Jumaat, 3 Disember 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Badrul Amin – Istana Beri Lampu Hijau Terima Memorandum Air

Posted: 03 Dec 2010 03:00 PM PST

SHAH ALAM, 4 Dis – Penyelaras kempen perhimpunan menentang kenaikan harga air, Badrul Amin Bahrom berkata perhimpunan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Ahad ini tetap diteruskan kerana wakil Istana Negara telah memberikan lampu hijau bagi pihaknya menerima memorandum berkenaan.

Beliau yang dihubungi petang tadi berkata meskipun pengarah kempen yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok tidak dimaklumkan oleh pihak polis mengenai permit perhimpunan tersebut.

"Polis tidak menjawab walaupun kita telah memaklumkan kepada mereka dan kita hanya diberi amaran melalui media oleh pihak polis.

"Kita tetap teruskan perhimpunan atas alasan, ia merupakan hak setiap individu untuk berhimpun," ujar beliau.

Menurut Badrulamin lagi, ini berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh yang membebaskan orang kena tangkap (OKT) daripada semua pertuduhan kes perhimpunan Bersih 2007 lalu.

Dalam perbicaraan tersebut, Jagjit berkata pihak polis telah melanggar kebebasan beragama dalam Artikel 11 Perlembagaan apabila menangkap semua tertuduh di Masjid Negara.

Ditanya tentang langkah-langkah yang telah diambil tentang persediaan perhimpunan yang akan diadakan itu beliau berkata pihaknya telah menyediakan 500 petugas yang terdiri daripada Unit Amal (PAS), Briged Keadilan dan Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom) bagi menghalang provokasi daripada pihak-pihak tertentu.

"Mereka akan mengawal provokasi yang berkemungkinan dicetuskan oleh kumpulan baju hitam dan daripada pihak polis sendiri.

"Kita telah menasihat pihak kita supaya tidak bertindak liar dan bersabar menghadapi apa sahaja bentuk provokasi dan ikut arahan pemimpin.

Pada masa sama, beliau turut berharap kumpulan baju hitam menghentikan hasrat untuk mengganggu perjalanan perhimpunan menentang kenaikkan harga air.

"Kalau betul-betul ada bukti penyelewengan negeri Selangor, ikutlah saluran yang betul…serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bukannya kepada Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya minta pihak polis juga bersikap profesional dan bijaksana dalam menangani kedua-dua perhimpunan tersebut," tambah beliau yang juga Ketua Penerangan Selangor.

DAP dedahkan tanah lombong 4,502 ekar dengan premium RM66 satu ekar diluluskan oleh BN Perak

Posted: 03 Dec 2010 02:15 PM PST

Kenyataan media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Jumaat, 3hb Disember 2010:

DAP dedahkan tanah lombong 4,502 ekar dengan premium RM66 satu ekar diluluskan oleh BN Perak

DAP Perak hari ini mendedahkan bahawa semenjak rampasan kuasa Barisan Nasional pada 9/2/2009, kerajaan Negeri telah meluluskan kawasan seluas 4,502 ekar tanah lombong tetapi jumlah premium yang dikutip hanya RM297,357.00, iaitu hanya RM66 satu ekar sahaja.

Menurut jawapan rasmi Menteri besar Negeri Perak, Dato Seri Dr Zamry Bin Abdul Kadir kepada pertanyaan saya dalam persidangan Dewan, adalah amat terperanjat bahawa kerajaan Negeri telah meluluskan kawasan luas lebih 4,500 ekar tanah lombong kepada pihak swasta tetapi premium yang dikutip adalah hanya RM66 satu ekar sahaja.

Mengikut peraturan Tanah Negeri Perak, Perak Land Rules, kutipan premium tanah yang minimum sepatutnya RM1,000 satu ekar. Oleh demikian, saya menggesa Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) mengambil tindakan wajar untuk menyiasat perkara ini supaya membela kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan Negeri BN juga meluluskan tanah kuari sebanyak 503 ekar dengan kutipan premium sebanyak RM7,099,250.00, iaitu kutipan premium RM14,113.81 satu ekar.

Saya meminta penjelasan daripada kerajaan Negeri sama ada tanah kuari dan tanah lombong yang mempunyai nilai komersial tinggi dianugerahkan menerusi proses tender terbuka ataupun dengan rundingan terus. Perdana Menteri, Dato Seri Najib Bin Tun Razak pernah menyarankan supaya tanah negeri yang mempunyai nilai komersial diluluskan dengan proses tender terbuka supaya kerajaan dapat memperoleh hasil cukai yang lebih tinggi untuk tujuan pembangunan Negara.

Hutang Negeri Perak kini mencecah RM900 juta

Rakyat perlu sedar kedudukan kewangan kerajaan Negeri kini menunjukkan bahawa jumlah hutang kerajaan Negeri sudah meningkat 500% dalam 10 tahun sehingga RM903 juta dari RM182 juta pada tahun 1999. Yang membimbangkan adalah wang rizab negeri hanya setakat RM795 juta, iaitu hutang telah melebihi segala simpanan kumpulan wang bersatu Negeri.

* Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Negeri Perak & ADUN Kawasan Pantai Remis

NGO mahu kaji semula harga minyak agar rakyat bawahan tidak terbeban

Posted: 03 Dec 2010 08:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kenaikan harga barang kawalan seperti minyak, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula kesan daripada rasionalisasi subsidi mendapat reaksi pelbagai daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 adalah tidak wajar kerana minyak merupakan nadi kepada rakyat.

"Kalau gula naik, tidak apalah, tapi kalau harga minyak naik, rakyat di negara ini akan makin terdesak kerana minyak menjana pembangunan negara.

"Rakyat banyak menggunakan bahan tersebut dan pertimbangan mengenai kenaikan harga minyak adalah perlu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kerajaan sewajarnya mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga minyak supaya golongan sasaran saja yang menikmati subsidi berkenaan.

Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan harga keempat-empat barangan itu yang diumumkan kerajaan hari ini.

Berkuatkuasa mulai esok, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo.

Pandangan Hamdan itu turut dikongsi oleh Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengulangi pendiriannya sebelum ini mengenai kenaikan harga gula dan minyak.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya bimbang mengenai kenaikan harga kesemua barangan berkenaan terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Kita bimbang dengan kenaikan ini (harga barangan) akan menjejas golongan berpendapatan rendah terutamanya yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

-Bernama-

Muhyiddin Takut Kejahatan Terbongkar.

Posted: 03 Dec 2010 07:24 AM PST

Parti Islam Se-Malaysia PAS mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewengan kerajaan BN akan terbongkar sehingga beliau mengingatkan pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.

Tan Sri Muhyidin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah. Berapa banyak Akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak. Nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang. Tan Sri Muhyidin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan Umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui. Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita. Rakyat akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini

Timbalan Presiden Umno buat-buat lupa, pada hal media Umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Dato' Seri Haji Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada YAB Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi. Tan Sri Muhyidin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar. Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan,pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno. Mereka pergi dengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela. Timbalan Presiden Umno boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu, apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan. Tetapi zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri pada pemimpin Umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Iktikad ‘Ketuanan Melayu’ Menyanggahi Islam

Posted: 03 Dec 2010 06:30 AM PST

IKTIKAD 'KETUANAN MELAYU' MENYANGGAHI ISLAM

Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Merujuk kepada isu 'Ketuanan Melayu' yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;

1. Istilah 'Ketuanan Melayu' (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.

2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan 'tuan' kepada ketuanan dan digabungkan dengan 'melayu', ia bermaksud orang melayu berada dalam status 'tuan' atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan 'bukan melayu'. Jika hendak ditakrifkan maka bererti 'kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia'.

3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan 'hak keistimewaan melayu', kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan 'keistimewaan' tidak boleh disamakan dengan ketuanan.

4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka 'bangsa terpilih' (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.

5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan" (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

7. Adapun hadis Nabi s.a.w: "Para pemimpin dari Quraish" (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:

"Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim).

Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.

8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

[Sumber]

Kerajaan negeri siasat Syabas paksa warga kerja sertai demo GAPS

Posted: 03 Dec 2010 06:00 AM PST

SHAH ALAM, 3 Dis - Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kesal dengan tindakan Syabas yang dikatakan mengarah kakitangannya mengadakan demonstrasi berbaur politik untuk mengecam usaha Kerajaan Negeri menghalang syarikat itu daripada menaikan harga air.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syabas tidak sepatutnya mengheret kakitangan bawahan menentang Kerajaan Negeri, kerana rundingan pengambilalihan urus air Selangor hanya melibatkan pengurusan tertinggi konsesi itu.

Kerajaan negeri akan menyiasat kesahihan laporan bahawa kakitangan Syabas dikerah oleh majikan untuk menunjuk perasaan di Masjid Negeri Shah Alam, selepas solat Jumaat hari ini.

Hanya kira-kira 80 orang, hadir bagi menyerahkan memorandum tajaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan kepada Istana Selangor itu.

Seperti yang dijangka, penunjuk perasaan lain adalah daripada Pertubuhan Pribumi Malaysia dan ahli-ahli Umno.

"Syabas dilaporkan mengarahkan kakitangannya untuk menyertai tunjuk perasaan itu, Saya berpendapat ini tidak betul kerana kerana kakitangan Syabas tidak ada kena mengena dengan penyusunan semula pengurusan air di Selangor," tegas Tan Sri Khalid.

"Saya memandang perkara ini dengan serius, saya telah meminta pegawai kawal selia air negeri selangor untuk menulis surat kepada syabas dan memberitahu tentang kewajipan mereka," tambah beliau

Tunjuk perasaan hari ini dianjurkan oleh sekumpulan penyokong Umno yang memanggil diri mereka Gagasan Anti-Penyelewengan Selangor atau GAPS.

Kumpulan ini turut merancang untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan Ahad ini bagi menyaingi perarakan anjuran kerajaan negeri untuk menyampaikan memorandum kepada Yang diPertuan Agong.

Memorandum itu adalah untuk mendesak istana supaya campurtangan menegakkan kepentingan rakyat setelah Umno-Barisan Nasional terus melindungi Syabas dan enggan memberikan hak kepada kerajaan negeri untuk menguruskan sumber air di Selangor.

Syabas diberi kontrak lumayan yang menyaksikan Pengerusinya Tan Sri Rozali Ishak menerima gaji lebih RM400,000 sebulan manakala Syabas sendiri memberikan kontrak-kontrak secara terus tanpa proses tender.

Syarikat itu mahu menaikkan harga air sebanyak 37 peratus dan mahu menyaman kerajaan negeri Selangor kerana membantah rancangannya itu.

Cilaka! Padan Muka! Undi La Umno Bn Lagi. Memang Parti Tolong Rakyat

Posted: 03 Dec 2010 05:17 AM PST

Inflasi tinggi tanda kenaikan harga petrol

SHAH ALAM, 3 Dis – Kenaikan harga barangan bersubsidi iaitu petrol RON95, gas LPG, diesel dan gula jelas menunjukkan kadar inflasi negara sememangnya tinggi dan bukannya sederhana seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan Umno-BN.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjelaskan apabila inflasi tinggi, harga hampir kesemua barangan dan servis akan meningkat tetapi impak terbesar adalah pada sektor pengangkutan dengan kenaikan harga tambang bas dan sebagainya.

"Bila harga naik juga bermaksud inflasi telah naik, dan kerajaan selalu mengatakan bahawa inflasi tidak naik tetapi dalam keadaan-keadaan sederhana. Tetapi apabila saya berbincang dengan warga miskin, di jalanraya, di pasar, mereka kata kebanyakan harga barang telahpun naik. Tahun ini sahaja, bulan ke bulan harga naik," kata beliau kepada Selangorkini, petang tadi

Beliau yang mendapat berita berkenaan kenaikan harga RON95 yang dijangka naik lima sen bermula tengah malam ini berkata penurunan subsidi oleh kerajaan Umno-BN hanya akan memiskinkan lagi rakyat jelata.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan memang hendak menurunkan subsidi untuk rakyat, tapi untuk kaya dan kroni dia masih bagi subsidi. Tetapi untuk rakyat jelata yang miskin, pekerja, petani, dan penganggur dan orang-orang yang berpendapatan rendah, mereka tidak akan mendapat apa-apa," tegas beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata dakwan kerajaan bahawa inflasi tidak begitu berubah hanyalah 'public relations' (perhubungan awam) sahaja.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan menaikkan harga barangan asas termasuk minyak petrol jelas menunjukkan bahawa kerajaan Umno Barisan Nasional tidak menghiraukan kesusahan rakyat.

"Jangan lupa ia akan mencetuskan tekanan inflasi. sebab barang-barang ini bersangkutan seperti petrol, gas, diesel, gula ada dalam perkhidmatan dan produk. tenaga diesel, gas ini penting. semua pengedar, pengilang, peruncit, pengguna akan menanggung dengan kenaikan ini', ujarnya petang tadi.

Menurutnya, BN tidak mempedulikan nadi rakyat kerana kenaikan harga berkenaan juga secara tidak langsung akan mencetuskan kenaikan pelbagai barangan asasi.

""Dengan kenaikan barang asasi ini bakal mencetuskan tekanan dan keperitan kehidupan rakyat berpendapatan rendah khususnya kerana mereka ini kalau kita fikir, orang yang berkerja ada juga mungkin kenaikkan gajinya…tetapi kalau orang yang tidak berpendapatan tetap dan tiada gaji, apa kenaikan pendapatan mereka? mereka terbeban dengan kenaikan ini" katanya lagi.

Beliau menambah kenaikan tersebut juga membayangkan kerajaan terhimpit untuk mendapatkan dana atau meningkatkan pendapatan mereka.

Menurutnya lagi, setelah kerajaan BN gagal mengemukakan pembentangan cukai baru GST, mereka mengambil jalan untuk menaikkan harga barangan asa berkenaan secara berperingkat.

""Kerajaan tetap mencari pendapatan untuk mereka dengan memangsakan rakyat, rakyat perlu dimangsakan…bukan dengan kegiatan ekonomi, pelaburan, produktiviti dan sebagainya," tambah beliau lagi.

GAPS enggan jawab isu Syabas dan air, hanya 80 orang hadir serah memo

Posted: 03 Dec 2010 04:06 AM PST

SHAH ALAM, 3 Dis - Hanya kira-kira 80 orang, hadir untuk menyerahkan memorandum tajaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan kepada Istana Selangor dalam cubaan untuk mengalih tumpuan rakyat daripada usaha Syabas menaikkan harga air sebanyak 37 peratus.

Sebilangan daripada penunjuk perasaan itu dikatakan pekerja Syabas yang dipaksa oleh majikan meninggalkan tugas dan hadir sama menyerahkan memorandum itu selepas solat Jumaat.

Seperti yang dijangka, penunjuk perasaan ini turut merangkumi penyokong Pertubuhan Pribumi Malaysia dan ahli-ahli Umno.

Sambutan dingin terhadap tunjuk perasaan ini menjadi bukti paling jelas Umno dan NGO tajaan parti itu ditolak oleh rakyar Selangor yang memberi sokongan untuk menyekat Syabas daripada menaikan harga air.

Kumpulan ini menamakan diri sebagai Gabungan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS.

Bagaimanapun mereka berdiam diri apabila ditanya oleh Selangorkini mengenai pendirian masing-masing terhadap konsesi yang diberikan oleh Umno-Barisan Nasional kepada Syabas pada tahun 2007.

Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin enggan menjawab persoalan mengenai tindakan Syabas mahu menaikan harga air sebanyak 37 peratus dan usaha kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghalang langkah itu.

Sebaliknya, Hamidzun mendakwa mempunyai bukti mengenai beberapa penyelewengan yang menurut beliau, perlu diambil tindakan oleh istana Selangor walaupun jelas agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah lebih sesuai untuk aduan seumpama itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya tidak bermasalah dengan memorandum yang dikemukakan oleh GAPS sungguhpun sedar ia lebih bersifat provokasi dan bukan untuk menegakkan kepentingan rakyat.

Memorandum berkenaan disampaikan oleh Hamidzun kepada pegawai istana di pintu pagar Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dan seperti biasa, penyerahan memorandum diiringi dengan beberapa penyokong tegar Umno menjulang kain rentang dan melaung sogan-slogan berbentuk serangan peribadi terhadap pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyatm termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali. .

Penganjur mendakwa perhimpunan ini disertai oleh Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia dan Jaringan Melayu Malaysia yang semuanya didokong oleh Umno.

Namun hakikat ialah sokongan hambar terhadap tunjuk perasaan ini membuktikan ahli-ahli Umno sendiri menolak politik perkauman yang cuba dibawa oleh kumpulan ini.

Wanita Singapura dituduh tipu Rashid Hussain RM7 Juta

Posted: 03 Dec 2010 03:30 AM PST

SHAH ALAM, 3 Dis – Seorang wanita warga Singapura hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu ahli perniagaan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebanyak RM7 juta tahun lepas.

Sharida Abdul Majid, 46, juga ahli perniagaan, dituduh menipu Abdul Rashid di Peremba Square, Shah Alam, antara September 2009 dan 13 Nov 2009 dengan memperdayanya bahawa dia telah memperoleh kontrak bernilai tidak kurang 8 juta dolar Brunei (RM18.9 juta) serta menawarkan Abdul Rashid untuk menyertai kontrak itu.

Dia didakwa telah mendorong Abdul Rashid untuk menyerahkan wang berjumlah RM7 juta melalui tiga keping cek Standard & Chartered Bank sebagai bahagian penyertaan beliau dalam kontrak itu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh didenda.

Sharida juga menghadapi pertuduhan menggunakan satu dokumen cagaran berharga, iaitu dua keping bil tunai syarikat High Motivations Sendirian Bhd bertarikh 28 Sept 2009 sebagai tulen, antara 2 Okt 2009 dan 26 Okt 2009, yang mana beliau mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda.

Sharida mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhaida Zainal Azhar memohon mahkamah supaya mengenakan ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin warga Malaysia manakala passport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

"OKT (Orang kena tuduh) merupakan warga negara asing, rakyat Singapura… ada kebarangkalian tinggi untuk beliau melarikan diri," katanya.

Peguam Mohd Azfar Abdullah, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah bekas suami Sharida, kemudian membuat rayuan bagi pihak wanita itu dan meminta supaya mahkamah mengenakan nilai jaminan yang rendah.

Katanya hasil perkongsian hidup dengan Sharida selama 23 tahun mereka dikurniakan empat anak, yang paling kecil berusia lima tahun.

"Oleh kerana OKT ibu tunggal, anak-anak memerlukan kehadirannya," katanya.

Mohd Azfar berkata Sharida telah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan beliau sendiri akan memastikan tertuduh hadir di mahkamah.

Katanya dalam perbicaraan nanti, Sharida akan diwakili peguam dari Tetuan Selvamookiah & Co kerana "beliau tidak sesuai mewakili tertuduh".

Wan Mohd Norisham kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan memerintahkan supaya passport Sharida diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 7 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.

-Bernama-

Apa rasionalnya PAS ganti Umno? Ini rakyat kena tahu...

Posted: 03 Dec 2010 03:00 AM PST

Berikut sedutan bahagian pertama kertas kerja Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad bertajuk "PAS Ganti Umno: Rasional & Tindakan" yang telah dibentangkan dalam "Seminar PAS Sedia Ganti Umno" pada 13 Nov 2010, di Auditorium MBSA yang dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Bersambung pada keluaran akan datang.

PAS dan Umno merupakan parti yang menjadi persaingan dalam politik Malaysia. Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, manakala PAS ditubuhkan pada 24 hb Nov 1951.

Sasaran kedua-parti ini adalah orang Melayu yang beragama Islam. Masing-masing cuba untuk meraih sokongan. PAS sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar, sedangkan Amno berjuang atas perjuangan bangsa.

Walaupun amalannya lebih kepada kebendaan dan tidak menjadikan Islam sebagai rujukan dalam tindakan. Maka sudah sampai masanya PAS menggantikan Umno, ertinya orang Melayu perlu menyertai PAS sebagai wadah penyelamat di negara ini.

Ini memandangkan Umno semakin kehilangan arah. Umno telah menjadikan ahlinya semakin kehilangan fokus, tidak lebih daripada mengejar status dan kemewahan. Agenda perjuangan sudah tidak ada, kalau pun mereka bercakap soal memperjuangkan bangsa, tetapi tetap menyalah bangsa lain. Sedangkan apa yang mereka buat hampir setengah abad kepada bangsa sendiri ketika mereka diberi kuasa mereka buat tidak faham.

Inilah yang menjadi tanda tanya di kalangan anak-anak muda, walaupun bapa mereka penyokong tegar Umno namun generasi yang terdedah dengan maklumat dan hidup dalam dunia yang berbeza dengan zaman bapa mereka. Orang melayu perlu mencari bahtera penyelamat, maka parti yang mempunyai landasan yang jelas, terbukti dan teruji ialah PAS.

Rasional kenapa Umno perlu diganti dengan PAS

Sejak awal lagi penubuhan Umno ialah untuk melawan Malayan Union sahaja. Bukan untuk mempertahankan Islam. Islam hanya alat, bukan sebagai satu asas dalam perjuangan. Kalau Islam sudah menjadi asas perjuangan, tentu mereka akan merujuk kepada Islam dalam semua hal, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kalau soal tudung yang menjadi nas yang qat'ei dalam al-Quran, pemimpin wanita, puteri dan isteri pemimpin tidak ambil kisah. Maka apa yang hendak diharap untuk mereka bercakap perkara yang lebih besar mengenai Islam.

Apabila Islam tidak mendasari dalam perjuangan maka modal pembangunan akan lapuk, kerana minda rakyat semakin berubah dan maju terutama generasi muda, mereka tahu apa tanggungjawab sebuah kerajaan yang memerintah. Siapa yang memerintah semuanya akan membuat pembangunan. Hujah pembangunan hanya sesuai di zaman 60an sahaja dan kawasan majoriti orang jahil. Sedangkan Islam relevan sepanjang masa sehingga hari qiamat.

Dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana)

Kita pun tidak tahu apa dasar Umno yang dipakai sekarang, Islamkah, Melayukah, mempertahan tanah airkah. Cuma seperti yang disebut oleh seorang pemimpin umno, perjuangan Umno hanya untuk perut sahaja dalam satu forum. Maka sekarang mereka bergaduh bukan kerana bangsa tidak terbela, agama dihina. Tetapi kerana perut sekarang sudah keroncong. Tiga negeri sudah jatuh ketangan Pakatan rakyat.

Maka banyaklah peluang terlepas, terutama negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Tidak hairanlah kepada kita bekas Menteri Besar Selangor sudah naik minyak dan berani lawan arus. Kerana lubuk emas sudah terlepas ke tangan orang lain. Contohnya Dato' Seri Khir Toyo marah kenapa terlalu banyak tol, dan harga barang terlalu mahal, suaranya semacam suara kita sahaja.

Islam hanya kuda tunggangan Umno

Ia bukan menjadikan Islam sebagai pedoman. Peralatkan Islam untuk kepentingan politik. Oleh kerana pengundi Manik Urai adalah orang yang kuat berpegang dengan agama maka tajuk Islam yang menjadi fokus dalam kempen.

Sehingga Tan Sri Muhyiddin mengatakan undi BN juga masuk syurga. Kita boleh melihat pemimpin Umno turun naik ke masjid dan surau. Wanita Umno dan puteri Umno turut bertudung dan berbaju kurung. Di Manik Urai dan Galas mereka tidak pakai seluar ketat baju sendat fasal kawasan ini kuat agama. Berbeza di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Bukit Gantang kerana kawasan itu kurang sikit penghayatan agamanya. Inilah wajah Umno boleh bertukar corak, kerana mereka menjadikan Islam sebagai tunggangan.

Program Islam sebagai alat politik

Memperkenalkan slogan Islam seperti Islam hadhari yang merupakan program penerapan nilai-nilai Islam, yang dipakej semula dengan botol baru.

Waktu diistiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatullah Khomeini.

Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu, Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategi telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus. Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan.

Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr. Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halam 15, membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya.

Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihanraya yang akan datang".

Peralatkan Melayu untuk kepentingan peribadi

Kononnya atas nama Melayu untuk bela Melayu, walaupun pada hakikatnya, hanya batu loncatan sahaja. Menggunakan Perkara 153 dalam perlembagaan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, akhirnya Melayu terus merempat di bumi sendiri.

Di mana tempat Umno kuat disitu melayu merempat. Contohnya apa yang berlaku di Kampung Plentong Tengah Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau, walaupun mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun.

Yang menjadi pendinding dan perunding ialah pemimpin Pas, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16 Disember 2009. Pemimpin Umno hanya datang lima tahun sekali untuk hendak menagih undi. Mereka membiarkan melayu susah, maka senang untuk mendapat keistimewaan untuk membantu Melayu. Sebab itu berbagai-bagai dasar yang dibuat gagal untuk membela melayu. Seolah-olah ia dirancang supaya mereka senang untuk memfaridkan harta negara dengan membiarkan orang melayu susah.

Sikap individualistik

Sikap yang hanya pentingkan diri dan kaum keluarga bukan untuk bangsa dan agama. Akhirnya rakyat sudah naik mual dengan gelagat pemimpin Umno. Parti hanya menjadi sebagai batu loncatan untuk memperkaya anak menantu, sedangkan rakyat di bawah kais pagi makan pagi. Matlamat masuk Umno ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin. Sikap metrealistik yang sudah berakar umbi dalam Umno sukar untuk diubah. Memegang jawatan sebagai tiket untuk kaut keuntungan.

Melahirkan pemimpin yang tidak berakhlak, penuh dengan skandal.

Seperti yang berlaku kepada bekas ahli parlimen Gombak, bekas ahli Ampang Jaya dan Ketua Wanita Umno Kelang. Kebetulan mereka ini tidak bernasib baik kerana media dapat tahu. Banyak lagi kelakuan yang tidak senonoh yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Malahan apabila kita bercakap dengan ahli Umno mengenai gejala yang tidak bermaruah, maka mereka mengatakan ini adalah lumrah.

Umno tidak membela agama.

Kita boleh melihat apa yang Umno sudah lakukan untuk membela agama. Orang murtad Umno diam membisu. Nampaknya Umno sanggup berdiam dalam isu murtad. Selama 62 tahun kewujudan Umno kita tidak dengar Umno bertindak sesuatu untuk mengadakan undang-undang murtad. Isu pengabaian terhadap agama mengenai murtad adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi isu mereka yang mengguris perasaan orang Melayu Islam.

Orang Agama (ulama) Umno hanya subang tembaga.

Peranan golongan agama hanya untuk menjadi peluru melawan Pas sahaja dan tidak lebih daripada itu. Peranan mereka hanya untuk tukang baca doa, tahlil dan marhaban.

Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara. Sebaliknya sijahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku.
Ketika Datin Rosmah Mansur menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam (FFI) di Monte Carlo Monarco pada 9 Ogos 2010.

Orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur. Mana suara ustaz umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja tidak lebih daripada itu.

PAS mencabar umno berikan bukti, peranan orang agama di dalam umno berkesan untuk mempertahankan Islam dan menentang kemungkaran. Orang agama di dalam umno hanyalah membesarkan tembolok sahaja. Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS.

Hujah mereka mengenai orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid, ditolak dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri yang mengharuskan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri. Rakyat mula berkata, Umno haram duit judi, tetapi halalkan judi. Pendapatan judi 2009 2.3 bilion.

Rakyat Malaysia berbelanja arak RM1.7 bilion setahun, nombor 10 tertinggi di dunia. Ke manakah pergi orang-orang agama di dalam Umno yang berkelulusan tinggi, antaranya ialah Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Dato' Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin.

Persoalannya di manakah suara mereka sekarang? Perkasakan Islam di dalam Umno? Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu, tenangkah jiwa orang agama di dalam Umno yang bergelumang dengan parti yang menyuburkan maksiat? Ilmu yang mereka belajar bertentangan dengan parti yang mereka sertai.

Dasar Umno putera bukan Bumiputera.

Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku dalam Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato' Zainal Osman - Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.

Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan sebagai satu contoh yang ketara. Wang royalti dicabul, sebanyak 118 projek kerajaan Pusat dibekukan sejak RMK 6 1991. Apakah layak Umno hendak mendakwa mereka sebagai tulang belakang orang Melayu? Apakah slogan kuat Umno perkasa Melayu menjadi realiti?

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi

Posted: 03 Dec 2010 02:30 AM PST

Harga petrol RON95, diesel, gas dan gula dijangka mengalami kenaikan lagi mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

Petrol RON95 petrol, dipercayai akan dinaikkan 5 sen menjadikan harga RM1.90 seliter.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Harga diesel pula dipercayai dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter.

Harga gula pula dikatakan akan naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan nyang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.

Strategi Umno jauhkan PAS dengan DAP meleset: Tidak mungkin 'bulan terbit siang'!

Posted: 03 Dec 2010 02:00 AM PST

PENING kepala pemimpin Umno hari ini bila menyaksikan sendiri, pemuda-pemuda PAS boleh mengibarkan bendera DAP dan pemuda-pemuda Cina, mengibarkan bendera PAS – sekaligus menampakkan mereka, kedua-duanya tidak ada masalah untuk menghadapi Umno-BN dalam setiap pilihan raya – sama ada pilihan raya kecil mahu pun pilihan raya umum.

Inilah modal Umno selama ini. Usah mengundi DAP kerana ia parti perkauman Cina yang ekstrem dan usah mendekati PAS kerana mereka adalah pendokong Islam yang ortodok. Malangnya, semakin kuat mereka melarang, semakin PAS dan DAP dapat merapatkan diri dan menjauhkan perbezaan.

Hilang segala teori Umno selama ini, kononnya tidak akan berlaku PAS dan DAP boleh duduk semeja, jauh sekali berkempen atas satu pentas, tetapi ia sudah menjadi mustahil sekarang. Mustahil PAS dengan DAP boleh bersama – sudah menjadi sebaliknya. PAS dan DAP sudah mengatakan mustahil kepada Umno-BN yang mereka tidak boleh bersama.

Pakar-pakar strategi Umno sibuk mencari formula baru, untuk memecahkan kembali hubungan PAS-DAP tetapi setakat Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi, nyata usaha Umno-BN itu tidak berjaya.

Dulu, Umno membayangkan kepada penyokong mereka, dengan imej yang ada pada Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, mana mungkin PAS akan dapat bekerjasama dengan DAP. Begitu juga, harapan Umno, selagi ada Lim Kit Siang, tidak mungkin 'bulan terbit siang' dan 'matahari terbit malam' dengan PAS.

Umno tidak hairan dengan kekuatan PAS selama ini kerana Kelantan dan Terengganu yang pernah diperintah PAS pernah terlepas ke tangan Umno semula tetapi, dengan kerjasama kuat yang DAP berikan kepada PAS kini, Parlimen Kuala Terengganu yang selama ini mudah untuk dimenangi Umno (walaupun pernah sekali dimenangi Parti Melayu Semangat 46 (S46), sudah terlepas ke tangan PAS.

Suka atau tidak, hubungan PAS dengan DAP disebabkan ada jambatan untuk bekerjasama. Ketika PAS bekerjasama dengan (S46) dahulu, ia dikenali dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tanpa membawa bersama DAP ke Pantai Timur Semenanjung – hanya kerana serangan Umno terhadap DAP.

Namun, selepas PRU 1999, DAP dan PAS seperti sudah banyak persamaan. Pemimpin DAP sudah mula berada di Taman Melewar dan pemimpin PAS sudah boleh ke mana-mana termasuk di Bukit Bintang dan Seputeh hanya kerana DAP tidak pernah keberatan menerima kehadiran pemimpin PAS sebagaimana pemimpin PAS tidak pernah cemburu dengan kehadiran pemimpin DAP.

Apa lagi modal Umno untuk berkempen sekarang? Cerita mereka itu (PAS dan DAP) hanya sandiwara politik, tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain sudah tidak termakan oleh penyokong kedua-dua parti ini. Mereka bukan sahaja tidak termakan, malahan, mereka makin rapat kini, hanya kerana mereka tahu bahawa perbalahan sama-sama sendiri akan menyebabkan Umno-BN terus mengaut keuntungan politik.

Semua jari pemimpin Umno kini menuding ke arah KeADILan. Kata mereka, jika bukan kerana KeADILan menjadi jambatan, mana mungkin antara PAS dengan DAP boleh duduk bersama.

Namun, makin kerap serangan dihalakan kepada KeADILan, semakin mereka menyaksikan DAP dan PAS sudah boleh menyusun program bersama, untuk berdepan dengan Umno-BN.

Betul, dulu jika ada lukisan mengambarkan Roket (DAP) naik ke Bulan (PAS), dengan kurikutur pemimpin DAP dan PAS, ia sudah cukup menyebabkan pengundi atas pagar, yang kuat menyokong DAP akan kembali menyokong Umno-BN. Begitu juga dengan penyokong PAS, akan berpatah balik sokongan mereka kepada parti itu, hanya kerana pengaruh propaganda Umno.

Hari ini, semuanya itu sudah tidak termakan lagi. Semua itu hanya sejarah dan Umno sendiri terpaksa bekerja keras menarik sokongan pengundi kerana mereka semakin sedar, kempen-kempen kotor, menakut-nakutkan rakyat dengan cerita perkauman yang menebal sudah tidak berkesan.

Jika DAP kuat perkaumannya terhadap orang Cina, apakah ianya salah? Jika PAS kuat keIslamannya terhadap orang Melayu, apakah ianya salah? Dan apakah orang yang kuat semangat keCinaannya tidak boleh berkawan dengan orang yang kuat keIslamannya?

Apakah DAP menentang Islam sejak mereka memerintah Pulau Pinang? Apa yang kurangnya kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang lakukan jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilakukan kepimpinan Gerakan ketika berpuluh tahun mereka memerintah negeri itu?

Cina di Kelantan dan Kedah kini terancam sejak PAS memerintah? Begitu juga dengan Cina dan Melayu mana yang kerugian sejak KeADILan menerajui Selangor?

Dengan dua orang menjadi Menteri Besar dari PAS (Kelantan dan Kedah), seorang dari DAP menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang) dan seorang lagi di Selangor (KeADILan), sekaligus semua persoalan yang membezakan antara PAS, DAP dan KeADILan terjawab dengan tindak-tanduk mereka bertiga, Tan Sri Khalid Ibrahim (Selangor), Lim Guan Eng (Pulau Pinang) dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan) dan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (Kedah).

Jika sesiapa terjumpa ada orang Melayu miskin di Kedah dan Kelantan, mereka tidak boleh salahkan PAS kerana di negeri-negeri yang Menteri Besarnya dari kalangan Umno pun ada orang Melayu miskin. Apakah tidak ada orang Melayu miskin di Sabah?

Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kerana kemiskinan berada di mana-mana dan jika ada pihak yang sengaja mahu memperbesar-besarkan cerita ini, ia tidak lebih dari propaganda politik yang tidak pernah habis.

PAS dan DAP boleh terus bekerjasama, dengan mengenepikan semua perbezaan dan mencari persamaan – bagi berdepan dengan Umno-BN dalam PRU 13 akan datang >> SAFAR JUMAAT

[Sumber]

Pelaburan antarabangsa mendatar melangkah ke 2011

Posted: 03 Dec 2010 01:25 AM PST

KUALA LUMPUR: Prospek pelaburan antarabangsa kekal mendatar melangkah ke suku keempat 2010 tetapi masih menunjukkan peningkatan berbanding prestasi menjunam tahun 2008 dan 2009.

Prestasi ini terkandung dalam rencana utama isu terbaru Buletin Berita Pelaburan yan diterbitkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Dalam satu kenyataan bertarikh 2 Disember, OECD meramalkan bahawa aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) akan merosot 8% pada 2010. Namun ia satu pencapaian yang lebih baik berbanding kejatuhan 19% dalam aliran FDI pada 2008 dan pengurangan 43% tahun 2009.

Jika trend ini kekal, maka pelaburan dalam aktiviti Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A), satu komponen penting dalam FDI akan berlegar di sekitar US$670 bilion dalam 2010, peningkatan sebanyak 6% berbanding tahun 2009," kata kenyataan itu.

Ini merupakan pertambahan kali pertama dalam aktiviti M&A antarabangsa sejak 2007 berikutan kejatuhan 21% tahun 2008 dan 53% tahun 2009, menurut laporan itu.

Berdasarkan momentum yang kurang jelas, pelaburan antarabangsa 2011 akan sensitif kepada kekuatan pemulihan ekonomi global.

"Ia turut sensitif sama ada negara-negara dalam kumpulan G20 boleh mengelak dari perlindungan pelaburan atau konflik berhubung dasar pertukaran asing.

"Keadaan ini boleh mencipta ketidaktentuan berhubung harga aset antarabangsa dan penilaian pendapatan dijangka dari aset-aset ini," kata OECD.

- theedgefinancialdaily

WikiLeaks: Arab Saudi mahu AS "potong kepala ular"

Posted: 03 Dec 2010 01:00 AM PST

WASHINGTON: Raja Abdullah dari Arab Saudi berulang kali mendesak supaya Amerika Syarikat (AS) "memotong kepala ular" dengan melancarkan serangan tentera bagi memusnahkan program nuklear Iran, demikian menurut kabel diplomatik AS yang bocor.

Sesalinan kabel bertarikh 20 April 2008, diterbitkan di sesawang New York Times baru-baru ini selepas dikeluarkan oleh sesawang WikiLeaks.

Komunikasi yang diklasifikasikan di antara Kedutaan AS di Riyadh dan Washington menunjukkan Arab Saudi bimbang dengan pengaruh Syiah Iran yang semakin meluas di rantau itu, terutama di negara jiran Iraq.

AS berulang kali berkata tindakan ketenteraan sebagai satu pilihan tetapi pada masa yang sama ketua bala tentera AS menjelaskan bahawa ianya sebagai langkah terakhir kerana bimbang ia boleh mencetuskan konflik yang mungkin merebak di seluruh Timur Tengah.

Kabel bertarikh April 2008 itu menyatakan secara terperinci mesyuarat di antara Jeneral David Petraeus, komander tertinggi tentera AS di Timur Tengah dan kemudian Ryan Crocker, duta AS ke Iraq dan Raja Abdullah serta putera-putera Arab Saudi yang lain.

Pada mesyuarat itu, dua Arab Saudi ke AS, Adel al-Jubeir "mengingatkan kembali permintaan berulang kali Raja Abdullah supaya AS menyerang Iran dan supaya menghentikan program nuklear negara itu," kata kabel itu.

"Beliau beritahu kamu untuk memotong kepala ular," Jubeir dilaporkan berkata. Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal bagaimanapun, mendesak supaya dikenakan sekatan yang lebih ketat, termasuk larangan perjalanan dan mengetatkan peraturan pinjaman bank, walaupun beliau tidak menolak keperluan terhadap perlunya tindakan ketenteraan.

Dokumen WikiLeaks itu juga menunjukkan Setiausaha Pertahanan AS Robert Gates percaya sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran hanya akan melambatkan proses penyediaan senjata nuklear dengan satu hingga tiga tahun," kata The Times.

Program nuklear Iran mesti dihentikan

Arab Saudi, salah sebuah negara terbesar pengeluar minyak, bimbang dengan kedudukan ketenteraan Iran yang semakin kuat. AS mengumumkan bulan lalu bahawa ia bercadang menjual kepada negara beraja itu pesawat tentera bernilai US$60 bilion bagi memperkukuhkan sistem pertahanannya.

Akhbar Guardian Britain, salah sebuah penerbitan yang mempunyai akses kepada kabel diplomatik yang bocor itu berkata, komunikasi juga menunjukkan sekutu Arab yang lain juga mendesak supaya tindakan diambil terhadap Tehran berhubung program nuklear yang dipertikaikan.

Kabel yang lain, dihantar dari Kedutaan AS di Manama, Bahrain, pada 4 November 2009, menyatakan secara terperinci mesyuarat di antara Petraeus dan Raja Hamad bin Isa al-Khalifa, di mana ibu pejabat kerajaannya berada di atas kapal Kelima Tentera Laut AS.

Sama seperti Arab Saudi, kerajaannya diketuai oleh pemerintah bermazhab Suni. Raja Hamad mendesak supaya "tindakan kekerasan digunakan untuk menghentikan program nuklear Iran dengan apa cara sekali pun yang perlu," kata kabel itu.

"Program itu mesti dihentikan," katanya. "Bahaya membiarkan program itu berjalan adalah lebih besar dari menghentikannya."

Menurut kabel pada April 2006 dari Kedutaan AS di Abu Dhabi, Emirat Arab Bersatu percaya "ancaman dari al-Qaeda adalah kecil berbanding dengan jika Iran mempunyai senjata nuklear," tapi ia enggan mengambil sebarang tindakan yang boleh membawa provokasi terhadap jirannya.

- Reuters

Kenyataan Akhbar PAS Selangor

Posted: 03 Dec 2010 12:30 AM PST

KENYATAAN AKHBAR
KEMBALIKAN HAK AIR RAKYAT SELANGOR

PAS Selangor merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri ini yang telah menandatangani memorandum rakyat berhubung isu mengembalikan hak pengurusan air kepada kerajaan negeri. Sesungguhnya respon yang sangat besar dan positif dari rakyat jelata seluruh negeri Selangor itu membuktikan keprihatianan rakyat betapa mereka mahu agar pengurusan air diserahkan kembali kepada kerajaan negeri demi menjamin pengurusan yang lebih efisyen disamping terus menikmati 20 meter padu pertama air percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Bagi pihak PAS Selangor saya ingin menyeru seluruh ahli dan penyokong parti serta rakyat negeri ini agar bersama mengiringi Menteri Besar Selangor dan barisan EXCO Kerajaan Negeri dalam menyerahkan memorandum itu kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara pada hari Ahad ini.

Penyerahan memorandum secara aman kepada Yang Dipertuan Agong itu nanti akan merupakan simbol kesepaduan rakyat negeri Selangor dan rakan-rakan di Wilayah Persekutuan dalam menutut agar bekalan air di negeri ini dikembalikan kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

PAS Selangor yakin rombongan secara aman itu akan berjaya melaksanakan tugas mereka dan mengharapakan tidak ada mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi atau gangguan sehingga menggagalkan hak bersuara rakyat dalam Negara yang mengamalkan demokrasi ini.


DIKELUARKAN OLEH:

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

3 Disember 2010/ 26 Zulhijjah 1431

Sasterawan yang menegur kepincangan sistem politik

Posted: 03 Dec 2010 12:00 AM PST

Ramli Abdul Samad

Pada Nov 29 lalu, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sasterawan perlu memainkan peranan penting bagi mewujudkan gelombang pemikiran, nilai dan budaya yang secocok dengan nilai kemajuan. Kemajuan ini adalah selari dengan transformasi ekonomi dan sosial oleh kerajaan untuk mewujudkan masyarakat dan negara maju menjelang 2020.

Katanya, melalui karya sastera yang bermutu tinggi, para sasterawan dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya menghayati nilai-nilai positif ke arah mewujudkan negara maju. Lihat ms.4 Utusan Malaysia (Nov 30, 2010).

Cendekiawan, wartawan dan pemimpin dari golongan menengah misalnya dalam satu hal mempunyai panggilan yang sama jika kita membicarakan tugas atau fungsinya terhadap masyarakat, bangsa dan negara. Ada pendapat mengatakan tugas wartawan adalah bagaimana mendidik masyarakat apabila perubahan sosial terjadi sementara tugas kaum intelektual adalah mengabdikan diri mereka dalam membangkitkan kemanusiaan dan manusia yang santun.

Apabila memperkatakan peranan sosial para sasterawan, masih teringat kita pada zaman pra-Merdeka dulu yang lebih terkenal dengan gerakan Asas 50. Ketika itu, para sasterawan mempunyai visi yang jelas iaitu bergiat untuk memutuskan belenggu pemikiran rakyat ke arah memerdekakan negara dari ikatan penjajah Inggeris.

Pada zaman itu, sasterawan merupakan pemikir zaman yang berani mencungkil dan melaporkan peristiwa-peristiwa zamannya untuk memberi pengajaran kepada rakyat. Walaupun sistem media massa dan komunikasi tidak begitu maju namun tidak dinafikan mereka dapat tampil ke hadapan memberikan sumbangan yang bermakna sehingga di antara mereka yang berjasa diberi penghormatan yang setimpal oleh pihak pemerintah.

Keadaan banyak berubah setelah Merdeka. Pemimpin kolonial diganti dengan pemimpin rakyat Malaysia sendiri. Musuh utama mereka yang dahulunya jelas adalah golongan kolonial kini terdiri daripada warga negara Malaysia sendiri. Para sasterwan semakin kurang pula menyelar para pemimpin itu walaupun ada di antara mereka yang masih bermentaliti lebih daripada pemimpin kolonial, dengan erti kata corak pentadbiran yang diteruskan masih bersifat kolonial daripada berorientasikan pada kesejahteraan rakyat.

Tanpa disedari ramai bahawa saat ini masih lagi ada segelintir elit yang mengaut keuntungan besar daripada proses pembangunan negara. Kemunduran desa masih jelas terutama di negeri-negeri yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu dan sebahagian lagi terdiri daripada golongan bukan Melayu. Gejala rasuah masih merajalela dalam masyarakat kita. Isu kesenjangan sosial-ekonomi masih merupakan isu besar yang melanda negara.

Konsep 'seni untuk rakyat' kembali mengakar umbi.

Hadiah sastera dan habuan

Slogan 'seni untuk rakyat' itu bergelora pada zaman sebelum Merdeka telah dapat diganti dengan 'seni untuk masyarakat'. Kita dapati gelombang perubahan politik dan sosial kian merancak dan sesuatu yang sesuai pada zaman mencabar sebelum Merdeka. Pada lahiriah pegangan konsep itu tiada cacatnya tetapi boleh terdedah kepada manipulasi dan muslihat segelintir golongan atasan penindas dan mereka cuba menyelubungi diri mereka kononnya mereka adalah 'pembela dan pembangunan masyarakat'.

Kita dapati khasnya sejak tahun 1977, kalangan pemerintah secara bersungguh-sungguh telah melaung-laungkan slogan ini telah menghidangkan pelbagai hadiah sastera serta lain-lain habuan bagi para sasterawan.

Mereka menceceh bahawa 'seni untuk masyarakat' itu mestilah bertemakan atau menyerapkan ciri-ciri 'pembangunan'. Ini bermaksud, apa yang dikehendakki oleh pemerintah adalah agar karya-karya seni dan sastera itu diusahakan untuk tujuan membantu dan mempopularkan lagi garis dan arus politik seperti yang dipegang dan dipersetujui oleh mereka yang berselindung di bawah berbagai-bagai istilah popular seperti 'pembangunan dan masyarakat adil'.

Seseorang sasterawan itu mempunyai senjata iaitu seninya yang dirangkaikan menerusi tinta penanya. Ia berpotensi mempengaruhi demi membentuk dan mewarnakan fikiran masyarakat. Ini dapat kita lihat dan kaji dari pengalaman sejarah seperti yang dicorakkan oleh gerakan Asas 50.

Sastera mencerminkan cara kehidupan anggota masyarakat dan peradaban manusia secara kreatif dan 'imaginative' di peringkat yang lebih tinggi dalam usahanya menggambarkan pergolakan hidup manusa menerusi bentuk prosa mahupun puisi. Kita tahu dunia masyarakat begitu luas dan kompleks sekali. Masalah sosial begitu luas dan seharusnya ditimba dalam hasil kesusasteraan yang bererti bukan sekadar mencuit-cuit perkara-perkara yang dangkal sahaja.

Keadaan sosio-politik pembangunan negara agak kompleks, kerana masyarakat kita majmuk dalam pelbagai seginya dan kesan-kesan kemajuan ekonomi tidaklah sama. Tidak sama pula hasil-hasil yang dirasakan. Mungkin pihak pemerintah dengan sepenuh hati, bahkan juga dengan hasil yang baik, berusaha sangat menjaringkan semua kelompok masyarakat dalam pelaksanaan pembangunannya. Misalnya untuk kelompok-kelompok masyarakat lemah pada sektor tradisional dan sektor informal, dirumuskan strateji khusus yang diberi perhatian dan penanganan khusus pula dalam perlaksanaannya.

Sekalipun demikian, baik kerana pembangunan memang memerlukan waktu, mahupun kerana kelemahan birokrasi dan ketidakcekapan di sana sini, bukanlah semua permasalahan dapat dibereskan.

Kompleksiti permasalahan itulah yang menyebabkan suatu kesimpulan bahawa semakin perlu kita, termasuk para sasterawan, memperhatikan dan menangkap nuansa-nuansa dalam masyarakat. Di sinilah para sasterawan antara lain dapat memberikan sumbangannya.

Pesanan melalui mekanisme seni

Seperti awal dibicarakan tadi para sasterawan boleh memadatkan fikiran, isi idea dan isi hatinya ke dalam sesebuah karya itu dengan mengggunakan cara-cara tertentu seperti perwatakan, plot, cerita dan gaya bahasa prosa bagi sesebuah novel atau cerpen, ataupun menggunakan pemadatan isi, perekonomian dan imbangan kata-kata, perlambangan rima, aliterasi dan asonansi untuk menyampaikan maksud dalam puisi.

Melalui mekanisme seninya para sasterawan dapat menyampaikan pesan dan kebijakan pemerintah kepada masyarakat. Termasuk persoalan-persoalan yang mungkin sahaja lepas pandang daripada fokus perhatian pemerintah ataupun yang telah masuk ke dalam dasar dan peruntukan belanjawan pembangunan pemerintah tetapi pelaksanaannya lain pula.

Apabila para sasterawan mengangkat permasalahan-permasalahan yang hidup dalam masyarakat, fungsi konstruktif itulah yang ingin dilaksanakan. Mungkin saja hal semacam itu boleh menimbulkan salah faham. Apabila hal itu terjadi pendekatan yang menjadi kesepakatan adalah dialog, pertemuan, penjelasan, tentang duduknya isu itu serta peka menangkap kompleksiti dan nuansa-nuansa permasalahan akibat dari pembangunan yang semakin laju.

Kemajuan-kemajuan ekonomi tetap disertai permasalahan bahkan ancaman, bukan sekadar penumbuhan, bukan sekadar kemakmuran akan tetapi juga penerapan sesuai dengan keadilan sosial. Ertinya: Mencakup keadilan sosial; ertinya mencakup dimensi yang lebih bervariasi dan lebih mendalam, bukan sekadar kemakmuran kebendaan kuantitatif akan tetapi sekaligus juga kesejahteraan, sesuai dengan aspirasi kemanusiaan yang utuh.

Justeru itu kita dapati pengkritik-pengkritik sastera yang 'di luar jalur kekuasaan pemerintah' selalu menegur tentang kepincangan sistem politik kini. Ada di kalangan mereka berani mengkritik peranan bertaraf Sasterawan Negara kini yang ditangggapi tidak lagi bicara mencari kebenaran dalam perjuangan hidup, sebagai pengkritik masyarakat ulung. Perjuangan Sasterawan Negara bagaikan terhenti setelah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Pengkritik-pengkritik demikian sudah tentunya berperspektif sosial kerana mereka memandang soal-soal besar yang menimpa negara tidak lagi digarap oleh para sasterawan besar.

Sasterawan perlu berjiwa besar

Sasterawan-sasterawan kecuali seorang dua saja seperti Azizi Hj Abdullah tidak lagi berfungsi sebagai suara golongan tertindas.

Apakah para sasterawan kita berani menyoroti liku-liku manusia bangsawan, dunia bisnes, dunia ulama ataupun dunia politik pemerintahan yang menghakis hak-hak rakyat? Ataupun mereka lebih senang dengan dunia rakyat jembel dan manusia-manusia yang kaya dengan kemiskinan di Banggul Derdap, atau di kampung, wilayah hitam penuh dosa dan noda di kotaraya Singapura seperti yang pernah diluahkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said?

Mungkin para sasterawan kita belum terlatih berfikir dalam format jiwa besar seperti sasterawan kita Usman Awang (Tongkat Waran) dan Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) atau pemenang Nobel seperti Gabriel Garcia Marquez dan Najib Mahfouz yang berjaya sedikit sebanyak menjabarkan masalah sosial dengan jitu melalui novel-novel mereka.

Di rantau Nusantara kita juga memiliki sasterawan seperti W.S. Rendra atau Pramoedya Ananta Toer kerana novel atau puisi mereka banyak mencerminkan kekuatan fikiran dan semangat serta keluhuran budi sesuatu bangsa dan rakyatnya. Mereka berjiwa rakyat dan sanggup mengabdikan seninya untuk kepentingan massa rakyat, tanahair serta untuk keseluruhan umat manusia yang tertindas untuk pembebasan mereka.

Kalau sasterawan itu tidak berjiwa demikian seperti dikatakan tadi, maka karya mereka tidak lebih dari coretan kosong dari individu-individu seniman yang melonta-lonta sendirian dan tandus dari segi idea, asyik mempertajamkan idealisme 'seni untuk seni' atau melulu mahupun secara tak ketara membodek pemerintah.

Dengan itu para sasterawan mempunyai tanggunjawab penting kepada masyarakat. Mungkin sebuah petikan sajak di bawah dapat melukiskan peranan seorang sasterawan serius dan manusiawi itu seperti :



" ... pena di tangan penyair yang unggul

Sebenarnya mengalirkan tinta indah

Warnanya merah

Menghirup inspirasi dari lautan

Pergelutan hidup massa yang penuh gelombang

Tanpa sempadan

Kehalusan seninya adalah amat tajam

Tepat seperti helang menembus sasaran

Yang walaupun bergerak

Membara menghapuskan segenap

Rumput yang beracun

Dari satu demi satu

Ia mencipta bunga-bunga baru

Yang kelak semerbak harum menguntum"

Wan Azizah pukul tepat sasaran "kelemahan" Umno

Posted: 02 Dec 2010 11:30 PM PST


Bahagian Pertama


Oleh Kim Quek

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail memukul tepat sasaran "kelemahan" Umno apabila beliau mengibaratkan konsep 'Ketuanan Melayu' sebagai ideologi songsang, yang menjadi tempat penggantungan Umno sejak bertahun-tahun lamanya.

Ketika menyampaikan ucapannya pada Kongres Tahunan parti 27 November lalu, beliau berkata, konsep 'Ketuanan Melayu' digunakan oleh golongan elitis Melayu untuk memperdaya orang-orang Melayu bagi mengekalkan kuasa politik mereka.

Namun hasilnya, majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera tetap miskin dan hidup seperti 'melukut ditepi gantang' walaupun Umno memerintah lebih 53 tahun.

Menyeru orang-orang Melayu supaya membuang jauh-jauh ideologi itu, beliau berkata, konsep "Ketuanan Melayu" hendaklah ditinggalkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi saling hormat menghormati di antara kaum.

Mengikut standard demokrasi, seruan Wan Azizah untuk membuang faham perkauman harus dipuji sejajar dengan nilai fundamental yang diterima oleh setiap masyarakat di dunia ini.

Meskipun Malaysia terlepas dari kutukan dunia seperti mana yang dialami oleh dasar apartheid Afrika Selatan, suatu ketika dahulu, namun penyakit rasis masih kekal sebagai satu wabak yang menghancurkan integrasi nasional dan membantut perkembangan ekonomi.

Ketuanan Melayu tak dapat dipertahankan

Mungkin atas kesedaran bahawa 'Ketuanan Melayu' tidak dapat dipertahankan di mata dunia maka Umno kelihatan kehilangan punca bagaimana untuk respon terhadap asakan tanpa duga daripada Wan Azizah.

Untuk mendiamkan diri bermakna membenarkan kata-kata Wan Azizah dan ini boleh membawa padah dan masalah besar kerana melalui hasutan rasis sebeginilah Umno berharap dapat merentangi halangan pilihan raya umum akan datang. Jadi, bagaimana mungkin Umno dapat membebaskan diri dari mendokong konsep 'Ketuanan Melayu'?.

Di samping itu, selagi Umno terus mempertahankan ideologi lapuk ini bermakna menarik kritikan dan penghinaan dari dunia luar. Ini tidak dapat dielak, memandangkan penggunaan peralatan komunikasi moden yang mampu membawa berita dan maklumat dengan sekelip mata maka kritikan dari masyarakat antarabangsa sukar untuk dibendung.

Jadi, selepas pulih dari kejutan yang dibuat oleh Wan Azizah, respon mula mencurah datang daripada para pemimpin tertinggi Umno tetapi alasan yang diberi sama ada tidak relevan atau mereka cuba mengelak dari menyentuh isu sebenar dan malah tidak ada yang berani berdepan dengan Wan Azizah.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan tegas daripada Wan Azizah itu sebagai langkah "menyelamatkan kapal yang sedang tenggelam" dan mengembalikan sokongan orang ramai selepas pepecahan dalam pemilihan parti PKR.

Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Zahid Hamidi pula berkata Wan Azizah "cuba mengalihkan perhatian rakyat dari masalah serius dalam partinya."

Beliau berkata PKR mahu mengambil hati masyarakat Cina dan India bagi mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi, beliau mengelak dari menyentuh isu 'Ketuanan'.

Kerja kotor Perkasa

Seperti yang dijangka, kerja kotor ini dilemparkan kepada sayap ultra rasis Umno, Perkasa untuk menjawabnya. Ketua Pemudanya Arman Azha Abu Hanifah menyerang Wan Azizah dengan menyifatkan beliau sebagai "pelacur politik."

Beliau berkata beliau (Wan Azizah) dan pemimpin Melayu PKR yang lain terhutang budi kepada dasar 'Ketuanan Melayu' atas pencapaian profesional mereka dan sekarang ini mereka telah mengkhianati bangsa Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Cina dan India.

Lebih menarik, sikap kurang ajar dan tidak sensitif yang diperlihatkan Arman dengan menghentam para pemimpin Melayu yang lain menjustifikasikan seruan Wan Azizah untuk menolak mentaliti 'Ketuanan Melayu' bagi memulih semula penghormatan dan harga diri bangsanya.

Kenyataan beliau menyifatkan Wan Azizah sebagai "pelacur" merupakan satu penghinaan terhadap bangsanya sendiri.

Kenyataan beliau bahawa orang-orang Melayu tidak mampu mencapai kemajuan tanpa mendapat layanan istimewa disebabkan bangsa merupakan satu lagi penghinaan terhadap bangsanya sendiri.

ESOK: Bukti jelas perkauman Umno

Berita Sedap Didengar! Petrol Dan Diesel Mungkin DiNaikan Mulai Esok?

Posted: 02 Dec 2010 10:45 PM PST

Harga petrol dan LPG di jangka naik

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Harga bahan api petrol dan diesel serta gas dijangka mengalami kenaikan lagi mulai tengah malam ini ekoran keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi – dasar yang diperkenalkan Putrajaya pertengahan tahun ini.

Kenaikan kali ini juga dikatakan membabitkan petrol RON 95 dan RON 97.

Harga petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai kelmarin.

Kenaikan RON 97 kelmarin adalah ekoran perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Pengumuman rasmi dijadual untuk dibuat petang ini.

"Saya jangkakan kerajaan akan mengumumkan harga petang ini… kenaikan dijangka dalam sekitar 10 hingga 15 sen dan difahamkan, kadar baru ini kuat kuasa mulai esok," kata sumber industri kepada The Malaysian Insider.

"Kami diumumkan perubahan ini baru-baru ini," kata sumber itu lagi.

Pada 1 November lalu, harga petrol RON 97 dinaikkan lima sen menjadi RM2.15 seliter.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menimbang kemungkinan untuk menyeragamkan harga diesel yang diberi bantuan subsidi bagi mengelak berlakunya lagi kes-kes penyelewengan di negara ini.

Katanya, angkah tersebut dilihat relevan bagi memastikan bantuan subsidi tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab ekoran perbezaan harga diesel yang ditetapkan mengikut sektor.

Pada masa ini harga diesel bersubsidi mengikut sektor ialah di pam minyak RM1.75, pengangkutan RM1.45, nelayan RM1.25 manakala industri RM2.05.

Pertengahan Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan harga menyaksikan kenaikan harga beberapa barangan keperluan utama.

Dalam kenyataan diumumkan ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pelarasan harga itu membabitkan petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi. Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan LPG, dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, Penyelarasan semula harga barang-barang itu akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Berdasarkan proses itu, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal.

Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.

- The Malaysian Insider-

Syabas Paksa Pekerja Berhimpun Di Masjid Shah Alam?

Posted: 02 Dec 2010 08:00 PM PST

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhvYCKnsqOOURraRHPU-GxSYblTTWh2u03-2KCNKyo72otzH28ba6BYHEfCDlobU2JbIZEm_iKxEB0Gz2tbtZux0dQ1TvHNOXbLDStTBPBpd6S2pPnHY5NbFgEXwyvjRWxumjI1jRkEYG8/s320/SYABAS.jpg

ini gambar untuk ahad nanti

cerita ada bawah.

.............................................................................................

Pekerja di syarikat Syabas dan Jalur Cahaya
telah dipaksa untuk menanda tangani petisen.
Pekerja dari dua syarikat ini juga telah juga dipaksa
untuk datang ke Masjid Shah Alam Jumaat hari ini .

Mereka di wajibkan berada di pekarangan Masjid Shah Alam
dario jam 12.00 hingga jam 1.00 tengah hari untuk menunjukkan
bantahan ke atas usaha kerajaan Pakatan Rakyat Selangor
yang mengambil kembali air untuk dijadikan hak rakyat.

Jika engkar mereka akan kehilangan pekerjaan.

Tukar Tiub

FIFA pilih Rusia 2018, Qatar 2022 selepas Brazil 2014

Posted: 02 Dec 2010 07:23 PM PST

ZURICH: Rusia dan Qatar masing-masing dipilih menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia 2018 dan 2022 dalam keputusan yang diumumkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter, semalam.

Ia menyusul selepas proses bidaan membabitkan 11 negara yang dijangka memberikan rangsangan ekonomi besar buat negara yang terpilih.

Rusia mengenepikan saingan England, Sepanyol-Portugal dan Belanda-Belgium manakala Qatar mengalahkan bidaan Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Ini adalah kali pertama Rusia dan Qatar terpilih sebagai tuan rumah temasya sukan bolasepak dunia FIFA.

Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia paling kecil tetapi mempunyai sumber kewangan tidak terbatas untuk menganjurkan kejohanan sukan terbesar dunia.

Ia berjaya mengatasi keraguan mengenai menganjurkan perlawanan di tengah panas padang pasir dan meminta FIFA untuk mengambil langkah berani.

Blatter berkata kita menuju ke tanah baru. Piala Dunia belum pernah berkunjung ke Rusia dan Eropah Timur dan Asia Barat serta dunia Arab yang menanti untuk sekian lama, maka saya presiden paling gembira kerana kami bercakap mengenai pembangunan bola sepak.

Timbalan Perdana Menteri Russia, Igor Shuvalov, yang delegasinya menjerit kegembiraan dengan pengumuman itu, berkata: Anda sudah amanahkan kami dengan Piala Dunia FIFA 2018 dan saya boleh berjanji, kami semua berjanji, anda tidak akan menyesal. Mari bersama-sama kita mencipta sejarah.

Ketua bida Qatar, Sheikh Mohammed Hamad Al-Thani berkata: Terima kasih kerana menyokong kami dan mengembang permainan ini.

Anda boleh berbangga dengan kami dan anda akan berbangga dengan Asia Barat.

- Agensi

Potong Gaji pengerusi SYABAS bukan naik harga air

Posted: 02 Dec 2010 06:34 PM PST

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong sekiranya ada usaha Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sendiri memotong gaji pengerusinya untuk menampung kos operasi atau memberi bantuan keperluan asas kepada penduduk khususnya warga Selangor.

Ketua Penerangannya, Fadhil Osman (kiri) berkata pihaknya merasa terkejut dengan maklumat pendapatan Pengerusi Eksekutif Syabas mencecah RM5.1 juta setahun atau bersamaan RM425,000 sebulan.

Katanya, DPPWP hairan bagaimana kerajaan Selangor sebelum era Pakatan Rakyat (PR) boleh meluluskan pendapatan sebegini banyak untuk seorang pengerusi syarikat yang mempunyai kepentingan dengan keperluan asas penduduk di negeri Selangor iaitu air.

DPPWP, ujarnya tidak kisah sekiranya pendapatan tersebut diperolehi oleh pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat gergasi yang mempunyai keuntungan berbilion ringgit setahun dan bersifat internasional.

Tetapi, soalnya nilai pendapatan sebegitu tinggi tidak wajar diperolehi oleh pengerusi sebuah syarikat yang menguruskan air untuk rakyat.

"Apakah Syabas mahu mengambil laba berlipat kali ganda dari rakyat hasil dari sedikit jasa menguruskan air untuk keperluan rakyat?

"Meskipun air di Selangor diuruskan oleh Syabas, namun lupakah pengerusinya bahawa air dikurniakan oleh Allah untuk manusia?" soalnya lagi.

Jelasnya, air adalah keperluan asas penduduk di mana tanpa air, tiadalah kehidupan dan DPPWP kesal bagaimana air yang sangat penting boleh diniagakan dengan nilai yang tinggi kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya melihat mungkin itulah faktor Syabas mahu menaikkan harga air sebanyak 37% kerana mahu menampung operasi mereka termasuk membayar gaji pengerusinya.

Sedangkan, ujarnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahukan kebajikan untuk rakyat dengan memberi 20 meter padu air percuma kepada rakyat.

Sepatutnya, tamba beliau Pengerusi Syabas perlu insaf terhadap keadaan masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah kerana menaikkan harga air bererti menambah beban kepada rakyat.

"Rakyat baru mendapat 'hadiah' dengan kenaikan harga minyak petrol RON 97 baru-baru ini, usah ditambah dengan pelbagai kenaikan lagi," ujarnya.

Beliau menambah, Syabas perlu melihat kesan kepada ekonomi negara dengan hampir semua harga barang keperluan akan meningkat.

DPPWP juga, ujarnya menyokong usaha kerajaan Selangor yang akan mengadakan himpunan besar-besaran pada 5 Disember, Ahad ini sebagai membantah kenaikan harga air oleh Syabas.

Politik Kemiskinan Ala-Ketuanan Melayu UMNO

Posted: 02 Dec 2010 06:00 PM PST

Dari Merdeka Review

Oleh Ooi Heng

Aku tahu benar rasa keperitan kerana miskin semenjak kecil lagi. Ibu yang mengajar otak durianku erti kemiskinan. Ibu mengopek udang. Kakak mengopek udang. Aku satu-satunya anak jantan "keluarga tanpa ayah" juga mengopek udang. Di tempat perempuan mengopek udang dan berbicara panjang lebar mengenai politik kehidupan harian dan politik suami isteri, aku seekor jantan wujud tanpa disedari untuk satu tempoh yang agak panjang kerana ibuku menurunkan kromosom X yang terlampau berpengaruh terhadap rupa wajahku. Maka mengalirlah di seluruh susuk tubuhku keinginan untuk melepaskan diri daripada belenggu gelanggang kewanitaan yang hanya aku sedar kemudian hari.

Kromosom X yang diturunkan oleh ibu kepada aku bukan sahaja mengubah cara aku menguruskan rambut otak durianku, tetapi yang paling berharga buat diriku ialah cara bagaimana aku mengharungi, merasai dan memahami kemiskinan sebelum aku sempat membaca karya Edward Said yang membuka mataku terhadap wacana orientalisme. Jangan kita menghakimi kemiskinan orang Melayu dengan kaca mata orientalisme sehingga terpedaya dengan mentaliti pemikiran kolonialis lampau dan masa kini. Lebih kurang begitulah salah satu dimensi penafsiranku terhadap teguran Allahyarham Syed Hussein Alatas yang meskipun pada satu ketika dahulu berderingan kuat dari jauh tetapi kini semakin sepi dan lembut suaranya.

Siapakah "kolonialis masa kini" dalam konteks politik kemiskinan domestik hari ini? Bacalah paparan berita media perdana saban hari. Perhatikanlah senarai syarikat yang mendapat projek besar setiap kali pengumuman dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Telitilah ke mana perginya hasil ekonomi negara setiap tahun Belanjawan Negara diumumkan oleh Menteri Kewangan. Kebarangkalian kumpulan-kumpulan orang yang sama mendapat projek besar terlalu tinggi.

Secara ringkas, dalam kalangan kumpulan tersebut, ada yang bergelar "kelompok Umnoputra", ada juga yang bergelar "kelompok GLC", yakni mereka yang berselindung di sebalik syarikat kerajaan berkaitan kerajaan.

Kumpulan-kumpulan sedemikianlah yang berbicara kuat mengenai pembasmian kemiskinan. Bahawa Dasar Ekonomi Baru masih diperlukan bagi mencapai objektif kerajaan berdasarkan statistik kerajaan mengenai kadar kemiskinan di Malaysia seperti berikut:

Pembasmian Kemiskinan Yang Telah Dilakukan Kerajaan BN
Tahun Peratus (%)
1970 52.4
1988 17.3
1990 16.5
1999 7.5
2002 5.1

Bahawa Model Ekonomi Baru wajar dilihat sebagai kesinambungan Dasar Ekonomi Baru kerana Kerajaan Persekutuan yang kononnya prihatin terhadap kemiskinan rakyat akan meneruskan projek dan program yang dapat membantu dan menaik taraf status golongan rakyat dalam kategori 40% berpendapatan rendah.

Tidak cukup setakat retorik mengaitkan politik kemiskinan dengan program ekonomi yang sebenarnya lebih menguntungkan sekumpulan "kelompok Umnoputra" dan "kelompok GLC". Kelompok-kelompok elit seumpama yang kononnya prihatin dengan kemiskinan rakyat bawahan acap kali mengaitkan "Ketuanan Melayu UMNO" dengan politik kemiskinan. Bahawa "Ketuanan Melayu UMNO" merupakan pembela orang Melayu maka akan membawa penyelesaian kepada kemiskinan orang Melayu.

Ironisnya, siapakah yang menghakimi kemiskinan Orang Melayu dengan kaca mata orientalisme tetapi bertopengkan Dasar Ekonomi Baru dan "Ketuanan Melayu UMNO" yang pada satu ketika dahulu berniat baik tetapi hari ini bercampur-adukkan dengan budaya "rent-seeking" yang terlalu "embedded" dalam sanubari Melayu UMNO?

Oleh kerana tidak berupaya menjalani proses transformasi diri secara yang berimpak, maka "kelompok Umnoputra" terus-menerus membawa wacana "Ketuanan Melayu UMNO" ke seluruh pelosok desa dan berbicara tanpa segan silu mengenai politik kemiskinan.

Tetapi yang jarang-jarang sekali dianalisi dalam mesej politik kemiskinan seumpama ialah: Pertahankan "Ketuanan Melayu UMNO" maka dipertahankan kepentingan "kelompok Umnoputra". Pertahankan kesinambungan politik kemiskinan ala-Dasar Ekonomi Baru meskipun dalam penjelmaan terbaru seperti Model Ekonomi Baru maka dipertahankan kepentingan "kelompok Umnoputra".

Lihatlah senarai projek permulaan (EPP) yang ditandatangani sempena pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Program transformasi bukan mimpi, projek mana satu merupakan program pembasmian kemiskinan?

* Syarikat Jerman, LFoundry menempatkan dan melabur lima loji Fabrikasi Wafer di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dalam tempoh lima tahun dengan pelaburan permulaan RM214 juta dan pelaburan keseluruhan RM1.9 bilion.
* Pemborong dan pengusaha peruncit tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd melabur RM1 bilion bagi membuka 14 cawangan baru dalam tempoh tiga tahun.
* St Regis, jenama antarabangsa dalam bidang hospitaliti bertaraf enam bintang membina hotel 208 bilik dan 160 unit kediaman di KL Sentral membabitkan pelaburan RM1.2 bilion.
* Syarikat perkhidmatan medan minyak, Schlumberger membuka hab perkhidmatan, Eastern Hemisphere Global Financial Services Hub di Bandar Utama, Petaling Jaya bagi menarik 100 syarikat multinasional untuk menempatkan operasi di Lembah Klang menjelang 2020.
* Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi konsesi 25 tahun kepada syarikat pembinaan dan infrastruktur, WCT Bhd untuk membina dan mengendalikan operasi kompleks integrasi di Terminal Tambang Murah (KLIA2), Sepang bernilai RM486 juta.
* Syarikat pelaburan Asia Barat, Mubadala bekerjasama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur bernilai RM26 bilion di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
* Premium Renewable Energy Sdn Bhd akan membina lima loji minyak bio dalam tempoh lima tahun dengan kos loji pertama RM124 juta di Lahad Datu, Sabah.
* Asia e-University dilantik Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Universiti Gateway untuk pembangunan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh antarabangsa dijangka menghasilkan pendapatan negara kasar (PNK) RM341 juta.
* Genting Berhad membina Johor Premium Outlets di Genting Indahpura merangkumi hotel, taman rekreasi air antarabangsa dan pusat beli-belah besar membabitkan pelaburan RM150 juta.

Sebab itu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (gambar kiri) ketika menyampaikan syarahan di Universiti Nasional Australia (ANU) pada 15 November 2010 berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Perdana Menteri hanya menumpukan perhatian kepada projek mega yang mengenyangkan kelompok kroni UMNO-Barisan Nasional tanpa perincian kepada program untuk membasmi kemiskinan tegar dan projek berteraskan kebajikan rakyat.

Jika aku orang Melayu yang hidup papa dan merana, setiap kali aku membaca berita atau mendengar pembesar politik berbicara mengenai kewajaran kelangsungan Dasar Ekonomi Baru dan Ketuanan Melayu pada abad ke-21, akan ku dapatkan segera pembesar suara, menghadapkannya ke arah akhbar atau pembesar politik tersebut, lalu aku memekik dengan kuat sekali: Hentikanlah ketaksuban berpolitik yang kononnya dapat menyelesaikan masalah kemiskinan orang Melayu dengan menggadaikan maruah orang Melayu. Melayu bermaruah tidak lahir dalam konteks politik kemiskinan ala-Ketuanan Melayu UMNO. Melayu bermaruah akan lahir dalam konteks baru Ketuanan Rakyat yang berjiwa rakyat dan berpaksikan keperluan golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Menjelang PRU 13, PAS semakin realistik tangani strategi, ideologi

Posted: 02 Dec 2010 05:00 PM PST

PAS semakin mengambil langkah dan sikap yang realistik dalam membentuk strategi dan menangani hubungan dengan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara mengatakan PR tidak perlu logo rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Abdul Hadi dalam wawancara itu menegaskan fokus yang sewajarnya diberikan kepada kerjasama yang boleh dijalankan bersama PR dan bukan hal-hal yang masih jauh.

Beliau sebelum ini menegaskan perlunya PAS menang hasil kekuatan sendiri dan bukan akibat daripada kelemahan parti lawan.

Perkembangan ini memperlihatkan usaha PAS untuk menjadi lebih mandiri dan kukuh dalam menghadapi persaingan politik di negara ini.

Pendekatan ini dilihat muncul ekoran perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lalu yang menunjukkan masih banyak yang tidak dapat dipersetujui parti-parti PR.

Selepas berdepan pergeseran dalaman ekoran projek 16 September pada 2008, pendekatan baharu PAS ini dilihat sebagai usaha untuk parti itu bergerak berdasarkan ideologinya, dengan meneruskan kerjasama pada tahap yang dipersetujui dalam PR.

Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam satu tulisan di blog menegaskan perjuangan Islam PAS yang perlu ditegaskan dan tidak bersikap apologetik, menandakan kesedaran parti itu terhadap ideologinya yang agak tidak ditonjolkan sejak kebelakangan ini ekoran keperluan strategi.

Ketika polemik panas timbalan perdana menteri yang dikatakan dijanjikan kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang, PAS mengambil pendekatan tidak terlibat dalam debat itu, dengan Nik Mohd Amar Abdullah mengatakan tindakan memutuskan siapa timbalan perdana menteri masih jauh, kerana PR masih belum menang dan menubuhkan kerajaan pusat.

PAS juga menjarakkan diri daripada penekanan berlebihan pada Putrajaya apabila naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha menguatkan parti perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding bercakap tentang Putrajaya.

Tindakan tersebut memperlihatkan sikap berhati-hati PAS berdepan pilihan raya umum nanti, yang dijangka menyaksikan prestasi Umno dan BN yang meningkat berbanding sebelum ini.

PAS turut meningkatkan usaha menarik sokongan bukan Melayu, yang digerakkan dengan aktif oleh pemimpin seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Pada masa sama, parti ini turut semakin menyedari sokongan Melayu yang diperlukan, dan menggerakkan kempen untuk menjadi wakil kepada orang Melayu yang lebih berkesan berbanding Umno.

PAS mengadakan seminar PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam, Selangor bulan lalu, sebagai sebahagian usaha mempersiapkan parti mengambil peranan sebagai parti utama orang Melayu menggantikan Umno.

[Sumber]

Kebebasan Politik dan Demokrasi Liberal dalam Dunia Islam

Posted: 02 Dec 2010 04:30 PM PST

Biar saya mulakan dengan mengungkap penyair dan filasuf Muhammad Iqbal, seorang tokoh tersohor dalam lapangan yang bakal kita terokai pada petang ini, seorang tokoh penghubung di atas jurang yang dikatakan memisah Timur dan Barat, antara Islam di satu sisi, serta kebebasan dan demokrasi di sisi yang lain.

Dalam jawapan puitis beliau kepada Barat menerusi karyanya Payam-i-Mashriq, Iqbal merangka pertembungan tajalli di antara Jalaluddin al-Rumi dan Johann Wolfgang von Goethe – bukan di bumi, tetapi di syurga. Dengan memetik Faust, karya magnum opus beliau, Goethe meyakinkan Rumi bahawa di sini wujud satu jiwa tercerahkan yang memahami Misteri Agung. Kita sedia maklum bahawa Payam-i-Mashriq itu sendiri sangat terinspirasi dari karya Goethe yang berjudulWest-östlicher Diwan (West-Eastern Divan) yang mana turut terinspirasi dari karya sarjana ghazal Parsi sekitar abad ke-14 iaitu Hafiz Shirazi. "Ad-Diwan Sharqi lil Mu'allif al-Gharbi," ini adalah madah yang tercatat dalam naskah asal oleh Goethe sendiri pada halaman hadapan dan mungkin secara harfiah diterjemahkan sebagai "Divan Timur oleh Pengarang Barat." Maka, di dalam suasana saling menghormati dan mengagumi, Barat bertemu Timur dan Timur bertemu Barat dan proses ini saling berterusan.

Namun demikian, hari ini, pertembungan tersebut kelihatan berada pada tahap yang sedikit berbeza. Ringkasnya, ia kelihatan sebegini: Barat cuba bertemu Timur dengan terlebih dahulu melempar beberapa butir bom; Timur pula mengucapkan terima kaseh sambil membalas dengan meledakkan beberapa peluru berpandu; Barat merasa marah dan membakar buku-buku ilmiah dan agama, dan Timur mengamuk dengan meletupkan bangunan-bangunan mereka.

Saya mohon maaf kerana menghuraikan situasi di atas secara bersahaja namun faktanya adalah bahawa wacana hari ini, jika dibandingkan dengan masa lalu telah dibutakan oleh kebencian dan salah faham sehingga menimbulkan antara lain "fobia kepada kebebasan dan demokrasi" pada satu sisi dan Islamofobia di sisi yang lain. Ini merangka satu tahap kepada pertembungan ideal dan nilai, antara kebebasan politik dan demokrasi di satu sisi dan Islam di sisi yang lain. Namun demikian, meskipun dengan peringatan awal dan laungan peperangan yang menggila, saya cukup yakin bahawa pertembungan ini lebih bersifat bayangan daripada realiti. Saya tidak mengatakan bahawa Islamofobia tidak wujud; ia sememangya nyata tetapi dibebani dengan kepalsuan dan didorong oleh pihak-pihak tak bertanggungjawab dari kedua-dua belah sisi yang terpecah. Hasilnya adalah bebelan stereotaip dan klisé tentang Islam.

Kini, disebabkan oleh tindakan yang berbeza dari pihak-pihak tertentu yang mendakwa melakukannya atas nama agama, kita menemukan diri kita di dalam situasi yang palsu tentang Islam: yakni ianya bersifat anti kebebasan, anti demokrasi, yang menggalakkan pembunuhan dan kekacauan, mempromosikan perpecahan dan eksklusiviti dan sebagainya.

Maka, marilah kita cuba untuk menjernihkan kabus yang telah menutupi wacana ini. Pertama, secara dasarnya tidak wujud perbezaan antara Islam dan demokrasi. Untuk mengatakan bahawa tidak mungkin negara-negara yang majoritinya Muslim mengamalkan demokrasi berperlembagan adalah seperti menafikan kenyataan. Mari kita mulai dengan Turki, contoh terbaik sebuah negara demokrasi liberal di mana majoriti penduduknya adalah Muslim. Mereka melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil, memiliki sistem kehakiman dan perundangan yang baik, menikmati kebebasan-kebebasan asas yang dipelihara oleh perlembagaan serta menjamin kebebasan media yang relatif. Anda tidak akan didakwa hanya kerana anda seorang pemimpin parti pembangkang dan polis tidak akan membelasah anda hanya kerana anda mengkritik kerajaan. Anda boleh menjalani urusan seharian anda tanpa wujud ketakutan bahawa pada bila-bila masa pihak penguasa mungkin akan menggeledah rumah anda dan memenjarakan anda tanpa bicara.

Referendum terkini oleh rakyat Turki yang menyokong pindaan perlembagaan asas termasuk menguatkuasakan tekanan terhadap peranan pihak tentera membuktikan bahawa demokrasi masih hidup dan segar. Para pengkritik mengatakan bahawa ini adalah kerana rakyat Turki telah memilih untuk meninggalkan amalan-amalan Islam. Namun demikian, kami mohon untuk berbeda pendapat. Kami melihatnya sebagai contoh klasik dari apa yang mampu dicapai oleh sebuah negara Muslim seandainya para pemimpin mereka tetap setia pada nilai-nilai teras siasah Islam: modernis, moderat, progresif serta toleran terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip urus tadbir. Dalam hal ini, pemimpin Muslim Turki yang diperkasa oleh prinsip demokrasi liberal, berdiri secara kontras dengan para otokrat dan diktator di beberapa negara Islam yang lain.

Indonesia adalah satu lagi contoh terbaik negara yang populasinya didominasi Muslim namun mengamalkan kebebasan politik dan demokrasi liberal. Semestinya mereka perlu melalui keseluruhan proses evolusi politik untuk mencapai tahap tersebut. Setelah memperolehi kemerdekaan daripada Belanda, mereka telah menguji ringkas akan demokrasi namun ianya tidak bertahan lama dan selepas Mei 1965, Indonesia berada di bawah kediktatoran Soeharto selama era yang disebut Orde Baru (Orba). Dan ini berlangsung sehingga tumbangnya Soeharto pada 1998 dan membuka lembaran baru era Reformasi. Kini, jika ingin memahami bagaimana subur dan baiknya demokrasi di Indonesia, kita hanya perlu menonton siaran televisyen dan pastinya kita akan dapati setiap hari akan ditayangkan forum-forum dan sesi perbincangan yang sangat kritikal terhadap parti pemerintah dan Presiden. Saya tidak menyatakan bahawa sistem ini adalah yang paling sempurna atau bahawa mereka telah mencapai demokrasi sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar elemen penting struktur demokrasi yang segar berada di sini. Ini bertentangan dengan negara majoriti Muslim yang berjiran dengan Indonesia yang menampakkan perbedaan yang ketara. Dan ketiadaan demokrasi tulen di negara jiran itu, juga di negara-negara majoriti Muslim lainnya jika pun sedikit, tidak ada kaitan dengan Islam. Untuk saya, Islam mendapat nama buruk di sini lantaran tindakan para diktator, otokrat dan pseudo-demokrat ini.

Tetapi adakah kita menafikan bahawa wujud masalah dari segi asas-asas Islam? Adakah masalah pelampau, pengganas dan pengebom berani mati merupakan ciptaan imaginasi? Semestinya tidak. Ini merupakan isu kompleks namun hipotesis yang mengatakan bahawa pelbagai tindakan terkait dengan Islam adalah sekadar korelasi dan tidak mencerminkan punca sebenar. Faktor yang mempengaruhi hal ini harus dikaji dan tindakan wajar dilaksana bagi mengatasi kelompok ini seandainya kita ingin melihat sebarang resolusi terhadap permasalahan tersebut.

Berkenaan dakwaan oleh segelintir pihak bahawa kelompok fundamentalis yang memacu aktiviti politik di negara-negara Muslim tertentu; permasalahan ini sebetulnya sengaja dibesar-besarkan secara melampau. Sememangnya benar, bahawa ketegaran ideologi adalah tidak kondusif dalam mempromosikan demokrasi berperlembagaan. Ini kerana sebahagiannya adalah disebabkan oleh ketegaran yang melihat beberapa kelompok fundamentalis memetik apa yang disifatkan sebagai ayat-ayat dari kitab suci yang kononnya membenarkan tindakan keganasan atas nama jihad.

Walaubagaimanapun, kami tetap kekal menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk kekerasan dan keganasan berdasarkan kepada prinsip-prinsip kesederhanaan dan perlindungan ke atas nyawa, fizikal dan harta benda. Matlamat agama adalah jelas: jihad memerintahkan umat Islam supaya berbuat kebaikan dan mencegah kejahatan, menegakkan keadilan, menyeru kepada amalan murni dan amal kebajikan serta membantu yang lemah dan memerlukan. Ianya bukanlah teriakan peperangan, apalagi untuk membenarkan kekacauan dan pembunuhan. Di atas segalanya, jihad memerintahkan umat Islam supaya memelihara keamanan dan keharmonian serta menjaga kesucian hidup dan harta benda. Namun adalah menjadi kewajipan setiap reformis dan mereka yang progresif bagi membuktikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang sesuai untuk sepanjang waktu. Modeniti bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Melakukan kekasaran atas nama agama adalah salah.

Bagi negara-negara yang masih statik dan tak mahu bertindak; kita menggesa mereka agar bersikap demokratik.

Saya menyeru di atas platform Islam itu sendiri. Kerana Islam memerintahkan mereka yang beriman supaya menegakkan kesaksamaan, keadilan dan kemuliaan insan; lantaran tekad untuk merangkul demokrasi berperlembagaan merupakan penegasan kembali terhadap prinsip-prinsip ini. Mesej kami terhadap tuntutan ini adalah konsisten: laksanakan pilihan raya yang bebas dan adil, pastikan pemisahan kuasa serta jaminan ke atas kebebasan awam termasuk membenarkan penyertaan sepenuhnya wanita dalam bidang politik. Kami juga menuntut supaya dihentikan pendakwaan yang berasaskan dendam, tangkapan yang bersifat sewenang-wenang, dan penggunaan jentera kerajaan untuk menyekat sebarang penentangan politik.

Berkaitan persoalan tentang proses pendemokrasian, saya menyeru kepada beberapa kuasa besar supaya menghentikan amalan double standard. Tidak perlulah memilih-milih sasaran kecaman. Pencabulan terhadap hak asasi manusia tetap merupakan satu pencabulan. Kita tidak boleh membenarkan sesetengah negara melakukan pencabulan ini tetapi kemudiannya negara lain yang menjadi sasaran kecaman. Diplomasi "anda beri saya ini, dan saya akan beri anda ini kembali" adalah baik dan berkesan dalam situasi tertentu tapi tidak bermakna seandainya ianya mengkhianati demokrasi dan kebebasan.

Kemunafikan ini wajar dihentikan melainkan jika kita ingin terus melihat masyarakat Muslim terus dibelenggu di bawah kediktatoran, otokrasi dan demokrasi palsu. Demokrasi palsu, seperti yang anda tahu kini merupakan satu bentuk kemarahan khususnya di Asia Tenggara. Ianya lebih berbahaya dan menimbulkan ancaman lebih besar terhadap kebebasan politik dan demokrasi berperlembagaan ketimbang kediktatoran dan otokrasi. Kediktatoran dan otokrasi sekurang-kurangnya dizahirkan secara jelas dan kita tahu bahawa ianya tidak boleh sesekali dikhayalkan sebagai demokrasi. Demokrasi palsu pula muncul dilengkapi dengan pelbagai jerat untuk memerangkap demokrasi. Kita tidak nampak atau dalam kes tertentu, kita berpura-pura tidak melihat penyamaran mereka yang membawa ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan korupsi.

Dengan keseluruhan jentera kerajaan yang mereka kuasai, mereka merompak dan menjarah kekayaan dan sumber negara, memenjarakan pembangkang tanpa perbicaraan, menafikan kebebasan akhbar dan menjadikan sistem kehakiman sebagai organ tak bertulang belakang yang mana kewujudannya sekadar menjadi perkakas bagi menjamin kelangsungan politik mereka. Namun, yang paling menjengkelkan adalah kenyataan bahawa pemimpin mereka masih tetap diiktiraf sebagai pemimpin kepada "dunia bebas dan demokratik", berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin-pemimpin dari negara yang mapan demokrasinya.

Justeru ini menimbulkan persoalan apakah wujud kemajuan yang nyata dalam reformasi politik di dunia Islam selain daripada Turki dan Indonesia. Beberapa negara bahkan di Timur Tengah tampaknya akan bergerak menuju demokrasi, namun retorik seringkali melampaui kenyataan. Namun demikian, marilah kita tidak dikelirukan tentang persoalan yang sebenar. Ianya bukanlah sama ada Islam dan demokrasi itu serasi ataupun tidak tetapi apakah para pemimpin di negara-negara Islam akan menegakkan kebebasan dan demokrasi. Juga bukan tentang persoalan tentang Timur yang berselisih dengan Barat. Jika boleh saya simpulkan dengan beberapa baris dari karya Iqbal yang berjudul Zarb-i-Kalim:

Tak usah berpaling dari Timur

Juga tak usah gentar terhadap Barat

Kerana hanya Alam yang menentukan

kau berpaling ke mana setiap malam

(di manapun kau berada)

Hingga pagi mencerah

Diterjemahkan oleh Najwan Halimi (jalantelawi.com) dari teks syarahan berjudul "Political Freedom and Liberal Democracy in the Islamic World" yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, Anwar Ibrahim di German Council on Foreign Relations (DGAP) di Berlin pada 30 September 2010.

Tiada ulasan: