnah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Semalam kumpulan Kumpulan ajaran Syiah menggesa Khusrin memohon maaf secara terbuka ekoran penangkapan 200 pengikut ajaran itu dengan mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais pada 15 Disember lalu pukul 10.15 malam, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Kumpulan yang ditahan juga dipercayai menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Kumpulan itu dilapor menyebar fahaman memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam.

MTUC mahu gaji minimum dilaksana sebelum PRU-13

Posted: 28 Dec 2010 12:30 AM PST

PETALING JAYA, 28 Dis — Dilihat sebagai isyarat arah aliran menjelang pilihan raya umum ke-13, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum dilaksanakan secepat yang mungkin.

"Seberapa segera. Ya, keyakinan saya tinggi (akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum)," kata Syed Shahir Syed Mohamud pada sidang media selepas berucap merasmikan persidangan tiga tahun sekali MTUC di Rumah Peladang di sini hari ini.

"Kami akan menyokong mana-mana parti yang menghormati hak-hak pekerja," kata beliau sambil menambah, walaupun ramai ahli MTUC berlainan parti tetapi dalam isu pekerja "kami bersatu."

MTUC dilihat akan meletakkan ia sebagai salah satu perkara yang akan dituntut pihaknya pada pilihan raya umum ke-13.

Isu gaji minimum menjadi isu diperjuangkan MTUC sejak enam dekad yang lalu.

Baru-baru ini kerajaan sudah menyatakan keputusan mahu mewujudkan dasar gaji minimum dan kemungkinan dilaksanakan Jun depan.

MTUC mempunyai 500,000 ahli dengan 260 kesatuan gabungan.

Gaji minimum dijangaka akan memanfaatkan tiga juta pekerja secara langsung.

Pada 19 Oktober lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, Kabinet telah memberi kelulusan melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisme gaji minimum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011 mengumumkan penubuhan majlis itu, yang akan menjadi platform utama penentuan gaji di negara ini.

Syed Shahir yang bertanding mempertahankan jawatannya berkata, sebagaimana masa-masa lalu MTUC akan menyediakan memorandum tuntutan untuk perhatian parti-parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Sesiapa yang terpilih nanti diharap akan mengadakan pertemuan Majlis Am untuk membincangkan pendirian MTUC dan dibawa untuk perhatian parti-parti politik yang bertanding.

"Di negara-negara lain, apabila ada pilihan raya parti-parti politik yang bertanding akan mengajak kesatuan sekerja untuk bertanya mengenai tuntutan pekerja," kata beliau.

Syed Shahir juga berkata, sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, MTUC boleh memanggil mesyuarat khas Majlis Am bagi tujuan membincangkan isu-isu yang hendak dituntut.

Hari ini, selain dasar gaji minimum, beliau juga menyertakan isu melanjutkan usia persaraan pekerja sekerja swasta, cuti bersalin 90 hari, dana pemberhentian pekerja dan pindaan undang-undang perburuhan antaranya Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kerja yang tidak merugikan kaum pekerja.

MTUC pernah mengemukakan tuntutan pekerja ketika pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Sementara itu, dalam ucapannya, Syed Shahir yang menerajui MTUC sejak 2004 berkata, kongres itu mahu gaji minimum RM900 dan elaun kos sara hidup RM300 dijadikan sebagai asas gaji minimum.

"Ia adalah satu pendapatan yang munasabah pada masa kini bagi seseorang pekerja untuk memenuhi tuntutan kehidupan manusiawi sebagai seorang pekerja di negara ini.

"Beberapa siri kempen dan forum gaji minimum yang dianjurkan MTUC melalui media elektronik dan media alternatif telah mendapat respons yang baik daripada pelbagai pihak serta memberi impak besar ke arah merealisasikan harapan semua pekerja di Malaysia terhadap gaji minimum.

"Sehubungan itu, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan draf undang-undang gaji minimum dalam usaha melaksanakan gaji minimum di pelbagai sektor pekerjaan dalam negara," katanya lagi.

Katanya, pada masa yang sama MTUC tidak boleh merasa selesa dan alpa serta perlu terus mengambil langkah-langkah lain dengan memberi perhatian serius dalam usaha menjadikan MTUC terus relevan.

"Penubuhan Tabung Penamatan Pekerajaan, menjalankan program latihan, menghapuskan sistem pekerjaan kontrak dan 'out sourcing', mengurangkan penggantungan terhadap tenaga kerja asing, usaha meningkatkan kemahiran bagi mencapai pendapatan tinggi adalah merupakan di antara usaha tersebut," katanya lagi.

Mahkamah Rayuan Syariah benar permohonan Dr Asri

Posted: 28 Dec 2010 12:00 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis — Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk mengemukakan rayuan terhadap isu pemindahan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah dari Mahkamah Rendah ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md Yusup Che Teh sebulat suara membuat keputusan itu dengan alasan ia melibatkan undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan awam.

Pada 28 April lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid memindahkan kes Dr Mohd Asri dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Md Yusup semasa membacakan keputusan itu berkata perayu yang diwakili peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman diberikan masa selama 14 hari, mulai hari ini untuk memfailkan rayuan.

Md Yusup berkata mahkamah berpuas hati dengan permohonan itu kerana mempunyai asas, khususnya dalam isu bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie memindahkan kes itu yang memberikan kesan kepada pemohon dan kes-kes hadapan, yang melibatkan kepentingan awam untuk mengemukakan rayuan.

Md Yusup berkata isu bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie untuk memindahkan kes tanpa sekatan perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Pada 18 Nov tahun lepas Dr Mohd Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C, Taman Seri Ukay Ampang antara pukul 8.10 malam hingga 9.45 malam 1 Nov 2009.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan Mohd Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama

Kesian Shahidan Kassim. Kemasukan 40 Ulamak Umno Tiada Nilai

Posted: 27 Dec 2010 11:29 PM PST

Shahidan pertikai Md Isa terajui UMNO Perlis

Bekas MB dakwa sukar kerjasama, syak ada campur tangan

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, semalam berpendapat keputusan mengekalkan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengetuai UMNO negeri itu mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu.

Beliau yang mengisi jawatan menggantikan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut mempersoalkan sejauh mana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dijadikan penanda aras oleh pucuk kepimpinan UMNO terhadap pencapaian seseorang pemimpin, terutama di negeri itu.
Shahidan juga menyatakan sukar baginya untuk bekerjasama dengan Md Isa yang dianggap sebagai 'perampas' jawatannya sebelum ini.

"Pada saya, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis kini tidak menepati KPI berkenaan. Mungkin keputusan mengekalkannya itu dibuat atas dasar campur tangan baik oleh ahli parti atau mereka dari luar atau mungkin juga campur tangan veteran UMNO.

"Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini," katanya ketika diminta mengulas rombakan kepemimpinan UMNO negeri yang mengekalkan Md Isa sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan ada wakil rakyat di Perlis tampil melobi Perdana Menteri untuk jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.
Bagaimanapun, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Mat Rawi Kassim menafikannya, sekali gus menganggapnya sebagai khabar angin semata-mata yang diwujudkan pihak tertentu berasaskan kepentingan peribadi.

Sementara itu, Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang disifatkannya sebagai gandingan terbaik UMNO Perlis dalam usaha menjana kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Gandingan itu pada saya amat elok sekali. Mungkin akan ada perbezaan pendapat antara kami, tetapi keputusan itu dianggap tepat untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Justeru, saya harap semua pemimpin baik di peringkat cawangan, bahagian dan sayap dapat bekerjasama dengan mantap selepas ini demi mengukuhkan perpaduan sesama ahli, sekali gus memastikan kemenangan parti," katanya.

United, City pimpin saingan liga

Posted: 27 Dec 2010 09:00 PM PST

LONDON - Dua kelab berjiran, Manchester United dan Manchester City kini menguasai dua tempat teratas Liga Perdana England selepas masing-masing mencatat kemenangan awal pagi semalam.

United yang dibimbing Alex Ferguson menang 2-0 ke atas Sunderland di Old Trafford manakala City yang dibimbing Roberto Mancini menewaskan Newcastle 3-1 di St. James Park.

Kemenangan itu membolehkan United mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga kerana bermain kurang dua perla- wanan berbanding City.

Manakala kedudukan City di tangga kedua masih belum selamat kerana boleh dipintas bila- bila masa oleh Arsenal dan Chelsea yang beraksi kurang satu perlawanan.

Dimitar Berbatov muncul wira United apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukannya ketika menewaskan Sunderland.

"Dimitar mampu menjaringkan empat atau lima gol jika berjaya menyempurnakan peluang," kata Ferguson yang bangga menyaksikan penyerang dari Bulgaria itu kini menguasai senarai penjaring terbanyak dengan 13 gol.

Carlos Tevez juga turut menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol menerusi Gareth Barry ketika menewaskan Newcastle yang kemudiannya memperoleh gol sagu hati menerusi Andy Carrol.

"Lega dapat menyaksikan pasukan kami bangkit sele- pas tewas mengejut kepada Everton sebelum ini. Penting menang perlawanan ini untuk terus bersaing merebut kejuaraan liga," kata Mancini.

Tottenham kekal di tangga kelima liga selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa di tempat lawan walaupun terpaksa bermain 10 orang selama lebih sejam kerana Jermaine Defoe dibuang padang gara-gara menyiku.

"Kehilangan Jermain menyukarkan kami tetapi mujur kami berjaya mengawal permainan. Pada babak kedua kami menggunakan taktik serangan balas pantas dan ternyata ia berhasil," kata pengurus Spurs, Harry Redknapp.

Dua perlawanan pula terpaksa ditunda akibat salji tebal membabitkan pertemuan Blackpool-Liverpool dan Everton-Birmingham. - AFP

Kenyataan media: Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor

Posted: 27 Dec 2010 09:00 PM PST

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Isnin, 27hb Disember 2010:

Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor

Saya terkejut dan tergempar dengan pengumunan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataannya bahawa Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Khusrin Munawi akan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Perlantikan ini difahamkan belum mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan saya berpendapat perkara ini tidak boleh diumumkan langsung sebelum mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan perlu diwujudkan dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan hendaklah berbangsa Melayu dan menganut Agama Islam,dan hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal pentadbiran negeri.

Oleh itu adalah jelas bahawa perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malahan ianya boleh dilantik daripada "Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan" termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru telah mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor juga merupakan satu kenyataan yang mengelirukan kerana tidak disebut dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bahawa perlantikan Setiausaha Negeri perlu mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor.

Malahan Setiausaha Kerajaan bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Tindakan Ketua Setiausaha Negara membuat pengumuman ini tanpa mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri merupakan satu tindakan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Adalah amat malang bahawa ianya juga telah dilihat sebagai satu tindakan balas dendam terhadap keputusan Kerajaan Selangor melarang penggunaan logo "1Malaysia" di atas papan tanda iklan luaran dan papan tanda perniagaan.

Saya berharap perlantikan jawatan ini dapat dilakukan dengan cara yang telus dan beramanah tanpa sebarang bentuk unsur sabotaj di mana hanya mereka yang betul-betul komited, berupaya dan independen sahaja yang dilantik ke jawatan ini.

Memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan pegawai utama yang akan bekerja bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Selangor, maka perlantikan ini harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

Tiada ulasan: